Wednesday, December 22, 2010

Dan Bila Esok...............

Assalamualaikum sahabat ain semua.Salam sejahtera ain ucapkan.Moga hari ini dan seterusnya kita sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang tidak pernah henti.

Baru-baru ni ain banyak menghabiskan masa bersama keluarga pergi bercuti.Tidak kiralah keluarga belah suami atau ain sendiri.Memang seronok rasanya menggunakan masa yang terluang bersama keluarga tersayang, kerana kebanyakkan masa kita gunakan untuk bekerja.

Tahun 2010 bakal sampai ke penghujung melabuhkan tirainya.Dan bagi umat Islam, bulan Muharram tanda mulanya tahun baru.

Begitu cepat masa berlalu dan begitu cepat waktu meninggalkan kita.Pelbagai perkara yang berlaku dan pelbagai dugaan telah kita semua tempuhi sepanjang tahun ini.Secara peribadi ain sendiri masih mencari apa ain inginkan dalam kehidupan ini.

Ain sedar Allah sentiasa bersama umatNya yang sering mengingatiNya.Ain sedar dalam kehidupan ini ain tidak bersendiri, Allah ada disisi.Ain sedar masih ada insan yang lebih malang daripada ain yang bersusah payah mencari sesuap nasi demi meneruskan kehidupan ini.Ain sedar tidak semua perkara yang kita inginkan kita akan perolehi dengan mudah.Adakala kita perlu lepaskan sesuatu demi kebahagiaan bersama.

Apa sebenarnya yang ain ingin cuba sampaikan???
Masa berlalu silih berganti.Entahkan esok, entahkan lusa, atau mungkin disaat ini nyawa ain diambil.Adakah ain sudah bersedia?Secara jujur, jawapannya TIDAK.

Segala saat yang ain lalui, segala dugaan yang ain lalui, segala ujian yang Allah berikan pada diri ini dan segala saat yang Allah berikan untuk ain bersama orang-orang tersayang, ain syukuri dan akan ain gunakan sebaik mungkin.Moga hari-hari yang tinggal ain dapat gunakan untuk perbaiki diri ini...

Dan Bila Esok Engkau memanggilku...maafkanlah segala dosa diriku ini...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...moga Kau terima segala amalanku ini...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...Moga diri ini berada disisiMu...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...terimalah aku seadanya...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...hanya padaMu aku berserah...

Sunday, December 12, 2010

MENGAPA ISLAM???



Assalamualaikum ain ucapkan buat pembaca dan sahabat blog ain.Moga kita semua sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah Yang Maha Esa.

Mengapa Islam???
Baru-baru ini ain berkenalan dengan seorang sahabat facebook yang mengenali ain melalui blog ini.Menarik soalan yang diajukan terhadap ain.Soalannya, bagaimana penerimaan keluarga ain sebelum berkahwin dengan suami.

Emmm....mendalam soalan tu.Soalan yang biasa ain dengar.Ada yang berpendapat mereka yang bergelar mualaf ini memilih Islam kerana ingin berkahwin.Namun ain faham sahabat facebook ain tidak bermaksud sedemikian.Apa yang ain dapat faham disini adalah bagaimana ain memastikan suami ain mendapat tempat dalam hati kedua-dua ibu bapa ain.

Segala perkara bermula dengan diri ain sendiri.Sewaktu ain nekad memilih Islam sebagai pegangan hidup, ain muhasabah diri sendiri.Agama, cinta, perkahwinan semuanya adalah suatu perkara yang berlainan.Tidak boleh dicampur adukkan.

Jika ain memilih Islam semata-mata untuk memiliki sebuah perkahwinan dengan jejaka ain cintai, berapa lamakah cinta itu akan bertahan?Bagaimana sekiranya berlaku penceraian atau ditinggalkan gantung tidak bertali?Adakah diketika itu ain masih berpegang pada Islam atau lupakannya?

Ain akui sewaktu memeluk Islam, ain sudah mengenali suami ain ketika itu.Semuanya adalah kebetulan dan ain yakin Allah telah menghantarnya pada waktu yang tepat.Walaupun ada kata-kata kurang enak sepanjang persahabatan kami sehingga terbitnya rasa kasih pada suami, ain pedulikan itu semua.

Bagi ain biarlah Allah tahu apa rasa isi hati ain sebenarnya.Untuk apa ain permainkan soal agama semata-mata kerana cinta?Untuk apa ain permainkan soal kebenaran Islam sebagai agama umat Nabi Muhammad semata-mata kerana cinta?

Bukankah cinta itu akan lebih indah jika kita abdikan kepada Allah semata-mata?

Berbalik pada persoalan tentang penerimaan keluarga terhadap suami ain, pada mulanya amat negatif.Mereka berpendapat Islam membenarkan suami untuk berkahwin lebih daripada satu.Keluarga ain amat bimbang ain akan disisihkan setelah berkahwin nanti.Mereka menentang habis-habisan perhubungan ain dan meminta ain melupakan suami ain diketika itu.

Sebagai anak, ain faham perasaan mereka yang masih tidak dapat menerima ain memeluk Islam dan sejurus selepas itu bercinta dengan jejaka melayu.Pasti mereka bimbang dengan masa depan anak gadis mereka yang belum kenal erti kehidupan.

Diketika itu, tiada apa ain dapat lakukan selain menadah tangan dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah.Jika dia adalah jodoh ain, maka permudahkan, jika tidak, maka jauhkanlah.Bagi ain jodoh takkan ke mana jika dia memang ditakdirkan untuk ain.

Waktu itu ain masih terlalu muda dan mungkin kurang arif dalam membuat keputusan.Adakala ain memberontak, melawan kata ibu bapa.Namun suami ain ketika itu sering memberikan nasihat pada ain agar bersabar dan tidak cepat melatah.Dia sering berpesan agar tidak lupakan solat dan berdoa pada Allah agar dilembutkan hati kedua-dua ibu bapa ain ketika itu.

Suami ain pula tidak pernah berputus asa cuba memikat hati kedua-dua ibu bapa ain.Suami ain seorang yang amat penyabar, hormat pada orang tua, mendengar kata dan tidak cepat melatah serta amat sederhana.Mungkin ini antara faktor ibu bapa ain dapat menerimanya dalam keluarga kami.Selain itu suami ain tidak mendesak dan mengikut sahaja kemahuan mereka selagi tidak menyalahi agama.

Di pihak ain pula, untuk membuatkan mereka menerima ain semula sebagai anak walaupun berlainan agama, ain harus patuh dan hormat kata-kata mereka dengan tidak melawan kata dan tidak berkelakuan tidak sopan yang boleh mencemarkan nama baik keluarga.Permintaan mereka agar untuk tidak bertudung terus ketika itu ain akui juga.Bagi ain, biarlah mereka menerima agama ini secara perlahan.Adakala perubahan drastik juga boleh membuatkan mereka menjadi semakin bimbang.

Dalam perkahwinan pasti membabitkan pertembungan 2 budaya berbeza.Untuk itu sebagai anak, ain dan suami sering juga menemukan mereka sama ada di waktu perayaan atau hari biasa.Malah, ibu mertua ain dan ibu ain sendiri sering berhubung melalui telefon.Rasa seronok dan gembira sangat ketika itu.Syukur alhamdulillah.

Apa ain dapat simpulkan disini adalah, apabila adanya persefahaman antara kedua-dua belah pihak, tidak kira besan atau bakal menantu, apabila adanya kesabaran antara kedua-dua belah keluarga, maka segalanya akan menjadi mudah.

Kata kunci disini adalah sabar, sabar, sabar, dan sabar, serta sentiasa berserah pada Allah Yang Esa.

Bagi pembaca blog ini yang berhasrat memeluk Islam, atau telah memeluk Islam, ingatlah.Janganlah kerana cintakan pasangan yang beragama Islam dan berhasrat untuk berkahwin dengan kekasih hati, memaksa anda memilih Islam sebagai pegangan hidup.Tiada gunanya mengucap 2 kalimah syahadah tanpa ada keikhlasan dan kerelaan daripada diri sendiri.Seperti coretan ain sebelum ini, tanpa keikhlasan yang datang daripada diri sendiri, segala amalan dan perbuatan kita tidak mungkin diterima Allah.

Salam sayang daripada ain buat sahabat semua.....

Friday, December 10, 2010

IKHLAS

Assalamualaikum, syukur alhamdulillah di hari Jumaat ini ain masih diberikan kesempatan untuk menulis diblog peribadi ini.

Di sini ain ingin utarakan tentang maksud ikhlas.Setiap amal dan perbuatan kita demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. perlulah diiringi dengan keikhlasan yang lahir dari hati sanubari.

Keikhlasan kita dalam mendapatkan keredhaan daripada Allah s.w.t. perlu adanya kesungguhan daripada diri sendiri agar segala amalan kita diterimaNya.

Di sini ain ingin kongsikan bahan bacaan ain untuk renungan bersama:
Ertinya:

"Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa merreka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata), "Demi sesungguhnya! Jika Engkau (ya Allah) selamatkanlah kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur." Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar.Wahai manusia!Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri.(Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang telah kamu lakukan." (Yunus 22-23)

Apa yang ain dapat huraikan di sini, kebanyakkan daripada kita sering melupakan Allah disaat senang, namun kita tidak pernah lupa atau leka untuk menadah tangan dan memohon pertolongan daripada Allah disaat kesusahan.

Jadi, di mana letaknya keikhlasan kita terhadap Allah? Di mana letaknya rasa kasih dan cinta kita pada Allah? Di mana letaknya rasa hormat, setia kita pada Allah?

Sama-samalah kita bermuhasabah diri demi kebaikkan bersama dan moga Allah sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah terhadap setiap umatNya.

Segala yang ain tuliskan di sini adalah ingatan untuk diri sendiri juga, agar tidak leka dengan nikmat dunia, serta tidak memandang ringan terhadap setiap amalan yang kita lakukan ini dapat diterima Allah jika tiada keikhlasan disertakan bersama.

InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang.Segala kesilapan dalam tulisan ain ini, diharapkan ada diantara pembaca sudi menegur.

Thursday, December 9, 2010

KEHIDUPAN


Assalamualaikum sahabat semua...

Kehidupan ini bagaikan ombak, pasti ada pasang surutnya.Adakala badai yang menimpa terlalu kuat hingga menghakis persisiran pantai.

Begitulah lumrah kehidupan, adakala kita berasa senang, adakala kita berasa gelisah.Adakala kita disayangi, adakala kita dipulaukan bagai orang asing.Itulah namanya kehidupan.

Kehidupan ini adalah suatu kurniaan dan ciptaan yang hebat daripada Allah Yang Maha Esa.Sesungguhnya diri ini amat bersyukur dan kagum dengan ciptaanMu.Bertuahnya diri ini kerana dipanjangkan usia untuk menikmati ciptaanMu.

Dan disebabkan kehidupan ini amat indah, pasti ada ketikanya kita diuji dengan pelbagai godaan dan cobaan yang adakala mengundang sengsara pada diri sendiri.Tak kurang juga setiap ujian itu boleh mengubah personaliti seseorang.

Secara peribadi, ain sendiri alami perkara yang sama.Jika dahulu ain terlalu skeptical tentang kehidupan, kini ain mengerti kehidupan ini seharusnya dinikmati sebaik mungkin dan dinikmati atas keredhaan Allah.

Perkara sebegini bunyinya amat mudah, tetapi sebenarnya sukar jika kita tidak berpegang teguh pada ajaranNya.Namun segalanya akan menjadi senang jika kita sentiasa beringat dan mengingati Allah dalam segala urusan atau tindakan yang kita ingin ambil.

Ain sendiri adakala melatah dalam mengharungi ujian daripadaNya.Namun ain sedar segalanya adalah untuk kebaikkan ain sendiri agar ain lebih berwaspada dan sentiasa mendekatkan diri padaNya.

"....pabila hati ini berasa sedih dan pilu...kepada Mu Ya Allah aku mengadu..pabila hati ini berasa sunyi dan sepi..kepadaMu Ya Allah aku berharap...pabila hati ini berasa gusar...kepadaMu Ya Allah aku menadah tangan dan memanjatkan doa.."


Salam sayang daripada ain buat sahabat ain semua...

SAHABATKU

Assalamualaikum semua...moga sahabat ain semua dalam keadaan sihat hendaknya dan dirahmati Allah selalu..

Apa harus ain coretkan dalam tulisan ain kali ini?Ain sendiri tak pasti, terlalu banyak perkara bermain difikiran.

Sebagai hamba Allah yang sering mengharapkan belas kasih daripadaNya, ain sedar diri ini sentiasa diuji dengan pelbagai cobaan.Ain sedar Allah sayangkan hambaNya, tidak mungkin Dia berikan sesuatu ujian itu jika hambaNya tidak mampu untuk hadapinya sendiri.

Adakala bila kita jujur dengan seseorang, belum tentu mereka akan berlaku jujur dengan kita.Adakala kita ikhlas terhadap seseorang, tidak kiralah dalam persahabatan atau perhubungan, belum tentu mereka ikhlas dengan kita.

Adakala sesuatu perkara itu terlalu rumit untuk diperkatakan, walaupun begitu diri ini memahami keadaan yag berlaku bukan atas kehendak individu itu.

Andai kata coretan ain ini dibaca, usah risau tentang diri ini.InsyaAllah Allah bantu ain hadapi hari-hari mendatang.Siapalah ain tanpa kasih daripada Allah Yang Esa.

Buat sahabat ain itu, ini kata-kata ain dapat berikan....

..sahabat...untuk apa kau hadir dalam hidupku..andai sekadar persinggahan sahaja...untuk apa kau berikan kata-kata manismu...andai kau sendiri tidak tahu apa yang kau inginkan...namun diriku memahami keadaanmu di sana...moga Allah membantumu dalam segala urusanmu..namun diri ini sentiasa berpegang pada janji...sahabat selamanya.............

Buat sahabat blog ain semua, mohon maaf andaikata coretan ain kali ini terlalu membosankan.Tiada kata-kata dapat ain luahkan di saat ini.

Saturday, December 4, 2010

DUGAAN

Assalamualaikum sahabat blog ain semua.Moga sahabat semua dalam keadaan sihat semuanya dan sentiasa dalam rahmat Allah.

Terlebih dahulu mohon maaf daripada diri ini kerana sudah lama tidak menulis dalam blog ini.

Banyak perkara perlu diuruskan dan banyak perkara bermain difikiran.Makin diri ini ingin mendekatkan diri pada Yang Esa, makin banyak dugaan dan cobaan yang adakala menguji keimanan diri ini.

Rasanya tiada salah kiranya ain menulis rasa hati dalam blog peribadi ain sendiri.Adakala dengan menulis dapat mengurangkan rasa sedih dihati.Ain berasa amat sedih diketika ini dan terlalu sukar untuk ain ungkapkan dengan kata-kata.

Ain berharap dan berdoa moga Allah kuatkan hati ini dan memohon moga diri ini tabah menghadapi dugaan dariNYA.Ain tahu Allah masih sayangkan ain, jadi ain perlu tabah hadapi semua ini.

InsyaAllah kita bertemu di coretan akan datang...

Saturday, November 20, 2010

TANGGUNGJAWAB

Assalamualaikum sahabat ain semua, moga sentiasa dalam rahmat Allah S.W.T. hendaknya...amin...

Pejam celik, dah 5 tahun 3 bulan ain bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital swasta.Cepat betul masa berlalu dan masa mematangkan diri ini dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Pelbagai jenis, karenah, tingkah laku manusia ain jumpa yang adakala menguji kesabaran diri ini.Bekerja sebagai jururawat bukan hanya memberi ubat, merawat luka pesakit, malah lebih daripada itu.Jururawat bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan serta menyampaikan maklumat mengenai keadaan pesakit dengan tepat dan telus kepada pakar perubatan.

Bila diamati, diteliti semula tugasan seorang jururawat, sebenarnya bukan mudah.Silap langkah atau perbuatan boleh mengundang bahaya sama ada kepada pesakit atau kepada diri sendiri.Begitulah, andai ingin dihuraikan di sini, rasanya 10 muka surat pun tak cukup.

Namun, ain sedar amanat ini begitu berat kerana segala yang kita lakukan ada yang melihatnya.Mungkin kita boleh berselindung daripada rakan sekerja, tapi dengan Allah??Bukankah Allah Maha Mengetahui segala yang kita lakukan???

Setiap kali ain melakukan tugasan dan andai ada kesilapan berlaku, rasa diri ini amat berdosa sekali.Setiap kali timbul perasaan marah, setiap kali kesabaran ain diduga, pasti timbul rasa kesal dalam diri ini.Ain adakala marah pada diri sendiri kerana adakala hilang kesabaran sewaktu bekerja.Sedangkan sikap sabar itu adalah satu perkara yang harus ada dalam diri seseorang yang beragama Islam.

Diri ini akan menadah pada Yang Esa agar memberikan kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan tugasan harian yang sentiasa berubah-ubah, yang adakala menguji keimanan diri ini.

Apapun, ain sentiasa ingatkan diri ini.Kita bekerja bukan kerana wang semata-mata.Memang benar tanpa wang, kita tak dapat nak beri keluarga kita kesenangan.Namun jika kita niatkan diri ini bekerja kerana Allah, insyaAllah segala pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi mudah dan sentiasa dipermudahkan.

Ya Allah, semoga diri ini sabar dengan setiap dugaan daripadaMu...Aku sedar dugaan ini tanda Kau Mengasihi hambaMu yang kerdil ini...

"coretan ini adalah ingatan untuk diri sendiri dan ingatan bersama...."

Thursday, November 18, 2010

ZIKIR

Assalamualaikum buat sahabat semua.Moga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T.


Begitu indahnya hari ini dan diri ini berasa amat bersyukur kerana dipanjangkan usia dan diberikan peluang untuk menambahkan amal yang sememangnya masih tidak cukup lagi sebagai bekalan untuk ke akhirat.

Sebagai hamba Allah yang sering mengharapkan belas ehsan daripada Yang Maha Esa, perlunya kita mengingati Allah dengan sentiasa berzikir padanya.Berzikir di sini boleh dilakukan dengan 3 cara:
  • dengan perbuatan menggunakan biji tasbih atau alat pembilang.
  • dengan lidah atau sebutan yang dipanggil zikir jali atau zikir jahri.

  • di dalam hati yang dipanggil zikir sirri atau zikir khafi.

Melalui zikir, kita dapat mendekatkan diri kita kepada Allah kerana amalan zikir ini samalah seperti kita berdiaolog dengan Allah.Allah amat suka pada hambanya yang sering berzikir.

Pada zaman moden kini, ramai diantara kita memberikan alasan tiada masa atau penat sebagai alasan untuk tidak melakukan zikir.Sesungguhnya amat rugi golongan sebegini meninggalkan amalan zikir dalam kehidupan seharian.

Daripada pengalaman ain sendiri, ain akui ain rasa tidak tenteram, fikiran bercelaru, sering berasa risau dan tertekan.Ini semua akibat kurangnya berzikir.Diketika ini, diri kita amat mudah terpesong dengan hawa nafsu sendiri.

Alhamdulillah, atas nasihat suami dan melalui kesedaran sendiri, ain mula amalkan zikir.Sememangnya jiwa ini berasa amat tenang dan tidak terlalu tertekan seperti dahulu.

Berzikir dapat mendidik jiwa kita agar menjadi lebih tenang dan sabar.Melalui zikir kita dapat mendekatkan diri pada Allah Yang Esa dan dalam masa yang sama, membuatkan kita agar sentiasa mengingati Allah dalam segala pekerjaan yang kita lakukan.

Di sini ain selitkan bingkisan zikir yang amat ringkas, pemberian daripada seorang hamba Allah ini.Ianya amat mudah bagi kita yang baru berjinak-jinak untuk amalkan zikir dalam kehidupan harian.Buat hamba Allah ain sebutkan tadi, moga Allah merahmati usaha anda dalam menyebarkan ilmu Allah, amin.


WIRID IMAM AL GHAZALI

  1. Hari Jumaat membaca: Yaa Allah (1000 x)
  2. Hari Sabtu membaca: La Illaaha Illallah (1000 x)= "Tiada Tuhan Selain Allah"
  3. Hari Ahad membaca: Yaa Hayyuu Yaa Qoyyuum (1000 x) = "Wahai zat yang hidup kekal abadi"

  4. Hari Isnin membaca: Laa Haula Walaa Quwwata Illa Billahil'aliyil'Azhiim (1000x)= "Tiada daya dan kekuatan terujud melainkan dengan bantuan Yang Maha Luhur lagi Yang Maha Agung"

  5. Hari Selasa membaca: Shollallaahu 'Alaa Muhammad (1000 x)= "Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad"

  6. Hari Rabu membaca: Astaghfirullahal 'Azhiim (1000 x)= "Aku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung"

  7. Hari Khamis membaca:Subhaanallaahil 'Azhiimi Wabihamdih(1000x)= "Maha Suci Allah yang Agung dan segala puji bagiNya"

Ain harap coretan ain kali ini dapat dijadikan panduan untuk kita bersama dan ain pasti ianya amat ringkas serta mudah untuk kita amalkan.Moga kita semua sentiasa mengingati Allah dengan berzikir...amin....


Wednesday, November 17, 2010

Hari Cuti

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat ain semua.

Pertama sekali ain ingin ucapkan salam aidiladha buat sahabat Islam semua.Semoga aidiladha kali ini memberikan seribu satu pengertian buat kita semua.

Hari ini hari ke-2 ain bercuti setelah selesai bekerja shif malam.Masih ada 4 hari lagi baki cuti ain yang tinggal.Sahaja ain mengambil cuti panjang.Setelah penat bekerja, perlunya badan dan minda ini direhatkan.

Hari ini ain habiskan masa berehat bersama keluarga mertua.Waktu cuti begini dapatlah ain gunakan untuk berborak panjang bersama ahli keluarga yang lain.Memang rasa seronok dapat berkumpul beramai-ramai sambil bertukar cerita.Kebiasaannya semua sibuk dengan kerja, waktu cuti begini dapatlah melepaskan rindu sambil mengeratkan hubungan silaturahim yang tersedia terjalin.

Mak mertua ain memang pakar memasak.Menu hari ni nasi himpit+ayam masak merah+lontong+sup tulang lembu(daging korban).Makan ramai-ramai, bertambah berselera ain.Bertambah-tambah pulak tu....:)

Ain juga gunakan masa yang ada hari ini untuk upgrade blog ain.Banyak juga perkara baru ain belajar.Ain turut mengambil kesempatan ini layari tulisan penulis blogger yang lain.Kebiasaannya ain hanya update blog sendiri kerana kesuntukkan masa.Apapun, suami pendorong utama ain untuk terus menulis blog!

Sampai disini saja coretan ain kali ini.Diharapkan sahabat ain semua yang sudi membaca blog ini terus memberikan sokongan dan sudi memberi komen membina untuk ain.

Salam aidiladha ain ucapkan kepada semua.Assalamualaikum.



laptop kesayangan........

Sunday, November 14, 2010

Wanita Dan Islam

Assalamualaikum, apa khabar sahabat ain semua?Moga kita semua senantiasa di dalam lindungan Allah s.w.t.

Minggu ini terdetik dihati ingin membincangkn topik tentang 'Wanita dan Islam'. Ain sendiri masih cetek lagi tentang ilmu Allah yang begitu banyak dan melalui penulisan blog, insyaAllah ain dapat usahakan sesuatu menambah ilmu untuk diri sendiri dan dikongsikan bersama dengan sahabat blog ain semua.

Wanita sememangnya dipandang tinggi dan mulia dalam Islam.Ini dapat dilihat melalui rasa cinta dan kasih Rasulullah s.a.w pada puterinya Siti Fatimah.Rasulullah s.a.w sering menyebut:

"Bahawa Fatimah adalah sebahagian dari diriku.Aku berdukacita jika ia berdukacita, dan aku akan lega jika ia senang.Siapa sahaja yang menyebabkan ia marah, sama dengan membuat aku menjadi marah.Fatimah buah hatiku adalah wanita penghuni syurga.."


Begitu indah dan kasihnya Rasulullah s.a.w. terhadap puteri tercinta.Baginda begitu mengasihi dan menyayangi puterinya Fatimah sehinggakan tidak sanggup melihat puterinya dalam kesedihan atau kesusahan.Baginda juga sering mengingatkan kepada para sahabat:

"Barangsiapa yang mempunyai 3 orang anak perempuan, kemudian ia bersabar hidup dalam suka dan duka, maka ia akan dimasukkan dalam syurga kerana rahmat Allah kepada para perempuan tersebut.Seorang sahabat bertanya: Bagaimana kalau hanya 2 orang perempuan ya Rasulullah? Baginda menjawab: Walaupun hanya 2orang.Sahabat bertanya lagi : Bagaimana kalau seorang sahaja ya Rasulullah: Maka baginda menjawab: Ya, walaupun hanya seorang."

Pada zaman sebelum datangnya Islam, kaum arab zaman jahiliyah membenci jika ada kelahiran anak perempuan dalam keturunan mereka.Mereka menganggap anak perempuan begitu malang dan keji jika dibandingkan dengan kelahiran anak lelaki.Anak perempuan yang lahir akan ditanam hidup-hidup tanpa rasa belas kasihan.Namun setelah kedatangan Islam, anak perempuan diberikan hak untuk hidup sama seperti anak lelaki.

Dalam pemilihan pasangan hidup, ibu bapa diberikan tanggungjawab dan hak dalam menentukan calon suami yang soleh bagi anak perempuan mereka.Islam mementingkan agar para ibu bapa sentiasa memilih calon suami yang beriman dan bertaqwa pada Allah, dan bukannya dari segi kedudukan atau harta.

Daripada Aisyah dan Asma binti Abu Bakar.Raulullah s.a.w. bersabda:
"Pernikahan itu diibaratkan dengan perhambaan, maka hendaklah kamu berhati-hati kepada siapa puterimu kamu nikahkan."

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda:
"Apabila ada yang meminang anak gadismu, dan kamu senang dengan agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah.Kalau tidak kamu lakukan, sama halnya dengan kamu membuat fitnah di muka bumi dan menimbulkan kerosakkan yang besar."

Dalam Islam, wanita masih diberikan peluang dan hak untuk menerima atau menolak calon suami yang ditentukan oleh ibu bapa, namun jika pilihan ibu bapa adalah seorang yang beriman dan bertaqwa pada Allah, adalah lebih baik seseorang wanita itu menerimanya dengan hati terbuka.

Aurat wanita juga amat dititikberatkan.Muslimah diwajibkan menutup auratnya daripada pandangan golongan bukan muhrim, kecuali muka dan kedua belah tapak tangan.Namun akibat peredaran masa dan pengaruh fesyen dari negara barat, ada diantara kita yang tidak mengambil kisah tentang hal ini.Alasan diberikan hanyalah tuntutan kerja memaksa mereka berubah imej.

Apapun tanggungjawab yang perlu digalas pada masa kini, wanita muslimah yang bekerja haruslah menjaga tatatertib serta aurat sewaktu berada di luar rumah agar tidak mencemarkan nama baik Islam.Bagi mereka yang sudah berumahtangga, sentiasalah beringat pada diri sendiri agar sentiasa berwaspada dalam pergaulan mereka dengan yang bukan muhrim.

Ain kini bekerja di salah sebuah hospital swasta dan masih berusaha kuat menjaga tatatertib dari segi berpakaian.Ain masih berusaha mempertahankan hak wanita Islam menjaga kepentingan aurat walaupun semasa bekerja, namun, ianya dipertikaikan.Malah, sikap mereka yang memperkotak-katikkan kepentingan menjaga aurat bagi wanita muslimah membuatkan hati ini sedih dan terhina selalu.

Kita sebagai wanita Islam seharusnya berusaha mempertahankan agama Allah dengan mengikuti segala perintah dan menghindari segala larangannya.Apa ain dapat katakan, Islam mengajar umatnya menghormati kaum wanita dengan caranya tersendiri.

Sampai disini saja coretan ain untuk kali ini.Agak ringkas, namun ain harapkan kita dapat berkongsi sesuatu disini untuk kebaikkan bersama.InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang....

Assalamualaikum.....

Wednesday, November 10, 2010

Mencari Pasangan

assalamualaikum semua...maaflah, lama sangat ain tak update blog.Banyak perkara ain perlu uruskan kebelakangan ni.InsyaAllah satu hari nanti ain akan kongsi dengan sahabat semua....

Kali ini ain pilih tajuk 'Mencari Pasangan'....kenapa ye???Tentu pelik...tapi itulah permintaan daripada beberapa penggemar dan sahabat blog ain yang meminta ain huraikan tajuk ni...ain akan cuba huraikan daripada pandangan dan pengalaman ain sendiri.

Bermula dari zaman persekolahan...kita sering mendengar 'cinta monyet' atau loghat mat salleh 'puppy love'...Bunyinya seperti menarik, tapi itu semua hanyalah salah satu pengalaman hidup kita sebelum bergelar dewasa...

Sewaktu ain menganjak ke alam remaja dan seterusnya ke kolej bagi meneruskan pengajian...ada juga sesekali hati ini berdetik untuk bercinta..tak perlulah ain ceritakan sangat.Semuanya kini menjadi kenangan dan alhamdulillah kini ain bahagia dengan suami tersayang...

Perkara yang sering beberapa sahabat ain tanyakan adalah...."kak ain macam mana nak pilih pasangan yang betul?orang buntu kak.."....Terdetik dalam hati ain kenapa mereka tanyakan soalan ini pada ain?Tapi ain dapat rasakan, mereka memerlukan seseorang untuk berbual, bertanyakan pendapat dan pandangan.Jadi, tidak timbul soal pakar atau pro dalam hal ini.

Daripada pengalaman ain sendiri, ain pernah berkawan rapat dengan seseorang yang bernama lelaki.Kiranya dia dalam kategori kacak dan sering mendapat perhatian mana-mana wanita yang ingin berkawan dengannya.Apa ain ingin katakan di sini, tidak kira lelaki kacak atau wanita cantik, kedua-duanya manusia yang diberikan hawa nafsu dan akal fikiran.Terpulang bagaimana mereka ingin menggunakannya ke arah kebaikkan.

Sepanjang pemerhatian dan pengalaman ain sehingga ke hari ini, ada diantara kita, tidak kira lelaki atau wanita dianugerahi dengan rupa paras yang menawan dan kacak.Semestinya ini dikatakan pakej untuk memilih pasangan.Namun ada segelintir golongan sebegini mengambil kesempatan dengan memberikan janji palsu terhadap kekasih hati tetapi pada masa yang sama turut menabur janji pada orang lain.

Kita juga sering mendengar pasangan kekasih yang bercinta bertahun-tahun lamanya...namun akhirnya berpisah atas sebab yang tidak diingini.Dan ada juga yang ingin kembali menyambung semula perhubungan, namun di sebelah pihak gusar untuk berbuat perkara yang sama.

Pelbagai jenis masalah sewaktu zaman percintaan dan tidak kurang juga di alam perkahwinan.Namun di sini ain lebih fokuskan yang masih mencari-cari pasangan hidup.

Dalam memilih pasangan, pilihlah pasangan yang benar-benar ikhlas sayangkan kita, bukannya kerana rupa atau harta.Rupa, harta itu semuanya sementara sahaja.Biarlah pasangan kita itu menyayangi dan mencintai kita lebih daripada kita mencintai diri sendiri.

Seperkara yang sering kita lupa.Tidak cukup dengan cinta...tidak cukup dengan sayang...tapi kepercayaan dan kejujuran adalah faktor utama kebahagiaan dalam hidup berpasangan.Bila timbul persoalan yang membabitkan perasaan, pasti kepercayaan dan kejujuran kunci utama kebahagiaan dalam sesuatu perhubungan.

Apapun pandangan ain berikan di sini, perkara akan menjadi lebih mudah jika kita muhasabah dengan diri sendiri.Cermin diri sendiri terlebih dahulu, tanyakan pada diri kita sama ada kita benar-benar ikhlas ingin menjalinkan perhubungan atau sekadar untuk bersuka-suka.Tanyakan pada diri kita adakah hubungan ini hanya seketika atau ingin diakhiri dengan satu ikatan yang direstui dan diredhai..

Apapun keputusan atau pilihan kita buat, semuanya bergantung pada diri sendiri.Jika kita rasakan kita belum bersedia untuk ke arah perhubungan yang serius, tak perlulah menabur janji pada kekasih hati.Juga jagalah tingkah laku sewaktu bercinta.Jangan jadikan lesen 'dia kekasih hatiku' sebagai jalan pintas untuk memuaskan nafsu, tapi akhirnya terlerai tanpa ikatan.

Memang zaman moden kini, ramai anak muda yang asyik bercinta, putus cinta, bermain cinta....diibaratkan tanpa bercinta tak 'rock!'..........

Dalam Islam, tidak digalakkan anak-anak muda bercinta.Ini bagi mengelak mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sepatutnya.Maka, dalam Islam telah diletakkan garis panduan dalam memilih pasangan hidup serta tatatertib antara kaum adam dan hawa.

Di sini ain coretkan sedikit tulisan dari bahan bacaan ain;dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda bermaksud:

"Apabila Allah swt mengkehendaki suatu rumahtangga yang baik(bahagia)diberikan-Nya keinginan menghayati ilmu-ilmu agama, yang muda menghormati yang tua-tua,harmoni atau tenteram dalam kehidupan, hemat dan hidup sederhana, melihat dan menyedari cacat-cacat (aib)mereka dan kemudian melakukan taubat.Jika Allah swt mengkehendaki sebaliknya maka ditinggal-Nya mereka dalam kesesatan."

Hadis ini membawa maksud, apabila kita menjadikan agama sebagai dasar kehidupan.... bermuhasabah diri dan kembali kepada ajaran Allah dengan bertaubat padaNya...maka segala urusan kita di dunia ini akan menjadi lebih mudah dan diredhai.

Begitu juga dalam memilih pasangan.Sentiasa bertaubat dan berdoa pada Allah, moga dikurniakan kita pasangan yang elok agamanya, elok tingkah lakunya dan dapat membimbing kita ke arah kebaikkan.Tidak perlulah dirunsingkan sama ada pasangan kita itu sesuai atau tidak.

Percaya dan yakin pada diri sendiri...yakin dengan Allah...sentiasa bertawakal dan berserah padaNya...insyaAllah...hati kita akan menjadi tenang dan lebih mudah dalam membuat keputusan.Amat penting disini, bila kita mempunyai kepercayaan pada Allah...terus-terang ain katakan kita akan lebih mudah dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan.

Buat sahabat-sahabat ain yang pernah bertanyakan soalan ini pada ain, akak harap adik-adik semua berpuas hati dengan huraian akak di sini.Sebarang kekurangan atau kesilapan, diharapkan adik-adik dan pembaca yang lain sudi menegur.

InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang.....assalamualaikum.....

Wednesday, October 27, 2010

Dan Aku Islam....

Assalamualaikum sahabat semua..moga sahabat ain semua sentiasa sihat dan gembira selalu.Dua hari lepas ain terpandang sebuah majalah ni di 7-Eleven, iaitu sebuah majalah islam kontemporari, iaitu majalah Al Islam.Ain rasakan isi kandungannya menarik, maka terus ain dapatkan sebagai bahan bacaan tambahan dan koleksi peribadi.

Rasanya ada diantara sahabat ain juga meminati majalah ini.Namun kali ini, ingin ain kongsikan bersama sahabat semua satu kisah ain baca dalam majalah ini yang mungkin menarik perhatian kita semua.Di sini ain gunakan masa yang terluang untuk menyalin semula artikel ini buat tatapan kita semua.Maka, segala yang ain taipkan di sini adalah sama dengan apa yang tertulis dalam artikel majalah Al Islam.

.....Inilah kisah seorang paderi Kristian yang amat berpegang teguh pada ajaran itu.Baginya agama itu adalah yang terbaik di dunia.Sedari kecil dia sudah disemaikan benih kebencian terhadap agama lain terutamanya Islam.Sudah terukir di dalam fikiran dan hatinya bahawa Islam itu jahat dan berbahaya untuk didekati.Kalimat kebencian itu menyebabkannya memusuhi Islam hingga ke tulang hitam.Baginya orang Islam itu terlalu jijik, jahat dan tidak harus didekati.Namun apa yang terjadi apabila dia cuba membawa orang Islam untuk menganut Kristian...saksikan apa yang berlaku seterusnya.

Nama saya Yusuf Estes dari National Muslim Chaplain for American Muslims yang menaungi banyak persatuan Islam di seluruh Washington, Amerika Syarikat.Inilah kehidupan saya, selalu ke luar negara untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi ilmu yang saya ada tentang Islam.Yang menariknya, dialog dan diskusi itu diadakan diantara kumpulan-kumpulan lain yang menganut pelbagai kepercayaan.Matlamat utamanya adalah untuk memberikan gambaran yang betul tentang Islam.

Saya dilahirkan di dalam keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran Kristian.Keluarga dan nenek moyang saya adalah orang yang bertanggungjawab membina gereja dan sekolah di kawasan kejiranan itu.Ketika berrusia 12 tahun, saya sudah menunjukkan minat kepada aktiviti keagamaan.

Setelah remaja, keinginan untuk mendalami agama Kristian meluap-luap.Saya selalu mengunjungi gereja di kawasan-kawasan lain untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang agama itu.Semakin dikaji makin banyak yang saya tidak tahu.Saya kaji pula tentang agama lain seperti Hindu, Yahudi, Buddha, metafizik dan kepercayaan penduduk asli Amerika.Hanya satu yang saya tidak ambil serius iaitu Islam.Mengapa?Saya akan jawab kemudian.


MINAT MUZIK

Sebenarnya, minat saya terhadap pelbagai jenis muzik amat mendalam terutamanya lagu-lagu gospel dan irama klasik.Keluarga saya memang terkenal dengan latar belakang muzik terutamanya lagu-lagu gospel.Ia menjadi mudah bagi saya untuk menjawat jawatan sebagai paderi muzik di gereja dan saya mempunyai kumpulan sendiri.Kemudian saya mula mengajar muzik seawal 1960 dan menjelang 1963 saya sudah mempunyai studio sendiri di Laurel, Maryland iaitu Estes Music Studios.

Selama 30 tahun, saya dan ayah berkongsi membangunkan perniagaan dan melaksanakan banyak projek.Kami mempunyai syarikat yang mengendalikan program hiburan,persembahan dan muzik.Banyak kedai organ dan piano yang kami dirikan di Texas, Oklahoma dan Florida.Soal duit bukan satu masalah yang besar, malah setiap tahun berjuta-juta ringgit masuk ke akaun kami dari industri hiburan.

Namun kekayaan itu tidak pernah memberikan ketenangan kepada jiwa dan fikiran saya.Setiap hari saya mencari sesuatu tapi tidak tahu apa yang dicari.Sering kali fikiran ini memikirkan pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab.

Saya sering kali bertanya pada diri, "Kenapa Tuhan menciptakan saya? Apa yang Tuhan mahu saya lakukan? Siapa Tuhan? Mengapa kita mesti percaya pada konsep 'Original Sin'? Mengapa anak-anak Adam terpaksa menerima semua dosa itu dan dihukum selama-lamanya?"

Tapi semua soalan itu tidak pernah ada jawapannya.Apabila saya bertanya pada paderi, hanya jawapan ini yang diterima. "Percaya sajalah.Dan jangan banyak tanya.Ia perkara yang misteri dan jangan tanya lagi tentang itu."

Dan banyak lagi tentang ajaran Kristian yang mula menimbulkan persoalan.Adakalanya tidak masuk akal.Pencarian itu tidak pernah ada noktah hinggalah pada suatu hari di dalam tahun 1991.

Hari itu saya menyemak semula Bible untuk mencari jawapan.Apa yang saya temui tentang orang Islam amat mengejutkan.Selama ini saya tidak tahu pun bahawa orang Islam juga wajib mempercayai Bible dan Nabi Isa sebagai utusan Tuhan, rasul,kelahirannya tanpa persetubuhan lelaki dan peempuan, dia kini bersama Tuhan dan akan diturunkan semula ke bumi untuk memimpin umat Islam menentang kekufuran.

Mana mungkin! Apa yang saya tahu selama ini semuanya yang buruk tentang Islam.Saya hanya diberikan maklumat yang tidak benar dengan Islam sehingga saya sendiri takut dengan agama itu.

TIDAK PADA MUSLIM

Ayah saya memang seorang penganut Kristian yang setia dan aktif menjalankan aktiviti gereja.Dia juga pernah dilantik menjadi paderi penting yang menjalankan program sekolah gereja.Ayah dan ibu tiri saya mempunyai ramai kenalan di kalangan mubaligh Kristian yang memiliki stesen televisyen.Mereka turut berganding bahu untuk menjadikan 'prayer tower' di Tulsa satu kenyataan.Semua orang terkenal yang memusuhi Islam Amerika Syarikat seperti Jimmy Swaggart, Tammy Fae Bakker, Jerry Fallwell, John Haggi dan Pat Robertson adalah kawan keluarga saya.

Hingga suatu ketika ayah dan ibu saya sanggup merekodkan khutbah dan mesej dari paderi untuk diedarkan secara percuma ke hospital, rumah perlindungan dan kebajikan.Kemudian pada 1991, ayah mula memikirkan untuk mengembangkan usahanya menyebarkan Kristian ke luar negara iaitu Mesir.Saya ditugaskan untuk bertemu dengan pendatang Mesir yang bekerja di Texas.

Oh!tidak, kenapa Muslim.Kenapa saya perlu berurusan dengan pengganas, penculik, pengebom berani mati dan perampas.Jangan haraplah saya akan berbincang dengan manusia seperti itu.Ayah memujuk saya untuk berurusan dengan lelaki itu.

Saya bersetuju untuk berjumpa dengan Mohamed Abdel Rehman di sebuah cafe.Saya jadi keliru apabila melihat penampilan lelaki itu tidak seperti yang saya gambarkan sebelum ini iaitu berserban putih, janggut tebal, dan berjubah panjang.Ternyata Mohamed seorang yang cukup ringkas, mukanya bersih tanpa janggut atau misai dan berpakaian seperti kebanyakkan rakyat Amerika Syarikat.

Selepas bersalaman dan memperkenalkan diri, kami memilih satu sudut untuk berbual lebih panjang.Perkara pertama yang saya tanyakan kepadanya adalah tentang kepercayaannya.

"Anda percaya Tuhan?"..."Ya"..jawab Mohamed.."Anda percaya Adam dan Hawa, Nabi Ibrahim, Musa, Sulaiman,Yahya dan Isa?"

Kemudian Mohamed menganggukkan kepala.Saya bertanya lagi, "anda percaya bahawa Nabi Isa itu adalah utusan Tuhan sebagai penyelamat?"...."Ya,saya percaya"..jawab Mohamed..

Ketika itu saya rasakan tugas untuk menarik Mohamed kepada Kristian menjadi semakin mudah kerana kepercayaannya sama seperti yang terdapat dalam Bible.Satu-satunya yang menarik tentang Mohamed adalah dia seorang pendengar yang baik, tidak membantah mahupun mencelah.Inilah peluang bagi saya untuk mempengaruhinya.

Tidak sia-sia ayah mencadangkan saya supaya berurusan dengan Mohamed kerana misi untuk menariknya sudah semakin hampir.Sejak hari itu saya sering membawa Mohamed bersama-sama ketika menjalankan urusan perniagaan juga peribadi.Kesempatan itu saya gunakan sepenuhnya untuk bercerita tentang Kristian dan kepercayaan masing-masing.

Suatu hari Mohamed mengambil keputusan untuk berpindah ke masjid buat sementara waktu kerana rumah sewanya sudah tamat tempoh.Saya anggap itu sebagai peluang keemasan untuk mengajak Mohamed tinggal di rumah ladang milik keluarga saya.Dengan cara itu lebih mudah untuk mempengaruhinya.

WAD JANTUNG ATAU WAD MENTAL

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan termasuk perniagaan, namun saya masih perlu meluangkan sedikit masa untuk menziarahi kawan-kawan paderi dan mubaligh yang lain di sekitar Texas.Salah seorang yang tinggal di sempadan Texas Mexico, mubaligh itu memang terkenal dengan kerja gilanya memikul iaitu memikul palang salib yang diperbuat daripada kayu.Salib itu cukup besar, malah lebih besar dari sebuah kereta, dia akan memikulnya hingga ke jalan utama dan memacakkannya di pinggir jalan.Setiap kereta yang lalu akan berhenti untuk bertanyakan masalahnya.Ketika itulah dia akan menghulurkan risalah tentang Kristian.

Suatu hari kawan saya itu diserang sakit jantung dan terpaksa berehat di hospital untuk jangka masa yang panjang.Sepanjang tempoh itu saya selalu menziarahinya dan sudah tentu Mohamed akan ada bersama dengan harapan boleh berkongsi hal-hal agama dengannya.Ternyata kawan saya itu tidak berapa suka berbincang tentang Islam dengan Mohamed.

Perbualan kami tentang agama Islam mati begitu sahaja.Kemudian saya terpandang teman sebilik kawan saya itu yang kelihatan sedih dan keseorangan.Saya cuba mendekatinya dan bertanya khabar.Namun apabila saya bertanyakan tempat asalnya, lelaki itu yang lebih senang dipanggil Peter menjawab dari planet Musytari.Saya mula terfikir ini wad sakit jantung atau mental?

Tapi tidak mengapa, mungkin lelaki itu kesunyian dan tertekan dengan keadaannya.Saya mula bercerita tentang kisah-kisah dalam Bible untuk menghiburkannya.Ternyata Peter amat mendengar dan tidak membantah walau sepatah perkataan.Apabila selesai bercerita dia memohon maaf kerana bersikap biadap.

Tiba-tiba lelaki itu ingin membuat satu pengakuan kepada saya.Tapi saya menolaknya kerana saya bukan paderi Katolik yang boleh menerima pengakuan penganutnya.Dia kemudian membalas, "Saya tahu.Sebenarnya saya adalah paderi katolik."

Malunya...Saya cuba mengkristiankan paderi yang telah 12 tahun menjalankan kerja-kerja mubaligh.Apa sebenarnya semua ini, saya macam tak percaya.

Kerana perasaan kasihan saya menjemputnya untuk tinggal bersama keluarga saya di rumah ladang.Jadi, sekarang saya sudah ada kekuatan baru untuk mempengaruhi Mohamed.Sewaktu di dalam perjalanan pulang ke rumah saya sempat berbincang dengan Peter tentang beberapa kepercayaan di dalam Islam.Alangkah terkejutnya saya apabila paderi itu pun mempunyai pendapat yang sama dan mengakui bahawa paderi katolik juga mempelajari tentang Islam.Malah katanya ada diantara paderi katolik mempunyai ijazah kedoktoran di dalam pengajian Islam.Bagi saya ia sesuatu yang menarik.

Sejak Peter datang, kami banyak habiskan masa berbincang tentang agama.Hampir setiap malam kami duduk di meja makan berbincang tentang Bible.Peter membawa Bible miliknya dan 7 lagi kitab lain termasuk Bible Protestant.Ayah saya pula dengan Bible versi King James, saya dengan Bible versi yang telah disemak semula, isteri saya dengan Bible yang lebih moden untuk orang muda.Hampir berjam-jam kami habiskan masa berbincang untuk memilih Bible mana yang lebih tepat dan terbaik.

Kami menemui jalan buntu untuk mencari Bible yang terbaik.Kemudian saya bertanya kepada Mohamed tentang al-Quran, "ada berapa versi"...dia menjawab.."hanya satu versi al-Quran di dunia ini.Ia tidak pernah berubah sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad.Ada beribu orang di dunia ini boleh membaca dan menghafalnya dari kulit ke kulit tanpa kesalahan walaupun satu huruf.Al-Quran yang ada pada hari ini tetap sama seperti yang diwujudkan kepada nabi."

Mustahil ! Al-Quran yang sudah berusia beribu tahun usianya masih kekal isinya seperti asal.Sedangkan Bible yang diturunkan lebih awal pun telah mengalami pelbagai perubahan.Bahasanya pun telah diubah dari bahasa asal ia diturunkan. Begitu juga dengan kandungannya yang telah banyak dilakukan pindaan.Untuk mencari kitab Bible yang asal adalah satu perkara yang tidak masuk akal.Mana mungkin saya boleh menghafalnya dari kulit ke kulit sedangkan kitab asal pun sudah tidak wujud lagi.

PETER MASUK ISLAM

Selepas peristiwa itu, Peter telah meminta Mohamed menemaninya ke masjid untuk melihat apa yang dilakukan oleh orang Islam di situ.Saya tidak sabar menantikan reaksi dari Peter tentang lawatannya ke masjid.

"Muslim tidak lakukan apa-apa di situ, mereka hanya masuk sembahyang dan terus bersurai," beritahu Peter..."bersurai?Tanpa ada ucapan dan menyanyi" saya menyoal Peter.dan Peter hanya menganggukkan kepalanya.

Beberapa hari kemudian Peter meminta Mohamed membawanya sekali lagi ke masjid.Kali ini mereka pergi lebih lama hingga malam baru kembali.

Hati saya diserang kebimbangan, jika ada sesuatu yang tidak diingini terjadi.Tiab-tiba pintu diketuk, Mohamed dengan seorang tua memakai songkok putih seperti sering dipakai pleh orang muslim ada bersamanya.Lelaki itu tersenyum.

"Peter! Awak dah masuk Islam?"soal saya.Peter tersenyum dan mengaku tertarik dengan Islam sudah sekian lama.Dia mendapat kekuatan untuk menjadi muslim ketika di masjid.

Apa semua ini.Paderi katolik turut terpedaya dengan Islam.Selepas ini apa pula...

Pening memikirkan semua ini.Saya terus masuk bilik tidur untuk berbincang dengan isteri.Jawapan isteri pun mengejutkan saya, dia mengaku semakin tertarik dengan Islam.Malam itu juga saya kejutkan Mohamed dan mengajaknya mengambil angin di sekitar bandar Texas sambil berbincang.Hinggalah masuk waktu subuh Mohamed meminta izin untuk menunaikan solat.

Saya masih mencari sesuatu petanda untuk berubah.Ketika langit sudah semakin cerah, saya mengambil angin di kawasan belakang rumah, di situ ada sekeping papan lapis yang rebah ke rumput.Saya mula berfikir unuk cuba sujud dengan mencecahkan dahi ke papan itu dan menghadap ke arah seluruh umat Islam solat.Ketika itu saya mula bersuara.

"Oh tuhan .Berilah aku petunjuk."dan ketika saya mengangkat kepala saya mula mendapatkan rasa sesuatu yang berubah di dalam diri ini.Inilah masanya untuk saya berubah.Saya terus meluru masuk ke dalam rumah, mandi dan membersihkan seluruh badan.Saya mahu dosa pergi bersama air yang mengalir.

Kira-kira pukul 11 pagi di hadapan Mohamed dan paderi Peter Jacob(telah masuk Islam)saya mengucap syahadat.Beberapa minit kemudian isteri saya melakukan perkara yang sama.Beberapa bulan kemudian ayah mengikut jejak saya menerima Islam.Kemudian anak-anak pun mengikut jejak kami mengakui kebenaran Islam.Emak tiri saya adalah orang yang terakhir menyedari akan kebenaran Islam.Akhirnya seluruh ahli keluarga saya menerima Islam sebagai agama yang benar.

Indahnya hidup ini dengan kepercayaan yang satu.Selepas 10 tahun jadi muslim, saya berjaya membuktikan apa yang dikatakan oleh Mohamed tentang kebolehan orang Islam menghafal keseluruhan al-Quran.Buktinya saya sudah menghafal al-Quran dari kulit ke kulit dan mampu mengajarkan kepada yang lain.Kini hidup saya hanya untuk Islam...

Menarik sungguh artikel ini.Diharapkan dengan perkongsian artikel ini dapat memberikan kekuatan buat bakal saudara baru di luar sana memilih Islam sebagai jalan hidup.Buat pihak majalah AL ISLAM, syabas ain ucapkan dengan usaha anda memberi informasi terkini bagi umat Islam keseluruhannya.

Friday, October 22, 2010

Persahabatan

Assalamualaikum, ain ucapkan buat sahabat semua yang sudi membaca blog ain ini.Moga sahabat ain semua dalam keadaan sihat hendaknya dan dirahmati Allah selalu...amin..

Apa itu sahabat?Apakah yang dimaksudkan dengan persahabatan?Adakah persahabatan itu penting dalam kehidupan ini?Apakah nilai dan erti sebuah persahabatan??

Persahabatan penting dalam menjalinkan hubungan sesama kita dan semestinya Islam menggalakkan kita saling merapatkan persaudaraan.

Sahabat boleh dibahagikan dalam beberapa kumpulan:
  • sahabat biasa
  • sahabat karib
  • sahabat sejati
  • sahabat dunia akhirat

SAHABAT BIASA

~bila kita disoal sama ada kita mempunyai ramai kenalan, pasti jawapannya tidak mengecewakan.Kita semua di sini mempunyai ramai kenalan sama ada di pejabat, kawasan jiran tetangga, rakan kolej, dan yang terkini....Facebook, Twitter, Messenger.....

~tidak salah mempunyai ramai kenalan atau sahabat kerana melaluinya kita boleh saling bertukar pendapat dan pandangan mengenai sesuatu perkara yang bermain di fikiran.

~tiada salahnya mempunyai ramai kenalan asalkan kita tahu batas dan tertib sepanjang persahabatan agar tidak terpesong dan akhirnya mengundang padah pada diri sendiri dan sahabat kita itu....

~namun bukan semua sahabat biasa yang boleh dijadikan sahabat karib..........

SAHABAT KARIB

~sahabat karib adalah sahabat yang kita boleh harapkan di masa senang atau susah, sahabat yang kita boleh harapkan di masa sihat mahupun sakit, sahabat yang kita boleh harapkan di masa suka atau duka...

~sahabat karib adalah seseorang yang sudi menjadi pendengar yang setia walaupun tidak dapat membantu.Cukuplah sekadar mendengar kerana adakala hati kita akan menjadi tenang setelah meluahkan segalanya.Namun harus diingat, janganlah kita meluahkan sesuatu yang boleh mengaibkan diri sendiri ataupun orang lain...(ingatan buat diri sendiri juga)

SAHABAT SEJATI

~sahabat sejati bagi ain boleh dikategorikan bagi mereka yang telah hidup berpasangan sebagai suami isteri.Sama ada kita bergelar suami/isteri...kitalah sahabat sejati suami/isteri masing-masing.

~apabila hati diulit kesedihan, kepayahan, jiwa rasa tertekan sudah pasti kita akan berbalik pada pasangan masing-masing.

~kerana itulah Allah jadikan manusia hidup secara berpasang-pasangan agar dapat memenuhi kehendak masing-masing.

~indahnya hidup berpasangan adalah kerana segala masalah, segala suka duka dapat dikongsikan bersama walaupun pahit harus ditelan.

~walaupun bergelar suami/isteri...kita masih lagi perlu menjadi sahabat sejati kepada pasangan masing-masing.

SAHABAT DUNIA AKHIRAT

~hanya satu dalam berjuta.....

~Allah yang satu......kita dihidupkan kerana Allah..dan akhirnya kita kembali jua padaNya...

~bila diri kita dihimpit kegelisahan, kepayahan, kesakitan, kekecewaan, kekeliruan, pasti tempat kita meratap hati yang sayu ini hanya pada Allah Yang Esa.

~Dialah pendengar setia..memahami rintihan hati umatNya yang dalam kepayahan.

~Dialah cinta abadi yang kekal selamanya...

~Dialah sahabat sejati yang kekal abadi...

~dan Dia takkan berpaling meninggalkan umatNya dalam kesusahan...

Kefahaman mengenai persahabatan teramatlah luas dan banyak yang boleh kita huraikan disini.Apapun kita perlulah hargai persahabatan yang telah terjalin dan berusaha memperbaiki hubungan setiap masa.

Janganlah bila sahabat itu telah jauh meninggalkan kita baru timbul perasaan sesal dalam jiwa ini.Ain katakan ini semua melalui pengalaman, dan pengalaman ini juga ain jadikan peringatan dalam meneruskan kehidupan ini.

Hargailah sahabat kita seadanya dan sayangilah mereka seikhlas hati.Nilai sebuah persahabatan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Jika sahabat lama ain ada mengikuti blog ini, ain harapkan suatu masa nanti persahabatan kita yang terputus akan bercantum kembali....insyaAllah dengan izinNya.....amin..

Saturday, October 16, 2010

Umur..Dunia..Akhirat...

Subhanallah..Maha Suci Allah...Tuhan sekalian alam...

Alhamdulillah, dengan izinNya, ain masih diberikan umur, nafas, kesihatan yang baik sehingga saat ini.Pada tarikh 16 Oktober 2010, genaplah usia ain mencecah 26tahun.Begitu cepat masa berlalu dan begitu cepat masa bersilih ganti.Bertuah rasanya diri ini dengan nikmat yang diberi oleh Allah Yang Maha Kuasa.

Pernahkah kita menyoal diri sendiri untuk apakah kita diciptakan di dunia ini?Pernahkah kita menyoal diri sendiri untuk apakah kita diberikan kenikmatan dunia?Pernahkah kita menyoal diri sendiri untuk apakah kita diberikan kelebihan yang tiada pada orang lain?Dan pernahkah kita menyoal diri sendiri sama ada amal kita di dunia ini sudah cukup sebagai bekalan ke akhirat..???


Kehidupan ini sebenarnya cukup indah untuk dinikmati, sekiranya kita sebagai manusia yang diberikan akal fikiran tahu menggunakannya sebaik mungkin.Sememangnya kehidupan ini hanyalah sementara dan pinjaman dari Yang Maha Esa.Kita sememangnya insan bertuah kerana diberikan peluang menikmati ciptaanNya dan sepatutnya kita syukuri atas segala kurniaan dari Sang Pencipta.


Namun begitu, tidak kurang juga segelintir daripada kita yang sering merungut dan mengeluh serta menyalahkan takdir atas segala kesedihan, kepayahan hidup yang dirasakan bagi mereka tidak adil sama sekali.Golongan sebegini sering menyalahkan takdir, cepat berputus asa, dan tiada keyakinan terhadap Allah s.w.t.Malah tidak kurang juga ada yang mempersoalkan kewujudanNya!!!



Ada diantara kita terlalu bangga dengan kemewahan dan kelebihan diri yang tiada atau tidak dapat ditandingi oleh orang lain.Bagi mereka kemewahan adalah segala-galanya dan tanpa kemewahan, kehidupan ini bagaikan kosong dan hanya mereka yang berpangkat, berkedudukan akan dipandang tinggi oleh masyarakat.


Kita sering mendengar 'Dunia ini adalah jambatan ke akhirat'....dan sememangnya ini adalah benar sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan.Kita seharusnya menggunakan waktu yang tinggal menambahkan amalan sebagai bekalan kita ke akhirat kelak.Tak perlulah kita menunggu apabila usia sudah mencecah 'senja', barulah difikirkan tentang dosa, pahala, amal, solat dan sebagainya.


Entahkan esok, entahkan lusa, atau di saat ini...nyawa kita diambil dan diketika itu tiada gunanya sesalan, tangisan atau rayuan.Bersyukurlah kita semua kerana masih diberikan umur, masih diberikan nyawa dan dibenarkan bernafas di dunia ini.Bersyukurlah kita atas segala nikmat dunia yang diberikan dan janganlah merungut dan membandingkan kekurangan diri sendiri dengan orang lain.Jadilah hambaNya yang sering bersyukur.


Masih belum terlambat buat kita semua untuk bertaubat padanya dan berubah ke arah kebaikkan.Janganlah difikirkan sama ada taubat kita diterima Allah atau tidak, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Penyayang serta Maha Pengampun.Kita sebagai umatNya terus beramal dan berdoa moga dosa kita diampunkan olehNya.Tidak kiralah betapa besarnya dosa kita sebelum ini, kita harus yakin dan percaya pada Allah yang satu, yakni tiada yang lain selain Allah.


Maka, hargailah umur yang ada dan gunakanlah waktu yang tinggal sebaik mungkin untuk memperbaiki amal dan perbanyakkan berdoa serta berzikir padaNya.Seperkara yang perlu kita ingat, dunia ini adalah pinjaman sementara dan tiada yang abadi.

Daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda;


"Ya Allah, tiadalah kehidupan yang sebenar kecuali kehidupan akhirat"



Allah s.w.t. berfirman dalam surah Muhammad, ayat 17:

Maksudnya: "Dan orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya..."

(petikan dari buku bacaan -'Peringatan Buat Umur Insan'-Telaga Biru)

Buat sahabat ain sekalian, apa yang ain tulis dalam blog ini adalah daripada pandangan ain sendiri serta melalui bahan bacaan ain dapat selama ini.Sekiranya ada perkataan atau kata-kata yang tidak bersesuaian, ain mohon maaf dan berharap mendapat maklumbalas dari sahabat semua.Ain bukanlah dari golongan berpendidikan agama yang tinggi dan bukanlah ditauliahkan sebagai ustazah.Namun adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ain ingin berkongsi maklumat/pandangan melalui blog ini serta bertukar pendapat dengan sahabat semua.

InsyaAllah dengan persahabatan yang terjalin akan menguatkan hubungan kita sesama Islam..amin..



Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah s.a.w. bersabda:



Maksudnya: "Mohonlah kepada Allah ilmu yang bermanfaat, dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat."


Salam sayang daripada ain buat sahabat ain semua.Moga kita semua sentiasa mengingati Allah dan mencintaiNya lebih daripada diri sendiri.Sesungguhnya ain bersyukur kerana masih diberikan umur sehingga saat ini.Alhamdulillah..amin....

Friday, October 8, 2010

jejaka pilihan.....

Masa berlalu begitu pantas.Tanpa ain sedari hari yang dinanti makin tiba.Tanggal 20 May 2006 ain selamat diijab kabul dengan jejaka pilihan dan juga insan yang telah banyak membantu dalam perjalanan ain memeluk Islam.

Namanya Rohaizal bin Hj Hazali.Dia adalah insan yang amat penyayang dan amat memahami diri ain lebih daripada orang lain. Seorang yang penyabar, berbudi bahasa, hormat pada orang yang lebih tua serta tidak banyak karenah.

Sepanjang perkenalan, ain berasa amat senang ketika bersama. Malah keluarganya juga tidak banyak karenah serta bersikap terbuka.Mereka tidak terlalu memaksa atau 'extreme' .Malah beri ain peluang dan masa untuk berubah dari segi pakaian dan penampilan.Bagi ain pula hal itu bukannya satu masalah besar jika ia adalah lahir dari kesedaran diri sendiri.

Perkara yang paling menggembirakan hati ain adalah apabila melihat kedua-dua ibu bapa ain dan keluarga mertua begitu saling memahami serta saling beramah mesra seperti telah lama berkenalan.

Sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, ain berpegang pada satu prinsip. Biarlah jejaka ain pilih sebagai pasangan hidup bukan sahaja dapat membahagiakan ain, malah dia juga perlu tahu bagaimana untuk mengambil hati kedua-dua ibu bapa ain serta sentiasa mengambil berat tentang mereka seperti ibu bapa sendiri.

Alhamdulillah, kini 4 tahun telah berlalu. Dan segalanya masih seperti dahulu. Jejaka yang kini menjadi suami ain tidak pernah berubah. Malah, hari demi hari rasa sayang ain pada suami semakin bertambah. Walaupun ain pernah melakukan kesilapan, suami ain tidak cepat melatah.

Pernah satu ketika ain melakukan kesalahan yang amat berat terhadap suami ain sendiri. Dengan izin Allah, ain diberikan petunjuk ke jalan yang benar, jalan yang diredhai. Jalan yang jauh dari lembah dosa. Dan dengan izinNYA juga suami ain masih seperti dahulu, seorang yang pemaaf dan berhati mulia.

Sesungguhnya ain sememangnya insan bertuah kerana memiliki ibu bapa, adik, keluarga mentua serta suami yang amat penyayang. Maha Suci Allah....Ain syukuri setiap nikmat yang diberi dan ain hargai setiap detik yang Allah berikan pada ain dalam kehidupan ini....Thank You Allah...

Buat suami tercinta...ain hargai setiap pengorbanan sayang selama ini...

I LOVE U SAYANG

Sunday, September 26, 2010

Keluarga & bertudung....

Setelah tamat pengajian, ain pulang semula ke pangkuan keluarga dan tinggal bersama mereka seperti biasa. Yang membezakan adalah cara hidup ain, makan minum tidak seperti dulu. Syukur alhamdulillah kedua-dua ibu bapa ain amat memahami dan tidak banyak karenah.Segala keperluan ain disediakan secukupnya. Malah tempat untuk bersolat juga disediakan.

Dari segi makan minum, alatan memasak semuanya ditukar bagi memudahkan dan memberikan ain keselesaan dalam kehidupan seharian. Ain sedikit pun tidak rasa kekok, malah gembira sangat kerana walaupun kami berlainan agama tetapi kami menghormati agama masing-masing.

Kehidupan seharian ain sebagai seorang muslimah dipermudahkan dan keluarga amat memahami dan menghormati pendirian ain. Malah keputusan ain untuk bertudung juga dipermudahkan, namun bukanlah bertudung sepenuhnya. Ain akui walaupun ibu bapa tidak menghalang ain untuk bertudung, tapi ain hormati permintaan mereka agar tidak berubah secara mendadak.

Ain hanya bertudung apabila ain ingin pergi bekerja sahaja. Apabila keluar bersama keluarga ain tidak bertudung kerana ain sedar keluarga ain belum benar-benar bersedia dengan perubahan ini. Bagi ain biarlah mereka rasa selesa dahulu dengan perubahan ain secara perlahan-lahan kerana mereka telah banyak berkorban demi keinginan ain.

Jiran-jiran sekeliling pula pada mulanya memandang sinis keluarga ain yang mempunyai anak yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Kasihan juga ain pada kedua-dua ibu bapa yang bersabar dengan setiap tohmahan tetapi dihadapan ain mereka cuba berselindung dengan perasaan sendiri. Ain tahu jauh di sudut hati mereka, pasti ada rasa terkilan dan kesedihan yang teramat. Adakala ibu bapa ain akan luahkan perasaan hiba mereka dengan keputusan ain. Sebagai anak, ain hanya mendengar luahan hati mereka.

Berbalik perihal berrtudung. Seperti ain maklumkan tadi, ain hanya berrtudung jika ingin pergi bekerja sahaja. Tetapi kali pertama ain mula bertudung adalah sewaktu di kolej lagi iaitu pada semester 3 pengajian.

Di suatu ketika ain datang ke tempat kerja bukanlah untuk bertugas, sekadar hadirkan diri untuk sesi ceramah yang diberikan oleh pihak hospital. Ain tidak mengenakan tudung ketika itu dan inilah ain dapat...
'hei!...ko nape tak pakai tudung??'....

Aduhai, sedih rasa hati ni. Kenapa ain tidak bertudung dipersoalkan? Kenapa yang telah dilahirkan sebagai seorang muslimah sejak kecil tidak bertudung sepenuhnya tidak dipersoalkan? Kenapa ain sahaja dipertikaikan? Malah pengislaman ain juga dipertikaikan dan ada mulut-mulut yang berkata ain pilih Islam kerana bercinta dengan lelaki melayu!

Pelik betul orang Islam ni...senang je mengutuk orang tapi tidak sedar dengan diri sendiri. Apa daya ain, sekadar diam dan berserah sahaja pada Yang Esa. Jauh di sudut hati, ain ingin bertudung dan menutup aurat sepenuhnya. Namun ain sedar, ain perlu bersabar dan menunggu saat itu tiba.

Amat pelik sekali, kenapa ain yang pada ketika itu yang masih baru tentang Islam dipersoalkan tentang cara berpakaian, sedangkan mereka yang sememangnya Islam sejak lahir tidak pula dipersoalkan. Malah ada yang datang dari rumah berrtudung, tapi sewaktu bertugas, tudung entah ke mana...dan kenapa tak disoal pulak??!! Apa bezanya ain dengan mereka?? Adakah kerana ain mualaf, ain patut buat segalanya dengan sempurna?? Tak boleh silap sedikitpun??

Apapun mereka hanya tahu bercakap tapi tidak faham keadaan ain ketika itu sebenarnya. Hanya kata-kata mengguris hati dan bukannya pertolongan ain dapat. Hampir sama je ketika ain masih berrgelar pelajar suatu ketika dulu. Cakap-cakap kosong je, bantunya tidak.

Jauh disudut hati, niat ain untuk bertudung sepenuhnya dan menutup aurat tak pernah ain lupa. Ain akan pastikan ain menutup aurat mengikut kehendak Islam. Lagipun ia adalah perkara wajib dan bukannya harus. Berrtudung bukan setakat memakai sehelai kain menutup kepala, tapi lebih dari itu.

Sunday, September 19, 2010

Hari- hari di kolej.....

Setelah ain pulang semula ke kolej, hari-hari yang ain lalui di kolej bagaikan suatu bebanan. Entah kenapa..macam-macam ain dengar. Biasalah kata-kata daripada rakan-rakan sekeliling. Adakala menyakitkan hati ain dari segi mental dan fizikal.

Ain mengaku ain berkawan rapat dengan seorang lelaki muslim yang membantu ain dalam 'penghijrahan'. Waktu itu dia dan keluargalah yang banyak beri dorongan dan sokongan moral pada ain dalam meneruskan kehidupan ain sebagai seorang muslimah. Malah,keluarga ain juga berhubung rapat dengan mereka serta telah beri kepercayaan kepada keluarganya untuk menjaga ain
.

Namun tekanan yang paling kuat ain terima bukanlah daripada rakan-rakan, tapi pihak kolej. Ikutkan hati, ain memang dah putus asa, tawar hati untuk meneruskan pelajaran di kolej. Ain rasa diri ni amat rendah pada pandangan pihak pengurusan kolej, terutamanya pengetua. Sejak ain mula sambung belajar semula hinggalah ain tamat pelajaran, amat sukar untuk ain lihat wajah pengetua senyum bila melihat ain.


Malah, semasa sesi pembelajaran dalam kelas juga yang di bawah kelolaan pengetua pun ain selalu rasa risau, cemas..Setiap kali ada sesi pembentangan kertas kerja pasti ada saja yang tidak kena
. Ain tak kisah jika ain seorang dimarahi, dicaci. Tapi ain rasa bersalah bila kertas kerja melibatkan secara berkumpulan. Pasti rakan-rakan sekumpulan dengan ain terkena tempiasnya.


Akibatnya, ain selalu asingkan diri daripada rakan-rakan sekelas, ain selalu bersendiri jika boleh. Rasa bersalah, malu, rendah diri dengan tekanan diberi membuatkan ain semakin terus berputus asa untuk terus belajar. Pelajaran ain makin merosot. Jika dahulu ain bolehlah dikatakan 'top 5 student' , ain jadi antara pelajar tercorot dalam kelas!


Mana tidaknya, hingga kini ain masih ingat satu 'incident' sewaktu sesi pembelajaran dalam kelas. Seorang rakan ain ni mulanya agak rapat dengan ain. Dialah tempat ain belajar mengaji dan agama. Entah kenapa suatu hari tu, pengetua ni terus keluarkan kata-kata ni....'kalau nak jadi ustazah, takpayah belajar lagi.Berhenti belajar, balik kampung jadi ustazah. Kalau datang sini nak main-main, baik tak payah!'..........

Aduh!!Sakit telinga dan hati ain mendengarnya.Air mata ain mengalir tanpa henti.Rasa diri ni begitu hina dan kotor pada pandangannya.Rakan-rakan yang bersimpati akan datang cuba menenangkan perasaan ni.Sejak kejadian itu, ain mula menjauhkan diri dari rakan-rakan.Ain taknak kerana ain, rakan-rakan berada dalam masalah.Sejak itu juga ain mula tak belajar mengaji seperti dulu.Bila rakan ain ajak pun, ada saja alasan ain beri.

Pada semester akhir sebagai jururawat pelatih, makin banyak tekanan diberi membuatkan ain makin bertambah rasa benci pada pengetua dan makin hilang semangat untuk belajar.Pada ketika itu ada seorang tenaga pengajar ni yang begitu prihatin dengan diri ain, namanya Puan Mariah. Beliau banyak membantu dan memberi dorongan serta kata-kata semangat agar ain meneruskan pelajaran.Beliau tidak berhenti-henti beri sokongan walaupun ketika itu ain memang berdegil dan hilang semangat untuk belajar.

Akhirnya selesai juga semester akhir ain sebagai jururawat pelatih.Pada 30 Julai 2005, ain tamat kursus dan kini bergelar Jururawat Terlatih..Alhamdulillah..

Buat insan yang bernama Puan Mariah yang kini telah ke rahmatullah...ain sedekahkan al-Fatihah...moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan disisi orang-orang soleh solehah..amin...

Thursday, September 16, 2010

Pengetua..oh Pengetua...

Tarikh 9.3.2003 takkan ain lupakan dalam sejarah hidup ain.Selama seminggu ain merahsiakan hal ini daripada pengetahuan rakan-rakan kolej, mahupun kaum keluarga.Namun ain memang bercadang untuk umumkan perkara ini sendiri daripada ada pihak lain yang cuba campur tangan.Sebolehnya perkara baik begini tak perlu dirahsiakan terlalu lama.

Seminggu selepas itu, ain telah pergi ke JAIM ditemani oleh sahabat ain sebelum ini. Di sana, ain berjumpa dengan 2 orang ustaz yang menguruskan perihal mualaf baru. Di sana ain diminta untuk mengucap 2 kalimah syahadah sekali lagi serta diminta memberi satu nama Islam sebagai pengenalan baru. Setelah selesai urusan pengambilan data, ain pun pulang ke kolej seperti biasa. Waktu itu ain menjalani praktikal pada sebelah petang. Pada hari yang sama ain dapat kekuatan untuk memaklumkan pada beberapa rakan kolej yang rapat dengan ain.

Ain juga ingin maklumkan sendiri perkara ini pada pihak kolej dan kedua orang ibu bapa ain. Namun selang beberapa hari selepas itu, adalah hamba Allah ini yang sampaikan perkara ini pada pengetua kolej ain. Masa tu ain dapat arahan untuk berjumpa dengan pihak pengetua..katanya hal penting.Dalam hati ni dah rasakan ada perkara tak elok akan berlaku.

Ain masih ingat lagi, sewaktu ain menjejakkan kaki ke bilik pengetua, jantung berdegup kencang, wajah bengis pengetua sememangnya menggerunkan. Ain disoal bagaikan penjenayah besar!.Entah macamana pengetua ni dapat tahu, dan bukan dari mulut ain sendiri.Lebih menyedihkan, pengetua membuat panggilan telefon meminta kedua-dua ibu bapa ain datang ke kolej berhubung perihal ain.Masa tu, hati ni rasa hancur yang teramat! Dunia bagai gelap seketika.

Dalam benak kepala ni masih jelas kelihatan wajah ibu bapa ain ketika itu dalam keadaan sedih, marah, terperanjat.Rasa berdosa sangat, kerana telah kecewakan mereka.Rasa marah dengan diri ni, memalukan mereka. Rasa marah pun ada juga kerana pengetua campur tangan hal peribadi ain dan tidak benarkan ain pertahankan diri sendiri.Dan yang paling memeritkan hati ini ialah bila pengetua meminta ain 'packing' barang-barang dan pulang ke rumah,dilarang untuk sambung belajar!

Walaupun ibu bapa ain masih dalam keadaan sedih, marah, tapi mereka tetap mengambil berat tentang diri ain terutamanya pengajian ain yang dihentikan.Mereka berusaha hubungi pihak JAIM meminta bantuan bagaimana hendak uruskan masalah pengajian ain.Ain rasa sungguh terharu dan alhamdulillah berkat doa ibu bapa tersayang, ain dibenarkan semula untuk pulang ke asrama dan menyambung pengajian.

Alhamdulillah, ain rasa bersyukur sangat kerana segalanya dipermudahkan
...

Monday, September 13, 2010

9 MAC 2003

Pada satu hari aku berkenalan dengan seorang sahabat Muslim ini. Kami mula berkawan rapat dan kami banyak juga berkongsi cerita mengenai Islam. Entah kenapa tiba-tiba terdetik hati ini meminta pertolongan sahabatku ini mengenai hasratku memeluk Islam.

Aku menyatakan hasratku untuk bertemu dengan seorang ustazah yang ku kenali di kolej tempat aku belajar.Namanya Ustazah Nora, beliau seorang yang amat lembut dan peramah. Kami telah bertemu beberapa hari sebelum aku membuat keputusan memeluk Islam. Beliau menasihati aku agar berfikir dengan matang dan tidak membuat keputusan terburu-buru.

Pada 9 Mac 2003, dengan bantuan sahabat karibku ini, kami pergi berjumpa dengan Ustazah Nora di kediamannya. Aku menyatakan hasratku pada Ustazah Nora tentang keinginanku memeluk Islam. Dengan izin Allah s.w.t. akhirnya aku selamat mengucapkan 2 kalimah syahadah dan di ketika aku selesai, azan Magrib sayup kedengaran di kediaman Ustazah itu.

Sewaktu aku mengucap 2 kalimah syahadah, aku dapat merasakan kepalaku ini teramat berat dan secara tiba-tiba sesuatu menarik kepalaku ke atas! Setelah itu barulah aku rasakan diri ini teramatlah ringan, hatiku terasa teramat lapang! Subhanallah!!...Terasa diri amat kerdil ketika itu.Air mataku dan ustazah berlinangan sambil diiringi dengan azan Magrib yang sayup kedengaran.

Tuesday, July 27, 2010

Kenangan 4

Setelah tamat pelajaranku di sekolah menengah, aku meneruskan cita-citaku sebagai seorang jururawat pelatih di salah sebuah kolej swasta.

Pada 1 July 2002, bermulalah perjalanan hidupku sebagai seorang jururawat pelatih.Aku ditempatkan di sebuah asrama yang tidak jauh dari kolej.Di sana aku mula bergaul dengan pelajar-pelajar muslimah yang kebanyakkannya adalah dari pantai timur.

Perkara yang teramat asing sekali,mana tidaknya.Itulah kali pertama aku duduk berjauhan
daripada keluarga sendiri.Kini aku perlu menghabiskan
pengajianku selama 3tahun di sini.Satu tempoh masa yang kurasakan terlalu panjang sedangkan pada masa yang sama aku ingin bergelar jururawat terlatih.

Namun lama-kelamaan aku dapat membiasakan diri kerana rakan-rakanku ini semuanya peramah belaka.Mungkin kerana kefasihanku berbahasa melayu membuatkan aku mudah bergaul dengan mereka.

Sesuatu menarik perhatianku adalah rakan-rakanku ini sering melakukan solat serta mengaji terutamanya selepas solat magrib.Pasti akan kudengar rakan-rakanku ini mengaji.Alunan suara yang lembut menyentuh hatiku walaupun aku tidak memahami apa-apa saat itu.

Namun,terdetik dihati ini pelbagai persoalan...aku tertanya-tanya.."kenapa agamaku tidak menitikberatkan hal agama?".."kenapa tiada peradaban dalam agamaku?"......

Saturday, July 24, 2010

Kenangan 3

Semua pasti pernah merasai atau melalui pengalaman 'cinta monyet' atau lebih dikenali 'puppy love'...semua ini berlaku sewaktu aku berada di sekolah menengah...

Biarlah ku gelarkannya B dalam hidupku.Walaupun kehadirannya hanyalah sementara namun ia tercatit dalam sejarah hidupku..

Sejak mula mengenali B,aku tertanya-tanya "aku ni betul ke tak...melayu..susah!!"...Baru berusia 15 tahun..mana leh caya cintan cintan ni..hehehe...itulah yang bermain di fikiran...

Apapun sejak mula mengenali B,aku teringat semula tentang keinginanku untuk memeluk Islam...Aku mula membaca
semula sejarah Islam serba sedikit...Namun keraguan tetap ada dalam hati ini.."Adakah aku memikirkan perkara yang benar bagiku?"...tiada jawapan dapat kufikirkan ketika itu..

Aku juga berkata dan mengingatkan diriku..sekiranya aku memilih Islam sebagai jalan hidupku..biarlah bukan kerana lelaki...Bagiku Islam itu indah....

Kenangan ku mengenali B membuka hatiku memikirkan keinginanku setelah meningkat dewasa nanti....

Buat B..sekiranya terbaca
blogku ini...Terima kasih ku ucapkan..kehadiran B turut mencatat sejarah dalam hidupku walau hanya seketika
...

Thursday, July 22, 2010

Kenangan 2

Sewaktu aku berada di sekolah menengah, ingatanku pada Islam makin kurang. Namun aku masih ingat lagi perasaanku yang mencari sesuatu..sesuatu yang hilang..


Aku masih lagi mencari peganganku yang sebenar.Aku bercampur dengan penganut Kristian,Hindu..Malah aku pernah ke gereja,kuil untuk mendekatkan diriku dengan agama yang berlainan..Namun tiada satu pun yang mendorongku untuk terus mempelajari atau memahami 2 agama tadi..


Akhirnya aku terus dengan pegangan agamaku pada waktu itu,Buddha.Aku cuba memahami agama itu sendiri dengan membaca buku-buku agama yang ada dirumah kedua orang tuaku.


Namun hati ini masih ragu-ragu.Aku terfikir dan terdetik dihati.."kenapa Islam ada kitab Quran,kalau Buddha apa pulak?"...namun semua itu hanya persoalan demi persoalan yang terbuku di hati..


Nak ku ajukan persoalan sebegini pada kedua ibubapaku,tak mungkin..


Setiap kali aku menyembah patung-patung berhala,aku tertanya-tanya.."mana mereka tahu wajah tuhan?"....namun masih belum kutemui jawapannya..


Dalam keluarga,akulah yang paling rajin sembahyang dan paling rajin ke tokong..Tiada paksaan atau ajaran dari ibu bapaku sendiri..Aku merelakan sendiri..

Wednesday, July 21, 2010

Kenangan 1

Namaku Nur.Aku dilahirkan dalam keluarga cina peranakan.Ibuku nyonya peranakan manakala ayahku cina hokkien..Aku mempunyai seorang adik perempuan,yang bezanya hanya 2tahun saja dariku.

Sewaktu dibangku sekolah rendah lagi aku menyedari kelainan dalam jiwaku ini.Sentiasa mencari sesuatu..sesuatu yang tak pasti..

Namun aku menyedari aku amat meminati sesuatu..aku berminat dalam Islam.Namun apalah yang aku tahu sewaktu usia ku mencecah 12tahun..Yang aku tahu wanita Islam perlu bertudung,cantik..

Rakan-rakan sekolah rendahku kebanyakkan adalah muslim.Adakala kami bergurau dengan mencadangkan antara satu sama lain nama yang bersesuaian dengan diri ini..
Aku juga sering membaca ruangan agama berkisar tentang kisah nabi yang dipaparkan dalam suratkhabar..

Pernah sekali aku nyatakan perasaanku pada rakan-rakan,"saya nak masuk Islam ,boleh?"....rakan-rakanku tergamam!!...Mana taknya,umur belum setahun jagung,belum kenal dunia,baru 12tahun..."merepeklah!!!..jangan main main"...itulah kata-kata mereka..Hingga kini aku masih ingat kata-kata tu...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR