Sunday, September 26, 2010

Keluarga & bertudung....

Setelah tamat pengajian, ain pulang semula ke pangkuan keluarga dan tinggal bersama mereka seperti biasa. Yang membezakan adalah cara hidup ain, makan minum tidak seperti dulu. Syukur alhamdulillah kedua-dua ibu bapa ain amat memahami dan tidak banyak karenah.Segala keperluan ain disediakan secukupnya. Malah tempat untuk bersolat juga disediakan.

Dari segi makan minum, alatan memasak semuanya ditukar bagi memudahkan dan memberikan ain keselesaan dalam kehidupan seharian. Ain sedikit pun tidak rasa kekok, malah gembira sangat kerana walaupun kami berlainan agama tetapi kami menghormati agama masing-masing.

Kehidupan seharian ain sebagai seorang muslimah dipermudahkan dan keluarga amat memahami dan menghormati pendirian ain. Malah keputusan ain untuk bertudung juga dipermudahkan, namun bukanlah bertudung sepenuhnya. Ain akui walaupun ibu bapa tidak menghalang ain untuk bertudung, tapi ain hormati permintaan mereka agar tidak berubah secara mendadak.

Ain hanya bertudung apabila ain ingin pergi bekerja sahaja. Apabila keluar bersama keluarga ain tidak bertudung kerana ain sedar keluarga ain belum benar-benar bersedia dengan perubahan ini. Bagi ain biarlah mereka rasa selesa dahulu dengan perubahan ain secara perlahan-lahan kerana mereka telah banyak berkorban demi keinginan ain.

Jiran-jiran sekeliling pula pada mulanya memandang sinis keluarga ain yang mempunyai anak yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Kasihan juga ain pada kedua-dua ibu bapa yang bersabar dengan setiap tohmahan tetapi dihadapan ain mereka cuba berselindung dengan perasaan sendiri. Ain tahu jauh di sudut hati mereka, pasti ada rasa terkilan dan kesedihan yang teramat. Adakala ibu bapa ain akan luahkan perasaan hiba mereka dengan keputusan ain. Sebagai anak, ain hanya mendengar luahan hati mereka.

Berbalik perihal berrtudung. Seperti ain maklumkan tadi, ain hanya berrtudung jika ingin pergi bekerja sahaja. Tetapi kali pertama ain mula bertudung adalah sewaktu di kolej lagi iaitu pada semester 3 pengajian.

Di suatu ketika ain datang ke tempat kerja bukanlah untuk bertugas, sekadar hadirkan diri untuk sesi ceramah yang diberikan oleh pihak hospital. Ain tidak mengenakan tudung ketika itu dan inilah ain dapat...
'hei!...ko nape tak pakai tudung??'....

Aduhai, sedih rasa hati ni. Kenapa ain tidak bertudung dipersoalkan? Kenapa yang telah dilahirkan sebagai seorang muslimah sejak kecil tidak bertudung sepenuhnya tidak dipersoalkan? Kenapa ain sahaja dipertikaikan? Malah pengislaman ain juga dipertikaikan dan ada mulut-mulut yang berkata ain pilih Islam kerana bercinta dengan lelaki melayu!

Pelik betul orang Islam ni...senang je mengutuk orang tapi tidak sedar dengan diri sendiri. Apa daya ain, sekadar diam dan berserah sahaja pada Yang Esa. Jauh di sudut hati, ain ingin bertudung dan menutup aurat sepenuhnya. Namun ain sedar, ain perlu bersabar dan menunggu saat itu tiba.

Amat pelik sekali, kenapa ain yang pada ketika itu yang masih baru tentang Islam dipersoalkan tentang cara berpakaian, sedangkan mereka yang sememangnya Islam sejak lahir tidak pula dipersoalkan. Malah ada yang datang dari rumah berrtudung, tapi sewaktu bertugas, tudung entah ke mana...dan kenapa tak disoal pulak??!! Apa bezanya ain dengan mereka?? Adakah kerana ain mualaf, ain patut buat segalanya dengan sempurna?? Tak boleh silap sedikitpun??

Apapun mereka hanya tahu bercakap tapi tidak faham keadaan ain ketika itu sebenarnya. Hanya kata-kata mengguris hati dan bukannya pertolongan ain dapat. Hampir sama je ketika ain masih berrgelar pelajar suatu ketika dulu. Cakap-cakap kosong je, bantunya tidak.

Jauh disudut hati, niat ain untuk bertudung sepenuhnya dan menutup aurat tak pernah ain lupa. Ain akan pastikan ain menutup aurat mengikut kehendak Islam. Lagipun ia adalah perkara wajib dan bukannya harus. Berrtudung bukan setakat memakai sehelai kain menutup kepala, tapi lebih dari itu.

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR