Wednesday, October 27, 2010

Dan Aku Islam....

Assalamualaikum sahabat semua..moga sahabat ain semua sentiasa sihat dan gembira selalu.Dua hari lepas ain terpandang sebuah majalah ni di 7-Eleven, iaitu sebuah majalah islam kontemporari, iaitu majalah Al Islam.Ain rasakan isi kandungannya menarik, maka terus ain dapatkan sebagai bahan bacaan tambahan dan koleksi peribadi.

Rasanya ada diantara sahabat ain juga meminati majalah ini.Namun kali ini, ingin ain kongsikan bersama sahabat semua satu kisah ain baca dalam majalah ini yang mungkin menarik perhatian kita semua.Di sini ain gunakan masa yang terluang untuk menyalin semula artikel ini buat tatapan kita semua.Maka, segala yang ain taipkan di sini adalah sama dengan apa yang tertulis dalam artikel majalah Al Islam.

.....Inilah kisah seorang paderi Kristian yang amat berpegang teguh pada ajaran itu.Baginya agama itu adalah yang terbaik di dunia.Sedari kecil dia sudah disemaikan benih kebencian terhadap agama lain terutamanya Islam.Sudah terukir di dalam fikiran dan hatinya bahawa Islam itu jahat dan berbahaya untuk didekati.Kalimat kebencian itu menyebabkannya memusuhi Islam hingga ke tulang hitam.Baginya orang Islam itu terlalu jijik, jahat dan tidak harus didekati.Namun apa yang terjadi apabila dia cuba membawa orang Islam untuk menganut Kristian...saksikan apa yang berlaku seterusnya.

Nama saya Yusuf Estes dari National Muslim Chaplain for American Muslims yang menaungi banyak persatuan Islam di seluruh Washington, Amerika Syarikat.Inilah kehidupan saya, selalu ke luar negara untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi ilmu yang saya ada tentang Islam.Yang menariknya, dialog dan diskusi itu diadakan diantara kumpulan-kumpulan lain yang menganut pelbagai kepercayaan.Matlamat utamanya adalah untuk memberikan gambaran yang betul tentang Islam.

Saya dilahirkan di dalam keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran Kristian.Keluarga dan nenek moyang saya adalah orang yang bertanggungjawab membina gereja dan sekolah di kawasan kejiranan itu.Ketika berrusia 12 tahun, saya sudah menunjukkan minat kepada aktiviti keagamaan.

Setelah remaja, keinginan untuk mendalami agama Kristian meluap-luap.Saya selalu mengunjungi gereja di kawasan-kawasan lain untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang agama itu.Semakin dikaji makin banyak yang saya tidak tahu.Saya kaji pula tentang agama lain seperti Hindu, Yahudi, Buddha, metafizik dan kepercayaan penduduk asli Amerika.Hanya satu yang saya tidak ambil serius iaitu Islam.Mengapa?Saya akan jawab kemudian.


MINAT MUZIK

Sebenarnya, minat saya terhadap pelbagai jenis muzik amat mendalam terutamanya lagu-lagu gospel dan irama klasik.Keluarga saya memang terkenal dengan latar belakang muzik terutamanya lagu-lagu gospel.Ia menjadi mudah bagi saya untuk menjawat jawatan sebagai paderi muzik di gereja dan saya mempunyai kumpulan sendiri.Kemudian saya mula mengajar muzik seawal 1960 dan menjelang 1963 saya sudah mempunyai studio sendiri di Laurel, Maryland iaitu Estes Music Studios.

Selama 30 tahun, saya dan ayah berkongsi membangunkan perniagaan dan melaksanakan banyak projek.Kami mempunyai syarikat yang mengendalikan program hiburan,persembahan dan muzik.Banyak kedai organ dan piano yang kami dirikan di Texas, Oklahoma dan Florida.Soal duit bukan satu masalah yang besar, malah setiap tahun berjuta-juta ringgit masuk ke akaun kami dari industri hiburan.

Namun kekayaan itu tidak pernah memberikan ketenangan kepada jiwa dan fikiran saya.Setiap hari saya mencari sesuatu tapi tidak tahu apa yang dicari.Sering kali fikiran ini memikirkan pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab.

Saya sering kali bertanya pada diri, "Kenapa Tuhan menciptakan saya? Apa yang Tuhan mahu saya lakukan? Siapa Tuhan? Mengapa kita mesti percaya pada konsep 'Original Sin'? Mengapa anak-anak Adam terpaksa menerima semua dosa itu dan dihukum selama-lamanya?"

Tapi semua soalan itu tidak pernah ada jawapannya.Apabila saya bertanya pada paderi, hanya jawapan ini yang diterima. "Percaya sajalah.Dan jangan banyak tanya.Ia perkara yang misteri dan jangan tanya lagi tentang itu."

Dan banyak lagi tentang ajaran Kristian yang mula menimbulkan persoalan.Adakalanya tidak masuk akal.Pencarian itu tidak pernah ada noktah hinggalah pada suatu hari di dalam tahun 1991.

Hari itu saya menyemak semula Bible untuk mencari jawapan.Apa yang saya temui tentang orang Islam amat mengejutkan.Selama ini saya tidak tahu pun bahawa orang Islam juga wajib mempercayai Bible dan Nabi Isa sebagai utusan Tuhan, rasul,kelahirannya tanpa persetubuhan lelaki dan peempuan, dia kini bersama Tuhan dan akan diturunkan semula ke bumi untuk memimpin umat Islam menentang kekufuran.

Mana mungkin! Apa yang saya tahu selama ini semuanya yang buruk tentang Islam.Saya hanya diberikan maklumat yang tidak benar dengan Islam sehingga saya sendiri takut dengan agama itu.

TIDAK PADA MUSLIM

Ayah saya memang seorang penganut Kristian yang setia dan aktif menjalankan aktiviti gereja.Dia juga pernah dilantik menjadi paderi penting yang menjalankan program sekolah gereja.Ayah dan ibu tiri saya mempunyai ramai kenalan di kalangan mubaligh Kristian yang memiliki stesen televisyen.Mereka turut berganding bahu untuk menjadikan 'prayer tower' di Tulsa satu kenyataan.Semua orang terkenal yang memusuhi Islam Amerika Syarikat seperti Jimmy Swaggart, Tammy Fae Bakker, Jerry Fallwell, John Haggi dan Pat Robertson adalah kawan keluarga saya.

Hingga suatu ketika ayah dan ibu saya sanggup merekodkan khutbah dan mesej dari paderi untuk diedarkan secara percuma ke hospital, rumah perlindungan dan kebajikan.Kemudian pada 1991, ayah mula memikirkan untuk mengembangkan usahanya menyebarkan Kristian ke luar negara iaitu Mesir.Saya ditugaskan untuk bertemu dengan pendatang Mesir yang bekerja di Texas.

Oh!tidak, kenapa Muslim.Kenapa saya perlu berurusan dengan pengganas, penculik, pengebom berani mati dan perampas.Jangan haraplah saya akan berbincang dengan manusia seperti itu.Ayah memujuk saya untuk berurusan dengan lelaki itu.

Saya bersetuju untuk berjumpa dengan Mohamed Abdel Rehman di sebuah cafe.Saya jadi keliru apabila melihat penampilan lelaki itu tidak seperti yang saya gambarkan sebelum ini iaitu berserban putih, janggut tebal, dan berjubah panjang.Ternyata Mohamed seorang yang cukup ringkas, mukanya bersih tanpa janggut atau misai dan berpakaian seperti kebanyakkan rakyat Amerika Syarikat.

Selepas bersalaman dan memperkenalkan diri, kami memilih satu sudut untuk berbual lebih panjang.Perkara pertama yang saya tanyakan kepadanya adalah tentang kepercayaannya.

"Anda percaya Tuhan?"..."Ya"..jawab Mohamed.."Anda percaya Adam dan Hawa, Nabi Ibrahim, Musa, Sulaiman,Yahya dan Isa?"

Kemudian Mohamed menganggukkan kepala.Saya bertanya lagi, "anda percaya bahawa Nabi Isa itu adalah utusan Tuhan sebagai penyelamat?"...."Ya,saya percaya"..jawab Mohamed..

Ketika itu saya rasakan tugas untuk menarik Mohamed kepada Kristian menjadi semakin mudah kerana kepercayaannya sama seperti yang terdapat dalam Bible.Satu-satunya yang menarik tentang Mohamed adalah dia seorang pendengar yang baik, tidak membantah mahupun mencelah.Inilah peluang bagi saya untuk mempengaruhinya.

Tidak sia-sia ayah mencadangkan saya supaya berurusan dengan Mohamed kerana misi untuk menariknya sudah semakin hampir.Sejak hari itu saya sering membawa Mohamed bersama-sama ketika menjalankan urusan perniagaan juga peribadi.Kesempatan itu saya gunakan sepenuhnya untuk bercerita tentang Kristian dan kepercayaan masing-masing.

Suatu hari Mohamed mengambil keputusan untuk berpindah ke masjid buat sementara waktu kerana rumah sewanya sudah tamat tempoh.Saya anggap itu sebagai peluang keemasan untuk mengajak Mohamed tinggal di rumah ladang milik keluarga saya.Dengan cara itu lebih mudah untuk mempengaruhinya.

WAD JANTUNG ATAU WAD MENTAL

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan termasuk perniagaan, namun saya masih perlu meluangkan sedikit masa untuk menziarahi kawan-kawan paderi dan mubaligh yang lain di sekitar Texas.Salah seorang yang tinggal di sempadan Texas Mexico, mubaligh itu memang terkenal dengan kerja gilanya memikul iaitu memikul palang salib yang diperbuat daripada kayu.Salib itu cukup besar, malah lebih besar dari sebuah kereta, dia akan memikulnya hingga ke jalan utama dan memacakkannya di pinggir jalan.Setiap kereta yang lalu akan berhenti untuk bertanyakan masalahnya.Ketika itulah dia akan menghulurkan risalah tentang Kristian.

Suatu hari kawan saya itu diserang sakit jantung dan terpaksa berehat di hospital untuk jangka masa yang panjang.Sepanjang tempoh itu saya selalu menziarahinya dan sudah tentu Mohamed akan ada bersama dengan harapan boleh berkongsi hal-hal agama dengannya.Ternyata kawan saya itu tidak berapa suka berbincang tentang Islam dengan Mohamed.

Perbualan kami tentang agama Islam mati begitu sahaja.Kemudian saya terpandang teman sebilik kawan saya itu yang kelihatan sedih dan keseorangan.Saya cuba mendekatinya dan bertanya khabar.Namun apabila saya bertanyakan tempat asalnya, lelaki itu yang lebih senang dipanggil Peter menjawab dari planet Musytari.Saya mula terfikir ini wad sakit jantung atau mental?

Tapi tidak mengapa, mungkin lelaki itu kesunyian dan tertekan dengan keadaannya.Saya mula bercerita tentang kisah-kisah dalam Bible untuk menghiburkannya.Ternyata Peter amat mendengar dan tidak membantah walau sepatah perkataan.Apabila selesai bercerita dia memohon maaf kerana bersikap biadap.

Tiba-tiba lelaki itu ingin membuat satu pengakuan kepada saya.Tapi saya menolaknya kerana saya bukan paderi Katolik yang boleh menerima pengakuan penganutnya.Dia kemudian membalas, "Saya tahu.Sebenarnya saya adalah paderi katolik."

Malunya...Saya cuba mengkristiankan paderi yang telah 12 tahun menjalankan kerja-kerja mubaligh.Apa sebenarnya semua ini, saya macam tak percaya.

Kerana perasaan kasihan saya menjemputnya untuk tinggal bersama keluarga saya di rumah ladang.Jadi, sekarang saya sudah ada kekuatan baru untuk mempengaruhi Mohamed.Sewaktu di dalam perjalanan pulang ke rumah saya sempat berbincang dengan Peter tentang beberapa kepercayaan di dalam Islam.Alangkah terkejutnya saya apabila paderi itu pun mempunyai pendapat yang sama dan mengakui bahawa paderi katolik juga mempelajari tentang Islam.Malah katanya ada diantara paderi katolik mempunyai ijazah kedoktoran di dalam pengajian Islam.Bagi saya ia sesuatu yang menarik.

Sejak Peter datang, kami banyak habiskan masa berbincang tentang agama.Hampir setiap malam kami duduk di meja makan berbincang tentang Bible.Peter membawa Bible miliknya dan 7 lagi kitab lain termasuk Bible Protestant.Ayah saya pula dengan Bible versi King James, saya dengan Bible versi yang telah disemak semula, isteri saya dengan Bible yang lebih moden untuk orang muda.Hampir berjam-jam kami habiskan masa berbincang untuk memilih Bible mana yang lebih tepat dan terbaik.

Kami menemui jalan buntu untuk mencari Bible yang terbaik.Kemudian saya bertanya kepada Mohamed tentang al-Quran, "ada berapa versi"...dia menjawab.."hanya satu versi al-Quran di dunia ini.Ia tidak pernah berubah sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad.Ada beribu orang di dunia ini boleh membaca dan menghafalnya dari kulit ke kulit tanpa kesalahan walaupun satu huruf.Al-Quran yang ada pada hari ini tetap sama seperti yang diwujudkan kepada nabi."

Mustahil ! Al-Quran yang sudah berusia beribu tahun usianya masih kekal isinya seperti asal.Sedangkan Bible yang diturunkan lebih awal pun telah mengalami pelbagai perubahan.Bahasanya pun telah diubah dari bahasa asal ia diturunkan. Begitu juga dengan kandungannya yang telah banyak dilakukan pindaan.Untuk mencari kitab Bible yang asal adalah satu perkara yang tidak masuk akal.Mana mungkin saya boleh menghafalnya dari kulit ke kulit sedangkan kitab asal pun sudah tidak wujud lagi.

PETER MASUK ISLAM

Selepas peristiwa itu, Peter telah meminta Mohamed menemaninya ke masjid untuk melihat apa yang dilakukan oleh orang Islam di situ.Saya tidak sabar menantikan reaksi dari Peter tentang lawatannya ke masjid.

"Muslim tidak lakukan apa-apa di situ, mereka hanya masuk sembahyang dan terus bersurai," beritahu Peter..."bersurai?Tanpa ada ucapan dan menyanyi" saya menyoal Peter.dan Peter hanya menganggukkan kepalanya.

Beberapa hari kemudian Peter meminta Mohamed membawanya sekali lagi ke masjid.Kali ini mereka pergi lebih lama hingga malam baru kembali.

Hati saya diserang kebimbangan, jika ada sesuatu yang tidak diingini terjadi.Tiab-tiba pintu diketuk, Mohamed dengan seorang tua memakai songkok putih seperti sering dipakai pleh orang muslim ada bersamanya.Lelaki itu tersenyum.

"Peter! Awak dah masuk Islam?"soal saya.Peter tersenyum dan mengaku tertarik dengan Islam sudah sekian lama.Dia mendapat kekuatan untuk menjadi muslim ketika di masjid.

Apa semua ini.Paderi katolik turut terpedaya dengan Islam.Selepas ini apa pula...

Pening memikirkan semua ini.Saya terus masuk bilik tidur untuk berbincang dengan isteri.Jawapan isteri pun mengejutkan saya, dia mengaku semakin tertarik dengan Islam.Malam itu juga saya kejutkan Mohamed dan mengajaknya mengambil angin di sekitar bandar Texas sambil berbincang.Hinggalah masuk waktu subuh Mohamed meminta izin untuk menunaikan solat.

Saya masih mencari sesuatu petanda untuk berubah.Ketika langit sudah semakin cerah, saya mengambil angin di kawasan belakang rumah, di situ ada sekeping papan lapis yang rebah ke rumput.Saya mula berfikir unuk cuba sujud dengan mencecahkan dahi ke papan itu dan menghadap ke arah seluruh umat Islam solat.Ketika itu saya mula bersuara.

"Oh tuhan .Berilah aku petunjuk."dan ketika saya mengangkat kepala saya mula mendapatkan rasa sesuatu yang berubah di dalam diri ini.Inilah masanya untuk saya berubah.Saya terus meluru masuk ke dalam rumah, mandi dan membersihkan seluruh badan.Saya mahu dosa pergi bersama air yang mengalir.

Kira-kira pukul 11 pagi di hadapan Mohamed dan paderi Peter Jacob(telah masuk Islam)saya mengucap syahadat.Beberapa minit kemudian isteri saya melakukan perkara yang sama.Beberapa bulan kemudian ayah mengikut jejak saya menerima Islam.Kemudian anak-anak pun mengikut jejak kami mengakui kebenaran Islam.Emak tiri saya adalah orang yang terakhir menyedari akan kebenaran Islam.Akhirnya seluruh ahli keluarga saya menerima Islam sebagai agama yang benar.

Indahnya hidup ini dengan kepercayaan yang satu.Selepas 10 tahun jadi muslim, saya berjaya membuktikan apa yang dikatakan oleh Mohamed tentang kebolehan orang Islam menghafal keseluruhan al-Quran.Buktinya saya sudah menghafal al-Quran dari kulit ke kulit dan mampu mengajarkan kepada yang lain.Kini hidup saya hanya untuk Islam...

Menarik sungguh artikel ini.Diharapkan dengan perkongsian artikel ini dapat memberikan kekuatan buat bakal saudara baru di luar sana memilih Islam sebagai jalan hidup.Buat pihak majalah AL ISLAM, syabas ain ucapkan dengan usaha anda memberi informasi terkini bagi umat Islam keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR