Saturday, October 16, 2010

Umur..Dunia..Akhirat...

Subhanallah..Maha Suci Allah...Tuhan sekalian alam...

Alhamdulillah, dengan izinNya, ain masih diberikan umur, nafas, kesihatan yang baik sehingga saat ini.Pada tarikh 16 Oktober 2010, genaplah usia ain mencecah 26tahun.Begitu cepat masa berlalu dan begitu cepat masa bersilih ganti.Bertuah rasanya diri ini dengan nikmat yang diberi oleh Allah Yang Maha Kuasa.

Pernahkah kita menyoal diri sendiri untuk apakah kita diciptakan di dunia ini?Pernahkah kita menyoal diri sendiri untuk apakah kita diberikan kenikmatan dunia?Pernahkah kita menyoal diri sendiri untuk apakah kita diberikan kelebihan yang tiada pada orang lain?Dan pernahkah kita menyoal diri sendiri sama ada amal kita di dunia ini sudah cukup sebagai bekalan ke akhirat..???


Kehidupan ini sebenarnya cukup indah untuk dinikmati, sekiranya kita sebagai manusia yang diberikan akal fikiran tahu menggunakannya sebaik mungkin.Sememangnya kehidupan ini hanyalah sementara dan pinjaman dari Yang Maha Esa.Kita sememangnya insan bertuah kerana diberikan peluang menikmati ciptaanNya dan sepatutnya kita syukuri atas segala kurniaan dari Sang Pencipta.


Namun begitu, tidak kurang juga segelintir daripada kita yang sering merungut dan mengeluh serta menyalahkan takdir atas segala kesedihan, kepayahan hidup yang dirasakan bagi mereka tidak adil sama sekali.Golongan sebegini sering menyalahkan takdir, cepat berputus asa, dan tiada keyakinan terhadap Allah s.w.t.Malah tidak kurang juga ada yang mempersoalkan kewujudanNya!!!



Ada diantara kita terlalu bangga dengan kemewahan dan kelebihan diri yang tiada atau tidak dapat ditandingi oleh orang lain.Bagi mereka kemewahan adalah segala-galanya dan tanpa kemewahan, kehidupan ini bagaikan kosong dan hanya mereka yang berpangkat, berkedudukan akan dipandang tinggi oleh masyarakat.


Kita sering mendengar 'Dunia ini adalah jambatan ke akhirat'....dan sememangnya ini adalah benar sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan.Kita seharusnya menggunakan waktu yang tinggal menambahkan amalan sebagai bekalan kita ke akhirat kelak.Tak perlulah kita menunggu apabila usia sudah mencecah 'senja', barulah difikirkan tentang dosa, pahala, amal, solat dan sebagainya.


Entahkan esok, entahkan lusa, atau di saat ini...nyawa kita diambil dan diketika itu tiada gunanya sesalan, tangisan atau rayuan.Bersyukurlah kita semua kerana masih diberikan umur, masih diberikan nyawa dan dibenarkan bernafas di dunia ini.Bersyukurlah kita atas segala nikmat dunia yang diberikan dan janganlah merungut dan membandingkan kekurangan diri sendiri dengan orang lain.Jadilah hambaNya yang sering bersyukur.


Masih belum terlambat buat kita semua untuk bertaubat padanya dan berubah ke arah kebaikkan.Janganlah difikirkan sama ada taubat kita diterima Allah atau tidak, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Penyayang serta Maha Pengampun.Kita sebagai umatNya terus beramal dan berdoa moga dosa kita diampunkan olehNya.Tidak kiralah betapa besarnya dosa kita sebelum ini, kita harus yakin dan percaya pada Allah yang satu, yakni tiada yang lain selain Allah.


Maka, hargailah umur yang ada dan gunakanlah waktu yang tinggal sebaik mungkin untuk memperbaiki amal dan perbanyakkan berdoa serta berzikir padaNya.Seperkara yang perlu kita ingat, dunia ini adalah pinjaman sementara dan tiada yang abadi.

Daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda;


"Ya Allah, tiadalah kehidupan yang sebenar kecuali kehidupan akhirat"



Allah s.w.t. berfirman dalam surah Muhammad, ayat 17:

Maksudnya: "Dan orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya..."

(petikan dari buku bacaan -'Peringatan Buat Umur Insan'-Telaga Biru)

Buat sahabat ain sekalian, apa yang ain tulis dalam blog ini adalah daripada pandangan ain sendiri serta melalui bahan bacaan ain dapat selama ini.Sekiranya ada perkataan atau kata-kata yang tidak bersesuaian, ain mohon maaf dan berharap mendapat maklumbalas dari sahabat semua.Ain bukanlah dari golongan berpendidikan agama yang tinggi dan bukanlah ditauliahkan sebagai ustazah.Namun adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ain ingin berkongsi maklumat/pandangan melalui blog ini serta bertukar pendapat dengan sahabat semua.

InsyaAllah dengan persahabatan yang terjalin akan menguatkan hubungan kita sesama Islam..amin..



Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah s.a.w. bersabda:



Maksudnya: "Mohonlah kepada Allah ilmu yang bermanfaat, dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat."


Salam sayang daripada ain buat sahabat ain semua.Moga kita semua sentiasa mengingati Allah dan mencintaiNya lebih daripada diri sendiri.Sesungguhnya ain bersyukur kerana masih diberikan umur sehingga saat ini.Alhamdulillah..amin....

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR