Sunday, September 26, 2010

Keluarga & bertudung....

Setelah tamat pengajian, ain pulang semula ke pangkuan keluarga dan tinggal bersama mereka seperti biasa. Yang membezakan adalah cara hidup ain, makan minum tidak seperti dulu. Syukur alhamdulillah kedua-dua ibu bapa ain amat memahami dan tidak banyak karenah.Segala keperluan ain disediakan secukupnya. Malah tempat untuk bersolat juga disediakan.

Dari segi makan minum, alatan memasak semuanya ditukar bagi memudahkan dan memberikan ain keselesaan dalam kehidupan seharian. Ain sedikit pun tidak rasa kekok, malah gembira sangat kerana walaupun kami berlainan agama tetapi kami menghormati agama masing-masing.

Kehidupan seharian ain sebagai seorang muslimah dipermudahkan dan keluarga amat memahami dan menghormati pendirian ain. Malah keputusan ain untuk bertudung juga dipermudahkan, namun bukanlah bertudung sepenuhnya. Ain akui walaupun ibu bapa tidak menghalang ain untuk bertudung, tapi ain hormati permintaan mereka agar tidak berubah secara mendadak.

Ain hanya bertudung apabila ain ingin pergi bekerja sahaja. Apabila keluar bersama keluarga ain tidak bertudung kerana ain sedar keluarga ain belum benar-benar bersedia dengan perubahan ini. Bagi ain biarlah mereka rasa selesa dahulu dengan perubahan ain secara perlahan-lahan kerana mereka telah banyak berkorban demi keinginan ain.

Jiran-jiran sekeliling pula pada mulanya memandang sinis keluarga ain yang mempunyai anak yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Kasihan juga ain pada kedua-dua ibu bapa yang bersabar dengan setiap tohmahan tetapi dihadapan ain mereka cuba berselindung dengan perasaan sendiri. Ain tahu jauh di sudut hati mereka, pasti ada rasa terkilan dan kesedihan yang teramat. Adakala ibu bapa ain akan luahkan perasaan hiba mereka dengan keputusan ain. Sebagai anak, ain hanya mendengar luahan hati mereka.

Berbalik perihal berrtudung. Seperti ain maklumkan tadi, ain hanya berrtudung jika ingin pergi bekerja sahaja. Tetapi kali pertama ain mula bertudung adalah sewaktu di kolej lagi iaitu pada semester 3 pengajian.

Di suatu ketika ain datang ke tempat kerja bukanlah untuk bertugas, sekadar hadirkan diri untuk sesi ceramah yang diberikan oleh pihak hospital. Ain tidak mengenakan tudung ketika itu dan inilah ain dapat...
'hei!...ko nape tak pakai tudung??'....

Aduhai, sedih rasa hati ni. Kenapa ain tidak bertudung dipersoalkan? Kenapa yang telah dilahirkan sebagai seorang muslimah sejak kecil tidak bertudung sepenuhnya tidak dipersoalkan? Kenapa ain sahaja dipertikaikan? Malah pengislaman ain juga dipertikaikan dan ada mulut-mulut yang berkata ain pilih Islam kerana bercinta dengan lelaki melayu!

Pelik betul orang Islam ni...senang je mengutuk orang tapi tidak sedar dengan diri sendiri. Apa daya ain, sekadar diam dan berserah sahaja pada Yang Esa. Jauh di sudut hati, ain ingin bertudung dan menutup aurat sepenuhnya. Namun ain sedar, ain perlu bersabar dan menunggu saat itu tiba.

Amat pelik sekali, kenapa ain yang pada ketika itu yang masih baru tentang Islam dipersoalkan tentang cara berpakaian, sedangkan mereka yang sememangnya Islam sejak lahir tidak pula dipersoalkan. Malah ada yang datang dari rumah berrtudung, tapi sewaktu bertugas, tudung entah ke mana...dan kenapa tak disoal pulak??!! Apa bezanya ain dengan mereka?? Adakah kerana ain mualaf, ain patut buat segalanya dengan sempurna?? Tak boleh silap sedikitpun??

Apapun mereka hanya tahu bercakap tapi tidak faham keadaan ain ketika itu sebenarnya. Hanya kata-kata mengguris hati dan bukannya pertolongan ain dapat. Hampir sama je ketika ain masih berrgelar pelajar suatu ketika dulu. Cakap-cakap kosong je, bantunya tidak.

Jauh disudut hati, niat ain untuk bertudung sepenuhnya dan menutup aurat tak pernah ain lupa. Ain akan pastikan ain menutup aurat mengikut kehendak Islam. Lagipun ia adalah perkara wajib dan bukannya harus. Berrtudung bukan setakat memakai sehelai kain menutup kepala, tapi lebih dari itu.

Sunday, September 19, 2010

Hari- hari di kolej.....

Setelah ain pulang semula ke kolej, hari-hari yang ain lalui di kolej bagaikan suatu bebanan. Entah kenapa..macam-macam ain dengar. Biasalah kata-kata daripada rakan-rakan sekeliling. Adakala menyakitkan hati ain dari segi mental dan fizikal.

Ain mengaku ain berkawan rapat dengan seorang lelaki muslim yang membantu ain dalam 'penghijrahan'. Waktu itu dia dan keluargalah yang banyak beri dorongan dan sokongan moral pada ain dalam meneruskan kehidupan ain sebagai seorang muslimah. Malah,keluarga ain juga berhubung rapat dengan mereka serta telah beri kepercayaan kepada keluarganya untuk menjaga ain
.

Namun tekanan yang paling kuat ain terima bukanlah daripada rakan-rakan, tapi pihak kolej. Ikutkan hati, ain memang dah putus asa, tawar hati untuk meneruskan pelajaran di kolej. Ain rasa diri ni amat rendah pada pandangan pihak pengurusan kolej, terutamanya pengetua. Sejak ain mula sambung belajar semula hinggalah ain tamat pelajaran, amat sukar untuk ain lihat wajah pengetua senyum bila melihat ain.


Malah, semasa sesi pembelajaran dalam kelas juga yang di bawah kelolaan pengetua pun ain selalu rasa risau, cemas..Setiap kali ada sesi pembentangan kertas kerja pasti ada saja yang tidak kena
. Ain tak kisah jika ain seorang dimarahi, dicaci. Tapi ain rasa bersalah bila kertas kerja melibatkan secara berkumpulan. Pasti rakan-rakan sekumpulan dengan ain terkena tempiasnya.


Akibatnya, ain selalu asingkan diri daripada rakan-rakan sekelas, ain selalu bersendiri jika boleh. Rasa bersalah, malu, rendah diri dengan tekanan diberi membuatkan ain semakin terus berputus asa untuk terus belajar. Pelajaran ain makin merosot. Jika dahulu ain bolehlah dikatakan 'top 5 student' , ain jadi antara pelajar tercorot dalam kelas!


Mana tidaknya, hingga kini ain masih ingat satu 'incident' sewaktu sesi pembelajaran dalam kelas. Seorang rakan ain ni mulanya agak rapat dengan ain. Dialah tempat ain belajar mengaji dan agama. Entah kenapa suatu hari tu, pengetua ni terus keluarkan kata-kata ni....'kalau nak jadi ustazah, takpayah belajar lagi.Berhenti belajar, balik kampung jadi ustazah. Kalau datang sini nak main-main, baik tak payah!'..........

Aduh!!Sakit telinga dan hati ain mendengarnya.Air mata ain mengalir tanpa henti.Rasa diri ni begitu hina dan kotor pada pandangannya.Rakan-rakan yang bersimpati akan datang cuba menenangkan perasaan ni.Sejak kejadian itu, ain mula menjauhkan diri dari rakan-rakan.Ain taknak kerana ain, rakan-rakan berada dalam masalah.Sejak itu juga ain mula tak belajar mengaji seperti dulu.Bila rakan ain ajak pun, ada saja alasan ain beri.

Pada semester akhir sebagai jururawat pelatih, makin banyak tekanan diberi membuatkan ain makin bertambah rasa benci pada pengetua dan makin hilang semangat untuk belajar.Pada ketika itu ada seorang tenaga pengajar ni yang begitu prihatin dengan diri ain, namanya Puan Mariah. Beliau banyak membantu dan memberi dorongan serta kata-kata semangat agar ain meneruskan pelajaran.Beliau tidak berhenti-henti beri sokongan walaupun ketika itu ain memang berdegil dan hilang semangat untuk belajar.

Akhirnya selesai juga semester akhir ain sebagai jururawat pelatih.Pada 30 Julai 2005, ain tamat kursus dan kini bergelar Jururawat Terlatih..Alhamdulillah..

Buat insan yang bernama Puan Mariah yang kini telah ke rahmatullah...ain sedekahkan al-Fatihah...moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan disisi orang-orang soleh solehah..amin...

Thursday, September 16, 2010

Pengetua..oh Pengetua...

Tarikh 9.3.2003 takkan ain lupakan dalam sejarah hidup ain.Selama seminggu ain merahsiakan hal ini daripada pengetahuan rakan-rakan kolej, mahupun kaum keluarga.Namun ain memang bercadang untuk umumkan perkara ini sendiri daripada ada pihak lain yang cuba campur tangan.Sebolehnya perkara baik begini tak perlu dirahsiakan terlalu lama.

Seminggu selepas itu, ain telah pergi ke JAIM ditemani oleh sahabat ain sebelum ini. Di sana, ain berjumpa dengan 2 orang ustaz yang menguruskan perihal mualaf baru. Di sana ain diminta untuk mengucap 2 kalimah syahadah sekali lagi serta diminta memberi satu nama Islam sebagai pengenalan baru. Setelah selesai urusan pengambilan data, ain pun pulang ke kolej seperti biasa. Waktu itu ain menjalani praktikal pada sebelah petang. Pada hari yang sama ain dapat kekuatan untuk memaklumkan pada beberapa rakan kolej yang rapat dengan ain.

Ain juga ingin maklumkan sendiri perkara ini pada pihak kolej dan kedua orang ibu bapa ain. Namun selang beberapa hari selepas itu, adalah hamba Allah ini yang sampaikan perkara ini pada pengetua kolej ain. Masa tu ain dapat arahan untuk berjumpa dengan pihak pengetua..katanya hal penting.Dalam hati ni dah rasakan ada perkara tak elok akan berlaku.

Ain masih ingat lagi, sewaktu ain menjejakkan kaki ke bilik pengetua, jantung berdegup kencang, wajah bengis pengetua sememangnya menggerunkan. Ain disoal bagaikan penjenayah besar!.Entah macamana pengetua ni dapat tahu, dan bukan dari mulut ain sendiri.Lebih menyedihkan, pengetua membuat panggilan telefon meminta kedua-dua ibu bapa ain datang ke kolej berhubung perihal ain.Masa tu, hati ni rasa hancur yang teramat! Dunia bagai gelap seketika.

Dalam benak kepala ni masih jelas kelihatan wajah ibu bapa ain ketika itu dalam keadaan sedih, marah, terperanjat.Rasa berdosa sangat, kerana telah kecewakan mereka.Rasa marah dengan diri ni, memalukan mereka. Rasa marah pun ada juga kerana pengetua campur tangan hal peribadi ain dan tidak benarkan ain pertahankan diri sendiri.Dan yang paling memeritkan hati ini ialah bila pengetua meminta ain 'packing' barang-barang dan pulang ke rumah,dilarang untuk sambung belajar!

Walaupun ibu bapa ain masih dalam keadaan sedih, marah, tapi mereka tetap mengambil berat tentang diri ain terutamanya pengajian ain yang dihentikan.Mereka berusaha hubungi pihak JAIM meminta bantuan bagaimana hendak uruskan masalah pengajian ain.Ain rasa sungguh terharu dan alhamdulillah berkat doa ibu bapa tersayang, ain dibenarkan semula untuk pulang ke asrama dan menyambung pengajian.

Alhamdulillah, ain rasa bersyukur sangat kerana segalanya dipermudahkan
...

Monday, September 13, 2010

9 MAC 2003

Pada satu hari aku berkenalan dengan seorang sahabat Muslim ini. Kami mula berkawan rapat dan kami banyak juga berkongsi cerita mengenai Islam. Entah kenapa tiba-tiba terdetik hati ini meminta pertolongan sahabatku ini mengenai hasratku memeluk Islam.

Aku menyatakan hasratku untuk bertemu dengan seorang ustazah yang ku kenali di kolej tempat aku belajar.Namanya Ustazah Nora, beliau seorang yang amat lembut dan peramah. Kami telah bertemu beberapa hari sebelum aku membuat keputusan memeluk Islam. Beliau menasihati aku agar berfikir dengan matang dan tidak membuat keputusan terburu-buru.

Pada 9 Mac 2003, dengan bantuan sahabat karibku ini, kami pergi berjumpa dengan Ustazah Nora di kediamannya. Aku menyatakan hasratku pada Ustazah Nora tentang keinginanku memeluk Islam. Dengan izin Allah s.w.t. akhirnya aku selamat mengucapkan 2 kalimah syahadah dan di ketika aku selesai, azan Magrib sayup kedengaran di kediaman Ustazah itu.

Sewaktu aku mengucap 2 kalimah syahadah, aku dapat merasakan kepalaku ini teramat berat dan secara tiba-tiba sesuatu menarik kepalaku ke atas! Setelah itu barulah aku rasakan diri ini teramatlah ringan, hatiku terasa teramat lapang! Subhanallah!!...Terasa diri amat kerdil ketika itu.Air mataku dan ustazah berlinangan sambil diiringi dengan azan Magrib yang sayup kedengaran.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR