Saturday, November 20, 2010

TANGGUNGJAWAB

Assalamualaikum sahabat ain semua, moga sentiasa dalam rahmat Allah S.W.T. hendaknya...amin...

Pejam celik, dah 5 tahun 3 bulan ain bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital swasta.Cepat betul masa berlalu dan masa mematangkan diri ini dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Pelbagai jenis, karenah, tingkah laku manusia ain jumpa yang adakala menguji kesabaran diri ini.Bekerja sebagai jururawat bukan hanya memberi ubat, merawat luka pesakit, malah lebih daripada itu.Jururawat bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan serta menyampaikan maklumat mengenai keadaan pesakit dengan tepat dan telus kepada pakar perubatan.

Bila diamati, diteliti semula tugasan seorang jururawat, sebenarnya bukan mudah.Silap langkah atau perbuatan boleh mengundang bahaya sama ada kepada pesakit atau kepada diri sendiri.Begitulah, andai ingin dihuraikan di sini, rasanya 10 muka surat pun tak cukup.

Namun, ain sedar amanat ini begitu berat kerana segala yang kita lakukan ada yang melihatnya.Mungkin kita boleh berselindung daripada rakan sekerja, tapi dengan Allah??Bukankah Allah Maha Mengetahui segala yang kita lakukan???

Setiap kali ain melakukan tugasan dan andai ada kesilapan berlaku, rasa diri ini amat berdosa sekali.Setiap kali timbul perasaan marah, setiap kali kesabaran ain diduga, pasti timbul rasa kesal dalam diri ini.Ain adakala marah pada diri sendiri kerana adakala hilang kesabaran sewaktu bekerja.Sedangkan sikap sabar itu adalah satu perkara yang harus ada dalam diri seseorang yang beragama Islam.

Diri ini akan menadah pada Yang Esa agar memberikan kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan tugasan harian yang sentiasa berubah-ubah, yang adakala menguji keimanan diri ini.

Apapun, ain sentiasa ingatkan diri ini.Kita bekerja bukan kerana wang semata-mata.Memang benar tanpa wang, kita tak dapat nak beri keluarga kita kesenangan.Namun jika kita niatkan diri ini bekerja kerana Allah, insyaAllah segala pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi mudah dan sentiasa dipermudahkan.

Ya Allah, semoga diri ini sabar dengan setiap dugaan daripadaMu...Aku sedar dugaan ini tanda Kau Mengasihi hambaMu yang kerdil ini...

"coretan ini adalah ingatan untuk diri sendiri dan ingatan bersama...."

Thursday, November 18, 2010

ZIKIR

Assalamualaikum buat sahabat semua.Moga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T.


Begitu indahnya hari ini dan diri ini berasa amat bersyukur kerana dipanjangkan usia dan diberikan peluang untuk menambahkan amal yang sememangnya masih tidak cukup lagi sebagai bekalan untuk ke akhirat.

Sebagai hamba Allah yang sering mengharapkan belas ehsan daripada Yang Maha Esa, perlunya kita mengingati Allah dengan sentiasa berzikir padanya.Berzikir di sini boleh dilakukan dengan 3 cara:
  • dengan perbuatan menggunakan biji tasbih atau alat pembilang.
  • dengan lidah atau sebutan yang dipanggil zikir jali atau zikir jahri.

  • di dalam hati yang dipanggil zikir sirri atau zikir khafi.

Melalui zikir, kita dapat mendekatkan diri kita kepada Allah kerana amalan zikir ini samalah seperti kita berdiaolog dengan Allah.Allah amat suka pada hambanya yang sering berzikir.

Pada zaman moden kini, ramai diantara kita memberikan alasan tiada masa atau penat sebagai alasan untuk tidak melakukan zikir.Sesungguhnya amat rugi golongan sebegini meninggalkan amalan zikir dalam kehidupan seharian.

Daripada pengalaman ain sendiri, ain akui ain rasa tidak tenteram, fikiran bercelaru, sering berasa risau dan tertekan.Ini semua akibat kurangnya berzikir.Diketika ini, diri kita amat mudah terpesong dengan hawa nafsu sendiri.

Alhamdulillah, atas nasihat suami dan melalui kesedaran sendiri, ain mula amalkan zikir.Sememangnya jiwa ini berasa amat tenang dan tidak terlalu tertekan seperti dahulu.

Berzikir dapat mendidik jiwa kita agar menjadi lebih tenang dan sabar.Melalui zikir kita dapat mendekatkan diri pada Allah Yang Esa dan dalam masa yang sama, membuatkan kita agar sentiasa mengingati Allah dalam segala pekerjaan yang kita lakukan.

Di sini ain selitkan bingkisan zikir yang amat ringkas, pemberian daripada seorang hamba Allah ini.Ianya amat mudah bagi kita yang baru berjinak-jinak untuk amalkan zikir dalam kehidupan harian.Buat hamba Allah ain sebutkan tadi, moga Allah merahmati usaha anda dalam menyebarkan ilmu Allah, amin.


WIRID IMAM AL GHAZALI

  1. Hari Jumaat membaca: Yaa Allah (1000 x)
  2. Hari Sabtu membaca: La Illaaha Illallah (1000 x)= "Tiada Tuhan Selain Allah"
  3. Hari Ahad membaca: Yaa Hayyuu Yaa Qoyyuum (1000 x) = "Wahai zat yang hidup kekal abadi"

  4. Hari Isnin membaca: Laa Haula Walaa Quwwata Illa Billahil'aliyil'Azhiim (1000x)= "Tiada daya dan kekuatan terujud melainkan dengan bantuan Yang Maha Luhur lagi Yang Maha Agung"

  5. Hari Selasa membaca: Shollallaahu 'Alaa Muhammad (1000 x)= "Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad"

  6. Hari Rabu membaca: Astaghfirullahal 'Azhiim (1000 x)= "Aku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung"

  7. Hari Khamis membaca:Subhaanallaahil 'Azhiimi Wabihamdih(1000x)= "Maha Suci Allah yang Agung dan segala puji bagiNya"

Ain harap coretan ain kali ini dapat dijadikan panduan untuk kita bersama dan ain pasti ianya amat ringkas serta mudah untuk kita amalkan.Moga kita semua sentiasa mengingati Allah dengan berzikir...amin....


Wednesday, November 17, 2010

Hari Cuti

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat ain semua.

Pertama sekali ain ingin ucapkan salam aidiladha buat sahabat Islam semua.Semoga aidiladha kali ini memberikan seribu satu pengertian buat kita semua.

Hari ini hari ke-2 ain bercuti setelah selesai bekerja shif malam.Masih ada 4 hari lagi baki cuti ain yang tinggal.Sahaja ain mengambil cuti panjang.Setelah penat bekerja, perlunya badan dan minda ini direhatkan.

Hari ini ain habiskan masa berehat bersama keluarga mertua.Waktu cuti begini dapatlah ain gunakan untuk berborak panjang bersama ahli keluarga yang lain.Memang rasa seronok dapat berkumpul beramai-ramai sambil bertukar cerita.Kebiasaannya semua sibuk dengan kerja, waktu cuti begini dapatlah melepaskan rindu sambil mengeratkan hubungan silaturahim yang tersedia terjalin.

Mak mertua ain memang pakar memasak.Menu hari ni nasi himpit+ayam masak merah+lontong+sup tulang lembu(daging korban).Makan ramai-ramai, bertambah berselera ain.Bertambah-tambah pulak tu....:)

Ain juga gunakan masa yang ada hari ini untuk upgrade blog ain.Banyak juga perkara baru ain belajar.Ain turut mengambil kesempatan ini layari tulisan penulis blogger yang lain.Kebiasaannya ain hanya update blog sendiri kerana kesuntukkan masa.Apapun, suami pendorong utama ain untuk terus menulis blog!

Sampai disini saja coretan ain kali ini.Diharapkan sahabat ain semua yang sudi membaca blog ini terus memberikan sokongan dan sudi memberi komen membina untuk ain.

Salam aidiladha ain ucapkan kepada semua.Assalamualaikum.



laptop kesayangan........

Sunday, November 14, 2010

Wanita Dan Islam

Assalamualaikum, apa khabar sahabat ain semua?Moga kita semua senantiasa di dalam lindungan Allah s.w.t.

Minggu ini terdetik dihati ingin membincangkn topik tentang 'Wanita dan Islam'. Ain sendiri masih cetek lagi tentang ilmu Allah yang begitu banyak dan melalui penulisan blog, insyaAllah ain dapat usahakan sesuatu menambah ilmu untuk diri sendiri dan dikongsikan bersama dengan sahabat blog ain semua.

Wanita sememangnya dipandang tinggi dan mulia dalam Islam.Ini dapat dilihat melalui rasa cinta dan kasih Rasulullah s.a.w pada puterinya Siti Fatimah.Rasulullah s.a.w sering menyebut:

"Bahawa Fatimah adalah sebahagian dari diriku.Aku berdukacita jika ia berdukacita, dan aku akan lega jika ia senang.Siapa sahaja yang menyebabkan ia marah, sama dengan membuat aku menjadi marah.Fatimah buah hatiku adalah wanita penghuni syurga.."


Begitu indah dan kasihnya Rasulullah s.a.w. terhadap puteri tercinta.Baginda begitu mengasihi dan menyayangi puterinya Fatimah sehinggakan tidak sanggup melihat puterinya dalam kesedihan atau kesusahan.Baginda juga sering mengingatkan kepada para sahabat:

"Barangsiapa yang mempunyai 3 orang anak perempuan, kemudian ia bersabar hidup dalam suka dan duka, maka ia akan dimasukkan dalam syurga kerana rahmat Allah kepada para perempuan tersebut.Seorang sahabat bertanya: Bagaimana kalau hanya 2 orang perempuan ya Rasulullah? Baginda menjawab: Walaupun hanya 2orang.Sahabat bertanya lagi : Bagaimana kalau seorang sahaja ya Rasulullah: Maka baginda menjawab: Ya, walaupun hanya seorang."

Pada zaman sebelum datangnya Islam, kaum arab zaman jahiliyah membenci jika ada kelahiran anak perempuan dalam keturunan mereka.Mereka menganggap anak perempuan begitu malang dan keji jika dibandingkan dengan kelahiran anak lelaki.Anak perempuan yang lahir akan ditanam hidup-hidup tanpa rasa belas kasihan.Namun setelah kedatangan Islam, anak perempuan diberikan hak untuk hidup sama seperti anak lelaki.

Dalam pemilihan pasangan hidup, ibu bapa diberikan tanggungjawab dan hak dalam menentukan calon suami yang soleh bagi anak perempuan mereka.Islam mementingkan agar para ibu bapa sentiasa memilih calon suami yang beriman dan bertaqwa pada Allah, dan bukannya dari segi kedudukan atau harta.

Daripada Aisyah dan Asma binti Abu Bakar.Raulullah s.a.w. bersabda:
"Pernikahan itu diibaratkan dengan perhambaan, maka hendaklah kamu berhati-hati kepada siapa puterimu kamu nikahkan."

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda:
"Apabila ada yang meminang anak gadismu, dan kamu senang dengan agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah.Kalau tidak kamu lakukan, sama halnya dengan kamu membuat fitnah di muka bumi dan menimbulkan kerosakkan yang besar."

Dalam Islam, wanita masih diberikan peluang dan hak untuk menerima atau menolak calon suami yang ditentukan oleh ibu bapa, namun jika pilihan ibu bapa adalah seorang yang beriman dan bertaqwa pada Allah, adalah lebih baik seseorang wanita itu menerimanya dengan hati terbuka.

Aurat wanita juga amat dititikberatkan.Muslimah diwajibkan menutup auratnya daripada pandangan golongan bukan muhrim, kecuali muka dan kedua belah tapak tangan.Namun akibat peredaran masa dan pengaruh fesyen dari negara barat, ada diantara kita yang tidak mengambil kisah tentang hal ini.Alasan diberikan hanyalah tuntutan kerja memaksa mereka berubah imej.

Apapun tanggungjawab yang perlu digalas pada masa kini, wanita muslimah yang bekerja haruslah menjaga tatatertib serta aurat sewaktu berada di luar rumah agar tidak mencemarkan nama baik Islam.Bagi mereka yang sudah berumahtangga, sentiasalah beringat pada diri sendiri agar sentiasa berwaspada dalam pergaulan mereka dengan yang bukan muhrim.

Ain kini bekerja di salah sebuah hospital swasta dan masih berusaha kuat menjaga tatatertib dari segi berpakaian.Ain masih berusaha mempertahankan hak wanita Islam menjaga kepentingan aurat walaupun semasa bekerja, namun, ianya dipertikaikan.Malah, sikap mereka yang memperkotak-katikkan kepentingan menjaga aurat bagi wanita muslimah membuatkan hati ini sedih dan terhina selalu.

Kita sebagai wanita Islam seharusnya berusaha mempertahankan agama Allah dengan mengikuti segala perintah dan menghindari segala larangannya.Apa ain dapat katakan, Islam mengajar umatnya menghormati kaum wanita dengan caranya tersendiri.

Sampai disini saja coretan ain untuk kali ini.Agak ringkas, namun ain harapkan kita dapat berkongsi sesuatu disini untuk kebaikkan bersama.InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang....

Assalamualaikum.....

Wednesday, November 10, 2010

Mencari Pasangan

assalamualaikum semua...maaflah, lama sangat ain tak update blog.Banyak perkara ain perlu uruskan kebelakangan ni.InsyaAllah satu hari nanti ain akan kongsi dengan sahabat semua....

Kali ini ain pilih tajuk 'Mencari Pasangan'....kenapa ye???Tentu pelik...tapi itulah permintaan daripada beberapa penggemar dan sahabat blog ain yang meminta ain huraikan tajuk ni...ain akan cuba huraikan daripada pandangan dan pengalaman ain sendiri.

Bermula dari zaman persekolahan...kita sering mendengar 'cinta monyet' atau loghat mat salleh 'puppy love'...Bunyinya seperti menarik, tapi itu semua hanyalah salah satu pengalaman hidup kita sebelum bergelar dewasa...

Sewaktu ain menganjak ke alam remaja dan seterusnya ke kolej bagi meneruskan pengajian...ada juga sesekali hati ini berdetik untuk bercinta..tak perlulah ain ceritakan sangat.Semuanya kini menjadi kenangan dan alhamdulillah kini ain bahagia dengan suami tersayang...

Perkara yang sering beberapa sahabat ain tanyakan adalah...."kak ain macam mana nak pilih pasangan yang betul?orang buntu kak.."....Terdetik dalam hati ain kenapa mereka tanyakan soalan ini pada ain?Tapi ain dapat rasakan, mereka memerlukan seseorang untuk berbual, bertanyakan pendapat dan pandangan.Jadi, tidak timbul soal pakar atau pro dalam hal ini.

Daripada pengalaman ain sendiri, ain pernah berkawan rapat dengan seseorang yang bernama lelaki.Kiranya dia dalam kategori kacak dan sering mendapat perhatian mana-mana wanita yang ingin berkawan dengannya.Apa ain ingin katakan di sini, tidak kira lelaki kacak atau wanita cantik, kedua-duanya manusia yang diberikan hawa nafsu dan akal fikiran.Terpulang bagaimana mereka ingin menggunakannya ke arah kebaikkan.

Sepanjang pemerhatian dan pengalaman ain sehingga ke hari ini, ada diantara kita, tidak kira lelaki atau wanita dianugerahi dengan rupa paras yang menawan dan kacak.Semestinya ini dikatakan pakej untuk memilih pasangan.Namun ada segelintir golongan sebegini mengambil kesempatan dengan memberikan janji palsu terhadap kekasih hati tetapi pada masa yang sama turut menabur janji pada orang lain.

Kita juga sering mendengar pasangan kekasih yang bercinta bertahun-tahun lamanya...namun akhirnya berpisah atas sebab yang tidak diingini.Dan ada juga yang ingin kembali menyambung semula perhubungan, namun di sebelah pihak gusar untuk berbuat perkara yang sama.

Pelbagai jenis masalah sewaktu zaman percintaan dan tidak kurang juga di alam perkahwinan.Namun di sini ain lebih fokuskan yang masih mencari-cari pasangan hidup.

Dalam memilih pasangan, pilihlah pasangan yang benar-benar ikhlas sayangkan kita, bukannya kerana rupa atau harta.Rupa, harta itu semuanya sementara sahaja.Biarlah pasangan kita itu menyayangi dan mencintai kita lebih daripada kita mencintai diri sendiri.

Seperkara yang sering kita lupa.Tidak cukup dengan cinta...tidak cukup dengan sayang...tapi kepercayaan dan kejujuran adalah faktor utama kebahagiaan dalam hidup berpasangan.Bila timbul persoalan yang membabitkan perasaan, pasti kepercayaan dan kejujuran kunci utama kebahagiaan dalam sesuatu perhubungan.

Apapun pandangan ain berikan di sini, perkara akan menjadi lebih mudah jika kita muhasabah dengan diri sendiri.Cermin diri sendiri terlebih dahulu, tanyakan pada diri kita sama ada kita benar-benar ikhlas ingin menjalinkan perhubungan atau sekadar untuk bersuka-suka.Tanyakan pada diri kita adakah hubungan ini hanya seketika atau ingin diakhiri dengan satu ikatan yang direstui dan diredhai..

Apapun keputusan atau pilihan kita buat, semuanya bergantung pada diri sendiri.Jika kita rasakan kita belum bersedia untuk ke arah perhubungan yang serius, tak perlulah menabur janji pada kekasih hati.Juga jagalah tingkah laku sewaktu bercinta.Jangan jadikan lesen 'dia kekasih hatiku' sebagai jalan pintas untuk memuaskan nafsu, tapi akhirnya terlerai tanpa ikatan.

Memang zaman moden kini, ramai anak muda yang asyik bercinta, putus cinta, bermain cinta....diibaratkan tanpa bercinta tak 'rock!'..........

Dalam Islam, tidak digalakkan anak-anak muda bercinta.Ini bagi mengelak mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sepatutnya.Maka, dalam Islam telah diletakkan garis panduan dalam memilih pasangan hidup serta tatatertib antara kaum adam dan hawa.

Di sini ain coretkan sedikit tulisan dari bahan bacaan ain;dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda bermaksud:

"Apabila Allah swt mengkehendaki suatu rumahtangga yang baik(bahagia)diberikan-Nya keinginan menghayati ilmu-ilmu agama, yang muda menghormati yang tua-tua,harmoni atau tenteram dalam kehidupan, hemat dan hidup sederhana, melihat dan menyedari cacat-cacat (aib)mereka dan kemudian melakukan taubat.Jika Allah swt mengkehendaki sebaliknya maka ditinggal-Nya mereka dalam kesesatan."

Hadis ini membawa maksud, apabila kita menjadikan agama sebagai dasar kehidupan.... bermuhasabah diri dan kembali kepada ajaran Allah dengan bertaubat padaNya...maka segala urusan kita di dunia ini akan menjadi lebih mudah dan diredhai.

Begitu juga dalam memilih pasangan.Sentiasa bertaubat dan berdoa pada Allah, moga dikurniakan kita pasangan yang elok agamanya, elok tingkah lakunya dan dapat membimbing kita ke arah kebaikkan.Tidak perlulah dirunsingkan sama ada pasangan kita itu sesuai atau tidak.

Percaya dan yakin pada diri sendiri...yakin dengan Allah...sentiasa bertawakal dan berserah padaNya...insyaAllah...hati kita akan menjadi tenang dan lebih mudah dalam membuat keputusan.Amat penting disini, bila kita mempunyai kepercayaan pada Allah...terus-terang ain katakan kita akan lebih mudah dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan.

Buat sahabat-sahabat ain yang pernah bertanyakan soalan ini pada ain, akak harap adik-adik semua berpuas hati dengan huraian akak di sini.Sebarang kekurangan atau kesilapan, diharapkan adik-adik dan pembaca yang lain sudi menegur.

InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang.....assalamualaikum.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR