Wednesday, December 22, 2010

Dan Bila Esok...............

Assalamualaikum sahabat ain semua.Salam sejahtera ain ucapkan.Moga hari ini dan seterusnya kita sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang tidak pernah henti.

Baru-baru ni ain banyak menghabiskan masa bersama keluarga pergi bercuti.Tidak kiralah keluarga belah suami atau ain sendiri.Memang seronok rasanya menggunakan masa yang terluang bersama keluarga tersayang, kerana kebanyakkan masa kita gunakan untuk bekerja.

Tahun 2010 bakal sampai ke penghujung melabuhkan tirainya.Dan bagi umat Islam, bulan Muharram tanda mulanya tahun baru.

Begitu cepat masa berlalu dan begitu cepat waktu meninggalkan kita.Pelbagai perkara yang berlaku dan pelbagai dugaan telah kita semua tempuhi sepanjang tahun ini.Secara peribadi ain sendiri masih mencari apa ain inginkan dalam kehidupan ini.

Ain sedar Allah sentiasa bersama umatNya yang sering mengingatiNya.Ain sedar dalam kehidupan ini ain tidak bersendiri, Allah ada disisi.Ain sedar masih ada insan yang lebih malang daripada ain yang bersusah payah mencari sesuap nasi demi meneruskan kehidupan ini.Ain sedar tidak semua perkara yang kita inginkan kita akan perolehi dengan mudah.Adakala kita perlu lepaskan sesuatu demi kebahagiaan bersama.

Apa sebenarnya yang ain ingin cuba sampaikan???
Masa berlalu silih berganti.Entahkan esok, entahkan lusa, atau mungkin disaat ini nyawa ain diambil.Adakah ain sudah bersedia?Secara jujur, jawapannya TIDAK.

Segala saat yang ain lalui, segala dugaan yang ain lalui, segala ujian yang Allah berikan pada diri ini dan segala saat yang Allah berikan untuk ain bersama orang-orang tersayang, ain syukuri dan akan ain gunakan sebaik mungkin.Moga hari-hari yang tinggal ain dapat gunakan untuk perbaiki diri ini...

Dan Bila Esok Engkau memanggilku...maafkanlah segala dosa diriku ini...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...moga Kau terima segala amalanku ini...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...Moga diri ini berada disisiMu...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...terimalah aku seadanya...
Dan Bila Esok Engkau memanggilku...hanya padaMu aku berserah...

Sunday, December 12, 2010

MENGAPA ISLAM???



Assalamualaikum ain ucapkan buat pembaca dan sahabat blog ain.Moga kita semua sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah Yang Maha Esa.

Mengapa Islam???
Baru-baru ini ain berkenalan dengan seorang sahabat facebook yang mengenali ain melalui blog ini.Menarik soalan yang diajukan terhadap ain.Soalannya, bagaimana penerimaan keluarga ain sebelum berkahwin dengan suami.

Emmm....mendalam soalan tu.Soalan yang biasa ain dengar.Ada yang berpendapat mereka yang bergelar mualaf ini memilih Islam kerana ingin berkahwin.Namun ain faham sahabat facebook ain tidak bermaksud sedemikian.Apa yang ain dapat faham disini adalah bagaimana ain memastikan suami ain mendapat tempat dalam hati kedua-dua ibu bapa ain.

Segala perkara bermula dengan diri ain sendiri.Sewaktu ain nekad memilih Islam sebagai pegangan hidup, ain muhasabah diri sendiri.Agama, cinta, perkahwinan semuanya adalah suatu perkara yang berlainan.Tidak boleh dicampur adukkan.

Jika ain memilih Islam semata-mata untuk memiliki sebuah perkahwinan dengan jejaka ain cintai, berapa lamakah cinta itu akan bertahan?Bagaimana sekiranya berlaku penceraian atau ditinggalkan gantung tidak bertali?Adakah diketika itu ain masih berpegang pada Islam atau lupakannya?

Ain akui sewaktu memeluk Islam, ain sudah mengenali suami ain ketika itu.Semuanya adalah kebetulan dan ain yakin Allah telah menghantarnya pada waktu yang tepat.Walaupun ada kata-kata kurang enak sepanjang persahabatan kami sehingga terbitnya rasa kasih pada suami, ain pedulikan itu semua.

Bagi ain biarlah Allah tahu apa rasa isi hati ain sebenarnya.Untuk apa ain permainkan soal agama semata-mata kerana cinta?Untuk apa ain permainkan soal kebenaran Islam sebagai agama umat Nabi Muhammad semata-mata kerana cinta?

Bukankah cinta itu akan lebih indah jika kita abdikan kepada Allah semata-mata?

Berbalik pada persoalan tentang penerimaan keluarga terhadap suami ain, pada mulanya amat negatif.Mereka berpendapat Islam membenarkan suami untuk berkahwin lebih daripada satu.Keluarga ain amat bimbang ain akan disisihkan setelah berkahwin nanti.Mereka menentang habis-habisan perhubungan ain dan meminta ain melupakan suami ain diketika itu.

Sebagai anak, ain faham perasaan mereka yang masih tidak dapat menerima ain memeluk Islam dan sejurus selepas itu bercinta dengan jejaka melayu.Pasti mereka bimbang dengan masa depan anak gadis mereka yang belum kenal erti kehidupan.

Diketika itu, tiada apa ain dapat lakukan selain menadah tangan dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah.Jika dia adalah jodoh ain, maka permudahkan, jika tidak, maka jauhkanlah.Bagi ain jodoh takkan ke mana jika dia memang ditakdirkan untuk ain.

Waktu itu ain masih terlalu muda dan mungkin kurang arif dalam membuat keputusan.Adakala ain memberontak, melawan kata ibu bapa.Namun suami ain ketika itu sering memberikan nasihat pada ain agar bersabar dan tidak cepat melatah.Dia sering berpesan agar tidak lupakan solat dan berdoa pada Allah agar dilembutkan hati kedua-dua ibu bapa ain ketika itu.

Suami ain pula tidak pernah berputus asa cuba memikat hati kedua-dua ibu bapa ain.Suami ain seorang yang amat penyabar, hormat pada orang tua, mendengar kata dan tidak cepat melatah serta amat sederhana.Mungkin ini antara faktor ibu bapa ain dapat menerimanya dalam keluarga kami.Selain itu suami ain tidak mendesak dan mengikut sahaja kemahuan mereka selagi tidak menyalahi agama.

Di pihak ain pula, untuk membuatkan mereka menerima ain semula sebagai anak walaupun berlainan agama, ain harus patuh dan hormat kata-kata mereka dengan tidak melawan kata dan tidak berkelakuan tidak sopan yang boleh mencemarkan nama baik keluarga.Permintaan mereka agar untuk tidak bertudung terus ketika itu ain akui juga.Bagi ain, biarlah mereka menerima agama ini secara perlahan.Adakala perubahan drastik juga boleh membuatkan mereka menjadi semakin bimbang.

Dalam perkahwinan pasti membabitkan pertembungan 2 budaya berbeza.Untuk itu sebagai anak, ain dan suami sering juga menemukan mereka sama ada di waktu perayaan atau hari biasa.Malah, ibu mertua ain dan ibu ain sendiri sering berhubung melalui telefon.Rasa seronok dan gembira sangat ketika itu.Syukur alhamdulillah.

Apa ain dapat simpulkan disini adalah, apabila adanya persefahaman antara kedua-dua belah pihak, tidak kira besan atau bakal menantu, apabila adanya kesabaran antara kedua-dua belah keluarga, maka segalanya akan menjadi mudah.

Kata kunci disini adalah sabar, sabar, sabar, dan sabar, serta sentiasa berserah pada Allah Yang Esa.

Bagi pembaca blog ini yang berhasrat memeluk Islam, atau telah memeluk Islam, ingatlah.Janganlah kerana cintakan pasangan yang beragama Islam dan berhasrat untuk berkahwin dengan kekasih hati, memaksa anda memilih Islam sebagai pegangan hidup.Tiada gunanya mengucap 2 kalimah syahadah tanpa ada keikhlasan dan kerelaan daripada diri sendiri.Seperti coretan ain sebelum ini, tanpa keikhlasan yang datang daripada diri sendiri, segala amalan dan perbuatan kita tidak mungkin diterima Allah.

Salam sayang daripada ain buat sahabat semua.....

Friday, December 10, 2010

IKHLAS

Assalamualaikum, syukur alhamdulillah di hari Jumaat ini ain masih diberikan kesempatan untuk menulis diblog peribadi ini.

Di sini ain ingin utarakan tentang maksud ikhlas.Setiap amal dan perbuatan kita demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. perlulah diiringi dengan keikhlasan yang lahir dari hati sanubari.

Keikhlasan kita dalam mendapatkan keredhaan daripada Allah s.w.t. perlu adanya kesungguhan daripada diri sendiri agar segala amalan kita diterimaNya.

Di sini ain ingin kongsikan bahan bacaan ain untuk renungan bersama:
Ertinya:

"Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa merreka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata), "Demi sesungguhnya! Jika Engkau (ya Allah) selamatkanlah kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur." Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar.Wahai manusia!Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri.(Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang telah kamu lakukan." (Yunus 22-23)

Apa yang ain dapat huraikan di sini, kebanyakkan daripada kita sering melupakan Allah disaat senang, namun kita tidak pernah lupa atau leka untuk menadah tangan dan memohon pertolongan daripada Allah disaat kesusahan.

Jadi, di mana letaknya keikhlasan kita terhadap Allah? Di mana letaknya rasa kasih dan cinta kita pada Allah? Di mana letaknya rasa hormat, setia kita pada Allah?

Sama-samalah kita bermuhasabah diri demi kebaikkan bersama dan moga Allah sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah terhadap setiap umatNya.

Segala yang ain tuliskan di sini adalah ingatan untuk diri sendiri juga, agar tidak leka dengan nikmat dunia, serta tidak memandang ringan terhadap setiap amalan yang kita lakukan ini dapat diterima Allah jika tiada keikhlasan disertakan bersama.

InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang.Segala kesilapan dalam tulisan ain ini, diharapkan ada diantara pembaca sudi menegur.

Thursday, December 9, 2010

KEHIDUPAN


Assalamualaikum sahabat semua...

Kehidupan ini bagaikan ombak, pasti ada pasang surutnya.Adakala badai yang menimpa terlalu kuat hingga menghakis persisiran pantai.

Begitulah lumrah kehidupan, adakala kita berasa senang, adakala kita berasa gelisah.Adakala kita disayangi, adakala kita dipulaukan bagai orang asing.Itulah namanya kehidupan.

Kehidupan ini adalah suatu kurniaan dan ciptaan yang hebat daripada Allah Yang Maha Esa.Sesungguhnya diri ini amat bersyukur dan kagum dengan ciptaanMu.Bertuahnya diri ini kerana dipanjangkan usia untuk menikmati ciptaanMu.

Dan disebabkan kehidupan ini amat indah, pasti ada ketikanya kita diuji dengan pelbagai godaan dan cobaan yang adakala mengundang sengsara pada diri sendiri.Tak kurang juga setiap ujian itu boleh mengubah personaliti seseorang.

Secara peribadi, ain sendiri alami perkara yang sama.Jika dahulu ain terlalu skeptical tentang kehidupan, kini ain mengerti kehidupan ini seharusnya dinikmati sebaik mungkin dan dinikmati atas keredhaan Allah.

Perkara sebegini bunyinya amat mudah, tetapi sebenarnya sukar jika kita tidak berpegang teguh pada ajaranNya.Namun segalanya akan menjadi senang jika kita sentiasa beringat dan mengingati Allah dalam segala urusan atau tindakan yang kita ingin ambil.

Ain sendiri adakala melatah dalam mengharungi ujian daripadaNya.Namun ain sedar segalanya adalah untuk kebaikkan ain sendiri agar ain lebih berwaspada dan sentiasa mendekatkan diri padaNya.

"....pabila hati ini berasa sedih dan pilu...kepada Mu Ya Allah aku mengadu..pabila hati ini berasa sunyi dan sepi..kepadaMu Ya Allah aku berharap...pabila hati ini berasa gusar...kepadaMu Ya Allah aku menadah tangan dan memanjatkan doa.."


Salam sayang daripada ain buat sahabat ain semua...

SAHABATKU

Assalamualaikum semua...moga sahabat ain semua dalam keadaan sihat hendaknya dan dirahmati Allah selalu..

Apa harus ain coretkan dalam tulisan ain kali ini?Ain sendiri tak pasti, terlalu banyak perkara bermain difikiran.

Sebagai hamba Allah yang sering mengharapkan belas kasih daripadaNya, ain sedar diri ini sentiasa diuji dengan pelbagai cobaan.Ain sedar Allah sayangkan hambaNya, tidak mungkin Dia berikan sesuatu ujian itu jika hambaNya tidak mampu untuk hadapinya sendiri.

Adakala bila kita jujur dengan seseorang, belum tentu mereka akan berlaku jujur dengan kita.Adakala kita ikhlas terhadap seseorang, tidak kiralah dalam persahabatan atau perhubungan, belum tentu mereka ikhlas dengan kita.

Adakala sesuatu perkara itu terlalu rumit untuk diperkatakan, walaupun begitu diri ini memahami keadaan yag berlaku bukan atas kehendak individu itu.

Andai kata coretan ain ini dibaca, usah risau tentang diri ini.InsyaAllah Allah bantu ain hadapi hari-hari mendatang.Siapalah ain tanpa kasih daripada Allah Yang Esa.

Buat sahabat ain itu, ini kata-kata ain dapat berikan....

..sahabat...untuk apa kau hadir dalam hidupku..andai sekadar persinggahan sahaja...untuk apa kau berikan kata-kata manismu...andai kau sendiri tidak tahu apa yang kau inginkan...namun diriku memahami keadaanmu di sana...moga Allah membantumu dalam segala urusanmu..namun diri ini sentiasa berpegang pada janji...sahabat selamanya.............

Buat sahabat blog ain semua, mohon maaf andaikata coretan ain kali ini terlalu membosankan.Tiada kata-kata dapat ain luahkan di saat ini.

Saturday, December 4, 2010

DUGAAN

Assalamualaikum sahabat blog ain semua.Moga sahabat semua dalam keadaan sihat semuanya dan sentiasa dalam rahmat Allah.

Terlebih dahulu mohon maaf daripada diri ini kerana sudah lama tidak menulis dalam blog ini.

Banyak perkara perlu diuruskan dan banyak perkara bermain difikiran.Makin diri ini ingin mendekatkan diri pada Yang Esa, makin banyak dugaan dan cobaan yang adakala menguji keimanan diri ini.

Rasanya tiada salah kiranya ain menulis rasa hati dalam blog peribadi ain sendiri.Adakala dengan menulis dapat mengurangkan rasa sedih dihati.Ain berasa amat sedih diketika ini dan terlalu sukar untuk ain ungkapkan dengan kata-kata.

Ain berharap dan berdoa moga Allah kuatkan hati ini dan memohon moga diri ini tabah menghadapi dugaan dariNYA.Ain tahu Allah masih sayangkan ain, jadi ain perlu tabah hadapi semua ini.

InsyaAllah kita bertemu di coretan akan datang...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR