Friday, December 30, 2011

PENGERTIAN TABARRUJ

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat NUR sekalian.

Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama.Terlebih dahulu mohon maaf buat sahabat NUR sekalian kerana ain agak kurang berkunjung ke mari mengemas kini tulisan di blog.Terdapat beberapa perkara ain perlu selesaikan dan menuntut masa untuk ke sini.

Sebelum melabuhkan tirai 2012, ain ingin berkongsi nurkilan dari penulis Malaysian Niqabis berkenaan Tabarruj, salah satu tajuk post ain pernah paparkan di blog NUR.Moga tambahan ilmu ini dapat membantu kita memahami lagi pengertian tabarruj.





Pengertian Tabarruj

Tabarruj ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu dibahagian muka atau di anggota-anggota badan. Al Bukhari Rahmatullahi ‘Alaihi ada berkata :
“ Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan aurat dan disamping menjaga kehormatan wanita dari sebarang gangguan maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari bermake-up (tabarruj)

Larangan Tabarruj Dan Kaitannya Dengan Wanita Islam

Maka dengarlah wahai wanita-wanita Islam semua, segala suruhan Allah swt andainya anda semua beriman denganNya, Allah ada berberfirman :

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ”

( QS An Nur : 31)


Ketahuilah bahawa kain tudung yang dimaksudkan Allah dan dalam firmanNya yang bermaksud : Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya..






Bukanlah terhenti di bahagian kepala dan leher sahaja malahan menutupi bayangan mutiara yang tersisip di dada juga disuruh. Pastikan kain tudung itu mestilah besar sehingga menutup ke dada. Wanita-wanita Arab pada zaman Jahiliyah dahulukala ada yang berkelumbung kepala dan menutup bahagian leher mereka.Tetapi muka mereka terdedah, bahagian depan leher mereka dan dada mereka juga terdedah . Kadang kala baju kurung yang dipakai oleh wanita Melayu walaupun sudah dikancing biasa juga menampakkan sebahagian kecil daripada dada, dan masih menzahirkan bentuk buah dada dengan menonjol.Oleh itu wajiblah ditutup dengan kain tudung atau kelumbung yang besar, dan jangan pandang remeh terhadap perkara ini.Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya maka sudah jelas ia bukan dari seorang yang menghormati suruhan Allah swt. Akibat dari kecuaian dan kelalaian tersebut sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

Awas ! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman yang bermaksud :
Janganlah menampakkan perhiasannya

Rasulullah saw bersabda :

Telah berkata Aishah r.a :” Sesungguhnya, Asma’ binti Abu Bakar menemui Nabi s.a.w dengan memakai busana yang nipis.” Maka Nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’, sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh(sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini, sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya.”

“Perempuan itu apabila telah cukup umurnya tidak boleh dilihat daripadanya kecuali muka dan tapak tangannya hingga pergelangan”



Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan dianggota badan atau dipakaian adalah boleh membawa fitnah. Dengan ini Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan seksaan dariNya. Pengertian perhiasan bukanlah tertentu pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istimewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki, maka perbuatan ini juga dinamakan TABARRUJ.

Ada pula dikalangan wanita yang bertudung disamping tudung ini diletakkan pula diatasnya sulaman bunga dan corak yang menarik, manakala rambutnya yang dibahagian hadapan sengaja dihulurkan keluar dari kain tudung dan terjuntai menutupi sebahagian dahi . Andainya angin meniup lalu, sudah jelas rambut tadi terlambai-lambai mengikut arus bayu.






Ada fesyen pula rambutnya disanggul dan dihias pula laksana mahkota, selepas itu diletakan dengan kain tudung semakin jelas bentuk tubuh dan keindahan mahkotanya.

Idea dan usaha ini dilakukan supaya tambah menarik setiap mata memandang dan kononnya supaya dianggap orang bahawa ia juga seorang yang mentaati Allah di samping pandai pula menyesuaikan diri dengan berbagai-bagai fesyen pakaian mengikut keadaan zaman.

Sebenarnya maksud dan usaha anda sedemikian adalah salah. Allah swt lebih mengetahui segala persoalan yang tersirat di dalam otak anda. Penzahiran tindakan ini beerti kamu menipu diri sendiri. Akhirnya anda juga tergolong di dalam golongan wanita-wanita yang bermake-up .






Ada pun di kalangan wanita bertudung sudah sempurna menutupi dada dan bahagian tubuhnya yang lain, tetapi mengenakan seluar panjang seperti ‘jean’ dan berbagai fesyen seluar di pasaran . Dengan hanya memakai baju lengan panjang separa bawah pinggul dan memakai seluar sebenarnya masih belum sempurna menutup aurat dan perbuatan ini boleh diistilahkan sebagai bertabarruj, sedangkan tabarruj itu haram. Ini kerana orang masih boleh melihat rentak dua kaki anda ketika berdiri dan ketika kaki dihayunkan ketika berjalan . Tetapi jika anda memakai kain mustahil orang lain dapat memerhatikan hayunan kaki anda. Jadi tidak salah sekiranya anda memakai kain dan memakai seluar panjang di dalamnya.

Kerana rata-rata wanita beralasan bahawa memakai kain atau jubah menyukarkan mereka untuk bergerak apatah lagi melakukan aktiviti yang lasak di era moden ini. Ini adalah pernyataan bagi orang yang beralasan kerana lebih mengutamakan hawa sendiri dari perintah Allah. Sedangkan kita diperintahkan mengutamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia.

Seterusnya kita melihat firman Allah : Dan janganlah mereka memukulkan kakinya

Dari kandungan ayat ini, Allah juga melarang setengah golongan wanita (tradisi mereka ini bergelang kaki) dari menghulurkan kaki hingga terlihat perhiasan tersebut. Perempuan beriman dilarang memukul atau menghayun kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan .Ini akan mendatangkan fitnah kepada lelaki ajnabi sekiranya mendengar bunyi gemerincing pada gelang kaki tersebut.

Berikut pula mari kita merenung firman Allah khasnya yang ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(QS Al Ahzab : 59 )


Dari ayat ini dapatlah difahamkan bahawa suara lemah lembut adalah sebahagian daripada aurat wanita juga. Pengaruh suara wanita ke atas hati lelaki memang diakui juga oleh ahli-ahli psikologi moden. Oleh itu wanita yang beriman hendaklah jangan melunakkan suara mereka kepada lelaki ajnabi ketika ketika mereka sedang bermuamalah. Tetapi apa yang berlaku sekarang muda mudi kita kebanyakkan berebutan untuk menjadi penyanyi dan pelakon. Berbagai bentuk rancangan realiti tv diperkenalkan bagi mencungkil bakat yang terpendam seperti menyanyi , berlakon dan bidang peragaan. Apakah yang dikejar? Populariti yang tidak pasti atau Redha Allah yang berkekalan?






Selain itu, wanita dilarang sama sekali mengenakan bau-bauan atau perfume ketika keluar dari rumah . Di mana Rasulullah saw bersabda

“Wanita apabila memakai wangi-wangian kemudia berjalan melalui majlis(laki-laki) maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur” (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)

Pendedahan perhiasan yang dilakukan oleh wanita dengan mempamerkan kejelitaan tubuh mereka dianggap sebagai satu penipuan yang besar terhadap lelaki.Pendedahan tersebut boleh menimbulkan berahi setiap lelaki terutama bagi mereka yang mempunyai syahwat hayawaniyyah. Perbuatan tadi umpama membentangkan juadah makanan dihadapan mereka.Andainya makanan yang enak terbentang dihadapan mereka, mata siapakah tidak terbeliak? Selera siapakah tidak terbuka? Natijah daripada ini pula Allah swt tidak ketinggalan untuk memerintahkan kaum lelaki supaya mereka memelihara penglihatan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan. Larangan tersebut terdapat di dalam firmanNya :

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
(QS Annur : 30)


Demikian juga Allah menyuruh wanita supaya menahan pandangan mereka dalam surah An Nur , ayat 31.



Ingatan buat kita bersama...

Thursday, December 22, 2011

HIDAYAH MILIK ALLAH...ISLAM UNTUK SEMUA

Assalamualaikum, salam sejahtera buat semua sahabat blog NUR.
Alhamdulillah, bertemu kita kembali setelah sekian lama ain tidak mengemaskini coretan di sini.

Sebelum ain meneruskan coretan, ain ingin mengajak sahabat sekalian luangkan masa sejenak menyaksikan paparan video di bawah:







Dalam masyarakat kita di Malaysia amnya, apabila melihat non muslim memeluk agama Islam, agama Allah, pasti perkataan atau persoalan yang biasa didengar, "Masuk Melayu" atau "Kahwin Melayu?" atau "Dah lama masuk Melayu?"...Dan tidak kurang juga mentaliti kita akan terus mengecop, "Dah jodoh.." seakan-akan membawa maksud seseorang individu itu memeluk Islam, kembali kepada ajaran Allah SWT hanyalah semata-mata ingin berkahwin.Hati-hatilah dengan pertuturan kerana saudara baru ini amat sensitif.

Secara peribadi, tidak kiralah pengIslaman seseorang itu kerana ingin berkahwin atau sebaliknya.Atas izin Allah SWT sudah ditakdirkan seseorang itu memilih ISlam hanya kerana inginkan perkahwinan.Namun, perkara yang lebih besar dan menjadi fokus utama adalah membantu saudara baru ini dalam kefahamannya tentang Islam, tentang Allah SWT, tentang NAbi Muhammad SAW.Usah difokuskan sangat bila seseorang itu memeluk Islam.Usah difokuskan seseorang itu memeluk Islam sama ada sebelum atau selepas berkahwin.Allah Maha Mengetahui segalanya lebih daripada diri kita sendiri.

Tanggungjawab kita sebagai saudara Islam kepada saudara baru adalah untuk terus membimbing dan membantu tidak kira dalam apa cara sekalipun.Teruslah memberikan panduan dari segi hal agama dan bantulah mereka kerana mereka amat-amat dahagakan ilmu Allah SWT.Jangan biarkan mereka sendirian.

Sebagai seorang Islam, kita dididik untuk berbaik sangka sesama Islam mahupun yang bukan Islam.Kenapa? Kerana Allah SWT menjadikan manusia dalam pelbagai bangsa, pelbagai rupa dan keadaan.Jangan kerana seseorang itu belum memeluk Islam, maka mereka dipinggirkan atau dipandang hina.Bagaimana agama Islam ingin berkembang andai kita yang mengaku Islam itu sendiri memulau mereka yang bukan Islam? Maaf kerana inilah yang sedang terjadi.Seharusnya kita tunjukkan tauladan yang baik agar dapat dijadikan pedoman buat mereka yang tertanya-tanya apa itu Islam.

Pernah kita dengar istilah, "Islam hanya pada IC", atau "Islam hanya pada namanya sahaja"??? ..Apa ain ingin nyatakan disini adalah, ubahlah sikap bersangka buruk pada seseorang itu lebih-lebih lagi pada saudara Islam kita yang lain.

Belajarlah untuk sentiasa bersangka baik sesama manusia.Sebagaimana kita WAJIB bersangka baik pada Allah SWT, begitu jugalah pada makhluk ciptaan Allah SWT.Andai kita melihat keburukan seseorang itu, maka jadikan ia sebagai tauladan agar diri kita terhindar dari perbuatan yang tidak elok itu.Jika kita mampu maka tegurlah secara berhemah, jika tidak memadailah dengan mendoakn ksejahteraan mereka.

Belajarlah untuk bersangka baik pada saudara sesama Islam.Walau buruk sekalipun perilaku mereka, usahlah jadikan ia sebagai tali pengukur tahap keimanan seseorang itu.Siapalah kita untuk menilai amal kebaikkan seseorang melalui luarannya sahaja.Allah Maha Mengetahui segalanya.Boleh jadi mereka yang berkelakuan buruk itu akan berubah, malah lebih baik daripada kita di masa akan datang.Hidayah itu milik Allah, Allah SWT berhak memilih hamba NYA yang layak untuk diberikan hidayah.Allahuakhbar!!!







Belajarlah bersangka baik sesama Islam.Belajarlah bersangka baik terhadap makhluk ciptaan Allah SWT.Siapalah kita untuk menilai amalan seseorang itu sedangkan diri kita sendiri diciptakn Allah SWT.Jagalah aib seseorang saudara Islam itu.Jika kita mampu menutup keaiban seseorang di dunia, insyaAllah Allah SWT akan menutup keaiban kita di dunia mahupun di akhirat.

Hidayah itu milik Allah SWT.Beruntunglah mereka yang diberikan hidayah.

SubhanAllah...Allah Maha Mengetahui....:)

Saturday, December 10, 2011

MAJLIS ZIKIR DAN KEBERKATANNYA

Assalamualaikum, salam sejahtera buat semua sahabat NUR di sini.Dengan rasa syukur pada Allah SWT, dan dengan izin NYA InsyaAllah ingin ain kongsikan bersama sahabat sekalian sedikit sebanyak ilmu bersama sahabat sekalian.



(gambar ehsan dari Google)


Dari Hazrat Anas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila kamu melalui kebun-kebun syurga maka ragutlah (ambillah manfaat) sepuas-puasnya." Seorang bertanya, "Apakah kebun syurga itu,Ya Rasulullah?" Jawab Baginda , "Majlis Zikrullah"
(Hadith Riwayat Ahmad, Tirmizi dan lain-lain)

Keterangan Hadith:

Bertuah benar orang-orang yang dapat menghadiri majlis-majlis zikir dan dia hendaklah merasakan itu adalah satu anugerah daripada Allah SWT yang besar.Majlis-majlis zikir merupakan taman-taman syurga di dunia ini. "Ragutlah sepuas-puasnya" bermaksud sebagaimana binatang apabila meragut atau memakan rumput yang menghijau di sebuah kebun atau padang ragut maka tidak mudah untuk menghalang binatang itu (daripada terus meragut rumput) walaupun dihalau oleh tuan binatang itu.Bahkan binatang itu akan terus meragut rumput walaupun dipukul dengan tongkat dan benda-benda lain.Binatang itu langsung tidak akan memalingkan muka.

Begitu juga hendaknya mereka yang berzikir.Janganlah memalingkan muka dan tumpuan daripada zikir disebabkan oleh kebimbangan dan halangan-halangan keduniaan yang lain.

Dalam hadith di atas, majlis-majlis zikir diumpamakan sebagai kebun-kebun syurga kerana di dalam syurga tidak terdapat sebarang musibah.Demikian juga dengan majlis-majlis zikir yang turut terpelihara daripada segala musibah.Dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa zikrullah adalah penawar bagi hati.Segala jenis penyakit hati seperti takabur, hasad dengki, iri hati, buruk sangka dan sebagainya dapat disembuhkan melalui zikrullah.Pengarang kitab 'al-Fawaid fissolah wal awaid' menulis bahawa sesiapa yang sentiasa berzikir akan sentiasa terpelihara daripada segala bala bencana.

Diriwayatkan dalam sebuah hadith sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Aku memerintahkan kamu supaya berzikir sebanyak-banyaknya dan orang yang berzikir itu adalah umpama seseorang yang dikejar oleh musuh lalu dia lari dan menyelamatkan diri di dalam sebuah kubu.Orang yang berzikir adalah ahli majlis Allah SWT.Adakah faedah yang lebih besar berbanding dengan seorang yang berzikir bersama Raja Semesta Alam?"

Adakah faedah yang lebih besar daripada itu? Seseorang yang berzikir menjadi rakan kepada Raja Semesta Alam.Selain itu melalui zikrullah, hati seseorang akan menjadi tenang, hatinya akan bercahaya dan kekerasan hatinya akan hilang.Terdapat banyak lagi manfaat yang lain dari segi zahir dan batin, malahan sesetengah ulama menghitung sehingga mencapai seratus manfaat.

Seorang telah mengunjungi Hazrat Abu Umamah r.a. lalu berkata kepada beliau, "Aku melihat di dalam mimpi, para malaikat berdoa untuk tuan semasa tuan masuk dan keluar, berdiri ataupun duduk." Jawab Abu Umamah r.a. "Sekiranya kamu inginkan demikian maka mereka juga boleh mendoakan untuk kamu." Lalu beliau membacakan ayat ini,

"Wahai orang-orang yang beriman berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada NYA pada waktu pagi dan petang.Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat NYA (memohonkan keampunan untukmu) supaya mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang).Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman." (Surah Al-Ahzab ayat 41-43)

Dari Safwan bin Assal Al-Muradi r.a. meriwayatkan satu ketika aku datang menemui baginda Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di dalam masjid duduk bersandar di atas cadar merah,lantas aku berkata:"Ya Rasulullah SAW sesungguhnya aku datang untuk menuntut ilmu."
Nabi menjawab: "Selamat datang bagi orang yang menuntut ilmu.Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayap-sayapnya bagi mereka yang menuntut ilmu, kemudian berkumpul bertumpuk-tumpuk antara satu sama lain, hinggalah ke langit dunia.Mereka melakukannya kerana cintanya kepada orang yang menuntut ilmu."(HR Tabrani)

Ayat-ayat yang tersebut di atas menunjukkan bahawa rahmat Allah SWT dan doa para malaikat adalah hasil daripada zikrullah yang kamu kerjakan.Sebanyak mana kamu berzikir mengingati Allah SWT, sebanyak itulah kamu akan diingati.

(Perkongsian dari kitab Fadhilat Amal berkenaan Fadhilat Zikir)


Begitulah hebatnya bagi orang-orang yang menuntut ilmu atau berada di dalam majlis ilmu.Majlis ilmu juga dikatakan majlis zikir kerana di dalam majlis itu disampaikan tentang kebesaran Allah SWT, kisah Para Nabi & Para Sahabat.Seperti Hadith dinyatakan di atas, para malaikat amat menyukai majlis zikir dan akan mendoakan orang-orang yang menghadiri majlis zikir atau majlis ilmu ini.Maka sesiapa yang menghadiri majlis zikir sudah pasti akan sentiasa di dalam Rahmat Allah SWT.Allahuakhbar!!!

Maka, cara mudah mendapatkan keberkatan majlis ini selain menghadiri kuliah di masjid atau surau berdekatan, hidupkanlah suasana masjid di dalam rumah masing-masing.Adakan juga majlis ilmu di rumah kediaman kita kerana sudah dinyatakan para malaikat amat menyukai dan akan mencari-cari tempat yang diadakan majlis ilmu, walaupun di rumah sahaja.Alangkah beruntungnya rumah-rumah yang diadakan majlis ilmu.Sesiapa yang berniat untuk menghadirkan diri ke majlis zikir, atau sesiapa yang dalam perjalanan ke majlis zikir, atau yang hadir dengan tidak sengaja ke majlis zikir dan juga yang berada di dalam majlis zikir ini dengan niat untuk mendapatkan keberkatan majlis, maka semua yang terlibat akan senantiasa dalam rahmat Allah SWT kerana para malaikat akan mendoakan kita. SubhanaAllah!!!...

Begitu mudah untuk mendapat kasih sayang Allah SWT, namun masih sukar lagi untuk kita menghayatinya...(moga diri ini istiqamah dan terus berada di jalan MU..aamiin)

Moga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah.

Thursday, November 24, 2011

YA ALLAH....

Assalamualaikum sahabat ain sekalian.Moga sahabat semuanya dalam lindungan Allah SWT dan senantiasa dipermudahkan dalam segala urusan.

Sekadar ingin berkongsi lagu-lagu yang menyentuh perasaan ini.Moga ianya memberikan keinsafan buat kita bersama, insyaAllah.








...dalam hitam kelam malam...dalam sepi rinduku padamu Ya Allah...(Opick)...





seandainya Engkau tak sayang padaku...tak ku kenal siapa diriku...seandainya Engkau tak kasih padaku...tak ku tahu arah hidupku...(Iwan Syahman)...





...penuhi jiwa ini dengan satu rindu..rindu untuk mendapatkan RahmatMu...cukup bagiku Allah..(Opick)




...SubhanaAllah itu Allah yang punya...tiada yang engkau punya..semuanya Allah punya...(Iwan Syahman)...






SubhanaAllah..Maha Suci Allah...begitu banyak nikmat yang Allah SWT berikan pada kita hingga saat ini.Bersyukurlah atas segala nikmatnya dengan melakukan segala perintah Allah SWT dengan penuh ketaatan dan keikhlasan.

Sayangilah Allah...cintailah Allah SWT lebih dari cinta kita pada manusia....

Sunday, November 20, 2011

JOM IKUT SUNNAH RASULULLAH SAW

Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Moga semuanya senantiasa di dalam lindungan Allah SWT ..aamiin.

Kali ini ain ingin mengajak para sahabat sekalian untuk sama-sama mempelajari dan menghayati sunnah-sunnah yang ditinggalkan Rasulullah SAW buat umatnya yang tersayang.

Jom ikut sunnah Rasulullah SAW!!!




Di dalam Al-Quran ada dinyatakan:

"Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah SWT, ikutilah aku, nescaya Allah Mengasihi dan Mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Katakanlah, "Taatilah Allah dan RasulNYA, jika kamu berpaling, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir."
(Surah Ali Imran ayat 31 & 32)



Maka, apa saja yang disukai oleh Rasulullah SAW, maka itu adalah kesukaan Allah SWT.Apa saja amalan Sunnah Rasulullah SAW, itulah amalan yang paling Allah SWT sukai.

Sebagaimana disebutkan Hadits dalam Kitab Al Muwatha’ lil Imam Malik r.a

عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Dari Imam Malik r.a, datang kepada beliau tentang apa yang sampai kepada beliau bahwa Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Aku tinggalkan/wasiatkan sesuatu kepada kalian dua perkara dan untuk kamu semua memegang teguh keduanya yang mana kalian semua tidak akan tersesat yaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah Nabinya" (hadits).













SELAMAT BERAMAL!!!

Saturday, November 19, 2011

UNTUKMU MUSLIMAH


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga sahabat semuanya dalam keadaan sihat-sihat selalu dan senantiasa di dalam lindungan Allah SWT.

Kali ini ain ingin berkongsi bersama sahabat semua bacaan hadith dan Al Quran yang ain sentiasa rujuk kembali dari semasa ke semasa.

Ain coretkan di blog NUR bukan hanya untuk sahabat membacanya, malah untuk ain jadikan nota peribadi di masa depan.


UNTUKMU MUSLIMAH SOLEHAH...

(BERKENAAN BERPAKAIAN LABUH)

Firman Allah SWT:

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: 'Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka'. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,kerana itu mereka tidak akan diganggu.Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk daripada mereka."
(hadith riwayat Ahmad,Abu Daud, dan Ibnu Hibban)


Maka, berpakaianlah sebagai seorang wanita Islam agar diri kita tidak kelihatan sama seperti yang bukan Islam.


(BERKENAAN TABIR/PURDAH)

Allah SWT berfirman:

"Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir.Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka." (Surah Al Azhab 33: ayat 53)

"Tidak ada dosa atas isteri-isteri Nabi (untuk berjumpa tanpa tabir) dengan bapa-bapa mereka, anak-anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka,anak laki-laki dari saudara lelaki mereka, anak laki-laki dari saudara mereka yang perempuan, perempuan-perempuan yang beriman dan hamba sahaya yang mereka miliki, dan bertakwalah kamu kepada Allah.Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu." (Surah Al Azhab 33: ayat 55)


Hadith-hadith berkenaan tabir/purdah:

Rasulullah SAW bersabda:

"Bila seseorang diantara kamu melamar orang perempuan, maka tidak berdosa baginya melihat si perempuan, apabila melihatnya memang hanya untuk melamar (meminang) sekalipun dan tidak tahu." (Hadis Riwayat Ahmad)


Hadith Aisyah R.a.:

Rasulullah SAW sembahyang subuh, beberapa orang wanita ikut sembahyang bersama beliau dengan berselimutkan kain bulunya kemudian mereka pulang ke rumah.Tidak seorang pun tahu kerana suasana yang gelap.Aisyah berkata: "Andaikan Rasulullah SAW mengetahui apa yang kami lihat (wanita yang ikut sembahyang di masjid) pasti beliau melarang mereka pergi ke masjid."
(turut diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud)


"Ada orang berkenderaan melewati kami,sedangkan ketika itu kami mengerjakan ihram bersama Rasulullah SAW, ketika mereka berhadapan dengan kami, salah seorang diantara kami menutup jilbabnya ke wajahnya, bila mana mereka sudah berlalu dari kami, kami membuka semula wajah."
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah)



Ulama ada berpendapat memakai purdah ini wajib dan ada juga yang berpendapat harus.Namun, mengikut Mazhab Imam Shafie hukumnya adalah WAJIB dan amat DIGALAKKAN atau DIUTAMAKAN.Namun TIADA hukum mengatakan berpurdah ini haram.





"Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah SWT, ikutilah aku, nescaya Allah Mengasihi dan Mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Katakanlah, "Taatilah Allah dan RasulNYA, jika kamu berpaling, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir."
(Surah Ali Imran ayat 31 & 32)


Maka, apa saja yang disukai oleh Rasulullah SAW, maka itu adalah kesukaan Allah SWT.Apa saja amalan Sunnah Rasulullah SAW, itulah amalan yang paling Allah SWT sukai.

Sebagaimana disebutkan Hadits dalam Kitab Al Muwatha’ lil Imam Malik r.a

عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Dari Imam Malik r.a, datang kepada beliau tentang apa yang sampai kepada beliau bahwa Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Aku tinggalkan/wasiatkan sesuatu kepada kalian dua perkara dan untuk kamu semua memegang teguh keduanya yang mana kalian semua tidak akan tersesat yaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah Nabinya" (hadits).

Namun, bagi niqabis atau muslimah berpurdah di luar sana.USAH bangga diri jika anda berniqab atau berpurdah.Berniqab atau tidak, kita semua tetap sama.Yang membezakan hanyalah amalan masing-masing.(ingatan buat diri ini )


Ayat dalam Surah An-Nuur ayat 30 & 31 jika dibaca berulang kali dan difahami dengan baik, ianya berkait rapat dengan Adab Seorang Wanita Islam dalam batas-batas pergaulan dan juga batas aurat di kalangan ahli keluarga serta masyarakat...





Allah SWT berfirman:

"Katakanlah kepada wanita beriman, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan kecuali yang biasa nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan laki-laki yang tidak berkeinginan terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengenal tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang beriman supaya kamu beruntung."
(Surah An Nuur 24: ayat 31)



(BERKENAAN MENUNDUKKAN PANDANGAN)

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kemaluannya yang demikian itu adalah suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.."
(Surah An Nuur 24: ayat 30)

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan)
(Surah An Nuur 24: ayat 31)



(BERKENAAN MENUTUP TUMIT KAKI)





Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang menarik bajunya kerana sombong, Allah SWT tidak melihat padanya pada hari Kiamat." Ummu Salamah bertanya; 'Bagaimana caranya perempuan membuat baju panjangnya?' Sabda Nabi SAW; "Hendaklah menurunkan sejengkal." Aisyah RA bertanya; 'Apabila wanita terbuka tumitnya?' Sabda Nabi; "Hendaklah menurunkan sehasta, tidak boleh melebihi dari itu."
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, JANGAN merasa pelik jika anda melihat ada sesetengah muslimah yang mengenakan jubah atau pakaian labuh yang meleret ke tanah, atau tidak kurang juga JANGAN merasa pelik melihat kami muslimah menutup kaki dengan memakai stoking.


(BERKENAAN BERJABAT TANGAN)




'Tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan pun, kecuali tangan perempuan yang dimilikinya.'
(Hadith Riwayat Imam Bukhari dari Aisyah RA)

Bagi sahabat pembaca lelaki mahupun wanita, BERATKAN tangan anda itu daripada bersalaman dengan mereka yang tidak halal bagi dirimu.(ingatan buat diri ini juga)

Moga kita bertemu lagi di coretan akan datang, InsyaAllah.

Friday, November 11, 2011

DAKWAH? TABLIGH?...JANGAN BERSANGKA BURUK....

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat Nur sekalian.

Ain ingin berkongsi suatu ketika sewaktu ain masih lagi belum beragama Islam.Ain masih ingat semasa ain tinggal bersama nenek di masa kecil mahupun ketika ain sudah remaja dan tinggal bersama ibu bapa.Ain melihat sekumpulan manusia yang datang beramai-ramai dari rumah ke rumah sambil membawa sebuah buku di tapak tangan.Mereka datang dengan penuh kemesraan seolah-olah ingin mengatakan sesuatu perkara kebaikkan.Namun, apa yang ain ingat, mereka dihalau dan pintu rumah ditutup kerana tidak berminat untuk ambil tahu.Kumpulan yang datang itu sebenarnya ingin menyebarkan ajaran Kristian pada keluarga ain suatu ketika dahulu.

Kini memori itu datang kembali berikutan suatu perkara ain baru faham dan pelajari baru-baru ini.Tentu sahabat pembaca pernah mendengar perkataan TABLIGH, DAKWAH dan MUBALIGH bukan??? Apa maksud TABLIGH??? Apa itu MUBALIGH??? Apa maksud DAKWAH???

Tabligh adalah “menyampaikan ajaran-ajaran Islam yang diterima dari Allah SWT kepada ummat manusia agar dijadikan pedoman hidup supaya memperoleh kebahagian di dunia dan di ahirat.” Tabligh dikenali juga di kalangan masyarakat Islam dengan Jemaah Tabligh.Namun, rata-rata masyarakat kini memandang serong dengan Jemaah Tabligh.

Istilah syara` dakwah adalah kegiatan yang bersifat menyeru, memanggil, atau mengajak orang untuk beriman dan taat kepada Allah, SWT sesuai dengan ajaran Islam.(LIHAT POST AIN BERKENAAN PENGERTIAN DAKWAH)

Mubaligh bermaksud ahli kumpulan agama yang dihantar untuk menyebarkan ajaran agama mereka melalui dakwah, pendidikan, khidmat sosial dan sebagainya. Perkataan "mubaligh" berasal dari bahasa Arab iaitu, مبالغ yang bermaksud "berlebihan" atau "berluasan", yang menakrifkan usaha memperluaskan penyebaran agama oleh orang yang bergelar mubaligh. Namun perkataan MUBALIGH ini lebih dikenali dengan penganut Kristian.Betul tak??? Ini kerana mereka bergiat aktif dalam masyarakat menyampaikan agama mereka.Sedangkan maksud mubaligh itu sendiri adalah kumpulan agama yang menyebarkan agama, tidak berkaitan dengan agama sama sekali.

Ini nurkilan daripada seorang sahabat dan nurkilannya terus-terang ain katakan adalah nurkilan yang ain sendiri ingin katakan juga.

"HARI INI SEMUA ANTI TABLIGH.. HARI INI SEMUA BENCI TABLIGH.. HARI INI SEMUA KATA SESATNYA TABLIGH.. HARI INI SEMUA CACI TABLIGH..
TAPI SEDARKAH MEREKA PERKATAAN TABLIGH ITU ADALAH SIFAT WAJIB NABI? SEDARKAH MEREKA? JANGAN MENGATAKAN CINTA PADA NABI KALAU HAKIKATNYA BENCI. SEMUA MASIH BELUM SEDAR ISLAM KUAT SEBAB MUBALLIGH. ISLAM HIDUP SEBAB MUBALLIGH. ISLAM SUBUR SEBAB MUBALLIGH.
KALAU NAK HARAP ISLAM KETURUNAN, TAKDE LAGI SELEPAS NABI, ORANG KAFIR MASUK ISLAM. NI SEMUA SEBAB MUBALLIGH!! SEBAB DA'IE!! DI MANA LAGI PERTIKAIAN KITA TERHADAP TABLIGH. BENTANGKANLAH DAN TUNGGULAH ALLAH AKAN JAWAB, KERANA NABI IBRAHIM YANG JUGA DA'IE MAKA PENGORBANANNYA ALLAH HARGAI SEHINGGA ADANYA PERAYAAN AIDIL ADHA NI. FIKIRKAN & RENUNGKANLAH DEMI ISLAM DAN IMAN UMMAH!!!"..
*muhasabah* via An-nuur janna

Masyarakat hingga kini masih berpandangan serong terhadap mereka yang terlibat dengan tabligh.Sedangkan usaha dakwah daripada jemaah tabligh ini hanyalah dengan niat mengajak umat manusia kembali kepada ajaran ISlam yang sebenar dan kembali kepada ajaran Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat.

Yea, memang benar ada dikalangan jemaah tabligh ini hidup dalam keadaan serba sederhana dan tidak kurang juga ada dikalangan mereka keadaan keluarga terabai.Namun, kenapa hanya jemaah tabligh saja dipandang hina sedemikian? Bukankah di dalam masyarakat kita sendiri yang tidak terlibat dengan tabligh juga ada yang mengabaikan keluarga dan agama?Hanya kerana mereka 'tabligh', maka segala yang buruk di dalam masyarakat datang daripada mereka, begitu? Betapa sempitnya fikiran kita jika beranggapan sedemikian.

Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan.Jemaah Tabligh juga manusia biasa yang melakukan kesilapan dan berusaha memperbaiki diri dari masa ke semasa.Tahukah kita bahawa jemaah tabligh sanggup mendekatkan diri dengan mereka yang bermasalah misalnya penagih dadah, dengan niat untuk mengajak mereka kembali kepada ajaran Allah SWT.Mereka tidak memandang jijik golongan sebegini dan tidak takut untuk mendekati mereka yang biasanya dipandang hina dalam masyarakat.

Ambil masa anda sejenak membaca kisah seorang sahabat yang kami kenali.(ain dan suami):


Sahabat Nabi : “ Nahnu nakrahu a’si ,walakin nahnu la nakrahu ma’asi”
Maksudnya : “ Kami membenci maksiat ,akan tetapi kami tidak membenci pelaku maksiat”



Perkongsian gambar daripada sahabat


Teringat aku sewaktu tinggal di Flat Ceras kira-kira 20 tahun yang lalu. Ianya merupakan marhalah ke empat aku selepas Segambut, Kg.Baharu dan Setapat Jaya. Setelah beberapa bulan tinggal di sana , aku dilantik menjadi Imam di Surau berdekatan. Disamping kesibukan urusan pejabat aku juga menyibukan diri aku dengan kerja-kerja Dakwah dan Tabligh serta mengajar Tajwid kepada rakan-rakan dan juga anak muda setempat.

Di Flat serta taman berdekatan sememangnya ramai penagih dari luar berlebih lagi anak-anak tempatan. Hampir setiap pagi bila aku ke surau untuk solat Suboh pastinya akan ada beberapa orang penagih yang melepak di situ. Telah menjadi kebiasaan masyarakat akan memandang hina , mengherdik, memaki dan menghalau penagih-penagih ini yang rata-rata adalah anak tempatan. Terasa kasihan bila melihat keadaan mereka yang terjauh dari hidayat sedangkan satu ‘Kalimah’ dengan kita. Patutkah kita hanya mencemoh dan memaki tanpa membimbing mereka ke jalan hidayat.

Dengan bertemankan rakan seusaha , kami pun ziarah khususi mereka dan ajak mereka untuk solat berjemaah dan keluar 3 hari. Alhamdulillah ramai dikalangan mereka yang dapat keluar 3 hari. Dikalangan mereka terdapat beberapa orang yang menagih Morphine dan yang lainnya menagih Ganja. Ada dikalangan mereka yang telah menagih hampir 15 tahun. Ini yang banyak masaalah untuk mengawal mereka. Kami keluar di Petaling Jaya dan Alhamdulillah setelah balek ada perubahan kepada mereka ini. Tapi yang susahnya untuk mengawal mereka di samping tidak tahu solat dan bacaan Quran. Bila melihat pakaian serta mata yang bercelak tebal menakutkan masyarakat. Paling ketara ada yang solat Suboh 4 rokaat. Bila ditanya sebab apa abang solat Suboh 4 rokaat jawapnya dengan penoh yakin tak boleh ke aku solat lebih kerana dah bertahun-tahun aku tak solat.

Masyarakat melihat banyaknya yang mecemoh dengan mengatakan Tabligh ini tak ada ilmu, jahil dan Pusat Dakwah dan Pusat Dadah. Sedikit sangat yang menyokong dan memuji. Begitulah lumrah dalam kerja dahwah.

Setelah berpindah ke Seremban, beberapa tahun yang lalu aku berkesempatan nusrah Jemaah Masturat (Wanita) dari Seremban yang ‘transit’ di surau berdekatan dengan surau yang pernah aku tinggal dahulu, Di sana aku kembali bertemu dengan beberapa orang dari mereka yang pernah aku ‘taskil’. Alhamdulillah mereka telah berubah dan menjadi ahli surau dan ada yang belajar pondok di Thailand serta pulang mengajar agama di surau juga menjadi Imam serta Pengerusi surau yang dahulunya mereka menagih dan melepak di situ.

Pengalaman dakwah kepada penagih ini tidak hilang dari diri aku atas simpati, kasihan dan merasakan perlu membimbing mereka masih terasa di benak hati aku. Sehingga kini aku menjadi salah seorang penceramah untuk program kuliah di PENGASIH Kuala Lumpur sejak 4/5 tahun yang lalu.Di sana aku bertemu berbagai lapisan penagih dari dalam dan luar Negara. Ada anak gabnor, anak pensyarah universiti, anak saudara menteri, anak ustaz, anak pendakwah malah mereka dari kalangan pelajar universiti ,lawyer, pendidik serta ramai lagi golongan proposional yang kita tak sangka boleh menjadi penagih. Dari luar negara pula ada dari Oman, Saudi , Arab Emerate, Mildive ,Pakistan, Bangladesh, Indinesia dan lain –lain Negara Asian.

Bergaul dan bermesra serta bermuzakarah dengan mereka cukup mengajar aku makna hidup dan kehidupan serta nilai “HIDAYAT” dari Allah.



Ambil masa anda sejenak mendengar video ini:





Tengok dari sudut positif & sumbangan jemaah tabligh..Jangan hanya kelemahan segelintir daripada mereka kita terus lemparkn fitnah tentang kekurangn mereka ini..

Alhamdulillah, atas izin NYA ain kini bersahabat dengan ramai masturat iaitu para isteri daripada jemaah tabligh.Alhamdulillah, sejak hari pertama perkenalan hingga kini kami saling hormat-menghormati antara satu sama lain.Perkara yang paling menyeronokkan apabila adanya perjumpaan majlis ilmu, hanya kaum wanita sahaja dibenarkan berada di dalam majlis tanpa dihadiri kaum lelaki.Begitu tertib dan tegasnya batas-batas pergaulan dijagai dengan baik, Alhamdulillah.

Jika majlis ilmu bagi kaum wanita diadakan di rumah, bagi pihak lelaki pula, majlis ilmu atau ta'alim turut diadakan tetapi di masjid atau surau berdekatan.Ini bagi memastikan pandangan dan pergaulan diantara lelaki dan wanita tetap terjaga.Terus terang ain katakan, secara peribadi ain amat sukakan suasana sebegini.Kaum wanita dilindungi dengan baik dan sempurna.Malah, pada masa yang sama anak-anak kecil dididik untuk tahu batas-batas pergaulan sesama mereka di mana anak perempuan bersama si ibu sepanjang majlis ta'alim, manakala bagi kanak-kanak lelaki yang tidak perlu disusukan lagi akan dibawa bersama si ayah ke masjid atau surau.

Malah, jika ada ceramah agama disampaikan melibatkan jemaah lelaki dan wanita, adab pergaulan masih tetap diutamakan.Jemaah wanita akan berada di dalam rumah, manakala jemaah lelaki berada di luar rumah untuk mendengar ceramah agama.Penceramah adalah ustaz bertauliah dan diberikan kepercayaan dalam mengendalikan ceramah.Ruang yang memisahkan antara jemaah lelaki dan wanita adalah pintu yang disertai dengan tirai kain.Maka, speaker digunakan bagi memastikan jemaah masturat dapat mendengar ceramah dengan baik.

Suasana sebegini mengingatkan ain pada sebahagian surah dalam Al-Quran:
Allah SWT berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad)kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka.Yang demikian itu lebih suci bagi mereka;sesungghnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan."..(an-Nur:30)

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan).....(an-Nur:31)


Di kalangan jemaah masturat ain kenali ini ramai diantara anak-anak mereka bergelar Hafiz, Hafizah dan turut terlibat dalam bidang profesional.Adalah tidak benar sama sekali jemaah tabligh ini mundur dan ketinggalan .

Maka, jika ada jemaah tabligh datang dari rumah ke rumah mengajak untuk ke masjid untuk solat berjemaah (bagi lelaki) tu, pandanglah dengan pandangan yang baik.JANGAN BERSANGKA BURUK tanpa mengenali mereka terlebih dahulu.

#walaupun diri ini terasa tersisih..tidak mengapa, Allah ada bersamaku...walaupun diri ini dipandang hina..tidak mengapa, pandangan Allah lebih penting bagi diriku...walaupun diri ini disangka buruk...tidak mengapa, sangkaan Allah pada diriku lebih berharga...walaupun diriku hanyalah manusia biasa yg masih berusaha memperbaiki kelemahan...diri ini tidak pernah mendongak ke langit seperti ku tahu segalanya...kerana diri ini tahu...Allah Maha Agung dan Maha Mengetahui segalanya dr diriku sendiri...setiap yg terjadi dalam kehidupan ini sesungguhnya adalah tanda Allah amat sayangkn diriku,maka diriku di uji..tidak mengapa Allah...Terima kasih Allah atas segalanya...aku terima segalanya hanya untuk MU...andai ini yg terbaik,aku redha...:)

Sampai di sini coretan ain kali ini.Segala yang baik datangnya dari Allah SWT dan yang buruk datangnya daripada diri ain sendiri.Syukran...

Tuesday, November 8, 2011

PENGERTIAN DAKWAH

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik belaka dan dirahmati Allah SWT, aamiin.





Perkataan dakwah sering dikaitkan hanya layak disampaikan oleh golongan tertentu sahaja seperti alim ulama, ustaz, ustazah, malah yang mempunyai sijil pengikhtirafan sahaja layak untuk berdakwah.Masyarakat masih beranggapan berdakwah ini hanya layak buat ilmuwan atau cendiakawan Islam sahaja.

Pengertian Dakwah dalam Islam adalah menyeru, mengajak, memanggil umat manusia untuk beriman dan taat kepada Allah SWT serta kembali kepada ajaran NYA yang sebenar.

Kita amati pengertian Dakwah bagi para ahli dakwah:

Muhammad al-Ghazali memberi penerangan istilah dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang menjadi satu keperluan kepada manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap panduan jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.

Dalam pengertian mengikut Dr. Yusuf al-Qaradawi pula, beliau mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, dan bejihad pada jalan-Nya.

Adam Abdullah al-Auri dalm kitabnya Tarikh al-Dakwah al-Islamiyah baina al-Ams ila al-Yaum menjelaskan bahawa dakwah ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus kedalamnya.

Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain kepada Allah dengan cara-cara tertentu.

Dr. Ra’uf Shalabi menerangkan bahawa dakwah Islamiah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kekufuran kepada keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.

Kesimpulannya bahawa dakwah itu merupakan satu usaha seseorang atau berkumpulan untuk menyeru manusia dengan menggunakan beberapa pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredhaan Allah.

Nasihat juga merupakan satu dakwah. Apabila seseorang itu terus merasakan diri masih tidak sempurna untuk memberi nasihat atau menyeru kepada kebaikan, sememangnya manusia ini semuanya tidak ada yang sempurna. Tetapi kita perlu ingat bahawa kita berilmu, ilmu itulah apabila diamal dan mengajak orang lain bersama-sama melakukannya ia merupakan satu dakwah atau satu kebajikan kepada umat Islam (Ilmu yang baik).


(http://qaulalhaq.wordpress.com/2010/12/20/definisi-dakwah-mengikut-pendapat-tokoh-tokoh-islam/)(latar belakang penulis=penuntut UIAM)

Kita telah fahami pengertian dakwah daripada para ilmuwan Islam.Namun, untuk apakah tujuan Dakwah itu sendiri???

Tujuan Dakwah adalah mengubah pandangan hidup manusia bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara kerana yang berkuasa ke atas segalanya adalah Allah SWT.Berdakwah penting dalam menyebarkan agama Islam kepada bukan hanya pada umat Islam, tetapi juga kepada mereka yang masih tercari-cari makna sebenar kehidupan ini.Tanpa dakwah, Islam tidak akan berkembang dan yang tinggal hanya Islam keturunan.

Dakwah amatlah penting dalam mengembalikan manusia kepada Allah SWT yang satu, TIADA yang lain selain Allah SWT.Mengajak manusia kepada kebaikkan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran adalah satu perkara wajib kita lakukan bagi setiap umat Islam.Tidak timbul soal tiada tauliah ustaz atau ustazah.Masakkan mencegah seseorang daripada memakan sesuatu yang haram itu juga tugas ustaz/ustazah?Sebaik-baiknya apabila melihat kemungkaran berlaku di depan mata tegurlah dengan cara yang berhemah dan bersesuaian.Walau ilmu yang sedikit itu disampaikan, tetapi selagi ilmu yang sedikit itu disampaikan dapat memberikan manfaat kepada yang lain, maka ilmu yang ada itu tidak akan basi.Apalah guna ilmu yang sedikit itu jika tidak disampaikan, maka sia-sia dan tidak bergunalah ilmu itu.

Islam keturunan?Kenapa ain katakan demikian? Lihat saja apa yang berlaku di depan mata kita.Sijil kelahiran, kad pengenalan saja menunjukkan seseorang itu beragama Islam.Namun, perlakuan, percakapan, pergaulan, penampilan tidak menunjukkan sifat seorang muslim yang sebenar.Segala aspek kehidupan dan aktiviti harian kita sebenarnya melibatkan keimanan kita pada Allah SWT.Ketrampilan dan keperibadian diri sebagai seorang muslim juga amat penting.Namun, ianya tidak akan terjadi sekiranya tiada kesedaran dalam membetulkan akidah dalam diri sendiri.Maka, pentingnya menjalankan kegiatan berdakwah dalam Islam bagi membetulkan akidah kita sebagai seorang muslim agar tidak terus terjerumus dalam lembah kekufuran.


Dalam Al-Quran ada dinyatakan berkenaan dakwah:
Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikkan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.." Surah Ali Imran:104

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar.." surah Ali Imran:110

"Dan orang-orang yang beriman,lelaki dan perempuan,sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain.Mereka menyuruh (mengerjakan) ma'ruf,mencegah dari yang munkar,mendirikan sembahyang,menunaikan zakat,dan mereka taat kepada Allah SWT dan Rasul NYA.Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah SWT;sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.." surah Al Taubah:71

"Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan NYA dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.." Surah Al-Nahl:125



Ini hanyalah sebahagian firman Allah SWT yang disebutkan di dalam Al-Quran dalam menyeru hamba NYA untuk terus berdakwah menyampaikan keindahan Islam itu sendiri.Di dalam Al-Quran itu sendiri ada dinyatakan kepentingan dalam berdakwah, namun berapa ramai diantara kita yang menerima golongan dakwah ini dengan cara yang baik?Secara peribadi daripada pandangan mata kasar dan pengalaman diri ini, sebahagian besar masyarakat hanya melepaskan tanggungjawab dakwah ini pada golongan tertentu sahaja.Tiada usaha dakwah di dalam masyarakat itu sendiri.

Berdakwah sebenarnya bermula dari dalam sesebuah keluarga, komuniti, mahupun dalam sesebuah masyarakat.Kesedaran perlu ada betapa pentingnya penekanan dalam kehidupan seharian seseorang itu tentang keindahan Islam, tentang mengenal Allah SWT dan Rasul NYA.Bagaimana perkara dakwah ini boleh diadakan sekiranya tiada kesedaran pentingnya berdakwah bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga kepada mereka yang berada di sekeliling kita.Apabila masyarakat Islam tidak menyedari kepentingan untuk berdakwah, tidak mustahil semakin berleluasa isu murtad berlaku.

Jangan hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak yang memurtadkan seseorang individu muslim, sedangkan apabila individu berkenaan melakukan kemungkaran, mereka yang berada di sekeliling yang bernama Islam itu sendiri tidak pernah mengambil tahu atau berusaha untuk membantu golongan sebegini.Apabila terjadi, hanya tahu menyalahkan sesama sendiri.

Jika dakwah itu dianggap remeh dan hanya utk alim ulama sahaja maka, akhirnya nanti tiadalah yg akan ambil berat antara satu sama lain dalam hal beragama dan dalam menegakkn Islam.Jika semua bsikap pentingkn amalan untuk diri sendiri sahaja, apa akan jadi pada mereka yg sememangnya naif??Mungkin saja sikap kita yg terlalu pentingkn diri sendiri,maka makin jauhlah mereka yg ingin berhijrah.

Ini suatu kisah yang dikongsikan oleh seorang sahabat suami ain:

Pernah seorang “converted” yang baru memeluk agama Islam memberi bayan(ceramah) di Markaz Nizamuddin ketika zaman Maulana Inamul Hassan menjadi amir. Katanya di dalam bayannya,”Sebab apa orang-orang kafir sekarang ini memusuhi orang-orang Islam?” Ia bertanya dan ia juga yang menjawab, “ Ianya adalah seumpama dua orang kaya, seorang sangat pemurah. Selalu memberi sedekah dan hadiah kepada orang-orang miskin dan orang ramai, maka ia disukai dan disayangi oleh orang miskin dan orang ramai. Sebaliknya seorang lagi adalah kedekut serta mengaut kekayaan peribadi serta mengenepikan orang miskin dan orang ramai, maka ianya dibenci oleh mereka semua. Begitulah perumpamaan orang Islam hari ini, mereka mempunyai kalimah yang sangat berharga dan bernilai namun bersifat kedekut dengan tidak mahu mendakwahkan kalimah berkenaan kepada orang kafir. Hasilnya orang-orang kafir memusuhi dan membenci orang-orang Islam.”

Begitulah betapa pentingnya untuk berdakwah dan terus berdakwah dalam Islam.Ain harapkan perkongsian kali ini membuka minda kita agar lebih terbuka dan berusaha menyampaikan ilmu Allah SWT walaupun sedikit kerana tugas itu terletak di bahu setiap umat Islam.

Segala kekurangan di dalam perkongsian ini harap dimaafkan dan silalah menegur demi kebaikkan bersama.Segala yang baik itu datang daripada Allah SWT, dan yang buruk itu datang daripada diri ini jua...

Pesanan-tanpa amar ma'ruf nahi munkar, tidak mungkin iman dapat dipelihara.

Sampai di sini coretan kali ini.Terima kasih buat sahabat NUR kerana sudi meluangkan masa bersama.

Monday, November 7, 2011

PERLUKAH WANITA BEKERJA???

Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat NUR sekalian.Diharapkan sahabat semua sentiasa dalam lindungan Allah SWT selalu.

Bagi sahabat NUR yang setia membaca setiap coretan ain di blog ini, pasti masih ingat satu tajuk coretan ain yang bertajuk "ADAB MUSLIMAH BEKERJAYA".Sahabat masih boleh ke coretan post ain yang lalu di bawah label ADAB.

Di sini ain ingin berkongsi sebuah coretan daripada seorang ustaz kenalan suami berkenaan adab muslimah yang ingin keluar bekerja.Semoga perkongsian beliau memberikan manfaat buat kita bersama...

PERLUKAH WANITA BEKERJA???




Syariat telah menentukan bahawa lelaki lah yang keluar mencari rezeki manakala wanita berada di rumah sesuai dengan fitrah mereka. Namun begitu bagi wanita yang ‘terpaksa’ keluar mencari rezeki bagi menampong keluarga maka syariat telah menggariskan beberapa adab agar mereka terselamat dari fitnah di luar.

Kalimat ‘terpaksa’ ini boleh diketogori kepada beberapa perkara :-

a) Kerana kematian suami manakala tanggongjawab memelihara anak-anak telah terpikul pada dirinya.

b) Pendapatan suami tidak dapat menampong keluarga pada perkara-perkara asas dalam kehidupan. Bukan perbelanjaan pada perkara bermewah-mewah.

c) Bagi wanita yang belum bersuami yang terpaksa keluar bekerja bagi memelihara ibubapa yang tua serta adIk-adIk yang masih kecil.

d) Bagi wanita yang “Pakar” dalam sesuatu bidang yang kepakaran itu hanya ada padanya ketika itu dan di tempat itu yang tampanya tuntutan “fardhu Kifayah” tercicir maka “wajib” baginya keluar bekerja. Contoh : Doktor Pakar Sakit Puan.

Namun begitu wanita yang keluar bekerja (mencari rezeki) telah ditentukan oleh syariat beberapa adab antaranya :-

a) Pekerjaan itu mestilah tidak bertentangan dengan syariat dari semua sudut samada muamalat mahupun muasyarat.

b) Pekerjaan itu mestilah bersesuaian dengan naluri wanita. Contoh : Tukang jahit, jururawat, doktor, pendidik dan lain-lain.

c) Tempat bekerjanya itu bebas dari fitnah pada dirinya. Bukan tempat yang membuka ruang fitnah padanya. Contoh: Pelayan Pub dan Karaoke walau pun pekerjaan itu sesuai dengan naluri wanita namun mengundang fitnah yang banyak.

d) Wanita berkenaan hendaklah menutup aurat yang sempurna ( mengikut syariat) supaya tidak mengundang fitnah.

e) Perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja juga bebas dari fitnah. Contoh : tidak menumpang kenderaan ke tempat kerja bersama lelaki yang bukan mahramnya.

f) Tidak bergaul mesra dengan lelaki yang bukan mahram melainkan pada perkara penting urusan kerja.

g) Menjaga akhlak sepanjang pekerjaan tersebut.


Sekiranya garis panduan yang telah di tetapkan di atas terhasil, maka boleh lah mana-mana wanita untuk keluar bekerja.

Wallahu’alam

p/s: Namun hakikatnya rezeki mencari kita, bukan kita mencari rezeki. Malah rezeki mengejar kita mendahului maut mengejar kita. Maut tidak akan boleh menghampiri kita selama rezeki belum disempurnakan kepada kita. Daripada manusia sibuk membetulkan dunia (urusan rezeki) lebih baik manusia sibuk membetulkan amalan. Hasilnya bukan rezeki “halal” sahaja malah rezeki yang “mulia” (Rizqan Karim)

Saturday, November 5, 2011

PENGORBANAN



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat NUR sekalian.Moga sahabat semua sentiasa dalam Rahmat Allah SWT dan dilindungi NYA selalu, aamiin.

Hari ini 5 November 2011, bersamaan 9 Zulhijjah yang jatuh pada hari Wukuf.Pada hari esok pula bersamaan 10 Zulhijjah 1432 H kita akan merayakan Aidil Adha (hari raya korban) bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.

Mengimbau kembali sejarah perjuangan Nabi Ibrahim as. dan anaknya Nabi Ismail as. membuatkan diri ini kagum, terharu dengan semangat cintakan agama, cintakan Allah SWT hingga sanggup mengorbankan perasaan dan nyawa demi Allah SWT yang dicintai.SubhanaAllah.Begitu besarnya pengorbanan yang kita sendiri tidak mungkin dapat gapai walau hanya di dalam mimpi.

Perjuangan para Nabi dan Rasul ini amatlah besar dalam menyebarkan ajaran ISlam ke seluruh pelusuk umat manusia di muka bumi ini.Pelbagai herdikan, hinaan, tohmahan diterima sepanjang perjuangan para Rasul dan Sahabat dalam melebarkan agama Allah SWT.Perit getir, kepayahan dalam menyampaikan dakwah Islam tidak pernah dijadikan alasan buat para Rasul dan sahabat untuk berhenti perjuangkan agama suci ini.Perasaan juga turut dikorbankan selagi mana dapat membuatkan Allah SWT redha dengan perjuangan mereka.SubhanaAllah!

Maka, apalah sangat kita ini hamba Allah SWT yang kerdil lagi hina ini yang apabila diuji sedikit terus sahaja melatah.Apalah sangat dugaan, ujian atau musibah yang menimpa diri jika dibandingkan dengan ujian yang dihadapi oleh para Rasul dan sahabat suatu ketika dahulu, malah lebih berat lagi.Maka renungkanlah kembali kepayahan kita amatlah ringan dan seharusnya kita terus mengucapkan syukur pada Allah SWT atas ujian yang menimpa. Anggaplah setiap ujian itu hanyalah tanda kasih sayang Allah SWT buat hamba-hamba NYA agar lebih mendekatkan diri pada NYA, tidak kira di masa senang atau susah.

Ingatlah kata-kata ini; seseorang itu tidak akan dikatakan beriman selagi mana dirinya tidak diuji..

Ingatan daripada seorang sahabat:
Saat kita tertekan dengan masalah yang kuat menggoncang iman, ingatkan diri dengan perjuangan wali-wali Allah dan para nabi Nya menegakkan Islam, mereka rela mengorbankan harta, perasaan, kediaman hatta nyawa sekalipun kerana Allah yang mereka cinta tiada bandingan...terasa kerdilnya diri yang hanya berdepan sekecil ujian...

Ingatan buat diriku yang lemah ini:
apabila dirimu ingin berjalan di jalan kebenaran..pasti ada saja insan yg tidak merestui..

apabila dirimu cuba mengajak ke arah kebaikkan..pasti ada insan yang tidak memahami..

apabila dirimu berdamping dengan mereka yang cintakn agama Allah SWT dan Rasul...pasti ada insan yang melarikan diri...

pasti dirimu akan diuji..yea..ujian itu mematangkn dirimu dalam kehidupan ini...

Ya Allah, berikanlah kekuatan buat diri hambamu ini..Terima kasih Allah atas segalanya...


Moga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah..

Sunday, October 30, 2011

BULAN DZULHIJJAH

Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Di sini ain ingin berkongsi berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Dzulhijjah.Dikongsikan oleh seorang sahabat baik ain, adik Nor Abdullah.





KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZUL-HIJJAH.

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد المرسلين ..... وبعد:

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah:

Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zul-Hijjah.

Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

Firman Allah I:

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ {[سورة الفجر: 1-2]

:: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zul-Hijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Di riwayatkan oleh Imam Bukhari).


‎2. Dari Ibnu Abbas , Rasulullah r telah bersabda:

( ما من أيام, العمل الصالح فيهن أحب إلى الله من هذه الأيام العشر). قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال : (ولا الجهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء ).

[رواه البخاري 969، وأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”(H.R: Al-Bukhari, Ahmad, At-Tirmizi)


PUASA PADA HARI ARAFAH.

Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zul-Hijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah r. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

(أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده)

[رواه مسلم]

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (H.R Muslim).


PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah r tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.


AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:

1. SOLAT.

Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban t berkata: Aku mendengar Rasulullah r bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” (H.R Muslim.) Ini umum untuk semua waktu.

2. PUASA.

Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah r berkata: ‘Rasulullah r berpuasa pada hari sembilan Zul-Hijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.’ (H.R Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei). Kata Imam An-Nawawi :: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID.

Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari :: ‘Ibnu Umar dan Abu Hurairah y menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.’

Katanya lagi: ‘Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.’

Ibnu Umar t bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah t.

Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.



SELAMAT BERPUASA!!!

Friday, October 28, 2011

TERIMA KASIH YA ALLAH...


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sekalian.Moga sahabat semuanya dalam keadaan baik-baik selalu,aamiin.

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT kerana dengan izin NYA ain berkesempatan membuat coretan di sini.Diharapkan segala coretan ain sebelum ini, kini dan akan datang mendapat keredhaan Allah SWT.Moga coretan di sini dapat dijadikan perkongsian kita bersama dan juga ingatan buat diri ain sendiri.

Jika masih ingat coretan ain sebelum ini "Pencarian Masih Bermula", ain ada sebutkan tentang pertemuan ain dengan sahabat-sahabat muslimah.Bermulanya pertemuan ain kembali dengan kak Safiah, maka bermulalah titik-titik pencarian ain yang seterusnya.

Kira-kira 2 minggu ini, ain bertemu dengan ramai sahabat muslimah yang boleh membantu ain dalam mempelajari ilmu agama.Sebenarnya, ain lebih senang dan selesa jika bergurukan dengan muslimah sahaja.Maka, kelas yang dibimbing oleh ustaz yang ain perkatakan sebelum ni tidak lagi ain ikuti.Memang benar jika ingin mencari ilmu tiada salahnya.Namun, secara peribadi ain rasakan pandangan mata juga harus dijaga.Walaupun ain berniqab dan berhijab, hati manusia amat payah dijaga.InsyaAllah, ilmu boleh dicari jika hendak seribu daya.Sukar macam manapun ain akan ikhtiarkan juga.

Suami juga sependapat bahawa adalah lebih elok mencari yang perempuan sahaja.Pandangan mata juga harus dijaga agar mata hati turut terdidik.Alhamdulillah suami faham pendirian ain.Maka, pencarian ain tetap diteruskan.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT ain diberikan peluang untuk menggunakan masa yang ada semaksimum mungkin.Tanpa izin Allah SWT,pasti apa ain inginkan tidak akan tercapai.Terima kasih Allah atas segalanya.

Selain sibukkan diri dengan perniagaan online, insyaAllah dengan nikmat kesihatan yang Allah SWT berikan dan umur yang masih ada ini ain ingin pelajari Al-Quran dan ilmu tajwid dengan seorang ustazah yang juga bekas pelajar madrasah.Cara pembelajaran ustazah ini amat berlainan, namun secara peribadi ain rasa amat berkesan.InsyaAllah, dengan izin NYA ain ingin gunakan peluang yang ada sebaik mungkin.Moga diri ini istiqamah dalam mendalami ilmu Allah SWT.

Pada hari Ahad baru-baru ni, ain juga berkenalan dengan ramai masturat sewaktu menghadiri majlis taklim atau majlis ilmu.Masturat adalah kumpulan wanita dari jemaah tabligh.Salah seorang daripada mereka mengadakan kelas Fardhu Ain dari rumah.InsyaAllah , hari ini ain akan hadirkan diri.Kelasnya bermula pada waktu petang setiap minggu, insyaAllah.Kini, dapatlah ain bertanyakan soalan tanpa ada rasa segan silu.Alhamdulillah atas segalanya.

Majlis ilmu ain katakan ini diadakan setiap hari Ahad, insyaAllah.Ia adalah majlis yang mana bacaan hadith-hadith dan kisah para sahabat Nabi SAW dikongsikan bersama.Apa yang menarik tentang majlis ini adalah hanya golongan wanita sahaja berada dalam majlis yang tertutup, tidak kiralah dari golongan kanak-kanak, hinggalah wanita dewasa.Adab berpakaian dan sewaktu majlis ilmu berlangsung amat dititik beratkan.Tiada kata-kata kosong atau perbualan sesama masturat sepanjang perkongsian ilmu diadakan.

SubhanAllah..Alhamdulillah..Allahuakhbar...Maha Suci Allah atas segalanya..Terima kasih pada Allah SWT kerana dengan izin NYA ain diberikan kesempatan dan peluang dalam kehidupan ini bertemu dengan sahabiah-sahabiah yang banyak ilmunya serta tidak lokek berkongsi sesama sendiri, terutama diri ini yang serba kekurangan.Kerana Allah SWT jugalah ain masih dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik untuk bergerak ke sana sini mencari tempat untuk belajar.

Itulah dia kekuatan doa seorang muslim.Bersyukurlah kita kerana menjadi hamba Allah SWT kerana setiap doa kita pasti akan didengari.Percaya dan yakinlah dengan kekuasaan Allah SWT.Bersangka baiklah selalu pada NYA.Selalu kita dengar rungutan seperti, "beruntung si polan...aku juga mcm ni..." dsbgnya.Usah berfikiran negatif dan berburuk sangka selalu.

Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain yang pada anggapan kita lebih beruntung.Sepatutnya kita bersyukur selalu pada Allah SWT atas segala nikmat kehidupan yang diberikan.Bukan hanya harta benda dikatakan nikmat.Nafas kita sedut adalah nikmat, anggota tubuh yang kita miliki adalah nikmat.Malah, mata sahabat semua yang sedang membaca nurkilan ain di sini juga adalah nikmat.Ujian juga sebenarnya adalah nikmat.Maka, usahlah bersungut selalu.

Begitu juga hubungan ain dan ibu kandung sendiri.Alhamdulillah, semakin baik dari sehari ke sehari.Alhamdulillah.Ain gembira dan bersyukur sangat.

Segala ain coretkan ini juga hanya untuk Allah SWT, malah hanya dengan izin NYA juga.Ingatan buat diri ini agar sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurnia NYA.

Moga sahabat semua sentiasa berusaha dalam meniti kehidupan ini.Tiada kamus perkataan PUTUS ASA dalam diri seorang mukmin.Hidup ini adalah ujian kita sebelum menuju ke negeri akhirat yang abadi.Berusahalah dan bertawakal lah selalu dengan Allah SWT.Sentiasa berdoa pada NYA moga segala yang diimpikan sentiasa dipermudahkan.

InsyaAllah, berbaik sangkalah selalu dengan Allah SWT.

Jaga diri yea sahabat semua.

Saturday, October 22, 2011

PURDAH ANTARA PERBANDINGAN HUKUM

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Alhamdulillah, dengan izin NYA ain masih diberikan peluang untuk membuat coretan di sini.

Seperti coretan ain yang lalu, ain berkongsi tulisan niqabis yang lain berkenaan perbandingan hukum berniqab atau berpurdah.Hari ini ain ingin berkongsi satu lagi artikel mengenai pemakaian purdah yang ain salin terus dari blog Muassasah Ad Diniyyah. Walaupun artikel ini ditulis dalam tahun 2007 tapi ain rasa ianya masih relevan di masa ini. Semoga kita mendapat sedikit ilmu dari tulisan beliau.Ain ucapkan terima kasih kepada penulis yang menulis topik ini dan dengan perkongsian di blog NUR insyaAllah pembacanya lebih ramai dan ilmunya akan tersebar lebih luas.

# Terima kasih juga pada KakChik yang maklumkan berkenaan artikel ini.



PURDAH ANTARA PERBANDINGAN HUKUM



Ulama ada berpendapat wajib dan ada juga yang berpendapat harus. Kadangkala ketidakmampuan kita menguasai al quran dan as sunah terpaksa merujuk kepada tulisan ulama’. Maka ada yang berpendapat wajib dan juga harus. Penilaian kita selaku golongan muttabi’, iaitu golongan yang mengikut dalil, bukan individu tertentu seperti muqallid.

Ada dua pendapat; pertama menyatakan bahawa purdah ini adalah satu rekaan yang dimasukkan ke dalam Islam. Bagi mereka purdah ini adalah bid’ah, iaitu setiap perkara yang tidak datang dari Allah dan Rasul SAW. Berlawanan dengan pendapat ini, ada yang mengatakan sesungguhnya purdah adalah dari Islam sendiri. Menutup muka adalah kewajipan agama yang tidak harus dianggap sambil lewa. Jangan kita musykil, saya akan terus perbahaskan benda furuk ini. Yang penting, metodologi kita bersumberkan Al Quran dan As Sunah. Mengimbangi antara nas yang cabang dan maqasid kulli, tujuan syarak yang menyeluruh. Kita harus berfikiran lapang dalam menerima dan melihat dalil setiap ulama’.

Ulama secara asas, berpendapat masalah ini merupakan masalah khilafiah, menimbulkan keraguan dan pertikaian yang tidak mempunyai nas yang tepat. Ulama’ berselisih dari zaman silam hingga ke hari ini.

Asal masalah adalah dari Firman Allah yang bermaksud ” Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya” Surah An Nur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, yang dikatakan dengan perkataan ‘ma zahara minha’ ialah pakaian dan tudung. Sebelum itu, jilbab menurut bahasa arab ada 3 pengertian:

1. baju yang menutup seluruh tubuh.
2. pakaian perempuan bahagian luar jika dipakai 2 lapis.
3. tudung yang dipakai oleh perempuan.
(lihat mu’jam asasi arab)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menafsirkan ‘ma zahara minha’ dengan makna celak dan cincin. Ibnu Abbas juga mengatakan bahawa bahagian muka dan tapak tangan. Begitu juga dengan riwayat Aisyah dan Anas b Malik berpendapat begitu.

Mereka juga berselisih dengan pendapat apa yang dikehendaki ‘melabuhkan pakaian’ sebagaimana dalam surah ahzab ayat 59. Apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah berlawanan berkenaan dengan penafsiran ayat ‘ma zahara minha’ tadi. Beliau menafsirkan bahawa maksud melabuhkan pakaian adalah dengan praktikal, iaitu menutup muka dan kepala dan mendedahkan mata kiri!

Ikrimah menyanggah pendapat ini. Beliau menyatakan maksud adalah menutup bahagian lekuk dibahagian atas dada, tempat dimana rantai dipakai dengan tudungnya dan melabuhkan sehingga menutup bahagian lekuk tersebut.

Said b Jubair menyatakan tidak harus bagi wanita Islam dilihat oleh lelaki asing melainkan ia memakai tudung kepala yang disertai dengan kain penutup muka, purdah.

Antara ulama’ yang bersependapat muka dan tangan bukan aurat dan tidak wajib menutupnya adalah Dr, Yusuf Qhardawi, Syeikh Nasirudin Al Bani, kebanyakan ulama di Universiti Al Azhar dan ulama’ kebanyakan tempat.

Ulama Arab saudi dan sebahagian negara teluk tidak sependapat dengan pendapat di atas (wajib menutup muka) antaranya Syeikh Abd Aziz b Baaz. Juga ulama dari Pakistan yang terkenal, Ustaz Abu Al A’la Al Maududi serta Prof Dr, Muhamad Said Ramadhan Al Buuti. Juga terdapat risalah yang dan fatwa dikeluarkan dari masa ke semasa yang menentang dan menyebut keaiban mendedahkan muka. Mereka menyeru memakai purdah dengan nama iman dan agama.

Maka apabila seseorang perempuan mengambil pendapat ini, serta mewajibkan dikalangan mereka menutup muka, maka bagaimana kita mahukan wajib beramal dengan pendapat lain yang dianggap silap(tidak wajib menutup muka) sedangkan kita mengetahui perkara ini merupakan khilafiah. Mereka menghukum golongan yang tidak beramal dengan pendapat lain sebagai berdosa dan fasik sedangkan ia adalah perkara furuk! Menjadi kewajipan kita adalah bersikap berhati-hati dalam perkara agama dan apakah elok jika seseorang mempertikaikan pendapat lain sedangkan ia bukannya perkara usul. Lainlah jika seseorang tidak memakai tudung, itulah yang sepatutnya ditentang!

Tiada ulama mengatakan memakai purdah adalah haram, maka harus seseorang memakainya tanpa ada prasangka buruk ke atas individu tersebut. Menjadi hak seseorang untuk memakai purdah atau sebaliknya. Memakai purdah tidak melanggar kewajipan dan tidak memudaratkan orang lain. Adakah kita menyebut kesalahan mereka yang memakai purdah sedangkan terdapat sekeliling kita yang tidak menutup aurat? Sedangkan kita mengetahui bahawa menampakkan tubuh badan, tidak menutup selain muka dan tapak tangan adalah pengharaman secara ijmak menurut syariat.

Adakah purdah wajib?

Perselisihan ini memang tidak dinafikan wujud. Kadangkala bersikap syadid dalam perkara agama menjadi keruncingan perselisihan. Tetapi secara mudah, kenapa kita mempertikaikan orang yang memakai purdah, kita mengata sedangkan ia adalah khilafiah dan hak individu, maka mungkin kita mendapat dosa. Tetapi jika kita menegur orang tidak memakai tudung, ia adalah perkara disepakati dan usul, mungkin kita mendapat pahala dengan menegur.

Jumhur Mazhab dan ulama’ bersependapat aurat adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan. Kedua perkara ini adalah bukan aurat. Ibnu Marzuk berpendapat bagi mereka yang cantik dan boleh menimbulkan syahwat, sunat menutup muka. Ini bersandarkan perselisihan sama ada wajib wanita menutup atau wajib lelaki menutup penglihatan, menghindarinya. Kesimpulan, jumhur mengatakan aurat wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Dalil : Surah An Nur ayat 30 dan 31.

: Hadis Rasul SAW yang bermaksud ” Tidak harus bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melainkan bahagian ini,sambil Rasul SAW memegang bahagian tengah lengan ( had aurat dalam hadis ini menunjukkan dari tengah lengan tangan hingga jari bukannya dari pergelangan tangan).

: Dalil yang menyuruh menutup belahan leher bukan menutup muka. Surah An Nur ayat 31.

: Dalil perintah supaya lelaki menyekat pandangan mata An Nur ayat 114.

dan beberapa hadis yang berkaitan dengan tidak wajib menutup muka.


Dalil mereka yang mengatakan purdah adalah wajib.

1. Surah Al Ahzab ayat 59 berkaitan ayat jilbab.

2. Tafsir Ibnu Mas’ud berkenaan firman Allah dalam surah An Nur 31. Yang menyatakan wajib.

3. Surah Al Ahzab ayat 53 berkaitan belakang tabir. Termasuk bagi mereka memakai purdah.

4. Hadis Aisyah yang mengatakan melabuhkan tudung hingga menutup muka.

5. Saddu Zaraii’ah. Menyekat jalan yang mengundang dosa.

6. Uruf sesuatu tempat. Wajib bagi mereka menutup aurat.


Secara akhirnya, jumhur ulama’ yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun disana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah. Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:

1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.

2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.

3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya. Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan ‘tidak boleh masuk dengan masyarakat’. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.

Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah. Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.

Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Dimana timbangan keadilan?

Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar’i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan. Adakah kita menyokong golongan ini!



# INGATAN: jangan jadikan artikel ini sebagai panduan 100%.Dapatkan mereka yang lebih arif ilmu agamanya dan tanyakan sendiri tentang berniqab.Ini sekadar perkongsian bersama.Ain tidak mahu ada salah faham atau kekeliruan bagi sahabiah di luar sana yang berniat untuk berniqab.Jangan jadikan berniqab ini fesyen! Kami para niqabis tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelangan...syukran...

Friday, October 21, 2011

PERKONGSIAN: NIQAB, HUKUM DAN PELAKSANAAN



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat-sahabat ain sekalian.Moga segala urusan sahabat senantiasa dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT selalu.

Di sini ain ingin berkongsi nurkilan dengan seorang sahabat niqabis berkenaan berniqab.Apapun, ini hanyalah sekadar perkongsian bersama dan diharapkan agar dirujuk dengan para ilmuwan agama sekiranya timbul sebarang keraguan.

Nurkilan Insyirah Soleha,

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa muslimah bertanya perihal niqab (purdah) kepada ana melalui e-mail dan juga mesej di dalam facebook. Mahu menulis balasan pada setiap yang bertanya, panjang lebar. Maka, ana usahakan untuk berkongsi di dalam blog sebagai salah satu usaha kecil menjawab sebahagian pertanyaan mereka. Janganlah anggap apa yang bakal dinurkilkan ini sebagai muktamad sebaliknya pintu perbincangan sentiasa terbuka.

Permasalahan niqab ini sudah dibahaskan terlebih dahulu oleh para ulama' dan ini hanyalah perkara furu' (cabang) di dalam agama, maka usahlah terus menerima perkongsian ini sebagai muktamat kerana ana bukanlah ahli dalam agama yang merujuk kepada semua pandangan ulama' sebaliknya ini adalah 'homework' ana sebelum dan selepas memakai niqab yang pastinya terlalu banyak kekurangan dari sisi pandang yang ana ambil dari kefahaman yang disampaikan oleh ulama'. Ana juga banyak meminta pandangan dari muslimat yang memakai niqab, pendapat dan pandangan mereka mengenai niqab ana usahakan untuk rangkumkan di dalam post ini. Biiznillah.

Aurat wanita yang disepakati oleh ulama' adalah seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan tapak tangan, hanya sebilangan (minoriti) ulama' sahaja yang menetapkan bahawa muka dan tapak tangan wanita adalah aurat yang wajib untuk ditutup di hadapan ajnabi (lelaki asing - bukan mahram, atau dalam erti kata lain lelaki yang halal untuk dikahwini).

"Benarkah wanita yang berniqab di dunia ini, di akhirat kelak di saat manusia lain menunggu untuk melihat wajah Allah, Allah datang kepada wanita berniqab?"

Mereka mengatakan ini adalah hadith, ana ingin jelaskan di sini ana tidak pernah berjumpa dengan hadith sebegini dan setelah meminta penjelasan dari zauji beliau mengatakan ia adalah hadith rekaan (hadith palsu) semata-mata. Sangat mudah untuk 'mengenal pasti' hadith palsu antara cirinya ialah "buat perkara kecil dapat manfaat besar sangat, tak logik." Sekiranya hadith ini adalah sohih, maka tidak akan berlaku perselisihan di kalangan ulama'.

Jadi, apabila memakai niqab janganlah kerana merasa Allah akan berjumpa dengan muslimah yang berniqab di dunia. Allah, siapalah kita di pandangan Allah untuk mengharapkan sesuatu yang terlalu besar tersebut meskipun kita sangat mengidamkan perkara tersebut. Kembalikan niat untuk melakukan sesuatu bagi mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

"Apakah hukum memakai niqab?"

Hanya sebilangan minoriti ulama' sahaja mewajibkan wanita memakai niqab bersandarkan kepada dalil "Wanita adalah aurat"

Ia tidak berlaku secara mutlak. Kerana tidak mungkin seseorang boleh menampakkan
auratnya di dalam solat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa wajah wanita itu aurat adalah minoriti ulama. Sedangkan yang berpendapat bahawa wajah bukan aurat adalah majoriti ulama (jumhur).

Hadith diatas, yang berbunyi.

"Wanita adalah aurat, jika dia keluar maka syaitan memperindahkannya."

Hadith ini tidak boleh diertikan secara mutlak. Ini kerana ada kaedah yang berbunyi :

"Dalil umum yang mengandungi banyak cabang hukum, dimana cabang-cabang hukum itu tidak boleh diamalkan berdasarkan dalil umum tersebut, maka kita tidak boleh berhujah dengan dalil umum tersebut untuk menentukan cabang-cabang hukum tadi."

Misalnya : Orang-orang yang menganggap bahawa bid'ah-bid'ah itu baik adalah berdasarkan dalil yang sifatnya umum. Contoh : Di negeri-negeri Islam seperti Mesir, Syria, Jordan dan lain-lain… ramai orang yang membaca selawat ketika memulai azan. Mereka melakukan ini berdasarkan dalil yang sangat umum iaitu firman Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [Al-Ahzaab : 56]

Dan dalil-dalil lain yang menjelaskan keutamaan selawat kepada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang merupakan dalil-dalil umum (yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam azan yang menggunakan selawat, kerana ia memerlukan dalil khusus, wallahu a'lam.)

Mewajibkan wanita menutup wajah. Berdasarkan hadith : "Wanita adalah aurat", adalah sama dengan keadaan di atas. Ini kerana wanita (sahabiyah) ketika melaksanakan solat mereka umumnya membuka wajah. Demikian pula ketika mereka pulang dari masjid, sebahagian mereka menutupi wajah, dan sebahagian yang lain masih membuka wajah.

Oleh yang demikian hadith diatas (wanita adalah aurat), tidak termasuk wajah dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan praktik orang-orang salaf (para sahabat).

"Adakah para wanita (sahabiyah) memakai niqab?"

Hadith Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.

Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama dari kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.

Sebahagian daripada mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.

"Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan."

Memang kaedah ini bukan bid'ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Kemudian orang-orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.

Di dalam kitab Hijaab Al-Mar'aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats'amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin 'Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, wanita itupun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itupun seorang yang cantik. Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram. Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.

"Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?!"

Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.

Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 30]

Maksudnya daripada (memandang) wanita.

Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 31]

Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.

Kedua ayat diatas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.

Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya). Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.

Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, Si Pembuat syariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua jenis menusia (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.

Secara Umumnya :

Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Adapun mewajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.

Oleh kerana itu Syeikh telah membuat satu bab khusus di dalam kitab Hijabul Mar'aatul Muslimah, untuk membantah orang yang menganggap bahawa menutup wajah wanita adalah bid'ah. Beliau telah jelaskan bahawa hal ini (menutup wajah) adalah lebih utama bagi wanita.

Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:

"Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat."

Menutup muka kerana timbulnya fitnah

Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari r.a. berkata:

"Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah."

"Saya nak pakai niqab tapi ibubapa tak benarkan, apakah saya boleh memakai niqab tanpa pengetahuan ibubapa saya?"

Sekali lagi dijelaskan bahawa memakai niqab bukanlah wajib tetapi lebih baik (mulia) untuk wanita, manakala mentaati kedua ibubapa adalah wajib bagi seorang anak perempuan sebelum berkahwin. Maka, menurut kehendak ibubapa untuk tidak berniqab adalah lebih baik kepada wanita yang belum berkahwin ini adalah kerana kita perlu mendahulukan perkara yang wajib berbanding yang sunat. Sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari tempat tinggal, maka tidak perlu untuk keluar di khalayak ramai. Ini adalah lebih baik dan selamat untuk wanita.

"Saya memakai niqab tetapi tidak semua tempat membolehkan saya memakai niqab. Contohnya di tempat kerja atau sekolah, sama sekali tidak membenarkan saya memakai niqab. Saya teringin untuk istiqamah berniqab tetapi keadaan tidak membenarkan saya melakukan demikian."

Secara umumnya tidak timbul isu 'istiqamah atau tidak' dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama'.

Seorang kakak yang sangat ana hormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri dari maksiat, apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan. Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik. Masya Allah :)

"Bagaimana kamu makan di khalayak ramai?"

Terpulang kepada jenis niqab yang dipakai. Ada muslimah yang berniqab sentiasa membawa niqab simpanan di dalam tas tangan, sekiranya makan makanan yang berkuah (seperti laksa, tomyam dsb) dan niqabnya kotor maka mudah untuk menukar niqab. Ada yang selesa makan di tempat yang tersorok dari pandangan umum, maka mudah untuknya membuka niqab di hadapan keluarga semasa makan di luar.

Niqab juga berbeza, ada yang memakai niqab butang atau jarum peniti di luar tudung maka apabila makan mudah untuk membuka niqab di tempat tersorok. Ada muslimah yang memakai niqab bergetah, maka hanya turunkan niqab di bawah dagu untuk makan di tempat tersorok. Sebahagian lagi memakai niqab hitam (seperti arab) yang diikat di belakang kepala, maka, mereka akan menyelaknya dari bawah niqab dan makan seperti biasa :)

Sangat terharu dengan kata-kata seorang kakak.

"Alangkah indahnya andai daulah islamiyyah tertegak, tidaklah orang yang berniqab kelihatan pelik."

Indahnya ummat Islam itu bukan kerana dia adalah seorang Muslim tetapi yang mengindahkan ummat Islam adalah pelaksanaan syariat Islam di dalam kehidupannya.

Wallahua'lam.


Transformasi diri,
Insyirah Soleha.


Coretan di atas adalah perkongsian buat sahabiah di luar sana yang musyhkil atau ingin lebih tahu tentang berniqab.Namun, dinasihatkan janganlah diambil bulat-bulat apa yang dikongsikan di sini.Ain harap sahabat dan sahabiah sekalian rujuklah dengan mereka yang arif dan lebih dalam lagi ilmu agamanya.

Bertemu lagi di coretan akan datang,InsyaAllah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR