Sunday, January 2, 2011

I LOVE QURAN.....and YOU???


Assalamualaikum sahabat semua.Lama sudah ain tidak membuat coretan di sini.Baru-baru ini ain ada membeli sebuah buku yang tajuknya begitu menarik perhatian... I LOVE QURAN and YOU???....

Terpanggil diri ini sama ada diri ini benar-benar mencintai Quran atau sekadar kata-kata sahaja.Begitu kerdil rasanya diri ini setelah membaca isi kandungannya.Sudah hampir 8tahun ain memeluk Islam, dan amat rugi diri ini kerana ain masih tidak mengenal Quran dengan sepenuhnya.Masih banyak lagi ain perlu pelajari dan perbaiki demi menjadi seorang muslimah yang diredhai Allah.

Buku I LOVE QURAN and YOU?? terbitan RIJAL MEDIA dan hasil karya oleh RIZAL ABDUL RAHMAN, adalah suatu karya yang amat bersahaja dan santai serta mudah difahami oleh golongan remaja mahupun golongan dewasa sekitarnya.Perkataan dan ayat-ayat yang digunakan amat mudah difahami dan tidak terlalu membebankan para pembaca.

Di sini ain akan cuba rumuskan dan huraikan bahan bacaan ini dengan cara ain sendiri dan berharap dapat berkongsi sesuatu dengan sahabat ain sekalian.

Dalam tulisan buku ini, penulis cuba sampaikan kepada para pembaca tentang kepentingan dan kewajiban kita sebagai umat Islam, yang cintakan Allah memahami wahyu yang disampaikan dalam Quran, yang telah tersusun serta terhimpun rapi oleh para sahabat Rasulullah sebelum ini.

Masyarakat Islam khususnya, kini tidak berminat atau tidak mempunyai masa untuk mendalami dan memahami isi kandungan Quran.Kita lebih berminat mengisi masa lapang dengan menonton TV, membaca ruangan gosip di majalah atau suratkhabar, membaca novel cinta/komik, dan yang terkini, kita sanggup bersengkang mata berjam-jam lamanya di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Myspace.

Bukan itu sahaja, ramai diantara kita memiliki Quran di rumah, tetapi berapa ramai diantara kita yang membaca, memahami dan mengamalkannya??Di mana biasanya Quran disimpan?Sudah tentu tersimpan rapi di dalam almari atau mungkin juga kita sudah lupa terus tentang kehadirannya.Trend terkini dalam mana-mana perkahwinan menjadikan Quran sebagai salah satu barang hantaran.

Isi kandungan Quran amat lengkap dan mengajar umat Islam mengenai tauhid, ibadah, akhlak, hukum sesama manusia, hubungan sesama masyarakat, janji dan ancaman di akhirat kelak, serta sejarah umat-umat Islam terdahulu.

Namun bahagian terpenting buku ini adalah penulis menekankan kepada para pembaca mengenai kewajiban kita ke atas al-Quran.Berapa ramai diantara kita amat peka tentang hal ini?Ain sendiri begitu lalai mengenainya.

Adalah wajib kita sebagai umat Islam yang mengucap 2 kalimah syahadah mengimani Quran kerana Quran adalah petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.Allah berfirman:

"Kitab (al-Quran)ini tidak ada keraguan padanya:petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.(Iaitu)mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka.Dan mereka yang beriman kepada kitab(al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan)akhirat". (Al-Baqarah:2-4)...

Kewajiban kedua adalah membaca al-Quran dan bukan menyimpannya sebagai koleksi peribadi.Alangkah indahnya jika kita menggunakan penglihatan yang Allah kurniakan dengan membaca al-Quran setiap hari.Amat beruntung bagi mereka yang sering membacanya kerana setiap huruf yang kita baca dalam al-Quran, kita akan mendapat sepuluh pahala bagi tiap-tiap huruf.Rasulullah bersabda:

"Siapa sahaja yang membaca satu huruf al-Quran, baginya satu kebaikkan.Satu kebaikkan akan menjadi sepuluh kali ganda.Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim itu satu huruf, melainkan alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf".
(HR Tirmidzi dengan sanad hadis hasan sahih)..


Namun, dengan membaca sahaja masih lagi tidak mencukupi.Kewajiban kita juga adalah memahami isi kandungannya.Dengan memahami isi kandungan al-Quran, maka kita akan lebih menjiwai setiap surah yang kita baca.Melalui pemahaman yang betul, insyaAllah segala tindak-tanduk dan keputusan yang kita ambil dalam kehidupan ini sentiasa berada dilandasan yang benar.

Kewajiban kita setelah membaca dan memahami isi kandungan al-Quran adalah mengamalkannya dalam kehidupan seharian, tidak kiralah dari segi solat, puasa, zakat, mahupun hubungan sosial.

Dan yang terakhir sekali adalah wajib bagi mereka yang arif tentang al-Quran menyampaikan ilmu yang ada dengan mengajar mereka yang masih tidak celik al-Quran.Allah berfirman:

"Dan hendaklah antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyeru (berbuat) yang makruf dan menegah dari yang mungkar.Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung:. (Ali Imran:104)..

Rasulullah juga bersabda:
"Sampaikan daripadaku, walaupun satu ayat....".

Banyak sebenarnya yang penulis buku ini cuba sampaikan.Jadi terjawablah disini sama ada kita semua benar-benar mencintai al-Quran sebagai kitab suci umat Islam.Di sini ain selitkan kata-kata daripada penulis;

"Apabila hati mencintai sesuatu maka ia akan terikat kepadanya, merindukannya, menyukainya, dan memutuskan segala hubungan dengan perkara lain".

Di sini ain menyoal diri sendiri dan sahabat ain sekalian...di mana letaknya Quran dalam hati kita??...Adakah kita benar-benar menyintainya sepenuh hati??...Cuba kita fikirkan...

Apabila kita mula mengenali seseorang yang begitu menarik perhatian, sudah pasti kita akan cuba mengenali hati budi individu itu, memahami perasaannya, memberikan segala yang terbaik demi manjaga hatinya, dan kita juga sanggup berkorban apa sahaja asalkan orang yang kita sayang dan kita cintai itu tidak terlepas begitu sahaja.

Begitulah juga yang harus kita lakukan terhadap kitab suci ini.Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja hinggakan tiba di satu saat kita tak dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkannya kembali.

..buat sahabat ain semua ...sama-samalah kita bermuhasabah diri sendiri, tawakal serta memohon kepada Allah moga kita diberikan kesempatan mengenali al-Quran dengan sebaiknya....amin...

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR