Saturday, April 9, 2011

AKHLAK DALAM MAYA


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga semuanya dalam keadaan sihat selalu, amin.

Semalam ain menonton siaran Al-Kuliyah di TV3 yang bersiaran setiap hari Jumaat jam 5 petang hingga 6 petang.Kali ini tajuk yang dibincangkan berkenaan 'Akhlak Dalam Maya' dan topik itu dikupas oleh seorang penceramah bebas iaitu Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus, yang pernah menjadi mentor dalam Imam Muda 2010 yang lalu.

Ain akan cuba rumuskan perkongsian beliau disini dengan harapan ilmu yang beliau cuba sampaikan dapat kita gunakan demi kebaikkan bersama.

Menurut Ustaz Syed Norhisyam, Islam amat menggalakkan pencarian ilmu dan tidak dinafikan zaman cyber kini semakin mendapat tempat dihati para pemuda-pemudi untuk mendapatkan ilmu.Menurut beliau, tiada salahnya menggunakan teknologi cyber dalam pencarian ilmu dan sebagainya asalkan ianya bermanfaat dan berguna buat pengguna itu sendiri.

Namun, harus diingat, adanya adab-adab yang harus diikuti sekiranya menggunakan internet sebagai medium mencari ilmu, bersosial, mahupun untuk tujuan perniagaan.Di sini ain akan kategorikan bagi memudahkan sahabat semua dan ain sendiri untuk membacanya sebagai ingatan dan panduan bersama.

PENCARIAN ILMU

Zaman internet semakin tersebar luas dengan kemunculan blog-blog Islamic dan laman-laman ilmiah berkaitan keagamaan yang banyak memberikan manfaat kepada pengguna.Tidak ketinggalan laman YouTube turut menyajikan tokoh-tokoh agama yang menyampaikan ceramah agama melalui media elektronik.

Misalnya, kita boleh dapati ceramah agama yang disampaikan melalui YouTube yang amat mudah untuk kita layari dimana sahaja.Bagi mereka yang sering memberikan alasan sibuk bekerja, maka sibukkanlah diri anda melayari video-video sebegini agar dapat menambahkan ilmu di dada.

Contoh ustaz yang menggunakan alam cyber sebagai medium berdakwah adalah seperti Ustaz Azhar Idrus dan seorang lagi ain ingin tambah disini adalah Ustaz Kazim Elias.Cara penyampaian kedua-dua ustaz ini amat berbeza, namun mempunyai daya tarikkannya tersendiri bagi memikat hati para pendengar.

Menurut Ustaz Syed Norhisyam, kita sebagai pengguna cyber harus berhati-hati apabila mendapatkan ilmu melalui internet terutamanya yang melibatkan hal ehwal agama.Pastikan ilmu agama yang kita dapati itu melalui sumber yang sahih dan diiktiraf penceramah terbabit dalam ilmu keagamaan.

Dilaman sosial Facebook misalnya, tidak kurang hebat perkongsian ilmu Islam dikalangan pengguna.Dapat kita lihat disini dalil-dalil atau hadis-hadis dikongsikan sesama rakan dengan niat untuk kebaikkan.Ustaz Syed mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan perkongsian sebegini dengan sentiasa memastikan kebenaran dalil-dalil itu agar tiada tokok tambah yang boleh merosakkan akidah umat Islam amnya.Pastikan dari mana sumber agama itu diperolehi kerana ada maklumat itu kelihatan seakan-akan benar, namun perlu diteliti terlebih dahulu.

PENULISAN DI BLOG / LAMAN SOSIAL

Laman sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace, Skype dan sebagainya adalah antara laman sosial yang semakin popular bukan sahaja kepada kaum remaja, malah kini orang dewasa juga semakin mencintai laman sosial sebegini.

Ustaz Syed menyatakan dalam sesebuah keluarga kini bukan hanya ibu bapa sahaja mempunyai laman sosialnya sendiri, malah perkara ini menjadi ikutan buat anak-anak.Apabila semua kaum keluarga menyibukkan diri di laman sosial masing-masing, maka timbullah jurang diantara ibu bapa dengan anak-anak dan tidak kurang juga wujudnya jurang yang besar diantara suami dan isteri.

Apabila perkara ini terjadi, berlakulah luahan perasaan di laman sosial dan tidak kurang juga mencari tempat untuk mengisi kekosongan dengan mencari pasangan atau teman sejiwa.Maka timbullah isu 'main kayu tiga', penceraian dan hubungan sulit terutamanya yang sudah bergelar suami atau isteri.

Ustaz Syed Norhisyam mengingatkan, setiap perbuatan kita itu akan dilihat oleh Allah dan malaikat akan mencatit amalan seharian kita yang akan disoal oleh Allah suatu hari nanti.Tidak kiralah dilaman sosial atau laman blog peribadi sekalipun, setiap apa yang kita luahkan, setiap apa yang kita catitkan, dan setiap apa yang kita kongsikan akan diperhatikan oleh Allah SWT.

Ustaz Syed juga menekankan sekali lagi bahawa kita semua perlulah menjaga adab dalam penulisan di alam maya, tidak kira di laman sosial ataupun blog peribadi, kerana setiap tulisan kita itu akan dicatit oleh malaikat dan akan diperhatikan oleh Allah SWT setiap perbuatan kita.

PERKONGSIAN GAMBAR

Tidak dinafikan, ain juga terjebak dalam hal ini, iaitu berkongsi gambar-gambar peribadi di laman sosial tanpa mengambil peduli kepada siapa ain pertontonkan gambar-gambar tersebut suatu ketika dahulu. Kini, ain lebih berhati-hati apabila ingin berkongsi gambar ke laman sosial kerana bimbang akan fitnah yang mungkin timbul.

Apapun, ain bersetuju dengan nasihat dan pandangan yang Ustaz Syed utarakan, iaitu kita sebagai umat Islam perlu menjaga adab dalam perkongsian gambar kepada rakan-rakan.Buat muslimah terutamanya, perlu lebih peka dalam hal ini.Adakala gambar yang diambil terlalu fokus pada bahagian tertentu yang adakala boleh menimbulkan keresahan buat kaum lelaki.

Beliau turut mengingatkan, bagi muslimah yang telah berubah kepada menutup aurat sekalipun, seelok-eloknya menghapuskan gambar-gambar lama yang tidak menutup aurat kerana dengan menonjolkan penampilan dahulu berbanding sekarang juga masih lagi berdosa.Adalah lebih baik gambar-gambar itu disimpan sebagai koleksi peribadi.

Ingatlah, Allah melihat apa yang kita lakukan.

PROMOSI BISNES

Ramai dikalangan kita termasuk ain sendiri, menjadikan internet sebagai salah satu cara promosi perniagaan tanpa memerlukan kos yang tinggi.Beliau mengingatkan agar para peniaga yang menggunakan internet sebagai medium pemasaran dan mendapatkan pelanggan baru, agar menjaga adab dalam perniagaan mengikut Islam.

Pastikan barangan yang ingin dijual adalah berkualiti dan apabila sampai kepada pembeli adalah sama seperti yang dijanjikan.Peniaga perlu jujur dengan barangan yang ingin diniagakan agar memuaskan hati pembeli.

Bagi pembeli pula, haruslah memastikan kewujudan perniagaan tersebut agar tidak tertipu dan tidak mudah membeli mengikut nafsu semata-mata.Periksalah dahulu sebelum mebuat bayaran.

Buat peniaga yang tidak jujur, ingatlah pembalasan daripada Allah!


Kesimpulannya di sini, alam maya harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk tujuan berdakwah, bisnes dan mencari ilmu yang bermanfaat.

Jagalah adab seperti yang telah disebutkan tadi dan sentiasalah ingat Allah sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri, tingkah laku dan perbuatan kita.

# moga perkongsian ini bermanfaat untuk diri ain sendiri dan rakan-rakan yang lain, insyaAllah...amin..

5 comments:

  1. Assalamualaikum Ain. Terima kasih banyak atas ulasan yang amat baik ni. Walaupun kakchik tidak menonton tv tapi kakchik telah mendapat manfaat dari tulisan Ain ni. Insyaallah dengan menjaga adab-adab inilah maka matlamat untuk berdakwah, berkongsi ilmu dan membina silaturrahim akan dapat dilakukan dengan lebih baik.

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikummussalam, kak chik..
    Terima kasih juga kerana sudi luangkan masa membaca coretan ain yang tak seberapa ni..InsyaAllah, segala yang baik datang daripada Allah SWT, dan yang buruk datang daripada diri kita sendiri.

    ReplyDelete
  3. Salam Nur, Saya juga jarang menonton tv. Masa banyak dihabiskan depan PC.hehe.. TQ atas perkongsian ini. Jangan terlampau khusuk dgn aktiviti di alam maya sehingga mabaikan keluarga.(ingatan utk diri sya juga)

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum kak. Mohon copy post blog akk yea.

    ReplyDelete
  5. Bismillahirrahmanirrahim.
    Assalamualaikum syikin.lama tak jengah blog...insyaAllah selagi bermanfaat silakan aje ;)

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR