Friday, April 15, 2011

HAKIKAT SOLAT


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kesempatan buat diri ini membuat coretan yang tidak seberapa ini.Bersyukur kepada Allah SWT kerana ain diberikan kesempatan menambahkan ilmu berkenaan solat tidak kiralah melalui bahan bacaan, malah dengan izinNya, minggu ini kuliah agama yang ain hadiri dan rancangan agama yang ain tontoni juga banyak menceritakan perihal solat.

Rasulullah SAW pernah menyebut di dalam suatu hadis:
" Amalan yang mula-mula dihisab (diperhitungkan) daripada seorang hamba pada hari kiamat ialah solat.Maka berkata Allah SWT kepada para malaikat-Nya, dan Ia Maha Mengetahui : ' Telitilah pada solat hamba-ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang.Sekiranya lengkap sempurna, tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah Allah SWT: Telitilah sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu menyempurnakan solat fardunya.'"(Riwayat Abu Daud:hadis sahih)

Untuk mendirikan sebuah rumah atau masjid sekalipun, tiang amat diperlukan untuk memperkukuhkan sesebuah bangunan itu.Begitu jugalah dengan solat.Tanpa solat, tiada gunanya iman, dan tiada gunanya amalan kita selama ini.

Di dalam solat itu sendiri terdapat doa & surah tertentu yang perlu dibaca dan setiap ayat yang dibacakan itu merupakan kata-kata yang kita ucapkan kepada Allah SWT.Namun, apalah erti solat itu tanpa kefahaman terhadap surah-surah atau doa dalam solat itu sendiri.

Sebagai umat Islam, kita perlu istiqamah (konsisten) dalam menjalani ibadah solat dan bukannya dilakukan mengikut sesuka hati.Bila rajin, solat, bila malas,takpelah.TIDAK SAMA SEKALI!

Solat adalah rutin wajib, ibadah wajib dalam kehidupan seharian manusia.Solat adalah Rukun Islam ke-2 yang wajib kita patuhi.Solat itu perlu diperbaiki, diperhalusi setiap masa, tidak kira zahir mahupun batin.Malah, ia perlu dilakukan mengikut tertib.

Kenapa perlu solat???

~Solat mendekatkan kita kepada Allah SWT.Sewaktu kita melakukan ibadah solat, kita sebenarnya sedang menghadap Allah, maka segala yang dipertuturkan akan diperdengarkan kepadaNya.Segala gerak-geri kita akan diperlihatkan kepadaNya.Tidak kurang juga, solat kita itu akan diteliti sama ada khusyuk atau tidak.

Bagaimana dikatakan solat khusyuk???

~Solat yang khusyuk hanya akan berlaku apabila kita ikhlas dalam mengerjakan solat.Segala perkara berkaitan duniawi misalnya masalah kerja, rumah tangga dan sebagainya dilupakan seketika.Hati, fikiran, gerak-geri dan pertuturan semuanya ditumpukan dalam solat, semata-mata ingin mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT.

~Bunyinya seperti sukar, namun tidak mustahil untuk kita melakukannya.Setiap perkara perlukan pembelajaran berterusan, begitu juga solat.Selagi kita diberikan umur, selagi itu kita perlu perbaiki solat kita.

~Maka solat disini melibatkan hati dan fikiran serta gerak tubuh.Apabila hati & fikiran bersatu, maka gerak-geri tubuh serta tutur kata dalam solat dapat dilakukan dengan tertib, sempurna dan dalam keadaan khusyuk.

Bagaimana untuk mencapai solat yang khusyuk???

~Cuba pelajari dan fahami setiap surah & doa yang dibacakan ketika solat, tidak kiralah doa Iftitah, tahyiat awal/akhir, mahupun surah al-fatihah sekalipun.Segala ayat dalam doa dan surah dibacakan tadi mempunyai maknanya tersendiri.Apabila dihayati dan difahami makna tersirat bagi setiap doa/surah yang dibaca, maka tidak mustahil solat kita akan menjadi lebih khusyuk.

~Solatlah seakan-akan solat yang dilakukan itu merupakan solat kita yang terakhir.Solatlah seakan-akan kita akan mati sebentar lagi.Dengan adanya perasaan seperti ini, insyaAllah kita tidak lalai dalam mengerjakan solat.

~Solatlah dengan pengharapan rahmat Allah moga-moga amalan dan ibadah kita diterima Allah SWT.

~Lahirkan rasa gerun kepada Allah SWT sebagai hambaNya yang sering melakukan kecuaian, dengan pengharapan kemaafan kita diterima.

~Sucikan diri setiap waktu, tidak kira dalaman atau luaran.Bersuci disini bukan hanya bersuci dari hadas kecil/besar.Antara lain yang perlu disucikan adalah dari segi pakaian, hati, sejadah, tempat solat dan tubuh badan.

~Pastikan rezeki yang kita dapati seharian adalah dari sumber yang halal.Rezeki yang diperoleh perlulah halal, kerana wang yang diperoleh untuk membeli makanan akan dimakan dan menjadi darah daging dalam tubuh badan kita.Jika ianya dari sumber yang was-was/haram, berkemungkinan solat kita akan menjadi tidak khusyuk dan sia-sia sahaja solat itu.

~Perlu yakin dalam solat, tidak boleh ada rasa was-was, berkemungkinan boleh membatalkan solat.Misalnya, kita berasa was-was dengan niat, pakaian dipakai, tempat solat dan tubuh badan sama ada sudah bersuci dari hadas kecil/besar.

~Jauhi diri daripada melakukan perbuatan keji & mungkar seperti berzina, mengumpat, mengadu domba, riak, berbohong dan sebagainya kerana perbuatan sebegini bukan hanya merosakkan akidah kita, malah membuatkan hati menjadi gelap dari cahaya Ilahi.

~Bertaubatlah tidak kira dari dosa kecil atau besar, kerana dengan bertaubat insyaAllah hati akan menjadi bersih dari noda-noda hitam yang kita calitkan sebelum ini.

Apa kelebihan solat yang khusyuk???

~Setelah memahami, menghayati doa & surah yang dibaca selalu, maka kita dapat terjemahkan dalam bentuk perbuatan atau tingkah laku dengan perkara yang baik-baik.Misalannya, jika dalam solat muslimah ditekankan dalam menutup aurat dengan cara yang betul, setelah selesai solat dikerjakan, cara kita berpakaian di luar solat perlu juga mengikut tuntutan yang diwajibkan.BUKAN HANYA DALAM SOLAT.

~Surah-surah atau ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca dalam solat dengan kefahaman dan apabila dijadikan bacaan harian dapat membantu sebagai perlindungan diri daripada niat buruk orang lain kepada kita, misalnya sihir.

~Solat yang khusyuk menjadikan diri kita lebih tenang, sabar dan berlapang dada kerana ibadah solat yang kita lakukan sudah tersemat didalam jiwa.

Banyak lagi perkara yang boleh dihuraikan disini berkenaan solat.Banyak lagi perkara berkenaan solat yang perlu kita pelajari dari sehari ke sehari.

Segala coretan ain disini adalah nota-nota yang ain catit sewaktu menghadiri usrah agama di surau berdekatan dan tidak kurang juga melalui program keagamaan yang disiarkan di stesyen televisyen negara kita.Bahan bacaan juga turut membantu menambahkan lagi ilmu ain berkenaan solat.

Makin ain fahami tentang solat, makin ain sedari bahawa masih banyak kekurangan diri ini berkenaan agama.Moga-moga diri ini diberikan kesempatan oleh Allah SWT mempelajari ilmu Allah sebelum melelapkan mata...amin.

Terima kasih juga kepada ustaz/ustazah yang menyampaikan ilmu Allah ini kepada umat Islam dengan caranya tersendiri:

# Ustaz Shamsir (Surau Bukit Punggur Alai Melaka)-13/4/11

# Ustazah DR. Amnah Bahari (Pensyarah Jab Usuluddin&Perbandingan Agama UIA)-Tanyalah Ustazah-15/4/11

# Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (buku Formula Solat Sempurna)-terbitan 2008

No comments:

Post a Comment

terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain..pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR