Monday, July 25, 2011

ISTIQAMAH DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga segala urusan sahabat sentiasa dipermudahkan Allah SWT.

Dalam meniti kehidupan ini, setiap hari pasti ada ujian yang datang tanpa kita sedari, dan tidak terduga oleh benak fikiran manusia itu sendiri.Adakala kita merasakan kita telah berusaha untuk berubah ke arah kebaikkan, namun kita rasakan kita masih sama saja seperti dahulu.

Kita hanya manusia biasa yang tidak pernah lari dari kesilapan.Kita hanya manusia biasa yang diciptakan di dunia ini untuk menerima ujian dan godaan.Tiada siapa yang dapat mengelak dan mempertikaikan sesuatu musibah yang terjadi dalam kehidupan seseorang itu kerana semua itu adalah di luar kekuasaan kita dan hanya Allah SWT Maha Mengetahui akan segala sesuatu baik buruk sesuatu kejadian yang menimpa.

Setiap daripada kita pasti pernah berbuat silap, pasti pernah melakukan kesalahan tidak kira dari dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa sekecil zarah sekalipun.Kita takkan terlepas dari berbuat kemungkaran.Setiap daripada kita akan melaluinya dalam perjalanan kita sebagai hamba di muka bumi ini.

Ada yang bertanya dan sering bertanya, 'Bagaimana untuk terus istiqamah dalam bertaubat? Bagaimana untuk kuatkan diri hadapi liku-liku kehidupan ini dengan dibayangi kisah-kisah silam? Bagaimana sedangkan diri sendiri masih bercelaru? Bagaimana???

Soalan yang diajukan ini pernah menghantui diri ini suatu ketika dahulu, dan kini ain ditanyakan kembali soalan sebegini.Apapun ain hanya coretkan melalui pengalaman diri dan daripada ilmu-ilmu ain catit sepanjang perjalanan ain mencari keredhaan Allah SWT.

Belajarlah untuk memaafkan diri sendiri atas segala yang berlaku kerana ia sudah pun terjadi.Tiada gunanya asyik menyalahkan diri sendiri sepanjang waktu kerana perasaan bersalah dan terus menyalahkan diri akan terus membantutkan usaha kita memperbaiki diri sendiri.Perasaan tidak dapat memaafkan diri ini hanya akan membuatkan kita hanya berfikiran dan berperasaan negatif sahaja.Maka akhirnya nanti, kita tidak berusaha untuk berubah ke arah kebaikkan akibat perasaan negatif sebegini.

Belajar dari kesilapan. Belajar untuk tidak mengulang perkara yang sama di masa akan datang, belajar untuk tidak 'repeat' perkara yang sama di episod kehidupan yang akan datang.Setelah melalui kesilapan atau melibatkan diri dalam sesuatu kemungkaran itu, belajarlah untuk tegaskan diri, ingatkan diri agar mengelak daripada mendekatkan diri terhadap sesuatu yang boleh menjuruskan diri kita ke arah kemungkaran.Jauhkan diri dalam situasi yang boleh menggerakkan kita ke arah yang negatif.Misalannya, kini ramai anak-anak muda remaja mahupun orang dewasa gemar dengan budaya 'dating'.Sedangkan budaya 'dating' itu sendiri menjurus kita ke arah perbuatan zina, maka wajiblah kita menjauhi suasana sebegitu.

Sentiasalah bermuhasabah diri setiap waktu.Muhasabah diri selalu dan bukan hanya apabila kita telah berbuat salah semata-mata.Adakala kesilapan atau dosa yang kita buat kita sendiri tidak nampak atau tidak kita ketahui.Maka, muhasabah diri penting dalam menilai diri semula sebagai hamba Allah.Cerminlah diri kita dahulu sebelum kita pertikaikan tindak tanduk orang lain.Cerminlah kesilapan diri selalu agar kita berwaspada dalam kehidupan ini agar tidak tergelincir dari landasan Islam.Muhasabah diri selalu sebagai hamba Allah yang benar-benar mengharapkan kasih sayang Allah SWT semata-mata.Maka, apabila kita berharap pada Rahmat Allah, pasti kita sentiasa berhati-hati dan menilai semula amalan diri setiap waktu.

Bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat memohon keampunan dan kemaafan daripada Allah SWT.Hanya taubat yang benar-benar ikhlas dengan penuh pengharapan kepada Allah semata-mata dapat melahirkan hamba yang hanya bergantung harap pada Allah selalu dan bukan pada yang lain selain NYA.Allah Maha Mendengar rintihan hamba NYA yang benar-benar menyesal atas kesilapan yang lalu dan tidak sesekali membiarkan hamba NYA yang sudah bertaubat terus-menerus dalam kegelapan.Allah Maha Mengetahui akan segala baik buruk sesuatu kejadian dan hanya Allah Berkuasa memberikan hidayah kepada hamba NYA yang benar-benar ikhlas kembali kepada NYA.

Sentiasa ada rasa penyesalan dalam diri agar diri sentiasa insaf atas perbuatan yang lalu agar diri tidak lalai dan sentiasa beringat kepada Allah.Amat berbeza dengan memaafkan diri sendiri dengan sentiasa ada penyesalan dalam diri sendiri.Adalah perlu seseorang itu memaafkan diri sendiri agar kesilapan lalu tidak menghantui diri untuk berusaha ke arah kebaikkan.Namun, perlu adanya penyesalan dalam diri atas perkara yang terjadi agar kita tidak lupa yang kita pernah berbuat kesilapan dan mungkin akan mengulangnya kembali.Jika tiada rasa penyesalan, berkemungkinan kita akan melakukan kemungkaran yang sama kerana taubat yang kita buat tiada rasa insaf dan penyesalan dalam diri sendiri.

Belajar untuk memaafkan orang lain yang mungkin atau pernah berbuat silap dengan kita.Sering kita dengar keluhan, 'Kalaulah...si polan...tentu aku tak jadi begini...' Janganlah berfikiran sedemikian seolah-olah kita tidak dapat menerima atas segala yang terjadi dalam hidup ini.Maafkanlah mereka sebagaimana kita memaafkan diri sendiri.InsyaAllah, kita akan lebih tenang dalam hadapi hari-hari mendatang.

Sentiasa pasrah dan menerima ketentuan dari NYA. Terimalah bahawa segala ujian, godaan dan cubaan yang berlaku dalam kamus kehidupan kita itu sebagai ketentuan dari Allah dan ada hikmah atas segala yang terjadi.Walau perit, walau pahit bagaimana sekalipun, kita perlu terima dengan redha dan hati yang tabah, walaupun ianya amat sukar untuk diterima oleh akal fikiran manusia.Berbaik sangkalah pada Allah SWT dan beringatlah selalu bahawa segala yang berlaku, segala yang terjadi pada kita adalah atas kekuasaan NYA dan hanya Allah Maha Mengetahui atas segalanya.Allah hanya memberikan hamba NYA ujian yang pelbagai mengikut kemampuan hamba itu sendiri.Allah tidak kejam pada hamba NYA, tetapi kita sebenarnya yang kejam pada diri sendiri.

Sentiasalah berusaha mendekatkan diri pada Allah SWT. Bagaimana? Lakukan perkara yang wajib seperti lakukan solat 5 waktu seperti yang difardhukan ke atas setiap hamba NYA, dan jauhi perkara dimurkai Allah SWT.Banyakkan berzikir dan mengucap kalimah La ilaha illa Allah.Dekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu seperti di masjid atau surau berdekatan.Banyakkan berbuat perkara sunat selagi mampu misalannya berpuasa sunat untuk membersihkan rohani dan jasmani.Tingkatkan ilmu agama kerana dengan ilmu agama seseorang hamba itu akan dapat meningkatkan keimanannya kepada Allah SWT.

Dalam perjalanan kita mencari keredhaan Allah SWT, pasti ada kata-kata yang kurang enak didengar.Pedulikan itu semua.Pasti kita mendengar seperti, "Alah, berlagak baik....mcm bagus sangat...bla..bla..bla...." Biarkanlah itu semua.Itulah manusia, tidak boleh melihat kebaikkan, pasti ada kata-kata yang boleh saja menggoyahkan keimanan diri sendiri.Ingatlah, biarlah sakit telinga dengan kata-kata manusia.Jangan telinga kita sakit, panas mendidih hingga tidak dapat menanggung beban di akhirat kelak atas dosa yang kita sendiri tidak tertanggung.Bersakit-sakitlah dahulu di dunia, bersenang-senanglah di akhirat kelak.

Sentiasalah berusaha perbaiki diri setiap waktu, setiap saat.Kita tidak akan tahu bila dan di mana ajal bakal menjemput.Perbaiki diri dan bersiap sedialah selalu andai malaikat maut datang menjemput.Bila kita set fikiran sebegini, maka kita takkan terleka dengan hal duniawi.Malah kita akan tergesa-gesa menambah amalan kerana takut-takut jika amalan kita masih tidak cukup dan belum tentu mencukupi untuk membantu kita di alam barzakh dan akhirat nanti.Perbaiki diri dan amalan selagi roh dan jasad masih bersatu.Jangan tunggu hingga saat akhir baru timbul penyesalan dalam diri sendiri.

Bertawakal kepada Allah atas segalanya.Ingatlah kita hanya mampu berusaha, namun Allah sajalah yang berhak menentukan segalanya.Jangan kita sangka kita sudah bertaubat dan amat pasti taubat kita akan diterima sepenuhnya.Selagi kita bernafas, selagi itulah kita perlu perbaiki diri dan amalan selalu.Apa ain maksudkan adalah, ada individu beranggapan dosanya amat besar dan belum tentu Allah dapat memaafkan kesalahannya itu.Apabila kita beranggapan sedemikian, samalah juga kita berburuk sangka pada Allah! Bertaubatlah atas segalanya dan berusaha menjadi hamba Allah yang sempurna pada pandangan NYA.Diterima atau tidak taubat kita atau amalan kita itu, terserahlah pada Allah atas segalanya.Kita tidak punya kuasa untuk mengubah segalanya.Tawakal dan berserah dirilah hanya pada Allah dan tidak selainnya.

Sentiasalah berdoa kepada Allah dengan seikhlas hati.Sesungguhnya Allah Maha Mendengar doa seorang hamba yang mengharapkan kasih sayangnya.

Setakat ini saja yang mampu ain coretkan.Moga sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan sahabat sekalian.Segala kekurangan dan kesilapan amat ain kesali dan diharapkan coretan ini dapat membantu sahabat yang masih mencari-cari erti kehidupan ini.Kenalilah diri kita sebagai hamba Allah dan bangunlah kita semua dari tidur yang lena selama ini.

Moga kita bertemu lagi di coretan akan datang.InsyaAllah...=)

4 comments:

  1. Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuhu Sis,

    Subhan'Allah! You have written a very profound blog entry. I often remember my past and feel deep remorse over it whereby the only way to ease the pain is by seeking more of Allah, more of His guidance and forgiveness. The thought of going back into that darkness scares me to bits.

    However, sometimes I can't help but feel I do not deserve the many favors and blessings of Allah, but Masha'Allah,who am I to deny His generosity? He gives to those He pleases and I can't thank Him enough for everything.

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam Hajar,syukran kerana sudi baca nurkilan ain yg tidak seberapa ini.

    Nurkilan ini terhasil dengan izin Allah jua.Alhamdulillah.

    Sejak kebelakangan ini, ain sering mendapat persoalan daripada rakan-rakan rapat bkenaan bagaimana ingin istiqamah dalam bertaubat dan mencari keredhaan Allah SWT.

    Ain cuma memberi nasihat dan pandangan dari pengalaman diri ain sendiri kerana ain juga pernah mempersoalkan perkara yang sama.Mungkin inilah hikmah yang Allah berikan pada ain setelah pelbagai ujian dan dugaan yg menimpa, ain belajar dari ksilapan dan masih lagi belajar perbaiki diri ini.

    Sebagai hamba Allah, kita tidak boleh menidakkan perkara yang berlaku dan seelok-eloknya kita menerimanya dgn hati yg tbuka.Sentiasalah berbaik sangka pada Allah kerana Allah Maha Tahu apa yg tbaik buat hambaNYA....

    Siapalah kita tanpa Allah..Hanya Allah yg mampu melindungi kita di dunia mahupun di akhirat kelak...SubhanAllah...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Ain, saya nak bersahabat dengan Ain. Susah nak cari insan yang faham akan matlamat manusia ialah mencari redha Allah. Saya pun hanya dapat pemahaman ini baru-baru ini setelah hidup atas muke bumi Allah 30 tahun lebih atas nama Islam. Orang Islam sendiri pun belum tentu dapat pemahaman sebegini, seperti saya dulu mencari-cari erti hidup ini, walaupun sudah solat, berpuasa etc. Semoga kita semua mendapat petunjuk dari Allah, dan sentiasa berdoa mendapat cinta Ilahi.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikumussalam saudari.
    InsyaAllah, masih belum terlambat untuk kita perbaiki diri ini.Sentiasalah perbaiki diri dah bermuhasabah hingga ke akhir waktu.Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
    Saudari boleh saja kirimkan email sekiranya memerlukan nasihat atau persoalan,insyaAllah ain sudi membantu sedaya mungkin.

    EMAIL: nurainvivian@gmail.com

    syukran..

    ReplyDelete

terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain..pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR