Wednesday, August 17, 2011

NUZUL AL-QURAN


Assalammualaikum kepada sahabat dan sahabiah yang di rahmati ALLAH SWT sekalian.Selawat serta Salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga dan para sahabat Baginda.

Salam Ramadhan...Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh ini jugalah ramai umat Islam di Malaysia yang akan ingat tentang "cuti".... bestnya "cuti".saya pun sama seperti sahabat dan sahabiah semua,bila ingat pasal Nuzul Al-Quran, pasti saya akan ingat "cuti".siapa yang tak suka cuti kan? .baiklah sahabat dan sahabiah sekalian,kita tinggalkan cerita mengenai cuti,apa yang ingin saya perkatakan di sini,agar kita menghayati maksud sebenarnya "Nuzul Quran" buat kita semua umat Islam.

setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Quran adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân).

Dalam bulan Ramadan terdapat dua kelebihan utama yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada hambaNya yang beriman. Salah satu kelebihan yang kita maklum ialah malam Al-Qadr yang diterima semua amalan hamba-hambaNya yang menemui malam tersebut. Malam Al-Qadr yang diturunkan Malaikat oleh ALLAH SWT untuk menghimpunkan setiap doa hamba-hambaNya yang beriman.

Dan salah satu peristiwa penting yang menjadi anugerah ALLAH di dalam bulan ini ialah penurunan kitab suci Al-Quran. Kitab yang menjadi petunjuk dan hidayah kepada semua manusia. Sebagaimana yang difirmankan oleh ALLAH SWT di dalam surah al-Baqarah 185:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Sesungguhnya Al-Quran yang menjadi panduan kita hari ini telah diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun sebagai satu metod pembelajaran yang perlu disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada sekalian umat. Bila kita mengingati peristiwa penurunan kitab ALLAH ini, maka dalam masa yang sama kita perlu menghayati sirah perjuangan Baginda SAW dalam menegakkan ajaran kitab suci ini.

Rasulullah SAW dan Al-Quran tidak boleh dipisahkan kerana Jibril a.s telah menurunkan kalam ALLAH ini melalui junjungan Besar SAW. Sebab itu Ramadhan juga dikenali sebagai bulan Al-Quran kerana peristiwa Nuzul Quran yang menjadi titik permulaan agama Islam.

Al-Quran yang menjadi mukjizat Baginda SAW ini sangat agung, kerana penurunannya begitu dimuliakan oleh makhluk ALLAH yang lain. Sebagaimana yang disebut oleh ALLAH SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 21:

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung nescaya engkau dapat melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada ALLAH. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat manusia supaya mereka berfikir.”

Justeru itu, kita amat dituntut untuk mengisi Ramadhan ini dengan memperbanyakkan membaca mukjizat agung ini sebagai salah satu penghormatan yang perlu diingati di samping kita sama-sama mencari keredhaan ALLAH SWT. Namun apa yang perlu diingatkan dalam kita bertadarus dan membaca Al-Quran, bukan khatam yang perlu kita kejarkan, tetapi apa yang lebih penting tadabbur serta penghayatan akan menjadikan peristiwa nuzul quran ini terkesan di hati kita. Baginda Rasulullah SAW menganjurkan kita dalam kita membaca Al-Quran ini, bahawa mereka mempelajari isi kandungan Al-Quran dengan mempelajari beberapa ayat, kemudian diiringi dengan penerangan mengenai ayat tersebut.

Sabda Rasulullah SAW : “Adalah seorang dari kami jika mempelajari sepuluh ayat maka ia tidak menambahnya sampai ia memahaminya dan mengamalkannya.”[HR Ibn Mas'ud]

17 Ramadhan adalah salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam. Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran. Firman ALLAH SWT :

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini,kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)


Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)


kesimpulan untuk saya nyatakan kepada sahabat dan sahabiah sekalian, bahawa seharusnya kita manfaatkan hari cuti Nuzul Quran ini sebaik-baiknya.bukan bermaksud kita bercuti, kita pergi shooping, tidur sepanjang hari, menonton TV, main face book 24 jam, tetapi sebaik-baiknya ambil la masa untuk kita membaca dan menghayati ayat-ayat suci AL-QURAN sempena cuti yang kita perolehi.peringatan ini buat diri saya juga,kerana saya juga seorang hamba ALLAH yang lalai dengan keindahan dan keseronokan duniawi.oleh itu sahabat dan sahabiah yang saya hormati, semoga coretan saya ini akan membawa erti buat kita semua menghayati erti sebenar Nuzul Quran.

Mudah-mudah sambutan Nuzul Quran kali ini menjadi titik perubahan kepada kita dalam menghayati ayat-ayat ALLAH agar segala isi kandungannya akan lebih menambahkan lagi keyakinan kita terhadap agamaNya....Insya'ALLAH.Salam Nuzul Quran buat semua umat Islam. marilah kita semua bersatu dengan iman kita yang sebenar iaitu Al-Quran.

# Coretan ini adalah hasil perkongian seorang sahabat yang amat mencintai agamanya.Syukran buat kak Nor Azita Idris.

1 comment:

  1. syukur atas ilmu yang dikongsi.manfaat bt kami smeua

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR