Saturday, October 1, 2011

INI KISAHKU...

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga semuanya dalam keadaan sihat selalu.

Bulan Oktober amat istimewa buat ain.Maka kali ni khas buat sahabat setia blog Nur, ain ingin berkongsi kembali kisah hidup ain semenjak kecil hingga kini.Bagaimana dan sejak bila bermula pengenalan Islam dalam hidup ain serta serba sedikit yang terjadi dalam kehidupan ain bergelar muslim.

Sekadar perkongsian bersama dan sebarang kekurangan dalam tulisan ain, harap dimaafkan.




INI KISAHKU....

PENULIS : NUR 'AIN VIVIAN QUAKE BINTI ABDULLAH

BAB 1

Tarikh 16 Oktober 1984, lahirlah seorang bayi Cina Peranakkan-Hokkien Melaka.Setelah 7 tahun menunggu akhirnya pasangan suami isteri Quake Jin Chuan berketurunan hokkien dan Tay Swee Neo berketurunan peranakkan Melaka menimang cahaya mata yang diberikan nama Vivian Quake Lee Lian.Menurut kefahaman masyarakat Cina, maksud 'Lee Lian' itu sendiri adalah "Bunga Teratai Yang Cantik".

Namun begitu sejak bayi lagi, Vivian dibesarkan dan dijaga oleh nenek yang berketurunan Nyonya Melaka.Vivian ditatang bagai minyak yang penuh dan dijaga seperti puteri istana.Setahun selepas itu, lahirlah adik Vivian pula yang diberi nama Vina Quake Lee Eng.Bezanya, Vivian dijaga oleh nenek manakala adik Vivian, Vina dijaga dan dibesarkan oleh ibu bapa sendiri.

Perkara yang Vivian masih ingat hingga kini adalah setiap kali ada cuti sekolah yang panjang, Vivian akan menghabiskan masa cuti di rumah ibu bapa Vivian sendiri.Walaupun tidak lama, tapi itulah saat yang paling menggembirakan.Anak kecil mana yang tidak suka dimanja dan dibelai oleh ibu bapanya sendiri.Anak kecil mana yang tidak rindukan kasih sayang ibu bapa walau hanya seketika.

Itulah Vivian, sejak kecil amat merindukan kasih sayang ibu bapa seperti kanak-kanak yang lain.Adakala Vivian tertanya-tanya kenapa Vivian tidak tinggal dengan mereka, sedangkan adik dapat tinggal bersama.Vivian terlalu kecil dan tidak mengerti apa-apa.Walaupun Vivian sering mendapat hadiah dan barangan dari Ibu bapa mahupun nenek yang menjaga Vivian sendiri, namun Vivian tidak mengharapkan itu semua.

Pernah satu ketika, Vivian memberontak mahu pulang dan tinggal bersama ibu bapa Vivian sendiri.Seingat Vivian waktu itu, usia Vivian kira-kira 6-7 tahun.Cuti sekolah sudah hampir tamat dan Vivian pulang ke rumah nenek seperti biasa.Pada suatu pagi setelah tersedar dari tidur, Vivian cuma teringatkan "Mummy".Nenek Vivian ketika itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.Entah dari mana keberanian itu datang, Vivian memberanikan diri mengambil beberapa keping duit syiling dan terus bergegas turun keluar dari rumah flet Vivian tinggal, mencari pondok telefon berdekatan.

Vivian terus mendail nombor telefon rumah Mummy dan berjaya bercakap dengannya.Vivian menangis dan merayu supaya Mummy ambil Vivian pulang ketika itu kerana Vivian nak sangat tinggal dengan mereka.Mummy turut menangis kerana gagal membawa Vivian balik dan tinggal bersamanya.Mummy katakan yang dia juga inginkan Vivian tinggal bersama mereka namun tidak mahu melukakan hati nenek yang telah menjaga Vivian sejak kecil lagi.Kami berdua saling menangis di telefon.Tiba-tiba Vivian terdengar jeritan memanggil, " Vivian!!!"..Rupanya nenek telah berada di belakang Vivian ketika itu.

Vivian dimarahi kerana berani keluar dari rumah semata-mata ingin menelefon ibu sendiri.Vivian dimarah, dipukul dan dikatakan "kacang lupakan kulit".Vivian hanyalah budak kecil dan dalam fikiran Vivian hanya ingin bermanja dengan ibu bapanya sendiri.Di kala hari beransur malam, ibu bapa Vivian datang bersama adik perempuan Vivian, Vina.Waktu itu Vivian nekad nak balik ke rumah ibu bapa dan sudah bersiap mengemas pakaian.Namun begitu, hati kecil kanak-kanak berusia 6-7 tahun ini amat lemah.Walau degil sekalipun, cucunya ini tidak sampai hati meninggalkan nenek yang telah menjaganya sejak bayi lagi.Akhirnya, Vivian mengalah dan terus tinggal bersama nenek tersayang.

Ibu bapa Vivian kelihatan amat sedih dan serba salah.Vivian faham ketika itu Mummy Daddy ingin menjaga hati nenek tetapi dalam masa yang sama ingin menjaga hati anaknya sendiri.Walau masih kecil, tapi Vivian dapat faham perasaan mereka yang dewasa.Sekali lagi Vivian kecundang dan biarkan rasa hati ini berlalu begitu sahaja hanya untuk melihat yang lain bahagia.Biarlah orang sekeliling Vivian gembira, dan biarlah anak kecil ini memendam rasa.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan.Akhirnya anak kecil ini melupakan kisah lalu.Kini Vivian sudah melangkah masuk ke Darjah 1, alam persekolahan.Masalah yang Vivian sering hadapi adalah sukar untuk bergaul dengan kanak-kanak Cina yang lain.Walaupun bapa Vivian Hokkien, namun sejak kecil Vivian dibesarkan dalam suasana bertutur dalam bahasa Melayu.Maka, pergaulan sehari-hari adalah dengan murid-murid berbangsa Melayu atau India sahaja.Murid Cina agak sukar dan kebanyakkannya akan menjauhkan diri sebab mereka lebih gemar bercakap dengan bahasa mereka sendiri, Kantonis atau Mandarin.

Bagi Vivian pula, Vivian amat selesa dan seronok bergaul dengan mereka yang bertutur bahasa yang Vivian sendiri mudah fahami.Masalah lain pula yang timbul iaitu Vivian jadi keliru dengan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan yang biasa Vivian tuturkan sehari-hari di rumah.Amat berbeza sekali.Mana tidak, di rumah walaupun Vivian bertutur bahasa Melayu tapi sebenarnya Vivian bertutur dalam bahasa peranakkan.Waktu itu mulalah tertanya-tanya kenapalah susah sangat ni.Guru subjek Bahasa Melayu ketika itu amat prihatin dan menasihatkan anak-anak muridnya supaya banyakkan membaca.Salah satu bahan bacaan yang sesuai adalah suratkhabar.Guru Vivian juga menasihatkan agar menyediakan kamus sekiranya tidak faham dengan sesuatu perkataan yang dibaca itu agar kefahaman kami semakin baik.

Vivian amat meminati bahasa Melayu dan kebetulan ketika itu pakcik yang tinggal bersama nenek juga pasti akan membawa pulang senaskah suratkhabar ke rumah setiap hari.Maka dari situ Vivian pupuk tabiat gemar membaca dan juga menyediakan kamus sebagai bahan rujukkan.Di sinilah segalanya bermula iaitu bermulanya Vivian mengenali Islam.

Sering Vivian terlihat di ruang akhbar ada diselitkan ruangan agama yang berkisarkan kisah-kisah Nabi.Vivian hanya berusia 7 tahun ketika itu dan masih kurang mengerti apa itu Islam.Namun Vivian amat seronok setiap kali membaca kisah-kisah Nabi.Malah Vivian takkan pernah lepaskan peluang membaca sambungan kisah Nabi pada naskah seterusnya.Kisah Nabi yang paling menambat hati Vivian ketika itu adalah kisah hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.Walaupun Vivian tidak mengerti, namun Vivian berasa amat teruja dengan kisah hijrah Nabi Muhammad SAW ketika itu.Malah Vivian amat yakin kisah itu wujud beribu-ribu tahun yang lalu.

Di sekolah pula, murid-murid yang berbangsa Cina dan India yang bukan beragama Islam perlu mengikuti mata pelajaran pendidikan Moral.Pernah pada suatu hari itu, guru bagi subjek pendidikan moral tidak hadirkan diri dan para pelajar diminta untuk membuat ulangkajinya sendiri.Namun, Vivian tidak dapat duduk diam dan bersikap suka menyibuk.Vivian curi-curi melihat kelas agama Islam yang rakan-rakan lain sedang ikuti ketika itu.Guru pendidikan Islam ketika itu ternampak Vivian menyelinap dari belakang kelas.Akhirnya Vivian dipelawa masuk.Ketika itu guru subjek berkenaan mengadakan kuiz soal jawab agama.Vivian hanya duduk dan mendengar.Satu soalan yang diberikan adalah, "Nabi Muhammad SAW berhijrah dari mana ke mana?"..Dengan pantas dan spontan Vivian mengangkat tangan dan ingin turut serta menjawab, Guru agama itu pun memilih Vivian untuk menjawab.Vivian pun dengan yakin dan berani menjawab, " Dari Mekah ke Madinah!".

Guru agama berasa amat kagum dan mengatakan jawapan diberi adalah betul dan tepat.Malah guru terbabit memberikan tepukkan tangan disertai rakan-rakan kelas yang lain.Guru bertanya dari mana Vivian tahu dan Vivian hanya katakan Vivian pernah terbaca melalui suratkhabar.Walaupun Vivian tidak mengerti apa itu hijrah dalam Islam, siapa itu Nabi Muhammad SAW, hati ini sudah tertarik pada Islam.
Di rumah nenek seperti biasa Vivian gemar membaca suratkhabar terutamanya ruangan agama.Nenek Vivian pernah terlihat Vivian baca tentang Islam, maka terus dimarahi.Katanya "untuk apa baca, nak masuk melayu!".Cucu mana yang tidak takut apabila ada orang dewasa sudah naik angin.Vivian sudah masak dengan perangai nenek apabila dalam keadaan marah apa saja boleh berlaku.

Perkara lain yang buat Vivian minat pada Islam seawal usia 7 tahun dan seterusnya adalah seruan azan di kaca televisyen setiap kali masuknya waktu solat tertentu.Vivian beragama Buddha ketika itu dan Vivian sangkakan Buddha dan Islam sama saja.Vivian sedar dalam Islam ada solat 5 waktu dalam sehari.Maka Vivian pun turut mengikut iaitu Vivian akan membakar colok dan menyembah patung 5 kali juga dalam sehari.Nenek Vivian melihat perbuatan aneh cucunya ini dan menegur dalam keadaan marah.Katanya tak perlu sembah sampai 5 kali, pagi sekali dan petang sekali,cukuplah.

Perbuatan lain yang gemar Vivian lihat adalah wanita Islam ada yang bertudung dan ada juga tidak.Namun jauh di sudut hati ini, Vivian amat gemar melihat orang perempuan menutup kepala dengan sehelai kain.Itulah fikiran anak kecil ini ketika itu.Setiap kali pada waktu lapang atau selepas mandi, Vivian akan menggunakan tuala mandi untuk menutup rambut di kepala.Seperti perbuatan Vivian yang lain membaca ruangan agama di akhbar, membakar colok 5 kali sehari, perbuatan Vivian menutup kepala dengan kain juga dilihat oleh nenek dan dimarahi.Ada saja yang tidak kena.

Semua perkara ini berlarutan sejak Vivian dalam Darjah 1 hinggalah Darjah 5.Semakin meningkat dewasa dan mencapai akil baligh seawal usia 10 tahun, Vivian mula memahami Islam dan Buddha adalah 2 agama yang berlainan.Malah Vivian ada memasang angan-angan nak masuk Islam.Pernah Vivian nyatakan hasrat ini pada rakan karib dan rakan Vivian pada ketika itu amat terperanjat.Vivian masih ingat kata-kata ini yang diluahkan oleh rakan karib ketika itu, "Masuk Islam bukan hal main-main".Vivian tergamam dan tidak berkata apa-apa.Dalam benak fikiran Vivian, Vivian masih budak dan tidak faham apa-apa.Namun begitu kami masih bergurau sesama sendiri berangan-angan memilih nama Islam yang sesuai sekiranya Vivian benar-benar memeluk Islam.Macam-macam nama yang terkeluar dari mulut rakan-rakan.Rasa indah sekali saat itu kerana dapat berkongsi rasa hati bersama rakan-rakan karib yang kebanyakkannya adalah Islam.

Tahun-tahun yang berlalu juga memakan usia nenek Vivian yang tersayang.Sebelum Vivian melangkah masuk ke darjah 6, nenek sakit tenat dan akhirnya pergi meninggalkan kami semua.Ketika itu Vivian amat terperanjat dan tergamam.Air mata amat sukar diluahkan.Hanya sekali-sekala sahaja air mata ini mengalir.Setelah pemergian nenek tersayang, Vivian melangkah ke alam baru iaitu beralih pula ke rumah ibu bapa kandung.Rasa janggal dan pelik kerana setelah sekian lama baru kini Vivian dapat tinggal bersama ibu bapa Vivian sendiri.

Perhubungan kami agak janggal pada mulanya, begitu juga hubungan Vivian dengan satu-satunya adik perempuan sendiri.Ada saja yang tidak kena.Ada saja perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diri ini.Psychology remaja, mungkin.Namun, lama-kelamaan Vivian dapat membiasakan diri dengan suasana baru bersama keluarga tanpa kehadiran nenek yang sudah pergi meninggalkan diri ini.Ibu bapa Vivian menerangkan bahawa sewaktu Vivian masih bayi kehidupan mereka amat susah dan tiada tempat tinggal yang tetap, maka demi kebaikkan anak sulungnya ini ibu bapa Vivian mengambil keputusan membiarkan nenek menjaga Vivian sehingga keadaan menjadi semakin baik.Namun, tidak semua yang dirancang menjadi kerana nenek Vivian berkeras mahu menjaga Vivian selagi mampu.Dan hanya setelah pemergiannya sahaja dan setelah Vivian sudah berusia hampir 12 tahun barulah Vivian dapat tinggal bersama keluarga kandung.

Itulah kisah zaman kanak-kanak Vivian yang berlalu tanpa belaian kasih sayang ibu bapa dan hanya dapat merasakannya dari jauh.Zaman kanak-kanak juga tidak seperti kanak-kanak yang lain yang dapat bergerak bebas bermain bersama rakan-rakan.Vivian tidak dapat rasakan itu semua.Sejak kecil Vivian dididik membantu membuat kerja rumah dan dilarang sama sekali keluar bermain dengan rakan-rakan yang lain.Malah, untuk membuat kerja sekolah sekalipun amat sukar.Namun, Vivian tidak pernah menyalahkan nenek yang telah bersusah payah besarkan Vivian dari kecil kerana Vivian tahu walaupun nenek amat tegas orangnya, tapi Vivian tahu dia amat sayangkan Vivian.

Hingga ke hari ini, Vivian tidak pernah melupakan saat-saat manis, susah senang sewaktu dibesarkan mendiang nenek tersayang.Dialah ibu, dialah bapa, dialah nenek yang amat Vivian sayangi kerana nenek yang Vivian panggil dengan gelaran Mama sahaja yang amat memahami sikap cucunya ini.


Bersambung...

9 comments:

  1. assalamu'alaikum, vivian.

    subhanallah. nice. =)

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam saudara.Syukran kerana sudi membaca..=))

    ReplyDelete
  3. salam vivian...sy begitu teruja membaca kisah awak...sesungguhnya Allah maha berkuasa...semoga berjaya ~

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikumussalam saudara Munisyh..Maha Suci Allah atas segalanya...aamiin..

    ReplyDelete
  5. Salam. Ain.
    Sya pun dah lama tak singgah blog ini. Utk lebih faham, sya baca kisah ni bermula dr bab 1. Sayang betul nenek pada ain kan. apa2 pun ain boleh doakn utk kesejahteraan dia 'di sana' juga.

    ReplyDelete
  6. Wa'alaikumussalam Mekar.
    Terima kasih kerana luangkn masa membaca coretan ain disini.yea walaupun nenek amat tegas dan garang, namun sebenarnya dia memang sayangkn ain.Adakala rasa rindu pasti datang tiba-tiba.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Ain,

    Tahniah kerana Allah memilih saudari memiliki hidayah-NYA! Semoga saudari terus istiqomah di jaan yang benar ini. Jalan menuju Allah hanya satu iaitu Islam tetapi jalan menuju keredhaan Allah ada pelbagai cara. Sebenarnya ramai yang salah faham tentang Islam khususnya di Malaysia. Islam is Melayu & Melayu itulah Islam, hakikatnya Islam adalah way of life untuk semua bangsa dan bukan juga untuk bangsa Arab sebagaimana Rasulullah yng berbangsa Arab.

    Sayu juga membaca kisah zaman kanak2 saudari, tapi itulah ketetapan Allah Yang Amat Berkuasa, Dia Maha Berkehendak yang demikian itu, namun saya yakin, sebagai gantinya untuk menebus kehilangan kasih sayang ayah & ibu saudari, bermula dari saudari, anak, cucu serta keturunan saudari hingga ke akhir zaman telah berada di jalan Allah Subhanahu Wa Ta'ala

    Wassalam

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikumussalam nikkierich..

    SubhanAllah, Alhamdulillah, terharu ain membaca pandangan saudara/saudari.Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Puan ain..

    im aznan orang Melaka juga =),ive heard bout your hard journey reverting to Islam on IKIM.fm yesterday when i was at work. Subhanallah...im keen to read how'd you find bout Islam since chilhood(this blog).Its a huge different the way of u and others appreciate Islam than people born in Islam(mostly).Puan, orang yg berjalan menuju Allah tidak sama dengan orang yg duduk senang dengan IC islam..Ramainyer orang Islam tapi sedikit yg merasa manisnya Islam. Allahu yubarik
    p/s; Mungkin boleh buat buku juga..penulisan yg baik Puan...

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR