Tuesday, October 4, 2011

INI KISAHKU...



SAMBUNGAN...

Bab 3

Seingat Vivian, 1 Julai 2002 merupakan tarikh di mana Vivian mula belajar di kolej serta ditempatkan di asrama disediakan.Maka, sekali lagi Vivian akan terpisah dengan ibu bapa dan satu-satunya adik perempuan Vivian.Jika mengikut kiraan, Vivian hanya sempat tinggal sebumbung dengan keluarga kandung seawal usia 11 tahun hinggalah ketika usia hampir mencecah 18 tahun, kira-kira 7 tahun sahaja Vivian dapat mengecap nikmat kasih sayang dibesarkan oleh ibu dan bapa kandung.Dan kini Vivian perlu berpisah kembali demi meneruskan pelajaran dan kerjaya pilihan hati ketika itu.

Di hari pertama berada di asrama sememangnya amat menyedihkan kerana inilah kali pertama Vivian tinggal berjauhan dari keluarga dan perlu belajar berdikari.Vivian perlu belajar bergaul dengan rakan-rakan baru dan perlu belajar membiasakan diri dengan suasana asrama yang amat berbeza dengan suasana rumah.Pasti segalanya berbeza tanpa kehadiran keluarga di sisi.Pasti berbeza dan Vivian masih ingat perasaan di hari pertama iaitu di malam pertama Vivian tidur di asrama seakan -akan perasaan yang sama sewaktu Vivian mula tinggal dengan ibu bapa kandung setelah pemergian nenek tersayang.Segala memori berulang kembali di benak fikiran ketika itu.

Banyak kolej kejururawatan swasta yang Vivian mohon, namun akhirnya Vivian pilih yang tidak jauh dari keluarga memandangkan ibu bapa Vivian bukanlah dari keluarga yang besar.Hanya 2 adik beradik sahaja dan memandangkan rasa sayang pada mereka, maka berat hati ini untuk belajar di kolej yang memerlukan Vivian berjauhan dari keluarga.Kebetulan jarak perjalanan dari kolej untuk pulang ke rumah juga tidak jauh, kira-kira 30 minit perjalanan menaiki kereta.Walaupun dekat, pelajar kejururawatan diwajibkan untuk tinggal di asrama yang disediakan.Maka pada permulaan Vivian tinggal di asrama, dalam seminggu 2-3 kali ibu bapa Vivian berulang alik ke asrama melihat keadaan Vivian di sana.

Setiap kali mereka datang dan pergi, pasti akan ada rasa hiba dan sedih menusuk hati ini.Adakala adik Vivian juga temankan mereka.Makin bertambah rasa sedih di hati.Walaupun Vivian dan adik tinggal sebumbung untuk beberapa tahun sahaja, jauh di sudut hati Vivian amat sayangkan satu-satunya adik perempuan yang ada.Masih segar dalam ingatan, ketika kami di sekolah menengah ketika itu, kami sering berkongsi cerita.Zaman remaja pasti ada saja cinta monyet yang singgah dalam kehidupan kami, dan selalunya Vivian yang lebih 'over'.Amat kelakar apabila dikenangkan kembali.

Apapun, kehidupan harus diteruskan.Mahu atau tidak, kerjaya pilihan hati harus diutamakan.Maka, pelajaran harus diutamakan ketika itu.Keluarga tetap tidak dilupakan, namun pelajaran ketika itu adalah paling utama.Lupakan kisah silam, perasaan sedih dalam hati jika ingin berjaya dalam pelajaran.Itulah yang Vivian tanamkan dalam hati.

Di asrama, rakan-rakan seperjuangan boleh dikatakan majoriti adalah beragama Islam dan sebahagian besar daripada mereka berasal dari pantai timur.Menarik kerana Vivian dikelilingi dengan budaya dan bahasa percakapan yang amat berlainan terutamanya dari Terengganu dan Kelantan.Amat jarang dan inilah kali pertama Vivian mendengar longhat yang berlainan.

Disebabkan Vivian fasih berbahasa Melayu, maka tidak sukar untuk Vivian bergaul dengan mereka ketika itu.Malah, Vivian dapat ramai kenalan rapat dari mereka yang beragama Islam.Mereka amat peramah dan Vivian sukakan suasana begitu.Dan disinilah segalanya bermula kembali, ingatan dan minat Vivian dalam Islam bertaut kembali setelah sekian lama.

Vivian sering perhatikan walau sesibuk manapun dalam menyelesaikan tugasan harian sebagai seorang pelajar, rakan-rakan seperjuangan yang beragama Islam tidak lupa dengan agama.Maksud Vivian adalah, mereka tidak lupa tanggungjawab mereka melaksanakan solat 5 waktu sehari semalam.Malah, ada diantara mereka amat rajin dan khusyuk membaca Al-Quran.Alunan suara dan bacaan ayat-ayat suci itu menarik perhatian diri ini mendengarnya.Walaupun tidak faham, hati ini berasa nyaman mendengarnya.

Walaupun Vivian mudah bergaul dengan rakan-rakan yang beragama Islam, namun Vivian tidak pernah tergerak hati untuk bertanya lebih lanjut tentang Islam.Rasa segan dan malu masih ada dalam diri ini.Waktu itu Vivian cuma fokus pada pelajaran dan tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini dengan serius.Lagipun, Vivian tidak pasti dengan siapa harus Vivian katakan tentang hal ini kerana takut sekiranya ianya adalah isu yang amat sensitif.

Bersambung...

1 comment:

  1. saya dulu pun tak suka duduk asrama. tapi apa boleh buat. pelajaran adalah yg paling utama

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR