Wednesday, October 5, 2011

INI KISAHKU...



Sambungan...

BAB 5

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.Ain tidak dapat ingat bila ianya terjadi kerana amat perit untuk ain ingat peristiwa pahit ini dalam hidup ain.Seperti ain katakan, ain nekad untuk maklumkan sendiri pengIslaman ain kepada ibu bapa setelah benar-benar bersedia.Namun, rupanya ada orang lain yang sudah tolong sampaikan terlebih dahulu sebelum ain sedari.

Suatu hari itu, ain tidak ingat tarikhnya bila tapi kira-kira beberapa hari selepas ain daftar secara rasmi memeluk Islam, ain dipanggil untuk berjumpa dengan Pengetua Kolej.Dalam benak fikiran dan perasaan ain ketika itu adalah, ada sesuatu perkara buruk yang akan terjadi.Ain rasakan rahsia ain kini telah terbongkar.Memang tepat rasa hati ini.Setelah melangkah masuk ke bilik pengetua, ain melihat wajah bengis pengetua ketika itu amat menyeramkan.Ain terus diterjah dengan pelbagai persoalan dan pertanyaan oleh Pengetua Kolej tanpa membenarkan ain bersuara menyatakan pendirian ain ketika itu.

Pengetua terus gertak dengan mengatakan perbuatan ain ini menyebabkan ain akan terus dibuang kolej.Ain tidak dapat mempertahankan diri.Pengetua juga dengan selambanya menghubungi kedua-dua ibu bapa ain dan memaklumkan perkara yang berlaku serta meminta mereka hadirkan diri dengan segera.Ain rasakan seperti hati ini tertusuk oleh benda tajam dan menghiris hati ini satu persatu.Dunia ain ketika itu bagaikan nyawa di hujung tanduk.Tiada talian hayat diberi, hanya hukuman sahaja terus dijatuhkan.

Sementara menunggu ibu bapa ain hadirkan diri, ain disuruh keluar dan menunggu kedatangan ibu bapa ain.Di kesempatan itu, ain sempat berbual dengan kak Nurul dan beberapa rakan kolej.Mereka cuba menenangkan ain dan memberi sokongan moral.Ain tidak dapat berfikir apa-apa ketika itu.Hanya pada Allah SWT sahaja ain serahkan segalanya.Suka atau tidak ain kena terima keadaan itu sebaik mungkin.

Akhirnya ibu bapa ain hadirkan diri dan kami kembali ke bilik pengetua.Pengetua menjelaskan kedudukan ain ketika itu yang sudah memeluk Islam dan memaklumkan bahawa perbuatan ain itu menyalahi undang-undang kolej.Maka, ain perlu diberhentikan pengajian dan dibuang kolej.Ibu bapa ain merayu agar membenarkan ain terus menyambung pelajaran, namun tidak diendahkan begitu sahaja.Pengetua dan ibu bapa ain sependapat bahawa tindakkan ain memeluk Islam berkaitan dengan hubungan ain dan zal ketika itu.Ain dengan tegas menyatakan bahawa hal ini tiada kaitan dengan zal.Namun, mereka tidak percaya.

Setelah selesai diasak dengan pelbagai persoalan oleh pengetua dan ibu bapa ain sendiri, kami pun melangkah keluar dari bilik pengetua dan terus menuju ke asrama ain ditempatkan.Tiada kata-kata dapat ain ucapkan ketika itu, hanya menurut sahaja.Setibanya kami di asrama, ain pun terus mengemas pakaian, buku-buku dan segala barangan ain untuk dibawa pulang.Rakan-rakan yang berada di asrama ketika itu amat terkejut dan seperti ain juga, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.Pengalaman pahit ini tidak akan dapat ain lupakan selamanya.

Setibanya di rumah, ain terus mengemas barang-barang seperti biasa sambil terus mendengar ibu bapa ain melepaskan perasaan masing-masing.Ain sedar, ain telah melukakan hati mereka yang bersusah-payah mencari wang menyekolahkan ain dan adik beradik.Ain hanya menangis dan terus menangis.Ibu ain memujuk agar ain berubah fikiran, namun ain betegas dengan pendirian ain ketika itu.Malah, ibu ain sanggup mengupah peguam untuk membatalkan pengIslaman ain.Apapun ain tetap dengan keyakinan ain pada Allah SWT dan ain tidak akan beganjak setelah ain percaya dan yakin akan kewujudan Allah SWT.

Satu-satunya adik kandung ain yang ada Vina, amat marah ketika itu dan tidak mahu bercakap dengan ain.Ain tidak menyesal dengan keputusan yang ain ambil, tetapi sedih melihatkan ibu bapa dan adik ain ketika itu yang amat sedih dan kesal dengan keputusan ain tanpa berbincang terlebih dahulu.Ain nekad dengan apa ain buat dan pilih, namun ain tidak tahu apa yang akan terjadi selepas itu.

Pada hari yang sama, ibu ain meminta ain memberikan nombor telefon ustaz yang menguruskan pengIslaman ain.Katanya, dia ingin mendapatkan bantuan Ustaz untuk memujuk pihak kolej agar membenarkan ain menyambung pengajian seperti biasa.Ain berasa amat terharu dan sedih, namun gembira kerana ibu ain masih berlembut dan sanggup bersusah-payah membantu ain agar ain tidak ketinggalan dalam pelajaran.Panggilan telefon telah dibuat, selain dari itu terserahlah pada ustaz Hamzah bagaimana hendak menyelesaikan perkara ini.

Pada malam itu di rumah, kami sekeluarga semua dalam angan masing-masing.Semua dalam keadaan terperanjat, sedih dan tidak dapat berkata apa-apa.Ain tidak dapat berbuat apa-apa.Sekadar berdiam diri, menunggu jawapan yang tidak pasti dan mengharapkan ada berita baik yang bakal tiba.Adik masih dalam keadaan terperanjat dan sedih serta tidak mahu bercakap dengan ain.Ibu bapa ain pula terus-terusan dengan pandangan masing-masing.

Ain sedar, ibu bapa mana yang tidak terperanjat apabila sesuatu perbuatan anak itu di luar kawalan mereka sendiri.Hati ibu bapa mana yang tidak berkecai apabila melihat anak kesayangan mereka berbuat sesuatu tanpa berbincang atau bertanya pendapat mereka terlebih dahulu.Ibu bapa mana yang tidak marah dan kesal apabila tindakan seorang anak itu dibuat tanpa mendapatkan keizinan mereka yang telah menjaga dan membesarkan dengan penuh susah-payah dan kasih sayang selama ini.Ain sedar itu semua, namun ain sedar juga perkara agama ini menjadi isu sensitif dalam keluarga dan ain perlu membuat keputusan sendiri tanpa meminta izin atau pendapat mereka terlebih dahulu.

Apa ain tahu, ain yakin dengan agama Islam dan ain yakin Allah SWT itu wujud.Ain yakin hanya Allah saja Tuhan Yang Satu dan tiada yang lain selain dari NYA.Ain yakin dengan pendirian ain untuk memilih Islam sebagai jalan hidup ain walaupun akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cubaan.Ain tidak tahu apa akan terjadi selepas ini, segalanya ain serahkan pada Allah SWT untuk menentukan segalanya.Ain redha.Buruk baik selepas ini, ain perlu terima.Inilah jalan yang ain pilih dan ain redha.

Zal? Entahlah, apa terjadi pada Zal sekarang ni.Ain sudah tidak peduli, lagipun bukan kerana Zal ain memeluk Islam.Ain yang buat keputusan tanpa paksaan atau pengaruh dari sesiapa.Bagi ain cinta dan agama adalah 2 perkara yang berlainan.Cinta manusia tidak akan kekal, namun cinta pada Allah saja yang akan kekal abadi.Ain akui, tindakkan ain memeluk Islam dengan bantuan Zal pasti akan memberikan kesan pada drinya juga.

Keesokan harinya, ibu ain mendapat panggilan dari pihak kolej dan meminta ibu bapa ain untuk membawa ain pulang semula ke asrama.Ain dibenarkan kembali oleh pihak kolej untuk meneruskan pengajian seperti biasa.Ibu dan ain sendiri berasa amat gembira dan bersyukur kerana tidak akan dikenakan apa-apa tindakkan selepas ini.Sebelum ini, pihak kolej mengugut bahawa kami perlu menjelaskan biasiswa pelajaran kerana melanggar kontrak.Sedangkan ain sudah teliti kontrak biasiswa sebelum ini, selagi mana perkara dilakukan tidak menjejaskan nama baik kolej ain masih boleh teruskan pengajian seperti biasa.

Alhamdulillah, berkat doa ibu dan usaha ustaz Hamzah terutamanya, menghubungi pihak pengurusan atasan kolej berunding akan perkara ain, akhirnya ain diterima kembali.Syukur pada Allah atas segalanya.Ain tidak mengambil masa lama, terus sahaja mengemas pakaian dan barang-barang untuk pulang ke kolej.Bapa ain turut menemani ain kembali ke asrama.

Setibanya di asrama, rakan-rakan semuanya kelihatan agak terkejut namun tetap menyambut kepulangan ain di sini.Setelah semua barang ain selesai dipunggah balik, ibu bapa ain terus pulang meninggalkan diri ini.Tiba-tiba saja diri ini merasa kesepian, pilu dan mencari-cari tempat untuk mengadu.Tiba-tba saja diri ini menjadi pendiam, entah kenapa.Beberapa rakan datang bertemu ain dan memberikan kata-kata semangat, namun diri ini tidak dapat menahan sebak di dada dan air mata ini terus saja mengalir.

Ain mengambil peluang untuk menghubungi Zal bertanya khabar dan dimaklumkan bahawa Ustaz Hamzah sudah pun bertemu dengannya.Mereka berbincang dan menasihati ain terus bersabar dan teruskan pelajaran seperti biasa.Ustaz juga telah memaklumkan pada Zal tentang hari untuk ain hadiri kelas agama bagi saudara baru.Ain mengikut sahaja.

Seingat ain, beberapa hari atau beberapa minggu selepas itu, selepas Magrib, ain hadiri kelas agama ain yang pertama.Ain maklumkan pada beberapa orang rakan asrama yang ain percayai agar mereka tidak risau dengan ketiadaan ain pada malam itu.Lagipun ain akan pulang ke asrama mengikut waktu yang ditetapkan.Ibu bapa ain tidak beritahu kerana bimbang akan reaksi diberikan.Namun, seperti ain jangka ibu bapa ain datang ke asrama pada malam itu juga untuk melihat keadaan ain sedangkan ain sedang mengikuti kelas agama.Ain matikan bunyi telefon ketika itu.Setelah kuliah agama selesai, ain periksa telefon dan mendapati ada panggilan dibuat oleh rakan-rakan kolej.

Ain telefon kembali, dan dimaklumkan bahawa ibu bapa ain sedang menunggu ain di asrama.Rasa takut, berdebar memikirkan apa yang bakal berlaku selepas ini.Lagi-lagi waktu itu ain bertudung dan berbaju kurung.Aduhai, macam mana ni.Tentu makin bertambahlah rasa marah mereka pada ain sekiranya melihat ain berpakaian sedemikian.Maka, rakan ain tadi menasihatkan ain untuk menelefonnya kembali setibanya ain di asrama.Setibanya ain dan tidak jauh dari perkarangan asrama, rakan ain tadi segera datang dan membawa pakaian untuk ain tukar.Setelah selesai, ain dan rakan serta Zal yang turut ada bersama kembali ke asrama dalam keadaan resah dan bersedia sahaja dengan sebarang kemungkinan.

Ibu bapa ain marah dengan tindakkan ain keluar dari asrama pada waktu malam dan di ketika itu Zal turut ada bersama.Ain jelaskan pada mereka bahawa sebenarnya ain hadiri kelas agama dan bukannya berpeleseran.Ain disuruh diam dan masuk ke asrama, sementara Zal pada waktu itu ditinggalkan bersama kedua-dua ibu bapa ain.Ain tidak tahu apa yang terjadi, namun dari segi reaksi dilihat, ain sedar zal dimarahi teruk oleh mereka.Ain juga diberi amaran oleh ibu bapa ain agar tidak lagi menghadiri sebarang kelas atau kuliah agama selepas ini.Jika ain masih berdegil, mereka tidak teragak-agak untuk membawa ain pulang ke rumah dan tidak membenarkan ain teruskan pengajian seperti biasa.Mahu atau tidak, dalam keadaan serba salah, ain mengikut sahaja kehendak mereka.

Setelah mereka pulang, ain hubungi zal bertanyakan keadaannya.Zal menasihatkan agar ain banyakkan bersabar dan untuk sementara waktu tidak perlulah ke kelas agama yang diadakan.Kami juga sepakat untuk tidak berjumpa buat seketika selagi keadaan belum reda.Di asrama pula, beberapa orang rakan datang menemankan diri ini dan menenangkan keadaan ain.Ain seakan-akan hilang pedoman dan mula putus asa.Namun, kata-kata semangat daripada rakan-rakan yang agak rapat dan zal yang tidak putus-putus menasihati diri ini, akhirnya ain akur atas segala yang terjadi.Ain juga akur sekiranya hubungan ain dan zal putus.Lagipun bukan kerana ain cintakan zal ain memeluk Islam.Tidak sama sekali.Biarlah Allah tentukan segalanya.Ain terima seadanya.

Bersambung...

7 comments:

  1. assalamualaikum kak ain.. saya da baca dari bab1 - bab5.. saya sedih.. huhuhu ,,, tak sabar nak baca lagi..

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam Nor..syukran sudi baca kisah akak yg tidak sberapa ni..harap tidak rasa bosan...hehe...janganlah sedih ye..

    InsyaAllah, akak akan coretkn lagi untuk nor dan sahabat-sahabat yg lain.

    ReplyDelete
  3. oo.. tak tahu pula kalu kita bertukar agama ke agama islam, kita akan dibuang kolej ..huhu

    ReplyDelete
  4. Mekar: entahlah..tak termaktub pun dalam kontrak belajar ain...;)

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum. Saya bersetuju dengan ain, cinta kepada manusia tidak kekal dan boleh hilang begitu saja, tapi cinta kepada Allah SWT tetap kekal dan Allah SWT tidak akan mengecewakan kita.

    Ain sekarang dah stable ke? mohon share sebab mungkin nak kongsikan kat blog saya juga..

    ReplyDelete
  6. Wa'alaikumussalam saudara Ikhwan.
    Terima kasih kerana luangkan masa disini.Alhamdulillah, ain baik-baik aja disini.Kini ain lebih bahagia di sisi suami dan keluarga.Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  7. link untuk bab 4 mane kak

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR