Thursday, October 6, 2011

INI KISAHKU...



BAB 6

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan bulan silih berganti.Di kala diri ini mengharungi kehidupan sebagai seorang yang masih baru dalam Islam, ain mula menjadi seorang yang agak pendiam.Tidak peramah seperti selalu dan ain lebih banyak menyendiri.Kenalan kolej yang rapat hanyalah beberapa orang sahaja.Ain tidak tahu siapa yang harus ain percaya untuk diluahkan rasa hati ini selain zal.Zal sahaja tempat ain mengadu selain Allah.Hanya padanya ain luahkan rasa hati ini di ketika diri ini berasa begitu lemah sekali.Hubungan kami menjadi semakin rapat.

Oleh kerana ain tidak lagi menghadirkan diri ke kelas agama, ain perlu bijak belajar berdikari dan berusaha sendiri dalam mencari ilmu agama.Dari segi solat wajib 5 waktu, ain meminta rakan serumah untuk membantu.Namanya, Mazuin atau kami di sini lebih senang memanggilnya Achik.Hanya pada Achik sahaja ain bergantung harap belajar langkah-langkah dan cara solat yang betul selain berpandukan pada buku solat yang sedia ada.Bagi ain, teori sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak dilihat dan dipraktikkan sendiri dengan amali.Achik banyak membantu ain untuk melakukan solat dengan betul dan akhirnya ain yakin untuk lakukannya sendiri.Namun begitu, surah-surah yang dibaca hanyalah hafalan sahaja di bibir kerana ain belum mampu untuk fahami segalanya dalam sekelip mata.

Ain mula belajar mengaji dengan kak Nurul serta seorang lagi rakan bernama Supiahtun yang sudi membantu.Ain gunakan buku Iqra' yang dibelikan zal untuk belajar mengaji.Waktu itu, perasaan sedih semakin berkurangan dan tumpuan ain pada pelajaran kembali pulih.Rasa bersyukur dan gembira yang teramat kerana ain dapat belajar mengaji dan solat tanpa sebarang masalah.

Walau bagaimanapun, langit takkan selalunya cerah.Kini, setiap kali berada di kelas ain dapat rasakan kedinginan para pengajar terhadap status ain yang kini beragama Islam.Paling jelas kelihatan adalah sewaktu sesi kelas yang dikendalikan oleh pihak pengetua ain sendiri.Apabila ada pembentangan kertas kerja atau tugasan yang diberikan, rakan-rakan yang agak rapat dengan ain akan terkena tempiasnya.Ada saja yang tidak kena dengan tugasan yang disiapkan oleh rakan-rakan yang rapat dengan diri ini.Sedih memikirkan, mahu atau tidak terpaksa mereka lalui.Ain jadi serba salah.Ain rasa malu dan terkilan atas apa yang terjadi.Biarlah ain saja yang dimarahi, namun rakan-rakan juga terkena tempiasnya.Makin bertambah rasa bersalah dalam diri ini.Rasa rendah diri, malu semakin membuak-buak.

Paling tidak dapat ain lupakan adalah kata-kata pengetua pada suatu hari sewaktu dalam sesi kelasnya, "Kalau nak jadi ustazah, tak payah belajar.Balik je kampung, kahwin.."..Banyak lagi kata-kata yang dilontarkan dan ain tidak ingat serta ain tidak mahu ingat.

Ya Allah! Sebak rasa hati ini, sambil menahan air mata.Setelah pengetua berlalu pergi meninggalkan kelas.Ain terus menangis tanpa rasa segan atau malu.Sedih yang teramat, ain meminta maaf pada kak Nurul dan rakan-rakan yang lain kerana ain telah menyusahkan mereka.Kerana ain, mereka yang beragama Islam dipandang hina dan dicaci.Begitu hinanya kami pada pandangan pengetua.

Sejak dari itu, bermulalah perubahan sikap ain yang mendadak dan ain tahu rakan-rakan juga dapat rasakan dan lihat.Ain mula hilang tumpuan dalam pelajaran.Ain mula menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan seperti biasa.Bagi ain, adalah lebih elok ain jauhkan diri ini dan memastikan tiada sesiapa yang rapat dengan ain lagi selepas ini.Ain juga pastikan ain tidak lagi menonjol dalam pelajaran agar perhatian pada diri ini dikurangkan.Ain juga bersikap tidak ambil kisah tentang apa yang berlaku dengan rakan-rakan kerana ain yakin cara ini saja yang dapat ain buat untuk jauhkan diri dan agar diri ini tidak lagi diendahkan.Amat perit tapi bagi ain ketika itu, inilah yang terbaik.

Ain juga berhenti mengaji.Ain jelaskan pada kak Nurul, biarkan ain sendiri dan ain nyatakan ini bukan masa yang sesuai.Ain tidak mahu melibatkan kak Nurul atau mana-mana rakan kolej dengan ain lagi.Ain hanya libatkan diri apabila perlu sahaja iaitu apabila ada kertas kerja yang perlu disiapkan secara berkumpulan.Segala yang ain lakukan ini akhirnya mengundang padah kerana akhirnya ain menjadi seorang yang rendah diri dan tidak mahu bersaing.Ain jadi penakut, takut dengan kehidupan.Takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ain seakan-akan hidup dalam dunia ain sendiri.Setiap kali solat, ain berdoa agar diri ini tabah hadapi segalanya.Ain hanya mengikut arus.Setiap hari, setiap saat ain berdoa moga cepatlah masa berlalu agar ain tidak perlu lalui semua ini lagi.Ain sudah tidak tahan melayan karenah pihak kolej yang adakala bersikap berat sebelah.Cepatlah semester pengajian berakhir.Itu saja ain harapkan.Betapa sempitnya fikiran ain ketika itu.Sepatutya, ketika ini ain bergembira di samping rakan-rakan dan menikmati saat-saat bergelar sebagai seorang pelajar.Orang kata, saat belajar paling manis sebelum melangkah ke alam pekerjaan.Bagi ain pula adalah sebaliknya, tiada yang manis semasa bergelar pelajar.

Sering ain melihat rakan-rakan sekolej bergurau senda, keluar bersama, makan bersama.Namun ain seperti dalam dunia ain sendiri.Rasa sunyi, sepi bagai dunia ini tiada maknanya lagi.Ain akui salah ain juga kerana menjauhkan diri dan bersikap tidak ambil peduli tentang masalah rakan-rakan yang lain.Itu yang ain nak dan kini terjadi, maka ain tidak boleh marah bila bersendirian sepanjang berada di kolej atau asrama.

Perasaan memberontak sering menghantui diri.Pada Zal tempat ain luahkan rasa hati, namun nasihatnya juga ain tidak dengari.Entahlah, jiwa orang muda terlalu mengikut perasaan.Bagi ain, ain sudah cukup tertekan dengan keadaan dan suasana pembelajaran, serta sikap bermuka-muka diantara mereka.Bila difikirkan kembali kini, mungkin ain terlalu mengikut rasa hati.

Dari segi berpakaian, pada mulanya ain bertudung dan berpakaian tidak terlalu ketat.Akhirnya pakaian seharian ain seperti berseluar ketat, berbaju singkat serta mengikut bentuk tubuh adalah perkara biasa bagi ain.Melihat yang lain berpakaian sedemikian, makin membuatkan ain alpa dengan diri sendiri.Namun, akibat terlalu naif tentang agama dan adab yang betul seorang wanita Islam berpakaian, ain turut terpesong.Adakala bertudung dan adakalanya tidak.Jika bertudung, ain akan pinkan ke atas melebihi paras dada, kononnya fesyen terkini.Ain melihat persekitaran dan cara wanita Islam berpakaian.Ain sangkakan bertudung, berpakaian ketat tiada salahnya.Asalkan bertudung, cukuplah.Itulah pemikiran ain ketika itu.Betapa bodohnya ain yang hanya mengikut arus.Tanpa ilmu yang betul, ain terus hanyut dengan arus semasa.

Zal menegur, namun ain tidak endahkan kata-katanya itu.Rakan-rakan tiada yang menegur.Lagipun cara ain berpakaian juga lebih kurang saja seperti yang lain.Namun, itu bukanlah alasannya.Ain juga beralasan wanita Islam kini perlu modenkan diri agar dapat menarik perhatian mereka yang beragama lain.Ya Allah! Betapa bodohnya ain ketika itu.Betapa sempitnya ain dalam mencipta imej Islam tanpa berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Kini ain sedar, ain juga silap.Ain masih mencari identiti diri sebagai seorang muslim.Tekanan perasaan berterusan dan ain hanya terus hadapinya dengan sedaya mungkin.

Bersambung...

8 comments:

  1. coretan yang menarik, saya dapat bayangkan apa yang ain alami semasa dihostel dan kolej, no wonder they got talk about you once upon a time...now i understand why...alhamdulillah you have gone through a jouney which telah membuatkan ain jadi lebih matang.

    ReplyDelete
  2. saudari ain vivian.

    ujian getir dari Allah mungkin memberi maksud Allah mahu 'bermanja' dengan saudari. bergembiralah anda melepasi ujian itu dengan penuh kejayaan dan kesabaran. Kerana, dengan kejayaan itu, Allah akan semakin sayang, kasih, cinta dan manja kepada saudari, insya allah. =)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Anonymous.
    Sebelum tu boleh ain tahu siapa saudara/saudari yang memberikn komen ini?Jika tidak keberatan sila menghantar email kepada ain di nurainvivian@gmail.com.Manalah tahu rupa-rupanya yg mberikn komen ini rakan skolej..=)

    Yea, ain faham maksud anonymous.Memang ain sedar ada yg berkata-kata di belakang.Ain sedar ain jadi buah mulut ketika itu kan???

    Rasa sakit bila diingatkan kembali..Apapun semuanya dah berlalu.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum saudara Izzudin.

    Yea, setiap ujian itu walaupun perit, pasti ada kemanisan yg akan dinikmati kelak.

    Sesungguhnya Allah Maha Tahu...

    ReplyDelete
  5. Ain..pengetua tu bangsa / agama apa? kenapa dia perlu perli2 macam tu :-o

    ReplyDelete
  6. Wa'alaikumussalam Mekar, ROs...

    Jawapan bagi persoalan Mekar dan Ros: kami sama bangsa dan agama...tak pasti..(hindu/buddhist/kristian)

    Ain tiada niat nak mengaibkan individu bkenaan.Sekadar berkongsi pengalaman agar sahabat yg lain dapat berfikir sejenak.

    Mungkin akibat kejadian tersebut, ain sedar bagaimana persepsi masyarakat lain dan agama lain terhadap agama Islam.

    Masyarakat Islam dpandang serong oleh sesetengah individu spt kata pepatah "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".Oleh kerana kburukan sgolongan , maka yg lain akan tkena tempias yg sama.

    ReplyDelete
  7. Ain kuat... :) nani pun x blh jd mcm Ain.. :(

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR