Saturday, October 8, 2011

INI KISAHKU...



BAB 8

Kini, ain bukan lagi seorang pelajar.Kini, ain seorang jururawat dan menggalas tanggungjawab berat selepas ini.Mulalah detik ain ke alam pekerjaan.Perasaan teruja, berdebar, takut dan bermacam-macam perasaan menghantui diri memikirkan hari ain mula bekerja.

Ain mula bekerja beberapa hari sahaja sejurus ain tamat pelajaran di kolej.Di hari pertama dan seterusnya ain akui agak kekok dengan suasana dan aktiviti baru.Ain perlu cepat membiasakan diri dengan suasana yang berlainan, rutin berbeza dan juga perlu segera membiasakan diri dengan rakan-rakan sekerja yang lebih senior dari ain waktu itu.

Jarak perjalanan untuk ke tempat kerja tidaklah terlalu jauh, kira-kira 30 minit masa perjalanan menggunakan kereta.Ain sudah memiliki lesen memandu seawal usia 17 tahun, iaitu selepas ain tamat SPM, dan bekerja sambilan, ain gunakan pendapatan sambilan untuk belajar memandu.Maka, ain tidak perlu risau untuk berulang-alik ke tempat kerja.Bapa ain tidak menggunakan kereta, maka ain diberikan keizinan menggunakan keretanya untuk berulang alik ke tempat kerja.

Di ketika ini, ain sudah mula bertudung ke tempat kerja.Namun, ain tidak mengenakannya 100 peratus dalam kehidupan seharian ain.Ini atas permintaan ibu dan ain hormati permintaannya itu.Ain sedar dan ain faham, keluarga masih tidak dapat membiasakan diri dengan perubahan diri ini.Ain perlu beri mereka masa untuk terima diri ini seadanya.

Namun, di tempat kerja lain pula ceritanya.Ada suatu hari itu ain perlu menghadiri sesi bengkel yang dianjurkan oleh pihak hospital.Ain hadirkan diri dengan berseluar jeans dan baju biasa, namun tidak bertudung.Tanpa diduga, ain ditegur oleh seorang rakan sekerja, "Eh, mana tudung?kejap pakai kejap tak..."..

Kata-kata itu benar-benar menusuk hati ini.Kenapa ain pula dipersoalkan tidak bertudung? Kenapa tidak menyoal mereka yang sejak lahir Islam tetapi tidak bertudung? Kenapa tidak menyoal mereka yang gemar bertudung hanya di tempat tertentu sahaja? Kenapa soalan sebegini ditujukan pada ain? Kenapa? Adakah disebabkan ain mualaf, maka ain tidak boleh buat silap walau sedikit pun?

Tidak kurang juga ada yang beranggapan ain memeluk Islam kerana bercinta dengan jejaka Melayu.Ain sedar tanggapan itu tetap melekat sejak di awal pengIslaman ain lagi.Mahu atau tidak, ain pekakkan telinga sahaja dan berharap segalanya berlalu dengan masa.Memang benar, Zal hadir di kala ain memeluk Islam.Namun itu bukan sebab utama ain memeluk Islam.Islam itu indah dan bukannya untuk diperlekehkan.Sejak kejadian itu, ain sedar tidak mudah bergelar seorang mualaf atau saudara baru.Segala gerak geri dan tingkah laku ain akan diperhatikan.Sedikit kesilapan boleh saja merosakkan segalanya.

Pada mulanya ain sangkakan profesion sebagai seorang jururawat amat mudah, tetapi sebenarnya tidak.Segala yang dipelajari semasa di kolej hanyalah teori dan praktikal biasa sahaja.Kini, segalanya adalah realiti.Ain perlu berdepan dengan bukan sahaja pesakit yang dirawat, malah doktor pakar, dan juga para petugas hospital yang lain.Banyak perkara harus dijaga, banyak tugasan harus diselesaikan dengan cepat dan berhemah.Tugas kami bukan hanya merawat pesakit dan membantu doktor, malah perlu mengemas kini fail-fail dan menyiapkan kertas kerja yang bertambah setiap hari.Ada saja perkara baru yang dibuat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pihak hospital terhadap pesakit yang datang mendapatkan rawatan di hospital berbayar.

Kenangan yang takkan mungkin ain dapat lupakan sewaktu bergelar jururawat adalah, ain sering diajak berbual dalam bahasa cina dengan pesakit.Memandangkan ain berkulit cerah, bermata sepet dan walaupun bertudung ain takkan terlepas diajak berbual dalam bahasa cina, tidak kiralah dalam longhat kantonis, hokkien atau mandarin.Perasaan lucu itu sentiasa ada.Walaupun ain mempunyai latar belakang keluarga cina, namun bahasa membataskan segalanya.Amat sukar untuk ain pelajari bahasa cina kerana lidah ini sudah dibiasakan berbahasa melayu sahaja.

Masih ain ingat hingga kini, kira-kira tahun ke-3 ain bergelar jururawat.Waktu itu ain sedang bertugas memberikan ubat kepada seorang pesakit.Pesakit ini sedar bahawa ain berbangsa Cina tetapi beragama Islam.Memandangkan ain bertudung, maka agak mudah dia mengagak.Pesakit tadi mula mempersoalkan pengIslaman ain.Kata-katanya amat memeritkan hati ini kerana amat menghina agama Islam.Ain cuma nyatakan keyakinan ain akan kewujudan Allah SWT dan adanya Al-Quran sebagai petunjuk.Dia mula bertanyakan sama ada ain pernah membaca Bible.Ain katakan tidak dan ain tidak berminat.Ain mula rasa marah dengan sikap pesakit ini yang tidak tahu menghormati agama Islam sedangkan ain tidak sesekali mempertikaikan kepercayaannya pada agama Krisitian.Akhirnya ain mendiamkan diri kerana tidak mahu wujudnya pertelingkahan, memandangkan ain bekerja di hospital swasta dan pesakit gemar membuat aduan walau perkara itu amat kecil bagi kami.

HAri-hari berlalu dan hubungan antara ain dan zal juga semakin rapat, begitu juga keluarga kami berdua.Ain mula memikirkan masa depan ain dan zal.Ain mengenali zal sejak awal ain memeluk Islam.Zal dan keluargalah yang banyak membantu ain selama ini.Ain berasa beruntung dan terhutang budi.Ain rasakan adanya karisma antara kami berdua dan ain yakin zal seorang yang bertanggungjawab dan boleh memimpin.Hanya dia saja yang ain amat percaya ketika itu dan hanya dia saja yang mengenali ain sebelum dan selepas ain memeluk Islam.Ain yakin hanya Zal yang dapat menjaga ain dengan baik sekiranya ain ditakdirkan bertemu jodoh dengan Zal.

Ain perhatikan Zal seorang yang amat mementingkan hubungan keluarga lebih daripada dirinya sendiri.Itu antara ciri-ciri ain cari juga selama ini.Malah, dia juga pandai mengambil hati kedua-dua ibu bapa ain walau pada mulanya hubungan mereka agak tegang.Faktor-faktor inilah yang membuatkan ain semakin yakin dengan perasaan ini.Ain yakin hanya Zal yang layak untuk menjadi suami ain berbanding yang lain.Selagi seseorang lelaki itu lebih mementingkan keluarga berbanding orang lain, itulah ciri-ciri ain ingini.

Bukannya ain tidak dilamar oleh kumbang yang lain.Bukannya ain tidak berminat pada yang lain.Cuma diri ini sentiasa mengelak dan merasakan mereka tidak tahu jerih payah ain sewaktu ain memeluk Islam.Mereka tidak ada disisi ain sewaktu ain bergelut dengan perasaan hati di awal pengIslaman ain.Mereka tidak ada sewaktu ain sudah hampir berputus asa.Maka bagi ain, Zal adalah calon yang paling sesuai.Zal sentiasa ada di saat ain mula goyah dengan diri sendiri dan di saat ain hampir-hampir kecundang.Zal sentiasa di sisi bila mana ain memerlukan.Memandangkan keluarga ain dan Zal sudah berhubungan baik, maka ain rasakan semuanya sempurna dan dialah pilihan ain yang terbaik.Keluarga saling mengenali, kami juga saling mengenali diri masing-masing.

Akhirnya kami putuskan untuk bertunang.Pertunangan diantara ain dan zal diadakan pada 16 Oktober 2005 iaitu sewaktu usia ain baru mencecah 21 tahun.Mungkin ramai beranggapan terlalu awal, namun ain rasakan itulah yang sebaiknya memandangkan kami sudah lama berkenalan serta direstui kedua-dua belah pihak.Tiada perasaan ragu ketika itu dan itu adalah langkah pertama kami sebelum merancang untuk berkahwin.Majlis pertunangan kami diadakan di rumah ibu bapa ain secara sederhana dengan dihadiri oleh sanak-saudara dan rakan-rakan terdekat sahaja.Cincin pertunangan ain pula disarungkan oleh nenek Zal sendiri.Perasaan gembira bercampur sedih ain rasakan ketika itu.

Setelah semuanya selesai, ain dan zal sepakat untuk melangsungkan perkahwinan kami secepat mungkin.Walau bagaimanapun, keluarga ain agak keberatan memandangkan ain masih muda dan masih baru saja bekerja.Mereka berpendapat ain harus berjaya dalam bidang diceburi sebelum memikirkan untuk berumah tangga.

Secara ringkasnya, kami akhirnya bernikah pada 20 May 2006 dan sah bergelar suami isteri.Majlis perkahwinan kami diadakan dalam 2 suasana berbeza.Atas permintaan kedua-dua ibu bapa ain, maka adat resam Cina dijalankan setelah mendapat pertimbangan daripada keluarga lelaki.Secara peribadi, ain ingin menggembirakan hati ibu bapa ain setelah sekian lama mereka banyak bersabar dan bersusah-payah.Jauh di sudut hati mereka, ain tahu mereka masih sukar menerima perubahan anaknya ini.Walaupun tidak diluahkan, sebagai anak ain dapat merasakannya.

Kini ain menggalas tanggungjawab baru iaitu sebagai seorang isteri.Ain memasang niat untuk menjadi seorang isteri yang baik, yang taat pada suami dan agama.Ain bercita-cita untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik lagi pada masa-masa akan datang...


Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR