Saturday, December 10, 2011

MAJLIS ZIKIR DAN KEBERKATANNYA

Assalamualaikum, salam sejahtera buat semua sahabat NUR di sini.Dengan rasa syukur pada Allah SWT, dan dengan izin NYA InsyaAllah ingin ain kongsikan bersama sahabat sekalian sedikit sebanyak ilmu bersama sahabat sekalian.



(gambar ehsan dari Google)


Dari Hazrat Anas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila kamu melalui kebun-kebun syurga maka ragutlah (ambillah manfaat) sepuas-puasnya." Seorang bertanya, "Apakah kebun syurga itu,Ya Rasulullah?" Jawab Baginda , "Majlis Zikrullah"
(Hadith Riwayat Ahmad, Tirmizi dan lain-lain)

Keterangan Hadith:

Bertuah benar orang-orang yang dapat menghadiri majlis-majlis zikir dan dia hendaklah merasakan itu adalah satu anugerah daripada Allah SWT yang besar.Majlis-majlis zikir merupakan taman-taman syurga di dunia ini. "Ragutlah sepuas-puasnya" bermaksud sebagaimana binatang apabila meragut atau memakan rumput yang menghijau di sebuah kebun atau padang ragut maka tidak mudah untuk menghalang binatang itu (daripada terus meragut rumput) walaupun dihalau oleh tuan binatang itu.Bahkan binatang itu akan terus meragut rumput walaupun dipukul dengan tongkat dan benda-benda lain.Binatang itu langsung tidak akan memalingkan muka.

Begitu juga hendaknya mereka yang berzikir.Janganlah memalingkan muka dan tumpuan daripada zikir disebabkan oleh kebimbangan dan halangan-halangan keduniaan yang lain.

Dalam hadith di atas, majlis-majlis zikir diumpamakan sebagai kebun-kebun syurga kerana di dalam syurga tidak terdapat sebarang musibah.Demikian juga dengan majlis-majlis zikir yang turut terpelihara daripada segala musibah.Dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa zikrullah adalah penawar bagi hati.Segala jenis penyakit hati seperti takabur, hasad dengki, iri hati, buruk sangka dan sebagainya dapat disembuhkan melalui zikrullah.Pengarang kitab 'al-Fawaid fissolah wal awaid' menulis bahawa sesiapa yang sentiasa berzikir akan sentiasa terpelihara daripada segala bala bencana.

Diriwayatkan dalam sebuah hadith sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Aku memerintahkan kamu supaya berzikir sebanyak-banyaknya dan orang yang berzikir itu adalah umpama seseorang yang dikejar oleh musuh lalu dia lari dan menyelamatkan diri di dalam sebuah kubu.Orang yang berzikir adalah ahli majlis Allah SWT.Adakah faedah yang lebih besar berbanding dengan seorang yang berzikir bersama Raja Semesta Alam?"

Adakah faedah yang lebih besar daripada itu? Seseorang yang berzikir menjadi rakan kepada Raja Semesta Alam.Selain itu melalui zikrullah, hati seseorang akan menjadi tenang, hatinya akan bercahaya dan kekerasan hatinya akan hilang.Terdapat banyak lagi manfaat yang lain dari segi zahir dan batin, malahan sesetengah ulama menghitung sehingga mencapai seratus manfaat.

Seorang telah mengunjungi Hazrat Abu Umamah r.a. lalu berkata kepada beliau, "Aku melihat di dalam mimpi, para malaikat berdoa untuk tuan semasa tuan masuk dan keluar, berdiri ataupun duduk." Jawab Abu Umamah r.a. "Sekiranya kamu inginkan demikian maka mereka juga boleh mendoakan untuk kamu." Lalu beliau membacakan ayat ini,

"Wahai orang-orang yang beriman berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada NYA pada waktu pagi dan petang.Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat NYA (memohonkan keampunan untukmu) supaya mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang).Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman." (Surah Al-Ahzab ayat 41-43)

Dari Safwan bin Assal Al-Muradi r.a. meriwayatkan satu ketika aku datang menemui baginda Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di dalam masjid duduk bersandar di atas cadar merah,lantas aku berkata:"Ya Rasulullah SAW sesungguhnya aku datang untuk menuntut ilmu."
Nabi menjawab: "Selamat datang bagi orang yang menuntut ilmu.Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayap-sayapnya bagi mereka yang menuntut ilmu, kemudian berkumpul bertumpuk-tumpuk antara satu sama lain, hinggalah ke langit dunia.Mereka melakukannya kerana cintanya kepada orang yang menuntut ilmu."(HR Tabrani)

Ayat-ayat yang tersebut di atas menunjukkan bahawa rahmat Allah SWT dan doa para malaikat adalah hasil daripada zikrullah yang kamu kerjakan.Sebanyak mana kamu berzikir mengingati Allah SWT, sebanyak itulah kamu akan diingati.

(Perkongsian dari kitab Fadhilat Amal berkenaan Fadhilat Zikir)


Begitulah hebatnya bagi orang-orang yang menuntut ilmu atau berada di dalam majlis ilmu.Majlis ilmu juga dikatakan majlis zikir kerana di dalam majlis itu disampaikan tentang kebesaran Allah SWT, kisah Para Nabi & Para Sahabat.Seperti Hadith dinyatakan di atas, para malaikat amat menyukai majlis zikir dan akan mendoakan orang-orang yang menghadiri majlis zikir atau majlis ilmu ini.Maka sesiapa yang menghadiri majlis zikir sudah pasti akan sentiasa di dalam Rahmat Allah SWT.Allahuakhbar!!!

Maka, cara mudah mendapatkan keberkatan majlis ini selain menghadiri kuliah di masjid atau surau berdekatan, hidupkanlah suasana masjid di dalam rumah masing-masing.Adakan juga majlis ilmu di rumah kediaman kita kerana sudah dinyatakan para malaikat amat menyukai dan akan mencari-cari tempat yang diadakan majlis ilmu, walaupun di rumah sahaja.Alangkah beruntungnya rumah-rumah yang diadakan majlis ilmu.Sesiapa yang berniat untuk menghadirkan diri ke majlis zikir, atau sesiapa yang dalam perjalanan ke majlis zikir, atau yang hadir dengan tidak sengaja ke majlis zikir dan juga yang berada di dalam majlis zikir ini dengan niat untuk mendapatkan keberkatan majlis, maka semua yang terlibat akan senantiasa dalam rahmat Allah SWT kerana para malaikat akan mendoakan kita. SubhanaAllah!!!...

Begitu mudah untuk mendapat kasih sayang Allah SWT, namun masih sukar lagi untuk kita menghayatinya...(moga diri ini istiqamah dan terus berada di jalan MU..aamiin)

Moga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah.

1 comment:

  1. assalamualaikum kak ain.. baru syikin dpt meluangkan masa berjalan ni...

    syukran atas perkongsiannya kak ain =)

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR