Thursday, January 27, 2011

TAUBAT


...Adakala seorang hamba berbuat dosa, namun dia masuk syurga.Dan adakala seseorang mengerjakan ketaatan, namun dia masuk neraka.Bagaimana mungkin itu bisa terjadi??...

Ibnul Qayyim menjelaskan:

"Dia berbuat dosa, seolah-olah dosa itu selalu nampak dihadapan matanya.Ketika sedang berdiri, duduk, maupun berjalan, ia selalu ingat akan dosa tersebut sehingga membuat hatinya luluh, bertaubat, menyesal, memohon ampunan kepada Allah dan menyesali perbuatannya.Hal itulah yang menjadi penyebab keselamatannya.

Adapun yang berbuat kebaikkan, seakan-akan kebaikkan itu selalu nampak dihadapan matanya.Ketika sedang berdiri, duduk, ataupun berjalan, ia selalu ingat akan kebaikkan tersebut sehingga membuatnya takabur, ujub(bangga diri), dan merasa telah mendapat kurnia.Hal itulah yang menjadi penyebab kebinasaannya."



Assalamualaikum, buat sahabat ain semua yang ain hormati.Bertemu kita lagi dalam coretan kali ini.

Kali ini ain ingin berkongsi dengan sahabat semua dengan buku yang ain baca baru-baru ini, dan masih lagi membacanya iaitu, 'TAUBAT SYURGA PERTAMA ANDA'.

Taubat ertinya meninggalkan perbuatan dosa yang pernah dilakukan dan menyesalinya setelah mengetahui kehinaan perbuatan dosa itu, serta berkeinginan keras untuk tidak mengulanginya lagi dengan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dengan rasa ikhlas kerana Allah semata-mata.

Bertaubat dengan rasa ikhlas kerana Allah semata-mata, kita akan merasa kesenangan dalam diri sendiri.Ini ain akui kerana ain mengalaminya sendiri.Sebelum ini hati, jiwa ain tidak pernah merasa tenteram.Namun setelah ain muhasabah diri sendiri, beringat dan bertaubat padaNya, alhamdulillah ain dapat rasakan kenikmatan itu.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata:

"Hati tidak akan pernah benar, tidak akan pernah sukses, tidak akan dapat merasakan nikmat, tidak akan pernah merasakan senang dan bahagia, tidak pernah bersih, dan tidak akan pernah merasakan tenang dan tenteram, kecuali hanya dengan melakukan ibadah kepada penciptaNya, iaitu Allah, mencintaiNya, dan kembali(bertaubat) kepadaNya."

Dalam buku ini, Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd menyatakan:

...'Apabila Allah mengkehendaki suatu kebaikkan bagi seorang hamba, maka Dia akan menimpakannya dosa yang membuat hatinya luluh, menjadikan dirinya sedar akan kedudukannya disisi Allah, dan membuatnya berhenti melakukan keburukkan.Kepalanya pun akan menunduk, tidak ujub, dan tidak takabur.Di samping itu, Allah akan memberinya kurnia kebaikkan kepadanya dan kepada hamba-hamba yang lainnya sehingga dengan demikian dosa ini lebih bermanfaat daripada sekian banyak ketaatan.Taubat dapat diumpamakan ubat yang diminum untuk mengeluarkan penyakit berbahaya yang ada didalam tubuh'.


Melalui apa yang disampaikan oleh beliau, ain sedar bahawa setiap dugaan atau cobaan yang Allah beri adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan iman dan kekuatan diri kita menghadapinya.Ia juga adalah peringatan buat diri kita agar lebih mengingati Allah dan tidak terlalu yakin bahawa kita sudah cukup sempurna sebagai umatNya.

Maksudnya, janganlah kita terlalu yakin bahawa segala kebaikkan yang kita buat di dunia ini sudah cukup membuktikan kita adalah umatNya yang bertaqwa.Tetapi kita seharusnya mempunyai sifat rendah diri dan sentiasa bermuhasabah diri sendiri dengan kembali(taubat)kepadaNya dengan seikhlas hati dengan pengharapan agar kita menjadi umatNya yang dicintai.

Firman-Nya:

"..Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan manyukai orang-orang yang menyucikan diri." (QS.Al Baqarah:222)

Ibnul Qayyim berkata:

"Seandainya taubat bukan merupakan suatu yang paling Dia cintai, tentu Dia tidak akan menguji hambaNya yang paling mulia dengan dosa.Kerana kecintaanNya terhadap taubat hamba, maka Dia mengujinya dengan dosa, agar hamba itu melakukan suatu yang paling dicintaiNya, iaitu taubat.Sebagai tambahan atas kecintaanNya terhadap hamba, orang-orang yang bertaubat akan mendapat kecintaan khususnya disisiNya."...



...insyaAllah kita bertemu di coretan akan datang....=))

Tuesday, January 25, 2011

99 NAMA ALLAH




Assalamualaikum, sahabat ain semua.Syukur alhamdulillah kerana diri ini masih diberikan peluang untuk membuat coretan disini.

Sebagaimana yang kita semua ketahui, Asma'ul Husna mempunyai banyak kelebihan dan manfaatnya jika kita memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Untuk kali ini, ain ringkaskan 99 NAMA ALLAH dan insyaAllah di coretan yang akan datang, ain akan tuliskan secara ringkas maksud setiap satu NAMA-NAMA ALLAH ini.

"Barangsiapa menghafalnya nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga"....
(Hadis Rasul Riwayat Imam Bukhari)


"Allah SWT mempunyai Asma'ul Husna (nama-nama indah), maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut Asma'ul Husna .... (Surah Al-A-raaf, ayat 180)


"Sesungguhnya di balik setiap nama dalam Asma'ul Husna terdapat makna yang sangat dalam dan luas yang berada di luar jangkauan akal manusia....."




















....(coretan adalah ingatan untuk diri sendiri dan kita bersama).....

Monday, January 24, 2011

MENAKJUBKAN!!!!!

Assalamualaikum, apa khabar sahabat ain sekalian.Moga sahabat semua sentiasa dalam keadaan sihat selalu.

Kali ini ain ingin selitkan beberapa gambar yang ain dapati melalui GOOGLE, tiada sebarang coretan kali ini.Sekadar ingin berkongsi dengan sahabat semua gambar-gambar menakjubkan daripada seluruh dunia.

Moga ianya dapat memberikan kita iktibar dan pengajaran betapa besarnya kuasaNya yang kita sendiri tidak ketahui dan di luar jangkauan pemikiran kita.

Perhatikan....ambil iktibar darinya....Subhanallah....








Thursday, January 20, 2011

CABARAN WANITA ISLAM




Situasi 1:
"Orang lain tak tutup aurat, kenapa u terhegeh-hegeh nak tutup aurat?U chinese muslim, but yang lain lahir as a muslimah tak kisah,tak ikut pun!!".

Situasi 2:
"Saya dulu memang pakai tudung kak, tapi ayah saya cakap tak payah pakai,so saya pun tak pakailah".

Situasi 3:
"Nantilah, belum sampai seru".

Situasi 4:
"Suami tak kisah pun pakai ke tak, so nantilah".

Situasi 5:
"u keje sini so kena ikut undang-undang sini,kalo management kata tak boleh lengan panjang, ikut je lah!".
Assalamualaikum sahabat ain semua.Alhamdulillah ain masih diberikan kesempatan untuk membuat coretan disini.Coretan ain kali ini bukanlah berniat untuk menyindir mana-mana pihak, sekadar untuk ingatan diri sendiri dan kita bersama, mengenai situasi masyarakat Islam masa kini.

Situasi 1&5 ada berkaitan dengan diri ain sendiri, manakala yang lain itu melalui pengalaman ain seharian.

Memang tidak dapat dinafikan wanita Islam khususnya memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf ekonomi sesebuah keluarga disamping membantu mengurangkan beban para suami.Apabila pulang ke rumah, mereka sibuk pula menguruskan hal anak-anak dan rumahtangga.

Dalam Islam, wanita tidak dilarang untuk keluar rumah dalam keadaan darurat asalkan masih lagi menjaga auratnya di luar rumah.Namun faktor sekeliling terutamanya tempat bekerja dan masyarakat setempat adakala mempengaruhi cara berpakaian seorang wanita muslim.

Namun, patutkah ia dijadikan alasan bagi kita sebagai muslimah memperlekehkan tentang kewajipan menutup aurat???Patutkah kita menjadikan alasan untuk mencari sesuap nasi, maka kewajiban wanita Islam menutup aurat tidak diendahkan sedemikian rupa??

Jadi dimana silapnya??Patutkah institusi tempat kita bekerja yang dipersalahkan??Patutkah masyarakat sekeliling yang harus dipersalahkan??Patutkah para suami yang membenarkan golongan yang bergelar isteri bekerja diluar rumah dipersalahkan??Atau si empunya diri yang patut dipersalahkan??







Biarlah persoalan demi persoalan itu sahabat ain dan pembaca fikirkan sendiri.Di sini ain selitkan tulisan daripada OTHMAN H.I. dalam tulisan bukunya 'AURAT DALAM ISLAM'...

"Memang sukar untuk menyemai benih cintakan nilai-nilai agama dalam jiwa seluruh anggota masyarakat.Tetapi kesukaran itu dapat diatasi jika semua pihak berganding bahu bekerja dalam satu pasukan untuk merealisasikannya di tengah-tengah masyarakat.Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah keadaan yang wujud dalam sesebuah masyarakat kecuali mereka sendiri berusaha ke arah itu.....

...Jika masyarakat merasakan bahawa wanita-wanita Islam perlu menutup aurat dengan sempurna bagi melaksanakan perintah Tuhan, maka semua pihak mestilah bekerja.Pertubuhan- prtubuhan wanita perlulah mengadakan kempen kesedaran kepada kaum sejenis mereka, suami hendaklah memberi perangsang kepada isteri dan jika perlu memaksanya supaya menutup aurat, ibu bapa mestilah menggesa anak-anak mereka, guru-guru haruslah sentiasa memberikan galakkan serta bimbingan kepada murid-murid, alim ulama wajiblah memberi tunjuk ajar, pemerintah sewajarnya bertindak selaku pendorong dan jika perlu mewujudkan undang-undang mengenainya..."






Sampai di sini sahaja coretan ain kali ini.Sekiranya ada tersilap kata, harap dimaafkan.Sesungguhnya segala yang buruk datang daripada diri sendiri, segala yang baik datang daripada Yang Maha Esa....

Sunday, January 16, 2011

KEMATIAN




Setiap yang hidup, akhirnya pasti akan menemui kepada Yang Pencipta.Setiap benda hidup yang bernyawa, yang masih bernafas, pasti, akhirnya akan menemui kepada Yang Maha Esa.

Assalamualaikum ain ucapkan buat sahabat-sahabat ain semua.Moga umur, nafas dan detik jantung yang masih diberikan ini, akan kita gunakannya sebaik mungkin.

Baru-baru ini, seorang sahabat ain telah kehilangan anaknya yang tersayang, yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 2010.Marilah kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham Shaharuddin Abdul Aziz, dan moga keluarganya banyakkan bersabar serta menerima ketentuanNya.

Memang perit, memang payah serta sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila secara tiba-tiba orang yang kita sayang dan kita kasihi selama ini pergi meninggalkan kita selama-lamanya, dan tidak akan kembali lagi.




Apa yang harus dibuat atau apa yang harus kita lakukan andai ada diantara kita berhadapan dengan ahli keluarga yang sedang nazak dan menunggu ajalnya???

Secara peribadi, ucapkanlah syukur kepada Allah SWT kerana kita yang masih hidup ini diberikan peluang untuk bersama dengan orang yang kita kasihi menghadapi detik-detik kematian.Kita yang masih ada ini harus bersyukur kerana kita dapat menggunakan waktu-waktu yang tinggal untuk menghabiskan masa dengan orang yang kita sayang.

Bayangkan ada diantara kita pasti dan pernah mengalami perasaan terkilan kerana di waktu hidupnya, kita tidak melayan atau di waktu hidupnya kita tidak berpeluang menggunakan masa yang ada bersama dengannya.

Sebagai ahli keluarga, tiada salahnya kita menangis, namun dalam masa yang sama kita seharusnya bergembira kerana si dia bertuah kerana akan meninggalkan dunia yang penuh dengan kemaksiatan ini dan bakal menemui Yang Maha Esa yang lebih menyayangi umatNya.

Apabila seseorang itu sedang menghadapi saat-saat kematian, kita yang masih berada disisinya boleh bantu membuat beberapa perkara.Bantulah si dia mengambil wuduk jika boleh atau dapatkan bantuan daripada orang lain.Selagi si dia masih ada daya, sarankanlah padanya agar melakukan solat taubat dan sesudah itu banyakkan memohon ampun kepada Allah serta memohon padaNya agar dia dapat menghadapi kematian dengan mudah dan kurang menyakitkan.

Buat mereka yang berada disekeliling, sama-samalah membaca dan memperdengarkan bacaan Yasin dan ayat-ayat suci al-Quran moga-moga si dia dapat menghadapi saat-saat akhir dengan ketenangan.Amin.

Selain itu, berikanlah kata-kata semangat kepada keluarga si dia yang sudah pasti dalam keadaan tertekan melihat orang yang disayangi bakal meninggalkan mereka.Nasihatilah mereka agar sentiasa mengingati Allah dan percaya kepadaNya bahawa setiap yang terjadi ada hikmahnya.Nasihatilah mereka agar sentiasa tawakal dan redha menerima segala ketentuanNya.

Percaya dan yakinlah bahawa orang yang kita sayang itu akan mendapat lebih kebahagiaan dan ketenangan setelah pergi berbanding hidup di dunia ini.Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar mengampunkan dosanya dan memudahkan perjalanannya menuju kematian.



Sunday, January 9, 2011

CINTA.....HATI......

"Persoalan cinta adalah persoalan hati.Ia bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah.Andai kita tidak sanggup menguasai hati sendiri maka cinta akan sukar untuk datang.Hati seseorang terletak ditangan Allah.Dia membuka dan menutup hati bila sahaja Dia menghendaki, dengan hikmahNya, serta ilmuNya."...(coretan daripada Rizal Abdur Rahman-I Love Quran and You?)

Firman Allah;
"Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan."

Assalamualaikum, salam sejahtera ain ucapkan buat sahabat ain sekalian.Moga diri ini dan sahabat sekalian sentiasa dirahmati Allah selalu.

Hidup ini penuh dengan pelbagai cobaan dan godaan yang adakala boleh menggoncang keimanan diri sendiri.Semua ini adalah tanda kekuasaan Allah Yang Maha Esa yang menyayangi umatNya dan sebagai peringatan buat umatNya agar tidak leka dan tidak alpa dengan kehidupan duniawi.

Persoalan cinta dan persoalan hati, kedua-duanya saling berkait.Tanpa hati, tiada cinta.Apalah arti cinta tanpa adanya hati.

Begitu juga dengan rasa kasih kita kepada Yang Maha Pencipta.Tanpa ada rasa kasih yang luhur, lahir dari hati yang ikhlas, tidak mungkin datangnya rasa cinta kita kepada Allah SWT.

Segala perbuatan, amalan, dan keputusan yang kita buat seharian juga turut berkaitan dengan hati.Maka di sini, dapat ain simpulkan bahawa segala baik dan buruk akan berbalik kepada hati diri sendiri.Penyakit hati adakala boleh merosakkan, malah boleh memusnahkan umat itu sendiri.

Penyakit hati ada pelbagai macam, cara mengubatnya??...

Sentiasalah bermuhasabah diri sendiri.Kita mungkin rasakan diri kita cukup sempurna atau kita sering merasakan diri kita adalah lebih baik daripada orang lain.Ingatlah bahawa walaupun kita kelihatan sempurna pada pandangan kasar, tidak mungkin tiada cacat celanya.

Sentiasalah bersikap merendah diri apabila mengadap Allah SWT, iaitu ketika bersolat.Apa ain cuba nyatakan adalah, janganlah ada perasaan riak bahawa solat kita 5 waktu sehari semalam, sudah cukup dan pasti akan diterima Allah SWT.Belum tentu lagi, hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

Sentiasa cuba luangkan waktu mendekatkan diri mempelajari al-Quran.Sebagaimana kita semua ketahui, Quran adalah penawar atau 'Syifa' bagi segala penyakit hati.InsyaAllah dengan membaca dan mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran, hati kita akan menjadi lebih tenang.

Sentiasalah meluangkan waktu untuk berzikir kerana zikir juga dapat menenangkan hati kita yang sentiasa keluh resah.

Sentiasalah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT.Mohonlah kepadaNya agar dosa-dosa kita diampunkan dengan penuh rasa penyesalan dan ikhlas hanya padaNya.

Namun, segalanya masih bergantung kepada diri sendiri.Adakalanya kita perlu memaksa diri kita untuk berubah dan bukannya menunggu 'bila sampai seru'.Selalu sahaja ain mendengar kata-kata sebegini dan amat menyedihkan kerana mereka beranggapan perlu tunggu satu saat yang sesuai untuk berubah.

Dalam blog ain sebelum ini ain ada nyatakan, apabila kita mula menyintai seseorang, kita akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan cintanya.Apabila kita mula menyintai dan menyukai seseorang, kita hanya akan lakukan perkara yang mereka sukai semata-mata untuk menambat hati diri yang dicintai.

Tanyalah hati kita, sejauh manakah kita sudah tunjukkan rasa kasih dan cinta kita kepada Allah Yang Maha Esa??? Sejauh manakah kita sudah lakukan untuk menambat hatiNya??? Sejauh manakah kita sudah usahakan agar Allah makin sayang dan cintakan kita???

Tepuk dada, tanyalah hati.Ukur diri sendiri (tidak perlu bandingkan dengan orang lain)

Berdoalah kepada Allah SWT agar kita dipermudahkan dan dilembutkan hati agar lebih mencintai Allah SWT.

Wednesday, January 5, 2011

NIATKU

Assalamualaikum, sahabat ain semua yang amat ain sayangi.Moga sahabat sekalian semua sihat hendaknya.

Baru-baru ni ain ada selitkan tajuk 'AURAT' dan 'SELOKA TENTANG AURAT' dalam coretan blog ain.Ain berharap ianya dapat menimbulkan kesedaran terutamanya buat muslimah sekalian.Segala yang ain tonjolkan adalah ingatan untuk diri sendiri juga yang masih lagi serba kekurangan.Tiada niat untuk menghina sesiapa, sekadar berkongsi ilmu demi kebaikkan kita bersama.Sesungguhnya ain berharap kita semua sentiasa bermuhasabah diri sendiri demi mendapatkan keredhaan Ilahi.

Setiap kali ain ingin coretkan sesuatu melalui blog ini ain akan pasangkan niat agar setiap coretan yang ain tulis adalah sesuatu yang boleh dimanfaatkan bersama dan bukannya yang melalaikan.

Segala perbuatan, tindakan, pertuturan, penglihatan, dan juga coretan yang ain buat akan disoal kelak.Maka, ain berharap sekiranya ada salah silap sepanjang ain menulis blog, ada diantara sahabat sekalian yang sudi menegur.

Baiklah, sebelum ain akhiri coretan ain kali ini, ingin ain kongsikan ilustrasi yang ain copy daripada sahabat blog ain ini yang amat mudah difahami.

Bagi sahabat sekalian yang ingin tahu lebih mengenai aurat, sudi-sudilah layari blog sahabat ain ini- keluargakusayang.blogspot.com.Banyak info yang boleh didapati melalui blog ini.

Segala yang ditulis dalam blog NUR adalah ingatan untuk diri sendiri juga.Segala yang baik datang daripadaNYA..dan yang buruk datang daripada diri sendiri.









Maaf ya, ilustrasi kurang jelas.


SELOKA TUTUP AURAT




Assalamualaikum, sahabat semua.Hari ini ain masih bercuti lagi setelah selesai tugasan shif malam.Masa yang terluang ini ain gunakan untuk membaca blog kegemaran ain dan menyemak sebarang email yang masuk.

Tadi ain ada menyebut blog kegemaran.Salah satu blog yang ain sering ikuti pada waktu lapang ain adalah keluargakusayang.blogspot.com.Pemilik blog ini berasal dari negeri Kelantan dan adalah seorang muslimah yang bergelar usahawan.Beliau sering mengetengahkan isu aurat dan kepentingannya bagi semua umat Islam khususnya kaum hawa di dalam blognya.

Salah satu tajuk yang menarik perhatian ain dan ingin ain kongsikan bersama sahabat sekalian adalah SELOKA TUTUP AURAT.Mari kita hayati bersama.

Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk serkap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun 'make up.

Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian moden memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakai pun nampak pusat.

Berseluar ketat baju pun ketat,
Boleh nampak perut berlipat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersadung.

Lagilah aneh bila difikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesion,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikkan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
cuma saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik takpayah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan bini.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ini seloka aku,
Harap dapat menghibur sekalian kamu,
Aku pesan juga pada diriku,
Janganlah hangpa salah faham maksudku.








Seloka ini ain salin semula dari blog keluargakusayang.blogspot.com.Ain cuba semak semula pemilik asal seloka ni dari blog tadi, tapi blog ni dah banyak sangat tajuk, agak sukar untuk ain cari kembali.Andai kata pemilik asal seloka ni terbaca, terima kasih ain ucapkan.

Buat sahabat muslimah semua yang amat ain sayangi, seloka ini bukanlah berniat untuk menyindir atau menghina sesiapa.Sekadar ingin memberikan teguran dengan cara yang berbeza.

Salam sayang daripada ain.InsyaAllah kita bertemu lagi...

Tuesday, January 4, 2011

AURAT

Assalamualaikum sahabat ain semua.Moga semuanya sentiasa sihat selalu.Kali ini ain pilih tajuk aurat untuk diketengahkan dalam blog NUR.Sebelum itu ingin ain coretkan perintah menutup aurat yang telah Allah sampaikan melalui al-Quran....

Allah SWT berfirman ertinya:

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Al-A 'raaf:26)

Untuk kali ini ain tidak akan huraikan secara terperinci tentang maksud aurat itu sendiri kerana ain pasti ramai muslimah di luar sana faham pengertiannya, cuma ramai diantaranya berpendapat 'belum sampai seru lagi'.Ini adalah fahaman individu itu sendiri yang menidakkan kewajipan sebagai seorang muslimah menjaga auratnya ketika berada didalam ataupun di luar rumah.

Di sini ain akan paparkan contoh-contoh yang selalu kita dapati dalam penampilan wanita muslimah moden di ketika ini yang lebih terikut-ikut dengan penampilan barat dan idola mereka masa kini.

Perhatikan....























Tepuk dada, tanya selera.Tanya pada diri kita sama ada kita benar-benar mencintai Allah atau sekadar kata-kata sahaja.......ingatan untuk diri sendiri dan buat sahabat muslimah semua yang amat ain sayangi.....

Sunday, January 2, 2011

I LOVE QURAN.....and YOU???


Assalamualaikum sahabat semua.Lama sudah ain tidak membuat coretan di sini.Baru-baru ini ain ada membeli sebuah buku yang tajuknya begitu menarik perhatian... I LOVE QURAN and YOU???....

Terpanggil diri ini sama ada diri ini benar-benar mencintai Quran atau sekadar kata-kata sahaja.Begitu kerdil rasanya diri ini setelah membaca isi kandungannya.Sudah hampir 8tahun ain memeluk Islam, dan amat rugi diri ini kerana ain masih tidak mengenal Quran dengan sepenuhnya.Masih banyak lagi ain perlu pelajari dan perbaiki demi menjadi seorang muslimah yang diredhai Allah.

Buku I LOVE QURAN and YOU?? terbitan RIJAL MEDIA dan hasil karya oleh RIZAL ABDUL RAHMAN, adalah suatu karya yang amat bersahaja dan santai serta mudah difahami oleh golongan remaja mahupun golongan dewasa sekitarnya.Perkataan dan ayat-ayat yang digunakan amat mudah difahami dan tidak terlalu membebankan para pembaca.

Di sini ain akan cuba rumuskan dan huraikan bahan bacaan ini dengan cara ain sendiri dan berharap dapat berkongsi sesuatu dengan sahabat ain sekalian.

Dalam tulisan buku ini, penulis cuba sampaikan kepada para pembaca tentang kepentingan dan kewajiban kita sebagai umat Islam, yang cintakan Allah memahami wahyu yang disampaikan dalam Quran, yang telah tersusun serta terhimpun rapi oleh para sahabat Rasulullah sebelum ini.

Masyarakat Islam khususnya, kini tidak berminat atau tidak mempunyai masa untuk mendalami dan memahami isi kandungan Quran.Kita lebih berminat mengisi masa lapang dengan menonton TV, membaca ruangan gosip di majalah atau suratkhabar, membaca novel cinta/komik, dan yang terkini, kita sanggup bersengkang mata berjam-jam lamanya di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Myspace.

Bukan itu sahaja, ramai diantara kita memiliki Quran di rumah, tetapi berapa ramai diantara kita yang membaca, memahami dan mengamalkannya??Di mana biasanya Quran disimpan?Sudah tentu tersimpan rapi di dalam almari atau mungkin juga kita sudah lupa terus tentang kehadirannya.Trend terkini dalam mana-mana perkahwinan menjadikan Quran sebagai salah satu barang hantaran.

Isi kandungan Quran amat lengkap dan mengajar umat Islam mengenai tauhid, ibadah, akhlak, hukum sesama manusia, hubungan sesama masyarakat, janji dan ancaman di akhirat kelak, serta sejarah umat-umat Islam terdahulu.

Namun bahagian terpenting buku ini adalah penulis menekankan kepada para pembaca mengenai kewajiban kita ke atas al-Quran.Berapa ramai diantara kita amat peka tentang hal ini?Ain sendiri begitu lalai mengenainya.

Adalah wajib kita sebagai umat Islam yang mengucap 2 kalimah syahadah mengimani Quran kerana Quran adalah petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.Allah berfirman:

"Kitab (al-Quran)ini tidak ada keraguan padanya:petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.(Iaitu)mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka.Dan mereka yang beriman kepada kitab(al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan)akhirat". (Al-Baqarah:2-4)...

Kewajiban kedua adalah membaca al-Quran dan bukan menyimpannya sebagai koleksi peribadi.Alangkah indahnya jika kita menggunakan penglihatan yang Allah kurniakan dengan membaca al-Quran setiap hari.Amat beruntung bagi mereka yang sering membacanya kerana setiap huruf yang kita baca dalam al-Quran, kita akan mendapat sepuluh pahala bagi tiap-tiap huruf.Rasulullah bersabda:

"Siapa sahaja yang membaca satu huruf al-Quran, baginya satu kebaikkan.Satu kebaikkan akan menjadi sepuluh kali ganda.Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim itu satu huruf, melainkan alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf".
(HR Tirmidzi dengan sanad hadis hasan sahih)..


Namun, dengan membaca sahaja masih lagi tidak mencukupi.Kewajiban kita juga adalah memahami isi kandungannya.Dengan memahami isi kandungan al-Quran, maka kita akan lebih menjiwai setiap surah yang kita baca.Melalui pemahaman yang betul, insyaAllah segala tindak-tanduk dan keputusan yang kita ambil dalam kehidupan ini sentiasa berada dilandasan yang benar.

Kewajiban kita setelah membaca dan memahami isi kandungan al-Quran adalah mengamalkannya dalam kehidupan seharian, tidak kiralah dari segi solat, puasa, zakat, mahupun hubungan sosial.

Dan yang terakhir sekali adalah wajib bagi mereka yang arif tentang al-Quran menyampaikan ilmu yang ada dengan mengajar mereka yang masih tidak celik al-Quran.Allah berfirman:

"Dan hendaklah antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyeru (berbuat) yang makruf dan menegah dari yang mungkar.Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung:. (Ali Imran:104)..

Rasulullah juga bersabda:
"Sampaikan daripadaku, walaupun satu ayat....".

Banyak sebenarnya yang penulis buku ini cuba sampaikan.Jadi terjawablah disini sama ada kita semua benar-benar mencintai al-Quran sebagai kitab suci umat Islam.Di sini ain selitkan kata-kata daripada penulis;

"Apabila hati mencintai sesuatu maka ia akan terikat kepadanya, merindukannya, menyukainya, dan memutuskan segala hubungan dengan perkara lain".

Di sini ain menyoal diri sendiri dan sahabat ain sekalian...di mana letaknya Quran dalam hati kita??...Adakah kita benar-benar menyintainya sepenuh hati??...Cuba kita fikirkan...

Apabila kita mula mengenali seseorang yang begitu menarik perhatian, sudah pasti kita akan cuba mengenali hati budi individu itu, memahami perasaannya, memberikan segala yang terbaik demi manjaga hatinya, dan kita juga sanggup berkorban apa sahaja asalkan orang yang kita sayang dan kita cintai itu tidak terlepas begitu sahaja.

Begitulah juga yang harus kita lakukan terhadap kitab suci ini.Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja hinggakan tiba di satu saat kita tak dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkannya kembali.

..buat sahabat ain semua ...sama-samalah kita bermuhasabah diri sendiri, tawakal serta memohon kepada Allah moga kita diberikan kesempatan mengenali al-Quran dengan sebaiknya....amin...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR