Saturday, February 26, 2011

HAPPY BIRTHDAY DADDY!!!



Assalamualaikum sahabat sekalian.Semalam ain sekeluarga menyambut ulang tahun ayah ain yang ke-52.Hari ulang tahun ayah ain sepatutnya pada 27 Februari 2011 ni, namun atas sebab-sebab tertentu, maka kami sambut lebih awal.

Cepat betul masa berlalu, dan kini ayah ain bakal berusia 52 tahun.Rasanya seperti semalam ain masih di pangkuan ayah.Sedih, hiba rasanya hati ini apabila memikirkan saat-saat suka duka bersama ayah sewaktu ain dan adik masih kecil dahulu.

Betapa perit dan bersusah-payah ayah ain mencari sesuap nasi menyekolahkan kami adik beradik (walaupun berdua).Hidup serba sederhana satu ketika dahulu tak mungkin ain akan lupakan.Kasihan daddy (panggilan ain beri), siang malam bekerja keras mencari nafkah agar kami adik beradik tidak berasa kekurangan.(hati ni menangis)

Bekerja sebagai pemandu lori satu ketika dahulu bertahun lamanya.Masih lagi diingatan, tulang empat keras daddy bekerja kuat demi anak-anak dan isteri tercinta.Tidak pernah daddy merungut, panas baran terhadap anak-anak dan isteri.Malah, masih sempat melontarkan senyuman dan membuat lawak jenaka agar kami sekeluarga gembira selalu.

Mummy ain selalu cakap, 'kesian daddy tau, angkat guni beras naik lori turun lori..lu orang belajar pandai-pandai,dah besar tolong daddy..'(air mata ain menitis tak henti)

Ada ketika sewaktu ingin pergi ke sekolah, kami terpaksa menaiki lori (BEST).Suatu pengalaman yang tak mungkin dapat kami lupakan.Masih ain ingat, siap daddy sediakan bantal lembut diletakkan dipunggung agar kami berasa selesa sepanjang perjalanan ke sekolah menaiki lori.Betapa lembut dan sayangnya daddy...

Kini, daddy masih lagi bekerja tetapi tidaklah seteruk dahulu.Sekarang ni dapat makan aiskrim lagi!(cuba teka,hehe).

Saat yang tidak mungkin ain akan lupakan sampai bila-bila adalah saat apabila daddy mendapat tahu anak perempuan sulungnya ini telah memilih Islam sebagai jalan hidupnya.Tak dapat ain bayangkan betapa hancur berkecai hati seorang ayah yang mungkin mengharapkan sesuatu daripada anak kesayangannya.

Masih ain ingat air mata daddy menitis bak hujan tanpa henti.Diri ain diketika itu berasa amat berdosa kerana membiarkan seorang ayah yang telah mencurahkan sepenuh kasih dan sayangnya selama ini membesar dan mendidik, akhirnya menyakitkan hatinya sendiri.

Namun segalanya kini menjadi kenangan, dan kenangan itulah membuatkan ain dan daddy semakin rapat berbanding dahulu.Daddy begitu memahami dan dapat menerima kenyataan, anaknya kini berlainan agama tetapi masih lagi anaknya yang sama.

Kasihmu daddy tak mungkin berbalas walau setinggi wang dilangit.

Ya Allah, aku memohon padaMu moga Kau sentiasa memberikan kesihatan yang baik terhadap kedua-dua orang ibu bapaku....Moga Kau bukakan pintu hati kedua-dua orang ibu bapaku menerima hidayah daripada Mu...dan moga mereka dibukakan pintu hati menjadi salah seorang hambaMu yang soleh agar mereka ditempatkan di syurgaMu...Ya Allah..hanya padaMu aku memohon...

Tuesday, February 22, 2011

AZAB!!!



Firman Allah SWT:

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:"Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka."Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-Ahzab:59)

Allah SWT berfirman ertinya:

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Al-A 'raaf:26)

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

"Ada 2 jenis manusia pengisi neraka yang belum pernah kulihat kedua-duanya: Pertama, segolongan manusia yang mempunyai cambuk seperti ekor lembu, dan mereka memukul manusia dengannya, Kedua, Wanita yang berpakaian tapi telanjang, melenggang-lenggok, kepala mereka seperti ponok unta yang condong.Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya.Sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian-sekian."

(Sahih Muslim, Jilid VI,hal:168)

Assalamualaikum, apa khabar sahabat ain kasihi sekalian.Moga kita semua sentiasa diRahmati Allah selalu, insyaAllah.

Beberapa hari lepas ain menonton rancangan 'Famili Sarjana'.Sememangnya rancangan ini amat berfaedah dan seharusnya diperbanyakkan agar dapat memberi manfaat bersama.Adalah lebih baik menonton rancangan berbentuk ilmiah/dokumentari agar masa terluang tidak digunakan menonton perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah serta boleh melalaikan kita.

Salah satu soalan yang diajukan kepada peserta Famili Sarjana adalah, "kenapa kain kapan lelaki hanya 3 pasang, tetapi kain kapan bagi wanita 5 pasang?"

Menarik sungguh soalan tersebut, lebih-lebih lagi bagi ain yang masih tidak tahu hal-hal berkaitan pengebumian jenazah bagi umat Islam.Namun soalan itu membuatkan ain bertanya pada diri sendiri, 'Apa pula sebabnya , ia??'

Jawapan dari soalan tadi, "Kerana aurat wanita adalah lebih berat daripada lelaki"...

Subhanallah!!! Bersyukurlah kerana Allah berikan kita umur di dunia ini.Tidakkah kita lihat, tidakkah kita sedar betapa pentingnya hukum aurat wanita dalam Islam?Jika sebelum mengebumikan jenazah kaum Hawa kain kapan amat penting dan harus mencukupi, inikan kita yang masih bernafas di muka bumi ini masih tidak endahkan hukum Allah ini!

Fikirkanlah kerana bezanya manusia dan haiwan adalah Allah kurniakan kita akal dan fikiran untuk berfikir...

Sunday, February 20, 2011

Al-Ustaz Azmil Mustapha



Siapa yang tidak pernah menonton filem "ALI SETAN"? Sudah tentu dalam benak fikiran masing-masing teringat kepada pelakon lelaki utamanya yang kini bergelar Ustaz Azmil Mustapha.Terbaca kisah beliau melalui blog seorang sahabat, maka ingin rasanya ain kongsikan kisah beliau sebagai ingatan bersama.


blog;http://ikhwanzhaki.blogspot.com
Petikan dari malays.com.my (24 Jun 2010)

APABILA disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , 'berkat' daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan 'penghijrahan' daripada kehidupan yang penuh 'lagha' kepada pengabdian diri kepada Allah. Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem 'Puteri Gunung Ledang'; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama. Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.

Kenapa saudara memilih untuk ke Syria ?

Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria . Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia , saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.

Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi' dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria .


Sejak bila sebenarnya saudara ke sana ?

Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana .

Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami' Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria . Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu.

Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.


Puas hati macam mana?

Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga.

Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia "jangan tengok lelaki" bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.

Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku . Duduk satu meja pun tak ada.

Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria , dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.

Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia , biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah.

Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC.

Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia .

Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England , Afrika Selatan , Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik


Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria ?

Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar.

Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.

Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak.

Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.

Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan.


Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?

Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.

(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Datoʼ Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred ʽAʼ

Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria .

Di sana , anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila "check" ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.

Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam ( Syria ), bumi para anbiya'.

Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat.

Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita.

Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.


Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia ?

Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya " Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam man nak cari kerja?" Saya jawab balik, "Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM". Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.

Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?

Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria . Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.

Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya.

Sekarang kita kongsi raya, kia kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat. Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini.

Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih ʽterjajahʼ. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak. Kalau kita di Malaysia , kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.

Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.


Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?

Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.

Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.

Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat. Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..


Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.

Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh. Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.


Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?

Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama'. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.

Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada.

Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.


Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?

Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosiol yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri.Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.

Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?

Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.

Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan.Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yangt berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.

Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.


Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?

Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.

Nasihat kepada rakan artis

Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat

Saturday, February 19, 2011

BELAJAR




"Ain, ko taknak sambung belajar degree ke??Rugilah, ko tu muda lagi..."

Mungkin cara pemikiran ain agak berbeza dan sukar difahami.Mungkin pemikiran ain dianggap jauh kebelakang dan ketinggalan zaman.

Usia ain bakal mencecah 27 tahun dalam masa kurang 8 bulan dari sekarang, insyaAllah, dengan izin Allah.Dan hampir 8 tahun ain memilih Islam sebagai jalan hidup ain.Namun, apa yang ain tahu??

Tidak cukup sekadar tahu membaca Al-Fatihah dan solat sahaja.Tidak cukup sekadar tahu berpuasa sahaja.Malah banyak lagi ain perlu pelajari.

Alhamdulillah, ain kini bertemu dengan seorang guru agama yang dapat membimbing ain mempelajari bacaan Al-Quran yang selama ini ain pandang remeh sama sekali.Kini ain cuba fahami bacaan dan 'nyanyian' sewaktu mempelajari Quran.Guru agama ain berkata, 'lagu ada irama, Quran pun ada iramanya sendiri..lagu boleh hafal...takkan Quran yang penting ni tak boleh hafal...'.

Terdetik hati ain yang selama ni begitu alpa dengan hal dunia, tetapi hal akhirat tak pula diambil peduli.Kita semua boleh menghafal lagu dari baris pertama hingga baris terakhir.Malah kita berkebolehan menghafal 10 buah lagu dalam satu-satu masa.Namun belum tentu kita dapat menghafal walau satu muka surat dalam Al-Quran.Betul tak?

Selama ini ain sibuk mengejar hal dunia, sibuk mencari duit yang dirasakan tidak pernah cukup, sibuk mencari kepuasan dengan membeli barangan mewah.Namun, segalanya tidak pernah membawa apa-apa perubahan dalam diri ini.Masih mencari dan terus mencari.Dan Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.Dan ain diberikan petunjuk pada satu malam...Subhanallah!!

..Dan biarlah ianya menjadi rahsia antara ain dan Allah.....

Umur ini pemberian daripada Allah SWT.Maka kita sebagai hambanya perlu menggunakannya sebaik mungkin.Masa meninggalkan kita tanpa kita menduga, ajal kita barangkali sudah tiba.Entahkan esok, entahkan lusa, atau mungkin di saat ini!

Maka itulah ain paling takuti sekali.Mana tidaknya ilmu ain yang sebegitu cetek pasti akan disoal kelak, amalan ain yang tidak seberapa pasti akan dihitung kelak.Aduh!!Banyak perkara perlu ain kejar!Jika dahulu ain risau bagaimana harus cari sesuap nasi, kini ain lebih bimbang bagaimana ain harus menghadap Allah!

Ilmu Allah takkan pernah habis, malah kita sebagai hambaNya harus berusaha memperbaiki kelemahan diri dan menambah ilmu didada.Tiada gunanya kita menggenggam segulung ijazah/master/degree, namun ilmu Allah begitu kurang sekali.Bukankah ilmu Allah itu lebih bernilai dari segala-galanya?

Cuba tanya anak-anak muda yang baru sahaja habis lepasan menengah, berapa ramai diantara mereka yang benar-benar faham dan dalami ilmu Allah?Cuba tanya mereka bilakah kali terakhir mereka baca Al-Quran?Jawapan itu sudah mencukupi...

Ain tidak mahu menyesal sebelum terlambat.Biarlah ain tidak dapat mencapai tahap degree sekalipun.Biarlah ain dalami ilmu Allah dahulu, degree/master nantilah.(akan difikirkan nanti).Ain bukan bermaksud jika ain sambung belajar ain tak dapat dalami ilmu agama, tidak sama sekali.Ain sedar tahap kemampuan ain.Maka biarlah ain tumpu pada satu perkara dalam satu masa.

Terus-terang ain katakan ain lebih minat mempelajari ilmu agama lebih dari segala-galanya!Ini pilihan ain, dan ain buat pilihan setelah meminta petunjuk daripadaNya...

Namun begitu, ain tetap kagum mereka yang bukan sahaja bijak dalam ilmu agama, malah bijak dalam bidang dipelajari tidak kiralah professional atau yang bekerja kilang sahaja.Malah ada diantara mereka ini memberi sumbangan kepada masyarakat melalui kelebihan dimiliki demi kebaikkan bersama.

Sebagai hambaNya, ain hanya mampu berusaha untuk menjadi lebih baik dan berdoa moga Allah permudahkan jalan yang ain pilih ini.InsyaAllah...

Wednesday, February 16, 2011

JAWATAN KOSONG TERTUTUP!!!!



:: SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN ::

.: KEKOSONGAN JAWATAN:


A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.


.: EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):

1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.



.: TARIKH TEMUDUGA:

Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

.: LOKASI TEMUDUGA:

Di dalam kubur (alam barzakh)..

: KELAYAKAN:

Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yang banyak).
Anda tidak perlu berparas rupa yang cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.


.: PANEL/PENEMUDUGA:

Mungkar dan Nakir.

.: ENAM SOALAN BOCOR:

1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?


.: CARA MEMOHON:

Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

.: TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasullah SAW:

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada! sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk.Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) diperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu:

Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat: Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya" Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).! "



#terima kasih pada ash_mza yang sudi izinkan ain copy artikel ini ke blog NUR...




ALHAMDULILLAH.....KERANA KAU....


Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah....

Syukur kepada-Mu Ya Allah...

kerana Kau memanjangkan usiaku sehingga saat ini...

kerana Kau memberikan aku kehidupan sehingga saat ini...

kerana Kau memberikan aku seorang suami yang amat menyayangi diriku...

kerana Kau memberikan aku seorang suami yang amat menyintai diriku...

kerana Kau memberikan aku seorang suami yang amat sabar dengan karenahku...

kerana Kau memberikan aku seorang suami yang sentiasa risau tentang diriku...

kerana Kau memberikan aku seorang suami yang sentiasa prihatin akan diriku...

....Terima kasih tak terhingga dapat ku ungkapkan pada Mu Ya Allah atas segala nikmat yang Kau berikan pada diriku ini...

....ku sedari diri ini masih jauh dari ilmu Mu yang luas itu...

....maafkanlah aku atas segala keterlanjuranku....

....izinkanlah aku memperbaiki kelemahan diriku ini...

....sesungguhnya aku syukuri segala nikmat yang diberi...



#sesungguhnya nikmat dunia hanyalah sementara ...yang abadi...hanyalah Allah SWT..
sebagai hambanya..ain hanya mampu berserah dan memohon moga diri ini sentiasa mendapat hidayah dan dijauhkan dari kesesatan...amin...

Sunday, February 13, 2011

KHUTBAH TERAKHIR




Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (Arab: نبي محمد صلى الله عليه وسلم‎) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT. Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa.

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH....

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."



#coretan ini didapati melalui Wikipedia-ensiklopedia bebas
ingatan untuk diri sendiri dan sahabat semua...moga dijadikan iktibar dan panduan dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.

Friday, February 11, 2011

INGATAN....

Assalamualaikum sahabat sekalian.Alhamdulillah, syukur diri ini diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang sentiasa menguji keimanan diri ini.

Waktu lapang kebiasaannya ain akan menghabiskan masa dengan membaca buku-buku ilmiah dan membaca blog-blog rakan yang ain minati.Ain terbaca entry sahabat blog ain ini berkaitan isu berpakaian wanita Islam di Yaman.

Mari kita fahami dan hayati demi manfaat bersama.
(didapati melalui blog KELUARGAKU SAYANG)

Imran Al-Malizi

Setelah sekian lama menyewa rumah di luar, pada hari Jumaat minggu lalu (17 Oktober), saya kembali ke asrama pelajar Abu Luhum yang terletak di Jalan Sittin berhadapan Universiti Sana’a. Ketika pengajian tahun pertama dan kedua, di situlah tempat saya berteduh dan berlindung daripada kesejukan malam yang menggigit.

Menziarahi pelajar-pelajar di situ paling sesuai pada hari Jumaat kerana cuti dan tiada kuliah pengajian.

Khutbah Jumaat di situ kebiasaannya disampaikan oleh salah seorang ulama terkenal di sini iaitu Syeikh Hasan as-Syafie, pensyarah dalam bidang tafsir al-Quran di Universiti al-Iman dan cukup dikenali sebagai khatib yang berwibawa. Namun pada hari itu mungkin beliau masih bercuti. Maka mimbar Jumaat telah dinaiki oleh seorang pemuda yang tidak kurang lantangnya.

Isu yang dilontarkan kepada sidang jemaah pada minggu lalu adalah berkaitan pasca-Ramadan dan Aidilfitri. Juga disentuh tentang sikap kita terhadap agama Islam sebagai agama fitrah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad dan para pengikutmu) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (ikutlah) agama ciptaan Allah, iaitu agama yang Allah fitrahkan manusia untuk menerimanya…” (Surah ar-Rum: 30).

Ditegaskan agar para jemaah beriltizam penuh dengan seluruh ajaran Islam setelah kita semua kembali kepada keadaan fitrah suci daripada dosa-dosa (hakikat Aidilfitri).

Dalam tempoh setengah jam khutbah yang disampaikan itu, ada satu ‘point’ yang saya sangat tertarik untuk mengulasnya. Khatib telah menyentuh tentang fesyen berpakaian yang digayakan oleh gadis-gadis Arab Yaman yang kini sedang menuju ke arah kefasadan. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘fasad’ di sini? Adakah seperti gadis-gadis remaja Malaysia yang berpakaian seluar ketat atau singkat atau londeh mempamerkan jenama seluar dalam? Atau T-shirt singkat ‘nampak pusat’ atau sendat menampakkan bentuk dada? Atau mewarnakan rambut dengan ‘kaler berkarat’?

Tidak sama sekali! Apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah fesyen jubah yang berpotongan mengikut bentuk badan sudah mula menular. Sebelum ini jubah yang biasanya dipakai oleh Muslimah di Yaman ialah yang bersaiz longgar dan berwarna hitam atau gelap. Tudung mereka labuh sempurna menutup dada.

Lebih daripada itu, golongan wanita di Yaman keseluruhannya memakai niqab menutup wajah mereka ketika berada di luar rumah. Sekurang-kurangnya begitulah suasana yang pernah saya rasai pertama kali menjejakkan kaki ke Yaman lebih empat tahun lalu. Cuma baru setahun kebelakangan ini, golongan yang tidak berniqab ini semakin bertambah dan zahir dalam masyarakat. Saya tidak ingin membahaskan hukum memakai niqab ini dari sudut fekah. Kerana itu termasuk isu khilafiyah dan kolum ini hanyalah bingkisan santai bukan gelanggang ilmiah.


Yang menjadi subjek di sini ialah masyarakat Yaman memandang bahawa potongan jubah yang mengikut bentuk badan itu adalah satu jalan yang terbentang luas untuk menuju kepada kefasadan atau kerosakan dalam masyarakat (bagi orang Melayu pula, berbaju kebaya itu biasalah dikira masih sopan dan ‘tak berdosa’ pun).

Telah ramai juga gadis-gadis Yaman yang melilit tudung mereka paras leher dan sekali gus menampakkan dada. Khutbah Jumaat juga memberi amaran tentang golongan ahli neraka yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadis: “…dan orang-orang perempuan yang berpakaian (tetapi) bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang-lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias), mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati baunya…” (Sahih Muslim).

Begitulah keprihatinan dan kepekaan masyarakat Yaman pada isu-isu agama. Mereka tidak menunggu sehingga keadaan menjadi parah seperti di Mesir, Syria, Lubnan, Jordan dan negara-negara Arab yang lain. Sehingga keadaan wanita mereka benar-benar menyerupai apa yang digambarkan dalam hadis di atas. Sesungguhnya ini merupakan satu mukjizat Nabi s.a.w. Memang benar pada akhir zaman ini begitu ramai golongan wanita yang ‘berpakaian telanjang’.

Para ulama memberikan beberapa definisi berkenaan maksud hadis ini. Antaranya adalah: Pertama, dikatakan mereka berpakaian daripada nikmat Allah tetapi ‘bertelanjang’ daripada mensyukurinya iaitu tidak bersyukur. Kedua, dikatakan ia membuka sebahagian anggota tubuhnya dan mendedahkannya secara zahir. Ketiga, dikatakan ia memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulitnya atau pakaian yang ketat menampakkan bentuk badannya.


Pada zaman ini, kita dapat melihat kebenaran yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis ini. Barangkali agak sukar untuk digambarkan keadaan tersebut pada zaman itu. Kerana Nabi s.a.w. menyatakan dalam hadis yang sama: “…aku belum pernah melihat mereka ini.” Ertinya pakaian seumpama itu belum ada pada zaman jahiliah Arab dan para sahabat juga tentu tidak dapat membayangkan keadaan tersebut. Berpakaian telanjang? Bagaimana boleh disatukan dua perkataan yang berlawan maksudnya ini?

Perkara ini memang sewajarnya dijadikan peringatan untuk masyarakat Yaman dan sebagai satu renungan untuk masyarakat Islam di Malaysia. Di tanah air kita, yang menyedihkan ialah golongan wanita ini mengaku diri sebagai Muslimah. Sama ada mereka berpakaian dengan mendedahkan terus anggota tubuh atau pun mereka mengenakan pakaian yang sempit dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Kedua-duanya adalah bertentangan dengan akhlak Islam di mana seorang Muslimah dituntut supaya menutup aurat dengan sempurna.

Sebahagiannya pula merasakan sudah memadai dengan memakai tudung atau menutup kepala itu sudah dikira menutup aurat. Mereka mendedahkan anggota tubuh yang lain seperti leher, dada, lengan, kaki atau berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh seperti buah dada, pinggang, punggung, paha dan betis. Inilah yang dikatakan ‘bertelanjang’!

Kejahilan adalah faktor utama yang menyebabkan mereka tak dapat memahami keutamaan dalam memelihara aurat. Sesungguhnya aurat yang zahir daripada anggota tubuh tersebut adalah lebih berperanan untuk menarik perhatian lelaki dan menaikkan nafsu syahwat berbanding dengan hanya menutup rambut atau kepala.

Perbuatan mendedahkan bahagian tubuh ini adalah lebih keji daripada mendedahkan rambut atau kepala. Bagaimanapun ini bukanlah hujah untuk membenarkan golongan wanita mendedahkan rambut atau bahagian kepalanya serta memperlekehkan wanita lain yang bertudung. Jumhur ulama berpendapat kesemua anggota tubuh perempuan adalah aurat dan wajib ditutup kecuali bahagian muka dan dua telapak tangan





#ingatan buat diri ini yang masih kekurangan...

Thursday, February 10, 2011

GAYA MUSLIMAH

GAYA MUSLIMAH
GAYA MUSLIMAH by nurainvivian featuring printed skirts

Assalamualaikum sahabat ain sekalian yang amat ain sayangi.

Tiada coretan kali ini, sekadar ingin berkongsi cara pemakaian yang bersesuaian bagi seorang wanita muslimah.

Jika berminat, silalah mencuba.Ingat!...

Pakaian juga ada piawaiannya tersendiri.Bukan barangan sahaja yang memerlukan cop SIRIM!!!


Wednesday, February 9, 2011

BERSOLEK


'Apabila seorang wanita itu keluar dengan memperlihatkan kepalanya (tanpa tudung kepala), memperlihatkan tengkuk, dada, serta mendedahkan betisnya adalah dia termasuk dalam kemungkaran besar yang menyimpang dari ketentuan syarak'... petikan dari buku BIMBINGAN UNTUK WANITA:AURAT&HIJAB....

Assalamualaikum ain ucapkan kepada sahabat ain sekalian.Moga sahabat semua ceria selalu hendaknya, insyaAllah.

Zaman semakin berubah, maka pakaian juga perlu berubah mengikut trend masa kini.Itulah anggapan sesetengah orang terutamanya kita yang bergelar muslimah.Namun, harus diingat bahawa perkembangan pakaian moden yang semakin bercambah bak cendawan selepas hujan, tidak semuanya yang memenuhi piawaian pakaian seorang wanita muslimah.

Sering kita melihat wanita muslimah yang mengenakan tudung tetapi masih berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh yang mengghairahkan.Tidak kurang juga, ada muslimah di luar sana yang mengenakan tudung pada waktu-waktu tertentu sahaja,misalnya kenduri atau majlis-majlis rasmi.

Selain berpakaian ketat, trend masa kini 'wajib' memakai haruman/wangian apabila keluar dari rumah.Adakala bauan yang digunakan terlalu kuat sehingga menusuk lubang hidung sesiapa sahaja yang menghidunya.

Tidak lengkap penampilan seseorang wanita itu setelah berpakaian cantik beserta haruman tanpa mekap tebal dimuka.Gincu beraneka warna tidak lupa dikenakan di bibir yang mongel itu.Bulu kening dirias cantik agar sejuk mata sesiapa yang memandang.

Apa yang ain coretkan di sini sebenarnya pernah berlaku pada diri ain sendiri yang dahulunya amat naif tentang cara berpakaian yang betul seorang wanita Islam.Ain sendiri akui, ain pernah mengenakan jeans ketat, baju berlengan pendek, tudung singkat, haruman yang kuat dan tidak kurang juga merias kening serta mekap tebal.





Apabila dikenangkan kembali, ain merasakan diri ini teramatlah bodoh kerana tidak ambil berat tentang aurat dan cara berpakaian yang betul seorang muslimah.Dibenak fikiran ketika itu, aurat wanita cuma perlu berlengan panjang, memakai tudung, CUKUP!!

Sebenarnya jika difikirkan kembali, difahami kembali, ianya lebih dari itu.Tidak cukup jika mengenakan tudung kepala semata tetapi masih berpakaian ketat.Tidak cukup mengenakan tudung kepala tetapi masih berhias cantik dengan tujuan memukau mata sesiapa yang memandang, dan yang pasti kaum Adam berebut-rebut melihat kita.

Seperkara yang amat membimbangkan ain sendiri adalah ada muslimah yang mengenakan baju kurung/jubah tetapi masih menampakkan bentuk tubuh.Dapat dilihat butik muslimah semakin banyak menampilkan pakaian muslimah terkini.Sememangnya ia adalah suatu perkara yang bagus kerana memberi lebih banyak pilihan buat kaum hawa untuk bergaya.Namun begitu, ingatlah penampilan/cara kita berpakaian harus memenuhi piawaian Islam yang telah digariskan berpandukan Al-Quran.





Apa yang ain coretkan disini adalah ingatan buat diri ain sendiri juga agar tidak lupa asal usul ain sebagai seorang muslimah.Ain juga berharap ramai lagi muslimah di luar sana lebih peka tentang pemakaian mereka sebagai seorang wanita Islam yang mempunyai kedudukannya sendiri.

#moga diri ini dan muslimah sekalian terus mendapat hidayah daripadaNya...insyaAllah...amin...

Monday, February 7, 2011

KISAH LALU......


Tiap hari, tiap saat, tiap detik, tak pernah diri ini lupa akan kebodohannya di masa lalu.Adakala diri ini tertanya-tanya, adakah dosanya yang lampau itu dapat dimaafkan oleh Allah Yang Maha Esa...Adakala diri ini tertanya-tanya adakah taubatnya diterima atau tidak oleh Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang...Adakala diri ini takut sekiranya ajalnya tiba pada bila-bila masa, manakala taubatnya masih tidak sempurna...

Assalamualaikum sahabat ain sekalian.Apa ain coretkan diawal bahagian ini adalah luahan daripada hati ain sendiri.Rasanya tiada salahnya ain coretkan perasaan hati ain diketika ini.Tak mungkin ain dapat lupakan segala kesilapan ain yang lalu.Sebagai hambaNya yang kerdil ini, ain hanya menadah tangan dan berdoa, memohon keampunan daripada Allah SWT.

Tiada kata dapat ain ungkapkan, hanya berharap moga segala dosa-dosa ain yang lalu, kini dan akan datang mahupun yang tidak ain ketahui sendiri dapat dimaafkan oleh Allah SWT.Moga diri ini terus mendapat hidayah daripada Yang Maha Esa..Amin..

Rasulullah bersabda:


"Sesungguhnya jika seorang Mukmin melakukan dosa, maka tertorehlah noda hitam dihatinya.Apabila ia bertaubat dan berhenti dari dosa itu dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya menjadi bersih dari noda tersebut.Apabila dosanya bertambah, maka bertambah pula noda tersebut sampai menutupi seluruh hatinya.Itulah noda yang disebutkan oleh Allah dalam firmanNya:'Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup (menjadi noda) hati mereka." (QS Al-Muthaffifiin:14)


Apapun ain sedar bahawa setiap dugaan atau ujian yang Allah beri dalam kehidupan kita seharian sebagai umatNya adalah tanda bahawa Allah masih menyayangi diri ini dan mengingatkan diri ain sendiri bahawa tidak semua perkara buruk yang berlaku dalam hidup ini akan kekal buruk selagi kita beringat dan kembali kapada ajaranNya yang sebenar.

Yang pasti kita sebagai umatNya jangan sesekali putus asa berdoa dan memohon keampunan daripadaNya.

Namun ain sentiasa bersyukur kerana dugaan yang diberikanNya memberi seribu pengertian dalam kamus hidup ini.

Thank You Allah..

Saturday, February 5, 2011

ALAM MAYA

Assalamualaikum sahabat semua.Moga sahabat semua sentiasa dalam keadaan sihat selalu.Kali ini ain ingin berkongsi tulisan blog yang ain baca satu ketika dahulu untuk renungan bersama.

Moga tulisan beliau memberi manfaat kita bersama terutamanya kita yang bergelar muslimah...InsyaAllah...amin...





Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A’lam.

- dipetik dari blog wewr iaitu ~Khabar Dari Urdun~ dalam entri bertajuk Muslimah & Gambar


Tiada niat untuk menyakiti hati sesiapa.Sekadar berkongsi apa yang ain baca dan dirasakan amat berfaedah untuk kita bersama.Maafkan ain andai apa yang ain kongsikan ini menyinggung perasaan semua.Maafkan ain ye...=)Segala yang baik datang daripadaNya, yang buruk datang daripada diri sendiri...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR