Monday, March 28, 2011

KENALI DIRIMU WANITA


Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat ain sekalian.Moga semua dalam Rahmat Allah SWT selalu,amin...

Sewaktu ain belum lagi mengenal Islam, sewaktu ain belum lagi mengenal Allah, kod etika berpakaian sebagai seorang yang bergelar wanita tidak pernah ada difikiran.Yang pasti, ketika itu hanya ingin kelihatan cantik, seksi dan menarik pandangan sesiapa yang memandang.

Indahnya kita sebagai seorang yang beragama Islam, agama Allah ini adalah, kita tidak dibiarkan sesuka hati berpakaian mengikut nafsu semata-mata.Melalui Al-Quran, untuk wanita amnya, dididik dan diajar agar berpakaian sederhana dan tidak keterlaluan yang boleh menimbulkan fitnah pada diri sendiri serta orang lain.

Apabila kita berpakaian labuh, kita sebenarnya telah mendapat ganjaran disisi Allah.Namun, harus diingat cara menutup aurat yang betul juga harus diambil kira dan bukan hanya labuh semata-mata.Ini ain cuba maksudkan:

Pakaian labuh tanpa memakai tudung : tidak sempurna

Pakaian labuh mengikut bentuk badan serta jarang : tidak sempurna

Pakaian labuh + tudung singkat : tidak sempurna

Pakaian labuh + tudung labuh tetapi melekap didada : tidak sempurna

Pakaian labuh + tudung labuh tanpa menutup kaki : tidak sempurna


(#pakaian labuh disini ain maksudkan adalah berbaju kurung atau berjubah)



Tshirt labuh berlengan panjang + tudung + jeans ketat : tidak sempurna

T-shirt labuh lengan paras siku + tudung singkat/labuh : tidak sempurna

T-shirt labuh+tudung labuh tanpa melindungi kaki : tidak sempurna


Buat muslimah sekalian yang amat ain kasihi, jagalah cara kita berpakaian kerana pakaian kita adalah identiti kita sebagai wanita Islam.Ingatlah, setiap saat kita diperhatikan dan setiap saat amalan kita dicatat, walau berpakaian sekalipun.





#video didapati from Keluargaku Sayang-thanks to kak chik!

Friday, March 25, 2011

ADAB MUSLIMAH BEKERJA


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Bagi sahabat-sahabat blog NUR, mungkin masih ingat ain pernah coretkan tajuk tentang "BERSOLEK".Bagi anda yang bergelar muslimah, bersyukurlah kerana di dalam Al-Quran itu sendiri telah menceritakan adab/ tata susila wanita apabila berada di luar rumah.Amatlah rugi bagi anda yang sudah tahu tetapi bersikap sambil lewa tentang perkara ini.

AURAT

'Apabila seorang wanita itu keluar dengan memperlihatkan kepalanya (tanpa tudung kepala), memperlihatkan tengkuk, dada, serta mendedahkan betisnya adalah dia termasuk dalam kemungkaran besar yang menyimpang dari ketentuan syarak'... petikan dari buku BIMBINGAN UNTUK WANITA: AURAT&HIJAB....

Sebelum ini ain pernah coretkan tentang cara pakaian yang menutup aurat dengan betul bagi wanita Islam, dan ain akan tekankan setiap kali ain rasakan perlunya untuk saling mengingatkan.Walaupun ramai muslimah di luar sana tahu kepentingan menutup aurat, namun masih lagi bersikap sambil lewa.



Rasulullah SAW menyatakan dalam suatu hadis:
"Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar syaitan akan memperhatikan."

WANGIAN



Pelbagai jenama wangian kini dijual dengan pelbagai jenis haruman yang memikat hati.Malah, industri wangian tumbuh bak cendawan kerana wangian ini bukan sahaja mudah dibeli di kompleks membeli-belah, malah boleh didapati menerusi internet, jualan secara langsung(MLM) atau di pasar malam.

Untuk menarik wanita Islam khususnya, untuk menggunakan haruman, kini edisi wangian tanpa alkholol pula dijual di sana sini.Malah, boleh digunakan untuk bersolat!

Tiada salahnya mengenakan haruman, tetapi harus diingat untuk siapa haruman itu ditujukan.Jika anda bergelar isteri, eloklah dikhaskan untuk suami sahaja mencium wangian badan anda.Bagi yang 'single', pakailah sahaja dirumah.

Bagi anda wanita yang bekerja dan gemar memakai wangian semasa bekerja, simpan sajalah wangian anda itu dirumah.Walaupun haruman yang anda gunakan tidak sekuat mana, namun ianya masih tetap dapat dicium oleh lelaki lain selain suami anda!

Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya orang perempuan bila memakai wangi-wangian kemudian berjalan kepada suatu kaum supaya kaum itu tercium akan harumannya(bau harum yang dipakai), maka itu adalah zina."

'MAKE UP'



Apabila kita sebagai wanita ingin keluar rumah, make up di muka tak mungkin kita tinggalkan bukan???? Tanpa make up dirasakan wajah ini masih tidak cukup cantik atau kita takut kelihatan pucat.

Malah, wanita yang bekerja sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit dari gaji bulanan yang mereka dapat semata-mata untuk mendapatkan koleksi make up terkini, agar apabila dikenakan di wajah, pasti kelihatan cantik dan menawan.

Ain akui ada sebilangan wanita kelihatan teramat pucat, dan mereka bimbang si suami berasa malu apabila ingin keluar rumah dengan mereka.Maka, jika anda ingin mengenakan solekan itu, biarlah berpada-pada dan tidak tebal.Namun, suami yang baik tidak akan melihat kecantikkan isteri daripada luaran dan suami yang baik tidak akan berasa malu untuk berada disamping isterinya yang berpakaian sederhana.

Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah kamu bersolek seperti wanita zaman jahilliah yang lampau." Surah Al-Ahzab : 33

PERHIASAN

Intan, berlian, emas, semuanya sering berkait dengan wanita.Bagi penggemar perhiasan emas atau apa sahaja, pakailah secara sederhana kerana bersederhana itu adalah lebih baik.Malah, kurangnya perhiasan di badan dapat mengurangkan perhatian mata-mata lelaki liar yang gemar memandang kepada kecantikkan.

Ini juga salah satu cara mengelak diri kita daripada menjadi mangsa ragut.Nah, nampak tak kebaikkannya disini?

TUTUR KATA

"Don't judge a book by it's cover."....Mungkin ada benarnya kata-kata ini.Adakala tutur kata kita memberikan gambaran tentang diri kita yang sebenar kepada orang yang berada disekeliling kita.



Berhati-hatilah apabila bercakap.Gunakan intonasi/ nada suara yang sederhana serta ayat yang mudah difahami.Jika rakan-rakan kita gemar bercakap tentang perihal peribadi orang lain, cubalah untuk mengelak dengan cara baik.Mungkin agak sukar pada mulanya, namun perlahan-lahanlah untuk berubah.InyaAllah, pasti boleh.

PERGAULAN



Dunia pekerjaan masa kini melibatkan percampuran antara lelaki dan wanita.Banyak kes terjadi dimana lelaki atau wanita yang sudah berkahwin menjalinkan hubungan terlarang dengan pasangan lain yang mungkin juga sudah berkeluarga.

'Masakan pokok bergoyang jika tidak ada angin'
Kedua-dua belah pihak tidak kira lelaki atau wanita bekerja harus ingat batas-batas pergaulan sesama mereka.Sering kita dengar wanita dianggap perampas, sedangkan pihak lelaki juga turut terlibat.

Namun, tidaklah ain ingin bahaskan tentang isu berkait.Di sini, ain lebih tekankan kepada kaum Hawa sahaja.Adalah lebih elok wanita yang bekerja menjaga adab pergaulan mereka semasa berada di luar rumah.

Sentiasalah berdoa dan memohon kepadaNya agar dijauhkan perkara-perkara yang tidak elok.Sentiasalah muhasabah diri sendiri dan dekatkan diri pada Allah.

Mohonlah keizinan suami (bagi yang bergelar isteri), sebelum keluar untuk mencari rezeki.Walaupun suami sudah tahu kita sememangnya wanita berkerjaya, keizinan suami itu amatlah penting.Jangan terlalu ego dengan gaji kita dapat setiap bulan, kerana tanpa izin suami, kita takkan ke mana-mana.Untuk ke syurga juga, kita perlu redha daripada suami!

Bagi yang belum bersuami, keizinan daripada ibu bapa juga penting sebelum anda melangkah kaki keluar dari rumah setiap hari.Merekalah yang mendidik dan membesarkan kita sejak kecil tanpa mengenal erti penat.Maka, ibu bapa juga berhak dihormati.


# Setakat ini sahaja yang dapat ain coretkan disini.Jika ada kekurangan, sudilah kiranya meninggalkan komen anda di ruang yang disediakan.
Sekiranya ada kata-kata yang kurang bersesuaian atau menyinggung perasaan, harap dimaafkan.

Thursday, March 24, 2011

KENAPA SURI RUMAH???


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Kenapa Suri rumah??? Itulah persoalan yang sering diajukan pada ain ketika ini.Baiklah ain akan menjawab bagi yang mungkin masih kurang faham erti atau maksud suri rumah itu sendiri.

Suri bermaksud penyeri dan jika digabungkan suri rumahtangga, bermakna penyeri rumah tangga.

Ramai berpendapat wanita moden zaman sekarang perlu mempunyai pekerjaan atau wang saku sendiri bagi menampung kehidupan seharian disamping membantu menambahkan ekonomi keluarga.Tiada salahnya bekerja terutamanya yang sudah bergelar isteri dan ibu, yang pastinya memerlukan perbelanjaan yang lebih jika berbanding sewaktu masih belum berkahwin.

Selain itu, dengan mempunyai pekerjaan tetap dikatakan masa depan seseorang wanita itu terjamin sekiranya kematian suami atau ditinggalkan atau diceraikan.Itu ain juga bersetuju.Bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan'.. Malah, wanita kini lebih berpelajaran tinggi berbanding kaum lelaki.Makanya, pendapatan mereka sudah pasti melebihi si suami.

Banyak yang positif bagi wanita yang bekerja.Namun ada negatifnya juga, tapi rasanya tidak perlulah ain huraikan disini.

Bagaimana pula yang bergelar suri rumah? Adakah mereka membantu dalam mengurangkan beban keluarga, ataupun menambahkan beban?

Apapun, ain akan hanya menjawab bagi pihak diri ain sendiri yang kini memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.Jika nak dihuraikan secara umum, pasti tidak habis.

Aurat

Dari segi berpakaian, ain sememangnya lebih gemar pakaian yang labuh dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan.Namun, bukan semua majikan yang memberikan lampu hijau buat wanita muslimahnya menunaikan kewajipan menutup aurat dengan betul.Apabila ain lantang menyuarakan hak sebagai seorang wanita Islam, mulalah ada yang membangkang dan tidak kurang juga tidak bersetuju dengan tindakan ain.Bagi mereka, makan gaji kenalah ikut perintah atau peraturan ditetapkan.

Pernahkah kalian berfikir atau kembali pada ajaran Allah yang sebenar-benarnya, bukankah menutup aurat itu adalah wajib dan tidak harus dipandang remeh? Adakah disebabkan tuntutan kerja, saudari sekalian sanggup gadaikan maruah seorang wanita Islam?

Negara Islam tetapi wanita Islam dilarang menunaikan kewajipannya.Masih dinamakan negara yang demokrasi ke?Sekiranya umat Islam mengikut sahaja telunjuk orang kafir, apa akan jadi pada anak-anak kita masa akan datang?

PERGAULAN BEBAS

Wanita yang bekerja di luar rumah pasti tidak dapat mengelak bergaul bebas dengan lelaki yang bukan muhrim.Mungkin bertepuk tampar itu hanyalah ringan bagi sesetengah pihak, mungkin bergurau senda sesama lelaki dan wanita itu hanyalah perkara biasa, tapi dibolehkan ke dalam Islam???

Jika tugasan yang memerlukan kita merawat pesakit lelaki itu sambil ditemani rakan setugas atau keluarga pesakit itu sendiri, tiada salahnya.

Maksud ain disini pergaulan diantara rakan sekerja yang adakala berlaku secara berlebih-lebihan.Berat mata ain memandang, jika ditegur pasti akan mengguris hati sesetengah pihak.Jika ain diam, samalah juga kiranya ain bersubahat.Aduh, peritnya untuk ain katakan...

SOLAT

Apabila terlalu tumpu pada pekerjaan, pasti ramai diantara kita melupakan solat.Ain pasti perkara ini banyak terjadi di tempat-tempat lain.Ain tidak malu untuk mengaku ain juga pernah lalai sewaktu bekerja dahulu.Tetapi ain malu untuk mengaku padaNya jika ain perlu mengadapNya nanti!

Kerja! Kerja! Kerja!
Solat??? Entah kemana.Melihatkan keadaan persekitaran ketika itu membuatkan ain lupakan pada yang memberikan ain rezeki selama ini.Tanpa Nya, tak mungkin ain dapat makan sesuap nasi, tanpa Nya tak mungkin ain sihat untuk bekerja.Semuanya kerana Allah!

Buat sahabat muslimah sekalian, dirikanlah solat 5 waktu.Jangan jadikan alasan sibuk, penat itu sebagai alasan untuk meninggalkan solat.Percayalah, amat rugi bagi orang-orang yang meninggalkan solat.

Apabila diri kita cuba untuk berubah, pasti ada kata-kata yang kurang enak didengar.Biarkan sahaja.Lama-kelamaan, kita akan biasa dengannya.Ain katakan ini berdasarkan pengalaman ain sendiri.

MENGUMPAT

Gosip terkini artis tempatan, gosip rakan-rakan sekerja, polan dengan si polan...Memang updated selalu!

Nak mengelak, pasti terjebak!!

Adalah lebih elok lidah kita dibasahi zikir...

HILANG RASA TANGGUNGJAWAB

Apabila solat tinggal, aurat tak dijagai dengan baik, bergaul bebas, lidah hanya digunakan untuk berbual perkara-perkara yang tidak berfaedah, maka jadilah, wujudlah sikap tidak bertanggungjawab.

Kenapa ain katakan begitu?
Apabila kurangnya rasa tanggungjawab, maka produktiviti kita sebagai pekerja juga semakin berkurangan.Adalah lebih elok ain katakan kita gagal menunaikan tugasan kita mengikut amanah.Islam mengajar umatnya agar amanah dan bertanggungjawab dalam tugasan diberikan.

Pendekkan cerita, semuanya berbalik pada kita mengenali diri kita sebagai seorang muslim/muslimah.



Apa ain coretkan disini adalah jawapan bagi pihak ain sendiri buat sahabat-sahabat yang mengenali diri ini ataupun hanya di alam maya, yang sering mengajukan ain persoalan ini.Diharapkan persoalan kenapa ain pilih untuk berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa terjawab.Persoalan-persoalan di ataslah yang membuatkan ain nekad dengan keputusan ini.

Buat muslimah yang masih bekerja dan ingin terus bekerja, lakukanlah dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah, bukan sahaja kepada pihak majikan, tetapi lakukanlah kerana Allah tanpa meninggalkan segala suruhanNya.

Malah, ain kagum kerana masih ada muslimah yang bekerja di luar sana, menjaga adabnya sewaktu berada di luar rumah kerana mereka sedar setiap perilaku mereka diperhatikan bukan oleh masyarakat, tetapi oleh Yang Maha Berkuasa.Walaupun bilangannya kecil, namun sedikit sebanyak memberi impak positif kepada muslimah yang berada disekeliling mereka.

HIDUP ADALAH IBADAH...PEKERJAAN JUGA ADALAH IBADAH...MAKA LAKUKANLAH DENGAN AMANAH SERTA PENUH RASA TANGGUNGJAWAB...

BAGI SURI RUMAH...JANGANLAH RASA MALU DENGAN STATUS ANDA YANG TIDAK BEKERJA...INGAT...BERADA DIRUMAH JUGA ADALAH BERJIHAD DI JALAN ALLAH...

Tuesday, March 22, 2011

PROGRAM REALITI


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Beberapa minggu lepas, ain tinggal dirumah ibu ain menemani adik perempuan ain yang di ketika itu sedang bercuti selama seminggu setelah pulang mengajar dari Kemaman, dapatlah adik ain meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak lelakinya.Ibu bapa ain pula kini berada di Hatyai,Thailand menghabiskan cuti selama beberapa hari untuk merehatkan fikiran dan minda setelah penat seharian bekerja dan sibuk melayan karenah cucu-cucunya.

Waktu terluang itu dapatlah ain meluangkan masa bersama dengan adik perempuan kesayangan ain, sambil melayan karenah anak-anak buah tersayang.Adakala penat, sakit kepala dibuatnya.Namun, keletah mereka menghiburkan hati.Bertuahkan mereka yang bergelar ibu!

Sambil melayan anak-anak buah, ain menonton televisyen dan terlihat pula siaran ulangan 'IDOLA KECIL'.Wah berbakat sungguh kanak-kanak ni.Malah ibu bapa kanak-kanak ini juga tidak ketinggalan memberikan sokongan.Boleh dikatakan yang mengambil bahagian semuanya datang dari seluruh pelusuk Malaysia mencuba nasib.

Dari sudut positif, rancangan sebegini memberikan pendedahan kepada anak-anak kecil dunia realiti sebenar sebagai anak seni.Namun, ia tidak menekankan unsur-unsur Islam dalam jiwa kanak-kanak ini.Malah, mereka lebih didedahkan dengan populariti dan akhirnya taksub kepada kehidupan duniawi yang melalaikan.

Terlalu banyaknya program realiti berunsur hiburan membuatkan anak-anak kecil mudah tergoda dengan keseronokkan dan bagi yang mempunyai bakat menyanyi mula memasang angan-angan atau impian menjadi penyanyi terkenal.Malah, tidak kurang juga ada penjaga/ibu bapa turut memberikan galakkan serta sokongan moral.

Namun ada satu program realiti kanak-kanak yang pada pendapat ain amat bagus diketengahkan kepada anak-anak kecil masa kini.Rancangan terbitan RTM iaitu 'ADIK-ADIKKU' yang disiarkan semenjak sebulan yang lalu menekankan Islam dalam jiwa anak-anak ini.



Dalam rancangan ADIK-ADIKKU, kanak-kanak ini didedahkan dengan berpidato atau memberikan syarahan berunsur keislaman, misalnya kisah-kisah zaman Nabi dan tidak kurang juga mereka diberikan pendedahan menyampaikan isu-isu sosial masa kini.Program sebegini dapat memberikan keyakinan diri kepada kanak-kanak untuk menyampaikan syarahan sambil dipantau oleh panel Ustaz dan Ustazah yang bertauliah.Malah dapat menambahkan ilmu pengetahuan kanak-kanak ini tentang Islam.

Rancangan Islamic lain yang bakal menjengah kaca televisyen tempatan tidak lama lagi, Imam Muda 2 sudah pasti mengubat rindu peminat setia program ini.



Mungkin sesetengah pihak berpendapat program ini sama saja dengan program realiti yang lain, hanya mengejar populariti sahaja.Tetapi sebaliknya program sebegini dapat mencungkil imam-imam muda tempatan sebagai pelapis sedia ada, selain menambahkan golongan ilmuwan Islam di negara kita.

Selain Imam Muda 2 yang bakal bersiaran di Astro Oasis, rancangan yang menguji kefahaman pengetahuan Islam iaitu Famili Sarjana, antara program Islamic yang begitu menarik.


Bagi ain, rancangan sebegini bukan sahaja menguji minda, malah dapat menambahkan ilmu bukan sahaja kepada para peserta Famili Sarjana, tetapi juga kepada para penonton rancangan ini.Kita juga dapati, rancangan ini melibatkan hubungan kekeluargaan yang saling bantu-membantu serta berkongsi pengetahuan mengenai Islam sesama mereka.

Apapun, kita sebagai penonton haruslah bijak memilih rancangan atau program televisyen yang bersesuaian agar bukan sahaja dapat mengisi masa lapang, malah dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri serta orang lain yang menonton bersama kita.

Tepuk dada, tanya selera!

Saturday, March 19, 2011

TAK PANAS KE???


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Persoalan ini sering diajukan pada ain,

"Tak panas ke pakai tudung labuh, baju labuh, stoking lagi..."

"..sekarangkan dah moden, pakailah tudung moden.."

"..yang penting hati, luaran tak penting.."

"..kau tu muda lagi, bila lagi nak merasa melawa..."

"...dah kahwin ni kena pandai melawa, nanti bila suami lari, cari perempuan lain, kau jangan salahkan suami atau perempuan lain..."


Seperti ain pernah nyatakan sebelum ni, menutup aurat bukanlah sekadar bertudung semata-mata.Lihat gambar rajah di bawah:



Daripada pengalaman ain sendiri, pada mulanya memang ada perasaan janggal dan kurang selesa.Apabila berpakaian sebegini, mata-mata yang melihat kebiasaannya akan memandang dari atas sampailah ke bawah, tidak kira yang non muslim atau orang Islam itu sendiri.

Bagi sahabat muslimah yang ingin berubah tapi masih ada perasaan takut, malu, risau sekiranya disisihkan atau diketawakan, ini yang dapat ain katakan...

~tiada perlu rasa takut dengan manusia, tetapi takutlah pada Allah kerana Dia memandang kita setiap masa.

~tidak perlu berasa malu dengan orang sekeliling, tetapi malulah pada Allah.

~tidak perlu risau sekiranya kita disisihkan, kerana Allah sentiasa bersama-sama hambaNya yang ingin kembali kepadaNya.

~tidak perlu risau apabila diketawakan, tetapi risaulah apabila kita diketawakan kelak!


BAGAIMANA NAK BERMULA???

Pada suatu hari, ain ambil masa mengemas almari baju ain yang dah lama tak berkemas.Sambil mengemas, ain perhatikan koleksi pakaian peribadi ain miliki selama ni.Tidak kiralah pakaian dipakai semasa berada dirumah mahupun untuk beriadah.Ain teliti satu persatu.

Walaupun pakaian untuk dipakai seharian dirumah juga ain pilih dengan teliti, mana yang tidak bersesuaian, ain tolak ketepi.Untuk dipakai semasa berada di luar rumah seperti bersiar-siar atau beriadah juga ain pilih agar ianya bersesuaian dalam memenuhi tuntutan menutup aurat dengan betul.


Maka, muslimah yang tak pasti bagaimana untuk bermula, boleh bermula dengan menyelongkar pakaian almari anda!

PERLU MENUTUP AURAT SEKALIGUS KE?? TAK BOLEH SATU PERSATU???

Seperti ain katakan, perasaan janggal pasti menyelubungi diri kita yang selama ini tidak bertudung dan berpakaian seksi.Jadi, macamana ye???

Bagi muslimah yang merasakan belum ada kekuatan untuk berubah sekaligus, bolehlah berubah dari segi berpakaian.Pilihlah pakaian yang longgar dan labuh serta tidak mengikut bentuk badan.



Gambar ain tunjukkan ini sekadar contoh sahaja bagi muslimah yang tidak pasti pakaian yang bagaimana.Pilih pakaian yang tidak mengikut bentuk dan tidak melekap di badan.Adalah lebih elok pakaian ini lebih labuh lagi melepasi paras punggung.Pilih jenis kain dengan betul agar tidak nipis.

Bahagian lengan baju juga bukanlah yang jenis melekap, pilih juga yang longgar.



Bagaimana dengan seluar??



Gambar ini sekadar contoh yang boleh digunakan.Adalah lebih elok tidak ketat di bahagian punggung.Sekiranya memakai seluar, pastikan baju adalah labuh melebihi bawah paras punggung.Sama juga dengan baju, pilih seluar yang tidak melekap pada kulit yang boleh menampakkan bentuk kaki.Labuh seluar seelok-eloknya sampai ke buku lali kaki.

PERLU PAKAI STOKING KE???



Fikirkan waktu kita solat adalah dilarang menampakkan kaki.Walaupun sedikit, maka terbatallah solat itu.Begitu juga aurat, perlu ditutupi dengan sempurna.Tiada alasan untuk menidakkannya.

Pada tulisan blog ain sebelum ini, ain ada nyatakan tudung bagaimana sesuai dipakai.Seperkara ain ingin tambah berkaitan tudung.Pilih tudung dari jenis kain yang bukan jarang dan tidak nipis seperti gambar di bawah:



Walaupun kelihatan menarik apabila dipakai, tetapi ia masih menampakkan leher dan rambut si pemakai.


Bukan saja manis, tetapi ia dapat menutup aurat dengan betul.


Segala yang ain coretkan disini adalah berdasarkan pengalaman ain sendiri sewaktu mula-mula berhijrah.Diharapkan agar nurkilan ini dapat membantu muslimah sekalian yang bercita-cita untuk berubah.Teruskan niat baik anda itu.

Kini ain lebih tenang berjubah mahupun berbaju kurung labuh.Sentiasalah lihat apa yang telah kita lakukan sebagai seorang wanita Islam untuk menggembirakan Maha Pencipta.



# jika ada sebarang kesilapan, sudi-sudikanlah menegur.Terima kasih!

Friday, March 18, 2011

TUDUNG SINGKAT?? TUDUNG LABUH??


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Ain masih ingat lagi kali pertama ain mengenakan tudung.Terkial-kial ain dibuatnya.Waktu tu ain masih di kolej dan orang pertama yang sudi membantu ain memakai tudung adalah rakan sekolej, namanya Tengku Fatimah.

Memang teruja sangat di ketika kali pertama mengenakan tudung.Rasa manis sangat.Entah kenapa, tetapi perasaan selamat hadir sewaktu ain mengenakan tudung.

Alhamdulillah, kini ain lebih gemar mengenakan tudung labuh berbanding tudung express yang semakin menjadi trend masa kini.Adalah lebih baik bertudung labuh kerana dapat menutupi bahagian yang tidak harus diperlihatkan dikhalayak ramai.

Di Malaysia umumnya, semakin ramai wanita bertudung, namun masih tidak mengikut etika yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam itu sendiri.Bertudung adalah lebih kepada berfesyen semata-mata.Bukannya untuk mendapatkan keredhaan daripada Yang Maha Esa.

Ibu ain pernah berkata dan sering mengatakan hal ini, "Pakai tudung tapi nampak dada, baik takpayah pakai..."


Walaupun ibu ain belum memilih Islam sebagai agamanya, namun sedikit sebanyak penampilan diri ain membuatkan ibu ain faham apa itu aurat bagi wanita Islam.Bayangkan apa yang non-muslim fikirkan tentang kita yang beragama Islam.Ada bertudung, ada tidak, berbaju ketat, labuh.Itulah yang terjadi pada ain di awal ain memeluk Islam.Keliru dan berpendapat tak mengapalah, tanpa fahami dan pelajarinya dengan betul daripada yang arif.

Bagi mereka yang telah bertudung, alhamdulillah, tahniah ain ucapkan.Namun adalah lebih baik bertudung dengan cara yang betul yang bukan saja memberikan kebaikkan pada diri sendiri, tetapi kebaikkan di akhirat kelak.

Maksud ain disini,amatlah rugi jika muslimah sekalian sudah bertudung tetapi tidak mendapat apa-apa kebaikkan daripadanya.Malah, menambahkan dosa apabila memakai dan yang melihat cara anda mengenakannya.



Pemakai mengenakan tudung singkat yang menampakkan bentuk dada.Pakaian juga masih ketat mengikut bentuk badan walaupun sudah berlengan panjang.




Nampak moden dan menarik tetapi pakaian dan tudung dipakai jenis melekap dibadan, mendedahkan susuk tubuh menghairahkan.





Tudung jenis ini semakin menjadi fesyen dikalangan wanita moden masa kini.


Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Wanita yang memakai pakaian seperti telanjang (kerana nipis), yang menarik pandangan orang dengan gaya lenggang lengguknya, kepala mereka seperti engguh unta (kerana mengubah rambutnya), mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan tercium baunya."

Inilah ain cuba sampaikan tadi, amat rugi jika muslimah sekalian telah bertudung tetapi masih tidak mendapat apa-apa kebaikan daripadanya.Maka, sia-sia sahaja usaha anda untuk menutup aurat kerana selama ini masih tidak sempurna.

Akibat kurangnya kefahaman tentang adab dan hukum aurat wanita Islam itu sendiri, ain juga pernah terpesong seperti dalam gambar-gambar di atas.Ain tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada muslimah-muslimah yang lain.Selagi ada daya, ain akan cuba sampaikan dengan cara ain sendiri.Bukankah menegur demi berubah kepada kebaikkan adalah lebih baik daripada memandang sahaja tanpa berbuat apa-apa??

Namun kepada Allah jua ain serahkan segala-galanya.Baik datangnya daripada Allah, dan yang buruk datangnya daripada diri ain sendiri.



Perkara-perkara yang harus dan wajib diberi perhatian apabila memakai tudung atau membeli tudung:

# pilih tudung dari jenis kain yang tidak melekap atau bergetah yang boleh melekap di badan

# pilih tudung dari jenis kain yang tidak jarang/nipis

# pilih motif tudung bercorak sederhana

# pilih warna tudung yang sederhana dan tidak menarik perhatian

# pastikan tudung dipilih adalah cukup labuh melepasi paras bawah dada

# pastikan tudung dipakai tidak mengikut bentuk kepala atau leher anda

# apabila mengenakan tudung, labuhkanlah kain tudung hingga paras bawah dada.Ramai yang gemar menggunakan pin dan menaikkan tudung hingga menampakkan dada walaupun tudung itu sebenarnya sudah cukup labuh dan sempurna.


Tanyakan pada diri kita sendiri;

~untuk apakah kita bertudung???
~untuk siapa kita bertudung???
~untuk siapa kita ingin tunjukkan tudung kita pakai itu???
~adakah setakat bertudung sahaja mengatakan kita telah menutup aurat???


#bertudung dan menutup auratlah dengan cara yang betul, insyaAllah ganjaran besar akan kita terima kelak! Mohonlah pada Allah S.W.T. hidayahNya agar kita tidak terus terpesong dengan kehidupan ini.

Monday, March 14, 2011

USTAZ HJ ZAHARUDDIN HJ ABD RAHMAN



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga sahabat semua dalam rahmat Allah selalu,amin.

Dikala waktu lapang, selain blogging, ain akan mencari waktu ke blogger Islamic yang lain mencari ilmu yang tak akan pernah habis.Ilmu Allah itu begitu indah dan insyaAllah selagi hayat ini masih dikandung badan, akan ain gunakan sebaik mungkin menimba ilmu tidak kiralah melalui buku, majalah, suratkhabar, mahupun media elektronik.

Antara blogger Islamic yang sering menjadi tempat ain menambahkan ilmu adalah blogger Ustaz Hj Zaharuddin.Disini sedikit serba ringkas butir peribadi tugasan beliau pada masa kini...

~Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

~Panel Soal Jawab Agama, Majalah I, Terbitan Karangkraf Sdn Bhd Kolumnis Ruangan An- Nur, Akhbar METRO AHAD

~Kolumnis Majalah Iktisad, terbitan Yayasan Muslimin Berhad

~Kolumnis Majalah Solusi, (Ruangan Fiqh Muamalat) terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

~Ahli Majlis Penasihat Shariah, C & S Consulting & Investment Ltd, Trinidad ( Bersama Prof. Dr Monzer Kahf)

~Ahli, Majlis Penasihat Shariah, Standard Chartered saadiq Malaysia Berhad

~Penasihat Shariah, Siraj Capital Ltd, Jeddah

~Penasihat Shariah, Yasmin Holdings Group Sdn Bhd

~Konsultan Shariah & Perbankan Islam, Furqan Islamic Finance Group, Dubai

~Penasihat Shariah, Storm Readers Sdn Bhd

~Penerima Anugerah Media Islam Negara Ke3, Laman Web Islamik terbaik

~Associate Lecturer, The Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom


Kelulusan

~B.A ( Hons) , Usuluddin, Universiti Malaya dan
~M.A, Shari'ah (Hons) , Univ. Al-Yarmouk, Jordan
~PhD, Syariah & Islamic Finance, Univ of Wales, United Kingdom ( Candidate)
~Tawliah Berceramah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) No Ruj : pmwp/600/2klt.6(138)
~Tawliah Ceramah , Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
~Ijazah Ilmiah dari Syeikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi


Cara penyampaian beliau dalam menyebarkan ilmu Allah amatlah bersahaja dan amat mudah untuk difahami.

Pelbagai cara boleh dilakukan buat kita semua mencari ilmu agama.Kini dengan telefon mudah alih yang canggih misalannya iPhone, dapat digunakan untuk mencari ilmu.Tiada salahnya melayari Facebook/Twitter dan sebagainya, tetapi adalah lebih baik sekiranya kita gunakan waktu terluang mengisi ilmu di dada lebih-lebih lagi ilmu berkaitan akhirat.

Apapun buat sahabat ain semua, terutamanya yang berminat melayari blogger Islamic ataupun yang masih baru berjinak-jinak berubah ke arah pembacaan Islamic, ain syorkan sahabat semua melayari http://www.zaharuddin.net/. Isteri beliau juga mempunyai blog Islamic nya sendiri iaitu http://www.ummuhusna99.blogspot.com/

Selamat menimba ilmu!!!!


Wednesday, March 9, 2011

8 TAHUN SUDAH




Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain semua.Moga semuanya dalam Rahmat Allah S.W.T. selalu..amin.

Hari ini, 9 Mac 2011 genaplah 8 tahun ain memeluk Islam.Maafkan ain, ain tidak catit pula waktu tu kiranya bulan berapa mengikut kalendar Islam.

Masih segar lagi dalam ingatan sewaktu ain mengucap 2 kalimah syahadah, seluruh tubuh ini berpeluh secara tiba-tiba dan setelah selesai, seperti ada sesuatu yang menarik di kepala.Akhirnya ain rasakan hati ini begitu lapang, rasa nyaman dan tanpa disangka, air mata ini mengalir.Di ketika itu, perasaan sayu tiba-tiba mencengkam jiwa, sambil diiringi seruan azan Magrib.

8 tahun berlalu, dan sepanjang perjalanan ain sebagai seorang muslimah sehingga ke saat ini, bermacam-macam godaan serta dugaan menimpa.Malah, adakala godaan itu mengoncang iman ain sendiri.

Namun, setiap dugaan dan ujian itulah yang mematangkan diri ini.Ujian itulah yang membuatkan diri ini lebih mendekati Allah Yang Maha Penyayang.Ujian itulah yang menyedarkan diri ini setelah tidur terlalu lama.

Sesungguhnya ain bersyukur kerana dikelilingi keluarga yang amat penyayang dan begitu mengambil berat akan diri ini.Sesungguhnya ain bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang begitu memahami akan diri ini yang adakalanya bersikap tidak matang.Dan sesungguhnya ain bersyukur kerana mendapat hidayah daripada Allah S.W.T. dan menjadi salah seorang hambaNya.

Islam itu sebenarnya indah, dan akan lebih indah jika kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. dan sebagai hamba Allah S.W.T. mendokong dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.Alangkah indah andai negara kita juga turut mengamalkan Islam di dalam pentadbirannya.

Sebagai kaum Hawa, sesungguhnya kita amat beruntung kerana dalam Islam itu sendiri telah diberi garis panduan cara hidup dari segi kepentingan aurat wanita serta kedudukannya sendiri di dalam masyarakat.

8 tahun dan masih lagi banyak kekurangan pada diri ini.Adakala timbul rasa takut pada diri ini kerana ilmu yang masih kurang, bagaimana harus ain mengadap Allah andainya ain dipanggil mengadapnya nanti??Masih sempatkah ain tersenyum andai dosa ain lebih berat jika dibandingkan dengan amal yang ain lakukan?

Namun, sebagai hambaNya ain hanya mampu memohon ampun dan berdoa moga diri ini dijauhkan dari perbuatan yang tidak elok dan diberikan hidayah agar terus menjadi hambaNya yang solehah,insyaAllah, amin.

Banyak lagi perkara ain perlu lakukan untuk memperbaiki diri ini.Banyak lagi perkara dan tanggungjawab yang harus ain lakukan sebagai seorang muslimah.Moga saat dan kesempatan yang masih ada ini, dapat ain gunakan sebaik mungkin memperbaiki diri dan menambahkan amal.Moga Allah S.W.T. memudahkan urusan ain, amin.

Monday, March 7, 2011

ADA APA DENGAN KAKTUS???




Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat-sahabat ain sayangi sekalian.

Lihat tak gambar kat atas tu?Gambar ni diambil pagi tadi sewaktu ain bersiap-siap keluar rumah.Pokok kaktus ni ain tanam semenjak tahun 2006 dan semenjak itu pokok ini tidak pernah membesar.Kaktus ni dibeli sewaktu ain bercuti bersama suami di Cameron Highlands.Namun semenjak awal tahun ini, kaktus yang ain biarknnya hidup sendiri tanpa jagaan rutin, membesar dengan begitu sihat sekali.

Boleh dilihat pada pangkal pokok kaktus tu nampak seperti mengecut sahaja.Kaktus ini mula membesar dengan sihat semenjak minggu lepas.Namun apa yang bagus ye ain nak kongsikan disini?Cuba perhatikan betul-betul.Bukankah kaktus ini seakan-akan dalam keadaan rukuk???

Memang benar, mana-mana tumbuhan hidup pasti membesar dan bergerak ke arah cahaya.Namun tiada salahnya kita jadikan tumbuh-tumbuhan hidup ini sebagai iktibar dan suatu pedoman hidup.Tumbuh-tumbuhan bergerak pada arah cahaya demi meneruskan kehidupan ini.

Bagi kita umat Nabi Muhammad S.A.W. dan mengaku bahawa hanya Allah S.W.T.yang satu, diwajibkan menunaikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam.Dan semua umat Islam bersolat pada satu arah, pada satu kiblat yang sama.Iaitu mengadap Kaabah di Kota Suci Mekah.

Maka, apa ain ingin cuba sampaikan adalah, sedangkan tumbuh-tumbuhan itu tahu dimana ia harus bergerak dalam meneruskan kehidupan ini, begitu jugalah kita manusia.Manusia diberikan kelebihan daripada makhluk-makhluk yang lain dan seharusnya kelebihan ini digunakan sebaik mungkin dengan sentiasa meningkatkan amal kepada Allah S.W.T.

Bukankah solat Fardu 5 waktu itu lebih mulia daripada segala aktiviti lain?Mengapa ramai dikalangan kita sanggup meninggalkan solat 5 waktu atas alasan tuntutan kerja?Inilah yang terjadi dan ain lihat sewaktu ain masih bekerja dahulu.Siapalah ain untuk menegur, pasti akan diperkotak-katikkn.

Namun, cara ain diketika itu hanyalah solat mengikut waktu tanpa ada rasa gentar atau takut.Bagi ain, adakala teguran belum tentu dapat mengubah seseorang, namun adakala perlakuan kita menjadi ikutan.InsyaAllah, dengan cara itu Allah S.W.T. pasti membuka pintu hati mereka untuk berubah ke arah kebaikkan.Alhamdulillah, sebelum ain berhenti kerja ketika itu ain lihat beberapa sahabat ain cuba untuk berubah, alhamdulillah.

Ingatlah, solat itu mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. kerana di ketika itu kita sebenarnya sedang berkomunikasi denganNya.Doa ain bukan hanya untuk diri ini, tetapi juga buat umat Islam sekalian agar tidak leka dengan kehidupan duniawi.Ianya hanyalah sementara, kepada Allah jua kita kembali.

Saturday, March 5, 2011

AKU SEORANG SURI RUMAH



Assalamualaikum, sahabat-sahabat ain sayangi sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik-baik belaka,insyaAllah.

Hari ini genap 11 hari ain bergelar suri rumah sepenuh masa.Wah..masih baru lagi, apa yang nak dikongsikan.Apapun, alhamdulillah ain rasa makin tenang semenjak tidak bekerja.Namun, ini tak bermakna ain duduk 'goyang kaki' dirumah.

Pastinya ain gunakan waktu terluang yang ada sebaik mungkin agar tidak dihabiskan begitu sahaja.Masa Itu Emas!InsyaAllah ain akan gunakannya untuk perkara-perkara yang ain tak dapat buat sebelum ini.

Seperti suri rumah yang lain, waktu pagi pastinya ain akan sibukkan diri menyiapkan sarapan untuk suami tersayang sebelum pergi bekerja.Rasa seronok sangat dan bagi ain menjadi satu perkara yang wajib untuk menyediakan walaupun segelas susu buat suami tersayang.Suatu perkara yang ain amat jarang buat ketika bekerja dahulu.

Setelah itu, ain akan menguruskan hal rumahtangga yang tidak akan pernah habis.Bosan??Tiada perkataan bosan, malah ain bersyukur kerana diberikan peluang menjalankan amanah sebagai seorang isteri menjaga harta benda suami sepeninggalannya ke tempat kerja.

Waktu petang biasanya ain akan cuba luangkan masa belajar ilmu agama dikampung berdekatan.Kiranya ain amat beruntung kerana berkebolehan memandu dan mempunyai kenderaan, jadi bukanlah alasan untuk tidak mencari peluang menambah ilmu yang amat cetek ini.Malah, suami sentiasa memberikan galakkan dan dorongan kepada ain.

Blogging antara aktiviti harian ain yang tak mungkin ain tinggalkan.Namun ain akan gunakan waktu siang untuk blogging, dan pada sebelah malam hanyalah waktu berisitirehat bersama suami tersayang.

Seperkara ain pernah lakukan secara sambilan suatu ketika dahulu adalah berniaga secara kecil-kecilan.Jika dahulu ain kurang memberikan sepenuh perhatian terhadap perkara ain minat, kini dapatlah ain gunakan peluang yang ada dengan bisnes yang pernah ain usahakan dan berusaha berniaga dengan lebih gigih lagi.Tak perlulah bergelar usahawan, cukuplah sekadar dapat menambahkan pendapatan keluarga dan membuat simpanan sedikit-sedikit.

Jika dahulu akaun bank ain pasti mencecah 1k ke atas, kini tidak lagi.Setelah bergelar suri rumah ain lebih prihatin dengan hal kewangan keluarga, dan berusaha sebaik mungkin agar tidak boros.Kiranya ain ni bukanlah 'kaki shopping'.Jadi tidaklah terasa seperti kehilangan.

Bagi ain rezeki itu ada di mana-mana, hanya perlu usaha dan yakin kepada Allah S.W.T.Hanya yakin serta tawakal padaNya.Dialah Yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah.InsyaAllah, pasti Allah S.W.T. akan memberikan petunjuk buat hambaNya.Kita sebagai hambaNya, janganlah berputus asa daripada berdoa dan memohon keampunan serta hidayah daripadaNya.

Sampai disini sahaja coretan ain kali ini.InsyaAllah, dimasa akan datang ain akan kongsikan perkembangan perniagaan kecil-kecilan ain.

Wednesday, March 2, 2011

SAKRATUL MAUT

Assalamualaikum, Salam sejahtera sahabat-sahabat ain sekalian.



Pada suatu hari Malaikat Maut pergi kepada Musa A.S. Musa A.S. bertanya, "Adakah kamu datang untuk mengunjungiku atau untuk mencabut rohku?" Ia menjawab, "Aku datang untuk mengambil rohmu." Musa A.S. kembali berkata, "Bolehkah kamu memberi peluang padaku untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anakku?" Ia menjawab, "Tidak ada lagi peluang untuk melakukan itu." Lalu Musa bersujud kepada Tuhan memohon agar Tuhan memerintahkan Izrail memberi peluang kepadanya menyampaikan selamat tinggal kepada anak-anaknnya.Tuhan berkata kepada Izrail, "Berilah peluang pada Musa." Lalu Musa pergi kepada ibunya dan berkata, "Sebentar lagi aku akan melakukan safar(perjalanan panjang)." Ibunya bertanya, "Safar apa?" Musa menjawab, "Perjalanan akhirat." Setelah itu ibunya menangis.

Musa pergi kepada isterinya, anak-anaknya, lalu mereka menghampiri pangkuannya dan menangis.Musa tidak mampu membendung air matanya sehingga turut menangis.Lalu Tuhan bertanya kepada Musa A.S., "Wahai Musa! Kamu akan datang menemui Ku, untuk apa kamu menangis?" "Hatiku bimbangkan anak-anakku." Tuhan berfirman, "Wahai Musa lepaskan hatimu dari mereka.Biarkan Aku menjaga mereka.Biarkan Aku menguruskan mereka dengan cinta Ku."

Setelah itu, baru Musa berasa tenang dan bertanya kepada malaikat, "Dari mana kamu akan mengambil rohku?" Ia menjawab, "Dari mulutmu." Musa berkata, "Adakah kamu akan mengambil roh dari mulut yang suka bermunajat kepada Allah?" Ia menjawab, "Jika begitu, melalui tanganmu." Musa kembali bertanya, "Adakah kamu akan mengambil roh dari tangan yang pernah membawa lembaran-lembaran Taurat?" Ia menjawab lagi, "Jika begitu melalui kakimu." Musa bertanya lagi, "Adakah kamu akan mengambil roh dari kaki yang pernah berjalan untuk bermunajat kepada Allah?" Kemudian Malaikat Maut memberikan limau yang harum kepada Musa A.S. untuk dihidu dan Musa A.S. menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah itu, para malaikat bertanya kepada Musa A.S., "Wahai Nabi yang paling ringan kematiannya, bagaimana rasanya kematian?" Musa menjawab, "Seperti kambing yang disiang hidup-hidup."



#sedangkan Nabi cara kematiannya nampak mudah dan seakan-akan tiada kesakitan sama sekali, inikan pula kita manusia biasa yang sering melakukan kesilapan.
Maka, janganlan dipandang ringan bahawa amalan kita telah mencukupi, sentiasalah merendah diri dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T.

#buku nurkilan DENI SUTAN BAHTIAR- Terbitan Al-Hidayah

Tuesday, March 1, 2011

MASJIDIL HARAM...DAHULU..KINI...

Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat-sahabat ain kasihi.Alhamdulillah syukur kerana diri ini diberikan peluang membuat coretan untuk tatapan kita bersama.Ingin rasanya ain kongsikan gambar-gambar Masjidil Haram suatu ketika dahulu dan kini buat renungan bersama.

Suatu ketika dahulu....









Kini...






#gambar-gambar didapati dari Google

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR