Monday, May 30, 2011

MASIH BELUM TERLEWAT...


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Diharapkan semuanya dalam keadaan ceria dan sihat selalu, amin.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana atas belas kasihNYA, ain masih lagi diberikan kesempatan untuk membuat coretan disini.

Untuk makluman sahabat semua, ain telah pulang bertemu dengan kedua-dua ibu bapa ain semalam.Alhamdulillah, dapat juga ain melihat mereka dan juga anak-anak buah yang amat ain rindui.Bagaimana reaksi mereka, tak perlulah ain ceritakan disini.Apapun yang terjadi, hidup mesti diteruskan dengan penuh semangat!

Mari ain kongsikan sedikit aktiviti ain pagi tadi.Pagi tadi ain selesaikan beberapa urusan penghantaran barang.Setelah itu, ain membuat keputusan untuk ke Balai Islam.Perkara yang telah lama dan sepatutnya ain lakukan sejak dahulu lagi.

Bagi sahabat sekalian yang pernah membaca coretan ain sewaktu ain baru-baru memeluk Islam, ain memeluk Islam sewaktu berusia 18 tahun.Di ketika itu, ain masih lagi belajar di kolej.

Waktu itu, peluang ain untuk menghadiri kelas agama untuk saudara baru amat terbatas.Setelah tamat pengajian di kolej, sebelum berkahwin juga masih terbatas.Namun, setelah ain berkahwin pula ain sibuk dengan pekerjaan ain sebagai jururawat disamping membantu suami dalam perniagaan kecil-kecilan kami.

Pendek kata, ain hanya mengejar hal dunia semata-mata.Hal akhirat, dipandang ringan dan mudah sahaja.Belajar agama ala kadar sahaja.Kiranya cukup-cukup makan saja.Bila dikenangkan kembali, amat rugi diri ini!

Ain amat beruntung kerana masih lagi dipanjangkan umur untuk mendalami ilmu agama sebelum melangkah ke alam kematian.Tanpa bekalan yang mencukupi, tidak mungkin ain akan bergembira di sana nanti.

Ain hanya belajar ilmu agama melalui buku-buku, kuliah di televisyen dan ceramah/kuliah di surau sahaja.Ain tidak pernah menghadiri kelas agama yang formal.Semenjak ain berhenti kerja dan berniqab, ain nekad untuk perbaiki diri ini agar tidak menyesal di kemudian hari.

Pagi tadi ain beranikan diri ke Balai Islam Melaka untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kelas agama buat saudara baru.Alhamdulillah, ain dipertemukan dengan Ustaz Haji Shahrin.Beliau memaklumkan ain bahawa kelas agama untuk saudara baru telah berpindah tempat.Beliau memaklumkan ain tentang jadual dan lokasi yang boleh ain kunjungi untuk mendalami ilmu agama yang amat ain dahagakan selama ini.

Lokasi baru yang dimaksudkan itu terletak kira-kira 30 minit ke 40 minit dari rumah ain.Alhamdulillah, walaupun jauh ain diberikan kebolehan untuk memandu dan mempunyai kenderaan sendiri.Maka, adalah lebih baik ain gunakan kelebihan yang ada dengan sebaik mungkin.

Menurut Ustaz Haji Shahrin, terdapat 4 kelas agama yang berlainan disediakan.Untuk hari Rabu, Jumaat dan Sabtu, kelas bermula selepas solat Magrib dan kelas pada hari Ahad pula bermula pada waktu pagi.Untuk tahu lebih lanjut apa bezanya bagi 4 kelas ini, ain kenalah hadirinya sendiri.

Selagi nyawa dikandung badan, selagi jantung ini masih berdegup, selagi ain masih diberikan kudrat, insyaAllah ain akan gunakan sebaik mungkin.Cakap sahaja tidak gunakan, perlu dilakukan dan perlu diubah kepada tindakan.

Baiklah, sampai disini sahaja setakat ini.InsyaAllah, kita bertemu lagi di coretan akan datang yea.Jaga diri semua..:D

Thursday, May 26, 2011

KEPENATAN


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga semuanya dalam keadaan sihat dan dipermudahkan dalam segala urusan harian, amin.

Agak lama ain tidak mencatit sebarang tulisan di blog ini.Ain sentiasa mengisi masa terluang dengan menyibukkan diri agar tidak terlalu memikirkan emosi dalam diri ini.

Sudah 3 hari ain berkampung di rumah mertua berikutan ibu bapa mertua ain berada di Singapura melawat keluarga di sana.Ain pula menemani nenek dan adik ipar yang tinggal, sambil menguruskan hal-hal rumah.

Maafkan ain yea sahabat semua kerana untuk beberapa waktu ini ain kehilangan idea untuk menulis sesuatu yang boleh dijadikan manfaat bersama.Sekadar berkongsi aktiviti harian ain sahaja dapat ain coretkan disini.

Sambil sibuk membuat kerja-kerja rumah yang takkan pernah habis ini, ain perlu menguruskan penghantaran barang yang dipesan oleh pelanggan.Alhamdulillah, ada juga rezeki dengan bisnes kecilan ain lakukan ini.Walaupun tak banyak, bak kata pepatah; "Usaha Tangga Kejayaan"...hehe...ok kan..

Ain belum lagi pulang bertemu dengan kedua-dua ibu bapa ain.Mungkin ada berpendapat, ain tidak patut melengahkan masa.Ain cuma mengikut pandangan suami ain.Kata suami ain "bila api tengah marak, jangan siram..biar api tu reda dan tinggal bara..baru boleh siram.."

Mungkin benar kata suami, dan memang benar.Beberapa hari lepas ain membuat panggilan kepada ibu ain.Alhamdulillah, perbualan kami seperti tiada apa yang berlaku.Ain juga nyatakan ain ingin pulang berjumpa mereka dan ibu ain mengiyakan kata-kata ain.Alhamdulillah, walau sekadar perbualan biasa ain tetap berasa gembira.Seperti ain dan suami sepakati, ziarah tetap ziarah kerana mereka masih ibu bapa ain.Diterima atau tidak tolak ke tepi.Hanya masa yang sesuai harus dicari barulah kami berjumpa mereka.Emm, kiranya ni api yang sedang dan akan reda tu..sekadar menyedapkan hati..

Berbalik kepada aktiviti harian yang agak padat beberapa hari ini dan gara-gara terlalu menyibukkan diri, akhirnya kesan itu dapat dirasai pada tubuh badan ini.Kepenatan melampau membuatkan ain menjadi keletihan dan berasa lemah sekali.Suami juga menegur kerana melihat wajah ain ini amat pucat dan menasihatkan ain agar tidak terlalu memaksa diri.

Maka, ain istiharkan hari ini adalah waktu rehat untuk diri ini dan hanya melakukan kerja-kerja ringan sahaja.Hehe..istihar untuk diri sendiri je.

Sampai di sini saja ye sahabat semua.InsyaAllah, di coretan akan datang ain akan usahakan berkongsi ilmu bermanfaat untuk kita bersama.Assalamualaikum.

Saturday, May 21, 2011

NIQAB IS MY CHOICE.......


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Sudah sebulan lebih ain berniqab.Alhamdulillah, sepanjang bulan lalu ain gembira dengan niat ain ini.Perasaan tenang sentiasa wujud dalam diri ini berbanding dulu.

Namun bukan mudah untuk ain yang mempunyai gelaran mualaf/muslim revert yang berbangsa Cina untuk berniqab.Ujian yang paling kuat sudah semestinya daripada kedua-dua ibu bapa ain sendiri.Semenjak mereka mendapat tahu ain berniqab, tidak pernah sekali mereka izinkan ain untuk berjumpa.

Hanya panggilan telefon sahaja dapatlah ain mendengar suara mereka.Ain dilarang sekeras-kerasnya agar tidak berniqab.Ain terangkan pada mereka bahawa ain masih boleh membuka wajah di hadapan mereka selagi mana tidak mengganggu.Baru kini ain rasai perasaan bagaimana mualaf yang lain yang selalu kita dengari dibuang keluarga.Baru kini ain faham bagaimana perasaan mereka.Malah, keluarga ain sendiri turut berkata demikian.

Betapa sedih dan peritnya hati ini, hanya pada Allah tempat ain mengadu.Berdosakah ain berniqab, sedangkan ain telah diberikan petunjuk oleh Allah? Berdosakah ain andai dengan beraninya berkata Allah telah tunjukkan ain melalui mimpi untuk berniqab? Berdosakah ain meneruskan keinginan hati setelah mendapat petunjuk daripada Ilahi? Berdosakah ain kerana tidak mengikut perintah ibu bapa yang telah membesarkan ain selama ini? Berdosakah ain kerana telah menyakiti hati mereka?

Ada yang menasihatkan agar ain tidak berpurdah demi menjaga hubungan dengan ibu bapa ain.Ada yang berkata ain tak perlu berniqab jika ibu bapa ain tidak suka.

Tapi bukan itu ain inginkan.Ain harapkan mereka yang berkata itu sama-sama memberikan sokongan dan sama-sama membantu ain untuk berbincang dengan ibu bapa ain dengan berhemah.Terus terang ain katakan ain menjadi tidak tentu arah apabila hasrat ain untuk berniqab dahulunya dilengahkan.

Dan kerana itulah ain segerakan niat ain berniqab setelah mendapat petunjuk daripada Allah.Bukannya untuk menunjuk-nunjuk, kerana niat ain pada Allah semata-mata.

Tiada jawapan yang dapat ain berikan pada persoalan ini.Hanya pada Allah ain berserah di atas segala ketentuanNYA.Apa yang pasti, ain tetap tegas dengan niat ain untuk berniqab selagi mana umur diberikan oleh Allah SWT.

Untuk ibu bapa ain pula, selagi mana mereka berkeras, selagi itu ain akan terus berusaha mendekati mereka sama ada mereka suka atau tidak.Mereka tetap ibu bapa ain walaupun kehadiran ain kini tidak dapat diterima seperti dahulu.

I am muslim women.I have the right to choose what I believe.

BERKENAAN NIQAB/PURDAH



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga urusan sahabat semua sentiasa diberkati Allah SWT.

Di sini, ain ingin berkongsi satu artikel yang dituliskan oleh saudara Azam Qr berkenaan muslimah berniqab.Beliau merupakan seorang penuntut Al-Azhar di Secondary School, di Cairo.

Tujuan ain berkongsi artikel ini adalah kerana beberapa perkara yang disebutkan dalam tulisan beliau hampir sama dengan perasaan ain kini setelah berniqab.Ain telah highlight beberapa baris ayat yang ain suka dalam artkel ini.

nurkilan saudara Azam QR,

Sungguh ketara perbezaan antara muslimah salafussoleh dengan muslimah era moden ini. Dahulu muslimah yang terjaga suci, tidak pernah bergaul dan terlihat wajahnya oleh mana-mana lelaki, tidak pernah diganggu, yang terjaga maruahnya, hampir ada di setiap rumah..Namun kini, muslimah yang boleh digelar 'At-Tahirah'(yang suci) seperti mana digelarnya Sayyidah Khadijah oleh kaum arab dahulu, hampir-hampir pupus, lagi-lagi sejak munculnya laman Facebook ini..

Ramai yang tanya saya tentang isu niqab ini, saya tidak layak sama sekali dek kecetekan ilmu. Bagaimana pun saya akan kongsi kesimpulan dan pencerahan dari pembacaan-pembacaan saya untuk menjawab persoalan sesiapa saja yg bertanya.

Kita blh baca byk di blog2, forum, di buku2 ttg niqab ni, saya takda kudrat nak jelaskan semua dalil dan hadis2 yg sgt byk. Saya hanya kongsi nukilan daif saya di sini sebagai pencerahan dan kesimpulan bagi orang yg masih keliru..

Ya, kita sudah maklum, Ulama dari dahulu hingga sekarang masih khilaf dalam bab niqab ini. Ada yang berpendapat mustahab, harus, dan wajib..

Pada pendapat saya yg faqir dlm ilmu ini, semuanya mengikut keadaan seseorang itu. Hm, jika seseorang itu sering dinganggu terutamanya yang berwajah jelita, maka adalah lebih digalakkan untuknya memakai purdah untuk lebih menjaga dirinya. Sebaliknya bagi yang tidak diganggu, ataupun menetap di tempat yg dihuni org baik-baik, memakai niqab adalah mubah kerana dgn menampakkan wajah fitnah tidak berlaku di situ..

Namun walaubagaimana keadaan ataupun zuruf seseorang itu, dari sudut ganjaran pahalanya semuanya mengikut niat, seperti mana dalam hadis "Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat, dan untuk setiap seorang itu apa yang diniatnya........."(Muttafaq 'Alaih)

Jadi, jika yang diniatkannya itu untuk tajammul (menampakkan kecantikan) contohnya ada sesetengah wanita yang mana apabila dia memakai purdah,baginya dia akan nampak lebih lawa dari tidak memakai purdah kerana matanya yang dihias dan cantik.. maka dia dapatlah apa yg diniatkan itu, iaitu dapat dilihat org kecantikannya dan tidak dapat pahala langsung.. Dan juga contohnya krn kononnya untuk meningkatkan peluang dipinang dan dinikahi lelaki2 soleh, maka tidaklah dia dapat pahala...Sebaliknya jika dia niatkan untuk Allah dan Rasulnya, atau untuk mndekatkan diri kpd Al-Khaliq maka pahalalah yang dia dapat.

Ada juga muslimah yang sangat saya kagumi apabila mengatakan mereka memakai niqab kerana terlalu cintanya mereka pada sebaik2 wanita di sisi Allah, iaitu ummul mukminin(isteri2 Nabi) dan mereka ingin mengikut dan mencontohi segala yg idola mrk buat untuk mendekatkan diri kepada Allah. MasyaAllah, jika wanita yang paling Allah redha dan cinta pakai niqab, takkan kita tidak ingin jadi seperti mereka? Sedangkan artis2 barat kita nak ikut fashion, style dan trendnya, tetapi knp tidak fashion atau stylenya Ummul Mukminin?

Mungkin kita boleh kata orang berniat untuk menunjuk2 apabila memakai niqab, tapi kita tak tahu nurani sebenarnya, mana tahu dia seperti menunjuk di kalangan sahabatnya tapi sebenarnya dia lebih rasa tenang hidupnya dgn berniqab, dgn berniqab dia rasa dirinya makin terjaga. Ya, jika wanita memakai niqab, automatik dia akan rasa malu untuk membuat maksiat, membuat jahat dan keji, seolah2 dlm hatinya berkata "aku pakai purdah takkan nak buat bende ni" jadi, pemakaian zahirnya malah mampu mendidik dan menjaga batin dan nafsunya..

Tapi kini, ada juga yg tetap tidak malu melakukan maksiat, couple dll dikalangan munaqqabah ini.. So mereka itu serupa dgn wanita lain yg tak jaga agama, mrk tidak ikhlas..ya, mereka jahil.. Mereka fikir memakai purdah ini dah dikira wanita solehah dan dah 'menghalalkan' dia untuk berbuat mungkar dan mungkin mereka juga terleka dan terlupa.. Sebab itu pentingnya kerjasama dalam ketaatan dan nasihat-menasihati serta ingat mengingati sesama Islam.. Semoga Allah beri hidayah..

Sekiranya kita lebih selesa dengan tidak memakai purdah, yg mana jika dia memakai purdah, org sisih dia, masyarakat benci dia, dll..maka tidak memakai purdah adalah baik, Islam itu mudah, Allah tidak akan memberatkan kita.. Boleh jadi org yg tak pakai purdah menjadi lebih solehah dari yg pakai purdah, malah ada segelintir yg ingin rasa rendah diri, dia rasa apabila tidak pakai purdah, org ramai kurang menganggapnya sbg org yg baik dan solehah ttp hakikatnya dia ingin kerajaan langit saja yg tahu ttgnya dan sangat menyayanginya.. dia ingin hanya Allah yg tahu ttg dirinya demi menjaga keikhlasannya....Itu juga masyaAllah, niat yg baik juga walaupun agak aneh..

Erk. pakai niqab, tapi memaparkan di facebook? Untuk apa pakai niqab jika sebahagian wajah kita tetap dilihat jutaan lelaki? Wajah wanita itu bukankah hanya istimewa untuk ditatap si suami sahaja? Ikhlaskah orang yang begitu?..

Ya, manusia ini ada macam2 hal, keadaan, dan peribadi.. Tetapi Allah hanya memandang hati.. Allah tidak pandang seseorang itu pada purdahnya, atau pakaiannya, tetapi, nurani dan jiwanya..

Sekarang kita lihat pula pada hati kita dan uruf serta zuruf kita, di mana maslahahnya? adakah pakai purdah lebih byk manfaat dan pahalanya ataupun tidak memakainya lebih byk? Maka pilihlah yang lebih banyak pahalanya dan lebih mendekatkan diri kepada Allah agar lebih beruntung di akhirat kelak..

Kalau kita rasa memakai purdah akan menjerumus diri untuk menunjuk2 dan berasa tidak ikhlas itu tidak blh jd alasan sbb ikhlas itu dtg selepas istiqamah.. mula2 mmg benih ikhlas masih belum subur.. Selepas kita istiqamah pakai purdah baru blh bagi alasan adakah kita makin dekat dgn Allah atau makn mnjauh.. kalau makin mnjauh dr ikhlas, maka elok tgglkan..tapi saya yakin sangat jarang orang yang semakin jauh dari Allah setelah memakai purdah..

Tetapi jika byk masalah, gangguan dan perkara buruk berlaku dgn kita menunjukkan wajah terutamanya pada yg mmpunyai rupa yg manis, maka pemakaian purdah insyaAllah merupakan antara penyebab kita akan lebih selamat, aman dan mndapat penjagaan Allah..

Akhir kata, jangan pernah fikir pandangan orang pada kita, tapi fikirkan pandangan Allah.

Wallahu Ta'ala A'la Wa A'lam..~


# nurkilan daripada saudara AZAM QR


Coretan di atas adalah perkongsian buat sahabiah di luar sana yang musyhkil atau ingin lebih tahu tentang berniqab.Namun, dinasihatkan janganlah diambil bulat-bulat apa yang dikongsikan di sini.Ain harap sahabat dan sahabiah sekalian rujuklah dengan mereka yang arif dan lebih dalam lagi ilmu agamanya.

Diharapkan artikel beliau memberikan manfaat buat kita bersama.Bertemu lagi di coretan akan datang...

Wednesday, May 18, 2011

2 HARI LAGI....


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Apa khabar hari ini?Diharapkan segala urusan sahabat semua sentiasa dipermudahkan yea,amin.

Hari ini 18 May 2011, tinggal 2 hari lagi sebelum 20 May 2011.Emm..ada apa ya?

Tinggal 2 hari lagi, insyaAllah genaplah usia perkahwinan ain selama 5 tahun.Alhamdulillah, hingga ke hari ini Allah SWT memberikan kekuatan dalam kehidupan ain suami isteri, walaupun banyak cabaran dan dugaan yang datang.

Pejam celik, tak sangka Allah memberikan ain dan suami kekuatan untuk bersama sedangkan ada dugaan yang datang itu hampir-hampir memusnahkan hubungan kami.Betapa besarnya ujian yang Allah SWT berikan itu hanya kami berdua rasai bersama.Betapa agungnya kasih sayang Allah pada kami berdua.

Namun, dugaan itulah yang memberikan kesedaran buat diri ain yang bergelar isteri.Ain terbangun dari tidur yang lena selama ini.Ain bangkit akibat kesilapan yang lalu.Akibat dari kesilapan itulah, ada hikmah disebalik semua ini.Dugaan diberikan walaupun berat, rupa-rupanya ada tujuan dan hikmah yang ingin Allah SWT berikan pada ain dan suami.

Alhamdulillah, ikatan perkahwinan kami yang bakal mencecah 5 tahun masih utuh hingga kini.Namun, apalah ada pada angka itu.Apa yang lebih penting, kasih sayang kami semakin bertambah tidak kira masa..Kerana Allah kami bertemu..Kerana Allah hubungan ini masih terjalin...Kerana Allah kami saling mengasihi..ALHAMDULILLAH!

Tiada hadiah yang dapat ain berikan pada suami menjelang hari ulang tahun perkahwinan kami.Hanya doa yang tidak pernah putus buat suami tersayang agar sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan dalam segala urusan dan moga sentiasa ditetapkan iman agar menjadi seorang muslim yang soleh.Hanya itu saja yang dapat ain berikan.Amin.

Bertemu lagi yea di coretan akan datang.

Monday, May 16, 2011

KELEBIHAN BERPAKAIAN LABUH


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga sahabat semuanya dalam keadaan sihat dan sentiasa dipermudahkan dalam segala urusan, amin.

Alhamdulillah sejak diri ini berhijrah daripada zaman jahilliyah, ain berasa lebih tenang dan selesa dengan kehidupan ain kini.Di sini ain ingin berkongsi ketenangan ain rasai dengan berpakaian labuh dan menutup aurat.

Pakaian yang menjadi rutin harian ain kini adalah baju kurung labuh dan abaya atau lebih dikenali sebagai jubah.Tidak lengkap pakaian seseorang muslimah itu tanpa mengenakan tudung labuh.

Apabila ain perlu keluar dari rumah untuk urusan tertentu, ain gemar memakai pakaian labuh terutamanya jubah.Kenapa? Pakaian labuh itu dapat melindungi diri ain agar aurat sentiasa terjaga.Malah, pakaian labuh kebiasaannya adalah longgar, maka telah memenuhi syarat menutup aurat dengan betul iaitu tidak memperlihatkan bentuk tubuh badan kepada yang lain.

Dengan berpakaian labuh, ain dapat bersiap sedia setiap masa jika ain perlu bersolat di luar rumah.Tidak perlu risau jika terlupa membawa telekung atau tidak mempuyai telekung.Cukuplah dengan membawa stoking tangan dan stoking kaki lebih dan disimpan dalam beg tangan setiap masa.InsyaAllah, dengan bertudung dan berbaju labuh serta longgar, mengenakan stoking tangan dan kaki, bolehlah kita menunaikan solat di tempat yang berdekatan.

Secara peribadi, apabila ain berpakaian labuh, ain akan berwaspada dengan tingkah laku ain agar tidak melanggar adab seorang wanita Islam.Ingatan juga buat diri ain bahawa "Allah Melihat Apa Yang Kamu Buat".

Kelebihan lain adalah apabila kita berada dikhalayak ramai, mata-mata kurang tertumpu pada kita kerana kebiasaannya manusia gemar melihat pada kecantikkan.Namun harus diingat, jika berpakaian labuh tetapi masih dapat menarik perhatian orang ramai dengan warna pakaian yang menggoda serta kain digunakan adalah nipis dan make up tebal di muka, samalah juga anda mempertontonkan kecantikkan diri kepada yang lain.Anda tidak harus berasa bangga dan beranggapan bahawa anda sudah menutp aurat.

Nasihat ain disini, tingkatkan ilmu berkenaan aurat wanita Islam.Sentiasa bersikap cerewet dalam pemilihan pakaian menutup aurat, walaupun ianya adalah baju kurung atau jubah.Ini kerana, pasaran pakaian muslimah semakin mendapat tempat tetapi masih tidak menitikberatkan soal menutup aurat dengan betul.

Berhati-hati apabila berkunjung ke butik pakaian muslimah kerana perkataan 'pakaian muslimah' itu mungkin hanya pada nama sahaja.

Rujuk label AURAT & PAKAIAN.Sehingga kita berjumpa lagi di coretan akan datang..

Sunday, May 15, 2011

BISNES AIN

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi di laman blog NUR.

Banyak ingin ain kongsikan bersama sahabat semua.Ain nak mula berkongsi tentang bisnes ain jalankan selama beberapa bulan ni semenjak bergelar suri rumah dan bekerja sendiri ni.Ain harap sahabat semua tidak akan merasa bosan dengan coretan ain ni yea.




Gambar di atas adalah Koleksi Beg Farlisey didatangkan khas dari Indonesia.Sahabat sekalian bolehlah melayari blog ain ini untuk melihat koleksi-koleksi beg yang lain:
http://nurqamraboutique.blogspot.com




Gambar ini pula adalah koleksi beg diaper buat para ibu yang ingin bergaya disamping anak-anak.Jom cuci mata dan lihat koleksi beg diaper yang lain:
http://nurqamraboutique.blogspot.com






Ini adalah Al Quran Digital dan ain pasti ada dikalangan sahabat semua yang pernah melihat atau sudah memiliki Al Quran Digital untuk kegunaan peribadi.


#KELEBIHAN AL QURAN DIGITAL:
~Pen boleh membaca Al Quran khas (bacaan ayat demi ayat)
~Boleh gunakan Al Quran biasa.Pen perlu sentuh indeks surah. (bacaan surah demi surah)

#Bacaan qari terkenal (boleh set qari pilihan anda sendiri mengikut kehendak)
* Sheikh Al - Hudaifi
* Sheikh Saad Al - Ghamidi
*Sheikh Abdul Rahman As-Sudais

#Terjemahan (boleh set English/Malay)
~Pen boleh terjemah setiap ayat Al Quran

#Kad Sentuh
~Indeks Surah
~Doa-doa harian
~doa-doa haji dan umrah

#Memori
~2GB (boleh muat 500 file format MP3)
~Pen boleh sambung ke komputer dengan kabel USB

#Audio
~Built in speaker
~Earphone

Terdapat 2 jenis set.

SET 1 : RECHARGABLE AL QURAN
HARGA JUAL : RM 350


*PEN ELEKTRONIK
*AL QURAN KHAS
*MUQADDAM
*EARPHONE
*CABEL USB
*KAD SENTUH
*MANUAL
*PENGECAS (CHARGER)

SET 2 : AL QURAN BERBATERI
HARGA JUAL : RM 330


*PEN ELEKTRONIK
*AL QURAN KHAS
*MUQADDAM
*EARPHONE
*CABEL USB
*KAD SENTUH
*MANUAL
*BATERI AAA

BAGI ANDA YANG BERMINAT SILA HUBUNGI AIN:

SMS/TEL : 016 665 7783
EMAIL : nurainvivian@gmail.com





Dan yang terakhir sekali adalah bisnes abaya yang bermula daripada minat ain memakai abaya.Kini ain gunakan minat ain itu untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat muslimah sekalian, juga dengan harapan pakaian menutup aurat ini diminati ramai.

Buat sahabat muslimah yang berminat untuk mengetahui koleksi abaya terbaru, bolehlah melayari blog ain ini:
http://nurabayaboutique.blogspot.com

Setakat ini sahaja yea.InsyaAllah, kita bertemu lagi di coretan akan datang.

Tuesday, May 10, 2011

SAMPAIKAN......


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain semua.

Baru-baru ini, heboh diperkatakan mengenai isu segolongan tertentu ingin menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara.Namun, bukan isu itu yang ain ingin bahaskan disini.

Apabila agama lain ingin menjadikan agama mereka sebagai agama rasmi negara, kenapa kita yang beragama Islam baru sekarang rasa resah dan tidak puas hati?Adakah kerana agama Islam adalah agama majoriti penduduk Malaysia dan sudah berabad lama agama Islam menjadi agama rasmi, maka adalah tidak wajar agama lain ingin menggantikan agama ini??Kenapa baru sekarang berkobar-kobar masyarakat Islam mempertahankan agamanya sedangkan tidak berlaku sebelum ini???

Maafkan ain jika ada yang berasa sensitif dengan hujah ain disini.Ain cuma ingin sahabat semua berfikir; Apa yang sudah kita buat sebagai seorang yang beragama Islam?Apa yang sudah kita buat untuk Islam?Apa yang sudah kita buat untuk Allah?

Untuk yang mengaku dirinya wanita Islam:

Jika anda mengaku anda orang Islam dan benci mereka yang menghina agama suci ini, kenapa masih berpakaian mendedahkan lekuk tubuh?Kenapa masih mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat?Kenapa masih berbangga dengan pakaian yang menjolok mata?Kenapa masih leka dengan fesyen yang dikatakan 'up to date'??? Bukankah fesyen sedemikian menggambarkan masyarakat yang masih jauh ketinggalan dan masih di zaman jahilliyah?

Jika anda mengaku sayang dan cintakan Allah, maka jangan berdolak dalik dalam mempertahankan hukum Allah ini.Fikirkanlah apabila ingin berpakaian.ambil masa sejenak dan berfikir, "Adakah aku berpakaian yang diredhai Allah?","Adakah aku kelihatan cantik di mata Allah?"..

Untuk yang mengaku dirinya lelaki Islam:

Jika anda bergelar suami dan seorang bapa kepada seorang/lebih anak perempuan, adakah anda mengaku diri anda Islam dan cintakan Allah, andai membiarkan isteri dan anak-anak perempuan anda berpakaian yang mendedahkan aurat?Bukankah tanggungjawab anda adalah sebagai pemimpin keluarga?Maka, dimana letaknya tanggungjawab anda itu?

Apa yang ain coretkan di atas ini, merupakan sebahagian sahaja sedangkan masih banyak perkara lagi yang boleh diperkatakan.Misalnya solat 5 waktu itu sendiri, adakah kita telah melaksanakannya dengan sebaik mungkin atau sekadar sambil lewa sahaja?Namun, bukan semua dapat ain sampaikan di sini.

Janganlah berpendapat bahawa perjuangan Islam hanya untuk golongan tertentu sahaja.Perjuangan Islam hanya untuk yang bergelar ustaz/ustazah atau ulama semata-mata.Memang benar, mereka lebih berpengetahuan dan mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang masing-masing.

Namun, harus diingat ilmu yang kita ada walau sekecil semut sekalipun jika tidak diamalkan dan dipraktikkan serta tidak disampaikan dengan sebaik mungkin, apalah guna kita bernama Islam, andai sekadar pada nama sahaja.Untuk apa ilmu yang ada jika lokek untuk berkongsi ilmu.

Ain katakan berdasarkan pengalaman dan secara umum yang berlaku dalam masyarakat Islam itu sendiri.Apabila ada persoalan agama diajukan, jawapan mudah sahaja..'rujuklah ustaz'..namun jika berlaku kesilapan ditegur pula..'tak tahu tak nak tanya'...Paling tidak pun akan digelar...'tengok tu ustazah datang'...takpelah, ain aminkan aje.

Nampakkan mentaliti masyarakat Islam, hanya segelintir sahaja yang ain maksudkan disini.Bila cara berpakaian kita juga dilabelkan hanya untuk para ustazah itu, sudah tentu tidak benar sama sekali.Paling ain kurang gemar adalah 'macam ARQAM'..gara-gara penampilan ain yang berniqab.Bukti betapa sempitnya fikiran sebegini.

Secara ringkas yang dapat ain katakan adalah, semua umat Islam bertanggungjawab antara satu sama lain.Jika melihat perkara yang melanggar perintah Allah, maka tegurlah dengan cara yang berhemah.Bukan hanya tunggu dan lihat.Jika melihat sesuatu perkara itu boleh menimbulkan kemarahan Allah, maka hindarkanlah dan lakukan sesuatu agar perkara itu tidak berterusan.

Apapun, bagi mereka yang berasa tergugat akan keberanian agama lain yang ingin menjadikan agama mereka agama rasmi Malaysia suatu hari nanti, syabas kerana anda berjuang mempertahankan agama Allah ini.Namun persoalan yang timbul...Adakah anda benar-benar berjuang untuk Islam dalam kehidupan seharian? Adakah anda memperjuangkan hukum Allah dalam kehidupan sehari-hari??? Fikirkan...


Firman Allah di dalam Al-Quran;
“Sesungguhnya tanggugjawabmu hanyalah untuk meyampaikan.”

Nabi Muhammad SAW pernah berkata;
"Sampaikan olehmu walaupun sepotong ayat.."

Friday, May 6, 2011

PENAWAR MARAH


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik sahaja, amin.

Hari ini ain kongsikan lagi ilmu ain dapati melalui rancangan Al-Kuliyah.Moga ada input yang boleh dijadikan pengajaran dan ingatan bersama.Tajuk yang dibincangkan kali ini disampaikan oleh Ustaz Mohd Sukki Othman adalah berkenaan Penawar Marah.

Seseorang yang dikatakan kuat itu tidak diukur dari segi luaran, tetapi seseorang yang dikatakan kuat itu diukur dari segi ketahanannya menahan perasaan marah(dalaman).

Ain sendiri pernah berasa marah dan adakala perasaan marah itu tidak terkawal.Apa yang dapat kita lihat, mereka yang dalam keadaan marah atau mempunyai sifat cepat marah ini sering bersikap di luar batasan fikiran.

Banyak kes-kes kita dengar, kita baca dan kita lihat di media massa misalnya, berlaku kes pembunuhan, penderaan dan banyak lagi akibat perasaan marah ini.Tindak-tanduk kita boleh jadi menjadi ganas apabila perasaan marah menguasai diri.

Begitu juga dengan percakapan seseorang dalam keadaan marah yang gemar mencaci, memaki hamun, dan menghina orang lain tanpa memikirkan kesannya.Perasaan marah diiringi dengan rasa dendam dan benci ini pasti merosakkan hati serta diri sendiri.

Perasaan marah yang menguasai segala perilaku kita seharian, boleh menjuruskan seseorang itu lalai dan lupa tanggungjawabnya pada Allah SWT.Hati menjadi tidak tenang, fikiran bercelaru dan keputusan yang diambil hanya mengikut nafsu semata-mata.

Ustaz Mohd Sukki Othman menerangkan, terdapat 2 jenis sifat marah.Pertama, marah yang terpuji dan kedua, marah yang tercela.

Marah yang tercela adalah seperti yang dinyatakan tadi.Marah yang terpuji adalah apabila perasaan marah itu timbul melihat kemungkaran di depan mata seperti zina, masalah aurat yang tidak sempurna dan agama Islam dihina misalnya.Maka, dari perasaan marah terpuji ini harus diubah kepada tindakan misalnya dengan memberikan teguran terhadap perkara yang mungkar itu.

Maka, apa Penawar untuk Marah???

Di sini ain ringkaskan daripada apa yang Ustaz Mohd Sukki sampaikan.

~sentiasalah mengingati Allah SWT
~banyakkan berzikir agar hati menjadi tenang kerana berzikir mendekatkan diri padaNya
~banyakkan beristigfar apabila timbul rasa marah dalam diri
~cari ilmu agama dan amalkan ilmu yang dimiliki
~banyakkan membaca Al-Quran

~sentiasalah memohon keampunan daripada Allah SWT dan berdoa padaNya agar diri dijauhkan dari sifat marah yang boleh merosakkan diri sendiri

Beliau turut mengingatkan, tiada salahnya mempunyai perasaan marah tetapi haruslah dikawal dangan baik.

Rasanya banyak lagi cara yang boleh dikongsikan disini.Bagi sahabat ain sekalian, sudilah kiranya berkongsi idea atau ilmu anda di ruang komen nanti.

Sampai di sini sahaja yea sahabat semua.Moga kita berjumpa lagi di coretan akan datang.InsyaAllah.

Thursday, May 5, 2011

YA ALLAH...


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga kalian semuanya dalam keadaan sihat dan dirahmati Allah SWT selalu, amin.

Ya Allah...

kuatkanlah hati ini menerima dugaan daripada Mu

Ya Allah...

sesungguhnya aku syukuri nikmat kesedihan ini

Ya Allah...

bantulah aku dengan petunjuk daripada Mu

Ya Allah...

maafkanlah aku andai selalu menyakiti hati Mu

Ya Allah...

hanya kepada Mu aku memohon

Ya Allah...

hanya kepada Mu aku berserah

Ya Allah...

bimbinglah aku...pimpinlah aku...

Ya Allah

hanya pada Mu ku panjatkan rasa syukur atas nikmat kesedihan ini...amin.

Setiap kali apabila kita dibelenggu kesedihan, janganlah sesekali merungut.Banyakkan bersabar dan banyakkanlah mengingati Allah SWT.Adalah lebih baik sentiasa mengingati Allah tidak kira di masa senang/susah.

InsyaAllah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang dan masalah kita semakin dipermudahkan.

Bertemu lagi di coretan akan datang.

Monday, May 2, 2011

MENGHAYATI NIKMAT


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain semua.Moga semuanya dalam keadaan sihat selalu.

Baru-baru ini ain menonton rancangan 'Tanyalah Ustaz' di TV9.Kali ini kuliah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Abdullah, seorang Pengamal Undang-Undang Syariah.Tajuk yang beliau sampaikan adalah berkenaan 'Menghayati Nikmat'.

Di sini ain rumuskan secara ringkas daripada kuliah yang beliau sampaikan itu untuk ingatan kita bersama dan juga ingatan buat diri ain sendiri.

Ustaz Muhammad Abdullah menyatakan perkataan 'Nikmat' berasal dari bahasa arab, bermaksud apa-apa yang memberi kesedapan kepada manusia, dinamakan nikmat.

Menurut beliau, terdapat 5 jenis nikmat:

Nikmat Asasiah

Nikmat Asasiah di sini bermaksud segala keperluan yang diperlukan oleh manusia di muka bumi ini.Antaranya makan minum, tempat berteduh dan oksigen.

Nikmat Hidup Berkeluarga

Perasaan kasih dan sayang yang terjalin dalam sesebuah keluarga dapat mewujudkan perasaan tenteram.Maka hargailah keluarga yang berada disisi.

Nikmat Kesihatan

Kesihatan yang baik adalah kurniaan daripada Allah SWT.Maka hargailah anggota tubuh badan kita dengan menjaganya dengan baik.

Nikmat Akal

Nikmat Akal yang dkurniakan Allah SWT membolehkan manusia memperoleh ilmu yang merupakan kesedapan kehidupan.

Nikmat Iman

Akhir sekali, apabila kita beriman dengan sentiasa mengingati Allah SWT, hati sentiasa berasa tenang.

Ustaz Muhammad ada menyebutkan tentang seseorang yang khufur nikmat.Khufur nikmat disini bermaksud seseorang yang menutup hatinya dengan tidak mengiktiraf nikmat diperolehnya di dunia ini dengan tidak pernah rasa bersyukur.

Tambah Ustaz lagi, seseorang yang sukar merasakan nikmat dan tidak tahu bersyukur itu adalah kerana hatinya tidak bersih.Maka perbanyakkan beristigfar.

Manusia hanya perlu berusaha, nikmat yang diberikan Allah SWT tetap ada walaupun kecil.Manusia yang benar-benar ikhlas dan sentiasa bersabar dalam segala usaha dilakukan semata-mata kerana Allah SWT, dan jika telah berusaha sedaya mungkin, namun masih tidak memperolehi hasil, hatinya tetap tenang dan tidak akan pernah merungut.Bagi mereka ini, Allah SWT tetap memberikan nikmat untuknya walaupun perkara diusahakan tidak membuahkan hasil diketika itu, tetapi tidak mustahil Allah SWT akan memberikan hasilnya kemudian.

Bagaimana untuk mendapatkan nikmat??? Inilah yang Ustaz Muhammad sampaikan...

~Berusaha untuk mendapatkan nikmat

Ustaz Muhammad menerangkan, apabila kita telah selesai sesuatu usaha itu, maka mulakan usaha yang baru.Jangan berputus asa jika usaha itu masih tidak memperolehi hasil.Teruskan dan sentiasalah mengingati Allah atas setiap usaha dilakukan.

Sentiasa berusaha mencari dan menambahkan ilmu agama dengan menghadiri kelas atau majlis ilmu.Dengan ilmu agama yang bertambah, maka kita akan menjadi manusia yang sering bersyukur.Misalannya, untuk menjadi seorang isteri solehah perlulah si isteri itu mencari dan menambah ilmu.

~Memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain.

Berikan kemaafan dengan seikhlas hati agar tidak timbul perasaan dendam atau benci.

~Melakukan perkara yang wajib, selalu amalkan sunat dan meninggalkan segala larangan serta yang haram.

Ustaz Muhammad berpesan agar tidak meninggalkan perkara wajib seperti solat 5 waktu dan jauhi perkara yang tidak disukai Allah seperti zina.

~Sentiasa menjaga keyakinan dan kepercayaan kita terhadap Allah SWT.

Jauhi diri daripada menyekutukan Allah SWT dan tidak meminta pertolongan kepada makhluk lain selain daripada Allah SWT.

~Sentiasalah istiqamah (konsisten) dalam mengerjakan ibadah

Sentiasalah menjaga solat 5 waktu sehari semalam dan tidak lalai dengan kewajipan sebagai seorang muslim/muslimah.Kerjakanlah solat tidak kira di masa senang atau susah.

~Berdoa kepada Allah SWT

Jangan pernah putus asa dalam berdoa.Perlu yakin dan percaya kepada Allah SWT dalam setiap doa yang kita ucapkan kepadaNYA.

~Berbuat baik sesama manusia

Sentiasalah ikhlaskan hati apabila berurusan dengan sesama manusia dengan tidak meletakkan harapan agar jasa baik kita dibalas.Letakkanlah harapan kepada Allah SWT, insyaAllah ganjaran yang lebih besar akan kita perolehi kelak.

Ustaz Muhammad Abdullah mengingatkan dunia adalah tempat untuk bersusah-payah, di akhirat jua tempat kita bersenang-lenang.Agar kita sentiasa menjadi seorang hambaNya yang bersyukur, cerminlah kehinaan diri sendiri dihadapan Allah SWT.



# moga coretan ini menjadikan kita seorang hamba Nya yang sering bersyukur...amin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR