Saturday, July 30, 2011

MUNGKINKAH ESOK MASIH ADA...


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain kasihi sekalian.Moga sahabat sekalian dalam keadaan baik-baik selalu, aamiin.

InsyaAllah, hari ini adalah hari terakhir bulan Syaaban sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan yang mulia bagi umat Islam.Dan hari ini juga, bagi yang berkesempatan dapatlah menunaikan solat terawih tidak kira secara berjemaah atau sendirian, insyaAllah.

Sering kita lihat, dan sering ain perhatikan bulan Ramadhan ramai diantara kita yang di awal Ramadhan bersemangat dalam berpuasa dan melakukan solat terawih.Malah, tak kurang juga bersemangat dalam menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.Bazaar-bazaar Ramadhan juga tidak kurang menjual pelbagai jenis juadah berbuka bagi mereka yang sibuk dalam tugasan seharian dan hanya sempat berbuka dengan lauk dibeli.

Namun begitu, selain menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ada juga diantara kita sudah merancang persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.Amat mudah dilihat kerana ada saja banner yang mengiklankan jualan masing-masing yang berbunyi seperti ini, "Jualan Promosi Besar-besaran Sempena Aidilfitri Kembali".

Pengaruh iklan yang kuat tidak kira di kaca televisyen mahupun di tempat umum pasti mengusik mata-mata yang memandang.Bagi yang sememangnya peminat jualan murah, sudah pasti tidak mahu ketinggalan.

Apapun di bulan Ramadhan ini seharusnya kita sebagai umat Islam menghayati bulan mulia ini dengan penuh keinsafan dan muhasabah diri.Hargai nikmat pemberian Allah SWT kerana masih memberikan kita kesempatan untuk menjalani ibadah di bulan ini, di mana setiap amalan kita akan dilipatgandakan.

Bulan Ramadhan adalah bulan mendidik diri menjadi hamba NYA yang berjiwa luhur dan ingin berubah ke arah kebaikkan, ke arah diredhai Allah SWT.Bersyukurlah kita semua kerana masih diberikan kesempatan melayari bahtera kehidupan ini dengan penuh nikmat dan rahmat dari Allah SWT.Bersyukurlah kita kerana masih diberikan kesempatan untuk bertaubat dan berubah sedangkan ada hamba NYA yang telah pergi awal sebelum sempat berbuat apa-apa.

Mungkinkah esok masih ada??? Mungkinkah esok masih ada kesempatan untuk kita berubah??? Mungkinkah esok masih ada untuk kita bertaubat atas segala kesilapan yang lalu??? Mungkinkah esok masih ada untuk kita beramal untuk Allah??? Mungkinkah esok masih ada untuk kita menambahkan amal sebagai bekalan untuk ke
akhirat kelak??? Mungkinkah esok masih ada untuk kita menagih cinta Allah yang suci???


Gunakanlah peluang dan kesempatan yang ada ini sebaik mungkin.Jangan dipersiakan segala saat diberikan ini dengan perkara yang sia-sia.Hayati dan hargailah nikmat kehidupan ini seakan-akan kita akan mengadap Ilahi pada bila-bila masa saja.Jadilah hamba NYA yang sering bersyukur dengan sentiasa melakukan amal kebaikkan dan menjauhi segala larangan NYA.

Sempena Ramadhan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, gunakanlah ia sebagai titik tolak untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.Lakukanlah amal ibadah di bulan Ramadhan ini dengan penuh rasa keinsafan dan keikhlasan semata-mata kerana Allah.Dekatkan diri ke masjid-masjid atau surau-surau berdekatan walau hanya bersolat terrawih sekalipun bagi memberikan semangat dan menimbulkan keinsafan dalam diri sendiri.Tanamkan niat dalam diri untuk berubah hanya untuk Allah dan bukan selainnya.InsyaAllah,

Lakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh dan penuh penghayatan.Tidak kira solat wajib sekalipun, buatlah secara bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT.Ikhlaskan diri hanya pada NYA.InsyaAllah, amal kebaikkan yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini akan kita teruskan walaupun bulan Ramadhan sudah berakhir.

Nak tahu keistimewaan Allah SWT berikan di bulan Ramadhan??? Rujuk label Islam di bawah tajuk, 10 KEISTIMEWAAN BERPUASA KURNIAAN ALLAH DI BULAN RAMADHAN

Di sini ain ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar tulisan selama ain menulis di alam maya.Salam Ramadhan daripada ain buat sahabat ain kasihi semua.

InsyaAllah, bertemu lagi di coretan akan datang.

Thursday, July 28, 2011

DUNIA TEKNOLOGI


Ada kisah yang ingin ku kongsi,
Kisah mengenai dunia teknologi,
Bagi yang tidak tahu apa itu FB,
Mohon Google search dengan sendiri.

Kawan-kawanku ramai yang ada FB,
Ku kenali di sekolah rendah hinggalah Universiti,
Mudah bagi kami untuk berkomunikasi,
Semuanya terletak dihujung jari.

Pelbagai usia pengguna FB,
Tak kira tua, dewasa dan remaja muda mudi,
Bila ditanya tujuan buat FB,
Jawabnya banyak ilmu hendak dikongsi.

Bagusnya jika bijak menggunakan FB ,
Dapatlah saling berkongsi ilmu buat diri,
Namun yang hairannya lain yang jadi,
Ilmu tidak dikongsi, dosa yang dicari.

Bukankah tujuan hidup duniawi,
Banyakkan ibadah untuk bekalan diri,
Tapi sayangnya manusia zaman kini,
Dosa yang sudah banyak ditambah lagi.

Salah guna FB memakan diri,
Maksiat berganda dimurkai Ilahi,
Antara punca pergaduhan suami isteri,
FB digunakan dengan tujuan tak bererti.

Zaman sekarang melalui FB,
Ramai yang berkenalan dengan kekasih hati,
Wajah-wajah yang menawan mencuri hati,
Entahkan sama di alam realiti???

Yang hangat bercinta buat ayat geli-geli,
I love you, I miss you di wall post setiap hari,
Kata update status via Blackberry,
Takkan lah dah tak ada kredit nak SMS lagi???

Dinding pula penuh dengan luahan hati,
Mencarut di status tidak sedar diri,
Lebih malu sekiranya si gadis yang memaki,
Merendahkan martabat si empunya diri.
Gunalah FB untuk saling menasihati,
Kongsilah ilmu-ilmu yang diketahui,
Bukan sahaja anda berbakti,
Pahala yang dicari pasti menanti.

Selitkan ayat-ayat Quran dan hadis Nabi,
Jadikan status di wall FB,
Carilah kalam-kalam hikmah yang mendidik diri,
Moga dapat menjadi penghias diri.

Ataupun, uploadlah video dan CD,
Masukkan link tazkirah di dinding FB,
Mudah dikongsi, ilmu pun diperolehi,
Untuk dijadikan bekalan ukrahwi.

Wahai muslim mukmin sejati,
Marilah bersama kita bersatu hati,
Ikutilah sunnah perjuangan nabi,
Dakwah diberi, nikmat dikecapi.

Sampai disini kisahku kali ini,
Moga sedikit sebanyak dapat mencuit hati,
Tidak rugi memanfaatkan teknologi,
Jauhkan diri daripada godaan duniawi.

Maaf andai ada yang terhiris hati,
saya sekadar ingin menasihati,
Salam ukhwah tetap dihati,
Hingga kita bertemu lagi.

# nurkilan dipetik dari seorang sahabat, Nor Azita Idris.

Wednesday, July 27, 2011

Nightmares stopped after reading Quran


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Alhamdulillah bertemu kita lagi di alam maya ini.

Petang tadi ain terlihat satu video di youtube tentang seorang saudara muslim bagaimana perjalanan hidupnya dalam mengenal Allah SWT..perjalanan hidupnya dalam mengenal Al Quran.

SubhanAllah! Allahuakhbar! Betapa besarnya kuasa Allah dan betapa indahnya hidayah yang Allah berikan pada saudara muslim ini dalam keadaan dan suasana yang amat berbeza.Maha Suci Allah, hanya Allah Maha Mengetahui kepada siapa hamba NYA yang layak untuk diberikan petunjuk.

Dengan hanya mendapatkan senaskah Al-Quran dan membacanya selama berjam-jam, satu muka surat ke satu muka surat, akhirnya dengan izin Allah SWT saudara ini memilih Islam sebagai jalan hidupnya, jalan yang diredhai Allah SWT.

Sama-sama kita dengar temubual dalam video ini dan hayati dengan penuh rasa keinsafan.


10 KEISTIMEWAAN BERPUASA KURNIAAN ALLAH DI BULAN RAMADHAN

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik-baik selalu.

Tinggal 4 hari lagi sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan, insyaAllah.Ingin rasanya ain berkongsi sesuatu bersempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini.Alhamdulillah, ain dapat berkongsi ilmu dengan seorang ustaz di alam maya.Di sini ain hanya "copy & paste" sahaja nurkilan daripada Ustaz Abu Basyer.

Daripada Ustaz Abu Basyer:

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. “ (Surah al-Baqarah ayat 183)


Dari Abu Hurairah katanya Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
(Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasa'i dan Baihaqi)


Marilah sama-sama kita menanti kedatangan Ramadan dengan hati yang suci dan mengharapkan keredaan Allah SWT. Terdapat banyak hikmah dan kebaikan ibadah puasa yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang difardukan oleh Allah SWT, semoga dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah puasa ini akan menambahkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah SWT, di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu syurga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa ( puasa zahir dan batin).

Nabi SAW bersabda dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadan, maka tidak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).


Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad SAW sebagai benteng yang kokoh dari siksa api neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu. Dalam hal ini Nabi SAW bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari seksa api neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi).


Nabi SAW. menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan mengumpat. (Hadis Riwayat Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada orang yang puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak kasturi. Sehingga Nabi SAW bersabda maksudnya "Maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi orang yang puasa iaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam santapan bukanya melahirkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menempa kesihatan dan kesembuhan dari berbagai penyakit. “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat.”
(Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).


Sayyid Muhammad menegaskan bahawa rahasia kesihatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan bahan-bahan kotor lainnya dari dalam tubuh.
Menurut pandangan beliau puasa ialah cara mendapatkan kesihatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketakwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al Baqarah ayat 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah berikan kepada orang yang puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari seksa api neraka. Matanya tidak akan sampai melihat seksaan api neraka dalam bentuk apapun juga. Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya : “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.”
(Surah At Taubah ayat 112).


Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (as-saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) kepada Allah. Makna lawatan, tegas beliau, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) boleh sampai kepada Allah. Lawatan kepada Allah ditandai dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilaksanakan (contoh makan, minum, mendatangi isteri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sayyid Muhammad cuba mentafsirkan ayat 10 dalam Surah Az Zumar : “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

Orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tidak terhitung banyaknya dari Zat Yang Maha Pemberi, Allah SWT.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerana orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah.

Dalam satu hadis riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, Nabi SAW bersabda maksudny : “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan doanya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama seperti dengan orang yang berpuasa itu sendiri walaupun dengan sepotong roti atau seteguk air. Dalam satu riwayat Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)

Malaikat meminta ampun kepada Allah SWT untuk orang yang menjamu makanan dan minuman untuk orang yang berpuasa. Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadan meski hanya seteguk air. (Hadis Riwayat Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjemaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan berselawat (memintakan ampunan) baginya.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah kita menghayati 10 keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa dengan ikhlas semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Di harapkan sampai di akhir bulan Ramadan, semua dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah SWT., dapat pembebasan daripada api neraka dan memperolehi takwa kepada Allah SWT.




Buat sahabat-sahabat ain kasihi sekalian, Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dengan penuh kesyukuran dan penuh kerahmatan.Moga Ramadhan kali ini membawa seribu satu pengertian dan keinsafan buat kita semua.Moga Ramadhan kali ini kita hayati dan selami dengan sepenuh hati sanubari kita semata-mata ingin mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Di sini ain ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan dan keburukkan ain tidak kira yang terlihat atau tanpa ain sedari.Moga sama-sama kita hadirkan diri dengan penuh keinsafan pada bulan yang penuh bermakna ini..Salam sayang ain buat sahabat semua semata-mata kerana Allah SWT.

Monday, July 25, 2011

ISTIQAMAH DALAM MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga segala urusan sahabat sentiasa dipermudahkan Allah SWT.

Dalam meniti kehidupan ini, setiap hari pasti ada ujian yang datang tanpa kita sedari, dan tidak terduga oleh benak fikiran manusia itu sendiri.Adakala kita merasakan kita telah berusaha untuk berubah ke arah kebaikkan, namun kita rasakan kita masih sama saja seperti dahulu.

Kita hanya manusia biasa yang tidak pernah lari dari kesilapan.Kita hanya manusia biasa yang diciptakan di dunia ini untuk menerima ujian dan godaan.Tiada siapa yang dapat mengelak dan mempertikaikan sesuatu musibah yang terjadi dalam kehidupan seseorang itu kerana semua itu adalah di luar kekuasaan kita dan hanya Allah SWT Maha Mengetahui akan segala sesuatu baik buruk sesuatu kejadian yang menimpa.

Setiap daripada kita pasti pernah berbuat silap, pasti pernah melakukan kesalahan tidak kira dari dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa sekecil zarah sekalipun.Kita takkan terlepas dari berbuat kemungkaran.Setiap daripada kita akan melaluinya dalam perjalanan kita sebagai hamba di muka bumi ini.

Ada yang bertanya dan sering bertanya, 'Bagaimana untuk terus istiqamah dalam bertaubat? Bagaimana untuk kuatkan diri hadapi liku-liku kehidupan ini dengan dibayangi kisah-kisah silam? Bagaimana sedangkan diri sendiri masih bercelaru? Bagaimana???

Soalan yang diajukan ini pernah menghantui diri ini suatu ketika dahulu, dan kini ain ditanyakan kembali soalan sebegini.Apapun ain hanya coretkan melalui pengalaman diri dan daripada ilmu-ilmu ain catit sepanjang perjalanan ain mencari keredhaan Allah SWT.

Belajarlah untuk memaafkan diri sendiri atas segala yang berlaku kerana ia sudah pun terjadi.Tiada gunanya asyik menyalahkan diri sendiri sepanjang waktu kerana perasaan bersalah dan terus menyalahkan diri akan terus membantutkan usaha kita memperbaiki diri sendiri.Perasaan tidak dapat memaafkan diri ini hanya akan membuatkan kita hanya berfikiran dan berperasaan negatif sahaja.Maka akhirnya nanti, kita tidak berusaha untuk berubah ke arah kebaikkan akibat perasaan negatif sebegini.

Belajar dari kesilapan. Belajar untuk tidak mengulang perkara yang sama di masa akan datang, belajar untuk tidak 'repeat' perkara yang sama di episod kehidupan yang akan datang.Setelah melalui kesilapan atau melibatkan diri dalam sesuatu kemungkaran itu, belajarlah untuk tegaskan diri, ingatkan diri agar mengelak daripada mendekatkan diri terhadap sesuatu yang boleh menjuruskan diri kita ke arah kemungkaran.Jauhkan diri dalam situasi yang boleh menggerakkan kita ke arah yang negatif.Misalannya, kini ramai anak-anak muda remaja mahupun orang dewasa gemar dengan budaya 'dating'.Sedangkan budaya 'dating' itu sendiri menjurus kita ke arah perbuatan zina, maka wajiblah kita menjauhi suasana sebegitu.

Sentiasalah bermuhasabah diri setiap waktu.Muhasabah diri selalu dan bukan hanya apabila kita telah berbuat salah semata-mata.Adakala kesilapan atau dosa yang kita buat kita sendiri tidak nampak atau tidak kita ketahui.Maka, muhasabah diri penting dalam menilai diri semula sebagai hamba Allah.Cerminlah diri kita dahulu sebelum kita pertikaikan tindak tanduk orang lain.Cerminlah kesilapan diri selalu agar kita berwaspada dalam kehidupan ini agar tidak tergelincir dari landasan Islam.Muhasabah diri selalu sebagai hamba Allah yang benar-benar mengharapkan kasih sayang Allah SWT semata-mata.Maka, apabila kita berharap pada Rahmat Allah, pasti kita sentiasa berhati-hati dan menilai semula amalan diri setiap waktu.

Bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat memohon keampunan dan kemaafan daripada Allah SWT.Hanya taubat yang benar-benar ikhlas dengan penuh pengharapan kepada Allah semata-mata dapat melahirkan hamba yang hanya bergantung harap pada Allah selalu dan bukan pada yang lain selain NYA.Allah Maha Mendengar rintihan hamba NYA yang benar-benar menyesal atas kesilapan yang lalu dan tidak sesekali membiarkan hamba NYA yang sudah bertaubat terus-menerus dalam kegelapan.Allah Maha Mengetahui akan segala baik buruk sesuatu kejadian dan hanya Allah Berkuasa memberikan hidayah kepada hamba NYA yang benar-benar ikhlas kembali kepada NYA.

Sentiasa ada rasa penyesalan dalam diri agar diri sentiasa insaf atas perbuatan yang lalu agar diri tidak lalai dan sentiasa beringat kepada Allah.Amat berbeza dengan memaafkan diri sendiri dengan sentiasa ada penyesalan dalam diri sendiri.Adalah perlu seseorang itu memaafkan diri sendiri agar kesilapan lalu tidak menghantui diri untuk berusaha ke arah kebaikkan.Namun, perlu adanya penyesalan dalam diri atas perkara yang terjadi agar kita tidak lupa yang kita pernah berbuat kesilapan dan mungkin akan mengulangnya kembali.Jika tiada rasa penyesalan, berkemungkinan kita akan melakukan kemungkaran yang sama kerana taubat yang kita buat tiada rasa insaf dan penyesalan dalam diri sendiri.

Belajar untuk memaafkan orang lain yang mungkin atau pernah berbuat silap dengan kita.Sering kita dengar keluhan, 'Kalaulah...si polan...tentu aku tak jadi begini...' Janganlah berfikiran sedemikian seolah-olah kita tidak dapat menerima atas segala yang terjadi dalam hidup ini.Maafkanlah mereka sebagaimana kita memaafkan diri sendiri.InsyaAllah, kita akan lebih tenang dalam hadapi hari-hari mendatang.

Sentiasa pasrah dan menerima ketentuan dari NYA. Terimalah bahawa segala ujian, godaan dan cubaan yang berlaku dalam kamus kehidupan kita itu sebagai ketentuan dari Allah dan ada hikmah atas segala yang terjadi.Walau perit, walau pahit bagaimana sekalipun, kita perlu terima dengan redha dan hati yang tabah, walaupun ianya amat sukar untuk diterima oleh akal fikiran manusia.Berbaik sangkalah pada Allah SWT dan beringatlah selalu bahawa segala yang berlaku, segala yang terjadi pada kita adalah atas kekuasaan NYA dan hanya Allah Maha Mengetahui atas segalanya.Allah hanya memberikan hamba NYA ujian yang pelbagai mengikut kemampuan hamba itu sendiri.Allah tidak kejam pada hamba NYA, tetapi kita sebenarnya yang kejam pada diri sendiri.

Sentiasalah berusaha mendekatkan diri pada Allah SWT. Bagaimana? Lakukan perkara yang wajib seperti lakukan solat 5 waktu seperti yang difardhukan ke atas setiap hamba NYA, dan jauhi perkara dimurkai Allah SWT.Banyakkan berzikir dan mengucap kalimah La ilaha illa Allah.Dekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu seperti di masjid atau surau berdekatan.Banyakkan berbuat perkara sunat selagi mampu misalannya berpuasa sunat untuk membersihkan rohani dan jasmani.Tingkatkan ilmu agama kerana dengan ilmu agama seseorang hamba itu akan dapat meningkatkan keimanannya kepada Allah SWT.

Dalam perjalanan kita mencari keredhaan Allah SWT, pasti ada kata-kata yang kurang enak didengar.Pedulikan itu semua.Pasti kita mendengar seperti, "Alah, berlagak baik....mcm bagus sangat...bla..bla..bla...." Biarkanlah itu semua.Itulah manusia, tidak boleh melihat kebaikkan, pasti ada kata-kata yang boleh saja menggoyahkan keimanan diri sendiri.Ingatlah, biarlah sakit telinga dengan kata-kata manusia.Jangan telinga kita sakit, panas mendidih hingga tidak dapat menanggung beban di akhirat kelak atas dosa yang kita sendiri tidak tertanggung.Bersakit-sakitlah dahulu di dunia, bersenang-senanglah di akhirat kelak.

Sentiasalah berusaha perbaiki diri setiap waktu, setiap saat.Kita tidak akan tahu bila dan di mana ajal bakal menjemput.Perbaiki diri dan bersiap sedialah selalu andai malaikat maut datang menjemput.Bila kita set fikiran sebegini, maka kita takkan terleka dengan hal duniawi.Malah kita akan tergesa-gesa menambah amalan kerana takut-takut jika amalan kita masih tidak cukup dan belum tentu mencukupi untuk membantu kita di alam barzakh dan akhirat nanti.Perbaiki diri dan amalan selagi roh dan jasad masih bersatu.Jangan tunggu hingga saat akhir baru timbul penyesalan dalam diri sendiri.

Bertawakal kepada Allah atas segalanya.Ingatlah kita hanya mampu berusaha, namun Allah sajalah yang berhak menentukan segalanya.Jangan kita sangka kita sudah bertaubat dan amat pasti taubat kita akan diterima sepenuhnya.Selagi kita bernafas, selagi itulah kita perlu perbaiki diri dan amalan selalu.Apa ain maksudkan adalah, ada individu beranggapan dosanya amat besar dan belum tentu Allah dapat memaafkan kesalahannya itu.Apabila kita beranggapan sedemikian, samalah juga kita berburuk sangka pada Allah! Bertaubatlah atas segalanya dan berusaha menjadi hamba Allah yang sempurna pada pandangan NYA.Diterima atau tidak taubat kita atau amalan kita itu, terserahlah pada Allah atas segalanya.Kita tidak punya kuasa untuk mengubah segalanya.Tawakal dan berserah dirilah hanya pada Allah dan tidak selainnya.

Sentiasalah berdoa kepada Allah dengan seikhlas hati.Sesungguhnya Allah Maha Mendengar doa seorang hamba yang mengharapkan kasih sayangnya.

Setakat ini saja yang mampu ain coretkan.Moga sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan sahabat sekalian.Segala kekurangan dan kesilapan amat ain kesali dan diharapkan coretan ini dapat membantu sahabat yang masih mencari-cari erti kehidupan ini.Kenalilah diri kita sebagai hamba Allah dan bangunlah kita semua dari tidur yang lena selama ini.

Moga kita bertemu lagi di coretan akan datang.InsyaAllah...=)

Thursday, July 21, 2011

JANGAN PERMAINKAN HIJAB / NIQAB


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.

Sudah 3 bulan lebih diri ini berniqab.Alhamdulillah ain rasa gembira dan tenang selalu.Namun, berniqab ini bukanlah imej semata-mata.Bukanlah untuk menunjukkan diri ini hebat atau berilmu agama tinggi.Bukanlah kerana suami seorang yang cemburu.Bukan kerana suami seorang pendakwah.Bukan juga kerana terlibat dengan mana-mana kumpulan agama.Tidak sama sekali!

Amat terkilan kini pemakaian purdah dipermainkan dengan sesuka hati.Purdah itu sendiri bertujuan mengelak TABARUJJ, bukannya mempamerkan kecantikkan si pemakai purdah.Pakaian muslimah kini diexploitasi dengan trend atau fesyen yang kononnya muslimah moden, sedangkan ianya masih merosakkan akidah seorang wanita Islam.Kini purdah juga terkena tempias yang sama!!!

Sedarlah wahai sahabatku semua.Dalam Islam, berhijab itu wajib, menutup aurat itu wajib.Perkara ini bukan perkara mainan dan boleh diubah sesuka hati.Begitu juga berpurdah/berniqab.Jangan dek mengejar keuntungan semata-mata, maka wanita Islam berpurdah dikomersialkan.

Berhijab dan berniqab kedua-duanya dalam Islam tujuannya adalah sama.Berhijab dan berniqab bertujuan membezakan wanita Islam dan wanita bukan Islam.Berhijab dan berniqab bertujuan melindungi kecantikkan diri seseorang wanita muslim dan bukannya mempamerkan kecantikkan diri.Berhijab dan berniqab bertujuan melindungi wanita Islam daripada difitnah oleh orang lain atau fitnah daripada dirinya sendiri kepada yang lain.Berhijab dan berniqab bertujuan melindungi wanita daripada gangguan lelaki bernafsu serakah.

Bagi yang berhijab dan tidak berniqab, terus istiqamah menjaga dirimu sebagai seorang muslim.Bagi yang berniqab, banyakkan bersabar dengan godaan dunia yang kini mengganggap ianya perkara yang boleh diexploitasi sesuka hati di kaca TV.Jangan terpengaruh dengan perkara negatif yang dipamerkan.Itu semua hanyalah bertujuan mencari keuntungan semata-mata.Jangan berasa bangga wanita berniqab dipaparkan dalam lakonan artis.

Insan seni memperjuangkan karyanya agar dikenali dan mengharapkan agar karyanya nanti dapat memberikan pengajaran buat segenap lapisan masyarakat.Itulah jawapan ain selalu dengar tidak kira penggiat seni filem, drama mahupun muzik.Apapun, tiada salahnya berkarya sambil menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat.Tiada salahnya penggiat seni ingin berdakwah melalui karya dihasilkan.

Namun, adalah lebih elok para penggiat seni yang cenderung kepada mesej yang bertujuan untuk mendidik masyarakat Islam agar mereka duduk sama belajar dan mencari ilmu sambil berbincang dengan ilmuwan Islam sebelum sesebuah karya itu dipaparkan kepada masyarakat.Masyarakat kini kebanyakkan menonton membuta tuli, maka penggiat seni menggalas tanggungjawab berat memastikan karya Islam dihasilkan benar-benar mengikut hukum Islam.

Ingatlah tujuan kita berniqab adalah semata-mata untuk Allah sahaja.Biarlah Yang Maha Kuasa sahaja yang berhak menilai dan melihat isi hati kita pada NYA.Usah berasa seronok dengan cara penonjolan wanita berniqab di kaca TV itu.Ia lebih bersifat membanggakan diri semata.

Jagalah peribadi diri kita sebagai seorang muslim.Jagalah nama Islam.Jagalah nama Allah dengan sepenuh hati kita.

Monday, July 18, 2011

KEGEMBIRAAN


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga hari sahabat semua sentiasa dirahmati Allah SWT selalu, aamiin.

Terlebih dahulu ain ingin memohon maaf kerana sudah agak lama tidak membuat coretan sendiri di sini.Sebenarnya ain kehilangan idea sejak sebulan yang lalu.Entah kenapa, mungkin diri ini terlalu memikirkan tentang masalah hubungan diantara ain dengan ibu bapa kandung yang seakan-akan tiada kesudahan.Buntu memikirkan, rasa sedih di hati memikirkan diri ini kerana gagal menjadi seorang anak yang dapat menggembirakan hati ibu bapanya.

Gara-gara ain nekad untuk berniqab, maka tercetusnya masalah hubungan antara kami.Setiap hari, setiap saat, setiap waktu ain berdoa dan tidak pernah putus memikirkan bagaimana untuk menambat hati mereka kembali.Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran selama ini akhirnya lembut juga hati seorang ibu kerana dapat menerima anaknya kembali...alhamdulillah.

Dalam 'post' ain yang lalu ain nyatakan ain ingin berkunjung ke rumah ibu bapa ain kerana amat merindui wajah ibu yang amat ain kasihi.Alhamdulillah, kunjungan ain ke rumah ibu disambut baik dan ain pastikan ain menanggalkan niqab lebih awal agar ibu ain berasa selesa melihat ain.Ain telah mendapatkan nasihat daripada seorang sahabat yang juga kakak angkat ain sendiri yang mengatakan tiada salahnya menanggalkan niqab sebentar sekiranya kita ingin menjernihkan keadaan, lebih-lebih lagi dengan ibu bapa ain sendiri.Malah, ain sudah berjanji dan berterus terang pada ibu ain bahawa ain hanya tanggalkan niqab hanya bila ain ingin jejakkan kaki ke rumah mereka tetapi tidak di tempat lain.Ibu ain amat memahami.

Walaupun ain datang ke rumah ibu di waktu bapa ain tiada di rumah, ain masih tetap rasa bersyukur yang teramat sangat.Dapat juga akhirnya ain bertemu dan melihat wajah ibu yang amat ain kasihi dan rindui selalu.SubhanAllah! Allahuakhbar!Rasa gembira yang tidak terkata.Setelah ain dipertemukan dengan Ustazah Norra yang sudah sekian lama terputus hubungan, ain dipermudahkan pula bertemu dengan ibu ain sendiri.Alhamdulillah, syukur pada MU YA Allah!

Buat sahabat ain di blog ini, terima kasih juga ain ucapkan kerana sudi berkunjung membaca nurkilan ain yang tidak seberapa ini.Sudah setahun berlalu blog NUR wujud, dan kini pengikut blog NUR mencecah lebih dari 100 orang! Alhamdulillah.Terima kasih tak terkata ain ucapkan atas kesudian sahabat semua berkunjung ke mari setiap detik tanda sokongan anda dalam penulisan blog ain di sini.InsyaAllah, selagi ada perkongsiaan bermanfaat akan ain coretkan di sini yea.

Bertemu kita lagi di coretan akan datang, insyaAllah.

# buat kakak Aminah, terima kasih di atas nasihat berguna buat diri ain yang serba kekurangan ini.Terima kasih...syukran...

Thursday, July 14, 2011

PERTEMUAN TERINDAH


Subhnallah..Subhanallah..Subhanallah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah.. Allahukhbar..Allahuakhbar..Allahukhbar..

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT ain diberikan kesempatan membuat coretan dan bertemu dengan sahabat di sini.

Ingin ain khabarkan berita gembira untuk dikongsikan bersama sahabat semua.Bagi sahabat yang setia membaca setiap coretan ain, tentu masih ingat coretan ain di dalam satu post label 'KENANGAN' tentang perkenalan ain dengan seorang ustazah sewaktu ain mengucapkan 2 kalimah syahadah dan akhirnya menjadi seorang hamba Allah SWT.Semenjak pertemuan kami itu hingga kini, kami tidak lagi bertemu.

Namun, kuasa Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dan mengaturkan kitaran hidup seseorang manusia itu, akhirnya ain bertemu kembali dengan ustazah yang telah membawa ain ke jalan diredhai Allah ini.Subhanallah!!! Gembira dan rasa syukur tak terkata dapat ain gambarkan ketika ini.Setelah 8 tahun kami berpisah, akhirnya kami dipertemukan kembali.Alhamdulillah.

Ustazah Norra masih lagi seperti ain kenal 8 tahun yang lalu.Seorang yang peramah, sederhana, lemah lembut, mudah diajak berbual dan yang pasti sangat penyayang.8 tahun dan kini akhirnya kami bertemu kembali, semuanya atas kehendak, Rahmat Allah SWT.

Ustazah Norra masih lagi bergelar pendidik di salah satu sekolah menengah di Melaka ini dan kini baru saja menjalankan pusat pengajian Al Quran bagi kanak-kanak, kira-kira 2 minggu sahaja.Beliau menjalankan pusat pengajian ini dengan sokongan suami dan keluarga, dengan niat amal jariah semata-mata.Subhanallah, betapa mulianya hati ustazah ini.

Sebelum kami dapat bertemu semalam (13 Julai 2011), malam sebelumnya ain telah membuat panggilan kepada ustazah setelah nekad mencuba menelefonnya dengan nombor telefon yang rupanya masih lagi dalam simpanan.Alhamdulillah, nombor yang sama itulah maka terhubungnya kami kembali atas izinNYA juga.Subhanallah...Allah mendengar doa hambaNYA ini.

Bila pertemuan ini terjadi, ain ingat dialog yang selalu ain sampaikan pada Allah tidak kira di waktu ain berdoa menadah tangan atau waktu kelapangan ain berkhayal akan diri sendiri.Selalu ain katakan, "Ya Allah, Kau permudahkanlah aku mencari ilmu Mu Ya Allah...Ya Allah, Kau tunjukkkanlah aku jalan MU Ya Allah...Kau tunjukkanlah aku tempat untuk aku belajar dan mencari ilmu..Ya Allah, Kau pertemukanlah aku dengan mereka yang dapat membantu diriku ini..sesungguhnya Ya Allah, aku amat dahagakan ilmu Mu itu...aamin.."


Rasa sebak, sedih bercampur gembira ain rasakan atas nikmat Allah kepada hamba NYA ini yang masih tidak sempurna.Berita gembira ini ain kongsikan bersama suami , keluarga mertua dan sudah pasti kepada sahabat semua.

Di kesempatan ini juga ain memberitahu hasrat hati dengan ustazah Norra, memintanya sekiranya tidak keberatan membantu ain dalam mendalami ilmu agama yang amat ain dahagakan selama ini.Ain perlukan seseorang untuk membantu membimbing ain bagaikan seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa.Alhamdulillah, Ustazah Norra tidak keberatan untuk membantu ain.Ain bersetuju mengikut apa yang dirasakan sesuai dan apa yang harus dimulakan mengikut perancangan ustazah Norra nanti.Masa dan waktu masih belum ditentukan lagi.Alhamdulillah..alhamdulillah...alhamdulillah...

Sampai di sini saja setakat ni yea sahabat.Ain perlu bersiap kerana hari ini ain ingin pulang ke rumah keluarga kandung dan bertemu dengan mak ain yang amat ain rindui selalu.

Moga kita bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah...=)

Saturday, July 9, 2011

CINTA



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain kasihi sekalian.Moga semuanya dalam rahmat Allah SWT selalu, amin.

Rasa cinta dan kasih kepada pasangan berlainan jantina itu adalah suatu lumrah kehidupan yang telah lama wujud sejak diciptakan Nabi Adam dan Hawa oleh Allah SWT.Nikmat cinta itu adalah suatu kurnia, suatu nikmat Ilahi yang dianugerahkan kepada setiap insan.Itulah yang membezakan kita dengan makhluk ciptaan Allah yang lain.

Namun, bagaimana ingin kita pupuk rasa cinta dan kasih itu agar diredhai Ilahi???Seperti kita sedia maklum, 'bercouple' atau 'berdating' dalam Islam adalah haram sama sekali.Ain akui ain juga suatu ketika tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu.Namun itu bukan alasan untuk ain berdiam diri melihat sahaja kemungkaran yang berlaku.Pengalaman lalu mengajar diri ini dan seikhlas hati ain katakan ain berasa menyesal atas kesilapan yang lalu.

Adakah salah untuk mempunyai rasa cinta terhadap seseorang? Adakah salah menyimpan perasaan cinta dan kasih pada yang berlainan jantina? Tiada salahnya kerana itulah lumrah manusia yang dijadikan mempunyai pelbagai perasaan.Apa yang penting di sini bagaimana nak didik perasaan cinta ini agar sentiasa suci dan dirahmati Allah.

Kenapa 'bercouple' itu haram? Lihat saja kini di mana saja, kelihatan mereka yang sedang asyik bercinta berpegangan tangan, berpelukkan, bercumbuan tanpa rasa malu di khalayak ramai.Tidak kiralah remaja atau orang dewasa, mahupun yang sudah berumah tangga! Inilah yang berlaku dan akan terus berlaku selagi cinta bersifat nafsu semata menguasai diri.Cinta bernafsu boleh saja berlaku walaupun yang sudah ada ikatan yang sah di sisi Islam.Atau istilah lain yang biasa didengar 'Teman tapi Mesra'...

Usahlah dikejar cinta manusia semata-mata.Kejarlah cinta pada Yang Esa, yang menciptakan langit dan bumi, yang menciptakan alam semesta ini untuk kita nikmati.Muhasabah diri setiap masa.Amati setiap tindak tanduk dan amalan kita sehari-hari.Bertaubatlah pada Allah dengan sebenar-benar taubat dengan keikhlasan agar tidak mengulangnya kembali.

Yakinlah cinta kita pada Yang Maha Kuasa kerana hanya Allah saja yang mampu menjanjikan kebaikkan di dunia dan kebaikkan di akhirat kelak.Cintailah Allah melebihi cinta kita pada diri sendiri serta hambaNYA yang lain.Usah bimbang andai cinta kita tidak berbalas andai kita mendahulukan Allah dari segalanya.

Bagi yang belum mempunyai ikatan yang sah, usah takut atau gusar sekiranya kita ingin menjaga adab-adab pergaulan sesama lelaki dan wanita mengikut hukum Islam, akan membuatkan orang yang kita cintai itu meninggalkan kita untuk yang lain yang boleh melayan mereka seperti trend masa kini.Biarkan saja.Andai si dia bersikap sedemikian, maka tidaklah sesuai dijadikan pasangan hidup.Carilah pasangan hidup yang mendahulukan perintah agama dari perintah nafsu semata-mata.

Bagi mereka yang telah mempunyai ikatan yang sah, hargailah ikatan yang telah termaterai sejak anda di ijab kabulkan dengan sah berserta dengan saksi.Hargailah pasangan hidup anda sebaik mungkin dan terimalah dia seadanya.Tiada manusia yang sempurna melainkan Allah SWT.Ingatlah setiap daripada kita dijadikan hidup berpasang-pasangan untuk melengkapkan kekurangan satu sama lain.InsyaAllah, Allah pasti merahmati perhubungan itu hingga ke syurga.

Maka di sini cintailah Allah SWT yang telah memberikn kita kenikmatan di dunia ini.Kenali Allah dan cintailah Allah terlebih dahulu.Yakinlah akan cinta Allah terhadap hambaNYA.Nescaya kita sebagai hambaNYA pasti menemui cinta sejati yang elok djadikn pasangan hidup.Kawal perasaan anda terhadap si dia yang belum tentu menjadi hak kita yang sah.Usah terburu-buru mengejar cinta manusia.Kejarlah cinta Ilahi.Nescaya ada ganjaran diberi kelak...InsyaAllah.

Thursday, July 7, 2011

NILAI TUDUNG SEORANG WANITA


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Ingin rasanya ain berkongsi nurkilan seorang sahabat muslimah sebagai ingatan buat diri ini dan kita bersama.
Nurkilan adik Norasiah Mustafha:

Nilai Tudung Seorang Wanita

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.


Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.



Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.



Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.



Selamat membaca!!!

# terima kasih Norasiah Mustafha

Sunday, July 3, 2011

IM NOT EXTREME


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Moga hari ini adalah hari yang indah buat para sahabat semua.

EXTREME..apa yang anda faham dengan maksud perkataan EXTREME??? Emm...adakah maksudnya adalah melampaui batas? Adakah maksudnya sesuatu yang dilakukan secara berlebih-lebihan? Adakah maksudnya sesuatu perkara di luar kebiasaan???...Maksudnya begitu meluas, terpulang kepada masing-masing untuk mentafsirnya mengikut kesesuaian.

Pernah ain dengar dan sering ain dengar muslimah yang menutup auratnya yang pada pandangan mereka lain dari kebiasaan adalah EXTREME.Apa ain cuba sampaikan ye?

Ok, begini.Ain terangkan dari segi pengalaman ain sendiri dan apa yang telah ain lalui.Hijrah ain dari segi berpakaian mungkin dicop atau dipandang sebagai EXTREME.Kini ain lebih gemar berabaya dan berniqab yang warnanya hitam/gelap sahaja.Ain berpakaian mengikut citarasa dan apa ain rasakan selesa serta ain yakin boleh menutup aurat dengan sempurna.Namun, ini tidak bermakna ain tidak suka pada warna-warna terang.

Di rumah misalnya, ain lebih selesa berbaju kurung dan hanya di rumah sahaja ain mengenakan pakaian berwarna-warni dan terang.Kenapa? Kerana ain hanya ingin kelihatan cantik di mata suami.Apabila ain perlu berurusan di luar rumah, ain lebih gemar mengenakan jubah/abaya yang berwarna gelap terutamanya hitam.Malah,tudung labuh dan niqab yang dikenakan juga adalah gelap/ hitam sahaja.Bukan kerana ain ada masalah alergi untuk berpakaian terang, tetapi ain lebih selesa mengenakan warna gelap apabila berada di luar rumah.




Mari lihat dan perhatikan betul-betul gambar di atas (ehsan daripada KakChik Niza)

Adakah pakaian seperti di dalam gambar di atas sempurna syaratnya iaitu menutup aurat dengan sempurna? Adakah dengan bertudung sahaja sudah dikatakan menutup aurat? Adakah dengan memakai seluar panjang dan mengenakan baju labuh dan berlengan panjang seperti dalam gambar di atas sudah dikatakan sempurna menjaga auratnya? Perhatikan dengan betul.Adakah dengan mengenakan solekan tebal di muka itu merupakan ciri-ciri muslimah sebenar?




Bagaimana dengan gambar ini? Bertudung tetapi menutup auratkah?

Ain akui kerana ain juga seorang wanita yang gemar berfesyen dan gemar kelihatan cantik.Namun, cantik di mata siapa? Manusia? Ingin kelihatan cantik dan 'up to date' semata-mata mengikut arus kemodenan dan mengharapkan pujian? Untuk apa kita berpakaian? Untuk siapa kita berpakaian? Adakah pakaian dipakai itu mendapat keredhaan daripada Allah SWT? Tidakkah berpakaian seperti dalam 2 gambar ain paparkan seperti di atas boleh dilabelkan sebagai EXTREME???



Tidakkah pakaian sebegini dikatakan EXTREME buat wanita Islam? Pelik, tapi itulah kebenarannya.Pakaian sebegini dianggap 'hot', 'up to date', 'trendy', 'modern' dan sebagainya.




Merujuk pada gambar di atas, ain akui di negara kita kebanyakkan beranggapan ia adalah pakaian yang janggal dan dilabel EXTREME bagi sesetengah pihak.Bertudung labuh, berpakaian labuh sudah menjadi kebiasaan di mana-mana tempat.Namun, wanita Islam yang berpurdah amat jarang dilihat(bergantung pada tempat/negeri).Malah, ain pernah membaca sebuah komen mengatakan bahawa apabila seseorang itu mengenakan purdah sebenarnya lebih menonjolkan diri serta menarik perhatian berbanding mereka yang bertudung labuh sahaja.

Maka, ini jawapan ain bagi individu yang memberi komen sedemikian.Memang benar wanita berpurdah kelihatan menonjol berbanding yang lain.Tapi harus diingat, mata-mata yang memandang itu insyaAllah akan terhindar dari pandangan zina/ dapat mengurangkan pandangan yang boleh menimbulkan nafsu berahi.Berbanding jika mereka melihat wanita bertudung singkat dan kurang sempurna menutup auratnya, mata mereka melihat sesuatu yang boleh menimbulkan zina atau nafsu berahi semata-mata setelah melihat tubuh badan si pemakai.

Nah! Adakah kami yang bertudung labuh dan berpakaian labuh ini dikatakan EXTREME??? Adakah kami yang mengenakan pakaian labuh serta berpurdah/berniqab ini dikatakan EXTREME melampau???

Anda boleh menilai dengan matang perkara yang baik dan buruk itu sendiri.



Bertudung labuh dan berpakaian labuh sahaja juga sudah memadai, asalkan syarat menutup aurat telah sempurna.Bertudung labuh, berpakaian labuh dan berpurdah juga tiada salahnya kerana ia masih menitik beratkan penjagaan aurat seorang wanita muslim.Pakaian berwarna juga tiada salahnya, asalkan warna digunakan tidak terlalu menonjol dan seelok-eloknya pilihlah warna yang sederhana sahaja.

Tepuk dada, tanyalah diri anda sendiri.Pilihan di tangan kita.Yang menentukan nasib kita di akhirat kelak adalah diri kita sendiri.Jika kita tidak berusaha memperbaiki diri setiap masa, tiada siapa yang dapat menolong.Mohonlah pada Allah SWT agar ditunjukkan jalan yang betul dan mohonlah pada NYA agar diri terhindar dari perbuatan keji dan mungkar.

Moga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah...

Friday, July 1, 2011

MUHASABAH CINTA



..adakala diri ini berasa ingin pergi jauh..
..jauh drp pandangan manusia..
..adakala diri ini bkata-kata..
..alangkah indah berada di satu tempat yg tenang dan indah..
..diri ini ingin berada dekat dengan NYA...
..walau ku tahu Allah sentiasa ada di mana-mana..
..diri ini sedar tidaklah sesempurna mana..
..namun ku inginkn ketenangan itu..
..adakah diri ini dapat merungkai persoalan hati..
..aku sedar, aku tidak layak ke syurga Fidraus Mu..
..namun tidak juga aku ingin ke neraka Mu..
..sekiranya aku mati..matikanlah aku dalam keadaan beriman..
..Ya Allah..Ya Rahman..Ya Rahim..maafkanlah aku..Aamin..;(






Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian..Tiada apa yang ain dapat kongsikan kali ini.Hanya luahan rasa hati yang terbit di ketika ini.InsyaAllah, kita bertemu lagi di coretan akan datang yea.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR