Sunday, October 30, 2011

BULAN DZULHIJJAH

Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Di sini ain ingin berkongsi berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Dzulhijjah.Dikongsikan oleh seorang sahabat baik ain, adik Nor Abdullah.





KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZUL-HIJJAH.

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد المرسلين ..... وبعد:

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah:

Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zul-Hijjah.

Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

Firman Allah I:

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ {[سورة الفجر: 1-2]

:: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zul-Hijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Di riwayatkan oleh Imam Bukhari).


‎2. Dari Ibnu Abbas , Rasulullah r telah bersabda:

( ما من أيام, العمل الصالح فيهن أحب إلى الله من هذه الأيام العشر). قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال : (ولا الجهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء ).

[رواه البخاري 969، وأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”(H.R: Al-Bukhari, Ahmad, At-Tirmizi)


PUASA PADA HARI ARAFAH.

Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zul-Hijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah r. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

(أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده)

[رواه مسلم]

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (H.R Muslim).


PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah r tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.


AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:

1. SOLAT.

Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban t berkata: Aku mendengar Rasulullah r bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” (H.R Muslim.) Ini umum untuk semua waktu.

2. PUASA.

Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah r berkata: ‘Rasulullah r berpuasa pada hari sembilan Zul-Hijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.’ (H.R Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei). Kata Imam An-Nawawi :: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID.

Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari :: ‘Ibnu Umar dan Abu Hurairah y menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.’

Katanya lagi: ‘Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.’

Ibnu Umar t bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah t.

Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.

الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.

الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.



SELAMAT BERPUASA!!!

Friday, October 28, 2011

TERIMA KASIH YA ALLAH...


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sekalian.Moga sahabat semuanya dalam keadaan baik-baik selalu,aamiin.

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT kerana dengan izin NYA ain berkesempatan membuat coretan di sini.Diharapkan segala coretan ain sebelum ini, kini dan akan datang mendapat keredhaan Allah SWT.Moga coretan di sini dapat dijadikan perkongsian kita bersama dan juga ingatan buat diri ain sendiri.

Jika masih ingat coretan ain sebelum ini "Pencarian Masih Bermula", ain ada sebutkan tentang pertemuan ain dengan sahabat-sahabat muslimah.Bermulanya pertemuan ain kembali dengan kak Safiah, maka bermulalah titik-titik pencarian ain yang seterusnya.

Kira-kira 2 minggu ini, ain bertemu dengan ramai sahabat muslimah yang boleh membantu ain dalam mempelajari ilmu agama.Sebenarnya, ain lebih senang dan selesa jika bergurukan dengan muslimah sahaja.Maka, kelas yang dibimbing oleh ustaz yang ain perkatakan sebelum ni tidak lagi ain ikuti.Memang benar jika ingin mencari ilmu tiada salahnya.Namun, secara peribadi ain rasakan pandangan mata juga harus dijaga.Walaupun ain berniqab dan berhijab, hati manusia amat payah dijaga.InsyaAllah, ilmu boleh dicari jika hendak seribu daya.Sukar macam manapun ain akan ikhtiarkan juga.

Suami juga sependapat bahawa adalah lebih elok mencari yang perempuan sahaja.Pandangan mata juga harus dijaga agar mata hati turut terdidik.Alhamdulillah suami faham pendirian ain.Maka, pencarian ain tetap diteruskan.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT ain diberikan peluang untuk menggunakan masa yang ada semaksimum mungkin.Tanpa izin Allah SWT,pasti apa ain inginkan tidak akan tercapai.Terima kasih Allah atas segalanya.

Selain sibukkan diri dengan perniagaan online, insyaAllah dengan nikmat kesihatan yang Allah SWT berikan dan umur yang masih ada ini ain ingin pelajari Al-Quran dan ilmu tajwid dengan seorang ustazah yang juga bekas pelajar madrasah.Cara pembelajaran ustazah ini amat berlainan, namun secara peribadi ain rasa amat berkesan.InsyaAllah, dengan izin NYA ain ingin gunakan peluang yang ada sebaik mungkin.Moga diri ini istiqamah dalam mendalami ilmu Allah SWT.

Pada hari Ahad baru-baru ni, ain juga berkenalan dengan ramai masturat sewaktu menghadiri majlis taklim atau majlis ilmu.Masturat adalah kumpulan wanita dari jemaah tabligh.Salah seorang daripada mereka mengadakan kelas Fardhu Ain dari rumah.InsyaAllah , hari ini ain akan hadirkan diri.Kelasnya bermula pada waktu petang setiap minggu, insyaAllah.Kini, dapatlah ain bertanyakan soalan tanpa ada rasa segan silu.Alhamdulillah atas segalanya.

Majlis ilmu ain katakan ini diadakan setiap hari Ahad, insyaAllah.Ia adalah majlis yang mana bacaan hadith-hadith dan kisah para sahabat Nabi SAW dikongsikan bersama.Apa yang menarik tentang majlis ini adalah hanya golongan wanita sahaja berada dalam majlis yang tertutup, tidak kiralah dari golongan kanak-kanak, hinggalah wanita dewasa.Adab berpakaian dan sewaktu majlis ilmu berlangsung amat dititik beratkan.Tiada kata-kata kosong atau perbualan sesama masturat sepanjang perkongsian ilmu diadakan.

SubhanAllah..Alhamdulillah..Allahuakhbar...Maha Suci Allah atas segalanya..Terima kasih pada Allah SWT kerana dengan izin NYA ain diberikan kesempatan dan peluang dalam kehidupan ini bertemu dengan sahabiah-sahabiah yang banyak ilmunya serta tidak lokek berkongsi sesama sendiri, terutama diri ini yang serba kekurangan.Kerana Allah SWT jugalah ain masih dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik untuk bergerak ke sana sini mencari tempat untuk belajar.

Itulah dia kekuatan doa seorang muslim.Bersyukurlah kita kerana menjadi hamba Allah SWT kerana setiap doa kita pasti akan didengari.Percaya dan yakinlah dengan kekuasaan Allah SWT.Bersangka baiklah selalu pada NYA.Selalu kita dengar rungutan seperti, "beruntung si polan...aku juga mcm ni..." dsbgnya.Usah berfikiran negatif dan berburuk sangka selalu.

Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain yang pada anggapan kita lebih beruntung.Sepatutnya kita bersyukur selalu pada Allah SWT atas segala nikmat kehidupan yang diberikan.Bukan hanya harta benda dikatakan nikmat.Nafas kita sedut adalah nikmat, anggota tubuh yang kita miliki adalah nikmat.Malah, mata sahabat semua yang sedang membaca nurkilan ain di sini juga adalah nikmat.Ujian juga sebenarnya adalah nikmat.Maka, usahlah bersungut selalu.

Begitu juga hubungan ain dan ibu kandung sendiri.Alhamdulillah, semakin baik dari sehari ke sehari.Alhamdulillah.Ain gembira dan bersyukur sangat.

Segala ain coretkan ini juga hanya untuk Allah SWT, malah hanya dengan izin NYA juga.Ingatan buat diri ini agar sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurnia NYA.

Moga sahabat semua sentiasa berusaha dalam meniti kehidupan ini.Tiada kamus perkataan PUTUS ASA dalam diri seorang mukmin.Hidup ini adalah ujian kita sebelum menuju ke negeri akhirat yang abadi.Berusahalah dan bertawakal lah selalu dengan Allah SWT.Sentiasa berdoa pada NYA moga segala yang diimpikan sentiasa dipermudahkan.

InsyaAllah, berbaik sangkalah selalu dengan Allah SWT.

Jaga diri yea sahabat semua.

Saturday, October 22, 2011

PURDAH ANTARA PERBANDINGAN HUKUM

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat ain sekalian.Alhamdulillah, dengan izin NYA ain masih diberikan peluang untuk membuat coretan di sini.

Seperti coretan ain yang lalu, ain berkongsi tulisan niqabis yang lain berkenaan perbandingan hukum berniqab atau berpurdah.Hari ini ain ingin berkongsi satu lagi artikel mengenai pemakaian purdah yang ain salin terus dari blog Muassasah Ad Diniyyah. Walaupun artikel ini ditulis dalam tahun 2007 tapi ain rasa ianya masih relevan di masa ini. Semoga kita mendapat sedikit ilmu dari tulisan beliau.Ain ucapkan terima kasih kepada penulis yang menulis topik ini dan dengan perkongsian di blog NUR insyaAllah pembacanya lebih ramai dan ilmunya akan tersebar lebih luas.

# Terima kasih juga pada KakChik yang maklumkan berkenaan artikel ini.



PURDAH ANTARA PERBANDINGAN HUKUM



Ulama ada berpendapat wajib dan ada juga yang berpendapat harus. Kadangkala ketidakmampuan kita menguasai al quran dan as sunah terpaksa merujuk kepada tulisan ulama’. Maka ada yang berpendapat wajib dan juga harus. Penilaian kita selaku golongan muttabi’, iaitu golongan yang mengikut dalil, bukan individu tertentu seperti muqallid.

Ada dua pendapat; pertama menyatakan bahawa purdah ini adalah satu rekaan yang dimasukkan ke dalam Islam. Bagi mereka purdah ini adalah bid’ah, iaitu setiap perkara yang tidak datang dari Allah dan Rasul SAW. Berlawanan dengan pendapat ini, ada yang mengatakan sesungguhnya purdah adalah dari Islam sendiri. Menutup muka adalah kewajipan agama yang tidak harus dianggap sambil lewa. Jangan kita musykil, saya akan terus perbahaskan benda furuk ini. Yang penting, metodologi kita bersumberkan Al Quran dan As Sunah. Mengimbangi antara nas yang cabang dan maqasid kulli, tujuan syarak yang menyeluruh. Kita harus berfikiran lapang dalam menerima dan melihat dalil setiap ulama’.

Ulama secara asas, berpendapat masalah ini merupakan masalah khilafiah, menimbulkan keraguan dan pertikaian yang tidak mempunyai nas yang tepat. Ulama’ berselisih dari zaman silam hingga ke hari ini.

Asal masalah adalah dari Firman Allah yang bermaksud ” Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya” Surah An Nur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, yang dikatakan dengan perkataan ‘ma zahara minha’ ialah pakaian dan tudung. Sebelum itu, jilbab menurut bahasa arab ada 3 pengertian:

1. baju yang menutup seluruh tubuh.
2. pakaian perempuan bahagian luar jika dipakai 2 lapis.
3. tudung yang dipakai oleh perempuan.
(lihat mu’jam asasi arab)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menafsirkan ‘ma zahara minha’ dengan makna celak dan cincin. Ibnu Abbas juga mengatakan bahawa bahagian muka dan tapak tangan. Begitu juga dengan riwayat Aisyah dan Anas b Malik berpendapat begitu.

Mereka juga berselisih dengan pendapat apa yang dikehendaki ‘melabuhkan pakaian’ sebagaimana dalam surah ahzab ayat 59. Apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah berlawanan berkenaan dengan penafsiran ayat ‘ma zahara minha’ tadi. Beliau menafsirkan bahawa maksud melabuhkan pakaian adalah dengan praktikal, iaitu menutup muka dan kepala dan mendedahkan mata kiri!

Ikrimah menyanggah pendapat ini. Beliau menyatakan maksud adalah menutup bahagian lekuk dibahagian atas dada, tempat dimana rantai dipakai dengan tudungnya dan melabuhkan sehingga menutup bahagian lekuk tersebut.

Said b Jubair menyatakan tidak harus bagi wanita Islam dilihat oleh lelaki asing melainkan ia memakai tudung kepala yang disertai dengan kain penutup muka, purdah.

Antara ulama’ yang bersependapat muka dan tangan bukan aurat dan tidak wajib menutupnya adalah Dr, Yusuf Qhardawi, Syeikh Nasirudin Al Bani, kebanyakan ulama di Universiti Al Azhar dan ulama’ kebanyakan tempat.

Ulama Arab saudi dan sebahagian negara teluk tidak sependapat dengan pendapat di atas (wajib menutup muka) antaranya Syeikh Abd Aziz b Baaz. Juga ulama dari Pakistan yang terkenal, Ustaz Abu Al A’la Al Maududi serta Prof Dr, Muhamad Said Ramadhan Al Buuti. Juga terdapat risalah yang dan fatwa dikeluarkan dari masa ke semasa yang menentang dan menyebut keaiban mendedahkan muka. Mereka menyeru memakai purdah dengan nama iman dan agama.

Maka apabila seseorang perempuan mengambil pendapat ini, serta mewajibkan dikalangan mereka menutup muka, maka bagaimana kita mahukan wajib beramal dengan pendapat lain yang dianggap silap(tidak wajib menutup muka) sedangkan kita mengetahui perkara ini merupakan khilafiah. Mereka menghukum golongan yang tidak beramal dengan pendapat lain sebagai berdosa dan fasik sedangkan ia adalah perkara furuk! Menjadi kewajipan kita adalah bersikap berhati-hati dalam perkara agama dan apakah elok jika seseorang mempertikaikan pendapat lain sedangkan ia bukannya perkara usul. Lainlah jika seseorang tidak memakai tudung, itulah yang sepatutnya ditentang!

Tiada ulama mengatakan memakai purdah adalah haram, maka harus seseorang memakainya tanpa ada prasangka buruk ke atas individu tersebut. Menjadi hak seseorang untuk memakai purdah atau sebaliknya. Memakai purdah tidak melanggar kewajipan dan tidak memudaratkan orang lain. Adakah kita menyebut kesalahan mereka yang memakai purdah sedangkan terdapat sekeliling kita yang tidak menutup aurat? Sedangkan kita mengetahui bahawa menampakkan tubuh badan, tidak menutup selain muka dan tapak tangan adalah pengharaman secara ijmak menurut syariat.

Adakah purdah wajib?

Perselisihan ini memang tidak dinafikan wujud. Kadangkala bersikap syadid dalam perkara agama menjadi keruncingan perselisihan. Tetapi secara mudah, kenapa kita mempertikaikan orang yang memakai purdah, kita mengata sedangkan ia adalah khilafiah dan hak individu, maka mungkin kita mendapat dosa. Tetapi jika kita menegur orang tidak memakai tudung, ia adalah perkara disepakati dan usul, mungkin kita mendapat pahala dengan menegur.

Jumhur Mazhab dan ulama’ bersependapat aurat adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan. Kedua perkara ini adalah bukan aurat. Ibnu Marzuk berpendapat bagi mereka yang cantik dan boleh menimbulkan syahwat, sunat menutup muka. Ini bersandarkan perselisihan sama ada wajib wanita menutup atau wajib lelaki menutup penglihatan, menghindarinya. Kesimpulan, jumhur mengatakan aurat wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Dalil : Surah An Nur ayat 30 dan 31.

: Hadis Rasul SAW yang bermaksud ” Tidak harus bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melainkan bahagian ini,sambil Rasul SAW memegang bahagian tengah lengan ( had aurat dalam hadis ini menunjukkan dari tengah lengan tangan hingga jari bukannya dari pergelangan tangan).

: Dalil yang menyuruh menutup belahan leher bukan menutup muka. Surah An Nur ayat 31.

: Dalil perintah supaya lelaki menyekat pandangan mata An Nur ayat 114.

dan beberapa hadis yang berkaitan dengan tidak wajib menutup muka.


Dalil mereka yang mengatakan purdah adalah wajib.

1. Surah Al Ahzab ayat 59 berkaitan ayat jilbab.

2. Tafsir Ibnu Mas’ud berkenaan firman Allah dalam surah An Nur 31. Yang menyatakan wajib.

3. Surah Al Ahzab ayat 53 berkaitan belakang tabir. Termasuk bagi mereka memakai purdah.

4. Hadis Aisyah yang mengatakan melabuhkan tudung hingga menutup muka.

5. Saddu Zaraii’ah. Menyekat jalan yang mengundang dosa.

6. Uruf sesuatu tempat. Wajib bagi mereka menutup aurat.


Secara akhirnya, jumhur ulama’ yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun disana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah. Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:

1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.

2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.

3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya. Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan ‘tidak boleh masuk dengan masyarakat’. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.

Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah. Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.

Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Dimana timbangan keadilan?

Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar’i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan. Adakah kita menyokong golongan ini!



# INGATAN: jangan jadikan artikel ini sebagai panduan 100%.Dapatkan mereka yang lebih arif ilmu agamanya dan tanyakan sendiri tentang berniqab.Ini sekadar perkongsian bersama.Ain tidak mahu ada salah faham atau kekeliruan bagi sahabiah di luar sana yang berniat untuk berniqab.Jangan jadikan berniqab ini fesyen! Kami para niqabis tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelangan...syukran...

Friday, October 21, 2011

PERKONGSIAN: NIQAB, HUKUM DAN PELAKSANAAN



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat-sahabat ain sekalian.Moga segala urusan sahabat senantiasa dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT selalu.

Di sini ain ingin berkongsi nurkilan dengan seorang sahabat niqabis berkenaan berniqab.Apapun, ini hanyalah sekadar perkongsian bersama dan diharapkan agar dirujuk dengan para ilmuwan agama sekiranya timbul sebarang keraguan.

Nurkilan Insyirah Soleha,

Bismillahirrahmanirrahim.

Beberapa muslimah bertanya perihal niqab (purdah) kepada ana melalui e-mail dan juga mesej di dalam facebook. Mahu menulis balasan pada setiap yang bertanya, panjang lebar. Maka, ana usahakan untuk berkongsi di dalam blog sebagai salah satu usaha kecil menjawab sebahagian pertanyaan mereka. Janganlah anggap apa yang bakal dinurkilkan ini sebagai muktamad sebaliknya pintu perbincangan sentiasa terbuka.

Permasalahan niqab ini sudah dibahaskan terlebih dahulu oleh para ulama' dan ini hanyalah perkara furu' (cabang) di dalam agama, maka usahlah terus menerima perkongsian ini sebagai muktamat kerana ana bukanlah ahli dalam agama yang merujuk kepada semua pandangan ulama' sebaliknya ini adalah 'homework' ana sebelum dan selepas memakai niqab yang pastinya terlalu banyak kekurangan dari sisi pandang yang ana ambil dari kefahaman yang disampaikan oleh ulama'. Ana juga banyak meminta pandangan dari muslimat yang memakai niqab, pendapat dan pandangan mereka mengenai niqab ana usahakan untuk rangkumkan di dalam post ini. Biiznillah.

Aurat wanita yang disepakati oleh ulama' adalah seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan tapak tangan, hanya sebilangan (minoriti) ulama' sahaja yang menetapkan bahawa muka dan tapak tangan wanita adalah aurat yang wajib untuk ditutup di hadapan ajnabi (lelaki asing - bukan mahram, atau dalam erti kata lain lelaki yang halal untuk dikahwini).

"Benarkah wanita yang berniqab di dunia ini, di akhirat kelak di saat manusia lain menunggu untuk melihat wajah Allah, Allah datang kepada wanita berniqab?"

Mereka mengatakan ini adalah hadith, ana ingin jelaskan di sini ana tidak pernah berjumpa dengan hadith sebegini dan setelah meminta penjelasan dari zauji beliau mengatakan ia adalah hadith rekaan (hadith palsu) semata-mata. Sangat mudah untuk 'mengenal pasti' hadith palsu antara cirinya ialah "buat perkara kecil dapat manfaat besar sangat, tak logik." Sekiranya hadith ini adalah sohih, maka tidak akan berlaku perselisihan di kalangan ulama'.

Jadi, apabila memakai niqab janganlah kerana merasa Allah akan berjumpa dengan muslimah yang berniqab di dunia. Allah, siapalah kita di pandangan Allah untuk mengharapkan sesuatu yang terlalu besar tersebut meskipun kita sangat mengidamkan perkara tersebut. Kembalikan niat untuk melakukan sesuatu bagi mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

"Apakah hukum memakai niqab?"

Hanya sebilangan minoriti ulama' sahaja mewajibkan wanita memakai niqab bersandarkan kepada dalil "Wanita adalah aurat"

Ia tidak berlaku secara mutlak. Kerana tidak mungkin seseorang boleh menampakkan
auratnya di dalam solat. Bagi mereka yang berpendapat bahawa wajah wanita itu aurat adalah minoriti ulama. Sedangkan yang berpendapat bahawa wajah bukan aurat adalah majoriti ulama (jumhur).

Hadith diatas, yang berbunyi.

"Wanita adalah aurat, jika dia keluar maka syaitan memperindahkannya."

Hadith ini tidak boleh diertikan secara mutlak. Ini kerana ada kaedah yang berbunyi :

"Dalil umum yang mengandungi banyak cabang hukum, dimana cabang-cabang hukum itu tidak boleh diamalkan berdasarkan dalil umum tersebut, maka kita tidak boleh berhujah dengan dalil umum tersebut untuk menentukan cabang-cabang hukum tadi."

Misalnya : Orang-orang yang menganggap bahawa bid'ah-bid'ah itu baik adalah berdasarkan dalil yang sifatnya umum. Contoh : Di negeri-negeri Islam seperti Mesir, Syria, Jordan dan lain-lain… ramai orang yang membaca selawat ketika memulai azan. Mereka melakukan ini berdasarkan dalil yang sangat umum iaitu firman Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [Al-Ahzaab : 56]

Dan dalil-dalil lain yang menjelaskan keutamaan selawat kepada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang merupakan dalil-dalil umum (yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam azan yang menggunakan selawat, kerana ia memerlukan dalil khusus, wallahu a'lam.)

Mewajibkan wanita menutup wajah. Berdasarkan hadith : "Wanita adalah aurat", adalah sama dengan keadaan di atas. Ini kerana wanita (sahabiyah) ketika melaksanakan solat mereka umumnya membuka wajah. Demikian pula ketika mereka pulang dari masjid, sebahagian mereka menutupi wajah, dan sebahagian yang lain masih membuka wajah.

Oleh yang demikian hadith diatas (wanita adalah aurat), tidak termasuk wajah dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan praktik orang-orang salaf (para sahabat).

"Adakah para wanita (sahabiyah) memakai niqab?"

Hadith Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.

Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama dari kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.

Sebahagian daripada mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.

"Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan."

Memang kaedah ini bukan bid'ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Kemudian orang-orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.

Di dalam kitab Hijaab Al-Mar'aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats'amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin 'Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, wanita itupun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itupun seorang yang cantik. Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram. Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.

"Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?!"

Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.

Oleh sebab itu Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 30]

Maksudnya daripada (memandang) wanita.

Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. "Hendaklah mereka menahan pandangannya," [An-Nuur : 31]

Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.

Kedua ayat diatas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.

Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya). Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.

Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, Si Pembuat syariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua jenis menusia (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.

Secara Umumnya :

Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Adapun mewajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.

Oleh kerana itu Syeikh telah membuat satu bab khusus di dalam kitab Hijabul Mar'aatul Muslimah, untuk membantah orang yang menganggap bahawa menutup wajah wanita adalah bid'ah. Beliau telah jelaskan bahawa hal ini (menutup wajah) adalah lebih utama bagi wanita.

Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:

"Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat."

Menutup muka kerana timbulnya fitnah

Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari r.a. berkata:

"Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah."

"Saya nak pakai niqab tapi ibubapa tak benarkan, apakah saya boleh memakai niqab tanpa pengetahuan ibubapa saya?"

Sekali lagi dijelaskan bahawa memakai niqab bukanlah wajib tetapi lebih baik (mulia) untuk wanita, manakala mentaati kedua ibubapa adalah wajib bagi seorang anak perempuan sebelum berkahwin. Maka, menurut kehendak ibubapa untuk tidak berniqab adalah lebih baik kepada wanita yang belum berkahwin ini adalah kerana kita perlu mendahulukan perkara yang wajib berbanding yang sunat. Sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari tempat tinggal, maka tidak perlu untuk keluar di khalayak ramai. Ini adalah lebih baik dan selamat untuk wanita.

"Saya memakai niqab tetapi tidak semua tempat membolehkan saya memakai niqab. Contohnya di tempat kerja atau sekolah, sama sekali tidak membenarkan saya memakai niqab. Saya teringin untuk istiqamah berniqab tetapi keadaan tidak membenarkan saya melakukan demikian."

Secara umumnya tidak timbul isu 'istiqamah atau tidak' dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama'.

Seorang kakak yang sangat ana hormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri dari maksiat, apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan. Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik. Masya Allah :)

"Bagaimana kamu makan di khalayak ramai?"

Terpulang kepada jenis niqab yang dipakai. Ada muslimah yang berniqab sentiasa membawa niqab simpanan di dalam tas tangan, sekiranya makan makanan yang berkuah (seperti laksa, tomyam dsb) dan niqabnya kotor maka mudah untuk menukar niqab. Ada yang selesa makan di tempat yang tersorok dari pandangan umum, maka mudah untuknya membuka niqab di hadapan keluarga semasa makan di luar.

Niqab juga berbeza, ada yang memakai niqab butang atau jarum peniti di luar tudung maka apabila makan mudah untuk membuka niqab di tempat tersorok. Ada muslimah yang memakai niqab bergetah, maka hanya turunkan niqab di bawah dagu untuk makan di tempat tersorok. Sebahagian lagi memakai niqab hitam (seperti arab) yang diikat di belakang kepala, maka, mereka akan menyelaknya dari bawah niqab dan makan seperti biasa :)

Sangat terharu dengan kata-kata seorang kakak.

"Alangkah indahnya andai daulah islamiyyah tertegak, tidaklah orang yang berniqab kelihatan pelik."

Indahnya ummat Islam itu bukan kerana dia adalah seorang Muslim tetapi yang mengindahkan ummat Islam adalah pelaksanaan syariat Islam di dalam kehidupannya.

Wallahua'lam.


Transformasi diri,
Insyirah Soleha.


Coretan di atas adalah perkongsian buat sahabiah di luar sana yang musyhkil atau ingin lebih tahu tentang berniqab.Namun, dinasihatkan janganlah diambil bulat-bulat apa yang dikongsikan di sini.Ain harap sahabat dan sahabiah sekalian rujuklah dengan mereka yang arif dan lebih dalam lagi ilmu agamanya.

Bertemu lagi di coretan akan datang,InsyaAllah.

Thursday, October 20, 2011

ANDAI RASULULLAH SAW BERSAMA KITA

Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Ingin rasanya ain berkongsi sedikit sebanyak beberapa video di sini.

Moga ianya memberikan keinsafan buat diri kita semua.SubhanAllah..Maha Suci Allah..Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW..















Di manakah RAsulullah SAW di hati kita???

TINGKATKAN KUALITI SOLAT.. HINDARI 10 GANGGUAN SYAITAN....


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sekalian.Moga sahabat semua senantiasa dalam rahmat Allah SWT, aamiin.

Di sini ain ingin berkongsi berkenaan perkara-perkara yang sering berlaku ketika kita ingin atau sedang bersolat.Perasaan was-was atau lalai dalam etika bersolat sering dipandang remeh.

Jom kita tingkatkan kualiti solat!!!

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram:
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah... Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk... Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa..

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat:
Seorang sahabat datang kepada Rasulullah s.a.w. dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.. “Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim)..

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan:
Abu Hurairah r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kamu solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kamu mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)..

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan:
Abu Hurairah r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan... Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. lagi.. selesai iqamat, dia kembali lagi.. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari)..

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat:
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.. Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.. Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)..

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu:
Dahulu ada seorang sahabat bermain kerikil ketika sedang tasyahhud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat..“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah s.a.w.”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi)..

7) Melihat (Menjeling) ke kiri atau ke kanan ketika solat:
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dari dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah r.anha, beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. hukum melihat ke kiri ke kanan ketika solat”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk:
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).. Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)..

9) Bersin berulang kali ketika solat:
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud r.a., “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”..

10) Terasa ingin buang angin atau buang air:
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kamu bimbang apa yang dirasakan di perutnya, apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim)..

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.. Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.


Syukran buat Ustaz Ramli Joned dari Kepala Batas, Pulau Pinang di atas kesudian berkongsi nota di sini.

Sampai di sini sahaja yea sahabat NUR sekalian.InsyaAllah, bertemu lagi di coretan akan datang.

Tuesday, October 18, 2011

PENCARIAN MASIH BERMULA...


Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.Moga segala urusan sahabat sekalian sentiasa dipermudahkan dan moga dalam lindungan Allah SWT selalu.Aamiin.

Sedikit perkongsian dengan sahabat NUR.Baru-baru ni ain bertemu kembali dengan seorang sahabat yang ain kenali 2-3 tahun yang lalu, juga seorang niqabis.Namanya kak Safiah.Pertemuan terjadi selepas satu panggilan telefon ain buat pada kak Safiah.Niat ain berhubung dengan kak Safiah adalah untuk mendapatkan tunjuk ajar daripadanya tentang cara jahitan tudung labuh dan niqab.Selain itu, diharapkan pertemuan kami nanti dapatlah ain bertanyakan padanya tentang hal agama.

Alhamdulillah, ain ke rumah kak safiah untuk bertemu seperti yang dirancang.Pada mulanya kak Safiah agak terkejut dengan ain yang kini berbeza sejak pertemuan kami beberapa tahun lalu.Namun, Alhamdulillah kak Safiah menerima ain dengan tangan dan hati terbuka.Ain dapat rasakan kak Safiah begitu gembira seperti mana ain juga berasa amat gembira dan teruja bertemunya kembali setelah sekian lama.Ain dapat rasakan keikhlasan yang ada pada diri kak Safiah yang bukan sahaja peramah, malah amat pemurah dalam berkongsi ilmu dengan ain.

Perbualan kami bermula dengan bercerita serba sedikit tentang perkembangan masing-masing.Ain mula nyatakan keinginan ain untuk mencari tempat atau guru yang boleh membimbing ain dalam hal agama.Ain tidak malu nyatakan bahawa selama ini ain lalai dalam mendalami ilmu agama dan hanya pentingkan hal dunia semata-mata.Selama 8 tahun ain memeluk Islam, ain hanya bergantung pada buku-buku bacaan dan ceramah-ceramah agama sahaja, namun tidak berguru.

Kebetulan, kak Safiah mempunyai kenalan yang aktif menghadiri kelas-kelas agama.SubhanAllah..Alhamdulillah..Ain berasa amat teruja dan bersyukur teramat kerana akhirnya ain bertemu dengan insan yang boleh membantu.Sebelum ni, ain dijanjikan dengan janji kosong.Namun, Allah Maha Pemurah.Digantikannya dengan menemukan ain kembali dengan seseorang yang benar-benar ikhlas dan tidak lokek berkongsi ilmu serta pengalaman.

Siang tadi ain ke kuliah pertama ain berkenaan ilmu tauhid dan fiqah yang diajarkan oleh seorang UStaz..Ain ke sana bertemankan beberapa sahabat-sahabat yang juga ain baru kenali melalui kak Safiah, namanya kak Nurul dan kak Zai.Mereka amat peramah dan begitu murah hati dari segala segi.Walaupun mereka jauh lebih banyak ilmunya, namun tidak sombong dan tidak sama sekali memandang rendah pada diri ini.Alhamdulillah, Allah SWT pertemukan ain dengan hamba-hamba NYA yang begitu pemurah.Tentang kuliah ain baru sahaja hadiri, tak perlulah ain huraikan lagi kerana masih agak baru.InsyaAllah, akan ain kongsikan perkembangan ini di masa depan.

Jadual pada hari esok pula adalah bertemu dengan seorang lagi kenalan baru, isteri seorang ustaz.Kak Zai pesan panggil je kak Ani.Alhamdulillah, kami telah berbual dan berkenalan melaui telefon petang tadi.InsyaAllah, ain akan bertanyakan pada kak Ani sekiranya dia tidak keberatan membantu ain dalam sudut ilmu tauhid dan fiqah.Walaupun ain sudah mendapat tempat untuk belajar tentang ilmu tauhid dan fiqah, namun ain merasakan sekiranya ain mendapat seorang muslimah untuk mengajar dan membimbing ain, ain akan rasa lebih selesa.Terus-terang, buat masa ni ain lebih selesa berguru dengan seorang yang bernama muslimah sahaja.Bukan berniat melarikan diri, namun keselesaan antara seorang murid dan guru juga penting.Bila adanya keserasian dan keselesaan, insyaAllah mudah dan senang untuk ain bertanya.

Sampai di sini saja coretan kali ini.InsyaAllah, malam ini ain akan menerima kunjungan daripada kak Safiah dan keluarganya di rumah ain ini.Izinkan ain undur diri yea.

Moga kita bertemu lagi di coretan akan datang,insyaAllah..

Sunday, October 16, 2011

DI HARI PERTAMA...



Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sekalian.Moga sahabat semua dalam keadaan sihat sejahtera selalu.

Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...Syukur pada Allah SWT di atas izin NYA ain masih diberikan peluang untuk menikmati nikmat kehidupan ini yang pelbagai.Betapa beruntungnya ain kerana terpilih menjadi hamba NYA sejak 8 tahun yang lalu.Alhamdulillah.

Lihat gambar di atas.Kali ini ain ingin berkongsi pengalaman ain kali pertama makan di luar.Setelah sekian lama, hari ini ain memberanikan diri untuk makan di kedai kegemaran ain dan suami.Ain katakan pada suami, "Sayang, kita makan luar hari ni boleh? Tempat kita biasa pergi dulu..."...suami, "Awak ok ke?"..ain, "Kena belajar beranikan diri, lagipun saya dah biasa makan pakai niqab.Cuma sekarang kat kedai,tempat awam."

Setibanya ain di tempat dituju, ain menjadi menggelabah.Rasa seram semacam.Hehe, bila difikirkan rasa lucu pula.Suami ain beri sokongan dan katanya dia tidak berasa malu walaupun cara ain berpakaian tidak lagi seperti dahulu.Ain cuba memberanikan diri dan berlagak seperti biasa.

Tiba pula di meja makan, ain cuba cari posisi tempat duduk yang bersesuaian agar ain rasa selesa untuk makan tanpa rasa was-was atau malu.Lagipun rasa gemuruh masih ada lagi untuk makan di khalayak ramai.Alhamdulillah tempat makan kegemaran ain dan suami walaupun di tempat awam, namun tidak terlalu ramai pelanggan.Kiranya ain masih boleh belajar untuk biasakan diri.




Selesai makan tengah hari, sempat juga ain ambil foto untuk tatapan sahabat.Inilah suasana atau posisi tempat ain duduk.Nampak macam kelakar je kan..Takpelah, mengadap peti TNB..Hahaha...Apapun, ain dah rasa kembali yakin makan di khalayak ramai.Lagipun, tiada apa yang harus ditakutkan.

Sesudah selesai menjamu selera, kami berangkat pula ke pusat beli-belah membeli barangan dapur yang sudah hampir kehabisan.Ain dan suami tidak mengambil masa lama kerana sudah membuat senarai barangan yang diperlukan.Masa itu EMAS!

Sebelum pulang ke rumah, sempat juga suami bawa ain makan angin di pantai berdekatan.Sekadar berpusing-pusing di dalam kereta sambil melihat pemandangan di persisiran pantai.




Hari sudah beransur ke waktu Asar, maka tanpa berlengah lagi ain dan suami bertolak pulang ke rumah.Macam biasa, ain ambil gambar foto sebagai kenangan.Gambar biasa je menggunakan telefon kamera.

Setakat ini saja coretan ain kali ini.InsyaAllah kita bertemu lagi di coretan akan datang.Jaga diri yea sahabat semua!

Sunday, October 9, 2011

INI KISAHKU...PENUTUP BICARA

Masa kian berlalu, tahun berganti tahun dan persekitaran banyak mempengaruhi diri ini.Pergaulan dengan rakan-rakan, suasana pekerjaan, tekanan ekonomi membuatkan ain mula alpa dengan diri ini.Ain rasakan ada saja yang tidak kena, mencari sesuatu yang tak pasti.

Akibat terlalu alpa dengan hal duniawi, hal agama ain bersikap sambil lewa sahaja.Ain sibukkan diri mencari rezeki sedangkan ain lupa siapa yang memberikan rezeki pada ain selama ini.Ain lupa tanggungjawab ain sebagai seorang muslim.Ain lupa bahawa ain ada tanggungjawab yang lebih besar dari segalanya.Ain lupa setelah Allah berikan ain segalanya.

Kira-kira 2 tahun yang terakhir ain bekerja, ain mula muhasabah diri sendiri.Ain sedar hal dunia bukan milik ain selamanya kerana akhirnya nanti ain perlu mengadap pada yang menciptakan segala-galanya.Apalah guna ain mengejar wang ringgit, harta dunia sekiranya ilmu agama ain sekadar di hujung jari.Sering ain merasakan diri ini ketinggalan jauh, jauh dari Yang Maha Esa.Ain rasa takut, takut andai ain gagal menjadi hamba Allah yang disayangi.

Atas belas kasihan Allah SWT jua, Allah berikan ain suatu ujian yang begitu hebat dan amat berat untuk ain luahkan disini.Cukuplah ain katakan ujian yang Allah berikan itu benar-benar menguji tahap keimanan ain dan menyedarkan ain dari mimpi selama ini.Baru kini ain faham, "Seseorang itu takkan dikatakan beriman selagi mana ia tidak diuji..."

Dugaan yang ain terima itu, benar-benar menginsafkan diri ini.Ain sedar rupanya selama ini ain terlalu alpa dan seronok dengan hiburan di dunia hingga membelakangkan agama.Selama ini ain dibuai mimpi yang lena hingga tidak sedar bahawa adakala mimpi itu boleh saja merosakkan diri sendiri.

Ain muhasabah diri sendiri, memohon pada Allah SWT petunjuk dan hidayah NYA agar diri ini tidak terus-terusan sesat dengan godaan semata-mata.Cukuplah dengan apa ain terima setakat ni.Secara jujurnya, ain rela tinggalkan segala kesenangan, kemewahan dan keseronokkan dunia asalkan Allah ada bersama ain di kala senang mahupun sukar.Ain tak mahu menjadi hamba NYA yang hina lagi alpa.Ain tidak mahu menjadi hamba Allah yang derhaka pada agamanya sendiri.

Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba NYA, maka dengan itu hamba NYA perlu diuji.Ain juga tidak terkecuali menerima ujian getir dari NYA.Namun, akhirnya ain redha dan pasrah dengan ujian diberi dan menyerahkan segalanya pada Allah bagaimana ianya berakhir.Walaupun di ketika musibah menimpa itu membuatkan diri ini terkapai-kapai seketika, ain tidak sesekali menyalahkan takdir atas segalanya.Lagipun sesuatu perkara yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu sudah pasti datang daripada diri ain sendiri.Ain amat yakin segala yang berlaku ada sebabnya dan ada hikmahnya sendiri.

Ain sedar ramai yang terluka dengan kesilapan yang dibuat akibat sikap alpa diri ini, namun ain sedar ain telah melukakan hati Allah SWT.Ya Allah! Betapa kejamnya hambamu ini.Masihkah ada ruang dan waktu untuk ain perbaiki segalanya? Masihkah ada detik untuk diri ini bertaubat atas segalanya?Semua itu tiada jawapan pasti yang mampu ain beri.Ain berserah diri pada NYA.Baik buruk pengakhiran dan jalan yang bakal ditempuh, ain redha, ain pasrah.

Alhamdulillah, Allah Maha Adil dan Maha Penyayang.Dengan izinNYA ain diberikan hidayah yang tidak terduga serta membuka hati ini untuk terus berhijrah di jalan NYA.Inilah rupanya yang selama ini ain cari dan ain dambakan.Amat sukar digambarkan dengan kata-kata.SubhanAllah, Maha Suci Allah atas segalanya.Segala kepahitan, dugaan, ujian yang ain terima selama ini berbalas dengan hikmah tak terperi.Benarlah kata-kata ini, "Sentiasalah bersangka baik pada Allah, sesungguhnya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya"..

Buat sahabat setia NUR pasti faham apa ain maksudkan dengan HIJRAH.Bagi sahabat yang ingin tahu dan faham lagi, bolehlah singgah pada post-post ain terdahulu LABEL "NIQAB", "HIJRAH", "AURAT"

Sampai di sini saja coretan ain dalam tajuk "INILAH KISAHKU" .Terima kasih banyak ain ucapkan buat sahabat pembaca sekalian yang tidak putus-putus melayari coretan-coretan ain yang tidak seberapa ini.Sesungguhnya ain amat-amat hargai.

Segala yang ain coretkan dalam "INILAH KISAHKU" hanyalah untuk berkongsi pengalaman diri.Alhamdulillah ain amat bersyukur kepada Allah SWT kerana ain masih dikira beruntung kerana perjalanan ain dalam menuju agama Allah ini tidaklah sesukar seperti saudara-saudara baru yang lain.

Ramai diantara saudara-saudara baru kita yang bersendirian di luar sana, menempuh dugaan tanpa kehadiran keluarga tersayang mahupun sahabat yang boleh dipercayai.Mereka ini adakalanya terpaksa menyembunyikan identiti diri bertahun-tahun disebabkan tiada sokongan daripada sesiapa.Malah, ada diantara kami yang bergelar mualaf atau saudara baru dipandang serong terutamanya apabila kami berusaha menjadi hamba Allah sebaik yang boleh.

Bagi yang kuat dan tabah, pasti dapat tempuhinya dengan baik.Manakala yang lemah pasti berdepan dengan pelbagai kesukaran dan mungkin saja hilang arah tujuan dalam kehidupan ini.Kita yang berada dalam masyarakatlah yang harus dekatkan diri dengan golongan sebegini.Jangan biarkan kami terpinggir.Bagi sahabat NUR yang berkelapangan, silalah layari post ain yang terdahulu dalam LABEL "HIJRAH" bertajuk "USAH DEPERSOALKAN".Anda akan lebih memahami apa yang ain cuba sampaikan di sini.

Alhamdulillah, kini ain bergelar suri rumah sepenuh masa sambil menjalankan perniagaan online secara kecil-kecilan.Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT kerana dengan izin NYA juga keputusan ain untuk berniqab dipermudahkan.Ain lebih gembira dengan kehidupan ain sekarang.Maka, masa yang ada akan ain gunakan sebaik mungkin menambah ilmu di dada yang serba kekurangan ini.Moga Allah SWT permudahkan ain mencari ilmu dunia mahupun akhirat agar dapatlah ain gunakan ilmu yang ada nanti untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat yang lain, InsyaAllah.

Moga dengan adanya coretan blog ain di alam maya ini dapatlah ain gunakan semaksimum mungkin berkongsi ilmu dan pengalaman, InsyaAllah.Itulah niat ain sejak hari pertama ain mula aktif di dalam penulisan blog.

Alhamdulillah.Terima kasih Allah atas segalanya...

Moga kita bertemu lagi di coretan akan datang, InsyaAllah.

Salam sayang buat sahabat semua kerana Allah...

Saturday, October 8, 2011

INI KISAHKU...



BAB 8

Kini, ain bukan lagi seorang pelajar.Kini, ain seorang jururawat dan menggalas tanggungjawab berat selepas ini.Mulalah detik ain ke alam pekerjaan.Perasaan teruja, berdebar, takut dan bermacam-macam perasaan menghantui diri memikirkan hari ain mula bekerja.

Ain mula bekerja beberapa hari sahaja sejurus ain tamat pelajaran di kolej.Di hari pertama dan seterusnya ain akui agak kekok dengan suasana dan aktiviti baru.Ain perlu cepat membiasakan diri dengan suasana yang berlainan, rutin berbeza dan juga perlu segera membiasakan diri dengan rakan-rakan sekerja yang lebih senior dari ain waktu itu.

Jarak perjalanan untuk ke tempat kerja tidaklah terlalu jauh, kira-kira 30 minit masa perjalanan menggunakan kereta.Ain sudah memiliki lesen memandu seawal usia 17 tahun, iaitu selepas ain tamat SPM, dan bekerja sambilan, ain gunakan pendapatan sambilan untuk belajar memandu.Maka, ain tidak perlu risau untuk berulang-alik ke tempat kerja.Bapa ain tidak menggunakan kereta, maka ain diberikan keizinan menggunakan keretanya untuk berulang alik ke tempat kerja.

Di ketika ini, ain sudah mula bertudung ke tempat kerja.Namun, ain tidak mengenakannya 100 peratus dalam kehidupan seharian ain.Ini atas permintaan ibu dan ain hormati permintaannya itu.Ain sedar dan ain faham, keluarga masih tidak dapat membiasakan diri dengan perubahan diri ini.Ain perlu beri mereka masa untuk terima diri ini seadanya.

Namun, di tempat kerja lain pula ceritanya.Ada suatu hari itu ain perlu menghadiri sesi bengkel yang dianjurkan oleh pihak hospital.Ain hadirkan diri dengan berseluar jeans dan baju biasa, namun tidak bertudung.Tanpa diduga, ain ditegur oleh seorang rakan sekerja, "Eh, mana tudung?kejap pakai kejap tak..."..

Kata-kata itu benar-benar menusuk hati ini.Kenapa ain pula dipersoalkan tidak bertudung? Kenapa tidak menyoal mereka yang sejak lahir Islam tetapi tidak bertudung? Kenapa tidak menyoal mereka yang gemar bertudung hanya di tempat tertentu sahaja? Kenapa soalan sebegini ditujukan pada ain? Kenapa? Adakah disebabkan ain mualaf, maka ain tidak boleh buat silap walau sedikit pun?

Tidak kurang juga ada yang beranggapan ain memeluk Islam kerana bercinta dengan jejaka Melayu.Ain sedar tanggapan itu tetap melekat sejak di awal pengIslaman ain lagi.Mahu atau tidak, ain pekakkan telinga sahaja dan berharap segalanya berlalu dengan masa.Memang benar, Zal hadir di kala ain memeluk Islam.Namun itu bukan sebab utama ain memeluk Islam.Islam itu indah dan bukannya untuk diperlekehkan.Sejak kejadian itu, ain sedar tidak mudah bergelar seorang mualaf atau saudara baru.Segala gerak geri dan tingkah laku ain akan diperhatikan.Sedikit kesilapan boleh saja merosakkan segalanya.

Pada mulanya ain sangkakan profesion sebagai seorang jururawat amat mudah, tetapi sebenarnya tidak.Segala yang dipelajari semasa di kolej hanyalah teori dan praktikal biasa sahaja.Kini, segalanya adalah realiti.Ain perlu berdepan dengan bukan sahaja pesakit yang dirawat, malah doktor pakar, dan juga para petugas hospital yang lain.Banyak perkara harus dijaga, banyak tugasan harus diselesaikan dengan cepat dan berhemah.Tugas kami bukan hanya merawat pesakit dan membantu doktor, malah perlu mengemas kini fail-fail dan menyiapkan kertas kerja yang bertambah setiap hari.Ada saja perkara baru yang dibuat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pihak hospital terhadap pesakit yang datang mendapatkan rawatan di hospital berbayar.

Kenangan yang takkan mungkin ain dapat lupakan sewaktu bergelar jururawat adalah, ain sering diajak berbual dalam bahasa cina dengan pesakit.Memandangkan ain berkulit cerah, bermata sepet dan walaupun bertudung ain takkan terlepas diajak berbual dalam bahasa cina, tidak kiralah dalam longhat kantonis, hokkien atau mandarin.Perasaan lucu itu sentiasa ada.Walaupun ain mempunyai latar belakang keluarga cina, namun bahasa membataskan segalanya.Amat sukar untuk ain pelajari bahasa cina kerana lidah ini sudah dibiasakan berbahasa melayu sahaja.

Masih ain ingat hingga kini, kira-kira tahun ke-3 ain bergelar jururawat.Waktu itu ain sedang bertugas memberikan ubat kepada seorang pesakit.Pesakit ini sedar bahawa ain berbangsa Cina tetapi beragama Islam.Memandangkan ain bertudung, maka agak mudah dia mengagak.Pesakit tadi mula mempersoalkan pengIslaman ain.Kata-katanya amat memeritkan hati ini kerana amat menghina agama Islam.Ain cuma nyatakan keyakinan ain akan kewujudan Allah SWT dan adanya Al-Quran sebagai petunjuk.Dia mula bertanyakan sama ada ain pernah membaca Bible.Ain katakan tidak dan ain tidak berminat.Ain mula rasa marah dengan sikap pesakit ini yang tidak tahu menghormati agama Islam sedangkan ain tidak sesekali mempertikaikan kepercayaannya pada agama Krisitian.Akhirnya ain mendiamkan diri kerana tidak mahu wujudnya pertelingkahan, memandangkan ain bekerja di hospital swasta dan pesakit gemar membuat aduan walau perkara itu amat kecil bagi kami.

HAri-hari berlalu dan hubungan antara ain dan zal juga semakin rapat, begitu juga keluarga kami berdua.Ain mula memikirkan masa depan ain dan zal.Ain mengenali zal sejak awal ain memeluk Islam.Zal dan keluargalah yang banyak membantu ain selama ini.Ain berasa beruntung dan terhutang budi.Ain rasakan adanya karisma antara kami berdua dan ain yakin zal seorang yang bertanggungjawab dan boleh memimpin.Hanya dia saja yang ain amat percaya ketika itu dan hanya dia saja yang mengenali ain sebelum dan selepas ain memeluk Islam.Ain yakin hanya Zal yang dapat menjaga ain dengan baik sekiranya ain ditakdirkan bertemu jodoh dengan Zal.

Ain perhatikan Zal seorang yang amat mementingkan hubungan keluarga lebih daripada dirinya sendiri.Itu antara ciri-ciri ain cari juga selama ini.Malah, dia juga pandai mengambil hati kedua-dua ibu bapa ain walau pada mulanya hubungan mereka agak tegang.Faktor-faktor inilah yang membuatkan ain semakin yakin dengan perasaan ini.Ain yakin hanya Zal yang layak untuk menjadi suami ain berbanding yang lain.Selagi seseorang lelaki itu lebih mementingkan keluarga berbanding orang lain, itulah ciri-ciri ain ingini.

Bukannya ain tidak dilamar oleh kumbang yang lain.Bukannya ain tidak berminat pada yang lain.Cuma diri ini sentiasa mengelak dan merasakan mereka tidak tahu jerih payah ain sewaktu ain memeluk Islam.Mereka tidak ada disisi ain sewaktu ain bergelut dengan perasaan hati di awal pengIslaman ain.Mereka tidak ada sewaktu ain sudah hampir berputus asa.Maka bagi ain, Zal adalah calon yang paling sesuai.Zal sentiasa ada di saat ain mula goyah dengan diri sendiri dan di saat ain hampir-hampir kecundang.Zal sentiasa di sisi bila mana ain memerlukan.Memandangkan keluarga ain dan Zal sudah berhubungan baik, maka ain rasakan semuanya sempurna dan dialah pilihan ain yang terbaik.Keluarga saling mengenali, kami juga saling mengenali diri masing-masing.

Akhirnya kami putuskan untuk bertunang.Pertunangan diantara ain dan zal diadakan pada 16 Oktober 2005 iaitu sewaktu usia ain baru mencecah 21 tahun.Mungkin ramai beranggapan terlalu awal, namun ain rasakan itulah yang sebaiknya memandangkan kami sudah lama berkenalan serta direstui kedua-dua belah pihak.Tiada perasaan ragu ketika itu dan itu adalah langkah pertama kami sebelum merancang untuk berkahwin.Majlis pertunangan kami diadakan di rumah ibu bapa ain secara sederhana dengan dihadiri oleh sanak-saudara dan rakan-rakan terdekat sahaja.Cincin pertunangan ain pula disarungkan oleh nenek Zal sendiri.Perasaan gembira bercampur sedih ain rasakan ketika itu.

Setelah semuanya selesai, ain dan zal sepakat untuk melangsungkan perkahwinan kami secepat mungkin.Walau bagaimanapun, keluarga ain agak keberatan memandangkan ain masih muda dan masih baru saja bekerja.Mereka berpendapat ain harus berjaya dalam bidang diceburi sebelum memikirkan untuk berumah tangga.

Secara ringkasnya, kami akhirnya bernikah pada 20 May 2006 dan sah bergelar suami isteri.Majlis perkahwinan kami diadakan dalam 2 suasana berbeza.Atas permintaan kedua-dua ibu bapa ain, maka adat resam Cina dijalankan setelah mendapat pertimbangan daripada keluarga lelaki.Secara peribadi, ain ingin menggembirakan hati ibu bapa ain setelah sekian lama mereka banyak bersabar dan bersusah-payah.Jauh di sudut hati mereka, ain tahu mereka masih sukar menerima perubahan anaknya ini.Walaupun tidak diluahkan, sebagai anak ain dapat merasakannya.

Kini ain menggalas tanggungjawab baru iaitu sebagai seorang isteri.Ain memasang niat untuk menjadi seorang isteri yang baik, yang taat pada suami dan agama.Ain bercita-cita untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik lagi pada masa-masa akan datang...


Bersambung...

Thursday, October 6, 2011

INI KISAHKU...



Sambungan...

BAB 7

Sepanjang 3 tahun ain terus bertahan menghadapi situasi harian yang berbeza, tidak kira dalam pembelajaran, mahupun hubungan sesama rakan kolej.Apabila tiba waktu cuti semester, ain pulang ke rumah ibu bapa seperti biasa.Di rumah, ain dibenarkan solat dan makan minum ain juga dijagai dengan baik.Ibu ain akur ain tidak akan makan sesuatu yang ain was-was halal dan haramnya.Sepanjang perjalanan ain bergelar seorang muslim dan dalam masa sama bergelar pelajar kejururawatan, ibu bapa ain mulai berhubungan baik dengan keluarga Zal.Ibu Zal turut membantu memberikan kefahaman kepada ibu ain terutamanya dari segi penggunaan alatan untuk memasak dan makanan yang akan disediakan.Dari segi hubungan ain dan keluarga kedua-dua belah pihak setakat ini berjalan dengan lancar, alhamdulillah.

Ain turut berkongsi masalah ain hadapi sewaktu sesi pembelajaran bersama ibu.Ibu juga maklumkan ain bahawa dia sering mendapat panggilan telefon dari pihak pengetua memaklumkan keadaan ain di kolej, namun semuanya lebih kepada penghinaan.Ain dipandang rendah oleh pihak pengetua.Ibu ain akhirnya tidak dapat menahan sabar dan akhirnya pada panggilan telefon terakhir dari pihak pengetua, ibu ain terus mempertahankan anaknya ini.Sejak itu, tiada lagi panggilan telefon diterima.

Namun, itu tidak bererti tekanan pada diri ain dalam pelajaran berakhir.Ain terus tertekan setiap kali ada sesi pembentangan kertas kerja di hadapan kelas.Rasa malu, rendah diri terus mencengkam diri ini.Mental ain mulai berkata, "Cukuplah setakat ni, aku kalah!"..

Waktu itu, ain sudah berada di semester 6, iaitu semester akhir pembelajaran sebelum bergelar jururawat.Tekanan yang bermula sejak semester 2 hingga kini, sudah ain tidak tahan tertanggung lagi.Ain akui ain lemah dan tidak tahan direndah-rendahkan.Ain mula berputus asa dan mulai hilang semangat untuk belajar.

Mungkin inilah ujian Allah menguji sejauh mana hamba NYA ini dapat bertahan.Sewaktu ain berada di semester ke 6, ain masih ingat 2 orang tenaga pengajar ain ketika itu yang amat prihatin dan tidak kisah dengan status ain ketika itu.Di kala semangat ain sudah tiada, di kala ain sudah benar-benar berputus asa, Allah pertemukan ain dengan 2 insan mulia ini.Hingga kini ain tidak akan lupakan jasa baik mereka.

Atas kesabaran dan keprihatinan 2 insan inilah, semangat ain kembali semula.Atas semangat seorang pendidik inilah, akhirnya ain dapat bertahan hingga saat akhir.Ucapan terima kasih ain ucapkan pada Ms.Molly yang tidak putus-putus membantu ain dalam menjalani ujian amali dan praktikal tidak kira di kelas atau sewaktu berada di wad.Buat Allahyarhamah Puan Mariah, jasamu takkan mungkin ku lupa selamanya.Ain takkan lupa kata-kata semangat dan dorongan yang diberikan pada ain hingga saat akhir demi memastikan anak didiknya yang lemah ini mengecap kejayaan.Al - Fatihah buatmu.Moga dirimu ditempatkan di sisi orang-orang soleh dan solehah, aamiin.

Tanggal 30 Ogos 2005, akhirnya ain berjaya bergelar seorang jururawat.Akhirnya segala jerih payah ain menahan kata-kata sekeliling, berbalas dengan segulung diploma di tangan.Antara orang yang paling gembira sudah pasti kedua-dua ibu bapa ain sendiri.Tanpa sokongan dan kesabaran mereka selama 3 tahun itu, tidak mungkin ain dapat merasakan ini semua.Adik ain, Vina juga turut gembira bersama.Terima kasih juga diucapkan buat zal dan keluarga kerana banyak bersabar dengan segala karenah ain selama ini.

INI KISAHKU...



BAB 6

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan bulan silih berganti.Di kala diri ini mengharungi kehidupan sebagai seorang yang masih baru dalam Islam, ain mula menjadi seorang yang agak pendiam.Tidak peramah seperti selalu dan ain lebih banyak menyendiri.Kenalan kolej yang rapat hanyalah beberapa orang sahaja.Ain tidak tahu siapa yang harus ain percaya untuk diluahkan rasa hati ini selain zal.Zal sahaja tempat ain mengadu selain Allah.Hanya padanya ain luahkan rasa hati ini di ketika diri ini berasa begitu lemah sekali.Hubungan kami menjadi semakin rapat.

Oleh kerana ain tidak lagi menghadirkan diri ke kelas agama, ain perlu bijak belajar berdikari dan berusaha sendiri dalam mencari ilmu agama.Dari segi solat wajib 5 waktu, ain meminta rakan serumah untuk membantu.Namanya, Mazuin atau kami di sini lebih senang memanggilnya Achik.Hanya pada Achik sahaja ain bergantung harap belajar langkah-langkah dan cara solat yang betul selain berpandukan pada buku solat yang sedia ada.Bagi ain, teori sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak dilihat dan dipraktikkan sendiri dengan amali.Achik banyak membantu ain untuk melakukan solat dengan betul dan akhirnya ain yakin untuk lakukannya sendiri.Namun begitu, surah-surah yang dibaca hanyalah hafalan sahaja di bibir kerana ain belum mampu untuk fahami segalanya dalam sekelip mata.

Ain mula belajar mengaji dengan kak Nurul serta seorang lagi rakan bernama Supiahtun yang sudi membantu.Ain gunakan buku Iqra' yang dibelikan zal untuk belajar mengaji.Waktu itu, perasaan sedih semakin berkurangan dan tumpuan ain pada pelajaran kembali pulih.Rasa bersyukur dan gembira yang teramat kerana ain dapat belajar mengaji dan solat tanpa sebarang masalah.

Walau bagaimanapun, langit takkan selalunya cerah.Kini, setiap kali berada di kelas ain dapat rasakan kedinginan para pengajar terhadap status ain yang kini beragama Islam.Paling jelas kelihatan adalah sewaktu sesi kelas yang dikendalikan oleh pihak pengetua ain sendiri.Apabila ada pembentangan kertas kerja atau tugasan yang diberikan, rakan-rakan yang agak rapat dengan ain akan terkena tempiasnya.Ada saja yang tidak kena dengan tugasan yang disiapkan oleh rakan-rakan yang rapat dengan diri ini.Sedih memikirkan, mahu atau tidak terpaksa mereka lalui.Ain jadi serba salah.Ain rasa malu dan terkilan atas apa yang terjadi.Biarlah ain saja yang dimarahi, namun rakan-rakan juga terkena tempiasnya.Makin bertambah rasa bersalah dalam diri ini.Rasa rendah diri, malu semakin membuak-buak.

Paling tidak dapat ain lupakan adalah kata-kata pengetua pada suatu hari sewaktu dalam sesi kelasnya, "Kalau nak jadi ustazah, tak payah belajar.Balik je kampung, kahwin.."..Banyak lagi kata-kata yang dilontarkan dan ain tidak ingat serta ain tidak mahu ingat.

Ya Allah! Sebak rasa hati ini, sambil menahan air mata.Setelah pengetua berlalu pergi meninggalkan kelas.Ain terus menangis tanpa rasa segan atau malu.Sedih yang teramat, ain meminta maaf pada kak Nurul dan rakan-rakan yang lain kerana ain telah menyusahkan mereka.Kerana ain, mereka yang beragama Islam dipandang hina dan dicaci.Begitu hinanya kami pada pandangan pengetua.

Sejak dari itu, bermulalah perubahan sikap ain yang mendadak dan ain tahu rakan-rakan juga dapat rasakan dan lihat.Ain mula hilang tumpuan dalam pelajaran.Ain mula menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan seperti biasa.Bagi ain, adalah lebih elok ain jauhkan diri ini dan memastikan tiada sesiapa yang rapat dengan ain lagi selepas ini.Ain juga pastikan ain tidak lagi menonjol dalam pelajaran agar perhatian pada diri ini dikurangkan.Ain juga bersikap tidak ambil kisah tentang apa yang berlaku dengan rakan-rakan kerana ain yakin cara ini saja yang dapat ain buat untuk jauhkan diri dan agar diri ini tidak lagi diendahkan.Amat perit tapi bagi ain ketika itu, inilah yang terbaik.

Ain juga berhenti mengaji.Ain jelaskan pada kak Nurul, biarkan ain sendiri dan ain nyatakan ini bukan masa yang sesuai.Ain tidak mahu melibatkan kak Nurul atau mana-mana rakan kolej dengan ain lagi.Ain hanya libatkan diri apabila perlu sahaja iaitu apabila ada kertas kerja yang perlu disiapkan secara berkumpulan.Segala yang ain lakukan ini akhirnya mengundang padah kerana akhirnya ain menjadi seorang yang rendah diri dan tidak mahu bersaing.Ain jadi penakut, takut dengan kehidupan.Takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ain seakan-akan hidup dalam dunia ain sendiri.Setiap kali solat, ain berdoa agar diri ini tabah hadapi segalanya.Ain hanya mengikut arus.Setiap hari, setiap saat ain berdoa moga cepatlah masa berlalu agar ain tidak perlu lalui semua ini lagi.Ain sudah tidak tahan melayan karenah pihak kolej yang adakala bersikap berat sebelah.Cepatlah semester pengajian berakhir.Itu saja ain harapkan.Betapa sempitnya fikiran ain ketika itu.Sepatutya, ketika ini ain bergembira di samping rakan-rakan dan menikmati saat-saat bergelar sebagai seorang pelajar.Orang kata, saat belajar paling manis sebelum melangkah ke alam pekerjaan.Bagi ain pula adalah sebaliknya, tiada yang manis semasa bergelar pelajar.

Sering ain melihat rakan-rakan sekolej bergurau senda, keluar bersama, makan bersama.Namun ain seperti dalam dunia ain sendiri.Rasa sunyi, sepi bagai dunia ini tiada maknanya lagi.Ain akui salah ain juga kerana menjauhkan diri dan bersikap tidak ambil peduli tentang masalah rakan-rakan yang lain.Itu yang ain nak dan kini terjadi, maka ain tidak boleh marah bila bersendirian sepanjang berada di kolej atau asrama.

Perasaan memberontak sering menghantui diri.Pada Zal tempat ain luahkan rasa hati, namun nasihatnya juga ain tidak dengari.Entahlah, jiwa orang muda terlalu mengikut perasaan.Bagi ain, ain sudah cukup tertekan dengan keadaan dan suasana pembelajaran, serta sikap bermuka-muka diantara mereka.Bila difikirkan kembali kini, mungkin ain terlalu mengikut rasa hati.

Dari segi berpakaian, pada mulanya ain bertudung dan berpakaian tidak terlalu ketat.Akhirnya pakaian seharian ain seperti berseluar ketat, berbaju singkat serta mengikut bentuk tubuh adalah perkara biasa bagi ain.Melihat yang lain berpakaian sedemikian, makin membuatkan ain alpa dengan diri sendiri.Namun, akibat terlalu naif tentang agama dan adab yang betul seorang wanita Islam berpakaian, ain turut terpesong.Adakala bertudung dan adakalanya tidak.Jika bertudung, ain akan pinkan ke atas melebihi paras dada, kononnya fesyen terkini.Ain melihat persekitaran dan cara wanita Islam berpakaian.Ain sangkakan bertudung, berpakaian ketat tiada salahnya.Asalkan bertudung, cukuplah.Itulah pemikiran ain ketika itu.Betapa bodohnya ain yang hanya mengikut arus.Tanpa ilmu yang betul, ain terus hanyut dengan arus semasa.

Zal menegur, namun ain tidak endahkan kata-katanya itu.Rakan-rakan tiada yang menegur.Lagipun cara ain berpakaian juga lebih kurang saja seperti yang lain.Namun, itu bukanlah alasannya.Ain juga beralasan wanita Islam kini perlu modenkan diri agar dapat menarik perhatian mereka yang beragama lain.Ya Allah! Betapa bodohnya ain ketika itu.Betapa sempitnya ain dalam mencipta imej Islam tanpa berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Kini ain sedar, ain juga silap.Ain masih mencari identiti diri sebagai seorang muslim.Tekanan perasaan berterusan dan ain hanya terus hadapinya dengan sedaya mungkin.

Bersambung...

Wednesday, October 5, 2011

INI KISAHKU...



Sambungan...

BAB 5

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.Ain tidak dapat ingat bila ianya terjadi kerana amat perit untuk ain ingat peristiwa pahit ini dalam hidup ain.Seperti ain katakan, ain nekad untuk maklumkan sendiri pengIslaman ain kepada ibu bapa setelah benar-benar bersedia.Namun, rupanya ada orang lain yang sudah tolong sampaikan terlebih dahulu sebelum ain sedari.

Suatu hari itu, ain tidak ingat tarikhnya bila tapi kira-kira beberapa hari selepas ain daftar secara rasmi memeluk Islam, ain dipanggil untuk berjumpa dengan Pengetua Kolej.Dalam benak fikiran dan perasaan ain ketika itu adalah, ada sesuatu perkara buruk yang akan terjadi.Ain rasakan rahsia ain kini telah terbongkar.Memang tepat rasa hati ini.Setelah melangkah masuk ke bilik pengetua, ain melihat wajah bengis pengetua ketika itu amat menyeramkan.Ain terus diterjah dengan pelbagai persoalan dan pertanyaan oleh Pengetua Kolej tanpa membenarkan ain bersuara menyatakan pendirian ain ketika itu.

Pengetua terus gertak dengan mengatakan perbuatan ain ini menyebabkan ain akan terus dibuang kolej.Ain tidak dapat mempertahankan diri.Pengetua juga dengan selambanya menghubungi kedua-dua ibu bapa ain dan memaklumkan perkara yang berlaku serta meminta mereka hadirkan diri dengan segera.Ain rasakan seperti hati ini tertusuk oleh benda tajam dan menghiris hati ini satu persatu.Dunia ain ketika itu bagaikan nyawa di hujung tanduk.Tiada talian hayat diberi, hanya hukuman sahaja terus dijatuhkan.

Sementara menunggu ibu bapa ain hadirkan diri, ain disuruh keluar dan menunggu kedatangan ibu bapa ain.Di kesempatan itu, ain sempat berbual dengan kak Nurul dan beberapa rakan kolej.Mereka cuba menenangkan ain dan memberi sokongan moral.Ain tidak dapat berfikir apa-apa ketika itu.Hanya pada Allah SWT sahaja ain serahkan segalanya.Suka atau tidak ain kena terima keadaan itu sebaik mungkin.

Akhirnya ibu bapa ain hadirkan diri dan kami kembali ke bilik pengetua.Pengetua menjelaskan kedudukan ain ketika itu yang sudah memeluk Islam dan memaklumkan bahawa perbuatan ain itu menyalahi undang-undang kolej.Maka, ain perlu diberhentikan pengajian dan dibuang kolej.Ibu bapa ain merayu agar membenarkan ain terus menyambung pelajaran, namun tidak diendahkan begitu sahaja.Pengetua dan ibu bapa ain sependapat bahawa tindakkan ain memeluk Islam berkaitan dengan hubungan ain dan zal ketika itu.Ain dengan tegas menyatakan bahawa hal ini tiada kaitan dengan zal.Namun, mereka tidak percaya.

Setelah selesai diasak dengan pelbagai persoalan oleh pengetua dan ibu bapa ain sendiri, kami pun melangkah keluar dari bilik pengetua dan terus menuju ke asrama ain ditempatkan.Tiada kata-kata dapat ain ucapkan ketika itu, hanya menurut sahaja.Setibanya kami di asrama, ain pun terus mengemas pakaian, buku-buku dan segala barangan ain untuk dibawa pulang.Rakan-rakan yang berada di asrama ketika itu amat terkejut dan seperti ain juga, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.Pengalaman pahit ini tidak akan dapat ain lupakan selamanya.

Setibanya di rumah, ain terus mengemas barang-barang seperti biasa sambil terus mendengar ibu bapa ain melepaskan perasaan masing-masing.Ain sedar, ain telah melukakan hati mereka yang bersusah-payah mencari wang menyekolahkan ain dan adik beradik.Ain hanya menangis dan terus menangis.Ibu ain memujuk agar ain berubah fikiran, namun ain betegas dengan pendirian ain ketika itu.Malah, ibu ain sanggup mengupah peguam untuk membatalkan pengIslaman ain.Apapun ain tetap dengan keyakinan ain pada Allah SWT dan ain tidak akan beganjak setelah ain percaya dan yakin akan kewujudan Allah SWT.

Satu-satunya adik kandung ain yang ada Vina, amat marah ketika itu dan tidak mahu bercakap dengan ain.Ain tidak menyesal dengan keputusan yang ain ambil, tetapi sedih melihatkan ibu bapa dan adik ain ketika itu yang amat sedih dan kesal dengan keputusan ain tanpa berbincang terlebih dahulu.Ain nekad dengan apa ain buat dan pilih, namun ain tidak tahu apa yang akan terjadi selepas itu.

Pada hari yang sama, ibu ain meminta ain memberikan nombor telefon ustaz yang menguruskan pengIslaman ain.Katanya, dia ingin mendapatkan bantuan Ustaz untuk memujuk pihak kolej agar membenarkan ain menyambung pengajian seperti biasa.Ain berasa amat terharu dan sedih, namun gembira kerana ibu ain masih berlembut dan sanggup bersusah-payah membantu ain agar ain tidak ketinggalan dalam pelajaran.Panggilan telefon telah dibuat, selain dari itu terserahlah pada ustaz Hamzah bagaimana hendak menyelesaikan perkara ini.

Pada malam itu di rumah, kami sekeluarga semua dalam angan masing-masing.Semua dalam keadaan terperanjat, sedih dan tidak dapat berkata apa-apa.Ain tidak dapat berbuat apa-apa.Sekadar berdiam diri, menunggu jawapan yang tidak pasti dan mengharapkan ada berita baik yang bakal tiba.Adik masih dalam keadaan terperanjat dan sedih serta tidak mahu bercakap dengan ain.Ibu bapa ain pula terus-terusan dengan pandangan masing-masing.

Ain sedar, ibu bapa mana yang tidak terperanjat apabila sesuatu perbuatan anak itu di luar kawalan mereka sendiri.Hati ibu bapa mana yang tidak berkecai apabila melihat anak kesayangan mereka berbuat sesuatu tanpa berbincang atau bertanya pendapat mereka terlebih dahulu.Ibu bapa mana yang tidak marah dan kesal apabila tindakan seorang anak itu dibuat tanpa mendapatkan keizinan mereka yang telah menjaga dan membesarkan dengan penuh susah-payah dan kasih sayang selama ini.Ain sedar itu semua, namun ain sedar juga perkara agama ini menjadi isu sensitif dalam keluarga dan ain perlu membuat keputusan sendiri tanpa meminta izin atau pendapat mereka terlebih dahulu.

Apa ain tahu, ain yakin dengan agama Islam dan ain yakin Allah SWT itu wujud.Ain yakin hanya Allah saja Tuhan Yang Satu dan tiada yang lain selain dari NYA.Ain yakin dengan pendirian ain untuk memilih Islam sebagai jalan hidup ain walaupun akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cubaan.Ain tidak tahu apa akan terjadi selepas ini, segalanya ain serahkan pada Allah SWT untuk menentukan segalanya.Ain redha.Buruk baik selepas ini, ain perlu terima.Inilah jalan yang ain pilih dan ain redha.

Zal? Entahlah, apa terjadi pada Zal sekarang ni.Ain sudah tidak peduli, lagipun bukan kerana Zal ain memeluk Islam.Ain yang buat keputusan tanpa paksaan atau pengaruh dari sesiapa.Bagi ain cinta dan agama adalah 2 perkara yang berlainan.Cinta manusia tidak akan kekal, namun cinta pada Allah saja yang akan kekal abadi.Ain akui, tindakkan ain memeluk Islam dengan bantuan Zal pasti akan memberikan kesan pada drinya juga.

Keesokan harinya, ibu ain mendapat panggilan dari pihak kolej dan meminta ibu bapa ain untuk membawa ain pulang semula ke asrama.Ain dibenarkan kembali oleh pihak kolej untuk meneruskan pengajian seperti biasa.Ibu dan ain sendiri berasa amat gembira dan bersyukur kerana tidak akan dikenakan apa-apa tindakkan selepas ini.Sebelum ini, pihak kolej mengugut bahawa kami perlu menjelaskan biasiswa pelajaran kerana melanggar kontrak.Sedangkan ain sudah teliti kontrak biasiswa sebelum ini, selagi mana perkara dilakukan tidak menjejaskan nama baik kolej ain masih boleh teruskan pengajian seperti biasa.

Alhamdulillah, berkat doa ibu dan usaha ustaz Hamzah terutamanya, menghubungi pihak pengurusan atasan kolej berunding akan perkara ain, akhirnya ain diterima kembali.Syukur pada Allah atas segalanya.Ain tidak mengambil masa lama, terus sahaja mengemas pakaian dan barang-barang untuk pulang ke kolej.Bapa ain turut menemani ain kembali ke asrama.

Setibanya di asrama, rakan-rakan semuanya kelihatan agak terkejut namun tetap menyambut kepulangan ain di sini.Setelah semua barang ain selesai dipunggah balik, ibu bapa ain terus pulang meninggalkan diri ini.Tiba-tiba saja diri ini merasa kesepian, pilu dan mencari-cari tempat untuk mengadu.Tiba-tba saja diri ini menjadi pendiam, entah kenapa.Beberapa rakan datang bertemu ain dan memberikan kata-kata semangat, namun diri ini tidak dapat menahan sebak di dada dan air mata ini terus saja mengalir.

Ain mengambil peluang untuk menghubungi Zal bertanya khabar dan dimaklumkan bahawa Ustaz Hamzah sudah pun bertemu dengannya.Mereka berbincang dan menasihati ain terus bersabar dan teruskan pelajaran seperti biasa.Ustaz juga telah memaklumkan pada Zal tentang hari untuk ain hadiri kelas agama bagi saudara baru.Ain mengikut sahaja.

Seingat ain, beberapa hari atau beberapa minggu selepas itu, selepas Magrib, ain hadiri kelas agama ain yang pertama.Ain maklumkan pada beberapa orang rakan asrama yang ain percayai agar mereka tidak risau dengan ketiadaan ain pada malam itu.Lagipun ain akan pulang ke asrama mengikut waktu yang ditetapkan.Ibu bapa ain tidak beritahu kerana bimbang akan reaksi diberikan.Namun, seperti ain jangka ibu bapa ain datang ke asrama pada malam itu juga untuk melihat keadaan ain sedangkan ain sedang mengikuti kelas agama.Ain matikan bunyi telefon ketika itu.Setelah kuliah agama selesai, ain periksa telefon dan mendapati ada panggilan dibuat oleh rakan-rakan kolej.

Ain telefon kembali, dan dimaklumkan bahawa ibu bapa ain sedang menunggu ain di asrama.Rasa takut, berdebar memikirkan apa yang bakal berlaku selepas ini.Lagi-lagi waktu itu ain bertudung dan berbaju kurung.Aduhai, macam mana ni.Tentu makin bertambahlah rasa marah mereka pada ain sekiranya melihat ain berpakaian sedemikian.Maka, rakan ain tadi menasihatkan ain untuk menelefonnya kembali setibanya ain di asrama.Setibanya ain dan tidak jauh dari perkarangan asrama, rakan ain tadi segera datang dan membawa pakaian untuk ain tukar.Setelah selesai, ain dan rakan serta Zal yang turut ada bersama kembali ke asrama dalam keadaan resah dan bersedia sahaja dengan sebarang kemungkinan.

Ibu bapa ain marah dengan tindakkan ain keluar dari asrama pada waktu malam dan di ketika itu Zal turut ada bersama.Ain jelaskan pada mereka bahawa sebenarnya ain hadiri kelas agama dan bukannya berpeleseran.Ain disuruh diam dan masuk ke asrama, sementara Zal pada waktu itu ditinggalkan bersama kedua-dua ibu bapa ain.Ain tidak tahu apa yang terjadi, namun dari segi reaksi dilihat, ain sedar zal dimarahi teruk oleh mereka.Ain juga diberi amaran oleh ibu bapa ain agar tidak lagi menghadiri sebarang kelas atau kuliah agama selepas ini.Jika ain masih berdegil, mereka tidak teragak-agak untuk membawa ain pulang ke rumah dan tidak membenarkan ain teruskan pengajian seperti biasa.Mahu atau tidak, dalam keadaan serba salah, ain mengikut sahaja kehendak mereka.

Setelah mereka pulang, ain hubungi zal bertanyakan keadaannya.Zal menasihatkan agar ain banyakkan bersabar dan untuk sementara waktu tidak perlulah ke kelas agama yang diadakan.Kami juga sepakat untuk tidak berjumpa buat seketika selagi keadaan belum reda.Di asrama pula, beberapa orang rakan datang menemankan diri ini dan menenangkan keadaan ain.Ain seakan-akan hilang pedoman dan mula putus asa.Namun, kata-kata semangat daripada rakan-rakan yang agak rapat dan zal yang tidak putus-putus menasihati diri ini, akhirnya ain akur atas segala yang terjadi.Ain juga akur sekiranya hubungan ain dan zal putus.Lagipun bukan kerana ain cintakan zal ain memeluk Islam.Tidak sama sekali.Biarlah Allah tentukan segalanya.Ain terima seadanya.

Bersambung...

Tuesday, October 4, 2011

INI KISAHKU...




Sambungan....


BAB 4

Pada suatu malam yang Vivian tidak ingat bilakah tarikhnya, Vivian mendapat satu panggilan dari seorang lelaki yang tidak Vivian kenali.Waktu itu Vivian baru saja ingin melelapkan mata dan panggilan itu membantutkan Vivian untuk tidur.Lelaki tadi memperkenalkan dirinya sebagai Syah.Vivian tanyakan dari mana dia mendapatkan nombor telefon ini, dan dia cuma katakan dia ingin berkenalan.Vivian malas melayan dan terus meletakkan telefon.Rasa takut dan bingung juga pada mulanya.

Selang keesokkan harinya atau beberapa hari kemudian, rakan sekelas Vivian, Anuri namanya.Nuri bertanyakan sama ada Vivian ada menerima panggilan dari seorang lelaki yang bernama Syah.Vivian amat terkejut dan terus mengiyakan.Nuri meminta maaf dan menjelaskan bahawa dialah yang memberikan nombor telefon Vivian kepada lelaki itu.Syah adalah kenalan yang baru juga dia kenali dan Nuri memberikan nombor telefon Vivian kerana Syah beria-ria ingin berkenalan dengan perempuan Cina.Nuri merasakan Syah bukanlah lelaki jahat dan tidak risau memberikan nombor Vivian kepadanya.Nuri memilih Vivian kerana Vivian satu-satunya pelajar yang fasih berbahasa Melayu jika dibandingkan dengan pelajar Cina yang lain.Sebab lain adalah Vivian mudah bergaul dengan orang Melayu.

Maka, hilang rasa risau dalam diri ini memikirkan panggilan misteri itu.Tidak lama beberapa hari selepas itu, Vivian menerima panggilan Syah sekali lagi.Syah menyatakan hasrat untuk berjumpa.Vivian amat takut ketika itu kerana Vivian tidak pernah bertemu janji.Namun, Nuri meyakinkan Vivian yang dia juga akan turut sama temankan Vivian untuk berjumpa dengan Syah.

Seperti dijanjikan, Vivian bertemu dengan Syah buat kali pertama dan Vivian masih ingat tarikhnya iaitu pada 9 Disember 2002.Sejak itu kami mula berkawan rapat.Syah seorang yang amat mudah didekati dan mudah diajak berbincang.Kami berkawan rapat dan Vivian amat senang dengan perwatakkannya itu.Vivian merasakan Syah amat mudah dipercayai dan mudah untuk Vivian berkongsi perasaan.Pada permulaan perkenalan dia membahasakan dirinya Syah, tetapi sebenarnya namanya Rohaizal.Amat terperanjat pada mulanya, namun Vivian tidak kisah tentang itu.

Mungkin selalu didengar, orang masuk Islam kerana cinta atau ingin berkahwin.Vivian tidak mahu memikirkan sangat perkara itu.Bagi Vivian, Allah telah takdirkan Rohaizal datang dalam kehidupan Vivian untuk membantu Vivian dalam perjalanan Vivian mengenali Islam.Itulah yang Vivian rasakan dan Vivian yakin ketika itu.Bukan kerana cinta, tapi Allah telah tunjukkan orang yang sesuai yang akan bantu Vivian suatu masa nanti.

Vivian mula muhasabah diri sendiri, mula bertanya pada diri apa yang Vivian inginkan selama ini.Vivian mula menyoal diri tentang agama yang Vivian anuti selama ini.Adakah Vivian yakin dengan agama sekarang, atau Vivian yakin wujudnya Allah yang SATU?Semua itu bermain di fikiran kembali.Perasaan ini juga tidak tenang dan merasakan ada saja yang tidak kena.Vivian tidak membabitkan perasaan secara membabi buta.Vivian sedar hanya satu sahaja Tuhan yang patut disembah dan hanya satu saja Tuhan yang wujud untuk manusia, iaitu Allah SWT.Bagi Vivian, cinta manusia boleh dicari tapi cinta Tuhan hanya pada Allah Yang Satu.

Akhirnya Vivian memberanikan diri menyuarakan hasrat Vivian memeluk Islam kepada Rohaizal atau senang Vivian panggil Zal.Malah, Vivian juga ada nyatakan hasrat pada Anuri dan juga pada kak Nurul kerana mereka sahaja yang Vivian percayakan ketika itu.Kak Nurul dan Nuri ada memberikan nasihat agar fikirkan masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan.Mereka takut sekiranya pengIslaman Vivian nanti adalah semata-mata kerana cinta.Vivian tidak marah dan Vivian faham keadaan ketika itu terlalu kelihatan seolah-olah Vivian mengejar cinta lelaki Melayu yang beragama Islam, yang tidak seagama dengan Vivian.

Kebetulan di ketika itu, Vivian baru lagi memulakan semester 2 pengajian dan kolej kami mula memperkenalkan subjek agama Islam buat pelajar yang beragama Islam.Waktu itu Semester2 baru saja bermula beberapa bulan.Kak Nurul memperkenalkan Vivian pada Ustazah Norra yang mengajar mereka ketika itu.Kami mula bertukar nombor telefon dan berbual ringkas sebelum rancang untuk berjumpa kali ke-2.

Setelah lama berfikir dan yakin dengan perasaan serta pendirian Vivian ketika itu, Vivian meminta bantuan Zal untuk bantu Vivian berjumpa dengan Ustazah Norra di rumahnnya.Bagi Vivian, Vivian yakin untuk memilih Islam bukan kerana cinta tapi Vivian yakin dengan agama Islam saja yang dapat membantu Vivian di masa depan.Kami berjumpa dan Vivian meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.Setelah lama berborak dan berbincang, akhirnya Ustazah Norra sudi membantu.Ustazah Norra mengajak Vivian ke biliknya dan di situlah segalanya berubah dalam sekelip mata.

Ustazah Norra membentangkan sejadah dan mengajar Vivian bagaimana untuk mengucapkan 2 kalimah Syahadah.Dan dengan yakin Vivian ucapkan kembali 2 kalimah syahadah, "ASYADU ALLAA ILAHA ILLALLAH, WAASYAHADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH"..."Aku bersaksi bahawa tiada tuhan disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."..

Sewaktu mengucapkan 2 kalimah syahadah, Vivian dapat rasakan ketika itu rasa sejuk menggigil datang pada diri ini hingga ke akar rambut.Dalam sekelip mata juga Vivian rasakan ada sesuatu yang menarik kepala ini ke atas, yang pada mulanya seakan berat.Namun, akhirnya Vivian rasakan diri ini teramat ringan, entah kenapa.Tidak diduga juga, air mata ini mengalir tanpa dipinta dan turut dikongsi bersama Ustazah Norra.Azan Magrib juga terus berkumandang mengiringi sejarah dalam hidup Vivian ketika itu.SubhanAllah! Begitu besar kuasa Mu Ya Allah.9 Mac 2003 takkan dapat Vivian lupakan detik hari Vivian memeluk Islam.

Setelah itu, Vivian pulang ke asrama seperti biasa dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.Vivian banyak mendiamkan diri dan tidak berani untuk maklumkan pengIslaman Vivian pada sesiapa.Rasa tertekan juga dan Vivian maklumkan perkara ini pada Zal.Zal nyatakan dia sudi membawa Vivian ke PERKIM untuk mendapatkan nasihat dan bantuan.

18 Mac 2003, seperti dijanjikan.Zal membawa Vivian ke PERKIM dan berjumpa dengan Ustaz Hamzah yang menguruskan golongan saudara baru/mualaf.Vivian menyatakan situasi kini dan Ustaz Hamzah menasihatkan agar Vivian segera berdaftar dengan PERKIM bagi mengelak sebarang perkara tidak elok terjadi.Di sini, sekali lagi Vivian diminta mengucap 2 kalimah syahadah secara rasmi.Setelah selesai, Ustaz Hamzah mula menguruskan urusan mengemas kini maklumat peribadi Vivian.Ustaz juga menasihatkan agar memilih satu nama Islam yang dirasakan sesuai sebagai tanda pengenalan baru.Vivian tidak pasti nama yang dirasakan bersesuaian dan meminta Zal memilih nama Islam untuk Vivian.Zal memilih nama Nur 'Ain dan Vivian hanya mengikut sahaja kerana suka dengan maksud nama Nur 'Ain.Vivian meminta Ustaz Hamzah mengekalkan nama Vivian dan nama keluarga bapa iaitu Quake dalam pengenalan diri kerana rasa hormat Vivian terhadap ibu bapa yang memberikan nama itu sejak Vivian lahir.

Sebelum pulang, Ustaz Hamzah memberikan Vivian sepasang telekung, tasbih dengan sejadah, beserta buku tentang cara solat wanita Islam.Rasa teruja dan gembira yang teramat dan rasa gembira ini Vivian kongsikan bersama Zal.Vivian dapat lihat dari riak wajah Zal seakan-akan tidak percaya dengan apa yang terjadi.

Kini nama Islam dan identiti baru Vivian adalah Nur 'Ain Vivian Quake binti Abdullah.Syukur Alhamdulillah, kini secara rasminya ain sudah memeluk Islam mengikut undang-undang.Pada hari yang sama, ain akhirnya memberanikan diri memaklumkan pengIslaman ain pada rakan-rakan kolej.Seperti Zal, rakan-rakan kolej juga amat terperanjat kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba.Ain tidak fikirkan apa-apa, cuma rasakan tiada salahnya memaklumkan perkara baik begini.Apapun, ain nyatakan ain belum bersedia memaklumkan pada ibu bapa tentang pengIslaman ain ketika itu.Namun, ain nekad untuk maklumkan sendiri dan bukan oleh sesiapapun melainkan ain sahaja.

Bersambung...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR