Monday, December 31, 2012

CORETAN PERJUANGAN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat blog Nur sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali dan diberi kelapangan untuk membuat coretan di sini, insyaAllah.

Terpanggil untuk membuat coretan terakhir di penghujung tahun 2012 ini setelah membaca nurkilan daripada blog sahabat KakChik Niza  .

Baiklah, di sini ain akan catitkan segala matlamat ain dalam tahun 2013, insyaAllah.Sememangnya boleh saja ain coretkan dalam buku peribadi.Namun, bagi ain tak salah membuat coretan di blog memandangkan blog adalah tempat ain membuat coretan diri.

Di sini ain hanya senaraikan secara ringkas, insyaAllah jadi rujukkan dan ingatan buat diri ini di kala terlupa atau terleka atau memerlukan sesuatu sebagai pembakar semangat.Bagi ain tiada salah berkongsi kerana ain rasakan setiap daripada kita pasti mempunyai matlamat yang sama sepertimana yang akan ain senaraikan ini, insyaAllah.

Jom ♥




  1. Menyelesaikan sebahagian / segala hutang tertunggak sebaiknya menjelang Ramadhan 2013
  2. Membuka butik abaya secara rasmi menjelang April 2013 di satu lokasi terpilih
  3. Membuat 'Branding' atau tag pada setiap item jualan butik
  4. Berusaha menempatkan nama NUR AIN'Z BOUTIQUE di laman sosial/blog/majalah menjelang pertengahan 2013 
  5. Berhasrat menghadiri bengkel penulisan pada Januari 2013
  6. Berhasrat mula menulis novel/travelog diri sejurus selepas itu
  7. Menunaikan umrah bersama suami tersayang selewat-lewatnya pada akhir Ramadhan atau sejurus selepas selesai segala hutang
  8. Membawa keluarga mertua dan keluarga kandung bercuti bersama ain dan suami akhir tahun 2013
  9. Bercuti bersama suami tersayang pada ulangtahun perkahwinan kami yang ke-7 di bulan May 2013
  10. Mula menghadiri kelas agama mingguan atau bulanan menjelang Februari 2013
  11. Khatam Al-Quran menjelang akhir 2013
InsyaAllah, ain hanya mampu merancang.Namun Allah yang berkuasa menentukan segalanya.Perlu berusaha, berdoa, tawakal dan redha pada akhirnya nanti.

InsyaAllah ♥

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian



Saturday, December 22, 2012

PENJENAMAAN NUR AIN'Z BOUTIQUE

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.Alhamdulillah bertemu kembali di teratak kecil ain di sini meninggalkan nurkilan dan coretan buat sahabat semua.

Alhamdulillah, sudah 2 bulan kiranya ain dan suami berhijrah ke Shah Alam/ Kuala Lumpur mencari penghidupan baru di sini.Pelbagai perkara perlu dilalui dan ditangani hari demi hari yang adakala menguji tahap kesabaran dan kekuatan kami sebagai suami isteri.

Penat, jerih , payah dalam menghadapi kehidupan hari demi hari sudah pasti mengundang rasa goyah, sedih namun semua itu tidak pernah sama sekali mematahkan semangat dalam diri ini untuk terus berjuang demi Allah SWT.Demi suami tersayang dan keluarga yang menanti di kampung halaman.

Allahuakhbar, Allahuakhbar.Entah kenapa air mata ini asyik mengalir sejak dari tadi.Rasa sayu sedang mencengkam jiwa ini.Rasa hati ini, hanya Allah yang tahu, Allah yang pegang.Moga diri ini tidak tersasar jauh dari jalan yang diredhai Allah SWT.

Bagi sahabat setia blog peribadi ain, sudah pasti tahu ain kini sudah membuka gerai jualan abaya di sekitar Seksyen 7 Shah Alam.

Alhamdulillah, sepanjang 2 bulan ini, ain dapati respon positif diterima daripada orang ramai, iaitu terdapat permintaan dalam pasaran pakaian muslimah, pakaian yang menutup aurat seperti abaya dari Timur Tengah.Rata-rata memaklumkan memang mencari pakaian yang benar-benar dapat memenuhi keperluan seorang wanita Islam dalam berpakaian mengikut suruhan Allah SWT.

Sebagaimana kita sedia maklum, pakaian yang dijual di pasaran dengan label "MUSLIMAH" tidaklah semuanya memenuhi syarat wanita Islam dalam berpakaian.Maka dengan itu, ain nekad untuk terus berjuang dalam berusaha menempatkan pakaian yang sebenar-benar namanya berpakaian dan tidak bertelanjang.

Kedengaran seakan sukar, namun tidak mustahil.Pakaian adalah penting kerana dalam berpakaian juga kita boleh beribadah pada Allah SWT.Dalam berpakaian, kita boleh sampaikan mesej Islam pada non muslim.Dalam berpakaian mengikut tuntutan Allah SWT, maka kita dapat mengurangkan kekeliruan dalam masyarakat Islam kini yang beranggapan pakaian perlu disuai kini mengikut peredaran semasa.

Tanggapan sedemikian adalah SALAH sama sekali!

Kitalah patut mengikut hukum Allah tidak kira dalam tahun atau zaman apa sekalipun.Bukannya menukar hukum semata-mata mengikut hawa nafsu yang inginkan fesyen yang kononnya Up To Date...

Baiklah berbalik kepada perihal gerai jualan.Walaupun baru saja 2 bulan menapak di sekitar Shah Alam, ain berpendapat ain perlu buat beberapa perubahan dan pembaharuan.Untuk terus kekal dan memastikan pakaian muslimah mendapat tempat di hati wanita Islam di sini, terutamanya abaya dari Timur Tengah, ain perlu tingkatkan dari segi kualiti dan identiti ain sendiri di NUR AIN'Z BOUTIQUE.

Keputusan drastik bakal dibuat dalam masa terdekat ini, insyaAllah.Penjenamaan, kualiti, identiti, perkhidmatan yang ditawarkan juga perlu diperbaharui dan dikemas kini.Masih dalam peringkat perancangan, belum lagi ada pelan tindakkan.InsyaAllah dalam perancangan mencari tapak baru yang lebih selesa dan mudah untuk sahabat singgah dan dapatkan keperluan.




InsyaAllah, doa dan sokongan daripada sahabat semua amat diharapkan.

Setelah semuanya berjalan lancar, insyaAllah akan ain khabarkan pada sahabat semua.

Mohon maaf pada semua andai ain pernah terkasar bahasa atau tulisan sepanjang perkongsian di sini.Syukran bagi semua yang menjadi sahabat setia di sini.Alhamdulillah.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian


Sunday, December 16, 2012

KEHIDUPAN INI...

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum sahabat dikasihi sekalian.Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat kurnia NYA.

Menulis adalah salah satu cara terapi buat diri ain sendiri.Menulis bukan semata-mata meluahkan perasaan sewenang-wenangnya.Menulis dengan niat dan matlamat moga apa yang dikongsikan itu menjadi ingatan dan bekalan diri, serta semoga ianya dapat memberikan manfaat pada yang lain, insyaAllah.

Kembali pada Islam seawal usia 18 tahun, dan kini usia sudah menginjak 28 tahun.SubhanAllah, kiranya sudah 10 tahun masa berlalu dan ain akui bahawa diri ini begitu banyak kekurangannya.

Begitu banyak masa dibuang begitu sahaja sepanjang 10 tahun yang telah berlalu.Di awal ain kembali pada ISlam, dalam perjalanan mengenal Allah SWT, ain masih ingat saat di mana ain dalam keadaan "krisis identiti". Krisis diantara seorang hamba Allah dan sebagai seorang manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan hari demi hari.

Mengenang kembali kekhilafan diri yang begitu leka, alpa akan hal duniawi, meletakkan dunia sebagai matlamat hidup adalah suatu kebodohan yang membuta tuli.Namun itulah suatu tarbiyah/didikan langsung dari Allah SWT dalam mengajar diri ini dalam mengenal tujuan kehidupan yang sebenar dan mengenal siapa diri ini.

Astaghfirullah... Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. maafkanlah diri ini.

Sepanjang hayat kehidupan yang Allah berikan ini, begitu banyak ujian dan dugaan yang Allah berikan dari sekecil-kecil kuman hinggalah di saat di mana diri ini merasakan ianya begitu berat untuk ditanggung.Begitu berat hingga hampir merasa putus asa dengan kehidupan ini.

Pernah di satu saat diri ini ingin membawa diri jauh dari kehidupan ini..Ingin membawa diri jauh dari kehidupan dunia yang begitu melalaikan.Dan akhirnya diri ini sedar tidak semudah itu.

Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang daie, "Dunia ini dijadikan untuk kita bersusah payah, di akhiratnya kelak kita hanya petik hasilnya nanti..." .

Begitulah kita..hamba Allah SWT yang diciptakan untuk berserah diri pada Allah SWT semata-mata.

Segala perkara yang pernah singgah atau hadir dalam kehidupan ain yang lalu, takkan pernah pudar dari ingatan.Takkan pernah hilang dari sejarah kehidupan yang sudah tercalit dalam kitab amal diri ini.Dan diri ini tidak pasti sama ada amal baik menjadi timbangan yang paling berat atau amal buruk yang masih menguasai keseluruhannya.Astaghfirullah.

Moga segala kisah yang lalu menjadi ingatan dan iktibar. Semoga diri ini tidak alpa dan tidak leka diulit mimpi-mimpi indah yang melalaikan.Mungkin kita rasakan perkara itu baik untuk kita, namun sebenarnya tidak.Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.Kita hanya mampu berusaha.

Seperkara yang masih diri ini belajar hari demi hari.Menerima segala ketentuan Allah SWT dengan sabar dan hati yang tenang.Agak payah, namun itulah kuasa Allah, menguji kesabaran hamba NYA di saat susah mahupun senang.

Ain masih cuba belajar menerima situasi di mana setiap apa yang kita peroleh itu sebenarnya adalah baik untuk kita jika dibandingkan dengan keinginan diri sendiri.Nafsu diri yang masih perlukan tarbiyah hari demi hari..Allahuakhbar.Begitu besar kuasa MU Ya Allah.

"Sesungguhnya tidaklah boleh dikatakan beriman seseorang itu selagi dirinya tidak diuji.." ..

Kata-kata inilah yang buatkan ain cuba tenang dan tabah dalam melalui perjalanan hidup ini hari demi hari.Kata-kata inilah yang buatkan ain sedar bahawa, ain hanya hamba Allah yang tidak punya kuasa.Allah Maha Berkuasa dan berhak atas segalanya.Kata-kata inilah yang memberikan ain kekuatan dan kesedaran bahawa untuk menjadi hamba Allah yang kuat, maka ain perlu redha, pasrah akan segala ketentuan NYA.Bukannya merungut atau bersedih dengan nasib diri.

Sudah setahun setengah ain berniqab.Namun berniqab bukanlah tiket untuk bergelar wanita solehah.Tidak sama sekali.

Hijab hati ini masih lemah, masih goyah.Diri ini masih belajar perbaiki kekurangan dan kelemahan diri.Sesungguhnya hati adalah tempat di mana nafsu bersarang.Ubat hati adalah zikrullah dan dengan mengingati Allah SWT. Moga hati ini kuat dan tabah dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan ini yang tidak pasti berakhir bila...

Azan Zohor telah berkumandang, menandakan ain perlu berhenti menulis blog.

InsyaAllah moga bertemu lagi di coretan akan datang.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian.








Sunday, December 9, 2012

ADAKAH KAKI WANITA AURAT



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.

Alhamdulillah diberi kelapangan dan kesempatan berada di sini untuk berkongsi bersama sahabat semua.InsyaAllah.

Artikel di bawah ini ain kongsikan terus daripada blog seorang sahabat iaitu Ustazah Wan Nor Ainon berkenaan "Adakah Kaki Wanita Aurat" .[klik untuk artikel asal]

Moga perkongsian ini dapat membantu dan meleraikan kekusutan atau kecelaruan kita selama ini.

Mari beramal dengan ilmu.Moga Allah redha, aamiin.

Selamat Membaca !



"Assalamualaikum

Seperti yang Ummu Abbas ketahui Azie tinggal di Asia Barat dan di sini mazhab dan amalan yg diamalkan amat berbeza dgn kita di Malaysia.  Azie tak berapa pasti mazhab mana yg diikuti di sini…. kalau solat, terutama kaum wanitanya x menjaga aurat seperti kita..kaki tidak ditutup elok, memakai pewarna kuku yg boleh menghalang air dan bermcm2 lagi perkara yg bertentangan dgn amalan kita.  Betul ke ada mazhab yg membenarkan perkara2 seperti itu ?

Azie

**************************************



Wa’alaikum salam warahmatullah Azie,

Persoalan Azie sebelum ini adalah pelbagai topik.   Kak Nur jawab satu persatu supaya tajuknya boleh diasingkan.

Untuk lebih memahami, saya kemukakan contoh perbahasan fuqaha’ mengenai aurat wanita semasa solat.




Aurat wanita semasa solat ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.  Hal ini disepakati fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil berikut;

Allah berkata,

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

An-Nur 24:31



Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita.

Aisyah melaporkan,

أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis.  Rasulullah s.a.w lalu berpaling  daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”

Hadis direkodkan olah Abu Dawud.



Hadis di atas menunjukkan bahawa kaki termasuk aurat tatkala Nabi s.a.w mengecualikan hanya wajah dan tangan.

Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan oleh  Ummu Salamah.  Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w ,

Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung?  Nabi s.a.w menjawab,

إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا



“Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.”



Hadis direkodkan oleh Abu Dawud.



Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri.

Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w.  Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

“Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”.



Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat.

Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah,  maka solatnya dianggap tidak sah”.

Berdasarkan rasional yang telah dikemukakan, adalah jelas aurat wanita ketika solat ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.  Fuqaha’ sepakat menyatakan demikian kecuali kaki, ada fuqaha’ yang mengatakan ia dimaafkan jika terbuka.  

Rasional pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat ialah,

“Menutup dua kaki semasa solat adalah disunatkan (digalakkan) serta bukan kewajipan yang tiada tawaran (rukhsah).  Ini adalah kerana dua kaki bukan aurat yang wajib ditutup.  Takwilan seperti ini dikuatkan oleh sebab adanya keperluan wanita membuka kedua kaki jika wanita berjalan.  Sekiranya mereka menutup kaki, maka keadaan itu akan menyusahkan.  Disamping itu, sesungguhnya kaki wanita bukan merupakan daya tarik bagi lelaki ketika dia melihat kakinya, tidak seperti ketika melihat wajahnya.  Kalau wajah sahaja bukan aurat, walhal ia lebih banyak menjadi daya penarik lelaki, maka apatah lagi kaki.  Justeru itu, kaki bukanlah aurat wanita”.



Secara peribadi, saya melihat hujjah yang mengatakan kaki bukan aurat agak lemah dibandingkan dengan hadis-hadis  yang telah dinyatakan di atas.   Hujjah yang digunakan lebih kepada lojik akal.  Sedangkan lojik akal bila bertembung dengan nas, maka nas perlu diutamakan.

Berapa banyak perkara agama yang tidak boleh disandarkan kepada lojik akal semata-mata disebabkan terbatasnya akal manusia untuk berfikir.   Alasan sukar berjalan jika menutup kaki tidak boleh lagi dipakai pada zaman sekarang.  Lebih-lebih lagi di zaman teknologi moden semakin berkembang, wanita masih boleh memakai stokin yang pelbagai fesyen sekarang.

Saya pernah membaca kisah seorang wanita yang meremehkan menutup kaki semasa menunaikan haji.  Banyaklah rungutannya akibat terpaksa memakai stokin, lebih-lebih lagi ketika stokinnya basah terkena air.  Akibatnya dia ditimpa bala oleh Allah swt.  Setelah sedar punca bala tersebut, wanita itu bersungguh-sungguh menjaga aurat kakinya.

Mengambil iktibar dari kisah wanita itu, saya sendiri memakai stokin ketika menemani anak-anak bermain air di taman tema air.  Taman tema air seperti di Bukit Merah dan The Lost World of Tambun merupakan kawasan umum yang mencampur aduk lelaki dan wanita.  Jadi pilihan yang ada ialah tetap memelihara aurat kaki.  Biar stokin dibasahi air asalkan diri tidak dibasahi dosa.  

Seorang lelaki menyarankan dalam blognya agar wanita tetap menutup kaki di rumah jika terdapat tetamu lelaki.

Sebelumnya, saya meringankan juga dari menutup kaki seperti ketika ada tetamu lelaki di rumah atau ketika bermain air di pantai dengan alasan rukhsah dan memakai pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat.   Namun sekarang saya berusaha melakukan yang terbaik setakat termampu.  Dunia hanya sementara.   Masa kita terlalu singkat untuk beramal dengan ajaran Islam.  Oleh sebab itulah Allah bersumpah dengan masa dalam surah al-‘Asr.  Kemudian dikatakan manusia ini memang sentiasa rugi kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.

Suami sendiri bertegas dalam hal menutup kaki.  Dia pernah menegur saya menutup wajah tetapi membuka kaki.  Kaki lebih aula ditutup berbanding wajah berdasarkan hujjah-hujjah yang ada.

Mengenai situasi yang Azie alami di sana, ia adalah perkara biasa berlaku sekarang di mana-mana negara ummat Islam.  Masyarakat Arab Jordan dulu pun begitu juga.  Meskipun di Fakulti Syariah, melihat gadis-gadis Arab bersolat dengan rambut terjurai di dahi dan menampakkan kaki adalah perkara biasa.  Sebagai pelajar yang memahami ibadah berdasarkan ilmu, kami tidak mengikut tabiat yang tidak baik itu.  Kita dianjurkan Islam untuk beramal dengan perkara yang diyakini dan meninggalkan perkara yang diragui kebenarannya.

Walau bagaimana pun, dalam kes aurat kaki ini, meskipun kita memilih pendapat yang mempunyai hujjah yang kuat dan apa yang menenangkan hati kita.  Namun kita tetap perlu meraikan pandangan orang lain yang berbeza.  Justeru itu, kita tidak boleh memaksa para wanita di Asia Barat  solat sama seperti kita yakni menutup kaki.  Kita hanya boleh beritahu mereka hujjah yang kita tahu.  Terserahlah kepada mereka mahu menerimanya atau tidak.  Adapun amalan wanita Malaysia yang menutup kaki semasa solat wajar diteruskan secara istiqamah kerana ia paling tepat dengan petunjuk Nabi s.a.w.

Untuk perkara-perkara lain yang disebutkan atau tidak dinyatakan, garis panduan memilih pendapat untuk diamalkan  ialah yang mempunyai hujjah yang kuat.  Ini termasuklah memakai pewarna kuku yang boleh menghalang air.  Ia menyebabkan wuduk tidak sah.  Bukanlah bila dikatakan Arab, maka semuanya alim dan memahami secara mendalam mengenai Islam.   Mereka sama seperti umat Islam di Malaysia, mana yang belajar akan tahu dan yang tidak belajar akan tetap jahil.

Arab yang tahu, beriman dan beramal akan menjadi muslim yang baik.

Arab yang tahu tetapi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengamalkan tetap menjadi muslim yang jahat.

Islam membekalkan kepada ummatnya prinsip-prinsip yang jelas dalam beramal yakni rujukannya al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.  Kita sekali-kali tidak dibenarkan mengikut amalan kerana bangsa mereka atau keturunan mereka dan lain-lain yang berunsur taqlid.

Semoga Azie dapat bersabar dan berlapang dada menghadapi situasi masyarakat yang berbeza dengan kefahaman kita selama ini.  Pengalaman adalah satu ilmu yang amat berharga dari Allah swt.

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang kurang dari kelemahan penulis sendiri.

Buah cempedak di luar pagar

Ambil galah tolong jolokkan

Saya ibu yang terus belajar

Jika salah tolong tunjukkan.

Wassalam.

Ummu Abbas

11.11am

5 Safar 1431H "

Untuk artikel penuh, sahabat boleh terus ke blog sahabat Ustazah Wan Nor Ainon  yea.

Semoga perkongsian ini bermanfaat, insyaAllah,

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian

Saturday, December 8, 2012

PERTEMUAN TERINDAH..SUBHANALLAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat ain kasihi sekalian.Alhamdulillah syukur diberi kelapangan dan kekuatan untuk menjengah ke sini dan berkongsi sedikit sebanyak bersama sahabat semua, insyaAllah.



SubhanAllah, Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak bersua, hari ini dipertemukan kembali oleh Yang Maha Pencipta.Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah...

Alhamdulillah, hari ini seorang sahabat lama, rakan seperjuangan, seorang senior ain sewaktu ain masih lagi bertugas sebagai jururawat datang ziarah ke gerai jualan ain di Seksyen 7 Shah Alam.

Kira-kira 2tahun kami tidak bertemu, hanya berhubung melalui laman sosial dan berkongsi perkembangan masing-masing,SubhanAllah setelah sekian lama, akhirnya.

Mesra dengan panggilan kak sue, kak sue masih lagi bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital swasta.Malah, yang istimewanya pertemuan ini, kami berdua masing-masing telah berniqab! Tidak terjangkau dek fikiran ini 2 tahun yang lalu dan 2 tahun yang kini.Masing-masing berlainan sama sekali.SubhanAllah.Beliau kini berpurdah dalam masa yang sama masih lagi bergelar wanita bekerjaya.

Berkongsi pengalaman masing-masing terutama sejak mula berniqab hingga kini, insyaAllah dan berkongsi ilmu seadanya.Alhamdulillah, kak sue yang ain kenali dahulu dan kini amat jauh bezanya.Bertemu dengannya membuatkan ain rasa sebak, terharu bagaikan tidak percaya dengan siapa ain jumpa sebentar tadi,Beberapa kali air mata ini bergenang tatkala berbual dengannya.Allahuakhbar.

Beliau turut berkongsi apa ain pernah alami suatu ain masih bekerja dahulu.Fenomena dan situasi yang sama, tidak kurang bezanya.

Melihat beliau membuatkan ain rasa takjub akan kekuasan Allah SWT.Atas izin Allah, sahabat ain ini masih lagi tabah dalam menjalani kehidupan sebagai wanita bekerjaya dengan suasana yang kurang menyokong wanita berpurdah.Tidak mudah bekerjaya dalam masa sama berniqab walau tidak sepenuhnya.Namun, tidak mudah bagi semua orang.

SubhanAllah, begitu besar kuasa Allah yang memberi kekuatan dan hidayah pada seseorang.Benarlah Allah hanya menguji hamba NYA setakat ia mampu sahaja.Dan begitu jugalah sahabat ain ini.

Tidak mudah yea sahabat untuk berhadapan dengan masyarakat dan dalam masa yang sama perlu bertahan dengan pandangan serong masyarakat.Hanya dengan izin dan RAhmat Allah sahaja semua yang mustahil , TIDAK MUSTAHIL boleh berlaku.

Pertemuan ini bukanlah pertemuan biasa.Pertemuan yang Allah telah aturkan ini sungguh indah bagi ain kerana dalam masa ain berhijrah, ada lagi sahabat seperjuangan lain yang juga mempunyai pengalaman pekerjaan yang sama,, turut diberi ketukkan hidayah oleh Allah SWT.

Alhamdulillah,, Alhamdulillah Alhamdulillah.

Seperkara ain ingin kongsikan di sini, bagi sahabat-sahabat muslimah yang sering menghantar mesej peribadi atau email berkenaan keinginan berniqab.Seperkara yang harus kita yakini,PERCAYALAH akan segala ketentuan Allah SWT..andai berniqab adalah jalan terbaik buat kita, insyaAllah Allah pasti permudahkan jalan.

Persoalan berniqab "onn/off" yang sering diajukan pada ain.Ain bukanlah tokoh agama, pakar ilmuwan agama.Cuma seperkara ain ingin ingatkan pada diri ain sendiri dan sahabat semua.Usah terlalu memikirkan perkara berkenaan.

Perkara penting di sini adalah TETAPKAN NIAT KITA BERNIQAB, UNTUK APA BERNIQAB, UNTUK SIAPA KITA BERNIQAB, MATLAMAT JANGKA MASA PANJANG TUJUAN BERNIQAB itu sendiri.

Selain itu, banyakkan memohon petunjuk dari Allah SWT agar diberi kekuatan dan keteguhan dalam jalan yang kita pilih.Andai itu yang terbaik, yakinlah pasti satu masa nanti Allah permudahkan tanpa kita sedari.Tak perlu kita merungut dan mempersoalkan kenapa dan mengapa.

Wallahu alam

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian 


Monday, December 3, 2012

JENAZAH YANG TERBAKAR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.Moga semua dalam keadaan sihat dan ceria-ceria selalu.Moga kita semua senantiasa dalam lindungan Allah SWT  dan dipermudahkan dalam segala urusan dunia mahupun akhirat, aamiin.

Ingin berkongsi sesuatu di sini bersama sahabat semua.Semoga ianya dapat dijadikan iktibar, ingatan dan pengajaran buat kita bersama, insyaAllah.

Berkongsi kisah daripada sumber yang sahih, maaf tidak dapat dimaklumkan siapakah gerangan hamba Allah yang mendapat gambaran itu.Cukuplah sekadar berkongsi untuk dijadikan ingatan buat diri ini dan kita bersama.

Hamba Allah ini didatangi mimpi melihat banyak jenazah yang sudah siap dikapankan.Dalam mimpi berkenaan beliau melihat jenazah-jenazah ini ditempatkan dalam satu ruang kosong khas.

Apa yang memeranjatkan adalah setiap jenazah ini akan berubah wajah dari rupa asal.Ada diantaranya berubah wajah menjadi hitam seperti hangus terbakar.Ada jenazah yang kelihatan kulit mukanya terbakar namun tidak sepenuhnya.Tidak kurang juga ada jenazah yang terbakar namun jasadnya tidak berubah sama sekali!!!






Mimpi berkenaan cukup singkat namun hamba Allah ini dapat merasakan jenazah-jenazah berkenaan merasa sakit perit diseksa akibat dibakar.Api tidak kelihatan, namun rupa dan keadaan jasad jenazah menceritakan segalanya.

Terlintas di hati hamba Allah ini, adakah mereka ini antara hamba Allah yang engkar? Adakah mereka ini antara hamba Allah yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu???

Sebelum tersedar dari mimpi, beliau terlihat seorang nenek tua berpakaian putih sedang membersihkan kawasan jenazah berkenaan. Namun nenek berkenaan langsung tidak berkata apa-apa..

Setelah sedar dari tidur, jam loceng berbunyi, menunjukkan waktu itu sudah pun jam 3 PAGI!!!

Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah..

Allahuakhbar.. Allahuakhbar.. Allahuakhbar...

HANYA ALLAH MAHA MENGETAHUI..

Apa ain dapat katakan adalah,


Kita tidak akan tahu saat bila, umur bila dan bagaimana pengakhiran kita kelak..Banyakkanlah berdoa dan memohon kepada Allah SWT semoga mati kita dalam iman, dalam keadaan beramal soleh.Mohon pada Allah SWT semoga segala amal ibadah kita diterima NYA, aamiin.

Sesungguhnya untuk mencium bau syurga juga hanya dengan Rahmat Allah SWT.Kita tidak punya kuasa.Allah Maha Kuasa.

Allahuakhbar... Allahuakhbar... Allahuakhbar... La Illaha Illallah Muhammad RAsulullah..

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian








Monday, November 26, 2012

ISU BIN / BINTI ABDULLAH


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum sahabat semua.Moga semua dalam keadaan baik-baik selalu dan dilapangkan dalam segala urusan harian , aamiin.




Isu muslim revert yang menukar nama kepada bin atau binti ABDULLAH masih menjadi isu hangat dan menjadi perbalahan oleh ramai pihak.

Bagi ain sendiri, sewaktu memeluk Islam ain tidak diterangkan tentang kepentingan atau perlunya menukar nama kepada binti Abdullah. Bagi ain ketika itu, selagi syahadah ain diterima Allah cukuplah..Dan ain tidak banyak menyoal akan hal itu.

Kini baru ain sedar bahawa ia adalah suatu kebiasaan dan lumrah bagi muslim revert di Malaysia sejak dulu lagi agar menggunakan Abdullah dalam pengenalan masing-masing mengikut undang-undang setakat mana ain tahu.

Bagi muslim revert yang berbelah bagi, terpulanglah pada kalian andai ingin kekal nama asal tanpa perlu ubah apa-apa.Selagi niat kita betul dan tidak menyalahi agama.Dan bagi yang merasakan menukar pada bin/binti Abdullah itu adalah suatu perkara yang tidak sukar, namun masih ingin kekalkan nama Keluarga, maka teruskanlah.

Ain memilih Nur Ain Vivian Quake binti Abdullah kerana masih mengekalkan nama keluarga dalam nama berkenaan.Selain itu, bagi ain nama Abdullah itu suatu penghargaan buat muslim revert.Malah, menggunakan nama ini ain tidak mempunyai banyak masalah dalam masyarakat kerana masyarakat sedia maklum ain adalah chinese revert.

Bagi ain juga, dengan nama yang elok dapat mengelak diri ini daripada difitnah, misalnya soalan yang akan biasa timbul di kalangan masyarakat kita:

"Awak muslim ke? kenapa nama takde Abdullah?"
"Betul ke dia dah ISlam?"
"Sejak bila dia Islam?saya tak tau pun.."



Ini antara kemusykilan dan fitnah yang boleh kita elak.Perkara remeh yang dapat kita elakkan.wallahu alam.

Bagi yang memilih untuk kekalkan nama asal, yakinlah dengan pendirian anda dan usah melatah andai ada pihak yang mempertikaikan.Sesungguhnya niat kita hanya Allah yang lebih tahu..kann :D

Apapun, usahlah jadikan isu bin/binti Abdullah ini isu besar sedangkan banyak perkara lain perlu difikirkan.

Sebelum ain terlupa, ada sahabat ain pernah maklumkan bahawa nama ABDULLAH juga maksudnya HAMBA ALLAH.

Indah kan nama ABDULLAH :D

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian




Saturday, November 17, 2012

TEMUBUAL DI IKIMFM

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat NUR sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali dalam coretan kali ini.

Menguruskan gerai jualan kecil di Shah Alam dan pada masa yang sama sibuk mengemas kini urusniaga di alam maya, memerlukan ain membahagi dan mengatur masa dengan sebaik mungkin.Keadaan memerlukan ain dan suami memberikan sepenuh tumpuan di luar rumah dalam memastikan segala urusan berjalan dengan lancar.Apapun sebagai hamba Allah, kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal.Selain itu terserahlah pada Allah SWT bagaimana pengakhirannya kelak.

Pada 15 November 2012 baru-baru ini, ain dijemput oleh Bro Faisal , seorang aktivis yang begitu aktif dalam bidang dakwah, bagi pihak IKIMFM untuk ditemubual dalam slot Islam Agamaku yang ke udara antara jam 5pm hingga 6pm.  

SubhanAllah, Alhamdulillah.Rasa tergamam, terkejut dengan jemputan sedemikian kerana ini adalah kali pertama ain dijemput untuk temubual secara rasmi.Sebelum ini hanya berkongsi pengalaman di blog dan FB sahaja.Temuramah secara langsung adalah suatu perkara baru buat diri ini.





Alhamdulillah, pertemuan buat kali ke-2 dengan DJ IKIMFM Norhayati Paradi.Beliau adalah DJ yang selalu mengendalikan slot Islam Agamaku pada setiap hari Khamis, insyaAllah.Pertemuan pertama kami adalah sewaktu ain membuka booth jualan di Karnival 20 tahun IKIM baru-baru ini.

Pertama kali ditemubual secara langsung dan walau hanya suara sahaja dapat didengari di corong-corong radio, namun ada perasaan gementar hadir pada diri ini.Manakan tidak, selama ini hanya berkongsi kisah sebelum dan selepas ISlam melalui alam maya tapi tiba-tiba disapa agar dikongsikan secara 'live'.

Alhamdulillah, perjalanan ke IKIMFM menggunakan pengangkutan awam yang mengambil masa kira-kira 1 jam untuk sampai dipermudahkan.Sempat juga bertemu dengan DJ Nik Hasnah Ismail sebelum bertemu dengan DJ Norhayati Paradi.

SubhanAllah, Alhamdulillah.Sapaan mesra diterima daripada kedua-dua DJ berkenaan.Ketika tiba di konti IKIM, DJ Nik sedang bersiap-siap untuk pulang memandangkan tugasannya telah pun selesai dan DJ Norhayati pula ketika itu pula sedang bersedia untuk slot seterusnya, Islam Agamaku.

Setelah selesai menunaikan solat Fardhu Asar di konti IKIM, ain terus bersedia bersama DJ Norhayati Paradi untuk segmen seterusnya ketika itu yang akan bermula dalam beberapa minit sahaja lagi.Dj yati, atau dengan panggilan mesra kak Yati, memberikan penerangan ringkas sebelum rancangan bermula.Beliau menerangkan tentang penggunaan beberapa peralatan di konti dan turut memberikan ain tips-tips soalan yang biasa akan ditanya oleh pendengar IKIM.

Rancangan dimulakan dengan pengenalan diri ini bagaimana bermula mengenali Islam dan bagi ain yang buat kali pertama bersiaran secara langsung, ia adalah suatu pengalaman baru dan agak sukar juga pada mulanya untuk membiasakan diri.

Selama ini ain banyak berkongsi melalui perkongsian di blog mahupun FB/PAGE. Apapun semua yang pertama itu adalah permulaan buat diri ini untuk terus melangkah jauh, In Sya Allah.Untuk berdakwah perlukan banyak latihan dan pengisian dari masa ke semasa.

Terima kasih ain ucapkan kepada Brother Faisal  yang sudi mencadangkan ain pada pihak IKIM untuk ditemuramah.Terima kasih juga pada DJ Norhayati Paradi yang membantu memberi keselesaan pada ain sepanjang program berlangsung.Alhamdulillah.

Banyak cabang dalam penyampaian dakwah Islam, dan ini salah satu cara iaitu berdepan dengan masyarakat secara langsung walau hanya melalui suara di corong radio.In Sya Allah akan perbaiki kekurangan yang ada di masa depan andai diberi peluang.

Sampai di sini saja coretan ain kali ini, In Syaa Allah bertemu di coretan yang lain.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian.


Saturday, November 10, 2012

~MUJAHADAH ~

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera, salam penuh kasih sayang buat sahabat blog Nur sekalian.

Alhamdulillah, bertemu kembali setelah sekian lama tidak berkesempatan mengemas kini coretan di sini.Sejak berpindah ke KL, rutin harian banyak yang berubah dan banyak perkara perlu dipelajari dari hari ke hari.

Alhamdulillah, sudah 2minggu rasanya ain dan suami berada di sini.Walaupun suasana gerai jualan di sini masih belum beroperasi sepenuhnya memandangkan ada lagi peniaga yang belum bersedia dengan barang jualan masing-masing.Namun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang bertahan meneruskan minat dan impian kami dalam perniagaan, insyaAllah.

SubhanAllah, Alhamdulillah.Perit getir sepanjang mendirikan rumah tangga bersama suami tersayang, memberikan suatu pengalaman dan memori indah antara kami berdua.Jatuh bangun, sakit getir sepanjang perkahwinan mematangkan kami dalam melayari kehidupan ini.Semakin kuat badai menimpa, semakin banyak ain belajar memahami suami dan begitu juga sebaliknya.

Alhamdulillah...Alhamdulillah..Alhamdulillah...

Berkongsi pengalaman, baru-baru ini ain menggunakan pengangkutan awam bersama suami untuk berulang alik dari rumah ke gerai jualan setiap hari.Buat kali pertama setelah sekian lama, lagi-lagi ini adalah kali pertama ain berniqab dan pada masa yang sama menaiki pengangkutan awam.

Di hari pertama menaiki bus, KTM mahupun teksi, suatu perasaan yang agak sukar digambarkan.Namun bagi ain ia adalah suatu cabaran buat diri ini untuk terus bermujahadah dalam berpakaian labuh serta berniqab dan pada masa yang sama perlu berada di tempat umum yang keadaannya jauh lebih sesak dengan pelbagai golongan, usia, jantina dan latar belakang yang berlainan.




Sudah menjadi perkara lazim andai ada mata-mata yang memandang pelik akan diri ini.Bagi ain ianya adalah suatu perkara lazim yang harus dan pasti ain perlu lalui hari demi hari.Agak kekok pada mulanya, namun lama-kelamaan ia adalah perkara biasa bagi ain dan suami.Alhamdulillah suami banyak membantu dengan memberikan ain suatu perasaan selesa apabila berada di tempat yang terlalu padat dengan orang ramai.

Ingin berkongsi dengan sahabat semua terutama muslimah yang baru berjinak-jinak berpakaian labuh atau yang masih was-was untuk berpakaian labuh terutama muslimah yang perlu berulang-alik ke kuliah atau ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, usah gusar lagi.

Secara peribadi, tiada alasan untuk menidakkan hukum Islam, hukum Allah terutamanya wanita Islam dalam menutup aurat sesempurna mungkin tidak kira masa dan di mana kita berada.Tiada alasan sukar untuk bergerak dalam berpakaian labuh atau berasa malu dengan pakaian yang mengikut syariat Islam.

Elaklah berpakaian ketat wahai adikku, kakakku sekalian apabila berada di kawasan awam.Usah khuatir andai dicop sebagai ketinggalan zaman atau 'alim'. Itu semua hanya kata-kata kosong yang tidak perlu kita fikirkan sangat.

Tidak perlu diubah cara berpakaian hanya semata-mata mengikut peredaran fesyen semasa.Sepatutnya kitalah yang berusaha suaipadankan pakaian kita agar mengikut hukum Allah.Hukum Allah tidak boleh diubah hanya disebabkan hawa nafsu semata.Kitalah yang harus mengikut hukum dan bukan sewenang-wenangnya mengubah apa yang telah termaktub dalam kalam Allah SWT.

Itulah yang sering diingatkan pada diri ini agar tidak terleka atau lalai dalam berpakaian.Adakala rasa bimbang hadir andai diri terleka dan terlalu taksub pada fesyen.Nauzubillah, moga dijauhkan.

Pesanan ringkas pada diri ini dan buat sahabat semua yang dikasihi.Berpakaianlah mengikut hukum Allah SWT dan bukannya mengubah hukum semata-mata ingin memuaskan nafsu semata.Pakailah pakaian taqwa walau berada di mana saja sekalipun.Tak perlu diubah cara berpakaian semata-mata memuaskan hati atau mata-mata yang memandang.

Cukuplah pandangan Allah pada kita.Lihat cermin dan soal pada diri, "sesuaikah pakaian aku pakai ini jika saat ini perlu mengadap Allah SWT????"

Fikir-fikirkan..

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian.


Sunday, October 28, 2012

SAAT-SAAT ITU...

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat NUR sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama tidak mengemas kini perkembangan peribadi.InsyaAllah perkongsian bermanfaat dan berfaedah akan  cuba dinurkilkan di sini.

Alhamdulillah, hari ni genap 8 hari ain berhijrah ke KL bersama suami.Merantau ke negeri lain cuba mencari rezeki di sini, insyaAllah.

Segalanya berlaku dengan pantas dan keputusan kami untuk berhijrah ke sini, pernah dibincangkan sebelum ini.Namun, kuasa Allah SWT tanpa diduga kami berhijrah dalam masa yang singkat dan tanpa sebarang persediaan terutamanya dari segi kewangan.

Jauh di sudut hati sudah pasti ada rasa bimbang, namun perasaan itu dibuang jauh-jauh.Cuba pujuk hati ini agar tabah menghadapi segala ujian yang sedang atau bakal tiba dalam kehidupan ini.Jika fikirkan beban yang ditanggung, ramai lagi insan di luar sana yang lebih berat lagi tanggungannya.Apalah sangat dengan ujian kecil ini kan.

Alhamdulillah, hijrah ain dan suami turut dibantu oleh sahabat-sahabat yang penyayang dan sangat pemurah dalam membantu kami memulakan langkah di sini.Syukur pada Allah SWT atas izin NYA, atas rahmat dan kasih sayang NYA, ain dikirimkan oleh Allah dengan sahabat-sahabat yang pemurah.SubhanAllah.Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa baik mereka.

Baru-baru ini ain membuka gerai jualan di Seksyen 7 Shah Alam Selangor, Alhamdulillah. Antara impian ingin menguruskan perniagaan sendiri luar dari skop alam maya. Sebagaimana sahabat sedia maklum, fokus barangan jualan ain adalah pakaian dan keperluan muslimah, dan insyaAllah dalam perancangan menambah koleksi pakaian buat kaum Adam dan kanak-kanak juga.Matlamat menyediakan pakaian dan barangan keperluan ibadah adalah fokus utama ain kini.

Mengimbas kembali saat-saat sebelum berhijrah ke KL, ain masih ingat saat ain membantu suami menyediakan juadah sarapan untuk jualan di pagi hari.Pernah satu ketika ain terduduk menangis setelah menyiapkan barangan jualan.Menangis bukan kerana sedih dengan nasib diri, tapi rasa kelegaan hadir hingga menitisnya air mata saat barangan yang ingin dijual ketika itu siap dibuat.

Setiap kali menyediakan juadah sarapan untuk jualan, ain cakap pada diri, ini adalah ibadah juga pada Allah SWT.Setiap titik peluh menyediakan juadah ini Allah akan balas, dengan syarat kita perlu ikhlas dalam penyediaan.Fikirkan makanan yang dimasak itu akan dijual dan dimakan oleh orang ramai, dalam fikiran ain ketika itu hanya fikir biar yang makan tu rasa kenyang dan berharap mereka yang keluar mencari rezeki tidak kelaparan di waktu pagi, insyaAllah.

Rasa sebak hadir saat mengenangkan saat-saat itu.Walaupun kini ain sudah mempunyai gerai jualan tetap di Shah Alam, namun ain takkan lupa saat-saat susah payah dalam langkah kehidupan ini.Jerih payah, pengorbanan yang perlu dihadapi hari demi hari, moga Allah kuatkan diri ini.



Ini gambar gerai jualan ain, masih banyak perlu diperbaiki.InsyaAllah perkembangan akan dikemas kini dari masa ke semasa.


Semoga diri ini terus tabah, semoga diri ini terus kuat dalam usaha memperbaiki amal ibadah hari demi hari.Semoga diri ini dapat menggembirakan insan-insan sekeliling walau adakala hati terluka, insyaAllah penawar hanya Allah yang Satu.




Ini alamat butik kecil ain dan suami, NUR AIN'Z BOUTIQUE:

NUR AIN'Z BOUTIQUE
EMPAYAR BAZAAR
KEDAI NO 22
JALAN PLUMBUM
N7/N SEKSYEN 7
40000 SHAH ALAM SELANGOR

Dijemput hadir ke gerai jualan ain di sini yea sahabat.Cukup sekadar ziarah pun tidak mengapa.

Mengenang kisah-kisah lalu, saat-saat lalu, dan akan datang yang belum pasti, segalanya ain serahkan pada Allah SWT.Selagi mampu, kita perlu terus berusaha.Jatuh dan bangunlah kembali, walau berkali-kali kita jatuh.Dari kejatuhan itu kita belajar untuk merangkak dan merangkak, insyaAllah satu masa nanti kita pasti boleh berdiri di kaki sendiri.Jangan lupa pada Allah yang Maha Pemberi.

Sampai di sini saja coretan kali ini, insyaAllah ada kelapangan ain singgah lagi di sini yea.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian

Friday, October 12, 2012

BERDAKWAH MELALUI PENAMPILAN

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat Nur sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama ain tidak berkesempatan mengemas kini coretan di sini.

Di sini ain ingin berkongsi luahan seorang sahabat berkenaan perihal abaya :

"assalamualaikum kak ain..ade cerita menarik pasal abaya yg sy beli kt kak ain..hati ni tersentuh bile ade kwn satu pjabat yg bukan beragama islam sgt tertarik dgn abaya yg sy pkai .. malahan die berpendapat sgt sopan dan cantik wanita yg mengenakan abaya..hati sy berbisik sedangkan mereka bukan beragama islam pn nmpak keindahan menutup aurat..ni kan sy yg memg lahir2 da memg beragama islam..betul kate org berdakwah bukan saje dgn kate2 malahan dgn penulisan,akhlak & pakaian."


SubhanAllah, Alhamdulillah, indahnya berdakwah melalui pakaian.

Ingatkan ain selalu terapkan dan nyatakan dalam penulisan di blog ain sebelum ini.Berpakaianlah demi mendapat redha Allah SWT.Berpakaian juga adalah ibadah, maka pakailah pakaian taqwa.

Mungkin kita bukan ustazah atau ustaz, bukan seorang penceramah yang hebat, namun harus diingat pada zaman Rasulullah SAW pun ramai yang kembali pada Islam kerana tertarik dengan perawakkan hebat Nabi Muhammad SAW.Maka kita juga perlulah mengikut cara Rasulullah SAW sampaikan ISlam.Misalannya melalui pakaian.

Wanita Islam khususnya, adalah menjadi kewajipan bagi setiap kita yang bernama wanita agar menjaga dan menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Janganlah akibat ingin mengikut trend semata-mata maka hukum Allah sanggup dilanggari.

Luahan mesej yang ain kongsikan sebentar tadi itu adalah apa yang ain rasakan sebelum ini.Bagi yang pernah membaca kisah ain sewaktu ain masih baru mengenali Islam, ain juga mengalami krisis identiti diri.Krisis dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita Islam, sebagai hamba Allah SWT.Kekeliruan di awalnya banyak mengajar diri ini, Alhamdulillah.

Sebagaimana orang yang masih belum menerima Islam nampak keindahan Islam melalui cara berpakaian, ain juga satu masa lalu keliru.Keliru melihat wanita Islam dengan pelbagai fesyen "muslimah" terkini. Hanya belajar melalui pemerhatian yang disangka telah menutup aurat, tetapi rupa-rupanya hanya "menutup aurat tapi bertelanjang". Astaghfirullah.

Mesej ringkas yang ain cuba tekankan adalah, tidak kira sama kita ini wanita ISlam atau lelaki Islam.Janganlah hanya meletakkan Islam di IC semata-mata.Praktikkan keindahan Islam dalam kehidupan seharian.Praktikkan Islam dalam perwatakkan, perlakuan, pergaulan, pertuturan mahupun dalam berpakaian.Semua itu adalah cerminan agama kita.Cerminan keindahan Islam pada mereka yang masih belum dapat menerima Islam.





Sekadar perkongsian ringkas dapat ain nurkilkan pada hari ini.Sebelum itu, ingin ain mohon maaf pada sahabat semua yang ada menghantar pertanyaan atau email peribadi.InsyaAllah ain akan balas setakat mana yang boleh.

Namun, persoalan yang sering ditanyakan adalah:

-bagaimana untuk istiqamah dalam hijrah
-bagaimana untuk istiqamah menutup aurat
-bagaimana ingin berniqab

InsyaAllah persoalan itu ain pernah jawab dalam coretan blog sebelum ini, mungkin ada sahabat yang tidak berkesempatan membacanya.Kebiasaannya ain akan jawab pertanyaan sahabat melalui tulisan di blog dengan harapan sahabat yang mengikuti blog ini bukan hanya yang bertanyakan soalan, malah yang mungkin ada persoalan yang sama dapat menerima jawapan ain juga.

Satu persoalan yang dijawab dan dikongsikan beramai-ramai adalah lebih bermanfaat bukan...Baiklah ain berikan link beberapa coretan yang berkaitan.

Berkenaan persoalan pertama, sahabat boleh ke link Hijrah

Berkenaan persoalan kedua, sahabat boleh ke link AURAT dan PAKAIAN

Berkenaan persoalan ketiga, sahabat boleh ke link NIQAB

Ini adalah antara 3 persoalan yang agak popular ditanyakan pada ain.InsyaAllah ain cuba kongsikan setakat mana ain mampu.

Cuma ada satu persoalan lagi yang ain masih belum membuat entri khas, iaitu berkenaan tempat belajar atau pusat pendidikan agama.InsyaAllah ain akan usahakan yea.

Salam perjuangan,
NUR AIN VIVIAN QUAKE ABDULLAH.


Sunday, September 16, 2012

NIQABIS BEKERJAYA

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat Nur sekalian.Salam pertemuan kembali di alam maya.Moga semua dalam keadaan ceria dan baik-baik selalu.

Alhamdulillah hari ini ain ingin berkongsi dengan sahabat pembaca Nur dengan beberapa kenalan terdekat ain, seorang muslimah, seorang isteri, seorang niqabis, seorang muslimah bekerjaya.

Antara niqabis terawal ain kenal adalah KakChik Niza melalui laman sosial, FB.Dari FB, mengenalinya pula di laman blog peribadi beliau.Alhamdulillah, banyak info berguna dan pengalaman dikongsi melalui perkongsian kisah aktiviti hariannya.





Kakchik Niza adalah seorang yang peramah, pendengar yang setia dan sentiasa sudi membantu apabila diperlukan.Seorang businesswoman berjaya dalam busana muslimah, turut menyediakan kemudahan menyediakan bahan bacaan berbentuk ilmiah dan juga seorang yang dipertanggungjawabkan menguruskan sebuah perpustakaan di Kota Bharu.Tidak kurang juga beliau aktif di medan politik dalam usahanya meneruskan dakwah Islam pada masyarakat setempat.

Sahabat boleh singgah di laman blog peribadinya di Keluargaku Sayang untuk kenali beliau dengan lebih dekat, insyaAllah.


Sahabat niqabis seterusnya Puan Wan Nor Ainon Wan Abdullah , atau panggilan mesra beliau Kak Nur.Walaupun seorang ustazah namun beliau seorang yang amat merendah diri dan mudah untuk dibawa berbincang.




Kak Nur, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah (Fikah & Usul Fiqh)  dari University of Jordan dan lulusan  Sarjana Syariah (Fikah & Usul Fiqh) dari Universiti Malaya.

Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah menjadi sukarelawan antaranya di Raudhatus Sakinah Kota Bharu, Pusat Serenti (Kandis), Bachok.

Kak Nur kini menetap di Australia bersama keluarga beliau sambil menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan.




Buku Fikah Perubatan adalah antara buku penulisan beliau.Alhamdulillah salah satu buku kegemaran ain dan masih lagi dalam bacaan.Cukup bermanfaat dan wajib dimiliki, insyaAllah.Jika ada sahabat yang berminat, insyaAllah ain akan cuba dapatkan yea.

Oh yea, tidak lupa juga sahabat boleh singgah ke blog peribadi kak Nur di sayangIslam.com. InsyaAllah pelbagai info berguna boleh dimanfaatkan.


Sahabat seterusnya jauh di Jeddah, Arab Saudi.Adik Nor Abdullah [nama gelaran], seorang isteri, seorang niqabis dan juga seorang freelancer ilustrator dari rumah.




Seorang bekas pramugari, kini menetap di Jeddah dan berkahwin dengan penduduk di sana.Alhamdulillah seorang yang ceria dan tidak lokek berkongsi ilmu.Kehadirannya menceriakan suasana.

Masih lagi muda, namun sungguh berbakat dalam lukisan doodle dakwah.Malah beliau turut mengambil tempahan doodle apabila diminta dengan kadar bayaran yang amat berpatutan.Jika sahabat memiliki laman FB boleh singgah dan lihat hasil kerja beliau di sini . 




Foto di atas adalah salah satu hasil lukisan doodle yang adik Nor hasilkan.Sangat kreatif melukis sambil menyampaikan mesej-mesej dakwah di dalam lukisan beliau.Kini lukisan doodle pernah terbit dalam majalah tempatan dan projek seterusnya adalah dalam penghasilan buku, insyaAllah.

Bagi sahabat yang ingin kenali dan ikuti perkembangan beliau, bolehlah singgah ke blog peribadinya Demi Masa.Tambahan, sahabat boleh lihat koleksi karya doodle beliau di pinterest  dan norabudy.tumblr.comhttp://norabudy.tumblr.com/


Niqabis seterusnya, masih lagi dalam usaha suai kenal, insyaAllah.Puan Atina atau lebih dikenali dengan Atina Chan Boutique .

Jika mengenalinya dengan lebih dekat, beliau merupakan seorang yang peramah dan mudah mesra di sebalik kain niqabnya itu.Alhamdulillah.Moga perkenalan ini menambah ikatan ukhuwah yang sedia ada.




Mesra dengan panggilan kak Atina, beliau dan suami gigih berniaga di sekitar masjid di KL dan Selangor.

Bagi sahabat yang sedang berjinak-jinak atau ingin memiliki purdah, bolehlah berhubung dengan beliau dan mengikuti perkembangan gerai jualannya di laman page Atina Chan's Boutique . Alhamdulillah, baru-baru ini ain menerima hadiah berupa niqab dari koleksi jualan beliau.Alhamdulillah, niqabnya sangat lembut dan selesa dipakai pada bila-bila masa dalam pelbagai suasana.

Bagi ain sendiri, yang masih lagi bertatih dan masih banyak perkara perlu dipelajari.Masih jauh perjalanan ini.Moga Allah permudahkan segalanya aamiin.





Sahabat boleh singgah di blog bisnes ain di Nur Ain'Z Boutique atau page ain di FB.
Alhamdulillah, selesai juga hajat hati untuk berkongsi nurkilan ini.Moga nurkilan ini menjadi inspirasi buat sahabiah di luar sana yang berniat untuk berniqab atau telah lama berniqab agar tampil yakin dalam segala pekerjaan yang dilakukan.

Moga segala pekerjaan kita lakukan sehari-hari adalah ibadah kita pada Allah SWT, aamiin.

Sehingga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah.


Monday, September 10, 2012

HIJRAH INI....

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain kasihi sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali dalam coretan di alam maya ini.Alhamdulillah.

Suasana malam yang tenang menimbulkan kedamaian dalam diri ini, SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.Moga sahabat semua begitu juga yea.

Sudah setahun lebih berlalu sejak mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa dan pada masa yang sama berniaga kecil-kecilan secara alam maya [online biz].Membuat keputusan untuk berniqab malah, dipermudahkan dengan izin NYA.SubhanAllah, begitu cepat masa berlalu.

Berkongsi pengalaman diri, moga dapat memberi manfaat buat sahabat pembaca yang mungkin sedang melalui atau tertanya-tanya bagaimana melalui semua ini dengan sebaiknya, insyaAllah.

Bagi sahabat yang bergelar wanita bekerjaya dan pada masa yang sama sudah bekeluarga, sudah pasti ada diantara kalian berhasrat untuk memberikan tumpuan sepenuh masa bersama keluarga.Pasti terdetik di hati memilih untuk meninggalkan alam pekerjaan demi keluarga yang amat kita kasihi.Namun hati berbolak-balik kerana sayangkan alam pekerjaan yang sudah sebati dengan diri kita.

Buat sahabat yang dalam situasi tertanya-tanya, mari kita semak semula niat kita dalam pekerjaan.Jelaskan matlamat diri dalam bidang kerjaya yang kita sedang lakukan sekarang ini.Kenal pasti bidang kerjaya sahabat sama ada hanya untuk keseronokkan atau wang semata-mata.Andai hanya wang yang kita nampak dalam pekerjaan kita, maka ianya perlu diperbaiki.

Tanpa wang bagaimana ingin meneruskan kehidupan??? Benar, namun andai wang mengisi pemikiran kita sehari-hari tanpa ada pengisian kerohanian, di situlah masalahnya.Kita menjadi hamba WANG, WANG menguasai akal dan tindakan kita seharian.

Tiada salahnya bekerjaya sambil menguruskan rumahtangga selagi mana kita bijak menguruskan masa bersama keluarga, diri sendiri dan lebih utama kepada Allah SWT.Malah ain kagum dengan wanita yang bekerjaya berjaya dalam profession yang dipilih dan pada masa yang sama hebat menguruskan anak-anak dan suami.TAHNIAH ain ucapkan.

Apapun pilihan sahabat, sentiasa muhasabah diri dalam pekerjaan yang kita lakukan.Niatkan agar profession sahabat sentiasa mendapat redha Allah SWT selagi mana tidak melanggar batas-batas syariat terutama dalam pergaulan seharian.Bagi kita sebagai seorang wanita Islam, sebagai hamba Allah yang sedang melayari kehidupan ini, perlu tahu adab atau etika dalam pekerjaan apabila berada di luar rumah.Sila rujuk pada coretan ain sebelum ini berkenaan ADAB MUSLIMAH BEKERJAYA.

Buat sahabat ain yang bergelar suri rumah, usah rasa rendah diri atau malu dengan status berkenaan.Sedarilah sahabatku bahawa suri rumah antara bidang kerjaya yang paling sibuk dari mana-mana bidang pekerjaan.Dari pagi sampai ke malam urusan rumahtangga pasti tidak akan pernah habis.Pasti ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan.

Berkongsi pengalaman diri, dari mempunyai pekerjaan berstatus 'kolar biru' dan kini hanya suri rumahtangga, banyak perkara perlu dilalui dan perlu dihadapi sehari-hari.Dari situ ain sedari suatu perkara yang ada dalam tindak tanduk seseorang bernama manusia..makhluk ciptaan Allah.

Kita gemar meraikan seseorang individu yang mempunyai status, pangkat dan harta berbanding seseorang individu yang hanya hidup serba sederhana dan tidak mempunyai sebarang pangkat di dalam masyarakat.Harta, wang dan status masih dipandang mulia dalam masyarakat kita, tidak kiralah seseorang itu bernama Islam atau tidak.Perit, namun itulah hakikatnya.

Dan hakikat itu ain pegang dalam diri ini agar lebih tabah hadapi dunia yang sementara ini.Dunia yang penuh cobaan, dunia yang penuh godaan dan penuh hawa nafsu.Setiap saat diri ini perlu berjuang melawan segala macam bentuk ujian, dari ujian itu diri ini makin matang.Alhamdulillah, tarbiah langsung dari Allah SWT.Tarbiah yang perit namun menginsafkan diri ini.SubhanAllah.

Dari situ, diri ini mengumpul kekuatan untuk bangkit dari terus-terusan dihimpit dengan pelbagai tohmahan.Alhamdulillah, bangkit dari pandangan rendah masyarakat pada status wanita bekerjaya SURIRUMAH TANGGA.Tiada apa yang hendak dimalukan, dan tidak perlu ada rasa rendah diri bagi sahabat yang memilih untuk memberi tumpuan pada keluarga sepenuhnya.

Berbalik daripada seorang yang berasal dari keluarga non muslim dan kini kembali pada Islam sejak 9 tahun yang lalu.Pelbagai perkara dilalui sepanjang perjalanan ain mengenali Islam dengan lebih dekat, dan semakin ain ingin dekat dengan Allah SWT, semakin banyak diri ini diuji.





Dari krisis identiti diri di awal kembali pada Islam dan berkali-kali Allah berikan petunjuk dan hidayah pada diri ini.Alhamdulillah, jatuh bangun sepanjang 9 tahun itu, dan inilah ain yang sekarang ini.SubhanAllah..Alhamdulillah..Allahuakhbar..Indah sungguh aturan Allah SWT, moga diri ini terus tabah dan berusaha menjadi hamba NYA sebaik mungkin, aamiin.

Masih lagi baru berniqab, berbanding ramai lagi niqabis di luar sana yang sudah berbelas tahun, berpuluh tahun berniqab.Namun ingin berkongsi secebis pengalaman diri sepanjang berniqab.

Dari tidak bertudung, kepada bertudung singkat, kepada bertudung labuh, dan berpakaian labuh serta berniqab akhirnya.Alhamdulillah.Moga diri ini dan sahabat yang lain di luar sana terus istiqamah di jalan diredhai NYA, aamiin.

Nasihat ain pada diri ini dan juga buat sahabat muslimah terutamanya di luar sana yang berkesempatan membaca coretan ini.Cukuplah hidup beralasan, cukuplah memberi seribu satu macam alasan untuk tidak menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Allah SWT tidak pernah memberikan sebarang alasan dalam memberikan kita nikmat dalam kehidupan ini.Allah yang menciptakan, maka kita sebagai hamba NYA perlu patuh dan taat pada perintah dan larangan NYA.

Menutup aurat bukan sekadar sehelai kain menutupi rambut, menutup aurat dan membalut aurat juga adalah 2 perkara berbeza.Hati-hati yea sahabat apabila mengeluarkan kenyataan, "Janji dah ada niat",  "Islam tak membebankan." , "Lainlah kalau tak pakai tudung langsung". 

Kenyataan sebegini sering dilontarkan apabila seseorang muslimat itu ditegur agar memperbaiki caranya menutup aurat.Itu menunjukkan ANDA masih EGO pada Allah SWT.Anda masih EGO untuk mengikut perintah Allah SWT.

Sahabat boleh rujuk coretan ain lalu berkenaan Wanita Tidak Tutup Aurat Selalu Guna 13 Alasan. Mari kita 'refresh' kembali ilmu sedia ada.

Buat sahabat muslimah yang kini dalam usaha dan telah bertindak menjalankan hukum Allah, TAHNIAH ain ucapkan atas tindakan sahabat.Moga niat dan amal sahabat sentiasa diberkati dan dipermudahkan Allah SWT.Moga sahabat sentiasa tabah dalam mengharungi segala ujian diberi, aamiin.

Sering mendapat pertanyaan dan luahan daripada sahabat-sahabat yang telah berhijrah ke arah kebaikkan, dipulaukan atau tidak diendahkan oleh kaum keluarga, saudara-mara mahupun sahabat yang paling rapat dengan kita.Itu semua lumrah sahabatku, lumrah kehidupan.Makin kita berusaha memperbaiki diri, makin kita berusaha mendekatkan diri pada Allah Yang Maha Kuasa, maka makin banyaklah duri yang hadir cuba menyakiti diri kita.Sesungguhnya itu semua adalah didikan buat diri kita agar menjadi hamba Allah yang lebih kuat dan tabah di masa akan datang.Tarbiah langsung dari Allah itu sememangnya pahit, namun manis juga akan kita peroleh, insyaAllah.

Buat sahabiah yang bertanya bagaimana untuk berniqab sedangkan diri begitu berhasrat untuk berniqab namun begitu banyak faktor kekangan membataskan niat baik itu.Ini jawapan ain pada sahabat semua.

Berniqab atau tidak berniqab adalah mengikut kemampuan dan kehendak masing-masing.Andai tidak mampu berniqab atas faktor halangan keluarga misalnya, cukuplah sahabat berusaha menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Fahami apa itu AURAT [sila rujuk] bagi wanita Islam.Di mana batas aurat kita sebagai seorang muslimah.Andai batas aurat itu sendiri tidak difahami, mana mungkin sahabat dapat berniqab dalam suasana fitnah di zaman moden ini.

Jagalah akhlak, jagalah adab pergaulan seharian tidak kira dimana kita berada, mahupun di alam maya sekalipun.Semua itu perlu dipelajari dalam menjadi seorang muslimah yang disayangi dan diredhai Allah SWT.Tidak cukup dengan hanya bertudung labuh, berpakaian labuh dan berniqab andai akhlak, ilmu tiada untuk membimbing diri.

Walaupun ain berniqab, ain akui ada muslimah berniqab yang tidak faham pengertian aurat dan masih lagi berTABARUJJ. Ingatan buat diri ini juga agar dijauhkan dari perkara-perkara sedemikian.Nauzubillah.

Buat muslimat yang masih belum bernikah dan masih mempunyai ibu/ayah/penjaga, berhasrat untuk berniqab.Sebaik-baiknya maklumkanlah hasrat sahabat pada mereka.Jelaskan pada mereka niat adik dan tujuan adik berkeinginan untuk berniqab.InsyaAllah redha mereka perlu dalam memudahkan kita meneruskan niat.Bagi yang sudah bersuami, eloklah minta keizinan dan redha suami sahabat agar suami antara insan yang boleh membantu dan melindungi diri kita di kala kita dipandang serong atau dipulaukan dalam masyarakat.

Jika sudah berbincang dengan baik namun masih tidak mendapat keizinan, tidak bermakna niat adik itu terus terkubur.Mohonlah petunjuk dan kekuatan dari Allah SWT.Mohonlah pada NYA agar hasrat kita dipermudahkan.Tidak kiralah lambat atau cepat, itu semua kerja Allah.Biarlah Allah yang tentukan masa dan waktu sebaiknya.Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat kita lebih dari diri kita sendiri.

Banyakkan solat sunat istikharah, tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya.Mohon keampunan dari Allah SWT.Terimalah apa saja keputusan Allah SWT kerana apa yang sudah Allah aturkan buat kita, itulah yang terbaik.InsyaAllah.

Ain sendiri tidak terlepas daripada dipulaukan daripada mereka yang pernah rapat dengan diri ini.Memandangkan ain adalah seorang Chinese Muslim, dan kini berniqab, menimbulkan seribu satu macam persoalan pada sesetengah pihak.Disisihkan, dipulaukan seperti patung...Sakitnya hati ini Allah saja yang tahu, dan Alhamdulillah Allah ubati hati ini sedikit demi sedikit.

Di cop sebagai EXTREME, SESAT, AQRAM, PAS, HANTU..dan entah apa-apa lagi.Semua perkataan itu sudah sebati dengan diri ini.Pada mulanya sudah pasti melatah, dan kini Alhamdulillah ain sudah tidak ambil peduli dengan kata-kata itu.Buat sahabat yang sering diherdik atau diperkatakan sedemikian, sentiasalah ingat bahawa kita mampu berhujah pada seseorang yang kurang ilmunya, namun kita tak mampu berhujah pada orang yang jahil ilmunya.Maka tak perlu ambil pusing yea sahabatku.

Andai mereka menjauhkan diri, anggaplah Allah sedang jauhkan kita daripada orang-orang yang bersifat negatif.Andai merasakan diri kita sendirian, anggaplah Allah ingin kita lebih bermunajat pada NYA siang dan malam.Andai kita dihina , anggaplah yang Allah ingin kita sedar siapa kita sebenarnya.Kita cuma hamba Allah.Memang layak dihina, dicaci, dikeji.

Moga dengan cara ini timbul kekuatan dalam diri.Sedikit coretan ain nurkilkan malam semalam:






Sahabatku,

andai dirimu ingin merintih... dengarkanlah rintihanmu itu di hadapan Allah..

andai dirimu menangis...tangisilah dosa-dosamu dengan penuh penyesalan di hadapan Allah..

andai dirimu kecewa.. kecewalah kerana kau masih gagal menjadi hamba Allah yang sebaiknya..

andai dirimu lemah..sesali kelemahanmu dalam beribadah kepada Allah..

andai dirimu dahagakan kasih sayang... maka dahagakanlah kasih sayang Allah dalam kehidupanmu..

andai dirimu berasa sendiri..belajarlah untuk bersendirian bersama Allah...

andai dirimu tertipu..fikirkan kembali adakah kita menipu dalam beribadah kepada Allah..

Astaghfirullah..Allahuakhbar.. La Haula Walla Kuwata Illa Billah...


Selain sibuk menguruskan rumahtangga, menghabiskan waktu lapang dengan menulis sebagai salah satu cara untuk memanfaatkan masa yang ada, ain kini dalam usaha meneruskan minat dalam perniagaan kecil yang ada sekarang ini.Angan-angan, matlamat masih jauh, namun tak mustahil untuk dikejar.Selagi mana rezeki diperoleh halal dan dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta dapat membantu ummah, itu sudah memadai.Moga dengan rezeki yang ada dapat ain dan suami menunaikan Haji mahupun Umrah suatu masa nanti, insyaAllah..aamiin.Doakan ain yea sahabat.

Bagi sahabat yang rajin melawat dari blog ke blog, jemput ziarah blog bisnes ain di Nur Ain'Z Boutique.Bagi sahabat yang ada laman sosial tu, bolehlah singgah di page ain di sini yea.Sedikit lagi perkongsian, blog NUR juga kini mempunyai laman page sendiri di FB dan sahabat boleh klik NUR untuk ke sana.insyaAllah.

Bercakap tentang bisnes, Alhamdulillah suami memberikan sokongan penuh pada diri ini untuk meneruskan usaha dalam menempatkan diri dalam antara 'businesswoman' yang berjaya.Bagi ain secara peribadi, moga segala hasil usaha ini diberkati dan mendapat redha Allah akhirnya.Moga jalinan ukhuwah dan mesej Islam dapat disampaikan dengan sebaik mungkin, insyaAllah.

Sampai di sini saja coretan kali ini.InsyaAllah bertemu lagi di coretan akan datang.





Thursday, September 6, 2012

KISAH NIQAB

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama tidak meninggalkan sebarang coretan di sini.

Alhamdulillah hari ini ain terima hadiah daripada seorang sahabat berupa sehelai niqab 3 lapis, dan jika tak silap ain ianya dari Yaman.

SubhanAllah, Alhamdulillah.Bersyukur atas nikmat kurnia NYA.Di kala diri dalam kesempitan, dihantarnya nikmat bagi melegakan kesempitan yang dirasai kini.ALHAMDULILLAH.

Semenjak ain berniqab kira-kira 1 tahun 5 bulan dan hingga kini, ain tak pernah lagi membeli niqab.Semuanya adalah hadiah dan pemberian daripada rakan-rakan dan sahabat terdekat.Jika ada pun, niqab pertama ain pakai adalah kain yang ain beli yang pada mulanya dihantar pada seorang sahabat untuk diupah jahit.Namun, atas izin Allah SWT, sahabat yang jahitkan berbesar hati menjahitnya tanpa menerima sebarang upah.

Pernah terdetik dalam diri ini, akan ketidakmampuan untuk menambah koleksi niqab untuk pakaian harian.Namun Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.SubhanAllah.

Pejam celik, Allah SWT sudah hadiahkan ain niqab kira-kira 10 helai kesemuanya.Semuanya dihadiahkan melalui perantara iaitu melalui hadiah diberikan oleh sahabat-sahabat yang begitu pemurah.

SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKHBAR.



Foto di atas adalah salah satu niqab yang ain kenakan, hadiah daripada seorang sahabat.

ALHAMDULILLAH.

Apabila direnungkan kembali, begitu hebat kuasa Allah SWT.Di saat hamba NYA dalam kesempitan diberikan berita gembira, diberikan hadiah, diberikan nikmat dan bermacam-macam lagi bagi mengubati rasa kekurangan ini.

Alhamdulillah atas segala musibah yang terjadi, Alhamdulillah atas segala ujian diberi.Alhamdulillah atas teguran langsung yang Allah berikan pada diri ini.Membuatkan diri ini semakin yakin akan ketentuan Allah SWT.Semakin diri ini yakin akan aturan Allah SWT.Sememangnya aturan Allah begitu cantik dan di luar dugaan hamba NYA sendiri.

ALHAMDULILLAH....

Teringat kata-kata nasihat ini:


"Janganlah engkau cemas tentang rezekimu, kerana pencariannya kepadamu lebih kuat daripada engkau mencarinya.

Apabila kamu telah memperolehi rezeki untuk hari ini, maka janganlah engkau risaukan rezeki untuk hari esok, sebagaimana engkau tidak lagi merisaukan hari kelmarin yang sudah berlalu.

Sedangkan hari esok, apakah engkau tahu sama ada ia akan sampai kepadamu atau tidak.."

[WASIAT & NASIHAT KEROHANIAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI]













Monday, September 3, 2012

Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain sekalian.Moga semua dalam lindungan dan Rahmat Allah SWT, aamiin.

Alhamdulillah di sini ain ingin mengetengahkan kitab, bahan bacaan atau buku-buku rujukkan ilmiah buat sahabat semua.InsyaAllah moga kebaikkan ini dapat dikongsikan bersama.

Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan adalah antara bahan rujukkan ain sehari-hari.Alhamdulillah banyak membantu diri ini membuat latih tubi dalam memperbaiki bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Untuk itu, ain berniat untuk berkongsi beramai-ramai kelebihan menggunakan Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan ini bersama sahabat semua.

Sebagai permulaan, pembelian kitab ini adalah secara Pre Order Sahaja dan insyaAllah pada masa depan kitab ini boleh didapati di NUR AIN'Z BOUTIQUE  pada bila-bila masa.

BERKENAAN KITAB:
Kitab Al-Quran Tajwid dan Terjemahan ; Beserta Asbabun Nuzul, Hadis Sahih dan Indeks Tematik

Penerbit: Humaira Bookstore Enterprise
Harga Runcit :

Size B5 : RM 70
Size A4 : RM 130




Kitab Al-Quran Tajwid dan Terjemahan ; Beserta Asbabun Nuzul, Hadis Sahih dan Indeks Tematik





Keterangan:

-Saiz tulisan yang jelas dan mudah dibaca, insyaAllah.





Keterangan:

Di dalam lembaran Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan, terdapat 2 penanda buku [BookMark] yang boleh digunakan untuk menanda muka surat bacaan kita sehari-hari.

ISTIMEWA penanda buku ini adalah ianya mengandungi:

-Panduan Doa Permulaan Bacaan Al-Quran beserta tafsir
-Panduan Tajwid Kod Warna
-Panduan Tanda Waqaf dan Panduan Berwaqaf

Mudah difahami dan digunakan sebagai panduan dalam memperbaiki bacaan Al-Quran, insyaAllah.





Keterangan:
Pada bahagian muka hadapan dan belakang Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan disenaraikan Asma Ul Husna beserta dengan maksudnya dalam Bahasa Melayu.

Jelas dan mudah dibaca.Malah boleh dijadikan carta harian untuk hafalan dan ingatan, insyaAllah.





Keterangan:

-Pada bahagian belakang Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan ini mengandungi Klasifikasi ayat Al-Quran.

-Para muslimin/muslimat boleh merujuk bahagian ini untuk tajuk-tajuk tertentu berkenaan ayat - ayat Al-Quran yang berkaitan dengan Iman, Firaun, dan sebagainya dengan lebih mudah..

InsyaAllah .





Keterangan:

-Pada bahagian setiap helaian muka Al-Quran ini diselitkan juga dengan pelbagai Riwayat & Hadith sahih.Mudah difahami dan penggunaan warna yang menarik, insyaAllah.






Keterangan:
Turut dinyatakan berkenaan penggunaan Kod Warna yang berlainan dalam Panduan Tajwid di helaian muka hadapan.

Size B5 : RM 70
Size A4 : RM 130

Postage : add RM10 senaskah




Keterangan:

-Pada bahagian setiap helaian muka Al-Quran ini diselitkan juga dengan pelbagai Riwayat & Hadith sahih.Mudah difahami dan penggunaan warna yang menarik, insyaAllah





Keterangan:
-Penggunaan Kod Warna tajwid yang berlainan




TEMPAHAN KINI DIBUKA.

Bagi yang berminat, sila: 

SMS/CALL : 016 665 7783
EMAIL : nurainzboutique@gmail.com

TERIMA KASIH

Sunday, September 2, 2012

INFAQ DI JALAN ALLAH

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik-baik selalu, semoga urusan sahabat senantiasa dipermudahkan, aamiin.

Alhamdulillah, sudah setahun setengah berlalu semenjak ain berhenti dari tugasan sebagai seorang jururawat dan sejak itu juga ain mula tumpukan perhatian pada keluarga, pada diri sendiri, pada urusan perniagaan kecil dan terutamanya dalam urusan agama.

ALHAMDULILLAH.Sepanjang perjalanan diri ini bergelar seorang wanita, seorang hamba Allah SWT, pelbagai perkara dilalui tidak kira pahit, manis, suka, duka yang adakalanya boleh saja menggoncang iman pada diri ini.SUBHANALLAH..Maha Suci Allah atas segalanya.

Perkongsian buat sahabat semua, tidak kiralah yang bekerja sendiri, makan gaji atau yang hanya surirumah tangga sepenuh masa.Jom kita muhasabah diri bersama.

Tidak kira apapun bentuk pekerjaan kita sehari-hari, perlulah dimulakan dengan niat yang betul.Perbetulkan niat agar segala yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT semata.Pastikan pekerjaan kita buat itu adalah halal dan mengikut hukum syarak dan bukan hanya mendapat gaji semata-mata.Untuk mendapat rezeki yang berkat, perlu bermula dari mana hasil atau punca pendapatan kita itu.

Selain itu niatkan setiap hasil kita dapat sama ada makan gaji atau bekerja sendiri itu dalam bersedekah pada mereka yang memerlukan.Niatkan setiap hasil titik peluh yang diperoleh itu di jalan Allah SWT.Ingatkan pada diri selalu bahawa setiap harta yang kita peroleh adalah pinjaman sementara dari Allah dan Allah kurniakan kita nikmat rezeki yang melimpah ruah itu untuk diagihkan pada mereka yang lain.

Cuba ingatkan pada diri, "Sedikit disyukuri, banyak dikongsi.."..InsyaAllah hati kita akan tenang selalu.Percayalah.

Firman Allah SWT :
"Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (menafkahkah hartanya ke jalan Allah, maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak.Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada NYA lah kamu dikembalikan."
[SURAH AL BAQARAH 2: AYAT 245]

Satu ketika dahulu, apabila tiba tarikh yang ditetapkan atau dalam erti kata lain "cukup bulan", sudah pasti ramai diantara kita begitu teruja untuk dapatkan gaji bulanan.Namun, dalam sekelip mata hasil didapati habis begitu saja.Entah ke mana.Membayar hutang dan sebagainya, akhirnya yang tinggal hanya sekelumit saja.Sudah pasti ada diantara kita tertanya-tanya sampai bila atau mungkin terdetik "duit macam air.."

Itulah hakikatnya apabila diri kita menjadi hamba pada WANG.Apabila faktor material menjadi agenda utama dalam kehidupan seharian, sudah pasti hanya WANG menjadi perkara utama yang bermain dalam minda seseorang.Kita bekerja untuk wang, bukan bekerja untuk Allah..Itulah hakikatnya.

Nauzubillah min zalik..Moga dijauhkan dari diri ini dan kita semua, aamiin.

Jika dahulu tiap bulan akaun bulanan cecah 1K++, namun hal itu tidak memberikan kegembiraan atau ketenangan pada diri ini.Kini, Alhamdulillah hal yang sebaliknya berlaku.

ALHAMDULILLAH,  hasil usaha berniaga kecil-kecilan dapatlah diri ini menampung kehidupan seharian dengan lebih tenang dan gembira.Amaun besar atau kecil bukan menjadi persoalan, namun kepuasan dicapai dalam setiap titik peluh yang didapati itu membuatkan jiwa sentiasa tenteram.Diri ini merasakan setiap perkara perlu ada pergantungan dan pengharapan penuh pada Allah SWT.

Apabila kita bergantung harap sepenuhnya pada Allah SWT, insyaAllah tiada yang mustahil dan tiada yang tidak boleh dalam kehidupan ini.Sebaliknya apabila terlalu bergantung pada manusia, hati akan menjadi tidak keruan, tidak tentu arah dan hala tuju serta matlamat hidup kita menjadi kabur.

Ikhlaskan diri dalam setiap perbuatan, pekerjaan yang dilakukan sehari-hari.Sentiasa infaqkan sebahagian hasil yang diperoleh untuk membantu mereka yang memerlukan.Sentiasa mensyukuri apa yang ada dan tidak terlalu tamak mengejar harta dunia.InsyaAllah biar sedikit, asalkan berkat.

Jaga amal ibadah kita sehari-hari dan jangan tinggalkan perkara yang wajib.Andai kita sibuk mendahulukan sunnah namun yang wajib tidak dijaga, sia-sia sahaja.

Firman Allah SWT:
"Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah  (ke jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat.Dan orang kafir itulah orang yang zalim."
[SURAH AL-BAQARAH 2 : AYAT 254]







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR