Tuesday, January 17, 2012

PENGALAMAN KE BUKIT TINGGI INDONESIA

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sahabiah ain di blog NUR.Syukur pada Allah SWT atas izin NYA ain masih diberikan kesempatan untuk berkongsi coretan disini.

Kali ini, ain ingin berkongsi pengalaman ain bercuti di luar Malaysia dengan berniqab.Suatu pengalaman baru yang tidak mungkin ain dapat lupakan.




Alhamdulillah, baru-baru ni ain dan suami bercuti ke Bukit Tinggi yang terletak di Sumatera Barat, Indonesia.Jarak perjalanan jika dari Padang Indonesia hanya mengambil masa 2 jam perjalanan.Namun, rombongan kami ikuti kali ini disertai oleh sekumpulan keluarga yang lain yang juga dari Malaysia dan Singapura.Maka, 2 rombongan besar terlibat kesemuanya kira-kira 56 orang.Ketua kumpulan mengambil keputusan majoriti yang ingin bertolak ke Bukit Tinggi dari Pekan Baru Indonesia.Jadinya, masa perjalanan kami dari Pekan Baru ke Bukit Tinggi mengambil masa kira-kira 12 jam!!! Allahuakhbar!!!

Kami mula bertolak dari Melaka menaiki bus disediakan kira-kira jam 7am dan tiba di LCCT kira-kira pada jam 9-9.30am.Setibanya di sana, ketua rombongan iaitu Dr.Jamaldin atau lebih mesra dengan panggilan abang Din memastikan semua ahli rombongan bersedia dengan pasport masing-masing.Tanpa melengahkan masa, ahli rombongan termasuk ain dan suami diarahkn untuk pemeriksaan pasport di kaunter yang disediakan.

Kebetulan dalam rombongan ini, turut disertai oleh seorang lagi niqabis yang walaupun ain baru kenal tetapi amat rapat dengan diri ini.Kak Arbakyah, seorang ibu tunggal dan juga seorang usahawanita berjaya, malah NIQABIS menyertai rombongan ini beserta dengan 2 anak lelakinya.Ini adalah pengalaman pertama ain menaiki pesawat dan perlu melalui beberapa pemeriksaan di lapangan terbang, maka kehadiran kak Arbakyah mengurangkan rasa bimbang dalam diri ini.

Sewaktu melalui pemeriksaan pasport di LCCT amat mudah kerana terdapat laluan pemeriksaan pasport menggunakan kaedah auto-mesin.Amat mudah, cuma masukkan buku pasport ke ruang disediakan dan hanya cap jari pemegang pasport diperlukan.Selain itu terdapat skrin kecil yang menyatakan maklumat peribadi dan gambar pemegang pasport.

Kawasan pemeriksaan yang ain perlu lalui adalah pemeriksaan barangan dibawa dan badan.Alhamdulillah dengan kemudahan dan kelebihan teknologi sedia ada, ain hanya perlu melalui laluan yang seakan pintu kecil untuk pemeriksaan tanpa perlu disentuh oleh sesiapapun.Alhamdulillah.Setelah semuanya selesai di LCCT, rasa lapang teramat di dada.

Rombongan kami mula menaiki pesawat kira-kira pada jam 1050am.Jarak perjalanan ke PekanBaru pula menaiki pesawat hanya mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja.Maka kami tiba di Lapangan Terbang kecil di Pekan Baru kira-kira pada jam 1130am.Di sini ain perlu melalui 2 lagi pemeriksaan sebelum dibenarkan masuk, pemeriksaan pasport dan satu lagi pemeriksaan badan.Alhamdulillah, tiada masalah sewaktu pemeriksaan pasport.Namun, sebaik tiba di bahagian pemeriksaan badan walaupun ain tidak diminta membuka niqab, ain diminta untuk membenarkan pegawai wanita berkenaan memeriksa diri ini dikhalayak ramai! Walaupun diri ini tidak disentuh, namun ramai mata yang melihat keadaan yang berlaku.Pegawai wanita berkenaan mengangkat tudung labuh yang ain kenakan ke atas untuk melihat bahagian atas badan.Sekali lagi diri ini merasakan seperti dibogelkan!

Dari sana,kami dijemput 2 buah bas dan tempat persinggahan pertama kami adalah di restoran Nasi Padang untuk makan tengah hari.Alhamdulillah makanannya agak ringkas namun masih tetap dapat membangkitkan selera.

Seperkara yang dipelajari apabila makan di sini adalah, pelanggan yang datang ke restoran untuk menjamu selera akan dihidangkan kira-kira 10 jenis lauk dalam satu masa.Namun, yang ingin menjamu selera perlu bijak dengan memilih hidangan yang ingin dimakan dan bukan menjamu kesemuanya walaupun sedikit.Ini kerana bayaran makanan adalah berdasarkan berapa jenis lauk yang dipilih.Bagi yang tidak tahu terpaksalah membayar dengan harga yang lebih!

Setelah selesai menjamu selera, kami singgah di salah satu masjid di PekanBaru(maaf tidak catit nama masjid) untuk menunaikan solat Zuhur dan Asar (Jamak Takdim) sebelum meneruskan perjalanan.Namun, seperkara yang amat menguji ain dan kak Arbakyah sewaktu ingin menunaikan solat.Masjid yang kami singgah ini tidak menyediakan ruang pemisah solat antara lelaki dan wanita.Kami berpandangan antara satu sama lain mencari jalan dan cara menunaikan solat tanpa mendedahkan wajah kami di mata umum.Maka, jalan terakhir kami menunaikan solat dalam keadaan wajah masih tertutup dengan hanya mendedahkan bahagian dahi kami sahaja.Kami bersolat di sebalik tiang masjid, namun masih belum mampu melindungi kami sepenuhnya.

Seperti biasa, keadaan kami bersolat dengan hanya mendedahkan dahi dilihat janggal/pelik pada pandangan muslimat yang lain.Kak Arbakyah sendiri sudah mempunyai pelbagai pengalaman merantau di negara orang dan sudah pasti ilmu dan pengalaman lalu dijadikan sandaran pada masa kini.Sebelum ini, ain pernah bertanyakan masalah yang sama pada sahabiah niqabis ain jika perlu bersolat di ruang terbuka.Melalui pandangan dan nasihat diberi, ain secara peribadi merasakan agak berat mendedahkan wajah ain di khalayak ramai walaupun sedang bersolat.Mendedahkan wajah seakan-akan membogelkan diri pada pandangan umum.Moga Allah SWT redha dengan kami.Aamiin.

Setelah selesai solat, ain dan sahabiah tadi merasa sedikit terkilan dengan suasana masjid yang tidak mesra dengan muslimat yang amat menitikberatkan soal batasan antara lelaki dan wanita.Namun begitu, jauh di sudut hati ini ain yakin semua ini adalah ujian Allah SWT buat kami berdua.Allahuakhbar...Lagipun bukan disini saja terjadi perkara sebegini, malah di Mekah juga adalah tempat di mana umat Islam beribadah di ruang yang terbuka antara lelaki dan wanita.Pasti ujiannya lebih hebat lagi.Apalah sangat dengan ujian yang baru ain rasai ini.Allah...kuatkan hati ini..

Setelah selesai solat, kami bersama ahli rombongan meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi kira-kira pada jam 1430pm [waktu Malaysia].Perjalanan tanpa henti ini berterusan selama 6 jam berikutnya.Akhirnya kami tiba di Benteng Hotel kira-kira pada jam 2030pm waktu Malaysia.Jika mengikut perkiraan perjalanan bertolak dari Melaka ke Bukit Tinggi, maka jumlah perjalanan hampir memakan masa 12jam.Allahuakhbar, suatu masa perjalanan yang agak panjang bagi ain.Di malam hari, ain hanya berehat di hotel dan tidak ke mana-mana kerana memikirkan perjalanan yang bakal ditempuh pada keesokkan harinya pasti memerlukan tenaga dari segi fizikal dan mental.

Pada jam 0900am [waktu Malaysia] keesokkan paginya, kami berkumpul di lobby sebelum bertolak ke pekan bandar Sumatera Barat untuk melawat butik-butik kain sulaman dan telekung.Sementara menanti kehadiran semua, ada diantara ahli rombongan sudah mula tawar-menawar dengan barang jualan yang diniagakan oleh peniaga di Bukit Tinggi di hadapan hotel penginapan kami.





Para peniaga yang berada di situ saling memperagakan barang jualan masing-masing mulai dari jubah, kain telekung, kain sulaman, selendang, lukisan dan sebagainya.Semuanya sibuk menawarkan harga kepada pada pembeli, ain hanya melihat dan memperhatikan gelagat masing-masing.Akhirnya kami pun mula bertolak kira-kira jam 0930am iaitu dalam 0830 waktu Indonesia.

Sepanjang perjalanan kami yang diaturkan oleh ketua rombongan iaitu Abang Din, turut disertai adalah orang tempatan yang tahu berkenaan kawasan Bukit Tinggi.Kami diterangkan mengenai asal usul nama Bukit Tinggi itu sendiri.Menurutnya, Bukit tinggi itu sendiri terdiri dari 10 buah bukit kecil dan untuk penyatuan ia disatukan dalam satu kota seperti sekarang,Bukit Tinggi.Keluasan tempat ini hanyalah 5km persegi dengan kepadatan penduduk kira-kira 100 000 orang.

Bukit Tinggi yang terletak di Sumatera Barat adalah salah satu kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong di Indonesia.Bukit Tinggi suatu ketika dahulu pernah dijajah oleh pihak Belanda dan kini penduduknya rata-rata 95% adalah beragama Islam.Dapat dilihat dengan mudah di sini begitu banyaknya masjid didirikan dan masih lagi digunakan.Jarak diantara satu masjid dengan masjid yang lain kira-kira 1KM sahaja.




Punca pendapatan utama 75% penduduk Bukit Tinggi adalah pertanian seperti padi bukit, buah-buahan dan sayur-sayuran.Seperti gambar di atas, ia adalah pandangan tanaman padi bukit dan amat mudah dilihat di kiri kanan jalan raya.Malah setiap kawasan rumah kampung yang didirikan pasti ada tanaman sebegini dan juga kolam ternakan kecil.Rumah-rumah kampung yang didirikan amatlah dekat antara satu sama lain.




Menurut pemandu pelancong tempatan, harga tanah di Bukit Tinggi boleh mencecah hingga 5 juta Rupiah, kira-kira RM2000 untuk 1 meter persegi tanah.Maka,harga rumah di sini amat tinggi.

Bukit Tinggi terkenal dalam industri pelancongan terutamanya dalam bidang home industry iaitu penghasilan kraftangan tempatan,kain sulaman dan telekung.Bercakap tentang kain sulam, kami telah dibawa ke 2 buah butik tempatan yang agak terkenal dengan penghasilan kain sulamannya.Sudah dinamakan BUTIK, maka harganya juga agak mahal namun berbaloi dengan kualiti yang disediakan.

Antara tempat persinggahan kami adalah di pasar Aur Kuning.Di sini pelancong, peniaga tempatan mahupun dari luar Bukit Tinggi akan berkunjung ke sini untuk mendapatkan harga barangan pada harga borong.Barangan utama di sini adalah jubah,kain ela, seluar, kemeja dan jeans dengan pelbagai rekaan terkini.

Tempat terakhir persinggahan kami yang terakhir adalah di Pasar Atas yang terletak dalam 10 minit perjalanan dari tempat penginapan kami.Di sana ain bertemu dengan seorang rakan lama iaitu bekas pesakit yang pernah di bawah jagaan ain suatu ketika dahulu.Ain panggilnya kak Azniarty.Beliau memiliki beberapa toko jualan di Pasar Atas.Alhamdulillah, di sini ain membeli beberapa helai telekung untuk dijadikan barang jualan sekembalinya ain ke Malaysia nanti, InsyaAllah.

Dari Pasar Atas, kami bertolak pulang dengan hanya berjalan kaki melalui jam Gadang yang menuju ke tempat penginapan kami.




Gambar di atas adalah ehsan dari Google memandangkan ain tidak memiliki camera canggih untuk mengambil foto-foto kenangan.Jam Gadang ini adalah peninggalan pihak penjajah Belanda yang pernah menakluki kawasan Sumatera Barat.

Pada keesokkan harinya kami bertolak ke lapangan terbang kecil Pekan Baru bermula pada jam 6pagi waktu Indonesia [sejam kurang dari waktu Malaysia].Jika di awalnya ain merasa terkilan dengan cara pemeriksaan terhadap muslimat di khalayak ramai, ruang solat terbuka, kali ini ain diuji sekali lagi sewaktu berada di ruang solat.Setelah selesai proses pemeriksaan pasport dan individu, ain bersama beberapa muslimat yang lain segera menuju ke satu-satunya ruang solat yang terletak di ruang menunggu pesawat berlepas.

Ain bersama muslimat yang lain sedang khusyuk menunaikan solat jamak qasar Zuhur-Asar.Setelah selesai tiba-tiba ada kaum lelaki yang menjengah di ruang solat kami.Amat menyedihkan apabila pada ketika itu ain tidak mengenakan niqab dan ain benar-benar dalam keadaan terperanjat! Makin membuatkan rasa terkilan adalah apabila tiada ada rasa hormat pada kaum muslimat di dalam yang masih sedang bersolat dan tiada teguran untuk meminta izin berkongsi menggunakan ruang solat.Allah..benar-benar menguji kesabaran ain ketika itu dan ain hanya mampu rasa terkilan dan memohon agar Allah SWT agar diberikan ain kesabaran dalam menghadapi ujian kecil ini.Sahabiah ain yang seorang lagi niqabis beserta muslimat yang lain dalam keadaan tergesa-gesa membetulkan pakaian masing-masing.

Amat menyedihkan, kerana perkara sebegini boleh dielakkan.Suami ain sendiri dan anak-anak lelaki kakak niqabis ain katakan tadi, sanggup menunggu sehingga para muslimat selesai bersolat dan paling tidak pun memastikan keadaan ruang solat antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tidak terlalu penuh.Perkara sebegini masih boleh dielakkan sekiranya adanya sikap prihatin dalam diri masing-masing.

Rombongan kami bertolak pulang ke Malaysia pada jam 4pm waktu Indonesia.Begitulah serba sedikit pengalaman ain pergi dan balik dari Bukit Tinggi Indonesia.Segala ujian kecil yang diberikan amat-amat menginsafkan diri ini dan membuatkan diri ini agar lebih peka dengan keadaan sekeliling.

InsyaAllah, moga bertemu lagi di coretan akan datang.

2 comments:

  1. MashaAllah... seronok membaca catatan perjalanan Ain walau ada sedikit gusar memikirkan pengalaman yang Ain lalui untuk melepasi pemeriksaan di lapangan terbang. Terima kasih atas perkongsian ini. Pada kakchik ianya boleh dijadikan panduan jika satu hari kakchik mahu ke sana.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah,syukran KakChik sudi membaca pengalaman ain yang sedikit ni.Sememangnya suatu pengalaman yang menarik dan akan ain ingat selamanya.Lebih-lebih lagi berniqab di perantauan yang sememangnya ada pelbagai ragam dgn suasana berbeza yang perlu dilalui.

    ReplyDelete

terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain..pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR