Saturday, March 24, 2012

SEDARLAH WAHAI MUSLIMAH!!!

Bismillah,
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat NUR sekalian.Moga sahabat semua dalam lindungan Allah SWT selalu, aamiin.Alhamdulillah bertemu kita kembali di alam maya dengan harapan semoga perkongsian kali ini dapat membuka minda ramai pihak.

Bagi sahabat setia NUR pasti sedia maklum ain sering menekankan bab aurat, tabarujj, pakaian dan apa sahaja yang berkaitan dengan kaum wanita atau muslimat.Kenapa yea? Kerana ain sayangkan sahabat muslimah sekalian.Ain berharap muslimah sekalian sama-sama berusaha perbaiki diri dan terus mencari ilmu sebagai seorang wanita Islam.Janganlah beranggapan bahawa kita sudah cukup sempurna atau cukup ilmunya hingga mendongak dagu ke langit dan tidak lagi mahu mendengar kata-kata nasihat daripada sahabat sekeliling.

Cukup-cukuplah hidup beralasan, dan terus beralasan dalam kehidupan ini.Tiada istilah "Belum sampai seru", " Belum dapat hidayah".Adakah kita berani menyatakan perkara yang sama di hadapan Allah SWT apabila disoal kelak??? Masih sanggupkah menyatakan alasan sedemikian sedangkan Allah SWT tidak pernah beralasan dalam memberikan nikmat kehidupan pada kita selama ini???

Ain tekankan pada 2 golongan muslimah, iaitu muslimah berniqab dan muslimah yang tidak berniqab.

MUSLIMAH BERNIQAB



Dari pengamatan foto di atas, apa yang dapat kita faham? Bagi niqabis, tanyakanlah soalan-soalan ini pada diri sendiri.Jawablah secara jujur pada diri kita sendiri. Apa itu purdah/niqab? Untuk apa berniqab? Siapa yang patut berniqab? Adakah untuk keseronokkan semata? Adakah sekadar ingin cuba-cuba? Adakah ingin melindungi wajah semata-mata? Adakah berniqab dengan niat untuk menarik perhatian jantina berlawanan dan menjadikan diri anda tumpuan di mata masyarakat?

Tak perlu nak canang satu kampung yang anda kini berniqab.Tak perlulah upload berpuluh-puluh foto anda berniqab secara berkumpulan atau bersendirian dengan aksi panas atau menggoda untuk tatapan ramai.Untuk apa berniqab tapi masih bersolek secara berlebih-lebihan? Untuk apa berniqab tapi masih berpakaian tidak cukup kain? Untuk apa berniqab tapi masih berpakaian mengikut bentuk badan? Untuk apa berniqab andai masih mendedahkan aurat di sana sini? Adakah dengan berniqab, maka bertabarujj dihalalkan???

Adakah kita benar-benar faham cara menutup aurat mengikut syariat Islam yang betul? Adakah dengan mengenakan sehelai kain di muka sudah cukup syarat menutup aurat dengan sempurna? Astaghfirullah, maafkanlah diri ini.Terasa berat untuk diluahkan, namun itulah yang telah terjadi dan akan terus berlaku andai tiada kesedaran, tiada ilmu dalam sesuatu amalan atau ibadah yang ingin dilakukan.


APA ITU TABARUJJ???




Boleh jadi kita berniqab, tapi sebenarnya kita juga masih lagi ingin bertabarujj.Mencukur atau membentuk kening dan disertakan dengan solekan tambahan di bahagian mata.Memakai maskara, bulu mata palsu, kanta mata berwarna dan apa sahaja perhiasan tambahan yang boleh menarik perhatian adalah ditegah dan suatu perkara yang boleh mengundang fitnah pada diri sendiri.

Tidak kurang juga penggunaan kain niqab/purdah yang nipis, jarang, pemilihan warna yang keterlaluan, dihiasi pula sulaman dan manik-manik pelbagai corak bak kilauan bintang.Maka, hilanglah keistimewaan berniqab itu sendiri.Berniqab tapi masih berkeinginan kelihatan cantik menawan.

Sila rujuk beberapa artikel atau coretan ain yang lalu berkenaan berniqab.Namun HARUS DIINGATKAN bahawa ianya adalah sekadar rujukan dan bahan bacaan untuk perkongsian bersama dan bukanlah boleh dijadikan tempat rujukan utama.Carilah ilmu berkenaan berniqab dengan mereka yang lebih arif ilmunya.Selain itu , senantiasalah muhasabah diri kembali dan mohonlah pada Allah SWT agar ditunjukkan jalan yang betul dan dijauhkan diri kita dari perbuatan keji dan mungkar.


MUSLIMAH TIDAK BERNIQAB




Bagi yang suatu ketika dahulu tidak bertudung, kini bertudung tahniah ain ucapkan kerana anda telah bergerak selangkah untuk berubah.Namun, bertudung sahaja belum cukup syarat menutup aurat dengan sempurna.Ada yang berpendapat, cukuplah bertudung dari tak bertudung langsung.Atau ada yang masih guna alasan, belum tiba masanya lagi menutup aurat sepenuhnya, memadailah dengan bertudung sahaja.Adakah ini jawapan yang ingin kita berikan pada Allah SWT andai disoal kelak???




Firman Allah SWT

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:"Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka."Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang(Al Ahzab:59)

Allah SWT berfirman ertinya:

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Al-A 'raaf:26)

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

"Ada 2 jenis manusia pengisi neraka yang belum pernah kulihat kedua-duanya: Pertama, segolongan manusia yang mempunyai cambuk seperti ekor lembu, dan mereka memukul manusia dengannya, Kedua, Wanita yang berpakaian tapi telanjang, melenggang-lenggok, kepala mereka seperti ponok unta yang condong.Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya.Sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian-sekian."

(Sahih Muslim, Jilid VI,hal:168)




Sila rujuk kembali coretan ain yang lalu berkenaan aurat wanita Islam.

PERGAULAN



Semua yang bernama muslimah, tidak kira niqabis atau tidak, yang bergelar anak atau ibu, jagalah adab kita dalam pergaulan seharian.Tak perlu ain terangkan lagi, sahabat bolehlah merujuk coretan ain yang lalu berkenaan Pergaulan Bebas.





Berniqab atau tidak berniqab itu bukan isunya.Berniqab tidak bererti kita sudah cukup syarat menutup aurat dengan sempurna.Bertudung labuh/singkat juga bukan isunya.Yang menjadi perkara pokok di sini adalah iman dan taqwa kita pada Allah SWT.

Jika ingin beramal dengan sempurna dan sebaik mungkin, carilah ilmu di mana sahaja asalkan ilmu yang kita dapat itu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, beramal tanpa ilmu juga adalah sia-sia dan suatu perbuatan yang amat bodoh!

Beramallah demi mendapatkan redha dan kasih sayang Allah SWT semata-mata.Berpakaianlah mengikut syariat yang ditetapkan demi menggembirakan Allah SWT dan bukannya populariti semata-mata.Islam itu indah, cuma kita sahaja yang memberatkannya.

Coretan ini adalah ingatan buat diri ain juga yang juga manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.Marilah kita sama-sama perbaiki kelemahan diri demi menggembirakan Allah SWT.

2 comments:

  1. assalamualaikum wbt ..
    saya ingin utarakan persoalan kepada anda ..
    apa hukumnya bagi wanita yang ingin berpurdah bagi menjaga batas pergaulannya dengan ajnabi dan mengelakkan daripada gangguan lelaki yang cuba mendekatinya ?

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR