Saturday, May 19, 2012

"SAYA MINAT ISLAM , TAPI BAGAIMANA???"


Bismillah,
Assalamualaikum salam sejahtera sahabat NUR sekalian.Moga sahabat sekalian dalam keadaan baik-baik selalu, insyaAllah.aamiin.

Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama.Maafkan ain yea sahabat semua kerana pelbagai urusan luar perlu ain selesaikan sepanjang ketiadaan ain mengemas kini blog NUR ini.Terdapat beberapa pesanan email juga masih belum berjawab.Diharapkan sahabat NUR setia menanti, InsyaAllah.

Baiklah, kali ini ain memilih untuk membuat coretan daripada salah satu persoalan yang ditujukan kepada ain oleh sahabat blog NUR.InsyaAllah ain akan cuba jawab sedaya mungkin.

Persoalan yang diajukan yang dapat ain fahami adalah sahabat ini seorang suami dan ayah, non muslim serta mula tertarik dalam mendalami ilmu Allah.Beliau ingin memeluk Islam namun keadaan membuatkannya terpaksa mendiamkan diri seketika.Namun beliau berniat untuk mempelajari ilmu Allah secara diam-diam.Beliau juga berharap ada tempat yang boleh dituju untuk mendapat maklumat berkenaan Islam.








SubhanAllah, Alhamdulillah.Tahniah ain ucapkan pada saudara yang diberi ketukkan hidayah oleh Allah SWT.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segalanya.

Buat sahabat blog NUR yang lain, ain pasti ada diantara kalian yang adalah non muslim dan berminat mendalami ilmu agama, ilmu Allah SWT.Maka, bagaimana ingin bermula??? Itu persoalannya.

Bagi sahabat non muslim yang belum 'declare' secara rasminya, belum mengucap 2 kalimah syahadah namun telah berkeinginan untuk mendalami ilmu Allah sebenarnya turut tergolong dalam kategori mualaf.Namun, mengucap 2 kalimah syahadah adalah rukun Islam yang wajib bagi pengIslaman seseorang itu.

Bagi sahabat yang berkeinginan dan berniat memeluk Islam namun tidak tahu bagaimana, pandangan ain adalah agar sahabat sekalian cuba mendapatkan rakan-rakan yang boleh membantu sahabat dalam menuju ke jalan diredhai Allah SWT.Memang agak payah mencari teman yang sudi berkongsi keinginan dan sudi membantu kita, itu ain tak nafikan, namun tidak mustahil bukan.Hanya sebilangan kecil yang benar-benar ikhlas membantu kita dalam hal ini.

Selain itu, berhubunglah dengan pejabat agama yang berdekatan yang mengendalikan kes muslim revert ini.InsyaAllah mereka sudi membantu.Yang penting kita kena selalu berhubung dengan pihak berkenaan kerana sudah pasti mereka ada banyak kes yang perlu diselesaikan dan tidak mungkin dapat tumpu pada kita setiap masa.Ini yang amat-amat ain tegaskan kerana kelalaian ain sendiri adalah ain tidak berhubung selalu dengan pihak berwajib dan beranggapan mereka yang patut berhubung atau follow up ain selalu[betapa egonya diri ini kann..huhu]..adeh.

Selain itu, jika berkesempatan hadirkanlah diri ke majlis-majlis ilmu berdekatan dan cubalah dekati ustaz atau imam di masjid dan nyatakan keperluan atau hasrat kita.Ini ain tujukan bagi mereka yang tidak  mampu atau masih tidak pasti bila ingin mengucap 2 kalimah syahadah.InsyaAllah mereka pasti dapat membantu sahabat merungkai persoalan dan teka-teki yang bermain di fikiran sahabat ketika ini.Seperti ain katakan tadi, mungkin teman rapat tiada yang dapat membantu maka golongan agama antara mereka yang patut kita rujuk dalam hal ini.

Bagaimana sekadar mendalami ilmu agama melalui buku-buku atau bahan bacaan? Atau mendengar ceramah melalui internet atau melayari laman-laman blog Islamic semata-mata? Nasihat ain, jika sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan sedia ada tiada salahnya.Walaubagaimana pun sebaik-baiknya adalah belajar ilmu agama dengan berguru.Jika belajar sendiri dan mengikut kefahaman sendiri, dibimbangi akan tersilap tafsir atau tersimpang dari pemahaman yang sebenar.Lagipun belajar sendirian seakan-akan berguru dengan syaitan dan inilah yang sewajarnya dielakkan.

Selain itu, buat sahabat yang mula mencintai Islam, mula meyakini Allah SWT, ain yakin jauh di sudut hati kita mengharapkan ada yang memahami perasaan kita ketika ini.Hanya satu sahaja ain dapat katakan, tiada yang lain yang lebih memahami perasaan kita kecuali Allah SWT.Walaupun kita tidak dapat melihat NYA, namun Allah senantiasa melihat dan mendengar rintihan hamba NYA.Maka merintihlah pada NYA dan mohonlah pengharapan pada Allah SWT agar ditunjukkan jalan dan dipermudahkan segala urusan.InsyaAllah, Allah adalah sebaik-baik penolong.SubhanAllah.

Bagi sahabat NUR yang lain, apa yang anda akan lakukan andai bertemu seseorang atau ada dikalangan sahabat anda yang berminat dengan ISlam? Apakah tindakan pertama anda? Apakah tindakan kita sebagai seorang sahabat? Apakah tindakan kita sebagai seorang Muslim? Apakah tanggungjawab kita pada mereka?

Perkara paling mudah yang anda, kita, sahabat boleh lakukan adalah jangan sama sekali tinggalkan mereka ini sendirian.Bantulah setakat mana yang boleh.Jika mereka perlukan nasihat, maka berilah nasihat atau kata-kata motivasi yang dapat meningkatkan semangat mereka.Jika mereka perlukan kita untuk mencari tempat belajar, maka usahakanlah sama-sama mencari mereka yang boleh dijadikan tempat panduan atau rujukkan buat saudara-saudara baru ini.Jika mereka perlukan sokongan, maka sokonglah sedayanya.

Namun, perkara utama yang biasanya saudara baru kita perlukan adalah sokongan emosi.Tidak semua saudara baru yang kuat, tabah dan tenang menghadapi dugaan atau ujian sebagai saudara baru.Sama ada mereka ini diperlekehkan atau dibiarkan dalam keadaan tertanya-tanya tanpa sebarang jawapan atau arah tuju.

Maka, jika timbul persoalan murtad dikalangan saudara baru usahlah menuding jari pada mereka semata-mata.Siapa yang bersalah itu tidak penting.Yang penting di sini adalah bagaimana kita sesama Islam, sesama saudara seagama, sesama saudara yang yakin pada Allah yang Satu, sama-sama mencapai persefahaman dalam sama-sama mencari redha Allah SWT.

Selain sokongan emosi, nasihat ain adalah sama-samalah kita bersangka baik.Tidak kira yang saudara baru atau yang sememangnya Islam sejak awal lagi.Buang sifat ego dalam diri sendiri, tiada siapa yang hebat, tiada siapa yang lebih baik dari yang lain.

Maaf ain katakan, ada dikalangan saudara baru yang terlalu ego atau bangga diri hingga tidak mahu bergaul dengan mereka yang sememangnya Islam sejak lahir.Dan tidak kurang juga ada yang sememangnya Islam sejak lahir memandang rendah pada mereka yang bergelar saudara baru.

Tidak kiralah kita ini lahir dalam keluarga Islam atau setelah dewasa baru memeluk Islam.Kita semua sama sahaja.Kita semua adalah hamba Allah SWT, tiada yang sempurna.Allah sahaja yang sempurna.Maka, sama-samalah kita mengisi kekurangan masing-masing dan belajar kelebihan yang ada dalam diri antara satu dengan yang lain.

Bagi sahabat yang mempunyai kenalan yang berminat dengan Islam atau mempunyai sahabat yang baru kembali pada Islam, maka bantulah mereka.Bukannya kata-kata sindirian atau persoalan remeh yang ditujukan.Tidak semua yang boleh terima dengan baik.Terus-terang ain katakan bagi saudara baru yang teramat-amat baru, jiwanya amat-amat sensitif.

Elaklah terus bertanya soalan seperti:
" Masuk Islam sebab nak kahwin ke?"
" Masuk Islam pasal ada boyfriend/girlfriend melayu?"
" Masuk melayu, sebab suami / isteri melayu ke?"
" Masuk melayu masa nak kahwin ke?"
" Dah jodoh...?"
dan sebagainya..

Bagi ain sendiri yang masih agak hijau, 9 tahun kembali pada Islam, soalan sebegini sudah lali pada diri ain.InsyaAllah tidak berkecil hati.Malah ain akan jawab sebaik mungkin dan selagi mana dapat merungkai persoalan sahabat.

Tiada salah bertanya, namun perlulah kena dengan cara dan tempatnya.Bagi muslim revert yang sudah bertahun-tahun, insyaAllah mereka tiada masalah menjawab persoalan sebegini.Tapi bagi yang baru sudah pasti, sedetik dalam jiwa mereka pasti rasa sedih dan terkilan.Mungkin ain silap, namun itulah realitinya.

Jika ada dikalangan muslim revert yang memeluk Islam hanya kerana ingin berkahwin, maka apa masalahnya.Semuanya adalah atas izin Allah SWT memilih jalan untuk hamba NYA kembali pada Islam.Bagi mereka yang memeluk Islam hanya kerana ikatan perkahwinan, tiada perlu ada rasa bersalah.Perkara yang harus diutamakan adalah bagaimana pengakhirannya?

Bagi suami atau isteri yang berkahwin dengan saudara baru, nasihat ain adalah fahami perasaan mereka sebaik dan sehalus mungkin.Usah terlalu mendesak mereka untuk faham semuanya dalam satu masa.Namun, tidaklah pula membiarkan mereka tanpa sebarang pantauan atau pedoman.Ahli keluarga yang terlibat perlulah sama-sama membantu mereka memahami dan mencintai ISlam dengan sebaik-baiknya.

Nampaknya setakat ini sahaja coretan ain kali ini.Hari sudah beransur senja dan sebentar lagi masuk waktu Maghrib.SubhanAllah.

Mungkin apa ain cuba sampaikan lari dari tajuk, apapun moga ada pengisian di dalamnya.InsyaAllah.Moga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah.Maafkan ain andai ada salah dan silap dalam penulisan atau penyampaian.

Segala yang baik datang daripada Allah, dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri ini sendiri.





6 comments:

  1. Salam,

    Amat simpati dgn saudara2 baru @ reverted muslim yg menghadapi pertanyaan2 sedemikian rupa yg tiada membawa apa2 kebaikan bagi kedua belah pihak samada yg bertanya atau yang ditanya. Salah seorang sahabat reverted, Bro Ustaz Firdaus W.H Wong juga pernah menyuarakan pandangan beliau dalam isu ini, malah hingga ada yg sanggup bertanya "babi tu sedap ke bro?"

    http://revertedmuslim.blogspot.com/2012/02/bro-babi-tu-sedap-tak.html

    Semoga kita semua diberikan taufiq, hidayah, keampunan serta sikap husnuzzon dalam jiwa kita semua. Amin Ya Rabbal A'lamin.

    ReplyDelete
  2. Semoga anda terus berjuang mengajak lebih ramai lagi menyertai Islam, insya-Allah!

    ReplyDelete
  3. Semoga terus dalam misi dakwah.Cuma terkilan bila nak ajak orang kepada Islam,,orang akan tanya,"Tu yang ramai Islam tu perangai mcm bukan org bukan Islam je,camna kami nak minat Islam?...itulah permasalahan yang perlu diungkai dlm kehidupan.Islam itu istimewa cuma org Islam yang mengelirukannya.....

    ReplyDelete
  4. It's ironic that it is harder to embrace Islam officially here in Malaysia (an Islamic country) than in United States.

    ReplyDelete
  5. saya dilahirkan dalam keluarga yang tegas dengan disiplin dan amalan keluarga.kadangkala timbul perasaan iri hati terhadap keluarga rakan islam saya.bahagia sungguh kehidupan mereka.hm.saya salah seorang yang minat untuk mendalami agama islam.hm. namun perasaan takut itu wujud kerana tiada sesiapa yang benar2 ikhlas mahu membimbing saya ke jalan yang benar tambahan lagi saya yang masih dalam umur belasan tahun.tambahan lagi dengan keluarga yang kuat pegangan agama Buddha.

    ReplyDelete
  6. Saudari/Saudara Anonymous.
    Dalam perjalanan mengenali Allah, mengenali Islam ada diantara kita perlu bersendirian.Saya juga alami perkara yang sama.Saya sarankan jika saudara/saudari benar-benar ingin memeluk Islam, pergilah ke jabatan ISlam berkenaan dan rujuk pada pihak berkenaan.InsyaAllah ada yang akan membantu.

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR