Thursday, August 23, 2012

PERKAHWINAN...ANTARA TREND DAN SYARIAT...

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Alhamdulillah bertemu lagi di sini pada 5 Syawal dan sudah pasti ramai diantara kita masih lagi dalam 'mood' raya bukan??? Salam Aidilfitri ain ucapkan.

Sebelum ini ain tidak pernah membuat sebarang coretan berkenaan majlis perkahwinan diantara ain dan suami.Bagaimana dan Di Mana ianya berlangsung rasanya tidak pernah ain kongsikan secara terperinci.

Ain diijab kabulkan pada 20 Mei 2006 dalam suatu majlis ringkas, kira-kira 3 tahun selepas ain kembali pada Islam.Alhamdulillah, begitu pantas masa berlalu dan kini sudah 6 tahun berlalu.Begitu banyak kenangan pahit manis, suka duka sepanjang kami bersama.Alhamdulillah, Allah SWT berikan kekuatan kepada kami berdua untuk harunginya dalam apa jua situasi.ALHAMDULILLAH.

Mengimbau kembali kenangan lalu, banyak perkara yang bermain difikiran ini.Suasana perkahwinan kini lebih menitikberatkan adat dan tradisi serta trend semata-mata.Soal hukum, adab, syariat Islam dalam sesuatu bentuk perkahwinan atau majlis yang bakal atau telah diadakan tidak diambil peduli sama sekali.

ASTAGHFIRULLAH.Diri ini yang suatu ketika masih agak hijau tentang Islam turut terkena tempias yang sama.Hanya mengikut arus dan mengiyakan kata-kata sekeliling.

Pada mulanya diri ini berniat untuk adakan majlis serba ringkas mungkin.Cukuplah dengan majlis akad nikah bersama kaum keluarga dan sahabat terdekat.Cukuplah dengan sesi fotografi bersama rakan taulan dan saudara mara yang dikenali.Cukuplah dengan mengambil foto kenangan bersama tanpa perlu dipertontonkan pada khalayak ramai.Cukuplah, namun sebaliknya terjadi.

Kisah lalu biarlah ditutup rapat dan dikunci rapi, tiada gunanya diungkit kembali.Jadikan ia sebagai pedoman hidup dan iktibar buat diri ini dan orang sekeliling.Hanya rasa sesal dalam diri ini tidak akan luput selamanya.Moga Allah SWT ampunkan kekhilafan diri ini..aamiin.

Bagi saudara baru yang bernikah di awal kembali pada Islam, tidak semua diantara mereka yang tahu atau dapat membezakan antara adat dan syariat.Apa yang dilihat, itulah yang mereka percaya dan yakin.Jika yang berada disekeliling pandu arah yang betul, Alhamdulillah.Segala perkara dapat dielakkan, insyaAllah.

Maka bagaimana cara yang betul dalam mendirikan sesebuah perkahwinan itu? Beratkah syaratnya, atau susah sangat ke nak ikut adab/sunnah tersebut.Jawapannya, SANGAT MUDAH andai ada kefahaman dan penghayatan yang sebenar tentang Islam.Tentang Allah.InsyaAllah segalanya akan jadi mudah.

Di sini ain hanya huraikan ikut apa ain faham dan ayat yang digunakan tidaklah sesukar mana, insyaAllah sesiapa saja mudah faham.

BUDAYA COUPLE/DATING




'Trend' semasa atau budaya semasa, 'Dating' , 'Couple' bagaikan sudah menjadi kemestian dikalangan masyarakat kita dan tidak kira di usia remaja, dewasa mahupun kanak-kanak kecil kini dah tahu istilah CINTA.Malah, apabila tiba sambutan 'Valentine'S Day', makin menjadi-jadi sambutan dikalangan mereka yang sedang kemaruk bercinta.Tidak dinafikan budaya sebegini yang terang-terangan melanggar syariat ISlam dalam sesebuah perhubungan antara seorang lelaki dan wanita, dipandang remeh sama sekali.

Manakan tidak, ain masih ingat sewaktu dibangku sekolah menengah, sambutan Hari Kekasih ini disambut dengan begitu meriah dengan jualan bunga ros dan manisan sesama pelajar sekolah, dan tanpa segan silu ada lagu khas ditujukan buat pasangan masing-masing.Budaya sebegini sudah diterapkan semenjak awal lagi dan ianya terbawa-bawa hingga zaman dewasa.

Menginjak zaman dewasa, sudah pasti semuanya sudah hebat membuat keputusan sendiri tanpa perlu meminta izin daripada penjaga mahupun ibu bapa.Berjalan ke hulu hilir tanpa sebarang ikatan yang sah antara seorang lelaki dan wanita adalah suatu perkara lazim buat masyarakat masa kini.

Perkara sebegini sepatutnya dicegah sejak awal lagi, iaitu sejak anak-anak ini mulai kenal bezanya antara lelaki dan wanita.Tidak kiralah, ibubapa, penjaga, pendidik mahupun kaum keluarga terdekat perlu sama-sama membantu memberi didikan yang sempurna mengikut syariat Islam.

Sahabat boleh ke link ini berkenaan Ikhtilat Pergaulan, moga ianya dapat membantu.Sebelum terlupa, trend ber'couple' kini berubah melalui laman sesawang juga.Rasanya tak perlu ain huraikan lagi.Sahabat boleh ke link Alam Maya, insyaAllah ada beberapa coretan yang mungkin dapat membantu.

Secara ringkas, elakkan aktiviti pergaulan bebas diantara berlainan jantina kerana hal ini adalah dilarang dan tidak dianjurkan dalam ajaran Islam.Kesan negatif akibat pergaulan bebas mengundang keruntuhan moral dan akhlak peribadi seseorang muslim itu sendiri.Malah, hal ini turut memberi pandangan atau persepsi negatif pada mereka yang non muslim.Sudah pasti kekeliruan terjadi apabila melihat akhlak seseorang muslim itu berbeza dari apa yang didengar atau difahami.





IKATAN PERTUNANGAN

Pertunangan adalah satu ikatan yang termeterai diantara 2 buah ahli keluarga yang ingin menyatukan perhubungan antara 2 insan melalui perkahwinan.Bertunang bukanlah pakej sah buat pasangan berkenaan untuk bergaul bebas atau ingin berkelakuan seperti suami isteri.Bertunang hanyalah sekadar ikatan janji bahawa akan adanya pernikahan dalam masa yang ditetapkan.Ia juga bagi memaklumkan pada yang lain bahawa seseorang wanita atau lelaki itu bakal dimiliki dan tidak sepatutnya ada pihak lain mengganggu urusan persediaan majlis pernikahan mereka.

Seperkara ingin diingatkan pada pasangan yang sudah bertunang, andai ingin keluar untuk membeli-belah bagi membuat persiapan majlis perkahwinan sekalipun, bawalah orang lain diantara keduanya.Keluar berdua-duaan walau atas status sudah  bertunang tidak menghalalkan cara.Tidak menghalalkan sesuatu pergaulan itu.

Bagi sahabat yang bakal bertunang atau dalam perancangan untuk bertunang, ingatan bersama, elak dari bertabarujj dan beraksi manja bersama bakal tunangan anda walau hanya untuk bergambar kenangan.Tiada istilah, sekali seumur hidup untuk menghalalkan perbuatan.Besederhanalah dalam segala segi.

Buat sahabat semua yang sedang asyik ber'couple', ber'dating' tak tentu hala, andai sahabat serius dengan insan yang anda cintai, maka seriuslah dalam membuat sesuatu ikatan.Usah bazirkan masa, usah bertarung perasaan pada insan yang belum tentu sah halalnya lagi buat kita.





PERKAHWINAN..ANTARA TREND DAN SYARIAT..






Perkahwinan adalah satu ibadah, pernikahan adalah satu perbuatan ibadah kita pada Allah SWT.Maka, sudah pasti redha Allah SWT yang kita cari dalam mendirikan sesuatu ikatan perkahwinan itu.Oleh itu, sejak dari awal persediaan hingga pengakhiran sesuatu perkahwinan itu biarlah mendapat redha dan berkat dari Allah SWT.

Jika ingin meneruskan adat atau tradisi sekalipun, biarlah ianya disesuaikan dengan kehendak dan hukum Islam.Ingin bersanding sekalipun, biarlah kena dengan tempatnya.Ingin berdandan sekalipun, biarlah kena dengan tempat dan suasana serta pada siapa yang diizinkan untuk melihat.

Usah terlalu bermewah-mewah, usah terlalu membazir dalam sesuatu majlis perkahwinan itu.Cukuplah sekadarnya sahaja iaitu dengan meraikan saudara-mara dan rakan taulan terdekat sahaja.

Sebaik-baiknya raikanlah mereka yang kurang berkemampuan sewaktu diadakan jemputan berkenaan.Makanan yang dihidangkan sudah pasti pelbagai dan dalam kuantiti yang banyak, dan apalah salahnya andai ianya dihidangkan juga kepada fakir miskin, ibu tunggal mahupun anak-anak yatim.Usah diasingkan tempat duduk mereka dengan yang lain.

Bersanding di atas pelamin adalah satu kelaziman dan juga menjadi suatu kewajipan dalam masyarakat kita.Andai sahabat masih berkeinginan untuk merasa apa itu bersanding, ubahlah cara dari kebiasaan.Ubah dari bersanding dikhalayak ramai, kepada hanya bersanding untuk kaum keluarga terdekat.Sesi fotografi sekalipun biarlah dengan saudara dan rakan taulan yang kita kenali sahaja.PENTING!!!..Gunakan khidmat 'photographer' wanita sebaik-baiknya dan nak berandam sekalipun, pilihlah mak andam yang menutup aurat dan tahu apa itu TABARUJJ.Jika mak andam tu sendiri tidak faham soal cara wanita Islam berpakaian, maka elok tinggalkan saja mak andam sedemikian.

Malah, takyah bersanding atau berandam sekalipun.Semua tu tak penting, dan tak termasuk dalam sah atau tidak sesuatu ikatan perkahwinan itu.Tepuk dada, tanya iman..

Bagi bakal pengantin perempuan, pilihlah pakaian yang menutup aurat dan tidak bertabarujj melampau.Buat bakal pengantin lelaki juga, anda perlu mempunyai ilmu agama untuk melayari bahtera perkahwinan kelak.

Apapun, bakal pengantin lelaki/wanita, bakal mertua kedua belah pihak perlu memahami antara satu sama lain dan saling bertolak ansur dalam hal ini.

Perkahwinan adalah satu ibadah, maka usahakanlah agar segala urusan perkahwinan itu dijalankan mengikut tertib dan adab yang sebaik mungkin mengikut syariat Islam.InsyaAllah , moga ikatan perkahwinan itu diberkati dan diredhai Allah SWT dan menjadi suatu ibadah buat kita pada Yang Maha Esa.




Moga segala amal dan perbuatan kita dicatit sebagai ibadah, dan bukan hanya dosa semata.

Ini saja yang ain mampu coretkan, maafkan di atas segala kekurangan atau kesilapan kata di sini.

Sebelum ain undurkan diri, ain sertakan link berkenaan Kenduri Kahwin sebagai tambahan nota buat sahabat semua.InsyaAllah moga ianya dapat membantu.








No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR