Monday, September 10, 2012

HIJRAH INI....

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain kasihi sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali dalam coretan di alam maya ini.Alhamdulillah.

Suasana malam yang tenang menimbulkan kedamaian dalam diri ini, SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.Moga sahabat semua begitu juga yea.

Sudah setahun lebih berlalu sejak mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa dan pada masa yang sama berniaga kecil-kecilan secara alam maya [online biz].Membuat keputusan untuk berniqab malah, dipermudahkan dengan izin NYA.SubhanAllah, begitu cepat masa berlalu.

Berkongsi pengalaman diri, moga dapat memberi manfaat buat sahabat pembaca yang mungkin sedang melalui atau tertanya-tanya bagaimana melalui semua ini dengan sebaiknya, insyaAllah.

Bagi sahabat yang bergelar wanita bekerjaya dan pada masa yang sama sudah bekeluarga, sudah pasti ada diantara kalian berhasrat untuk memberikan tumpuan sepenuh masa bersama keluarga.Pasti terdetik di hati memilih untuk meninggalkan alam pekerjaan demi keluarga yang amat kita kasihi.Namun hati berbolak-balik kerana sayangkan alam pekerjaan yang sudah sebati dengan diri kita.

Buat sahabat yang dalam situasi tertanya-tanya, mari kita semak semula niat kita dalam pekerjaan.Jelaskan matlamat diri dalam bidang kerjaya yang kita sedang lakukan sekarang ini.Kenal pasti bidang kerjaya sahabat sama ada hanya untuk keseronokkan atau wang semata-mata.Andai hanya wang yang kita nampak dalam pekerjaan kita, maka ianya perlu diperbaiki.

Tanpa wang bagaimana ingin meneruskan kehidupan??? Benar, namun andai wang mengisi pemikiran kita sehari-hari tanpa ada pengisian kerohanian, di situlah masalahnya.Kita menjadi hamba WANG, WANG menguasai akal dan tindakan kita seharian.

Tiada salahnya bekerjaya sambil menguruskan rumahtangga selagi mana kita bijak menguruskan masa bersama keluarga, diri sendiri dan lebih utama kepada Allah SWT.Malah ain kagum dengan wanita yang bekerjaya berjaya dalam profession yang dipilih dan pada masa yang sama hebat menguruskan anak-anak dan suami.TAHNIAH ain ucapkan.

Apapun pilihan sahabat, sentiasa muhasabah diri dalam pekerjaan yang kita lakukan.Niatkan agar profession sahabat sentiasa mendapat redha Allah SWT selagi mana tidak melanggar batas-batas syariat terutama dalam pergaulan seharian.Bagi kita sebagai seorang wanita Islam, sebagai hamba Allah yang sedang melayari kehidupan ini, perlu tahu adab atau etika dalam pekerjaan apabila berada di luar rumah.Sila rujuk pada coretan ain sebelum ini berkenaan ADAB MUSLIMAH BEKERJAYA.

Buat sahabat ain yang bergelar suri rumah, usah rasa rendah diri atau malu dengan status berkenaan.Sedarilah sahabatku bahawa suri rumah antara bidang kerjaya yang paling sibuk dari mana-mana bidang pekerjaan.Dari pagi sampai ke malam urusan rumahtangga pasti tidak akan pernah habis.Pasti ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan.

Berkongsi pengalaman diri, dari mempunyai pekerjaan berstatus 'kolar biru' dan kini hanya suri rumahtangga, banyak perkara perlu dilalui dan perlu dihadapi sehari-hari.Dari situ ain sedari suatu perkara yang ada dalam tindak tanduk seseorang bernama manusia..makhluk ciptaan Allah.

Kita gemar meraikan seseorang individu yang mempunyai status, pangkat dan harta berbanding seseorang individu yang hanya hidup serba sederhana dan tidak mempunyai sebarang pangkat di dalam masyarakat.Harta, wang dan status masih dipandang mulia dalam masyarakat kita, tidak kiralah seseorang itu bernama Islam atau tidak.Perit, namun itulah hakikatnya.

Dan hakikat itu ain pegang dalam diri ini agar lebih tabah hadapi dunia yang sementara ini.Dunia yang penuh cobaan, dunia yang penuh godaan dan penuh hawa nafsu.Setiap saat diri ini perlu berjuang melawan segala macam bentuk ujian, dari ujian itu diri ini makin matang.Alhamdulillah, tarbiah langsung dari Allah SWT.Tarbiah yang perit namun menginsafkan diri ini.SubhanAllah.

Dari situ, diri ini mengumpul kekuatan untuk bangkit dari terus-terusan dihimpit dengan pelbagai tohmahan.Alhamdulillah, bangkit dari pandangan rendah masyarakat pada status wanita bekerjaya SURIRUMAH TANGGA.Tiada apa yang hendak dimalukan, dan tidak perlu ada rasa rendah diri bagi sahabat yang memilih untuk memberi tumpuan pada keluarga sepenuhnya.

Berbalik daripada seorang yang berasal dari keluarga non muslim dan kini kembali pada Islam sejak 9 tahun yang lalu.Pelbagai perkara dilalui sepanjang perjalanan ain mengenali Islam dengan lebih dekat, dan semakin ain ingin dekat dengan Allah SWT, semakin banyak diri ini diuji.





Dari krisis identiti diri di awal kembali pada Islam dan berkali-kali Allah berikan petunjuk dan hidayah pada diri ini.Alhamdulillah, jatuh bangun sepanjang 9 tahun itu, dan inilah ain yang sekarang ini.SubhanAllah..Alhamdulillah..Allahuakhbar..Indah sungguh aturan Allah SWT, moga diri ini terus tabah dan berusaha menjadi hamba NYA sebaik mungkin, aamiin.

Masih lagi baru berniqab, berbanding ramai lagi niqabis di luar sana yang sudah berbelas tahun, berpuluh tahun berniqab.Namun ingin berkongsi secebis pengalaman diri sepanjang berniqab.

Dari tidak bertudung, kepada bertudung singkat, kepada bertudung labuh, dan berpakaian labuh serta berniqab akhirnya.Alhamdulillah.Moga diri ini dan sahabat yang lain di luar sana terus istiqamah di jalan diredhai NYA, aamiin.

Nasihat ain pada diri ini dan juga buat sahabat muslimah terutamanya di luar sana yang berkesempatan membaca coretan ini.Cukuplah hidup beralasan, cukuplah memberi seribu satu macam alasan untuk tidak menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Allah SWT tidak pernah memberikan sebarang alasan dalam memberikan kita nikmat dalam kehidupan ini.Allah yang menciptakan, maka kita sebagai hamba NYA perlu patuh dan taat pada perintah dan larangan NYA.

Menutup aurat bukan sekadar sehelai kain menutupi rambut, menutup aurat dan membalut aurat juga adalah 2 perkara berbeza.Hati-hati yea sahabat apabila mengeluarkan kenyataan, "Janji dah ada niat",  "Islam tak membebankan." , "Lainlah kalau tak pakai tudung langsung". 

Kenyataan sebegini sering dilontarkan apabila seseorang muslimat itu ditegur agar memperbaiki caranya menutup aurat.Itu menunjukkan ANDA masih EGO pada Allah SWT.Anda masih EGO untuk mengikut perintah Allah SWT.

Sahabat boleh rujuk coretan ain lalu berkenaan Wanita Tidak Tutup Aurat Selalu Guna 13 Alasan. Mari kita 'refresh' kembali ilmu sedia ada.

Buat sahabat muslimah yang kini dalam usaha dan telah bertindak menjalankan hukum Allah, TAHNIAH ain ucapkan atas tindakan sahabat.Moga niat dan amal sahabat sentiasa diberkati dan dipermudahkan Allah SWT.Moga sahabat sentiasa tabah dalam mengharungi segala ujian diberi, aamiin.

Sering mendapat pertanyaan dan luahan daripada sahabat-sahabat yang telah berhijrah ke arah kebaikkan, dipulaukan atau tidak diendahkan oleh kaum keluarga, saudara-mara mahupun sahabat yang paling rapat dengan kita.Itu semua lumrah sahabatku, lumrah kehidupan.Makin kita berusaha memperbaiki diri, makin kita berusaha mendekatkan diri pada Allah Yang Maha Kuasa, maka makin banyaklah duri yang hadir cuba menyakiti diri kita.Sesungguhnya itu semua adalah didikan buat diri kita agar menjadi hamba Allah yang lebih kuat dan tabah di masa akan datang.Tarbiah langsung dari Allah itu sememangnya pahit, namun manis juga akan kita peroleh, insyaAllah.

Buat sahabiah yang bertanya bagaimana untuk berniqab sedangkan diri begitu berhasrat untuk berniqab namun begitu banyak faktor kekangan membataskan niat baik itu.Ini jawapan ain pada sahabat semua.

Berniqab atau tidak berniqab adalah mengikut kemampuan dan kehendak masing-masing.Andai tidak mampu berniqab atas faktor halangan keluarga misalnya, cukuplah sahabat berusaha menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Fahami apa itu AURAT [sila rujuk] bagi wanita Islam.Di mana batas aurat kita sebagai seorang muslimah.Andai batas aurat itu sendiri tidak difahami, mana mungkin sahabat dapat berniqab dalam suasana fitnah di zaman moden ini.

Jagalah akhlak, jagalah adab pergaulan seharian tidak kira dimana kita berada, mahupun di alam maya sekalipun.Semua itu perlu dipelajari dalam menjadi seorang muslimah yang disayangi dan diredhai Allah SWT.Tidak cukup dengan hanya bertudung labuh, berpakaian labuh dan berniqab andai akhlak, ilmu tiada untuk membimbing diri.

Walaupun ain berniqab, ain akui ada muslimah berniqab yang tidak faham pengertian aurat dan masih lagi berTABARUJJ. Ingatan buat diri ini juga agar dijauhkan dari perkara-perkara sedemikian.Nauzubillah.

Buat muslimat yang masih belum bernikah dan masih mempunyai ibu/ayah/penjaga, berhasrat untuk berniqab.Sebaik-baiknya maklumkanlah hasrat sahabat pada mereka.Jelaskan pada mereka niat adik dan tujuan adik berkeinginan untuk berniqab.InsyaAllah redha mereka perlu dalam memudahkan kita meneruskan niat.Bagi yang sudah bersuami, eloklah minta keizinan dan redha suami sahabat agar suami antara insan yang boleh membantu dan melindungi diri kita di kala kita dipandang serong atau dipulaukan dalam masyarakat.

Jika sudah berbincang dengan baik namun masih tidak mendapat keizinan, tidak bermakna niat adik itu terus terkubur.Mohonlah petunjuk dan kekuatan dari Allah SWT.Mohonlah pada NYA agar hasrat kita dipermudahkan.Tidak kiralah lambat atau cepat, itu semua kerja Allah.Biarlah Allah yang tentukan masa dan waktu sebaiknya.Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat kita lebih dari diri kita sendiri.

Banyakkan solat sunat istikharah, tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya.Mohon keampunan dari Allah SWT.Terimalah apa saja keputusan Allah SWT kerana apa yang sudah Allah aturkan buat kita, itulah yang terbaik.InsyaAllah.

Ain sendiri tidak terlepas daripada dipulaukan daripada mereka yang pernah rapat dengan diri ini.Memandangkan ain adalah seorang Chinese Muslim, dan kini berniqab, menimbulkan seribu satu macam persoalan pada sesetengah pihak.Disisihkan, dipulaukan seperti patung...Sakitnya hati ini Allah saja yang tahu, dan Alhamdulillah Allah ubati hati ini sedikit demi sedikit.

Di cop sebagai EXTREME, SESAT, AQRAM, PAS, HANTU..dan entah apa-apa lagi.Semua perkataan itu sudah sebati dengan diri ini.Pada mulanya sudah pasti melatah, dan kini Alhamdulillah ain sudah tidak ambil peduli dengan kata-kata itu.Buat sahabat yang sering diherdik atau diperkatakan sedemikian, sentiasalah ingat bahawa kita mampu berhujah pada seseorang yang kurang ilmunya, namun kita tak mampu berhujah pada orang yang jahil ilmunya.Maka tak perlu ambil pusing yea sahabatku.

Andai mereka menjauhkan diri, anggaplah Allah sedang jauhkan kita daripada orang-orang yang bersifat negatif.Andai merasakan diri kita sendirian, anggaplah Allah ingin kita lebih bermunajat pada NYA siang dan malam.Andai kita dihina , anggaplah yang Allah ingin kita sedar siapa kita sebenarnya.Kita cuma hamba Allah.Memang layak dihina, dicaci, dikeji.

Moga dengan cara ini timbul kekuatan dalam diri.Sedikit coretan ain nurkilkan malam semalam:






Sahabatku,

andai dirimu ingin merintih... dengarkanlah rintihanmu itu di hadapan Allah..

andai dirimu menangis...tangisilah dosa-dosamu dengan penuh penyesalan di hadapan Allah..

andai dirimu kecewa.. kecewalah kerana kau masih gagal menjadi hamba Allah yang sebaiknya..

andai dirimu lemah..sesali kelemahanmu dalam beribadah kepada Allah..

andai dirimu dahagakan kasih sayang... maka dahagakanlah kasih sayang Allah dalam kehidupanmu..

andai dirimu berasa sendiri..belajarlah untuk bersendirian bersama Allah...

andai dirimu tertipu..fikirkan kembali adakah kita menipu dalam beribadah kepada Allah..

Astaghfirullah..Allahuakhbar.. La Haula Walla Kuwata Illa Billah...


Selain sibuk menguruskan rumahtangga, menghabiskan waktu lapang dengan menulis sebagai salah satu cara untuk memanfaatkan masa yang ada, ain kini dalam usaha meneruskan minat dalam perniagaan kecil yang ada sekarang ini.Angan-angan, matlamat masih jauh, namun tak mustahil untuk dikejar.Selagi mana rezeki diperoleh halal dan dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta dapat membantu ummah, itu sudah memadai.Moga dengan rezeki yang ada dapat ain dan suami menunaikan Haji mahupun Umrah suatu masa nanti, insyaAllah..aamiin.Doakan ain yea sahabat.

Bagi sahabat yang rajin melawat dari blog ke blog, jemput ziarah blog bisnes ain di Nur Ain'Z Boutique.Bagi sahabat yang ada laman sosial tu, bolehlah singgah di page ain di sini yea.Sedikit lagi perkongsian, blog NUR juga kini mempunyai laman page sendiri di FB dan sahabat boleh klik NUR untuk ke sana.insyaAllah.

Bercakap tentang bisnes, Alhamdulillah suami memberikan sokongan penuh pada diri ini untuk meneruskan usaha dalam menempatkan diri dalam antara 'businesswoman' yang berjaya.Bagi ain secara peribadi, moga segala hasil usaha ini diberkati dan mendapat redha Allah akhirnya.Moga jalinan ukhuwah dan mesej Islam dapat disampaikan dengan sebaik mungkin, insyaAllah.

Sampai di sini saja coretan kali ini.InsyaAllah bertemu lagi di coretan akan datang.





2 comments:

  1. assalamu'alaikum wbt.

    kak ain, teringinnya nak jumpa dgn kak ain ni. harap satu hari dapat jumpa, insyaAllah. :)

    ReplyDelete
  2. Semoga Allah terus memberi kekuatan buat Ain, insyallah, pasti istiqomah Ain tidak sia 2

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR