Sunday, April 1, 2012

PENGAJIAN DI MADRASAH

Bismillah,
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali di alam maya.Moga pertemuan ini mendapat redha dari NYA, insyaAllah.

Coretan kali ini ain ingin berkongsi aktiviti ain baru-baru ini.Alhamdulillah, atas izin Allah SWT akhirnya ain dipertemukan tempat untuk mencari ilmu Allah yang amat-amat ain dahagakan selama ini.SubhanAllah, Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT kerana masih memberikan diri ini peluang.




Alhamdulillah, sudah seminggu ain menghadiri kelas pengajian di Madrasah Tahfiz Al-Quran Darul Falah yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan memandu ke sana.Madrasah ini terbahagi kepada 2 kawasan, satu untuk para pelajar Hafiz, Alim dan satu lagi adalah untuk pelajar Hafizah, Alimah.

Di sini, ain dipilih menjadi pelajar Alimah bermula dari kelas permulaan.Pelajar Alimah diajar dengan ilmu tauhid & fiqh, ilmu tasawuff, ilmu mengenal Jawi & Arab [tulisan,bacaan & perbualan], serta ilmu berkenaan Adab & Sunnah Rasulullah SAW.Kelas bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 1.30 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat.

Masa yang diberikan agak padat dengan pelbagai ilmu diberikan dalam satu-satu masa.Alhamdulillah, ain tidak keseorangan di sana kerana pelajar alimah semuanya peramah dan tidak lokek berkongsi ilmu.Ain juga bukanlah satu-satunya pelajar dewasa di sana kerana ada seorang alimah dewasa yang juga seorang ibu turut hadirkan diri di sini.Beliau juga menghantar 3 orang lagi anak perempuannya yang berusia antara 11-15 tahun menghadiri pengajian di madarasah ini.




Memandangkan ain agak lewat menghadiri kelas pengajian alimah, maka ain perlu berusaha keras untuk mengejar pelajaran-pelajaran terdahulu.Walaupun ustazah tidak menekankannya pada ain kerana ain sekadar pelajar biasa, namun ain rasakan perlunya untuk turut sama kerana rasa amat rugi dan peluang belajar sudah ada di depan mata.

Bertanyakan pengalaman kakak iaitu alimah dewasa ini, katanya dia juga seperti ain suatu ketika dulu perlu bermula dari bawah.Kini, Alhamdulillah, beliau juga sudah mampu membaca kitab dalam tulisan jawi mahupun arab serta turut serta menduduki ujian seperti alimah yang lain.SubhanAllah, walaupun beliau hadirkan diri ke sesi pengajian sebagai perangsang anak-anaknya yang lain, namun beliau juga turut sama berlumba-lumba mencari ilmu Allah.SubhanAllah, itulah yang patut dilakukan para ibu sekarang iaitu memberikan contoh tauladan yang baik buat anak-anak.

InsyaAllah, dengan izin Allah SWT dan selagi mampu, ain juga ingin menduduki ujian seperti para pelajar Alimah yang lain.Ujian bukanlah bertujuan untuk melihat siapa lebih hebat, namun sekurang-kurangnya dapat menjadi perangsang diri sendiri untuk terus mencari dan mendalami ilmu Allah SWT.InsyaAllah, jika berkesempatan ain ingin habiskan sesi pengajian sebagai Alimah sekitar 4-5tahun.Moga dipermudahkan, aamiin.

Menurut Ustazah yang kendalikan kelas pengajian Alimah, para pelajar yang mempunyai potensi akan dihantar ke tempat-tempat pengajian agama lain setelah tamat pengajian iaitu di negara Timur Tengah seperti Yaman, Mekah dan Madinah.

Selain Alimah, pelajar Hafizah antara kumpulan terbesar di madrasah ini.Lingkungan usia pelajar Hafizah adalah seawal 11 tahun hingga 20tahun.Pelajar Hafizah ditekankan dalam bacaan dan hafazan Al-Quran.Selain itu, para Hafizah juga akan diajar ilmu fardhu Ain dan bahasa Arab.Pengajian para Hafizah bergantung kepada kemampuan masing-masing, berbanding para Halimah sesi pengajian adalah sekitar 4-5 tahun sekurang-kurangnya.




Secara ringkasnya ain amat-amat gembira dan seronok dengan suasana baru, rakan-rakan baru dan ilmu baru yang dipelajari.Misalnya tulisan dan bacaan Jawi tidaklah sesukar mana.InsyaAllah, dengan adanya sokongan dan bantuan anak-anak ini membantu ain mencari ilmu Allah ain yakin dapat ikuti sesi pengajian ini dengan baik.

Setelah tamat waktu pengajian, dan apabila sudah masuk waktu untuk solat Fardhu Zohor, para pelajar akan bersiap sedia untuk solat Fardhu secara berjemaah.Imam adalah di kalangan pelajar Hafizah/Alimah sendiri yang sudah diberikan tanggungjawab masing-masing dan Alhamdulillah, mereka dapat lakukannya dengan baik, Allahuakhbar.Di usia muda sudah mampu menggalas tanggungjawab sebagai imam.Ain amat kagum dengan sikap dan semangat berdikari di kalangan pelajar madrasah.

Masyarakat kini beranggapan, menghantar anak-anak ke madrasah adalah suatu kerugian kerana tidak mempunyai masa depan.Mentaliti masyarakat kini, tanpa segulung sijil SPM atau ijazah, masa depan anak-anak madrasah tidak cerah.Ain ada berbual dengan beberapa pelajar alimah/hafizah di sini.Mereka berpendapat, tanpa ilmu agama Islam tidak akan berkembang dengan baik dan lihatlah kini keadaan sosial yang semakin di tahap sukar dikawal.Mereka bercita-cita mencari ilmu dan gunakan ilmu yang ada untuk berkongsi dengan masyarakat di luar sana suatu hari nanti.

SubhanAllah, di usia muda namun sudah ada fikir risau dalam hal agama.Pada pendapat ain secara peribadi, apabila kita menghantar anak-anak ini di usia muda mempelajari ilmu agama sebenarnya kita telah berserah segalanya pada Allah SWT.Ibu bapa yang menghantar anak-anak ini yakin dan percaya bahawa anak-anak adalah milik Allah SWT, dan anak-anak ini perlu belajar untuk tidak bergantung harap pada makhluk dan sebaliknya belajar bergantung harap pada Allah SWT.MasyaAllah.

Cukuplah setakat ini perkongsian kali ini.Ada urusan lain menanti.Syukran jazilan buat sahabat NUR sekalian yang sudi singgah membaca coretan ain di sini.InsyaAllah moga bertemu lagi di coretan akan datang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR