Sunday, August 26, 2012


Bismillah,
Assalamualaikum sahabat semua.Salam ceria di hari Ahad yang indah ini.Moga sahabat sentiasa dalam Rahmat Allah SWT, aamiin.

Alhamdulillah, syukur atas nikmat kurniaan Allah SWT atas izin NYA kita masih lagi diberikan nikmat kehidupan di muka bumi ini.Moga hari ini adalah lebih baik dari semalam dan semoga amal kita bertambah dari sehari ke sehari, insyaAllah.

Berapa ramai diantara kita yang mempunyai diari peribadi? Tentu ramai diantara sahabat yang masih gemar menulis aktiviti seharian dalam diari untuk tatapan dan ingatan pada masa depan.Tak kurang juga ada yang menjadikan hobi menulis diari sebagai satu terapi sehari-hari.Alhamdulillah, tidak kira apa jua jenis catitan itu semoga ianya memberi manfaat buat diri sendiri.

Diari juga umpama nota seharian yang tertulis terus dari rasa hati seseorang.MEnulis diari tidak bermaksud hanya mencatit aktiviti atau perancangan pada masa-masa tertentu.Menulis diari juga boleh dijadikan nota ingatan andai apa yang kita catit itu lebih kepada nota berbentuk ilmiah.

Namun setiap apa kita catit, setiap apa kita coretkan dalam diari seharian, yang menentukan detik kehidupan kita sehari-hari adalah Allah SWT.Setiap apa yang kita buat, setiap apa yang kita rancang, setiap apa yang terdetik dalam sanubari seseorang, semuanya atas pengetahuan Allah SWT.Tiada satu pun yang tidak diketahui NYA.

Diari kehidupan kita sehari-hari adalah atas ketentuan Allah SWT.Segalanya dalam aturan NYA.Setiap kejadian di atas muka bumi ini adalah atas pengetahuan NYA.Tiada satu pun dapat kita sembunyikan, walau sekecil zarah sekalipun. Allah tahu pergerakkan kita.SubhanAllah.

Kehidupan ini begitu singkat dan kita takkan pasti bagaimana pengakhirannya nanti.Mungkin kita selesa dengan apa kita miliki, namun harus diingat bahawa ianya bukan jaminan sesuatu perkara itu hak kita selamanya.Harus diingat segala yang ada kini adalah milik Allah SWT.Begitu juga dengan kehidupan kita.

Allah sahaja yang berhak ke atas kita, dan Allah saja berhak menentukan perjalanan hidup kita.Kita hanya berusaha melakukan yang terbaik dari sehari ke sehari.Segala tindakan yang kita ambil, setiap jalan yang kita pilih biarlah dalam keredhaan NYA.Kita berusaha melakukan yang terbaik, akhirnya nanti hanya pada NYA kita serahkan segalanya.

Maka, teruslah berbuat kebajikkan dan jauhi kemungkaran.Mohon pada NYA agar diri ditetapkan iman dan semoga kita menjauhi segala larangan NYA.aamiin.

Moga hari-hari yang berlalu, segala yang tercatit dalam diari kehidupan kita biarlah mendapat redha NYA.aamiin..





Salam ukhuwah.
NUR AIN VIVIAN
http://nurainvivian.blogspot.com

Saturday, August 25, 2012

CORETAN HATI


Bismillah,
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat NUR sekalian.Moga sahabat semua dalam keadaan baik-baik selalu dan sentiasa dalam Rahmat Allah SWT, aamiin.

Sejak dari kecil lagi kita didedahkan untuk menulis.Contengan kita yang pertama hanyalah lakaran-lakaran biasa di dinding atau apa saja yang berada di depan mata.

SubhanAllah, begitu hebat aturan Allah SWT terhadap makhluk ciptaan NYA.Dari bertatih kecil hingga pandai merangkak, berjalan, berlari, hingga jari-jemari ini mulai ingin untuk memegang sesuatu, semuanya atas izin Allah SWT.

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.Maha Suci Allah atas segalanya.

Apabila menginjak ke alam persekolahan hinggalah tamat pengajian tidak kira sekadar sekolah menengah, kolej, atau universiti, kita sudah mula mengenal huruf.Sudah tahu menulis pelbagai patah perkataan, pelbagai bentuk ayat, pelbagai bentuk madah, syair mahupun puisi.Tidak kurang juga yang hebat menulis tulisan Jawi dan Arab.

Dari mana datangnya kemahiran menulis itu? Dari mana datangnya idea bernas dalam menulis? Dari mana datangnya keinginan untuk menulis? Dari mana semuanya?

Sudah pasti tulisan itu tidak akan terhasil andai jari-jemari ini tidak dapat digerakkan.Walau kita kelihatan sempurna pada mata kasarnya, namun untuk menggerakkan ibu jari sekalipun, semuanya atas kehendak Allah SWT, atas izin NYA juga kita diberi kekuatan dan kelebihan dari segi akal, fikiran serta kudrat untuk menulis.

SubhanAllah.Di saat diri ini menekan satu-persatu butang di keyboard laptop kesayangan, rasa insaf menghinggap diri ini.Tersedar dari lamunan betapa banyak masa terbuang dengan menulis atau menaip perkara-perkara yang tidak berfaedah.Tanpa diri ini sedari, diri ini juga terlena dengan hal duniawi.

Astaghfirullah, maafkanlah diri ini.

Mengimbau kembali kenangan di bangku sekolah rendah, sering guru bertanyakan soalan ini, "Dah Besar nanti cita-cita nak jadi apa?"...Pelbagai jawapan diberikan, nak jadi guru, polis, lawyer...dan tak kurang juga diri ini ingin menjadi penulis.

Kini zaman telah berlalu, rasa lucu ada juga.Namun minat menulis tidak pernah luput.Alhamdulillah, ain mula menulis kembali sejak 2 tahun yang lalu dan segalanya bermula di blog.Secara ringkas, ain memilih menjadi penulis blogger.Apa yang hebatnya menulis blog ye?

Bagi sesetengah orang, ianya hanya membuang masa.Bagi ain sendiri, ain menulis blog dengan niat berkongsi pengalaman dan coretan hidup bersama sahabat pembaca yang lain.Moga apa yang dinurkilkan itu dapat mengingatkan diri ini dan moga setiap hasil coretan berkenaan dapat memberi kebaikkan pada yang lain. InsyaAllah.

Selain itu, menulis adalah satu terapi buat diri ini.Menulis adalah seakan-akan coretan hati dan perasaan pada ketika itu.Menulis membuatkan diri ini kembali tenang walau dalam apa jua situasi dan keadaan.Menulis membantu diri ini menenangkan perasaan dan fikiran yang sedang bergelora.Menulis adalah coretan perasaan yang tidak mungkin terungkap dibibir ini sendiri.Menulis adalah luahan hati diri ini pada Yang Maha Esa.Kerana diri ini sedar, setiap apa yang dicoretkan dilihat oleh NYA.

SubhanAllah, rasa sayu menghinggap diri ini.Allahuakhbar.

Ingatan bersama dan ingatan buat diri ini terutamanya.Tanamkan niat dan iltizam dari saat ini, selepas ini, agar jadikan setiap apa yang kita coretkan adalah satu ibadah.Tidak kiralah tulisan di blog, Twitter, FB, atau apa saja laman sosial yang lain, mahupun pada sekeping kertas sekalipun.Pastikanlah setiap bait-bait kata dan ayat yang dilakarkan adalah jujur dan amanah serta dapat memberikan manfaat pada yang lain.

Misalannya, bagi sahabat yang kerjayanya melibatkan kertas kerja.Pastikan setiap urusan pekerjaan dan maklumat yang ditulis adalah benar dan penuh kejujuran.Harus diingat hasil kerja yang bakal kita bentangkan atau berikan pada pihak seterusnya dapat memberikan manfaat pada yang lain, dan bukan sebaliknya.

Apa kita tulis adalah apa yang kita catit untuk Allah lihat.Kita akan dipertanggungjawabkan atas segala tulisan yang terhasil.Jika tidak pasti akan sesuatu, maka bertanyalah pada yang lebih arif.Tak rugi bertanya.

Astaghfirullah, maafkanlah diri ini.

Moga coretan ini dapat memberi manfaat buat kita bersama, insyaAllah.Segala kekurangan, segala kekhilafan, harap dimaafkan.Andai ada tulisan yang mengguris hati sahabat, maafkanlah diri ini.

Ku mencari kekuatan dalam kelemahan.

Salam Ukhuwah.
Nur Ain Vivian



Thursday, August 23, 2012

PERKAHWINAN...ANTARA TREND DAN SYARIAT...

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Alhamdulillah bertemu lagi di sini pada 5 Syawal dan sudah pasti ramai diantara kita masih lagi dalam 'mood' raya bukan??? Salam Aidilfitri ain ucapkan.

Sebelum ini ain tidak pernah membuat sebarang coretan berkenaan majlis perkahwinan diantara ain dan suami.Bagaimana dan Di Mana ianya berlangsung rasanya tidak pernah ain kongsikan secara terperinci.

Ain diijab kabulkan pada 20 Mei 2006 dalam suatu majlis ringkas, kira-kira 3 tahun selepas ain kembali pada Islam.Alhamdulillah, begitu pantas masa berlalu dan kini sudah 6 tahun berlalu.Begitu banyak kenangan pahit manis, suka duka sepanjang kami bersama.Alhamdulillah, Allah SWT berikan kekuatan kepada kami berdua untuk harunginya dalam apa jua situasi.ALHAMDULILLAH.

Mengimbau kembali kenangan lalu, banyak perkara yang bermain difikiran ini.Suasana perkahwinan kini lebih menitikberatkan adat dan tradisi serta trend semata-mata.Soal hukum, adab, syariat Islam dalam sesuatu bentuk perkahwinan atau majlis yang bakal atau telah diadakan tidak diambil peduli sama sekali.

ASTAGHFIRULLAH.Diri ini yang suatu ketika masih agak hijau tentang Islam turut terkena tempias yang sama.Hanya mengikut arus dan mengiyakan kata-kata sekeliling.

Pada mulanya diri ini berniat untuk adakan majlis serba ringkas mungkin.Cukuplah dengan majlis akad nikah bersama kaum keluarga dan sahabat terdekat.Cukuplah dengan sesi fotografi bersama rakan taulan dan saudara mara yang dikenali.Cukuplah dengan mengambil foto kenangan bersama tanpa perlu dipertontonkan pada khalayak ramai.Cukuplah, namun sebaliknya terjadi.

Kisah lalu biarlah ditutup rapat dan dikunci rapi, tiada gunanya diungkit kembali.Jadikan ia sebagai pedoman hidup dan iktibar buat diri ini dan orang sekeliling.Hanya rasa sesal dalam diri ini tidak akan luput selamanya.Moga Allah SWT ampunkan kekhilafan diri ini..aamiin.

Bagi saudara baru yang bernikah di awal kembali pada Islam, tidak semua diantara mereka yang tahu atau dapat membezakan antara adat dan syariat.Apa yang dilihat, itulah yang mereka percaya dan yakin.Jika yang berada disekeliling pandu arah yang betul, Alhamdulillah.Segala perkara dapat dielakkan, insyaAllah.

Maka bagaimana cara yang betul dalam mendirikan sesebuah perkahwinan itu? Beratkah syaratnya, atau susah sangat ke nak ikut adab/sunnah tersebut.Jawapannya, SANGAT MUDAH andai ada kefahaman dan penghayatan yang sebenar tentang Islam.Tentang Allah.InsyaAllah segalanya akan jadi mudah.

Di sini ain hanya huraikan ikut apa ain faham dan ayat yang digunakan tidaklah sesukar mana, insyaAllah sesiapa saja mudah faham.

BUDAYA COUPLE/DATING




'Trend' semasa atau budaya semasa, 'Dating' , 'Couple' bagaikan sudah menjadi kemestian dikalangan masyarakat kita dan tidak kira di usia remaja, dewasa mahupun kanak-kanak kecil kini dah tahu istilah CINTA.Malah, apabila tiba sambutan 'Valentine'S Day', makin menjadi-jadi sambutan dikalangan mereka yang sedang kemaruk bercinta.Tidak dinafikan budaya sebegini yang terang-terangan melanggar syariat ISlam dalam sesebuah perhubungan antara seorang lelaki dan wanita, dipandang remeh sama sekali.

Manakan tidak, ain masih ingat sewaktu dibangku sekolah menengah, sambutan Hari Kekasih ini disambut dengan begitu meriah dengan jualan bunga ros dan manisan sesama pelajar sekolah, dan tanpa segan silu ada lagu khas ditujukan buat pasangan masing-masing.Budaya sebegini sudah diterapkan semenjak awal lagi dan ianya terbawa-bawa hingga zaman dewasa.

Menginjak zaman dewasa, sudah pasti semuanya sudah hebat membuat keputusan sendiri tanpa perlu meminta izin daripada penjaga mahupun ibu bapa.Berjalan ke hulu hilir tanpa sebarang ikatan yang sah antara seorang lelaki dan wanita adalah suatu perkara lazim buat masyarakat masa kini.

Perkara sebegini sepatutnya dicegah sejak awal lagi, iaitu sejak anak-anak ini mulai kenal bezanya antara lelaki dan wanita.Tidak kiralah, ibubapa, penjaga, pendidik mahupun kaum keluarga terdekat perlu sama-sama membantu memberi didikan yang sempurna mengikut syariat Islam.

Sahabat boleh ke link ini berkenaan Ikhtilat Pergaulan, moga ianya dapat membantu.Sebelum terlupa, trend ber'couple' kini berubah melalui laman sesawang juga.Rasanya tak perlu ain huraikan lagi.Sahabat boleh ke link Alam Maya, insyaAllah ada beberapa coretan yang mungkin dapat membantu.

Secara ringkas, elakkan aktiviti pergaulan bebas diantara berlainan jantina kerana hal ini adalah dilarang dan tidak dianjurkan dalam ajaran Islam.Kesan negatif akibat pergaulan bebas mengundang keruntuhan moral dan akhlak peribadi seseorang muslim itu sendiri.Malah, hal ini turut memberi pandangan atau persepsi negatif pada mereka yang non muslim.Sudah pasti kekeliruan terjadi apabila melihat akhlak seseorang muslim itu berbeza dari apa yang didengar atau difahami.





IKATAN PERTUNANGAN

Pertunangan adalah satu ikatan yang termeterai diantara 2 buah ahli keluarga yang ingin menyatukan perhubungan antara 2 insan melalui perkahwinan.Bertunang bukanlah pakej sah buat pasangan berkenaan untuk bergaul bebas atau ingin berkelakuan seperti suami isteri.Bertunang hanyalah sekadar ikatan janji bahawa akan adanya pernikahan dalam masa yang ditetapkan.Ia juga bagi memaklumkan pada yang lain bahawa seseorang wanita atau lelaki itu bakal dimiliki dan tidak sepatutnya ada pihak lain mengganggu urusan persediaan majlis pernikahan mereka.

Seperkara ingin diingatkan pada pasangan yang sudah bertunang, andai ingin keluar untuk membeli-belah bagi membuat persiapan majlis perkahwinan sekalipun, bawalah orang lain diantara keduanya.Keluar berdua-duaan walau atas status sudah  bertunang tidak menghalalkan cara.Tidak menghalalkan sesuatu pergaulan itu.

Bagi sahabat yang bakal bertunang atau dalam perancangan untuk bertunang, ingatan bersama, elak dari bertabarujj dan beraksi manja bersama bakal tunangan anda walau hanya untuk bergambar kenangan.Tiada istilah, sekali seumur hidup untuk menghalalkan perbuatan.Besederhanalah dalam segala segi.

Buat sahabat semua yang sedang asyik ber'couple', ber'dating' tak tentu hala, andai sahabat serius dengan insan yang anda cintai, maka seriuslah dalam membuat sesuatu ikatan.Usah bazirkan masa, usah bertarung perasaan pada insan yang belum tentu sah halalnya lagi buat kita.





PERKAHWINAN..ANTARA TREND DAN SYARIAT..






Perkahwinan adalah satu ibadah, pernikahan adalah satu perbuatan ibadah kita pada Allah SWT.Maka, sudah pasti redha Allah SWT yang kita cari dalam mendirikan sesuatu ikatan perkahwinan itu.Oleh itu, sejak dari awal persediaan hingga pengakhiran sesuatu perkahwinan itu biarlah mendapat redha dan berkat dari Allah SWT.

Jika ingin meneruskan adat atau tradisi sekalipun, biarlah ianya disesuaikan dengan kehendak dan hukum Islam.Ingin bersanding sekalipun, biarlah kena dengan tempatnya.Ingin berdandan sekalipun, biarlah kena dengan tempat dan suasana serta pada siapa yang diizinkan untuk melihat.

Usah terlalu bermewah-mewah, usah terlalu membazir dalam sesuatu majlis perkahwinan itu.Cukuplah sekadarnya sahaja iaitu dengan meraikan saudara-mara dan rakan taulan terdekat sahaja.

Sebaik-baiknya raikanlah mereka yang kurang berkemampuan sewaktu diadakan jemputan berkenaan.Makanan yang dihidangkan sudah pasti pelbagai dan dalam kuantiti yang banyak, dan apalah salahnya andai ianya dihidangkan juga kepada fakir miskin, ibu tunggal mahupun anak-anak yatim.Usah diasingkan tempat duduk mereka dengan yang lain.

Bersanding di atas pelamin adalah satu kelaziman dan juga menjadi suatu kewajipan dalam masyarakat kita.Andai sahabat masih berkeinginan untuk merasa apa itu bersanding, ubahlah cara dari kebiasaan.Ubah dari bersanding dikhalayak ramai, kepada hanya bersanding untuk kaum keluarga terdekat.Sesi fotografi sekalipun biarlah dengan saudara dan rakan taulan yang kita kenali sahaja.PENTING!!!..Gunakan khidmat 'photographer' wanita sebaik-baiknya dan nak berandam sekalipun, pilihlah mak andam yang menutup aurat dan tahu apa itu TABARUJJ.Jika mak andam tu sendiri tidak faham soal cara wanita Islam berpakaian, maka elok tinggalkan saja mak andam sedemikian.

Malah, takyah bersanding atau berandam sekalipun.Semua tu tak penting, dan tak termasuk dalam sah atau tidak sesuatu ikatan perkahwinan itu.Tepuk dada, tanya iman..

Bagi bakal pengantin perempuan, pilihlah pakaian yang menutup aurat dan tidak bertabarujj melampau.Buat bakal pengantin lelaki juga, anda perlu mempunyai ilmu agama untuk melayari bahtera perkahwinan kelak.

Apapun, bakal pengantin lelaki/wanita, bakal mertua kedua belah pihak perlu memahami antara satu sama lain dan saling bertolak ansur dalam hal ini.

Perkahwinan adalah satu ibadah, maka usahakanlah agar segala urusan perkahwinan itu dijalankan mengikut tertib dan adab yang sebaik mungkin mengikut syariat Islam.InsyaAllah , moga ikatan perkahwinan itu diberkati dan diredhai Allah SWT dan menjadi suatu ibadah buat kita pada Yang Maha Esa.




Moga segala amal dan perbuatan kita dicatit sebagai ibadah, dan bukan hanya dosa semata.

Ini saja yang ain mampu coretkan, maafkan di atas segala kekurangan atau kesilapan kata di sini.

Sebelum ain undurkan diri, ain sertakan link berkenaan Kenduri Kahwin sebagai tambahan nota buat sahabat semua.InsyaAllah moga ianya dapat membantu.








Monday, August 20, 2012

RAHSIA HATI


Bismillah,
Assalamualaikum..






Di saat kita berduka, resah, gelisah, atau apa saja situasi melanda dalam kehidupan kita sehari-hari, sudah menjadi kebiasaan kita ingin meluahkan pada seseorang untuk meredakan rasa di hati.Dan orang itu sudah pasti adalah yang kita percaya, kita rapat dan seseorang yang amanah dalam menjaga rahsia sesama kita..

Namun, trend meluah perasaan di Twitter, FB, laman blog mula mengambil tempat.Tiada had atau tiada privacy lagi dalam meluah perasaan masing-masing.Adakala ianya melibatkan konflik kekeluargaan, pekerjaan, persahabatan dan sebagainya.

Akibatnya???

Bagi yang mengambil berat pasti memberi nasihat/pandangan yang sewajarnya.Atau boleh jadi pandangan sebaliknya berlaku, lebih kepada mengeruhkan lagi keadaan dan suasana sedia ada..

Ingatan pada diri ini dan juga pada sahabat sekalian, andai diri dilanda konflik usahlah diluahkan di laman sesawang.Walau ingin meluah rasa tidak puas hati sekalipun.Jika perlu untuk meluahkan perasaan, luahkan ia pada sahabat terdekat atau keluarga yang paling kita percayai.Tidak perlu dikongsi 'public'.

Selain itu , luahkan rasa hati kita pada Allah SWT kerana Allah adalah pendengar kita yang terbaik.Allah adalah pendengar yang setia..Allah akan menjaga rahsia hati kita.Allah adalah pengubat hati kita yang terbaik.Tiada yang lain selain NYA.

Jagalah aib diri, jangan diluahkan sesuka hati dek rasa hati yang sedang meluap-luap.Apabila kita membuka aib diri pada semua orang, samalah kita membuka aib orang lain.Dan orang yang membacanya pula, andai suka menokok-tambah cerita yang sedia ada, atau gemar membuat andaian sendiri berkenaan masalah yang dihadapi,  bukankah ianya sudah menjadi satu fitnah?

Astaghfirullah.Maafkanlah diri ini Ya Allah.Ain juga dahulu begitu leka dengan dunia ini, hingga tiada rasa malu berkongsi masalah dengan sesiapa sahaja tanpa diri ini sedar diri ini sedang menyebarkan aib insan yang lain.

Maka, sama-samalah kita berusaha mengubah perkara ini.Jika perlu meluahkan, carilah sahabat atau teman yang rapat dan boleh dipercayai sahaja.Dan janganlah kita lupa pada Allah.Hanya Allah yang berhak mendengar rintihan hati hamba NYA.Hanya Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah Maha Kuasa, Allah lebih tahu lebih dari diri kita sendiri..

InsyaAllah, hati akan menjadi tenang apabila kita berserah diri pada Allah dan redha akan segala yang terjadi.

InsyaAllah, mari kita sama-sama amalkan surah Alam Nashrah ..moga dapat membantu melapangkan keresahan dalam diri kita, dengan izin NYA.

سورة الشرح

لَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ ﴿١﴾ وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ ﴿٢﴾ الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ ﴿٣﴾ وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ ﴿٤﴾ فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٥﴾ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦﴾ فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ ﴿٧﴾ وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب ﴿٨﴾


Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? (1) Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) - (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3) Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (8)

Tuesday, August 7, 2012

HIDUP ADALAH UNTUK DIUJI


Bismillah,
Assalamualaikum, salam Ramadhan buat sahabat NUR sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik-baik selalu.

Sekadar berkongsi coretan di laman blog Ustaz Pahrol.Moga ianya dapat memberi inspirasi dan motivasi buat diri ini dan sahabat lain di luar sana, insyaAllah.

Coretan penuh boleh ke laman blog Ustaz Pahrol Mohamad Juoi





"Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…

Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.

Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara… Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman… "

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR