Sunday, September 16, 2012

NIQABIS BEKERJAYA

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat Nur sekalian.Salam pertemuan kembali di alam maya.Moga semua dalam keadaan ceria dan baik-baik selalu.

Alhamdulillah hari ini ain ingin berkongsi dengan sahabat pembaca Nur dengan beberapa kenalan terdekat ain, seorang muslimah, seorang isteri, seorang niqabis, seorang muslimah bekerjaya.

Antara niqabis terawal ain kenal adalah KakChik Niza melalui laman sosial, FB.Dari FB, mengenalinya pula di laman blog peribadi beliau.Alhamdulillah, banyak info berguna dan pengalaman dikongsi melalui perkongsian kisah aktiviti hariannya.





Kakchik Niza adalah seorang yang peramah, pendengar yang setia dan sentiasa sudi membantu apabila diperlukan.Seorang businesswoman berjaya dalam busana muslimah, turut menyediakan kemudahan menyediakan bahan bacaan berbentuk ilmiah dan juga seorang yang dipertanggungjawabkan menguruskan sebuah perpustakaan di Kota Bharu.Tidak kurang juga beliau aktif di medan politik dalam usahanya meneruskan dakwah Islam pada masyarakat setempat.

Sahabat boleh singgah di laman blog peribadinya di Keluargaku Sayang untuk kenali beliau dengan lebih dekat, insyaAllah.


Sahabat niqabis seterusnya Puan Wan Nor Ainon Wan Abdullah , atau panggilan mesra beliau Kak Nur.Walaupun seorang ustazah namun beliau seorang yang amat merendah diri dan mudah untuk dibawa berbincang.




Kak Nur, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah (Fikah & Usul Fiqh)  dari University of Jordan dan lulusan  Sarjana Syariah (Fikah & Usul Fiqh) dari Universiti Malaya.

Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah menjadi sukarelawan antaranya di Raudhatus Sakinah Kota Bharu, Pusat Serenti (Kandis), Bachok.

Kak Nur kini menetap di Australia bersama keluarga beliau sambil menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan.




Buku Fikah Perubatan adalah antara buku penulisan beliau.Alhamdulillah salah satu buku kegemaran ain dan masih lagi dalam bacaan.Cukup bermanfaat dan wajib dimiliki, insyaAllah.Jika ada sahabat yang berminat, insyaAllah ain akan cuba dapatkan yea.

Oh yea, tidak lupa juga sahabat boleh singgah ke blog peribadi kak Nur di sayangIslam.com. InsyaAllah pelbagai info berguna boleh dimanfaatkan.


Sahabat seterusnya jauh di Jeddah, Arab Saudi.Adik Nor Abdullah [nama gelaran], seorang isteri, seorang niqabis dan juga seorang freelancer ilustrator dari rumah.




Seorang bekas pramugari, kini menetap di Jeddah dan berkahwin dengan penduduk di sana.Alhamdulillah seorang yang ceria dan tidak lokek berkongsi ilmu.Kehadirannya menceriakan suasana.

Masih lagi muda, namun sungguh berbakat dalam lukisan doodle dakwah.Malah beliau turut mengambil tempahan doodle apabila diminta dengan kadar bayaran yang amat berpatutan.Jika sahabat memiliki laman FB boleh singgah dan lihat hasil kerja beliau di sini . 




Foto di atas adalah salah satu hasil lukisan doodle yang adik Nor hasilkan.Sangat kreatif melukis sambil menyampaikan mesej-mesej dakwah di dalam lukisan beliau.Kini lukisan doodle pernah terbit dalam majalah tempatan dan projek seterusnya adalah dalam penghasilan buku, insyaAllah.

Bagi sahabat yang ingin kenali dan ikuti perkembangan beliau, bolehlah singgah ke blog peribadinya Demi Masa.Tambahan, sahabat boleh lihat koleksi karya doodle beliau di pinterest  dan norabudy.tumblr.comhttp://norabudy.tumblr.com/


Niqabis seterusnya, masih lagi dalam usaha suai kenal, insyaAllah.Puan Atina atau lebih dikenali dengan Atina Chan Boutique .

Jika mengenalinya dengan lebih dekat, beliau merupakan seorang yang peramah dan mudah mesra di sebalik kain niqabnya itu.Alhamdulillah.Moga perkenalan ini menambah ikatan ukhuwah yang sedia ada.




Mesra dengan panggilan kak Atina, beliau dan suami gigih berniaga di sekitar masjid di KL dan Selangor.

Bagi sahabat yang sedang berjinak-jinak atau ingin memiliki purdah, bolehlah berhubung dengan beliau dan mengikuti perkembangan gerai jualannya di laman page Atina Chan's Boutique . Alhamdulillah, baru-baru ini ain menerima hadiah berupa niqab dari koleksi jualan beliau.Alhamdulillah, niqabnya sangat lembut dan selesa dipakai pada bila-bila masa dalam pelbagai suasana.

Bagi ain sendiri, yang masih lagi bertatih dan masih banyak perkara perlu dipelajari.Masih jauh perjalanan ini.Moga Allah permudahkan segalanya aamiin.





Sahabat boleh singgah di blog bisnes ain di Nur Ain'Z Boutique atau page ain di FB.
Alhamdulillah, selesai juga hajat hati untuk berkongsi nurkilan ini.Moga nurkilan ini menjadi inspirasi buat sahabiah di luar sana yang berniat untuk berniqab atau telah lama berniqab agar tampil yakin dalam segala pekerjaan yang dilakukan.

Moga segala pekerjaan kita lakukan sehari-hari adalah ibadah kita pada Allah SWT, aamiin.

Sehingga bertemu lagi di coretan akan datang, insyaAllah.


Monday, September 10, 2012

HIJRAH INI....

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain kasihi sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali dalam coretan di alam maya ini.Alhamdulillah.

Suasana malam yang tenang menimbulkan kedamaian dalam diri ini, SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.Moga sahabat semua begitu juga yea.

Sudah setahun lebih berlalu sejak mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa dan pada masa yang sama berniaga kecil-kecilan secara alam maya [online biz].Membuat keputusan untuk berniqab malah, dipermudahkan dengan izin NYA.SubhanAllah, begitu cepat masa berlalu.

Berkongsi pengalaman diri, moga dapat memberi manfaat buat sahabat pembaca yang mungkin sedang melalui atau tertanya-tanya bagaimana melalui semua ini dengan sebaiknya, insyaAllah.

Bagi sahabat yang bergelar wanita bekerjaya dan pada masa yang sama sudah bekeluarga, sudah pasti ada diantara kalian berhasrat untuk memberikan tumpuan sepenuh masa bersama keluarga.Pasti terdetik di hati memilih untuk meninggalkan alam pekerjaan demi keluarga yang amat kita kasihi.Namun hati berbolak-balik kerana sayangkan alam pekerjaan yang sudah sebati dengan diri kita.

Buat sahabat yang dalam situasi tertanya-tanya, mari kita semak semula niat kita dalam pekerjaan.Jelaskan matlamat diri dalam bidang kerjaya yang kita sedang lakukan sekarang ini.Kenal pasti bidang kerjaya sahabat sama ada hanya untuk keseronokkan atau wang semata-mata.Andai hanya wang yang kita nampak dalam pekerjaan kita, maka ianya perlu diperbaiki.

Tanpa wang bagaimana ingin meneruskan kehidupan??? Benar, namun andai wang mengisi pemikiran kita sehari-hari tanpa ada pengisian kerohanian, di situlah masalahnya.Kita menjadi hamba WANG, WANG menguasai akal dan tindakan kita seharian.

Tiada salahnya bekerjaya sambil menguruskan rumahtangga selagi mana kita bijak menguruskan masa bersama keluarga, diri sendiri dan lebih utama kepada Allah SWT.Malah ain kagum dengan wanita yang bekerjaya berjaya dalam profession yang dipilih dan pada masa yang sama hebat menguruskan anak-anak dan suami.TAHNIAH ain ucapkan.

Apapun pilihan sahabat, sentiasa muhasabah diri dalam pekerjaan yang kita lakukan.Niatkan agar profession sahabat sentiasa mendapat redha Allah SWT selagi mana tidak melanggar batas-batas syariat terutama dalam pergaulan seharian.Bagi kita sebagai seorang wanita Islam, sebagai hamba Allah yang sedang melayari kehidupan ini, perlu tahu adab atau etika dalam pekerjaan apabila berada di luar rumah.Sila rujuk pada coretan ain sebelum ini berkenaan ADAB MUSLIMAH BEKERJAYA.

Buat sahabat ain yang bergelar suri rumah, usah rasa rendah diri atau malu dengan status berkenaan.Sedarilah sahabatku bahawa suri rumah antara bidang kerjaya yang paling sibuk dari mana-mana bidang pekerjaan.Dari pagi sampai ke malam urusan rumahtangga pasti tidak akan pernah habis.Pasti ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan.

Berkongsi pengalaman diri, dari mempunyai pekerjaan berstatus 'kolar biru' dan kini hanya suri rumahtangga, banyak perkara perlu dilalui dan perlu dihadapi sehari-hari.Dari situ ain sedari suatu perkara yang ada dalam tindak tanduk seseorang bernama manusia..makhluk ciptaan Allah.

Kita gemar meraikan seseorang individu yang mempunyai status, pangkat dan harta berbanding seseorang individu yang hanya hidup serba sederhana dan tidak mempunyai sebarang pangkat di dalam masyarakat.Harta, wang dan status masih dipandang mulia dalam masyarakat kita, tidak kiralah seseorang itu bernama Islam atau tidak.Perit, namun itulah hakikatnya.

Dan hakikat itu ain pegang dalam diri ini agar lebih tabah hadapi dunia yang sementara ini.Dunia yang penuh cobaan, dunia yang penuh godaan dan penuh hawa nafsu.Setiap saat diri ini perlu berjuang melawan segala macam bentuk ujian, dari ujian itu diri ini makin matang.Alhamdulillah, tarbiah langsung dari Allah SWT.Tarbiah yang perit namun menginsafkan diri ini.SubhanAllah.

Dari situ, diri ini mengumpul kekuatan untuk bangkit dari terus-terusan dihimpit dengan pelbagai tohmahan.Alhamdulillah, bangkit dari pandangan rendah masyarakat pada status wanita bekerjaya SURIRUMAH TANGGA.Tiada apa yang hendak dimalukan, dan tidak perlu ada rasa rendah diri bagi sahabat yang memilih untuk memberi tumpuan pada keluarga sepenuhnya.

Berbalik daripada seorang yang berasal dari keluarga non muslim dan kini kembali pada Islam sejak 9 tahun yang lalu.Pelbagai perkara dilalui sepanjang perjalanan ain mengenali Islam dengan lebih dekat, dan semakin ain ingin dekat dengan Allah SWT, semakin banyak diri ini diuji.





Dari krisis identiti diri di awal kembali pada Islam dan berkali-kali Allah berikan petunjuk dan hidayah pada diri ini.Alhamdulillah, jatuh bangun sepanjang 9 tahun itu, dan inilah ain yang sekarang ini.SubhanAllah..Alhamdulillah..Allahuakhbar..Indah sungguh aturan Allah SWT, moga diri ini terus tabah dan berusaha menjadi hamba NYA sebaik mungkin, aamiin.

Masih lagi baru berniqab, berbanding ramai lagi niqabis di luar sana yang sudah berbelas tahun, berpuluh tahun berniqab.Namun ingin berkongsi secebis pengalaman diri sepanjang berniqab.

Dari tidak bertudung, kepada bertudung singkat, kepada bertudung labuh, dan berpakaian labuh serta berniqab akhirnya.Alhamdulillah.Moga diri ini dan sahabat yang lain di luar sana terus istiqamah di jalan diredhai NYA, aamiin.

Nasihat ain pada diri ini dan juga buat sahabat muslimah terutamanya di luar sana yang berkesempatan membaca coretan ini.Cukuplah hidup beralasan, cukuplah memberi seribu satu macam alasan untuk tidak menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Allah SWT tidak pernah memberikan sebarang alasan dalam memberikan kita nikmat dalam kehidupan ini.Allah yang menciptakan, maka kita sebagai hamba NYA perlu patuh dan taat pada perintah dan larangan NYA.

Menutup aurat bukan sekadar sehelai kain menutupi rambut, menutup aurat dan membalut aurat juga adalah 2 perkara berbeza.Hati-hati yea sahabat apabila mengeluarkan kenyataan, "Janji dah ada niat",  "Islam tak membebankan." , "Lainlah kalau tak pakai tudung langsung". 

Kenyataan sebegini sering dilontarkan apabila seseorang muslimat itu ditegur agar memperbaiki caranya menutup aurat.Itu menunjukkan ANDA masih EGO pada Allah SWT.Anda masih EGO untuk mengikut perintah Allah SWT.

Sahabat boleh rujuk coretan ain lalu berkenaan Wanita Tidak Tutup Aurat Selalu Guna 13 Alasan. Mari kita 'refresh' kembali ilmu sedia ada.

Buat sahabat muslimah yang kini dalam usaha dan telah bertindak menjalankan hukum Allah, TAHNIAH ain ucapkan atas tindakan sahabat.Moga niat dan amal sahabat sentiasa diberkati dan dipermudahkan Allah SWT.Moga sahabat sentiasa tabah dalam mengharungi segala ujian diberi, aamiin.

Sering mendapat pertanyaan dan luahan daripada sahabat-sahabat yang telah berhijrah ke arah kebaikkan, dipulaukan atau tidak diendahkan oleh kaum keluarga, saudara-mara mahupun sahabat yang paling rapat dengan kita.Itu semua lumrah sahabatku, lumrah kehidupan.Makin kita berusaha memperbaiki diri, makin kita berusaha mendekatkan diri pada Allah Yang Maha Kuasa, maka makin banyaklah duri yang hadir cuba menyakiti diri kita.Sesungguhnya itu semua adalah didikan buat diri kita agar menjadi hamba Allah yang lebih kuat dan tabah di masa akan datang.Tarbiah langsung dari Allah itu sememangnya pahit, namun manis juga akan kita peroleh, insyaAllah.

Buat sahabiah yang bertanya bagaimana untuk berniqab sedangkan diri begitu berhasrat untuk berniqab namun begitu banyak faktor kekangan membataskan niat baik itu.Ini jawapan ain pada sahabat semua.

Berniqab atau tidak berniqab adalah mengikut kemampuan dan kehendak masing-masing.Andai tidak mampu berniqab atas faktor halangan keluarga misalnya, cukuplah sahabat berusaha menutup aurat dengan sesempurna mungkin.Fahami apa itu AURAT [sila rujuk] bagi wanita Islam.Di mana batas aurat kita sebagai seorang muslimah.Andai batas aurat itu sendiri tidak difahami, mana mungkin sahabat dapat berniqab dalam suasana fitnah di zaman moden ini.

Jagalah akhlak, jagalah adab pergaulan seharian tidak kira dimana kita berada, mahupun di alam maya sekalipun.Semua itu perlu dipelajari dalam menjadi seorang muslimah yang disayangi dan diredhai Allah SWT.Tidak cukup dengan hanya bertudung labuh, berpakaian labuh dan berniqab andai akhlak, ilmu tiada untuk membimbing diri.

Walaupun ain berniqab, ain akui ada muslimah berniqab yang tidak faham pengertian aurat dan masih lagi berTABARUJJ. Ingatan buat diri ini juga agar dijauhkan dari perkara-perkara sedemikian.Nauzubillah.

Buat muslimat yang masih belum bernikah dan masih mempunyai ibu/ayah/penjaga, berhasrat untuk berniqab.Sebaik-baiknya maklumkanlah hasrat sahabat pada mereka.Jelaskan pada mereka niat adik dan tujuan adik berkeinginan untuk berniqab.InsyaAllah redha mereka perlu dalam memudahkan kita meneruskan niat.Bagi yang sudah bersuami, eloklah minta keizinan dan redha suami sahabat agar suami antara insan yang boleh membantu dan melindungi diri kita di kala kita dipandang serong atau dipulaukan dalam masyarakat.

Jika sudah berbincang dengan baik namun masih tidak mendapat keizinan, tidak bermakna niat adik itu terus terkubur.Mohonlah petunjuk dan kekuatan dari Allah SWT.Mohonlah pada NYA agar hasrat kita dipermudahkan.Tidak kiralah lambat atau cepat, itu semua kerja Allah.Biarlah Allah yang tentukan masa dan waktu sebaiknya.Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat kita lebih dari diri kita sendiri.

Banyakkan solat sunat istikharah, tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya.Mohon keampunan dari Allah SWT.Terimalah apa saja keputusan Allah SWT kerana apa yang sudah Allah aturkan buat kita, itulah yang terbaik.InsyaAllah.

Ain sendiri tidak terlepas daripada dipulaukan daripada mereka yang pernah rapat dengan diri ini.Memandangkan ain adalah seorang Chinese Muslim, dan kini berniqab, menimbulkan seribu satu macam persoalan pada sesetengah pihak.Disisihkan, dipulaukan seperti patung...Sakitnya hati ini Allah saja yang tahu, dan Alhamdulillah Allah ubati hati ini sedikit demi sedikit.

Di cop sebagai EXTREME, SESAT, AQRAM, PAS, HANTU..dan entah apa-apa lagi.Semua perkataan itu sudah sebati dengan diri ini.Pada mulanya sudah pasti melatah, dan kini Alhamdulillah ain sudah tidak ambil peduli dengan kata-kata itu.Buat sahabat yang sering diherdik atau diperkatakan sedemikian, sentiasalah ingat bahawa kita mampu berhujah pada seseorang yang kurang ilmunya, namun kita tak mampu berhujah pada orang yang jahil ilmunya.Maka tak perlu ambil pusing yea sahabatku.

Andai mereka menjauhkan diri, anggaplah Allah sedang jauhkan kita daripada orang-orang yang bersifat negatif.Andai merasakan diri kita sendirian, anggaplah Allah ingin kita lebih bermunajat pada NYA siang dan malam.Andai kita dihina , anggaplah yang Allah ingin kita sedar siapa kita sebenarnya.Kita cuma hamba Allah.Memang layak dihina, dicaci, dikeji.

Moga dengan cara ini timbul kekuatan dalam diri.Sedikit coretan ain nurkilkan malam semalam:






Sahabatku,

andai dirimu ingin merintih... dengarkanlah rintihanmu itu di hadapan Allah..

andai dirimu menangis...tangisilah dosa-dosamu dengan penuh penyesalan di hadapan Allah..

andai dirimu kecewa.. kecewalah kerana kau masih gagal menjadi hamba Allah yang sebaiknya..

andai dirimu lemah..sesali kelemahanmu dalam beribadah kepada Allah..

andai dirimu dahagakan kasih sayang... maka dahagakanlah kasih sayang Allah dalam kehidupanmu..

andai dirimu berasa sendiri..belajarlah untuk bersendirian bersama Allah...

andai dirimu tertipu..fikirkan kembali adakah kita menipu dalam beribadah kepada Allah..

Astaghfirullah..Allahuakhbar.. La Haula Walla Kuwata Illa Billah...


Selain sibuk menguruskan rumahtangga, menghabiskan waktu lapang dengan menulis sebagai salah satu cara untuk memanfaatkan masa yang ada, ain kini dalam usaha meneruskan minat dalam perniagaan kecil yang ada sekarang ini.Angan-angan, matlamat masih jauh, namun tak mustahil untuk dikejar.Selagi mana rezeki diperoleh halal dan dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta dapat membantu ummah, itu sudah memadai.Moga dengan rezeki yang ada dapat ain dan suami menunaikan Haji mahupun Umrah suatu masa nanti, insyaAllah..aamiin.Doakan ain yea sahabat.

Bagi sahabat yang rajin melawat dari blog ke blog, jemput ziarah blog bisnes ain di Nur Ain'Z Boutique.Bagi sahabat yang ada laman sosial tu, bolehlah singgah di page ain di sini yea.Sedikit lagi perkongsian, blog NUR juga kini mempunyai laman page sendiri di FB dan sahabat boleh klik NUR untuk ke sana.insyaAllah.

Bercakap tentang bisnes, Alhamdulillah suami memberikan sokongan penuh pada diri ini untuk meneruskan usaha dalam menempatkan diri dalam antara 'businesswoman' yang berjaya.Bagi ain secara peribadi, moga segala hasil usaha ini diberkati dan mendapat redha Allah akhirnya.Moga jalinan ukhuwah dan mesej Islam dapat disampaikan dengan sebaik mungkin, insyaAllah.

Sampai di sini saja coretan kali ini.InsyaAllah bertemu lagi di coretan akan datang.





Thursday, September 6, 2012

KISAH NIQAB

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama tidak meninggalkan sebarang coretan di sini.

Alhamdulillah hari ini ain terima hadiah daripada seorang sahabat berupa sehelai niqab 3 lapis, dan jika tak silap ain ianya dari Yaman.

SubhanAllah, Alhamdulillah.Bersyukur atas nikmat kurnia NYA.Di kala diri dalam kesempitan, dihantarnya nikmat bagi melegakan kesempitan yang dirasai kini.ALHAMDULILLAH.

Semenjak ain berniqab kira-kira 1 tahun 5 bulan dan hingga kini, ain tak pernah lagi membeli niqab.Semuanya adalah hadiah dan pemberian daripada rakan-rakan dan sahabat terdekat.Jika ada pun, niqab pertama ain pakai adalah kain yang ain beli yang pada mulanya dihantar pada seorang sahabat untuk diupah jahit.Namun, atas izin Allah SWT, sahabat yang jahitkan berbesar hati menjahitnya tanpa menerima sebarang upah.

Pernah terdetik dalam diri ini, akan ketidakmampuan untuk menambah koleksi niqab untuk pakaian harian.Namun Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.SubhanAllah.

Pejam celik, Allah SWT sudah hadiahkan ain niqab kira-kira 10 helai kesemuanya.Semuanya dihadiahkan melalui perantara iaitu melalui hadiah diberikan oleh sahabat-sahabat yang begitu pemurah.

SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKHBAR.



Foto di atas adalah salah satu niqab yang ain kenakan, hadiah daripada seorang sahabat.

ALHAMDULILLAH.

Apabila direnungkan kembali, begitu hebat kuasa Allah SWT.Di saat hamba NYA dalam kesempitan diberikan berita gembira, diberikan hadiah, diberikan nikmat dan bermacam-macam lagi bagi mengubati rasa kekurangan ini.

Alhamdulillah atas segala musibah yang terjadi, Alhamdulillah atas segala ujian diberi.Alhamdulillah atas teguran langsung yang Allah berikan pada diri ini.Membuatkan diri ini semakin yakin akan ketentuan Allah SWT.Semakin diri ini yakin akan aturan Allah SWT.Sememangnya aturan Allah begitu cantik dan di luar dugaan hamba NYA sendiri.

ALHAMDULILLAH....

Teringat kata-kata nasihat ini:


"Janganlah engkau cemas tentang rezekimu, kerana pencariannya kepadamu lebih kuat daripada engkau mencarinya.

Apabila kamu telah memperolehi rezeki untuk hari ini, maka janganlah engkau risaukan rezeki untuk hari esok, sebagaimana engkau tidak lagi merisaukan hari kelmarin yang sudah berlalu.

Sedangkan hari esok, apakah engkau tahu sama ada ia akan sampai kepadamu atau tidak.."

[WASIAT & NASIHAT KEROHANIAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI]













Monday, September 3, 2012

Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat ain sekalian.Moga semua dalam lindungan dan Rahmat Allah SWT, aamiin.

Alhamdulillah di sini ain ingin mengetengahkan kitab, bahan bacaan atau buku-buku rujukkan ilmiah buat sahabat semua.InsyaAllah moga kebaikkan ini dapat dikongsikan bersama.

Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan adalah antara bahan rujukkan ain sehari-hari.Alhamdulillah banyak membantu diri ini membuat latih tubi dalam memperbaiki bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Untuk itu, ain berniat untuk berkongsi beramai-ramai kelebihan menggunakan Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan ini bersama sahabat semua.

Sebagai permulaan, pembelian kitab ini adalah secara Pre Order Sahaja dan insyaAllah pada masa depan kitab ini boleh didapati di NUR AIN'Z BOUTIQUE  pada bila-bila masa.

BERKENAAN KITAB:
Kitab Al-Quran Tajwid dan Terjemahan ; Beserta Asbabun Nuzul, Hadis Sahih dan Indeks Tematik

Penerbit: Humaira Bookstore Enterprise
Harga Runcit :

Size B5 : RM 70
Size A4 : RM 130




Kitab Al-Quran Tajwid dan Terjemahan ; Beserta Asbabun Nuzul, Hadis Sahih dan Indeks Tematik





Keterangan:

-Saiz tulisan yang jelas dan mudah dibaca, insyaAllah.





Keterangan:

Di dalam lembaran Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan, terdapat 2 penanda buku [BookMark] yang boleh digunakan untuk menanda muka surat bacaan kita sehari-hari.

ISTIMEWA penanda buku ini adalah ianya mengandungi:

-Panduan Doa Permulaan Bacaan Al-Quran beserta tafsir
-Panduan Tajwid Kod Warna
-Panduan Tanda Waqaf dan Panduan Berwaqaf

Mudah difahami dan digunakan sebagai panduan dalam memperbaiki bacaan Al-Quran, insyaAllah.





Keterangan:
Pada bahagian muka hadapan dan belakang Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan disenaraikan Asma Ul Husna beserta dengan maksudnya dalam Bahasa Melayu.

Jelas dan mudah dibaca.Malah boleh dijadikan carta harian untuk hafalan dan ingatan, insyaAllah.





Keterangan:

-Pada bahagian belakang Kitab Al-Quran Tajwid & Terjemahan ini mengandungi Klasifikasi ayat Al-Quran.

-Para muslimin/muslimat boleh merujuk bahagian ini untuk tajuk-tajuk tertentu berkenaan ayat - ayat Al-Quran yang berkaitan dengan Iman, Firaun, dan sebagainya dengan lebih mudah..

InsyaAllah .





Keterangan:

-Pada bahagian setiap helaian muka Al-Quran ini diselitkan juga dengan pelbagai Riwayat & Hadith sahih.Mudah difahami dan penggunaan warna yang menarik, insyaAllah.






Keterangan:
Turut dinyatakan berkenaan penggunaan Kod Warna yang berlainan dalam Panduan Tajwid di helaian muka hadapan.

Size B5 : RM 70
Size A4 : RM 130

Postage : add RM10 senaskah




Keterangan:

-Pada bahagian setiap helaian muka Al-Quran ini diselitkan juga dengan pelbagai Riwayat & Hadith sahih.Mudah difahami dan penggunaan warna yang menarik, insyaAllah





Keterangan:
-Penggunaan Kod Warna tajwid yang berlainan




TEMPAHAN KINI DIBUKA.

Bagi yang berminat, sila: 

SMS/CALL : 016 665 7783
EMAIL : nurainzboutique@gmail.com

TERIMA KASIH

Sunday, September 2, 2012

INFAQ DI JALAN ALLAH

Bismillah,
Assalamualaikum sahabat NUR sekalian.Moga semuanya dalam keadaan baik-baik selalu, semoga urusan sahabat senantiasa dipermudahkan, aamiin.

Alhamdulillah, sudah setahun setengah berlalu semenjak ain berhenti dari tugasan sebagai seorang jururawat dan sejak itu juga ain mula tumpukan perhatian pada keluarga, pada diri sendiri, pada urusan perniagaan kecil dan terutamanya dalam urusan agama.

ALHAMDULILLAH.Sepanjang perjalanan diri ini bergelar seorang wanita, seorang hamba Allah SWT, pelbagai perkara dilalui tidak kira pahit, manis, suka, duka yang adakalanya boleh saja menggoncang iman pada diri ini.SUBHANALLAH..Maha Suci Allah atas segalanya.

Perkongsian buat sahabat semua, tidak kiralah yang bekerja sendiri, makan gaji atau yang hanya surirumah tangga sepenuh masa.Jom kita muhasabah diri bersama.

Tidak kira apapun bentuk pekerjaan kita sehari-hari, perlulah dimulakan dengan niat yang betul.Perbetulkan niat agar segala yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT semata.Pastikan pekerjaan kita buat itu adalah halal dan mengikut hukum syarak dan bukan hanya mendapat gaji semata-mata.Untuk mendapat rezeki yang berkat, perlu bermula dari mana hasil atau punca pendapatan kita itu.

Selain itu niatkan setiap hasil kita dapat sama ada makan gaji atau bekerja sendiri itu dalam bersedekah pada mereka yang memerlukan.Niatkan setiap hasil titik peluh yang diperoleh itu di jalan Allah SWT.Ingatkan pada diri selalu bahawa setiap harta yang kita peroleh adalah pinjaman sementara dari Allah dan Allah kurniakan kita nikmat rezeki yang melimpah ruah itu untuk diagihkan pada mereka yang lain.

Cuba ingatkan pada diri, "Sedikit disyukuri, banyak dikongsi.."..InsyaAllah hati kita akan tenang selalu.Percayalah.

Firman Allah SWT :
"Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (menafkahkah hartanya ke jalan Allah, maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak.Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada NYA lah kamu dikembalikan."
[SURAH AL BAQARAH 2: AYAT 245]

Satu ketika dahulu, apabila tiba tarikh yang ditetapkan atau dalam erti kata lain "cukup bulan", sudah pasti ramai diantara kita begitu teruja untuk dapatkan gaji bulanan.Namun, dalam sekelip mata hasil didapati habis begitu saja.Entah ke mana.Membayar hutang dan sebagainya, akhirnya yang tinggal hanya sekelumit saja.Sudah pasti ada diantara kita tertanya-tanya sampai bila atau mungkin terdetik "duit macam air.."

Itulah hakikatnya apabila diri kita menjadi hamba pada WANG.Apabila faktor material menjadi agenda utama dalam kehidupan seharian, sudah pasti hanya WANG menjadi perkara utama yang bermain dalam minda seseorang.Kita bekerja untuk wang, bukan bekerja untuk Allah..Itulah hakikatnya.

Nauzubillah min zalik..Moga dijauhkan dari diri ini dan kita semua, aamiin.

Jika dahulu tiap bulan akaun bulanan cecah 1K++, namun hal itu tidak memberikan kegembiraan atau ketenangan pada diri ini.Kini, Alhamdulillah hal yang sebaliknya berlaku.

ALHAMDULILLAH,  hasil usaha berniaga kecil-kecilan dapatlah diri ini menampung kehidupan seharian dengan lebih tenang dan gembira.Amaun besar atau kecil bukan menjadi persoalan, namun kepuasan dicapai dalam setiap titik peluh yang didapati itu membuatkan jiwa sentiasa tenteram.Diri ini merasakan setiap perkara perlu ada pergantungan dan pengharapan penuh pada Allah SWT.

Apabila kita bergantung harap sepenuhnya pada Allah SWT, insyaAllah tiada yang mustahil dan tiada yang tidak boleh dalam kehidupan ini.Sebaliknya apabila terlalu bergantung pada manusia, hati akan menjadi tidak keruan, tidak tentu arah dan hala tuju serta matlamat hidup kita menjadi kabur.

Ikhlaskan diri dalam setiap perbuatan, pekerjaan yang dilakukan sehari-hari.Sentiasa infaqkan sebahagian hasil yang diperoleh untuk membantu mereka yang memerlukan.Sentiasa mensyukuri apa yang ada dan tidak terlalu tamak mengejar harta dunia.InsyaAllah biar sedikit, asalkan berkat.

Jaga amal ibadah kita sehari-hari dan jangan tinggalkan perkara yang wajib.Andai kita sibuk mendahulukan sunnah namun yang wajib tidak dijaga, sia-sia sahaja.

Firman Allah SWT:
"Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah  (ke jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat.Dan orang kafir itulah orang yang zalim."
[SURAH AL-BAQARAH 2 : AYAT 254]







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR