Monday, December 31, 2012

CORETAN PERJUANGAN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat blog Nur sekalian.Alhamdulillah bertemu kembali dan diberi kelapangan untuk membuat coretan di sini, insyaAllah.

Terpanggil untuk membuat coretan terakhir di penghujung tahun 2012 ini setelah membaca nurkilan daripada blog sahabat KakChik Niza  .

Baiklah, di sini ain akan catitkan segala matlamat ain dalam tahun 2013, insyaAllah.Sememangnya boleh saja ain coretkan dalam buku peribadi.Namun, bagi ain tak salah membuat coretan di blog memandangkan blog adalah tempat ain membuat coretan diri.

Di sini ain hanya senaraikan secara ringkas, insyaAllah jadi rujukkan dan ingatan buat diri ini di kala terlupa atau terleka atau memerlukan sesuatu sebagai pembakar semangat.Bagi ain tiada salah berkongsi kerana ain rasakan setiap daripada kita pasti mempunyai matlamat yang sama sepertimana yang akan ain senaraikan ini, insyaAllah.

Jom ♥




  1. Menyelesaikan sebahagian / segala hutang tertunggak sebaiknya menjelang Ramadhan 2013
  2. Membuka butik abaya secara rasmi menjelang April 2013 di satu lokasi terpilih
  3. Membuat 'Branding' atau tag pada setiap item jualan butik
  4. Berusaha menempatkan nama NUR AIN'Z BOUTIQUE di laman sosial/blog/majalah menjelang pertengahan 2013 
  5. Berhasrat menghadiri bengkel penulisan pada Januari 2013
  6. Berhasrat mula menulis novel/travelog diri sejurus selepas itu
  7. Menunaikan umrah bersama suami tersayang selewat-lewatnya pada akhir Ramadhan atau sejurus selepas selesai segala hutang
  8. Membawa keluarga mertua dan keluarga kandung bercuti bersama ain dan suami akhir tahun 2013
  9. Bercuti bersama suami tersayang pada ulangtahun perkahwinan kami yang ke-7 di bulan May 2013
  10. Mula menghadiri kelas agama mingguan atau bulanan menjelang Februari 2013
  11. Khatam Al-Quran menjelang akhir 2013
InsyaAllah, ain hanya mampu merancang.Namun Allah yang berkuasa menentukan segalanya.Perlu berusaha, berdoa, tawakal dan redha pada akhirnya nanti.

InsyaAllah ♥

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian



Saturday, December 22, 2012

PENJENAMAAN NUR AIN'Z BOUTIQUE

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.Alhamdulillah bertemu kembali di teratak kecil ain di sini meninggalkan nurkilan dan coretan buat sahabat semua.

Alhamdulillah, sudah 2 bulan kiranya ain dan suami berhijrah ke Shah Alam/ Kuala Lumpur mencari penghidupan baru di sini.Pelbagai perkara perlu dilalui dan ditangani hari demi hari yang adakala menguji tahap kesabaran dan kekuatan kami sebagai suami isteri.

Penat, jerih , payah dalam menghadapi kehidupan hari demi hari sudah pasti mengundang rasa goyah, sedih namun semua itu tidak pernah sama sekali mematahkan semangat dalam diri ini untuk terus berjuang demi Allah SWT.Demi suami tersayang dan keluarga yang menanti di kampung halaman.

Allahuakhbar, Allahuakhbar.Entah kenapa air mata ini asyik mengalir sejak dari tadi.Rasa sayu sedang mencengkam jiwa ini.Rasa hati ini, hanya Allah yang tahu, Allah yang pegang.Moga diri ini tidak tersasar jauh dari jalan yang diredhai Allah SWT.

Bagi sahabat setia blog peribadi ain, sudah pasti tahu ain kini sudah membuka gerai jualan abaya di sekitar Seksyen 7 Shah Alam.

Alhamdulillah, sepanjang 2 bulan ini, ain dapati respon positif diterima daripada orang ramai, iaitu terdapat permintaan dalam pasaran pakaian muslimah, pakaian yang menutup aurat seperti abaya dari Timur Tengah.Rata-rata memaklumkan memang mencari pakaian yang benar-benar dapat memenuhi keperluan seorang wanita Islam dalam berpakaian mengikut suruhan Allah SWT.

Sebagaimana kita sedia maklum, pakaian yang dijual di pasaran dengan label "MUSLIMAH" tidaklah semuanya memenuhi syarat wanita Islam dalam berpakaian.Maka dengan itu, ain nekad untuk terus berjuang dalam berusaha menempatkan pakaian yang sebenar-benar namanya berpakaian dan tidak bertelanjang.

Kedengaran seakan sukar, namun tidak mustahil.Pakaian adalah penting kerana dalam berpakaian juga kita boleh beribadah pada Allah SWT.Dalam berpakaian, kita boleh sampaikan mesej Islam pada non muslim.Dalam berpakaian mengikut tuntutan Allah SWT, maka kita dapat mengurangkan kekeliruan dalam masyarakat Islam kini yang beranggapan pakaian perlu disuai kini mengikut peredaran semasa.

Tanggapan sedemikian adalah SALAH sama sekali!

Kitalah patut mengikut hukum Allah tidak kira dalam tahun atau zaman apa sekalipun.Bukannya menukar hukum semata-mata mengikut hawa nafsu yang inginkan fesyen yang kononnya Up To Date...

Baiklah berbalik kepada perihal gerai jualan.Walaupun baru saja 2 bulan menapak di sekitar Shah Alam, ain berpendapat ain perlu buat beberapa perubahan dan pembaharuan.Untuk terus kekal dan memastikan pakaian muslimah mendapat tempat di hati wanita Islam di sini, terutamanya abaya dari Timur Tengah, ain perlu tingkatkan dari segi kualiti dan identiti ain sendiri di NUR AIN'Z BOUTIQUE.

Keputusan drastik bakal dibuat dalam masa terdekat ini, insyaAllah.Penjenamaan, kualiti, identiti, perkhidmatan yang ditawarkan juga perlu diperbaharui dan dikemas kini.Masih dalam peringkat perancangan, belum lagi ada pelan tindakkan.InsyaAllah dalam perancangan mencari tapak baru yang lebih selesa dan mudah untuk sahabat singgah dan dapatkan keperluan.




InsyaAllah, doa dan sokongan daripada sahabat semua amat diharapkan.

Setelah semuanya berjalan lancar, insyaAllah akan ain khabarkan pada sahabat semua.

Mohon maaf pada semua andai ain pernah terkasar bahasa atau tulisan sepanjang perkongsian di sini.Syukran bagi semua yang menjadi sahabat setia di sini.Alhamdulillah.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian


Sunday, December 16, 2012

KEHIDUPAN INI...

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum sahabat dikasihi sekalian.Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat kurnia NYA.

Menulis adalah salah satu cara terapi buat diri ain sendiri.Menulis bukan semata-mata meluahkan perasaan sewenang-wenangnya.Menulis dengan niat dan matlamat moga apa yang dikongsikan itu menjadi ingatan dan bekalan diri, serta semoga ianya dapat memberikan manfaat pada yang lain, insyaAllah.

Kembali pada Islam seawal usia 18 tahun, dan kini usia sudah menginjak 28 tahun.SubhanAllah, kiranya sudah 10 tahun masa berlalu dan ain akui bahawa diri ini begitu banyak kekurangannya.

Begitu banyak masa dibuang begitu sahaja sepanjang 10 tahun yang telah berlalu.Di awal ain kembali pada ISlam, dalam perjalanan mengenal Allah SWT, ain masih ingat saat di mana ain dalam keadaan "krisis identiti". Krisis diantara seorang hamba Allah dan sebagai seorang manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan hari demi hari.

Mengenang kembali kekhilafan diri yang begitu leka, alpa akan hal duniawi, meletakkan dunia sebagai matlamat hidup adalah suatu kebodohan yang membuta tuli.Namun itulah suatu tarbiyah/didikan langsung dari Allah SWT dalam mengajar diri ini dalam mengenal tujuan kehidupan yang sebenar dan mengenal siapa diri ini.

Astaghfirullah... Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. maafkanlah diri ini.

Sepanjang hayat kehidupan yang Allah berikan ini, begitu banyak ujian dan dugaan yang Allah berikan dari sekecil-kecil kuman hinggalah di saat di mana diri ini merasakan ianya begitu berat untuk ditanggung.Begitu berat hingga hampir merasa putus asa dengan kehidupan ini.

Pernah di satu saat diri ini ingin membawa diri jauh dari kehidupan ini..Ingin membawa diri jauh dari kehidupan dunia yang begitu melalaikan.Dan akhirnya diri ini sedar tidak semudah itu.

Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang daie, "Dunia ini dijadikan untuk kita bersusah payah, di akhiratnya kelak kita hanya petik hasilnya nanti..." .

Begitulah kita..hamba Allah SWT yang diciptakan untuk berserah diri pada Allah SWT semata-mata.

Segala perkara yang pernah singgah atau hadir dalam kehidupan ain yang lalu, takkan pernah pudar dari ingatan.Takkan pernah hilang dari sejarah kehidupan yang sudah tercalit dalam kitab amal diri ini.Dan diri ini tidak pasti sama ada amal baik menjadi timbangan yang paling berat atau amal buruk yang masih menguasai keseluruhannya.Astaghfirullah.

Moga segala kisah yang lalu menjadi ingatan dan iktibar. Semoga diri ini tidak alpa dan tidak leka diulit mimpi-mimpi indah yang melalaikan.Mungkin kita rasakan perkara itu baik untuk kita, namun sebenarnya tidak.Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.Kita hanya mampu berusaha.

Seperkara yang masih diri ini belajar hari demi hari.Menerima segala ketentuan Allah SWT dengan sabar dan hati yang tenang.Agak payah, namun itulah kuasa Allah, menguji kesabaran hamba NYA di saat susah mahupun senang.

Ain masih cuba belajar menerima situasi di mana setiap apa yang kita peroleh itu sebenarnya adalah baik untuk kita jika dibandingkan dengan keinginan diri sendiri.Nafsu diri yang masih perlukan tarbiyah hari demi hari..Allahuakhbar.Begitu besar kuasa MU Ya Allah.

"Sesungguhnya tidaklah boleh dikatakan beriman seseorang itu selagi dirinya tidak diuji.." ..

Kata-kata inilah yang buatkan ain cuba tenang dan tabah dalam melalui perjalanan hidup ini hari demi hari.Kata-kata inilah yang buatkan ain sedar bahawa, ain hanya hamba Allah yang tidak punya kuasa.Allah Maha Berkuasa dan berhak atas segalanya.Kata-kata inilah yang memberikan ain kekuatan dan kesedaran bahawa untuk menjadi hamba Allah yang kuat, maka ain perlu redha, pasrah akan segala ketentuan NYA.Bukannya merungut atau bersedih dengan nasib diri.

Sudah setahun setengah ain berniqab.Namun berniqab bukanlah tiket untuk bergelar wanita solehah.Tidak sama sekali.

Hijab hati ini masih lemah, masih goyah.Diri ini masih belajar perbaiki kekurangan dan kelemahan diri.Sesungguhnya hati adalah tempat di mana nafsu bersarang.Ubat hati adalah zikrullah dan dengan mengingati Allah SWT. Moga hati ini kuat dan tabah dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan ini yang tidak pasti berakhir bila...

Azan Zohor telah berkumandang, menandakan ain perlu berhenti menulis blog.

InsyaAllah moga bertemu lagi di coretan akan datang.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian.








Sunday, December 9, 2012

ADAKAH KAKI WANITA AURAT



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.

Alhamdulillah diberi kelapangan dan kesempatan berada di sini untuk berkongsi bersama sahabat semua.InsyaAllah.

Artikel di bawah ini ain kongsikan terus daripada blog seorang sahabat iaitu Ustazah Wan Nor Ainon berkenaan "Adakah Kaki Wanita Aurat" .[klik untuk artikel asal]

Moga perkongsian ini dapat membantu dan meleraikan kekusutan atau kecelaruan kita selama ini.

Mari beramal dengan ilmu.Moga Allah redha, aamiin.

Selamat Membaca !



"Assalamualaikum

Seperti yang Ummu Abbas ketahui Azie tinggal di Asia Barat dan di sini mazhab dan amalan yg diamalkan amat berbeza dgn kita di Malaysia.  Azie tak berapa pasti mazhab mana yg diikuti di sini…. kalau solat, terutama kaum wanitanya x menjaga aurat seperti kita..kaki tidak ditutup elok, memakai pewarna kuku yg boleh menghalang air dan bermcm2 lagi perkara yg bertentangan dgn amalan kita.  Betul ke ada mazhab yg membenarkan perkara2 seperti itu ?

Azie

**************************************



Wa’alaikum salam warahmatullah Azie,

Persoalan Azie sebelum ini adalah pelbagai topik.   Kak Nur jawab satu persatu supaya tajuknya boleh diasingkan.

Untuk lebih memahami, saya kemukakan contoh perbahasan fuqaha’ mengenai aurat wanita semasa solat.




Aurat wanita semasa solat ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.  Hal ini disepakati fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil berikut;

Allah berkata,

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

An-Nur 24:31



Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita.

Aisyah melaporkan,

أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis.  Rasulullah s.a.w lalu berpaling  daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”

Hadis direkodkan olah Abu Dawud.



Hadis di atas menunjukkan bahawa kaki termasuk aurat tatkala Nabi s.a.w mengecualikan hanya wajah dan tangan.

Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan oleh  Ummu Salamah.  Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w ,

Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung?  Nabi s.a.w menjawab,

إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا



“Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.”



Hadis direkodkan oleh Abu Dawud.



Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri.

Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w.  Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

“Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”.



Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat.

Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah,  maka solatnya dianggap tidak sah”.

Berdasarkan rasional yang telah dikemukakan, adalah jelas aurat wanita ketika solat ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.  Fuqaha’ sepakat menyatakan demikian kecuali kaki, ada fuqaha’ yang mengatakan ia dimaafkan jika terbuka.  

Rasional pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat ialah,

“Menutup dua kaki semasa solat adalah disunatkan (digalakkan) serta bukan kewajipan yang tiada tawaran (rukhsah).  Ini adalah kerana dua kaki bukan aurat yang wajib ditutup.  Takwilan seperti ini dikuatkan oleh sebab adanya keperluan wanita membuka kedua kaki jika wanita berjalan.  Sekiranya mereka menutup kaki, maka keadaan itu akan menyusahkan.  Disamping itu, sesungguhnya kaki wanita bukan merupakan daya tarik bagi lelaki ketika dia melihat kakinya, tidak seperti ketika melihat wajahnya.  Kalau wajah sahaja bukan aurat, walhal ia lebih banyak menjadi daya penarik lelaki, maka apatah lagi kaki.  Justeru itu, kaki bukanlah aurat wanita”.



Secara peribadi, saya melihat hujjah yang mengatakan kaki bukan aurat agak lemah dibandingkan dengan hadis-hadis  yang telah dinyatakan di atas.   Hujjah yang digunakan lebih kepada lojik akal.  Sedangkan lojik akal bila bertembung dengan nas, maka nas perlu diutamakan.

Berapa banyak perkara agama yang tidak boleh disandarkan kepada lojik akal semata-mata disebabkan terbatasnya akal manusia untuk berfikir.   Alasan sukar berjalan jika menutup kaki tidak boleh lagi dipakai pada zaman sekarang.  Lebih-lebih lagi di zaman teknologi moden semakin berkembang, wanita masih boleh memakai stokin yang pelbagai fesyen sekarang.

Saya pernah membaca kisah seorang wanita yang meremehkan menutup kaki semasa menunaikan haji.  Banyaklah rungutannya akibat terpaksa memakai stokin, lebih-lebih lagi ketika stokinnya basah terkena air.  Akibatnya dia ditimpa bala oleh Allah swt.  Setelah sedar punca bala tersebut, wanita itu bersungguh-sungguh menjaga aurat kakinya.

Mengambil iktibar dari kisah wanita itu, saya sendiri memakai stokin ketika menemani anak-anak bermain air di taman tema air.  Taman tema air seperti di Bukit Merah dan The Lost World of Tambun merupakan kawasan umum yang mencampur aduk lelaki dan wanita.  Jadi pilihan yang ada ialah tetap memelihara aurat kaki.  Biar stokin dibasahi air asalkan diri tidak dibasahi dosa.  

Seorang lelaki menyarankan dalam blognya agar wanita tetap menutup kaki di rumah jika terdapat tetamu lelaki.

Sebelumnya, saya meringankan juga dari menutup kaki seperti ketika ada tetamu lelaki di rumah atau ketika bermain air di pantai dengan alasan rukhsah dan memakai pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat.   Namun sekarang saya berusaha melakukan yang terbaik setakat termampu.  Dunia hanya sementara.   Masa kita terlalu singkat untuk beramal dengan ajaran Islam.  Oleh sebab itulah Allah bersumpah dengan masa dalam surah al-‘Asr.  Kemudian dikatakan manusia ini memang sentiasa rugi kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.

Suami sendiri bertegas dalam hal menutup kaki.  Dia pernah menegur saya menutup wajah tetapi membuka kaki.  Kaki lebih aula ditutup berbanding wajah berdasarkan hujjah-hujjah yang ada.

Mengenai situasi yang Azie alami di sana, ia adalah perkara biasa berlaku sekarang di mana-mana negara ummat Islam.  Masyarakat Arab Jordan dulu pun begitu juga.  Meskipun di Fakulti Syariah, melihat gadis-gadis Arab bersolat dengan rambut terjurai di dahi dan menampakkan kaki adalah perkara biasa.  Sebagai pelajar yang memahami ibadah berdasarkan ilmu, kami tidak mengikut tabiat yang tidak baik itu.  Kita dianjurkan Islam untuk beramal dengan perkara yang diyakini dan meninggalkan perkara yang diragui kebenarannya.

Walau bagaimana pun, dalam kes aurat kaki ini, meskipun kita memilih pendapat yang mempunyai hujjah yang kuat dan apa yang menenangkan hati kita.  Namun kita tetap perlu meraikan pandangan orang lain yang berbeza.  Justeru itu, kita tidak boleh memaksa para wanita di Asia Barat  solat sama seperti kita yakni menutup kaki.  Kita hanya boleh beritahu mereka hujjah yang kita tahu.  Terserahlah kepada mereka mahu menerimanya atau tidak.  Adapun amalan wanita Malaysia yang menutup kaki semasa solat wajar diteruskan secara istiqamah kerana ia paling tepat dengan petunjuk Nabi s.a.w.

Untuk perkara-perkara lain yang disebutkan atau tidak dinyatakan, garis panduan memilih pendapat untuk diamalkan  ialah yang mempunyai hujjah yang kuat.  Ini termasuklah memakai pewarna kuku yang boleh menghalang air.  Ia menyebabkan wuduk tidak sah.  Bukanlah bila dikatakan Arab, maka semuanya alim dan memahami secara mendalam mengenai Islam.   Mereka sama seperti umat Islam di Malaysia, mana yang belajar akan tahu dan yang tidak belajar akan tetap jahil.

Arab yang tahu, beriman dan beramal akan menjadi muslim yang baik.

Arab yang tahu tetapi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengamalkan tetap menjadi muslim yang jahat.

Islam membekalkan kepada ummatnya prinsip-prinsip yang jelas dalam beramal yakni rujukannya al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.  Kita sekali-kali tidak dibenarkan mengikut amalan kerana bangsa mereka atau keturunan mereka dan lain-lain yang berunsur taqlid.

Semoga Azie dapat bersabar dan berlapang dada menghadapi situasi masyarakat yang berbeza dengan kefahaman kita selama ini.  Pengalaman adalah satu ilmu yang amat berharga dari Allah swt.

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang kurang dari kelemahan penulis sendiri.

Buah cempedak di luar pagar

Ambil galah tolong jolokkan

Saya ibu yang terus belajar

Jika salah tolong tunjukkan.

Wassalam.

Ummu Abbas

11.11am

5 Safar 1431H "

Untuk artikel penuh, sahabat boleh terus ke blog sahabat Ustazah Wan Nor Ainon  yea.

Semoga perkongsian ini bermanfaat, insyaAllah,

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian

Saturday, December 8, 2012

PERTEMUAN TERINDAH..SUBHANALLAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera buat sahabat ain kasihi sekalian.Alhamdulillah syukur diberi kelapangan dan kekuatan untuk menjengah ke sini dan berkongsi sedikit sebanyak bersama sahabat semua, insyaAllah.



SubhanAllah, Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak bersua, hari ini dipertemukan kembali oleh Yang Maha Pencipta.Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah...

Alhamdulillah, hari ini seorang sahabat lama, rakan seperjuangan, seorang senior ain sewaktu ain masih lagi bertugas sebagai jururawat datang ziarah ke gerai jualan ain di Seksyen 7 Shah Alam.

Kira-kira 2tahun kami tidak bertemu, hanya berhubung melalui laman sosial dan berkongsi perkembangan masing-masing,SubhanAllah setelah sekian lama, akhirnya.

Mesra dengan panggilan kak sue, kak sue masih lagi bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital swasta.Malah, yang istimewanya pertemuan ini, kami berdua masing-masing telah berniqab! Tidak terjangkau dek fikiran ini 2 tahun yang lalu dan 2 tahun yang kini.Masing-masing berlainan sama sekali.SubhanAllah.Beliau kini berpurdah dalam masa yang sama masih lagi bergelar wanita bekerjaya.

Berkongsi pengalaman masing-masing terutama sejak mula berniqab hingga kini, insyaAllah dan berkongsi ilmu seadanya.Alhamdulillah, kak sue yang ain kenali dahulu dan kini amat jauh bezanya.Bertemu dengannya membuatkan ain rasa sebak, terharu bagaikan tidak percaya dengan siapa ain jumpa sebentar tadi,Beberapa kali air mata ini bergenang tatkala berbual dengannya.Allahuakhbar.

Beliau turut berkongsi apa ain pernah alami suatu ain masih bekerja dahulu.Fenomena dan situasi yang sama, tidak kurang bezanya.

Melihat beliau membuatkan ain rasa takjub akan kekuasan Allah SWT.Atas izin Allah, sahabat ain ini masih lagi tabah dalam menjalani kehidupan sebagai wanita bekerjaya dengan suasana yang kurang menyokong wanita berpurdah.Tidak mudah bekerjaya dalam masa sama berniqab walau tidak sepenuhnya.Namun, tidak mudah bagi semua orang.

SubhanAllah, begitu besar kuasa Allah yang memberi kekuatan dan hidayah pada seseorang.Benarlah Allah hanya menguji hamba NYA setakat ia mampu sahaja.Dan begitu jugalah sahabat ain ini.

Tidak mudah yea sahabat untuk berhadapan dengan masyarakat dan dalam masa yang sama perlu bertahan dengan pandangan serong masyarakat.Hanya dengan izin dan RAhmat Allah sahaja semua yang mustahil , TIDAK MUSTAHIL boleh berlaku.

Pertemuan ini bukanlah pertemuan biasa.Pertemuan yang Allah telah aturkan ini sungguh indah bagi ain kerana dalam masa ain berhijrah, ada lagi sahabat seperjuangan lain yang juga mempunyai pengalaman pekerjaan yang sama,, turut diberi ketukkan hidayah oleh Allah SWT.

Alhamdulillah,, Alhamdulillah Alhamdulillah.

Seperkara ain ingin kongsikan di sini, bagi sahabat-sahabat muslimah yang sering menghantar mesej peribadi atau email berkenaan keinginan berniqab.Seperkara yang harus kita yakini,PERCAYALAH akan segala ketentuan Allah SWT..andai berniqab adalah jalan terbaik buat kita, insyaAllah Allah pasti permudahkan jalan.

Persoalan berniqab "onn/off" yang sering diajukan pada ain.Ain bukanlah tokoh agama, pakar ilmuwan agama.Cuma seperkara ain ingin ingatkan pada diri ain sendiri dan sahabat semua.Usah terlalu memikirkan perkara berkenaan.

Perkara penting di sini adalah TETAPKAN NIAT KITA BERNIQAB, UNTUK APA BERNIQAB, UNTUK SIAPA KITA BERNIQAB, MATLAMAT JANGKA MASA PANJANG TUJUAN BERNIQAB itu sendiri.

Selain itu, banyakkan memohon petunjuk dari Allah SWT agar diberi kekuatan dan keteguhan dalam jalan yang kita pilih.Andai itu yang terbaik, yakinlah pasti satu masa nanti Allah permudahkan tanpa kita sedari.Tak perlu kita merungut dan mempersoalkan kenapa dan mengapa.

Wallahu alam

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian 


Monday, December 3, 2012

JENAZAH YANG TERBAKAR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat semua.Moga semua dalam keadaan sihat dan ceria-ceria selalu.Moga kita semua senantiasa dalam lindungan Allah SWT  dan dipermudahkan dalam segala urusan dunia mahupun akhirat, aamiin.

Ingin berkongsi sesuatu di sini bersama sahabat semua.Semoga ianya dapat dijadikan iktibar, ingatan dan pengajaran buat kita bersama, insyaAllah.

Berkongsi kisah daripada sumber yang sahih, maaf tidak dapat dimaklumkan siapakah gerangan hamba Allah yang mendapat gambaran itu.Cukuplah sekadar berkongsi untuk dijadikan ingatan buat diri ini dan kita bersama.

Hamba Allah ini didatangi mimpi melihat banyak jenazah yang sudah siap dikapankan.Dalam mimpi berkenaan beliau melihat jenazah-jenazah ini ditempatkan dalam satu ruang kosong khas.

Apa yang memeranjatkan adalah setiap jenazah ini akan berubah wajah dari rupa asal.Ada diantaranya berubah wajah menjadi hitam seperti hangus terbakar.Ada jenazah yang kelihatan kulit mukanya terbakar namun tidak sepenuhnya.Tidak kurang juga ada jenazah yang terbakar namun jasadnya tidak berubah sama sekali!!!






Mimpi berkenaan cukup singkat namun hamba Allah ini dapat merasakan jenazah-jenazah berkenaan merasa sakit perit diseksa akibat dibakar.Api tidak kelihatan, namun rupa dan keadaan jasad jenazah menceritakan segalanya.

Terlintas di hati hamba Allah ini, adakah mereka ini antara hamba Allah yang engkar? Adakah mereka ini antara hamba Allah yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu???

Sebelum tersedar dari mimpi, beliau terlihat seorang nenek tua berpakaian putih sedang membersihkan kawasan jenazah berkenaan. Namun nenek berkenaan langsung tidak berkata apa-apa..

Setelah sedar dari tidur, jam loceng berbunyi, menunjukkan waktu itu sudah pun jam 3 PAGI!!!

Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah..

Allahuakhbar.. Allahuakhbar.. Allahuakhbar...

HANYA ALLAH MAHA MENGETAHUI..

Apa ain dapat katakan adalah,


Kita tidak akan tahu saat bila, umur bila dan bagaimana pengakhiran kita kelak..Banyakkanlah berdoa dan memohon kepada Allah SWT semoga mati kita dalam iman, dalam keadaan beramal soleh.Mohon pada Allah SWT semoga segala amal ibadah kita diterima NYA, aamiin.

Sesungguhnya untuk mencium bau syurga juga hanya dengan Rahmat Allah SWT.Kita tidak punya kuasa.Allah Maha Kuasa.

Allahuakhbar... Allahuakhbar... Allahuakhbar... La Illaha Illallah Muhammad RAsulullah..

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian








LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR