Saturday, March 2, 2013

♥ ALHAMDULILLAH FOR EVERYTHING ♥

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat setia ain di sini, Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama tidak membuat sebarang coretan.

Hari ni bertarikh 2 Mac 2013. Jika ain tidak silap tarikh akhir ain bergelar jururawat adalah pada 4 Mac 2011.Kiranya 2hari sahaja lagi, maka genaplah 2 tahun ain bergelar suri rumah tangga, insyaAllah.

Dan andai masih ada umur lagi, tarikh 9 Mac 2013 yang bakal tiba, maka genaplah 10 tahun ain kembali pada Islam.InsyaAllah.

Mengimbau kembali kenangan lalu meninggalkan seribu satu pengertian dalam diri ini.Mengenang kembali kehidupan masa lalu mematangkan fikiran dan tindakkan yang dibuat pada hari ini.Tanpa kenangan lalu takkan ada masa kini.Tanpa kenangan lalu takkan ada kehidupan masa kini.

SubhanAllah, Maha Suci Allah atas izin NYA diri ini masih lagi diberikan kehidupan.Moga saat-saat yang berlalu dapat digunakan semanfaat yang mungkin, insyaAllah.

Sepanjang 2 tahun ini, ain melalui pelbagai proses pembelajaran dan mengenal diri sendiri.Sepanjang masa ini juga digunakan untuk muhasabah dan perbaiki kekurangan diri ini dan yea, ain masih lagi melalui proses berkenaan.Proses tarbiyah kehidupan memakan masa yang panjang dan tidak pernah ada satu jangka masa atau saat untuk berhenti.

Allah SWT jadikan kehidupan dunia ini sebagai ladang untuk kita bercucuk tanam agar hasilnya kelak dapat kita tuai.Pengalaman kehidupan mematangkan diri ini.Kini ain sedar betapa luasnya nikmat kasih sayang Allah SWT pada diri ini, kerana kasih NYA Allah pada ain maka ain masih lagi dapat bernafas hingga kini.

Allah beri masa dan sentiasa memberikan masa buat diri ini untuk berubah dan perbaiki kelemahan yang ada.Allah begitu kasih pada ain kerana itu diri ini diuji dan diuji.Alhamdulillah syukur pada Mu  Ya Allah.Betapa besarnya Rahmat Mu.

Terdetik dalam diri ini apa yang telah ain capai sepanjang 2 tahun yang berlalu.

Alhamdulillah, kini mempunyai lebih banyak masa untuk mengenal Al-Quran berbanding dahulu.Sesungguhnya diri ini teramat lalai dan bersikap sambil lewa dalam mempelajari ilmu agama.Ilmu Allah.

Alhamdulillah, ain masih ingat dalam masa 6 bulan yang pertama setelah ain berhenti bekerja, ain sudah mampu habiskan bacaan Iqra/Muqadam yang begitu lama ain cuba habiskan selama bertahun-tahun sejak kembali pada Islam.Alhamdulillah saat itu ain mulai sedar, niat dan nawaitu itu begitu penting. Jika kita ada tekad dan niat yang betul dalam beragama, insyaAllah segalanya jadi mudah.

Sejak itu jugalah baru ain mampu membaca Al-Quran dan cuba menghafal surah-surah pendek yang dahulunya begitu asing dan seakan sukar untuk dilakukan.Sejak itu jugalah ain cuba tanamkan dalam diri ini untuk cuba menghafal seberapa banyak surah-surah ringkas sebagai amalan harian.

Alhamdulillah, makin cuba dekatkan diri pada Al-Quran semakin banyak ain tak tahu dan semakin sedar betapa jahilnya diri ini.Dalam masa yang sama, ain sedar betapa indahnya Kitab Al-Quran ini dan betapa beruntungnya kita sebagai orang Islam kerana Allah telah menghadiahkan bait-bait kata yang indah di dalam Al-Quran.Allah hadiahkan Al-Quran sebagai panduan kehidupan umat Islam.SubhanAllah.

Alhamdulillah, itu antara matlamat ain ingin capai dan antara sebab kenapa ain mengambil keputusan berhenti dan memberi sepenuh tumpuan untuk perbaiki diri ini. Ain sedar ain tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai jururawat dengan baik kerana pada masa yang sama ain gagal menjadi hamba Allah yang taat.

Untuk berjaya dalam sebarang pekerjaan, perkara utama yang perlu kita ambil perhatian adalah matlamat kita dalam mencari redha Allah SWT.Walaupun kita bergelar jururawat, doktor, ketua pengarah, ketua syarikat sekalipun. Tanamkan tekad juga untuk berusaha imbangkan kehidupan dunia dan akhirat.Jika mampu, maka galaslah keduanya dengan sebaik mungkin.Jika tidak maka pilihlah untuk mencari redha Allah.

Seperti ain , ain sedar ain tidak mampu galas tanggungjawab itu.Maka adalah lebih baik ain undurkan diri dan perbaiki kelemahan ini seberapa banyak yang mungkin.Moga Allah redha dan permudahkan segalanya, aamiin.

Bagi sahabat ain yang sedang membaca nurkilan ini, satu perkara ain ingin tekankan buat renungan bersama. Bekerjalah tak kira dalam bidang apa sekalipun, letakkan niat bekerja itu untuk Allah SWT.Bekerjalah kerana Allah dan bukan kerana wang semata-mata.Andai wang menjadi ukuran, maka timbullah rasa tidak puas hati sesama rakan sekerja, timbullah rasa beban dalam menjalankan tugasan diberikan.Timbullah rasa cemburu, marah, benci antara satu sama lain.

Sanggupkah sahabat hadapi ini semua sehingga saat pencen atau dalam kategori umur yang matang untuk bersara??? Fikirkan, renungkan kembali. Muhasabah kembali dan ubah pandangan dalam diri.Perbetulkan niat sahabat dalam bekerja.

Selain mencari rezeki yang halal, carilah rezeki dalam redha Allah SWT.Jadilah hamba Allah yang taat, insyaAllah lebih berkat rezeki yang kita peroleh itu.Soal sedikit atau banyak tidak timbul dan bukan lagi ukuran ketika itu.Andai tiada bonus atau kenaikkan gaji sekalipun, ucaplah Alhamdulillah.Semua atas izin Allah nikmat rezeki kita dapat sehari-hari.Maka berhentilah merungut yea sahabat.

Alhamdulillah, antara perkara lain ain dapat lakukan sepanjang 2 tahun berlalu adalah apabila mula bergiat aktif dalam menulis blog.Ain mula menulis blog sekitar pertengahan tahun 2010, namun mula aktif menulis blog sekitar tahun 2011.

Kenapa blogging?




Menulis meninggalkan rasa kepuasan dalam diri sendiri.Timbul keinginan untuk menyampaikan mesej dalam bentuk penulisan dan ain sedar antara bidang ain minat adalah menjadi seorang penulis.Walaupun tidak mampu menghasilkan coretan dalam bentuk buku, cukup sekadar menulis di blog kerana ia mampu memberikan ketenangan dalam diri.SubhanAllah.

Ilmu tidak tinggi, namun ain usahakan berkongsi apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan kehidupan.Ain cuba menulis apa sahaja yang berkaitan dengan Allah SWT.Apa sahaja yang boleh membantu meningkatkan kekuatan dalam diri serta dapat memberikan manfaat pada yang lain, insyaAllah akan cuba dinurkilkan dalam penulisan.

Moga selama perkongsian ain di sini membantu sahabat yang lain, insyaAllah.Semua atas izin Allah SWT.

Sebagaimana sahabat sedia maklum, selain bergelar surirumah tangga, ain juga kini bekerja dari rumah.Alhamdulillah kini menjalankan bisnes secara talian sepenuh masa.Walaupun pernah membuka gerai jualan dan akhirnya tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab peribadi, ia sama sekali tidak mematahkan semangat dalam diri ini.

Melibatkan diri dalam bisnes bukanlah untuk meraih keuntungan atau populariti semata.Selain ingin memperbaiki taraf ekonomi dan membantu suami menambah pendapatan, bisnes juga adalah ladang untuk kita berdakwah menyampaikan mesej Islam.Maka perlu ada strategi, matlamat dan niat yang betul.Moga Allah redha dan moga Allah permudahkan segalanya, insyaAllah.

Rasanya cukuplah ringkasan soal bisnes.Cuma ingatan buat diri ini dan sahabat semua, agar tidak kiralah bekerja sendiri, atau mempunyai kerjaya dalam mana-mana institusi sekalipun, tanamkan tekad dan niat bekerja untuk Allah.Itu mesej ain cuba tekankan selalu.

Sepanjang tahun-tahun berlalu sejak kembali pada Islam, tak banyak diri ini dapat lakukan.Banyak lagi cabang ain perlu terokai dan ceburi.Bidang dakwah itu luas dan perlukan latihan berulang kali serta ilmu yang luas agar mesej Islam yang kita ingin cuba sampaikan jelas dan nyata.Soal kefahaman itu sampai atau tidak, serahkan pada Allah.Hanya Allah sahaja yang dapat membuka pintu hati seseorang hamba dalam mengenali pencipta NYA.

InsyaAllah sedang meneroka cabang baru, moga Allah permudahkan aamiin.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian



1 comment:

  1. Anis nak jugak jadi nurse tapi xberani :( Salam Ukhwah dari saya:)

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR