Sunday, March 17, 2013

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH 16 MAC 2013

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera sahabat semua.Semoga senantiasa dalam lindungan Allah SWT,aamiin.

Alhamdulillah berkesempatan untuk berblog lagi pada hari ini.Alhamdulillah semalam 16 Mac 2013, Allah memberikan kesempatan buat diri ini untuk mencari pengalaman dan mendapatkan ilmu baru apabila berpeluang juga akhirnya menghadiri Kursus Pengurusan Jenazah Siri 1 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.




Semasa masih tinggal di Melaka, sering ain ikuti perkembangan daripada rakan-rakan yang pernah menghadiri kursus ini dan sejak itu tanamkan hasrat untuk hadirkan diri suatu masa nanti.Alhamdulillah Allah permudahkan.

Soalan cepu emas yang sering ditanya apabila ain terhegeh-hegeh mencari ilmu atau menghadiri sebarang kursus sekiranya berkesempatan.Rasanya jawapan itu ada pada diri kita semua yang cintakan ilmu Allah.

Bagi diri ini selagi mana sesuatu ilmu itu berkaitan ilmu dunia dan akhirat, selagi mana ianya dapat mengingatkan diri ini pada Allah SWT, selagi mana sesuatu ilmu atau kursus yang diadakan itu bermanfaat buat diri ini, selain mendapat keizinan suami tersayang untuk teruskan belajar, maka selagi itu  tiada titik noktah buat diri ini untuk berhenti mencari ilmu.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar.
Segala Puji Bagi Allah atas izin NYA dan kekuasaan NYA.

Seperti biasa pagi berkenaan 16 Mac 2013, jatuh pada hari Sabtu dan suami bekerja pada hari semalam.Kami bersiap-siap sesudah Subuh dan seperti dijanjikan suami ingin menghantar ain sendiri ke kursus berkenaan yang terletak di Masjid Negeri Shah Alam iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan menaiki motosikal.

Perjalanan dari kediaman yang kami duduki buat sementara waktu ini ke masjid berkenaan mengambil masa kira-kira 30minit perjalanan.Semoga ada pahala/ganjaran menanti buat suamiku yang telah bersusah-payah menghantar dan memberikan kata-kata semangat buat diri ini walaupun beliau tidak dapat hadir bersama.

Proses pendaftaran bermula kira-kira pada jam 8.15am dan setiap peserta dibekalkan dengan satu fail nota sebagai rujukkan kami sepanjang kursus berlangsung.Ain tidak keseorangan kerana ada sahabat yang hanya dikenali melalui alam maya turut serta hadirkan diri dalam kursus berkenaan.Sahabat ini jauh lebih muda bernama Khadijah, usia sekitar 19tahun.Adik Khadijah turut hadir bersama rakan baik sekolahnya yang bernama Adira.Alhamdulillah.

Kursus berkenaan dihadiri sekitar 150-200 orang peserta terdiri daripada lelaki dan juga wanita.Mereka terdiri daripada golongan pelajar, professional mahupun suri rumahtangga. SubhanAllah.

Setelah selesai proses pendaftaran, para peserta dijemput untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembelajaran.

Kursus bermula kira-kira pada jam 9am dengan sesi teori pada sebelah paginya.Antara penceramah yang bertugas dalam kursus ini adalah UStaz Sahruddin Samsuddin dan Ustaz Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri.




Sesi teori dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu:

1) PERSIAPAN PENGURUSAN JENAZAH BIASA DAN KRITIKAL
2) FIQH DAN PERMASALAHAN JENAZAH BIASA DAN KRITIKAL

PAda sesi permulaan, para peserta diterangkan berkenaan keperluan kelengkapan dalam persediaan memandikan jenazah oleh Ustaz Sahruddin Samsuddin.

Turut disertakan ayat-ayat suci Al-Quran serta hadis berkaitan untuk mengukuhkan kefahaman, insyaAllah.

Proses penerangan berkenaan kelengkapan dan persediaan mengambil masa kira-kira 1-1 1/2 jam.Sesi soal jawab juga diselitkan.

Setelah itu sesi diteruskan oleh Ustaz Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri.Tajuk yang dibincangkan adalah berkenaan isu Fikah dan permasalahan pengurusan jenazah biasa dan kritikal.

Ustaz Dr. Zulkifli turut memberi nasihat kepada para peserta berkenaan soal mengingati mati.

Adalah sunat bagi setiap orang muslim dalam mengingati mati seperti sabda Rasulullah SAW:

"Banyakkanlah mengingati perkara yang menghancurkan kelazatan."

[Riwayat Hibban (2559) ]

Ustaz Dr Zulkifli turut berpesan, sunat untuk kita bersedia dalam menghadapi kematian, iaitu dengan cara bertaubat dan sentiasa berusaha taat kepada perintah Allah SWT serta menjauhi kemungkaran tidak kira berapa pun usia kita sekarang ini.

Ajal maut adalah di luar bidang pengetahuan kita.Hanya Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui ajal maut dan pengakhiran seseorang itu.

Kebanyakkan daripada kita, termasuk diri ini sedar bahawa ajal kita akan berlaku pada bila-bila masa.Namun sejauh mana kesungguhan kita dalam mengerjakan ketaatan dan mengelak dari melakukan kemungkaran pada Allah SWT.

Banyakkan berfikir tentang mati, banyakkanlah persediaan berkenaan mati, nescaya kita tidak akan mempunyai masa untuk berfikir perihal orang lain.

Berdoalah agar kita mati dalam keadaan pengakhiran yang baik dan dapat mengucap kalimah syahadah.

Antara perkara penting yang Ustaz Dr. Zulkifli cuba tekankan pada kami para peserta, iaitu kepentingan dan tuntutan yang perlu dilakukan saat seseorang itu dalam keadaan nazak atau sakratul maut.

  1. Apabila kelihatan tanda-tanda seseorang itu sedang melalui sakratul maut[nazak], ahli keluarga atau orang berdekatan disunatkan membaringkannya dalam keadaan mengiring ke kanan menghadap kiblat termasuklah kakinya juga disunatkan menghadap kiblat. Jika tidak boleh, cukuplah sekadar meninggikan bahagian kepala dan arahkan mukanya mengadap kiblat.
  2. Disunatkan mengajarnya kalimah syahadah, iaitu dengan cara lembut dan tidak mendesak. Kita hanya perlu mengulang-ulang kalimah tersebut di telinganya tanpa disuruh atau dipaksa melafazkannya kecuali dengan kemampuannya sendiri. Ini berdasarkan hadith :
"Ajarlah orang yang hampir mati dikalangan kamu kalimah LA ILAHA ILLALLAH "

[Riwayat Muslim (916&917) ]

   3. Disunatkan membaca surah Yasin disisinya. Ini berdasarkan hadith :

"Bacalah Surah YAsin kepada orang yang hampir mati dikalangan kamu."

[Riwayat Abu Daud (3121) hadith sahih]

   4. Disunatkan bagi si pesakit itu agar berbaik sangka pada Allah SWT saat merasai tanda-tanda kematian. Ahli keluarga dinasihatkan untuk membimbing dan membantu. Ini seperti mana dinyatakan :

"Aku mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. "

[Hadith Qudsi Riwayat Al-Bukhari]

Perkara penting  yang ain dan para peserta pelajari adalah, walaupun atau sekiranya kita tidak mampu memandikan jenazah, dan sekiranya ada anggota keluarga kita berlaku kematian, kita turut memainkan peranan dalam beberapa perkara.

Antara perkara Sunat yang perlu dilakukan oleh keluarga jenazah kepada seseorang yang mati dan telah keluar rohnya adalah :
  1. Menutup kedua belah matanya dan mengikat dagu agar mulutnya tidak terbuka.Seperti dalam  hadith :
""Rasulullah SAW menziarahi jenazah Abu Salamah RA yang matanya terbuka.Lalu baginda memejamkannya. "

[Riwayat Muslim (920) ]

Baru kini ain faham kenapa pernah satu ketika ain menziarahi keluarga jenazah dan melihat 2 keping syiling diletakkan di bahagian mata jenazah.Ini bertujuan membantu menutup mata jenazah.

   2. Melembutkan anggota sendi badan jenazah.Ahli keluarga jenazah disunatkan melakukan urutan/senaman ringan pada anggota badan jenazah bagi mengelak anggota badannya menjadi keras/kaku. Ini bagi memudahkan pihak atau tukang mandi jenazah memandikannya dengan sempurna.

   3. Meletakkan sesuatu yang berat misalnya bantal/selimut tebal di atas perutnya agar tidak kembung. Ini juga bertujuan mengelak terlalu banyak bunyi angin dihasilkan ketika proses memandikan jenazah..

   4. Ahli keluarga jenazah boleh membantu dan disunatkan menanggalkan pakaian dan barang kemas jenazah jika ada dan menutup seluruh anggota tubuhnya dengan kain nipis. Selain itu letakkan jenazah di tempat yang tinggi serta menghadap kiblat sebagaimana dilakukan ketika sedang nazak. 

Perkara WAJIB yang perlu kita yang masih hidup ini lakukan kepada si mati/jenazah adalah dalam urusan menguruskan jenazah dari segi 
  • memandikan
  • mengkafankan,
  • solat dan 
  • mengkebumikannya
Ulama Islam telah sepakat menyatakan keempat-empat hukum ini adalah fardhu kifayah buat kita semua umat Islam sepanjang berada di tempat berlakunya kematian.

Jika tiada seorang pun yang mampu melaksanakan tugas tersebut, maka berdosalah kesemuanya.

Berkenaan cara pelaksanaan memandikan mayat tak perlulah ain huraikan di sini kerana perlu untuk dipraktikkan sendiri dan mendapat latihan daripada mereka yang bertauliah.InsyaAllah semakin lebih kefahaman berkenaannya.

Untuk mayat lelaki wajib dimandikan oleh orang lelaki dan mayat perempuan wajib dimandikan oleh orang perempuan.Selain itu adalah HARUS bagi lelaki iaitu suami memandikan mayat isterinya dan isteri pula memandikan mayat suaminya.

Ini bertujuan untuk menyimpan aib si mati dan ahli keluarga terdekat adalah sebaik-baiknya menguruskan soal mandi jenazah.

Perkara penting sebagai seorang Tukang Mandi jenazah adalah sikap amanah iaitu tidak menceritakan keburukan atau aib si mati.

Di sini ain sertakan beberapa foto yang sempat diambil pada sesi petang iaitu sesi praktikal untuk pedoman dan ingatan :


Para peserta sedang membuat ukuran kain putih yang bakal digunakan sebelum dipotong.



Kain putih yang telah diukur kini dipotong untuk dibahagikan kepada beberapa bahagian.



Fasilator bertugas yang membantu memantau sepanjang kelas praktikal.



Contoh jahitan tudun telekung



Kain yang akan digunakan sebagai cawat



Para peserta kelihatan seronok dan khusyuk sepanjang sesi praktikal



Kapas juga diperlukan





Bahagian baju yang akan digunakan untuk menutup jenazah



Kak Nor, peserta yang sudi menjadi model







5 utas tali diperlukan untuk kapankan jenazah



Sempat bergambar kenangan sesudah selesai



Syukran yea adik Khadijah, Adira



Suasana perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah sekitar selesai solat Maghrib.

Buat makluman sahabat, kursus berakhir sekitar jam 4.30petang, namun ain berada di sini sehingga selesai solat Isyak . Menunggu kehadiran suami tersayang untuk menjemput ain pulang.

Namun, ada hikmahnya ain perlu menunggu lama di masjid hingga lewat malam. Sesudah selesai solat Isyak, tanpa disangka-sangka Imam masjid memaklumkan ada jenazah yang akan disolatkan pada ketika itu.

SubhanAllah Allahuakhbar.Tergamam ain seketika, terduduk hingga tidak mampu berfikir ketika itu.

Buat makluman sahabat semasa sesi teori kursus pagi itu, Ustaz Sahruddin ada memaklumkan bahawa wanita juga digalakkan untuk turut serta solat jenazah di belakang saf jemaah lelaki. Jika tidak pasti caranya, cukuplah dengan niat 

"Sahaja aku solat ke atas mayat [lelaki/wanita] 4 takbir mengikut imam/menjadi imam kerana Allah ta'ala. "

Ini adalah kali pertama ain melihat suasana solat jenazah dan ain benar-benar terpaku hingga tidak mampu untuk turut serta sedangkan baru saja siang tadi diterangkan caranya.

Walaupun ianya adalah sunat, namun ain berasa begitu lemah ketika itu.Hanya mampu melihat dan berdoa bersama para jemaah dan juga hadirin lain yang tidak turut serta ketika itu. Allahuakhbar.

Betapa besarnya kuasa Allah, setiap sesuatu yang diaturkan itu ada sebab dan ada hikmahnya.Allah izinkan ain hadirkan diri pada kursus kali ini sebagai pendedahan buat diri ini agar tidak sesekali bersikap tidak endah akan soal kematian dan dalam soal pengurusan mayat/jenazah.

Mengingatkan diri ini bahawa ajal bakal menjemput pada bila-bila masa pada masa dan tempat yang telah ditentukan Allah SWT. Sebagai hamba , sepatutnya kita sentiasa bersedia dan mengingati mati.

Secara peribadi, ain belum mampu untuk uruskan jenazah secara sendiri dan masih perlukan didikan dan bimbingan.InsyaAllah jika ada peluang hadirkan diri pada kursus lain atau berkesempatan menghadiri mana-mana kematian, akan cuba libatkan diri dalam proses daripada memandikan, mengkafankan dan pengebumian.

Kursus ini membantu mendedahkan ain dalam suasana pengurusan jenazah kerana ini adalah kali pertama ain melaluinya walau sudah 2 kali menziarahi keluarga jenazah sebelum ini.Dengan ilmu yang cetek ini sekurang-kurangnya sebagai persediaan buat diri ini jika perlu melibatkan diri dan sama-sama membantu meringankan beban keluarga si mati. InsyaAllah.

Seperkara ain ingin tambah, bagi tukang mandi jenazah itu sendiri mungkin pada pandangan mata kasar kelihatan mudah pekerjaan yang dilakukan.Namun setelah melalui semua proses sepanjang kursus ini barulah ain sedar betapa mulianya tugas seorang tukang mandi jenazah.

Walaupun mereka mendapat upah dari pihak masjid atau siapapun, namun sebagai  orang awam kita sepatutnya menghargai peranan dan tugas seorang tukang mandi jenazah.Kerana mereka, tuntutan fardhu kifayah dipenuhi.


Ingatan daripada seorang sahabat :

"ingatLAH wahai hamba ALLAH .. 
sekaya mana pun kita.. 
secantik mana pun kita.. 
sehebat mana pun kita ... 
akhirnya kain kapan juga yang akan kita pakai untuk menghadap illahi .. 
namun bersediakah kita?? 
adakah kita layak untuk mencium syurga ALLAH .. 
namun sanggupkah kita hadapi seksa NERAKA?? 
muhasabahkan diri .. ingat !! 
bahawa mati tidak akan menunggu kita untuk bersedia .."

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian 



5 comments:

  1. Alhamdulillah. Byk pengalaman sis ain.... Tq kerana sudi share. Sebenarnya jika d mekah, kita berpeluang utk solat jenazah setiap kali selesai solat fardu... Alhamdulillah... Saya sendiri dpt buat... Mula2nya kita tengok jer.. Lama2 dtg minat utk buat sendiri... Pahala solat jenazah di ibarat kan sebanyak mana bukit uhud yg panjang.... Wallahhualam... Jika salah salah, tlg perbetulkan.......

    ReplyDelete
  2. wa'alaikumussalam :D
    SubhanAllah, syukran yea atas perkongsian :..salam Perkenalan..

    ReplyDelete
  3. Salam.boleh sy tahu di mn saudari dptkan perkhidmatan krusus jenazah ni?

    ReplyDelete
  4. Macam mana ya nak register. sbb pergi ke laman web, tak ade pulak pautan untuk register

    ReplyDelete
  5. Bismillahirrahmanirrahim.
    Assalamualaikum sahabat semua.Mohon maaf kerana lambat beri maklum balas.

    Baiklah untuk kursus pengurusan jenazah ni ain dapat info dari pihak jawatankuasa Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor.

    Sahabat boleh dapatkan info di website masjid ini.Hanya perlu buat panggilan dan buat pertanyaan bilakah tarikh program yang seterusnya ye.

    InsyaAllah pihak masjid akan membantu.

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR