Tuesday, April 2, 2013

KEMANISAN BERHIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat dikasihi sekalian.Salam Perjuangan, salam penuh rahmah buat semua.Semoga senantiasa dalam lindungan Allah SWT, aamiin.

InsyaAllah jika masih ada umur, kira-kira 4 hari saja lagi genaplah ain mengenakan purdah/niqab selama 2 tahun.

Mengenali ISlam sekitar usia 7-9 tahun, kembali pada Islam di ketika usia baru menginjak 18 tahun,  bergelar isteri di ketika usia 21 tahun, dan kini bekerjaya dari rumah sambil menguruskan urusan rumah tangga sejak tahun 2011.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar!

Indahnya aturan Allah SWT.Detik demi detik berlalu, dan begitu banyak perkara dilalui hingga saat ini. Kisah suka duka, pahit manis kehidupan senantiasa mewarnai kehidupan ini.Maha Suci Allah atas segalanya.






Sekadar perkongsian buat pedoman bersama, semoga memberi manfaat buat diri ini dan sahabat semua.

Di awal kembali pada Islam, diri ini akui agak terkapai-kapai dalam mencari cinta Allah. Agak goyah dan mudah terluka tatkala ada perkara yang mengusik perasaan ini.Jiwa ini begitu rapuh dan seakan lemah hingga tak mampu untuk bangkit kembali.

Indahnya tarbiah dari Allah SWT.Allah mengajar diri ini erti berdikari dan bergantung harap sepenuhnya segala pengharapan pada Allah SWT.Semakin bertambah usia semakin diri ini sedar ada hikmah disebalik segala yang pernah terjadi di awal ain kembali pada Islam.Alhamdulillah.

Sewaktu usia sekitar 24-27 tahun, diri ini mulai sedar banyak perkara dikejar namun akhirnya diri ini makin jauh dari Allah SWT.Sepanjang 3 tahun itu, diri ini cuba perbaiki kelemahan dan kekurangan.Muhasabah segala kebodohan dan kekhilafan diri.Adakala jatuh namun dikuatkan diri agar bangkit dari kelemahan.

Kemuncak diri ini tersedar dari lamunan mimpi adalah pada tahun 2010, kira-kira beberapa bulan sahaja lagi sebelum Ramadhan.Episod kehidupan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran diri.Pelbagai episod duka menjengah laman kehidupan diri ini.

Pernah terdetik di hati, "mampukah aku lalui semua ini", "masih ada tempatkah aku di dunia ini", "layakkah diri ini untuk berubah" ??? 

Pelbagai persoalan bermain di minda ketika itu.Rasa ingin membawa diri jauh dari dunia ini, pergilah ke mana sahaja asalkan jiwa ini tenang dan tak perlu risau memikirkan persoalan duniawi yang takkan pernah habis.

Namun digagahkan diri ini menadah tangan pada NYA memohon petunjuk dan kebenaran agar diri ini tidak sesat selama-lamanya.Berserah diri pada Allah SWT.

SubhanAllah Alhamdulillah, episod kehidupan inilah yang membuatkan ain belajar erti berserah diri, bertawakal pada Yang Maha Kuasa, Allah. Saat ini diri mulai sedar jangan taksub dengan godaan dunia yang penuh penipuan kerana akhirnya di 'sana' kelak kita akan disoal dan belum tentu kita dapat menjawabnya di hadapan Allah SWT.

Dari situ, diri ini melangkah mengenal diri sendiri, mengenal insan-insan yang menyayangi dan mengambil berat akan diri ini, mengenal Allah.Sesungguhnya saat indah itu takkan ain lupakan hingga kini.

Satu demi satu Allah tunjukkan pada diri ini hingga membawa detik di mana Allah gerakkan untuk ain berhijrah ke tahap seterusnya, iaitu berniqab.

Purdah/Niqab adalah suatu perkara yang tak pernah singgah dalam fikiran ini. Perasaan ingin tahu hadir dan semakin hari semakin berusaha ke arah itu.Dalam pada masa yang sama suami juga tahu hasrat ini malah menggalakkan.

Timbul persoalan sama ada untuk teruskan niat ini atau tidak.Seperti biasa, sebagai hamba Allah pasti kita meminta petunjuk dan hidayah dalam melakukan sebarang perkara dalam kehidupan ini.Muhasabah diri ini lagi dan lagi, mengenal diri dan mengetahui matlamat akhir kehidupan ini.Apa kita mahu dalam kehidupan ini.Semua itu akhirnya memberikan jawapan.

Alhamdulillah Allah "hadiahkan" petunjuk yang walau agak samar namun setelah itu segalanya terjadi tanpa disedari.Semuanya berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah.Dan pada tarikh 6 April 2011 adalah tarikh ain mula berniqab dan menutup aurat sepenuhnya. Alhamdulillah.

Namun itu bukanlah tarikh atau noktah dalam pencarian mencari redha Allah SWT.Masih banyak ranjau perlu dilalui, masih banyak perkara perlu dilalui dan diperbaiki hari demi hari.

Buat sahabat yang berkali-kali bertanyakan soalan yang sama berkenaan bagaiana untuk berhijrah, bagaimana nak mula dan apa perlu dilakukan andai dicemuh atau dihina...ini jawapan ringkas ain.

Sentiasa jelas dengan niat dan matlamat dalam berhijrah untuk Allah SWT.Apabila kita faham tujuan dan dengan niat yang betul, insyaAllah apa sahaja dugaan/godaan yang tiba Allah akan permudahkan. Tidak timbul rasa risau dengan cemuhan sekeliling atau rasa rendah diri.

Setiap sesuatu itu pasti ada halangannya dan jadikan halangan itu sebagai kekuatan diri untuk terus berusaha menerima ujian/tarbiah dari Allah SWT.Dalam Al-Quran juga ada disebutkan, seseorang itu takkan dikatakan beriman selagi dirinya tidak diuji.

Maka, terimalah dengan hati terbuka kerana Allah ingin lihat sejauh mana keikhlasan dan niat kita dalam sesuatu amal ibadah yang kita lakukan.

Setiap daripada kita pasti pernah merasa tersisih, pasti pernah merasakan diperalatkan, atau rasakan diri tidak bererti pada yang lain.Seakan-akan kita tak pernah wujud sama sekali.

PEDULIKAN itu semua.THINK POSITIVE.Usah dilayan perasaan itu.Bergembiralah kerana sebenarnya Allah inginkan kita bermunajat pada NYA.Allah inginkan kita merintih pada NYA sebanyak-banyak yang mungkin.Allah ingin kita belajar erti pergantungan sebenar-benarnya pada Allah SWT dalam sebarang situasi atau keadaan.

Itulah yang ain belajar dan belajar lagi dalam kehidupan ini.Setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan ini ada hikmahnya dan semuanya dalam rahsia Allah SWT.Allah dah aturkan kebaikkan disebalik segala yang terjadi.Maka bersabarlah yea sahabat.

Apa ain coretkan ini adalah ingatan buat diri ini juga.Ain pasti setiap daripada kita ada ujian yang sedang melanda diri dan setiap daripada kita tidak terlepas dari ujian.Kita adalah hamba.Maka sebagai hamba, bersabarlah dalam ujian yang diberikan.

Bangkitlah dari kelemahan, sedarlah dari mimpi yang boleh saja merosakkan.

Kita adalah Apa Kita Fikir, Kita adalah Apa Kita Rasa, Kita adalah Apa Kita Cakap, Kita adalah Apa Kita Buat/Bertindak.. itu semua adalah DOA.

Maka bersangka baiklah selalu dalam setiap aturan Allah SWT.Bersangka baiklah agar segala perkara yang baik-baik berlaku dalam kehidupan kita.

InsyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita dunia akhirat.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian






No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR