Tuesday, April 30, 2013

PERKONGSIAN KERJAYA DARI RUMAH


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat semua.Semoga senantiasa dalam lindungan Allah SWT.

Di sini ain ingin kongsikan coretan buat sahabat sekalian yang pernah bertanyakan pada ain kenapa dan bagaimana memulakan langkah bekerjaya dari rumah.

InsyaAllah moga apa ain kongsikan ini membantu sahabat yang tertanya-tanya sebelum ini.



Kepakaran ain adalah dalam memasarkan abaya dari Timur Tengah yang bermutu dan berkualiti tinggi serta mampu milik selain memenuhi keperluan syariat wanita Islam dalam berpakaian.

Turut menyediakan konsultansi percuma buat pelanggan lama dan baru sebelum melakukan sebarang jual-beli di kedai alam maya.Penting dalam memastikan kepuasan dan keselesaan para pelanggang terjamin.

Bisnes ini dijalankan secara alam maya [online bisnes] bermula sejak April 2011 dengan bermodalkan sebuah laptop kecil dan talian internet dengan sewa bulanan RM68-RM98 sebulan.

Mempunyai kerjaya tetap sebagai seorang jururawat berdaftar sebelum ini di salah sebuah hospital swasta, namun mengambil keputusan menguruskan rumahtangga sepenuh masa sejak 2011. Keputusan diambil berikutan ingin meluangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga serta memperbaiki kekurangan yang ada.

Menyedari mempunyai masa yang agak lapang, maka terdetik untuk memulakan perniagaan dari rumah dengan kos yang paling minima selain ingin membantu meringankan beban suami tersayang.

Memandangkan diri ini cenderung dan minat memakai abaya, iaitu pakaian yang biasa dipakai oleh wanita di Timur Tengah, maka bermulalah pencarian dan detik permulaan mengalihkan minat kepada bisnes.

Bermula sebagai agen dropship dalam memulakan langkah di alam maya.Sebagai agen, tugas ain adalah mempromosikan, memasarkan dan mengambil tempahan daripada para pelanggan.Setelah bayaran dan maklumat pelanggan diterima, tempahan akan dimaklumkan kepada pihak pembekal untuk urusan seterusnya.

Kelebihan sebagai agen dropship adalah kita tidak perlu mempunyai simpanan stok atau modal permulaan dalam perniagaan.Kita hanya bertindak melaksanakan tugas sebagai agen dan pendapatan kita bergantung kepada jumlah jualan.Komisen yang diberikan adalah mengikut syarat dan persetujuan yang ditetapkan pihak pembekal.

Beberapa bulan pertama perniagaan, adalah tempoh di mana kesabaran dan daya mental/fizikal kita diuji. Secara peribadi, keuntungan bukanlah matlamat utama kerana jika ain hanya fokus pada keuntungan sudah pasti tidak akan bertahan lama.

Kenapa? Kerana dengan hanya menjadi agen dropship dalam keadaan orang ramai masih belum mempunyai keyakinan dan masih belum benar-benar mengenali bisnes kita, pendapatan bulanan berdasarkan komisen jualan amatlah rendah sekitar RM50-RM100 sebulan.

Bagi anda yang pernah mempunyai pendapatan tetap sebelum ini yang mungkin mencecah RM1000-RM2000 sebulan pasti rasa tercabar dan merasakan ianya tidak berbaloi untuk diteruskan.Maka, usah fokus pada jumlah keuntungan di awal permulaan perniagaan.

Apabila melibatkan diri dalam perniagaan, fokus utama di awal perniagaan adalah dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan baru dan memasarkan produk kita pada masyarakat.Fokus dalam mempromosikan perniagaan dan bukannya menjual. Apabila kita hanya fokus pada jualan semata-mata, pelanggan atau bakal pelanggan akan mudah bosan.

Bertindak dengan mempromosikan perniagaan agar semakin dikenali dan tahap keyakinan para pelanggan terhadap produk yang dijual semakin bertambah, insyaAllah.

Dalam meraih kepercayaan pelanggan, kita bukan hanya peniaga tetapi perlu bertindak sebagai seorang sahabat yang setia.Bagaimana? Bertindaklah menjadi seorang pendengar yang setia, jujur dalam memberi pandangan dan nasihat serta wujudkan ukhuwah yang erat daripada pelanggan kepada sahabat kerana Allah ta'ala.

Setelah setahun menjalankan urusan perniagaan secara alam maya wujud permintaan daripada para pelanggan yang ingin melihat sendiri koleksi abaya dan golongan ini kebanyakkannya lebih berminat melihat sendiri sebelum membeli.

Maka pada Julai 2012, ain memulakan langkah memberanikan diri membuat jualan di karnival atau sebarang program kebajikkan.Karnival IKIMFM adalah usaha pertama ain memperkenalkan produk jualan ain iaitu abaya pada masyarakat umum.

SubhanAllah Alhamdulillah percubaan pertama menampakkan hasil walaupun jualan tidaklah sehebat mana, namun ain dapati masyarakat umum masih ramai lagi belum mengenali apa itu abaya dan daripada perbualan ringkas bersama mereka, terdapat permintaan untuk mendapatkan pakaian yang labuh dan longgar terutama dari Timur Tengah.

Bagi ain dan mereka yang sudah biasa mengenakan abaya dapat membezakan kelebihan mengenakan abaya berbanding jubah tempatan.Materialnya yang berkualiti dan sesuai dipakai dalam cuaca tempatan antara daya penarik buat wanita Muslimah.

Jika dahulu bermula sebagai agen, ain mula memberanikan diri menyediakan stok jualan dan modal permulaan ketika itu adalah melalui ehsan suami yang melihat kesungguhan ain dalam menjalankan bisnes ini.

Alhamdulillah perniagaan semakin berkembang dan jumlah pelanggan baru bertambah sehari demi sehari.Sokongan dan kepercayaan yang diperoleh daripada para pelanggan adalah suatu kepuasan yang sukar diungkapkan melalui kata-kata.

Jika dahulu hasil jualan sebagai agen hanya sekitar RM50-RM100 sebulan, kini jualan mencecah RM500-RM1000 sebulan. Ia termasuk komisen dan keuntungan jualan dari stok simpanan sendiri.

Dari hasil simpanan keuntungan bulanan itu, ain membuat simpanan kecil dan bercita-cita untuk membuka gerai jualan tetap. Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka gerai jualan kami yang pertama iaitu di Shah Alam.

Secara ringkas, usaha kami yang pertama untuk mempunyai tapak jualan sendiri tidak berhasil dengan jayanya. Hanya mampu bertahan selama 3 bulan dan keadaan ketika itu sememangnya suatu perkara yang amat memberikan tekanan dan perasaan rendah diri mula mencengkam kami ketika itu.

Setelah sebulan berlalu, ain kembali semula bersemangat dan muhasabah diri akan kekurangan dan kesilapan yang telah berlalu.Setelah mencongak, ain dapati kelemahan kami adalah dalam pengurusan modal kewangan dan tahap ekonomi kami ketika ini masih belum mampu untuk mempunyai gerai jualan tetap.

Maka kini ain fokus kembali kepada pemasaran dan penambahan stok jualan melalui alam maya.Walaupun terdapat permintaan daripada sebahagian besar para pelanggan yang ingin ain bergerak aktif dengan mempunyai gerai jualan sendiri, namun usaha ke arah itu masih perlu dipertingkatkan lagi.

Mengimbas kembali waktu ain memulakan perniagaan alam maya iaitu bekerja dari rumah adalah semata-mata mengisi masa lapang dan sekadar ingin membantu meringankan beban kewangan suami.

Kini fokus dan matlamat ain lebih besar iaitu ingin menyediakan lebih banyak pilihan kepada wanita Islam masa kini untuk tampil sopan dan besederhana serta yakin dengan berpakaian labuh yang boleh menutup aurat dengan sempurna.Matlamat ain adalah ingin memberikan kesedaran dan kefahaman bahawa pakaian taqwa itu adalah yang terbaik dan antara kewajipan yang dituntut oleh seorang wanita Islam.

Untuk bertahan lama dalam bisnes, tidak kiralah apa jua produk yang kita ingin pasarkan, ILMU sangat-sangat penting.Tanpa ILMU yang betul dan tanpa pengisian yang betul , tahap bisnes kita takkan sampai ke tahap yang kita inginkan. Itu antara kelemahan yang ain baru sedari dan ingin ain tekankan dan nasihatkn bukan hanya pada diri sendiri tetapi sahabat semua, jangan berhenti mencari ilmu.

Walau anda hanya menjual kerepek pisang sekalipun, jika tiada ilmu berkaitan perniagaan, maka jualan anda hanya sekadar 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Antara seminar yang boleh anda ikuti adalah seminar yang berkaitan dengan pemasaran di alam maya seperti FB Marketing oleh Bryan Gan, Internet Marketing oleh saudara Irfan Khairi dan Marketing Power oleh Dr Azizan Osman dan Abang Abu yang arif soal ILMU pengurusan kewangan.

Fokus kepada matlamat jangka pendek dan jangka panjang.Set matlamat apa yang kita ingin capai dalam masa terdekat ini dan set matlamat apa kita ingin capai dalam masa 5 tahun atau 10 tahun akan datang.Perlu ada target masa dalam sesuatu matlamat itu agar kita tidak hilang fokus atau momentum diri.

Matlamat ain dalam masa terdekat ini adalah untuk mengadakan butik jualan dari rumah dan ini memberikan peluang buat mereka yang ingin mengenali apa itu abaya untuk datang dan lihat sendiri serta mencubanya di depan mata.Ini merupakan salah satu cara pemasaran, di mana kita dapat mendekatkan diri dengan para pelanggan dan dalam masa yang sama mereka juga mengenali siapa diri kita.

Untuk jangka masa panjang, ain ingin fokus dalam melibatkan diri dalam masyarakat dengan lebih terbuka iaitu dalam penglibatan sosial masyarakat. Cara ini dapat membuka minda ain dan memberikan pengalaman baru kerana ini dapat membuatkan ain lebih berfikir apa lagi ain boleh lakukan sebagai seorang wanita Islam dalam menyumbangkan sesuatu untuk agama.Malah kita sebenarnya boleh menjadi 'model bergerak' untuk perniagaan kita!

Bagi sahabat yang bergelar suri rumah tangga atau yang masih lagi bekerja namun mempunyai keinginan yang tinggi bekerja dari rumah, maka mulakan tindakkan. Jika modal menjadi kekangan, maka mulakan perniagaan tanpa sebarang modal sekalipun.Namun jika fokus bisnes melalui alam maya, maka anda perlu mempunyai 2 aset penting sahaja. Laptop sebagai tempat bekerja, dan talian internet sekitar RM100 ke bawah sebulan sahaja diperlukan. Anggaplah sewa kedai anda semurah RM100 untuk mula berniaga dari rumah. Lebih jimat dan berbaloi dari memiliki gerai/kedai jualan yang sewanya mencecah RM1000-RM3000 sebulan!

Menarik bukan!

Kelebihan menjalankan perniagaan dari rumah dan melalui hujung jari adalah masa kita lebih flexible dan tidak terikat dengan sesiapa.Maka di sini disiplin diri juga penting dalam memastikan masa kita menguruskan perniagaan kecil ini dan urusan rumahtangga tidak terabai sama sekali.

Bahagikan masa untuk beribadah, bahagikan masa untuk urusan anak-anak dan suami, bahagikan masa untuk urusan bisnes dan bahagikan juga masa untuk diri sendiri.Perlu ada masa untuk rehatkan diri agar tahap motivasi dan momentum kita untuk bekerja sentiasa positif dan kekal bersemangat.

Jadikan Allah, niatkan Allah dalam segala pekerjaan atau perbuatan harian agar segala pekerjaan kita dipermudahkan hari itu dan hari-hari yang lain, insyaAllah.

Siapa mentor ain dalam bisnes ?

Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT yang boleh kita jadikan contoh dan ikutan.Selami dan kenali salasiah kehidupan Rasulullah SAW. InsyaAllah melalui kefahaman dan pembelajaran itu, kita akan semakin kuat dan semakin yakin dalam segala urusan kehidupan, malah bisnes sekalipun.Terapkan akhlak keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan kita.

InsyaAllah kita berjaya dunia dan berjaya di akhirat, aamiin!

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian 

3 comments:

  1. Salam Ain. Tq for sharing info yang insyaAllah akan menjadi pembakar semangat kepada saya yang baru nak bermula berniaga. Doakan ye. Kalau sudi singgah my blog Hikmah menjadi seorang SAHM

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ain..best baca blog ain..ada kata2 motivasi..:-) in sha Allah..smg sama2 kita berjaya dlm berniaga online.. Jika sudi layari jg blog sy ya : http://www.perfectshapebody.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum ain...
    Tahniah atas kejayaan dan terima kasih atas perkongsian yang bermafaat...point yg ain ckp jgn fokuskan kpd keuntungan semata-mata membuatkan sy tersedar seketika dan poit seimbangkan masa untuk ibadah, keluarga amat menarik perhatian sy...kalau ain tak keberatan boleh tak ain emel atau buat perkongsian teantang jadual harian ain di rumah...sbb sy bekerja tetap, blk rumah bila dh pegang internet...berenti untuk masak untuk suami dan anak dan solat shj...dah kurang mengaji, dgr rancangan agama di tv....mohon pandangan dan perkongsian dari ain..

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR