Saturday, May 18, 2013

PENGALAMAN MENGAJAR ERTI SYUKUR




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat setiap blog Nur.

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT atas izin dan limpah kurnia NYA diberikan kesempatan dan kelapangan untuk hadirkan diri ke kuliah pada hari ini.

Hari ini merupakan sesi sambungan dari kuliah sebelum ini berkenaan Aqidah.Hari juga merupakan sesi akhir bagi modul ini.

Berkesempatan mengambil foto kenangan bersama sebahagian muslim revert bersama dengan tenaga pengajar Dr.Amilah Awang Abd Rahman [bertudung oren] memandangkan hari ini adalah sesi terakhir bagi modul berkenaan.

Alhamdulillah, sangat seronok hari ini bertemu sahabat baru, belajar perkara baru, berkongsi pengalaman daripada muslim revert yang lain.Pengalaman yang adakala menyentuh perasaan ini.





Coretan ini bukan sekadar ingin berkongsi foto semata-mata.Beberapa kisah muslim revert yang ain baru kenali menyentuh perasaan ini dan menyedarkan ain betapa bertuahnya diri ini.Betapa beruntungnya diri ini kerana sejak sebelum hingga selepas Islam, Allah hanya berikan ujian kecil pada diri ini.SubhanAllah Alhamdulillah.

Namun tidak semua akan melalui pengalaman yang sama.Salah seorang muslim revert yang ain kenali sebagai sister R, seorang muslim revert sejak 2-3 tahun yang lalu, seorang ibu tunggal kepada 4 orang anak, mengalami tentangan hebat daripada keluarga mahupun bekas suaminya sendiri.

Memilih kembali pada Islam, memilih kembali pada Allah merupakan kekuatan buat beliau memilih jalan yang diredhai ini walau menyedari perkahwinannya perlu dikorbankan.Memilih untuk beriman kepada Allah dan bersedia mengorbankan apa yang pernah dimilikinya sebelum ini.

SubhanAllah, mendengar kisahnya ain sedar bahawa belum tentu ain mampu lalui perkara yang sama.Antara sebuah perkahwinan atau akidah.

Sister R berkongsi pengalaman beliau yang perlu turun naik ke mahkamah mempertahankan hak penjagaan keempat-empat anaknya dan dalam masa yang sama berusaha keras mendalami ilmu agama.Punca pendapatan yang tidak tetap dan hanya bergantung kepada komisen semata-mata seperti menjalankan 'survey' untuk beberapa organisasi selain menerima zakat yang bagi ain tidak mencukupi membuatkan ain terkedu, tergamam dengan ketabahan beliau.Hingga kini beliau masih lagi mendapat tentangan daripada keluarga mahupun bekas mentua serta bekas suami walau secara bertulis beliau sudah memiliki hak penjagaan terhadap semua anaknya.

Seorang lagi muslim revert ain hanya nyatakan sebagai Sister Z, masih belum berkahwin juga mengalami kehidupan dipinggirkan keluarga sendiri.Namun, luahan hati sister Z juga menyentuh perasaan ini. Beliau merasa terpinggir dalam masyarakat Islam amnya. Mungkin kerana penampilan beliau atau mungkin kerana kehidupannya yang serba sederhana.Baginya menjadi seorang muslim revert yang tidak mempunyai suami sebagai tempat bergantung juga antara beban yang perlu dilalui hari demi hari.Tiada sokongan dari masyarakat sekeliling menguatkan lagi semangat sister Z dalam mencari cinta Allah walau masih agak baru dalam Islam, kira-kira setahun + sejak hijrahnya.

Hanya mendengar 2 kisah ini sudah cukup memberikan keinsafan pada diri ini.Astaghfirullah.

Apalah sangat ujian ain lalui selama ini jika dibandingkan dengan sister R dan Z.Apalah sangat beban ain tanggung di ketika ini jika dibandingkan beban yang perlu ditanggung mereka sejak bertahun-tahun yang lalu.

Terdetik pada diri ini, apa yang telah ain buat sebagai seorang muslim untuk saudara Islamnya yang lain? Sudahkah ain melaksanakan kewajipan ain dalam memberi manfaat bukan hanya pada diri tetapi juga pada insan-insan yang memerlukan di luar sana? Sudahkah? Mampukah? Sudahkah ain sehabis usaha membantu?

Astaghfirullah.Ternyata jawapan bagi kesemua soalan-soalan di atas adalah TIDAK!

Muhasabah diri.

Semoga Allah lorongkan, bantu diri ini menjadi insan berguna bukan hanya untuk diri, tapi juga buat saudara Islam yang lain yang lebih memerlukan.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian



1 comment:

  1. pengalaman adalah guru yang terbaik, karena belajar dari pengalaman diri sendiri menjadikan pemahaman terasa bagaimana bersyukur, komentar balik ya di blog saya myfamilylifestyle.blogspot.com

    ReplyDelete

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR