Sunday, November 3, 2013

HIKMAH TAKDIR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera buat sahabat ain kasihi sekalian.

Alhamdulillah diberi kesempatan dan kelapangan untuk meluangkan waktu membuat coretan kecil di sini.Moga-moga ada pengisian dan manfaat yang dapat diperoleh bersama, insyaAllah.

2003 dan kini kita sudah menghampiri penghujung 2013.Pejam celik sudah 10 tahun lebih berlalu semenjak ain kembali pada Islam.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar, begitu pantas waktu berlalu.

Bagi sahabat yang mengikuti blog ain semenjak awal hingga kini pasti dapat melihat perjalanan kehidupan ain semenjak dulu hingga kini.

Apapun yang berlaku sebelum ini, pahit manis, jatuh bangun, perit payah yang berlalu, semuanya sudah termaktub dalam kamus kehidupan.Semuanya sudah tercatit dalam takdir kehidupan seseorang.Usah ditangisi, diratapi apa yang telah berlalu.Semuanya dalam rahsia [pengetahuan] Allah SWT, tak tercapai oleh akal fikiran seseorang manusia.

Masih terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Imran, mudir madrasah yang ain duduki sekarang ini.

Dunia adalah penjara bagi orang mukmin, namun syurga adalah tempat kekal yang abadi, tempat bersenang-lenang bagi orang mukmin.Dunia ini adalah kesenangan sementara bagi orang kafir namun neraka adalah singgahsananya yang terakhir.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar.

Betapa beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammmad SAW dan betapa beruntungnya kita dikurniakan nikmat Islam, nikmat kalimah tauhid, nikmat Allah Yang Satu, tiada yang lain selain Allah SWT.

Mengenang kembali masa lalu, masa kini, pelbagai rencah kehidupan dilalui yang adakala mengundang air mata.

Namun dengan berlalunya masa, berlalunya waktu, pasti kita dapat melihat hikmah takdir yang telah Allah SWT aturkan, tetapkan.Ain pasti sahabat-sahabat ain juga begitu.

Buat sahabat yang dalam persimpangan kehidupan, yang merasakan kehidupannya senantiasa terumbang-ambing, yang senantiasa merasakan serba tidak kena dengan hidupnya sejak dulu hingga kini.Moga sedikit tips yang tidak seberapa ini dapat membantu, insyaAllah.





Renungi kelemahan, kekurangan dan kekhilafan diri antara sedar mahupun tidak. Boleh jadi ada kekurangan diri yang tidak kita sedari. Muhasabah diri dan senantiasa berusaha memperbaiki kelemahan yang ada, insyaAllah Allah bagi mudah.

Usah mencari-cari keburukan, kelemahan atau keaiban orang lain.Pandanglah aib diri sendiri, sibukkanlah dengan memperbaiki diri sendiri. InsyaAllah apabila kita sibuk memperbaiki diri sendiri, kita takkan mempunyai masa atau berasa sakit hati atau tertekan dengan orang-orang disekeliling kita.

Setiap ujian/musibah yang menimpa diri ada hikmahnya.Ingatilah seperkara wahai teman, sahabat ain kasihi.Allah SWT menguji hamba NYA kerana Allah sayangkan kita kerana itu diri kita diuji.Allah ingin tingkatkan lagi darjat kita dikalangan hamba-hamba NYA yang soleh solehah, insyaAllah. Hadapilah ia sebaik yang mungkin dengan sabar dan cekal, insyaAllah ada ganjaran yang menanti buat kita kelak.

Tidak semua ujian itu memeritkan kerana disebalik keperitan itu ada kesenangan yang menanti.Tidak semua ujian itu menyakitkan kerana ada kemanisan yang menanti.InsyaAllah Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Maha Mengetahui.Allah SWT tidak menzalimi hamba-hamba NYA melainkan kita yang menzalimi diri sendiri.




Perbaiki amalan harian sedikit demi sedikit namun biarlah konsisten, istiqamah.Usah terburu-buru, beramallah dengan kefahaman, kecintaan pada Allah SWT dan Nabi junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sibukkanlah diri dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di waktu pagi dan petang, mahupun di waktu terluang dan bukannya waktu tertentu sahaja.Bacalah walau hanya semuka atau sehelai muka surat sekalipun.Lazimkan diri dengan bacaan Al-Quran kerana di dalamnya ada banyak fadhilat menanti buat para pengamalnya.

Apabila kita ingin bercakap dengan Allah, solatlah.Apabila kita ingin Allah bercakap dengan kita, maka bacalah Al-Quran.Mudahkan...

Mulakan sedikit demi sedikit amalan zikir harian secara konsisten serta istiqamah.Mungkin agak payah bagi yang jarang atau kadang-kadang melakukannya, namun berkat azam dan tekad, insyaAllah semakin Allah mudahkan urusan kita.Antara zikir amalan yang boleh sahabat mulakan adalah bacaan Al-Mathurat di waktu pagi dan petang.

Mulakan sedikit demi sedikit dan konsisten.Apabila sudah mampu istiqamah, mulakan dengan amalan zikir yang lain misalannya Ratib Al-Hadad dan sebagainya selagi mana ianya berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Pada hari kiamat kelak, ada 4 perkara yang Allah SWT akan tanyakan pada kita, iaitu :

  • Umur : di mana ia dihabiskan
  • Masa muda: untuk apa ia dihabiskan
  • Harta : dari mana dan untuk apa ia dihabiskan
  • Ilmu : ilmu yang diperoleh dan ke mana ia dimanfaatkan
ILMU adalah antara perkara yang akan disoal Allah SWT kepada setiap hamba NYA yang mengaku Islam, yang mengaku Allah Yang Satu.


Carilah ilmu selagi mampu, carilah guru-guru yang alim ilmu agamanya dan bukan hanya mencari ilmu di depan screen semata-mata.InsyaAllah ilmu yang diberkati adalah dengan berguru.

Dekatlah diri dengan orang-orang alim, ambil iktibar, ilmu dan kebaikkan daripada mereka yang alim ilmunya sebagai pedoman hidup kita di dunia mahupun akhirat.

Hadirkanlah diri dalam majlis-majlis ilmu, majlis zikir kerana di dalam majlis zikir itu adanya para malaikat rahmat yang akan mendoakan kita, insyaAllah.Sesungguhnya majlis ilmu adalah majlis yang paling disukai oleh Allah SWT. Hadirilah majlis ilmu yang didalamnya penuh keberkatan.

Ilmu kita sungguh terbatas jika dibandingkan dengan ilmu Allah SWT yang begitu luas.Takdir Allah pada seseorang hamba itu pada pandangan kasar kelihatan samar-samar seolah-olah tiada penghujungnya.

Namun yakinilah, percayalah bahawa ada hikmah di sebalik takdir atau ketetapan Allah SWT pada kita semua hamba NYA di muka bumi ini.Bersangka baiklah pada Allah SWT yang Maha Agung lagi Maha Kuasa.

Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia.Setiap daripada kita ada tugas atau amanah yang telah dipertanggungjawabkan,

Sentiasa merasa cukup dan banyakkan rasa syukur dalam diri sendiri. Dengan adanya rasa cukup dan syukur pada diri, segala perkara yang kelihatan sukar menjadi mudah, yang sempit menjadi lapang, yang mustahil menjadi kenyataan.Walau bebanan berat setinggi gunung sekalipun akan kelihatan kecil dan menjadi ringan andai kita yakin dan syukur akan takdir Allah SWT.

Buang sifat suka meminta-minta pada makhluk.Tanamkan sifat hanya meminta pada yang Khaliq, pada Allah SWT semata-mata dan bukan selain NYA.Inilah perkara PENTING, perkara POKOK yang perlu kita sedar dan tanamkan dalam diri kita dalam setiap perkara kehidupan.Inilah yang ain baru sedar dan alhamdulillah Allah berikan ujian buat diri ini untuk sedar dan terus sedar dari buaian mimpi selama ini.

Ingin ain kongsikan kata-kata nurkilan seorang sahabat :

"Ya Allah aku belum nampak lagi kebaikkan takdir MU kini, tetapi aku pasti ketentuan Mu pasti ada kebaikkannya."

Allahuakhbar Allahuakhbar Allahuakhbar

Pasti, takdir Allah adalah yang terbaik dan ada hikmahnya.

Alhamdulillah setakat ini sahaja yea sahabat semua buat masa ini.Ingin lagi rasanya berkongsi coretan bersama.InsyaAllah di lain waktu dengan izin NYA kita bertemu lagi.

Semoga apa yang dicoretkan ini ada manfaatnya buat yang membaca, terutamanya diri ain yang lemah lagi hina ini.

Mohon ampun maaf andai ada terkasar bahasa atau tersilap tulisan sepanjang perkongsian ain di sini.

"ALLAH BERSAMAKU... ALLAH MELIHATKU... ALLAH MENYAKSIKANKU..."





Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian


No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR