Tuesday, April 30, 2013

PERKONGSIAN KERJAYA DARI RUMAH


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat semua.Semoga senantiasa dalam lindungan Allah SWT.

Di sini ain ingin kongsikan coretan buat sahabat sekalian yang pernah bertanyakan pada ain kenapa dan bagaimana memulakan langkah bekerjaya dari rumah.

InsyaAllah moga apa ain kongsikan ini membantu sahabat yang tertanya-tanya sebelum ini.



Kepakaran ain adalah dalam memasarkan abaya dari Timur Tengah yang bermutu dan berkualiti tinggi serta mampu milik selain memenuhi keperluan syariat wanita Islam dalam berpakaian.

Turut menyediakan konsultansi percuma buat pelanggan lama dan baru sebelum melakukan sebarang jual-beli di kedai alam maya.Penting dalam memastikan kepuasan dan keselesaan para pelanggang terjamin.

Bisnes ini dijalankan secara alam maya [online bisnes] bermula sejak April 2011 dengan bermodalkan sebuah laptop kecil dan talian internet dengan sewa bulanan RM68-RM98 sebulan.

Mempunyai kerjaya tetap sebagai seorang jururawat berdaftar sebelum ini di salah sebuah hospital swasta, namun mengambil keputusan menguruskan rumahtangga sepenuh masa sejak 2011. Keputusan diambil berikutan ingin meluangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga serta memperbaiki kekurangan yang ada.

Menyedari mempunyai masa yang agak lapang, maka terdetik untuk memulakan perniagaan dari rumah dengan kos yang paling minima selain ingin membantu meringankan beban suami tersayang.

Memandangkan diri ini cenderung dan minat memakai abaya, iaitu pakaian yang biasa dipakai oleh wanita di Timur Tengah, maka bermulalah pencarian dan detik permulaan mengalihkan minat kepada bisnes.

Bermula sebagai agen dropship dalam memulakan langkah di alam maya.Sebagai agen, tugas ain adalah mempromosikan, memasarkan dan mengambil tempahan daripada para pelanggan.Setelah bayaran dan maklumat pelanggan diterima, tempahan akan dimaklumkan kepada pihak pembekal untuk urusan seterusnya.

Kelebihan sebagai agen dropship adalah kita tidak perlu mempunyai simpanan stok atau modal permulaan dalam perniagaan.Kita hanya bertindak melaksanakan tugas sebagai agen dan pendapatan kita bergantung kepada jumlah jualan.Komisen yang diberikan adalah mengikut syarat dan persetujuan yang ditetapkan pihak pembekal.

Beberapa bulan pertama perniagaan, adalah tempoh di mana kesabaran dan daya mental/fizikal kita diuji. Secara peribadi, keuntungan bukanlah matlamat utama kerana jika ain hanya fokus pada keuntungan sudah pasti tidak akan bertahan lama.

Kenapa? Kerana dengan hanya menjadi agen dropship dalam keadaan orang ramai masih belum mempunyai keyakinan dan masih belum benar-benar mengenali bisnes kita, pendapatan bulanan berdasarkan komisen jualan amatlah rendah sekitar RM50-RM100 sebulan.

Bagi anda yang pernah mempunyai pendapatan tetap sebelum ini yang mungkin mencecah RM1000-RM2000 sebulan pasti rasa tercabar dan merasakan ianya tidak berbaloi untuk diteruskan.Maka, usah fokus pada jumlah keuntungan di awal permulaan perniagaan.

Apabila melibatkan diri dalam perniagaan, fokus utama di awal perniagaan adalah dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan baru dan memasarkan produk kita pada masyarakat.Fokus dalam mempromosikan perniagaan dan bukannya menjual. Apabila kita hanya fokus pada jualan semata-mata, pelanggan atau bakal pelanggan akan mudah bosan.

Bertindak dengan mempromosikan perniagaan agar semakin dikenali dan tahap keyakinan para pelanggan terhadap produk yang dijual semakin bertambah, insyaAllah.

Dalam meraih kepercayaan pelanggan, kita bukan hanya peniaga tetapi perlu bertindak sebagai seorang sahabat yang setia.Bagaimana? Bertindaklah menjadi seorang pendengar yang setia, jujur dalam memberi pandangan dan nasihat serta wujudkan ukhuwah yang erat daripada pelanggan kepada sahabat kerana Allah ta'ala.

Setelah setahun menjalankan urusan perniagaan secara alam maya wujud permintaan daripada para pelanggan yang ingin melihat sendiri koleksi abaya dan golongan ini kebanyakkannya lebih berminat melihat sendiri sebelum membeli.

Maka pada Julai 2012, ain memulakan langkah memberanikan diri membuat jualan di karnival atau sebarang program kebajikkan.Karnival IKIMFM adalah usaha pertama ain memperkenalkan produk jualan ain iaitu abaya pada masyarakat umum.

SubhanAllah Alhamdulillah percubaan pertama menampakkan hasil walaupun jualan tidaklah sehebat mana, namun ain dapati masyarakat umum masih ramai lagi belum mengenali apa itu abaya dan daripada perbualan ringkas bersama mereka, terdapat permintaan untuk mendapatkan pakaian yang labuh dan longgar terutama dari Timur Tengah.

Bagi ain dan mereka yang sudah biasa mengenakan abaya dapat membezakan kelebihan mengenakan abaya berbanding jubah tempatan.Materialnya yang berkualiti dan sesuai dipakai dalam cuaca tempatan antara daya penarik buat wanita Muslimah.

Jika dahulu bermula sebagai agen, ain mula memberanikan diri menyediakan stok jualan dan modal permulaan ketika itu adalah melalui ehsan suami yang melihat kesungguhan ain dalam menjalankan bisnes ini.

Alhamdulillah perniagaan semakin berkembang dan jumlah pelanggan baru bertambah sehari demi sehari.Sokongan dan kepercayaan yang diperoleh daripada para pelanggan adalah suatu kepuasan yang sukar diungkapkan melalui kata-kata.

Jika dahulu hasil jualan sebagai agen hanya sekitar RM50-RM100 sebulan, kini jualan mencecah RM500-RM1000 sebulan. Ia termasuk komisen dan keuntungan jualan dari stok simpanan sendiri.

Dari hasil simpanan keuntungan bulanan itu, ain membuat simpanan kecil dan bercita-cita untuk membuka gerai jualan tetap. Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka gerai jualan kami yang pertama iaitu di Shah Alam.

Secara ringkas, usaha kami yang pertama untuk mempunyai tapak jualan sendiri tidak berhasil dengan jayanya. Hanya mampu bertahan selama 3 bulan dan keadaan ketika itu sememangnya suatu perkara yang amat memberikan tekanan dan perasaan rendah diri mula mencengkam kami ketika itu.

Setelah sebulan berlalu, ain kembali semula bersemangat dan muhasabah diri akan kekurangan dan kesilapan yang telah berlalu.Setelah mencongak, ain dapati kelemahan kami adalah dalam pengurusan modal kewangan dan tahap ekonomi kami ketika ini masih belum mampu untuk mempunyai gerai jualan tetap.

Maka kini ain fokus kembali kepada pemasaran dan penambahan stok jualan melalui alam maya.Walaupun terdapat permintaan daripada sebahagian besar para pelanggan yang ingin ain bergerak aktif dengan mempunyai gerai jualan sendiri, namun usaha ke arah itu masih perlu dipertingkatkan lagi.

Mengimbas kembali waktu ain memulakan perniagaan alam maya iaitu bekerja dari rumah adalah semata-mata mengisi masa lapang dan sekadar ingin membantu meringankan beban kewangan suami.

Kini fokus dan matlamat ain lebih besar iaitu ingin menyediakan lebih banyak pilihan kepada wanita Islam masa kini untuk tampil sopan dan besederhana serta yakin dengan berpakaian labuh yang boleh menutup aurat dengan sempurna.Matlamat ain adalah ingin memberikan kesedaran dan kefahaman bahawa pakaian taqwa itu adalah yang terbaik dan antara kewajipan yang dituntut oleh seorang wanita Islam.

Untuk bertahan lama dalam bisnes, tidak kiralah apa jua produk yang kita ingin pasarkan, ILMU sangat-sangat penting.Tanpa ILMU yang betul dan tanpa pengisian yang betul , tahap bisnes kita takkan sampai ke tahap yang kita inginkan. Itu antara kelemahan yang ain baru sedari dan ingin ain tekankan dan nasihatkn bukan hanya pada diri sendiri tetapi sahabat semua, jangan berhenti mencari ilmu.

Walau anda hanya menjual kerepek pisang sekalipun, jika tiada ilmu berkaitan perniagaan, maka jualan anda hanya sekadar 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Antara seminar yang boleh anda ikuti adalah seminar yang berkaitan dengan pemasaran di alam maya seperti FB Marketing oleh Bryan Gan, Internet Marketing oleh saudara Irfan Khairi dan Marketing Power oleh Dr Azizan Osman dan Abang Abu yang arif soal ILMU pengurusan kewangan.

Fokus kepada matlamat jangka pendek dan jangka panjang.Set matlamat apa yang kita ingin capai dalam masa terdekat ini dan set matlamat apa kita ingin capai dalam masa 5 tahun atau 10 tahun akan datang.Perlu ada target masa dalam sesuatu matlamat itu agar kita tidak hilang fokus atau momentum diri.

Matlamat ain dalam masa terdekat ini adalah untuk mengadakan butik jualan dari rumah dan ini memberikan peluang buat mereka yang ingin mengenali apa itu abaya untuk datang dan lihat sendiri serta mencubanya di depan mata.Ini merupakan salah satu cara pemasaran, di mana kita dapat mendekatkan diri dengan para pelanggan dan dalam masa yang sama mereka juga mengenali siapa diri kita.

Untuk jangka masa panjang, ain ingin fokus dalam melibatkan diri dalam masyarakat dengan lebih terbuka iaitu dalam penglibatan sosial masyarakat. Cara ini dapat membuka minda ain dan memberikan pengalaman baru kerana ini dapat membuatkan ain lebih berfikir apa lagi ain boleh lakukan sebagai seorang wanita Islam dalam menyumbangkan sesuatu untuk agama.Malah kita sebenarnya boleh menjadi 'model bergerak' untuk perniagaan kita!

Bagi sahabat yang bergelar suri rumah tangga atau yang masih lagi bekerja namun mempunyai keinginan yang tinggi bekerja dari rumah, maka mulakan tindakkan. Jika modal menjadi kekangan, maka mulakan perniagaan tanpa sebarang modal sekalipun.Namun jika fokus bisnes melalui alam maya, maka anda perlu mempunyai 2 aset penting sahaja. Laptop sebagai tempat bekerja, dan talian internet sekitar RM100 ke bawah sebulan sahaja diperlukan. Anggaplah sewa kedai anda semurah RM100 untuk mula berniaga dari rumah. Lebih jimat dan berbaloi dari memiliki gerai/kedai jualan yang sewanya mencecah RM1000-RM3000 sebulan!

Menarik bukan!

Kelebihan menjalankan perniagaan dari rumah dan melalui hujung jari adalah masa kita lebih flexible dan tidak terikat dengan sesiapa.Maka di sini disiplin diri juga penting dalam memastikan masa kita menguruskan perniagaan kecil ini dan urusan rumahtangga tidak terabai sama sekali.

Bahagikan masa untuk beribadah, bahagikan masa untuk urusan anak-anak dan suami, bahagikan masa untuk urusan bisnes dan bahagikan juga masa untuk diri sendiri.Perlu ada masa untuk rehatkan diri agar tahap motivasi dan momentum kita untuk bekerja sentiasa positif dan kekal bersemangat.

Jadikan Allah, niatkan Allah dalam segala pekerjaan atau perbuatan harian agar segala pekerjaan kita dipermudahkan hari itu dan hari-hari yang lain, insyaAllah.

Siapa mentor ain dalam bisnes ?

Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT yang boleh kita jadikan contoh dan ikutan.Selami dan kenali salasiah kehidupan Rasulullah SAW. InsyaAllah melalui kefahaman dan pembelajaran itu, kita akan semakin kuat dan semakin yakin dalam segala urusan kehidupan, malah bisnes sekalipun.Terapkan akhlak keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan kita.

InsyaAllah kita berjaya dunia dan berjaya di akhirat, aamiin!

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian 

Tuesday, April 16, 2013

PENGESAHAN KEMASUKKAN PENGAJIAN 'ISLAMIC FUNDAMENTAL COURSE 2013' DI IIUM

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat semua.Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama tidak mengemas kini perkembangan atau coretan.Moga sahabat semua senantiasa dalam keadaan sihat dan dalam lindungan Allah SWT.

Ingin berkongsi kegembiraan ini bersama sahabat semua. Alhamdulillah, penantian selama ini akhirnya Allah makbulkan. Alhamdulillah ain mendapat tawaran kemasukkan sesi pengajian "Islamic Foundation Course" di Universiti Islam Antarabangsa [UIA/IIUM].




Ain mendapat tawaran ini lebih kurang 2 bulan yang lalu melalui Sister Yap, salah seorang muslim revert yang bergiat aktif dalam bidang dakwah dan kebajikkan.Beliau seorang yang begitu peramah dan mengambil berat soal kebajikkan muslim revert serta seorang yang amat mudah didekati. Alhamdulillah.

Alhamdulillah surat pengesahan tawaran kemasukkan belajar diterima pada 8 April 2013 yang lalu. InsyaAllah kursus pengajian ini akan bermula pada 11 Mei 2013, bertempat di IIUM Gombak. Pengajian hanya seminggu sekali dan masa yang diperuntukkan sekitar 2 jam 30minit. Kursus ini akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris oleh pensyarah-pensyarah dari pihak IIUM sendiri.

SubhanAllah Alhamdulillah. Tidak pernah terlintas akan menjejakkan kaki ke IIUM dan tak pernah terlintas dalam usia sebegini masih diberi kesempatan dan peluang untuk mengikuti kursus di tempat sedemikian.





Bila diimbas kembali beberapa tahun yang lalu, ain ada cuba 'survey' tawaran belajar di IIUM, namun keadaan ketika itu tidak begitu mengizinkan.

Allahuakhbar Allahuakhbar Allahuakhbar.. Allah Maha Besar.

Rintihan, keinginan, hasrat hati ini Allah tidak sia-siakan dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar bisikan hati hamba NYA.Allah Maha Mengetahui saat dan waktu yang sesuai untuk tunaikan hasrat hamba NYA.

Tempoh pengajian adalah dalam masa 6 bulan sahaja dan setiap modul pengajian yang bakal dipelajari mengambil masa kira-kira 3minggu.InsyaAllah.

Antara modul yang bakal dipelajari:
  • Introduction to 'Aqidah
  • Introduction to Fiqah
  • Introduction to Islamic Ethnics
  • Introduction to 'Quran
  • Introduction to Sunnah
  • Introduction to Islamic Worldview

Cabaran yang bakal ain tempoh adalah dalam menguasai bahasa pengantaranya iaitu Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pengajian. Sudah tiba masanya ain keluar dari kepompong selesa dan berusaha menambah kemahiran dalam bahasa Inggeris. InsyaAllah moga kemahiran yang bakal diperoleh kelak akan menambah keyakinan diri ini untuk berdakwah dalam bahasa Inggeris pula.

Dalam mencari ilmu pasti perlu tempuh saat kesukaran. Kelemahan ain dalam bahasa Inggeris tidak harus menjadi penghalang dalam mencari ilmu Allah. Jadikan masalah atau kelemahan itu suatu peluang untuk perbaiki diri dan untuk terus maju ke depan, bukannya semakin berundur ke belakang.

Pernah dipersoalkan apa matlamat ain sambung belajar.Persoalan  yang benar-benar mengejutkan ain sebenarnya.Namun, ain pandang ia sebagai suatu cabaran untuk tingkatkan semangat dalam diri ini.

Bagi sahabat-sahabat yang sememangnya cintakan ilmu agama, cintakan ilmu Allah pasti tahu kenapa, mengapa perlu adanya keazaman yang tinggi dalam menimba ilmu.

Ilmu Allah itu luas, takkan tertampung luasnya ilmu Allah SWT dengan lautan di muka bumi ini.Seperti dalam Firman Allah SWT :

Katakanlah Muhammad : "Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk [menulis] kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis [ditulis] kalimah-kalimah Tuhanku..."

[Surah Al-Kahfi 18:109]

Peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang pengajian Islam amat dinanti-nantikan dan tak kiralah peringkat sijil sahaja sekalipun. Soal sama ada pengajian berakhir walau hanya memperoleh sekeping sijil atau diploma, itu bukanlah titik noktah dalam mencari ilmu Allah.

Bagi ain itu bukan yang dikejar, hanya ingin memanfaaatkan usia yang masih ada ini sebaik mungkin dalam menambah ilmu di dada. Selagi sihat , ain perlu gunakan ia semanfaat yang mungkin kerana boleh jadi esok, boleh jadi lusa ain tak mampu berbuat demikian lagi.


Bukan populariti dikejar, bukan penghormatan manusia dicari, bukan status dalam masyarakat diimpi-impikan. Hanya mencari redha Allah SWT.

Hanya redha Allah SWT semata-mata, moga Allah redha dengan usaha kecil ini, aamiin.

InsyaAllah semoga Allah permudahkan dan lapangkan urusan ain dan sahabat semua dalam mencari ilmu. Carilah di mana-mana, ilmu Allah ada di merata dunia.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian


Tuesday, April 2, 2013

KEMANISAN BERHIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat dikasihi sekalian.Salam Perjuangan, salam penuh rahmah buat semua.Semoga senantiasa dalam lindungan Allah SWT, aamiin.

InsyaAllah jika masih ada umur, kira-kira 4 hari saja lagi genaplah ain mengenakan purdah/niqab selama 2 tahun.

Mengenali ISlam sekitar usia 7-9 tahun, kembali pada Islam di ketika usia baru menginjak 18 tahun,  bergelar isteri di ketika usia 21 tahun, dan kini bekerjaya dari rumah sambil menguruskan urusan rumah tangga sejak tahun 2011.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar!

Indahnya aturan Allah SWT.Detik demi detik berlalu, dan begitu banyak perkara dilalui hingga saat ini. Kisah suka duka, pahit manis kehidupan senantiasa mewarnai kehidupan ini.Maha Suci Allah atas segalanya.






Sekadar perkongsian buat pedoman bersama, semoga memberi manfaat buat diri ini dan sahabat semua.

Di awal kembali pada Islam, diri ini akui agak terkapai-kapai dalam mencari cinta Allah. Agak goyah dan mudah terluka tatkala ada perkara yang mengusik perasaan ini.Jiwa ini begitu rapuh dan seakan lemah hingga tak mampu untuk bangkit kembali.

Indahnya tarbiah dari Allah SWT.Allah mengajar diri ini erti berdikari dan bergantung harap sepenuhnya segala pengharapan pada Allah SWT.Semakin bertambah usia semakin diri ini sedar ada hikmah disebalik segala yang pernah terjadi di awal ain kembali pada Islam.Alhamdulillah.

Sewaktu usia sekitar 24-27 tahun, diri ini mulai sedar banyak perkara dikejar namun akhirnya diri ini makin jauh dari Allah SWT.Sepanjang 3 tahun itu, diri ini cuba perbaiki kelemahan dan kekurangan.Muhasabah segala kebodohan dan kekhilafan diri.Adakala jatuh namun dikuatkan diri agar bangkit dari kelemahan.

Kemuncak diri ini tersedar dari lamunan mimpi adalah pada tahun 2010, kira-kira beberapa bulan sahaja lagi sebelum Ramadhan.Episod kehidupan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran diri.Pelbagai episod duka menjengah laman kehidupan diri ini.

Pernah terdetik di hati, "mampukah aku lalui semua ini", "masih ada tempatkah aku di dunia ini", "layakkah diri ini untuk berubah" ??? 

Pelbagai persoalan bermain di minda ketika itu.Rasa ingin membawa diri jauh dari dunia ini, pergilah ke mana sahaja asalkan jiwa ini tenang dan tak perlu risau memikirkan persoalan duniawi yang takkan pernah habis.

Namun digagahkan diri ini menadah tangan pada NYA memohon petunjuk dan kebenaran agar diri ini tidak sesat selama-lamanya.Berserah diri pada Allah SWT.

SubhanAllah Alhamdulillah, episod kehidupan inilah yang membuatkan ain belajar erti berserah diri, bertawakal pada Yang Maha Kuasa, Allah. Saat ini diri mulai sedar jangan taksub dengan godaan dunia yang penuh penipuan kerana akhirnya di 'sana' kelak kita akan disoal dan belum tentu kita dapat menjawabnya di hadapan Allah SWT.

Dari situ, diri ini melangkah mengenal diri sendiri, mengenal insan-insan yang menyayangi dan mengambil berat akan diri ini, mengenal Allah.Sesungguhnya saat indah itu takkan ain lupakan hingga kini.

Satu demi satu Allah tunjukkan pada diri ini hingga membawa detik di mana Allah gerakkan untuk ain berhijrah ke tahap seterusnya, iaitu berniqab.

Purdah/Niqab adalah suatu perkara yang tak pernah singgah dalam fikiran ini. Perasaan ingin tahu hadir dan semakin hari semakin berusaha ke arah itu.Dalam pada masa yang sama suami juga tahu hasrat ini malah menggalakkan.

Timbul persoalan sama ada untuk teruskan niat ini atau tidak.Seperti biasa, sebagai hamba Allah pasti kita meminta petunjuk dan hidayah dalam melakukan sebarang perkara dalam kehidupan ini.Muhasabah diri ini lagi dan lagi, mengenal diri dan mengetahui matlamat akhir kehidupan ini.Apa kita mahu dalam kehidupan ini.Semua itu akhirnya memberikan jawapan.

Alhamdulillah Allah "hadiahkan" petunjuk yang walau agak samar namun setelah itu segalanya terjadi tanpa disedari.Semuanya berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah.Dan pada tarikh 6 April 2011 adalah tarikh ain mula berniqab dan menutup aurat sepenuhnya. Alhamdulillah.

Namun itu bukanlah tarikh atau noktah dalam pencarian mencari redha Allah SWT.Masih banyak ranjau perlu dilalui, masih banyak perkara perlu dilalui dan diperbaiki hari demi hari.

Buat sahabat yang berkali-kali bertanyakan soalan yang sama berkenaan bagaiana untuk berhijrah, bagaimana nak mula dan apa perlu dilakukan andai dicemuh atau dihina...ini jawapan ringkas ain.

Sentiasa jelas dengan niat dan matlamat dalam berhijrah untuk Allah SWT.Apabila kita faham tujuan dan dengan niat yang betul, insyaAllah apa sahaja dugaan/godaan yang tiba Allah akan permudahkan. Tidak timbul rasa risau dengan cemuhan sekeliling atau rasa rendah diri.

Setiap sesuatu itu pasti ada halangannya dan jadikan halangan itu sebagai kekuatan diri untuk terus berusaha menerima ujian/tarbiah dari Allah SWT.Dalam Al-Quran juga ada disebutkan, seseorang itu takkan dikatakan beriman selagi dirinya tidak diuji.

Maka, terimalah dengan hati terbuka kerana Allah ingin lihat sejauh mana keikhlasan dan niat kita dalam sesuatu amal ibadah yang kita lakukan.

Setiap daripada kita pasti pernah merasa tersisih, pasti pernah merasakan diperalatkan, atau rasakan diri tidak bererti pada yang lain.Seakan-akan kita tak pernah wujud sama sekali.

PEDULIKAN itu semua.THINK POSITIVE.Usah dilayan perasaan itu.Bergembiralah kerana sebenarnya Allah inginkan kita bermunajat pada NYA.Allah inginkan kita merintih pada NYA sebanyak-banyak yang mungkin.Allah ingin kita belajar erti pergantungan sebenar-benarnya pada Allah SWT dalam sebarang situasi atau keadaan.

Itulah yang ain belajar dan belajar lagi dalam kehidupan ini.Setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan ini ada hikmahnya dan semuanya dalam rahsia Allah SWT.Allah dah aturkan kebaikkan disebalik segala yang terjadi.Maka bersabarlah yea sahabat.

Apa ain coretkan ini adalah ingatan buat diri ini juga.Ain pasti setiap daripada kita ada ujian yang sedang melanda diri dan setiap daripada kita tidak terlepas dari ujian.Kita adalah hamba.Maka sebagai hamba, bersabarlah dalam ujian yang diberikan.

Bangkitlah dari kelemahan, sedarlah dari mimpi yang boleh saja merosakkan.

Kita adalah Apa Kita Fikir, Kita adalah Apa Kita Rasa, Kita adalah Apa Kita Cakap, Kita adalah Apa Kita Buat/Bertindak.. itu semua adalah DOA.

Maka bersangka baiklah selalu dalam setiap aturan Allah SWT.Bersangka baiklah agar segala perkara yang baik-baik berlaku dalam kehidupan kita.

InsyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita dunia akhirat.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR