Saturday, May 18, 2013

PENGALAMAN MENGAJAR ERTI SYUKUR




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat setiap blog Nur.

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT atas izin dan limpah kurnia NYA diberikan kesempatan dan kelapangan untuk hadirkan diri ke kuliah pada hari ini.

Hari ini merupakan sesi sambungan dari kuliah sebelum ini berkenaan Aqidah.Hari juga merupakan sesi akhir bagi modul ini.

Berkesempatan mengambil foto kenangan bersama sebahagian muslim revert bersama dengan tenaga pengajar Dr.Amilah Awang Abd Rahman [bertudung oren] memandangkan hari ini adalah sesi terakhir bagi modul berkenaan.

Alhamdulillah, sangat seronok hari ini bertemu sahabat baru, belajar perkara baru, berkongsi pengalaman daripada muslim revert yang lain.Pengalaman yang adakala menyentuh perasaan ini.





Coretan ini bukan sekadar ingin berkongsi foto semata-mata.Beberapa kisah muslim revert yang ain baru kenali menyentuh perasaan ini dan menyedarkan ain betapa bertuahnya diri ini.Betapa beruntungnya diri ini kerana sejak sebelum hingga selepas Islam, Allah hanya berikan ujian kecil pada diri ini.SubhanAllah Alhamdulillah.

Namun tidak semua akan melalui pengalaman yang sama.Salah seorang muslim revert yang ain kenali sebagai sister R, seorang muslim revert sejak 2-3 tahun yang lalu, seorang ibu tunggal kepada 4 orang anak, mengalami tentangan hebat daripada keluarga mahupun bekas suaminya sendiri.

Memilih kembali pada Islam, memilih kembali pada Allah merupakan kekuatan buat beliau memilih jalan yang diredhai ini walau menyedari perkahwinannya perlu dikorbankan.Memilih untuk beriman kepada Allah dan bersedia mengorbankan apa yang pernah dimilikinya sebelum ini.

SubhanAllah, mendengar kisahnya ain sedar bahawa belum tentu ain mampu lalui perkara yang sama.Antara sebuah perkahwinan atau akidah.

Sister R berkongsi pengalaman beliau yang perlu turun naik ke mahkamah mempertahankan hak penjagaan keempat-empat anaknya dan dalam masa yang sama berusaha keras mendalami ilmu agama.Punca pendapatan yang tidak tetap dan hanya bergantung kepada komisen semata-mata seperti menjalankan 'survey' untuk beberapa organisasi selain menerima zakat yang bagi ain tidak mencukupi membuatkan ain terkedu, tergamam dengan ketabahan beliau.Hingga kini beliau masih lagi mendapat tentangan daripada keluarga mahupun bekas mentua serta bekas suami walau secara bertulis beliau sudah memiliki hak penjagaan terhadap semua anaknya.

Seorang lagi muslim revert ain hanya nyatakan sebagai Sister Z, masih belum berkahwin juga mengalami kehidupan dipinggirkan keluarga sendiri.Namun, luahan hati sister Z juga menyentuh perasaan ini. Beliau merasa terpinggir dalam masyarakat Islam amnya. Mungkin kerana penampilan beliau atau mungkin kerana kehidupannya yang serba sederhana.Baginya menjadi seorang muslim revert yang tidak mempunyai suami sebagai tempat bergantung juga antara beban yang perlu dilalui hari demi hari.Tiada sokongan dari masyarakat sekeliling menguatkan lagi semangat sister Z dalam mencari cinta Allah walau masih agak baru dalam Islam, kira-kira setahun + sejak hijrahnya.

Hanya mendengar 2 kisah ini sudah cukup memberikan keinsafan pada diri ini.Astaghfirullah.

Apalah sangat ujian ain lalui selama ini jika dibandingkan dengan sister R dan Z.Apalah sangat beban ain tanggung di ketika ini jika dibandingkan beban yang perlu ditanggung mereka sejak bertahun-tahun yang lalu.

Terdetik pada diri ini, apa yang telah ain buat sebagai seorang muslim untuk saudara Islamnya yang lain? Sudahkah ain melaksanakan kewajipan ain dalam memberi manfaat bukan hanya pada diri tetapi juga pada insan-insan yang memerlukan di luar sana? Sudahkah? Mampukah? Sudahkah ain sehabis usaha membantu?

Astaghfirullah.Ternyata jawapan bagi kesemua soalan-soalan di atas adalah TIDAK!

Muhasabah diri.

Semoga Allah lorongkan, bantu diri ini menjadi insan berguna bukan hanya untuk diri, tapi juga buat saudara Islam yang lain yang lebih memerlukan.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian



Tuesday, May 14, 2013

CORETAN BUAT NON MUSLIM / MUALAF

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat semua.

Agak lama tidak meninggalkan sebarang coretan di sini.Mohon maaf kerana tidak mengemas kini seperti sediakala.Beberapa urusan peribadi perlu ain utamakan ketika ini.InsyaAllah hari ini ain cuba luangkan masa membuat coretan ringkas, semoga bermanfaat buat semua.

Sebelum ni ain pernah kongsikan kisah ain sebelum dan selepas Islam dalam Kisahku . Bila ain baca kembali tulisan ain di blog sewaktu masih agak baru dalam penulisan blog, ain dapati sedikit kelam kabut namun harap pengisiannya sampai kepada para pembaca.

Beberapa ketika ain mendapat kiriman daripada sahabat pembaca, non muslim khususnya yang meluahkan hasrat untuk memeluk Islam, berminat untuk belajar tentang Islam.Terlebih dahulu tahniah ain ucapkan pada sahabat kerana mempunyai hasrat sedemikian.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar ♥

Buat makluman sahabat-sahabat yang mengirimkan mesej berkenaan hal ini, insyaAllah ain tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman.Namun jika berkaitan soal agama dan ain kurang arif mengenainya, akan ain rujuk pada yang lebih arif lagi ilmunya sebelum mengemukakan sebarang pendapat atau pandangan yea.

Persoalan yang biasa bermain di fikiran ain suatu ketika dulu dan juga ain pasti kebanyakkan sahabat non muslim yang berminat dengan Islam mempunyai persoalan yang sama.

~Bagaimana untuk bermula ?
~Dengan siapa perlu untuk berjumpa ? 
~Betulkah perasaan atau niat untuk memeluk Islam? 
~Atau sekadar mainan perasaan semata-mata..
~Bagaimana penerimaan keluarga ?
~Perlu maklumkan terlebih dahulu atau rahsiakan ?
~Takut kena buang keluarga?
~Takut apa orang kata?
~Tuhan aku sembah sekarang wujud atau tidak?

Ini antara persoalan biasa dan ringkas yang biasa bermain di fikiran seorang non muslim yang ingin atau berhasrat untuk memeluk Islam. Persoalan agama secara mendalam tidak akan ain sentuh di sini kerana ain masih kurang arif isu perbandingan agama seperti Kristian, Hindu, Buddhist dan sebagainya.

Maka ain hanya kongsikan persoalan ringkas untuk membantu sahabat pembaca, insyaAllah.

Kewujudan Tuhan Yang Satu

Semasa ain mula dapat membezakan antara Islam dan agama yang ain percayakan satu ketika dahulu iaitu Buddha, perkara pertama yang terlintas dalam hati dan fikiran adalah, wujudkah Tuhan yang ain sembah ketika itu? Ain soal pada diri dan ternyata jawapannya TIDAK. 

Maka dari situ, ain mula mencari Tuhan yang sebenar-benarnya wujud.Ain pernah menjejakkan kaki ke gereja, kuil namun tiada satu pun yang betul-betul meninggalkan kesan di hati.Laungan azan di kaca televisyen adalah yang paling meninggalkan kesan kerana ain rasakan keseronokkan, keindahan pada bait-bait yang dialunkan walau diri ini langsung tidak mengerti ketika itu. Malah, ain boleh ikut apa yang disebutkan walau tak faham.Suatu perkara yang melucukan namun indah.SubhanAllah.

Kitab Al-Quran

Ain juga meneliti kitab-kitab lama Buddha yang seingat ain dlm bahasa lama yang sukar difahami.Tertanya-tanya ain kenapa sebagai seorang yang mempunyai agama, tapi satu patah perkataan pun ain tak dapat nak faham dalam kitab-kitab berkenaan.Dari situ juga antara perkara ain semakin yakin itu bukan jalan yang benar.

Apa ain cuba nak sampaikan adalah, bezanya Islam dan agama lain, Islam mempunyai Kitab Al-Quran yang jelas lagi nyata, wahyu dari Allah SWT yang disampaikan melalui pesuruh NYA Nabi Muhammad SAW. Penyampaian di dalam Al-Quran amat jelas dan mudah difahami bagi mereka yang sedang mencari atau sedang berusaha berkenalan dengan Al-Quran.

Apa bezanya berdoa pada Allah sebelum dan selepas Islam ?

Cuba ambil sedetik waktu untuk sahabat berdoa. Yea berdoa pada Tuhan, namun kali ini cuba berdoa pada Allah SWT. Serius anda akan rasa kelainan berdoa pada Allah dan berdoa sebelum ini.Itu adalah perkara ain lakukan sehari sebelum ain mengucapkan 2 kalimah syahadah! 

Perbezaannya adalah apabila berdoa pada Allah ain dapat rasa kewujudan Allah Yang Maha Agung.Apabila berdoa pada Allah kita dapat rasakan doa kita didengari.Kita mempunyai keyakinan bahawa doa kita bukanlah ucapan kosong semata-mata tetapi didengar oleh Tuhan Pencipta Alam, iaitu Allah.

Dipersoalkan keikhlasan memeluk Islam

Ini adalah suatu perkara biasa yang akan dialami oleh sesiapa sahaja yang berhajat memeluk Islam.Jika sudah secara rasmi mengucap 2 kalimah syahadah sekalipun , masih ada kata-kata yang kurang enak dan masih ada yang pasti mempertikaikan keIslaman kita.

Seperkara ain ingin tekankan bagi sahabat yang ingin memeluk Islam, sebaik-baiknya cari seseorang atau sesiapa yang sahabat percaya yang sudi membantu dan membimbing kita dalam Islam.

Di sini ain senaraikan pusat bimbingan saudara baru yang sahabat boleh rujuk atau dapatkan maklumat atau pandangan :

- Hidayah Centre 
- Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa 
- Macma Selangor  

InsyaAllah jika ada lagi pertubuhan lain akan ain war-war kan di blog atau page yea.

Pusat-pusat bimbingan dan sokongan ini sangat diperlukan terutama bagi mereka yang tiada tempat untuk mendapatkan rujukkan dan sokongan moral.Ini amat penting kerana di awal pengIslaman, ain tidak tahu dan kurang mengambil tahu hal ini.Melalui pertubuhan sebegini insyaAllah ramai muslim reverts sudi menghulurkan bantuan dan sokongan buat kita.

Bila waktu yang sesuai untuk mengucap 2 kalimah syahadah ?

Ramai dikalangan kita takut, gusar akan penerimaan keluarga mahupun orang-orang sekeliling atau mungkin disebabkan keadaan ketika itu kurang mengizinkan misalannya anda masih belum bekerja atau masih di bawah umur.

Soal bila atau masa yang sesuai untuk mengucap 2 kalimah syahadah, bagi ain hanya Allah yang akan tentukan masa yang tepat untuk kita.Percayalah tanpa kita sedar hari yang dinantikan itu pasti Allah permudahkan.

Berkenaan perlu maklumkan pada keluarga atau tidak , semuanya bergantung pada keadaan masing-masing.Selagi kita mempunyai keyakinan bahawa Allah adalah Tuhan yang patut disembah maka tidak perlu ada rasa takut dalam diri untuk berhadapan dengan keluarga mahupun masyarakat.Namun jika ia boleh menimbulkan mudharat adalah lebih baik dirahsiakan dulu buat sementara waktu hingga bertemu waktu yang bersesuaian untuk dimaklumkan pada semua.

Setakat ini saja coretan kali ini.Masih banyak boleh dihuraikan dan dibincangkan di sini.InsyaAllah di lain waktu ain usahakan untuk berkongsi lagi yea.

Bagi sahabat yang mempunyai laman sosial bolehlah singgah di page nurainvivian.blogspot.com kesinambungan dari blog peribadi.

InsyaAllah ain cuba berkongsi pengalaman yang ada.Jika berkaitan ilmu agama ain akan refer pada yang lebih arif terlebih dahulu untuk membantu sahabat sekalian yea.

Bagi sahabat yang meninggalkan pesanan, insyaAllah ain akan balas satu persatu.

Welcome to Islam ♥






Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR