Tuesday, July 30, 2013

RAMADHAN INI....

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat semua.

Alhamdulillah kita kini berada di minggu terakhir di bulan Ramadhan, insyaAllah.Ramadhan kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya.Jika tahun-tahun sudah ain akan berpuasa dan berbuka di rumah mertua, malah solat terawih bersama ibu mertua, namun sebaliknya pada tahun ini.

Semenjak ain mendirikan rumahtangga pasti tidak ketinggalan berbuka dan berterawih bersama keluarga mertua di surau berdekatan.Suasana begitu meriah dan adakala mengundang rasa sayu dalam diri ini.

Berhijrah dan kini menetap di Selangor bersama suami, jauh dari keluarga di kampung, memberikan pengalaman yang berbeza. Jika dahulu memasak, berbuka dan berterawih bersama keluarga mentua di kampung, kini kami lebih berdikari di sini.

Pengalaman lalu mengajar diri ini agar lebih matang dan dewasa dalam membuat tindakkan dan keputusan.Urusan rumahtangga, urusan sebagai seorang isteri, urusan sebagai seorang hamba Allah yang masih serba kekurangan ini, membuatkan adakala ain banyak berfikir dan merenung jauh ke dalam diri ini.

10 tahun telah berlalu, bererti 10 Ramadhan telah pun dilalui.

SubhanAllah Alhamdulillah.

Perkara yang sering menggamit perasaan ini di bulan Ramadhan adalah kenangan sewaktu menunaikan solat Sunat Terawih secara berjemaah, tidak kira di masjid/surau.Perasaan sedih, rendah diri sebagai seorang hamba yang begitu kerdil, yang tidak punya apa-apa. Menyerah diri pada Allah Yang Maha Esa.

Allahuakhbar Allahuakhbar Allahuakhbar ...

Begitu hebat, begitu banyak Rahmat yang Allah SWT berikan di bulan mulia ini.

Apa erti puasa pada diri ini? Apa erti Ramadhan pada ain kini?

Jika dahulu ain hanya tahu Ramadhan adalah bulan menahan lapar dahaga, menahan dan mengawal nafsu diri, bulan digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah dan sebagainya.




Ramadhan kali ini tidak seperti biasa, kini lebih berdikari.Jika tahun-tahun sudah ain berkesempatan bersolat sunat terawih secara berjemaah, namun kali ini lebih banyak dilakukan sendirian di rumah.Suatu pengalaman yang amat berbeza, menuntut mujahadah dan kekuatan mental/fizikal melakukannya sendirian di rumah.

Terdetik di fikiran, mungkin ini adalah tarbiyah dari Allah SWT andai ditakdirkan suatu masa nanti mempunyai anak-anak kecil dan tidak mampu untuk ke surau/masjid berdekatan di bulan Ramadhan untuk solat berjemaah.

Baru ain sedar, ain perlukan ilmu sebagai persediaan di masa depan.Tidak boleh terus bergantung pada orang lain semata-mata dan seharusnya sebagai seorang wanita dewasa yang diberikan akal fikiran untuk bertindak dan membuat keputusan. Hanya mengharapkan pertolongan dari Allah SWT.

Alhamdulillah Allah SWT berikan kesempatan pada diri ini untuk berada di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, tanda Allah sayang dan masih berikan masa buat diri ini untuk perbaiki dan memperelok amal ibadah, insyaAllah.

Walaupun ain sudah mampu membaca Al-Quran, namun masih tiada kemampuan untuk menghabiskan bacaan keseluruhan Al-Quran di bulan yang mulia ini.Masih merangkak, bertatih dan masih perlukan bimbingan.

Allahuakhbar.. teguran Allah buat diri ini agar jangan melengah-lengahkan usia yang berbaki dalam mencari ilmu Allah SWT.

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana kita perlu muhasabah diri kembali akan kekurangan, kelemahan, keburukkan diri.

Usaha sebaik mungkin memperelokkan amal ibadah terutama yang wajib dan seterusnya perlahan-lahan kita pertingkatkan amalan sunnah yang lain, insyaAllah.Itu yang ain sedang dan masih usaha perbaiki lagi dan lagi.

Kita kini berada dalam minggu terakhir di bulan Ramadhan.Gunakanlah sebaik mungkin masa yang berbaki ini untuk beribadah dan memperbaiki diri, perbaiki hubungan kita sebagai hamba Allah SWT.

Perbanyakkan solat dan sujud di sepertiga malam terakhir di bulan RAmadhan kerana Allah ta'ala.Tanamkan niat dan tekad untuk terus melakukan amal ibadah ini secara berterusan dan istiqamah walau berakhirnya Ramadhan.

Kuatkan semangat melakukan perubahan diri untuk Allah SWT dan mohonlah pada Allah SWT agar kita menjadi hamba NYA yang sebenar-benarnya.

Salam Ramadhan dan Salam Lailatul Qadar...

-Nur'Ain Vivian-





Friday, July 5, 2013

CORETAN PERJUANGAN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat blog Nur sekalian.

Terlebih dahulu ain ucapkan ribuan terima kasih buat sahabat pembaca sekalian yang tidak putus-putus ziarah ke sini walau sejak akhir-akhir ini ain agak kurang membuat sebarang coretan.

Bagi sahabat yang mengikuti perkembangan ain sejak awal hingga kini sudah pasti sedia maklum ain kini telah berhijrah dari Melaka dan kini menetap di sekitar Rawang Selangor.

Alhamdulillah sudah 9bulan berlalu semenjak berhijrah ke sini.Di permulaan perpindahan ain dan suami ke sini, begitu banyak ujian, dugaan dan godaan yang perlu kami lalui.

Setiap rintangan yang dilalui dalam melayari kehidupan ini adakala dirasakan sungguh payah hingga ada ketika kami hanya mampu terduduk memikirkan keadaan kini.

Bertemu dengan pelbagai ragam, karenah manusia yang perlu dihadapi dari hari ke hari mematangkan kami dalam membuat tindakan dan keputusan.

SubhanAllah Alhamdulillah.Tatkala mengenang kembali saat-saat getir yang berlalu, kami kini mampu tersenyum kerana kepayahan yang dilalui itu akhirnya Allah permudahkan.Untuk merasakan nikmat kemanisan hidup maka kami perlu menelan kepahitan yang hadir.

Allahuakhbar Allahuakhbar Allahuakhbar.Sesungguhnya Allah Maha Besar atas segalanya.





Agak lama tidak membuat coretan berikutan diri ini sedang berusaha berdiri kembali dalam kehidupan.Bukanlah merajuk untuk membuat coretan, namun ketenangan diperlukan sebelum ain mula menulis kembali.Agak sukar menulis atau membuat sebarang catitan tatkala emosi lebih menguasai diri.

Seperti sahabat sedia maklum, ain mula bergelar surirumah tangga sejak 2 tahun yang lalu dan kini menjalankan perniagaan kecil dari rumah, tidak lagi membuka gerai jualan seperti dahulu.

Alhamdulillah bersyukur atas nikmat yang ada, walau kehidupan kami serba sederhana namun Allah limpahkan rahmat NYA pada kami agar terus tabah dan berusaha menjadi hamba NYA yang bersabar dan tidak sesekali berputus asa pada rahmat NYA.

Masih bertatih, masih merangkak berusaha menggapai impian dan matlamat kami dalam kehidupan ini.Mengimpikan kejayaan dan kebahagiaan bukan hanya di dunia, tetapi juga mengimpikan kejayaan serta kebahagiaan di akhirat kelak, insyaAllah.

Bebanan kehidupan takkan berakhir kerana dunia diciptakan untuk menggapai akhirat.Di dunialah tempat kita bercucuk tanam, menanam benih yang baik bakanya sebelum dituai di akhirat sana.

Nikmat mana lagi harus kita dustakan sedangkan Allah senantiasa memberikan nikmatnya setiap saat, setiap detik, setiap waktu dan setiap nafas yang kita hembuskan Allah Maha Mengetahui.Apalagi kita mahu?

Masih berusaha dan berusaha menjadi hamba NYA yang tahu erti bersyukur.Mari sahabat semua, kita sama-sama berusaha banyakkan rasa syukur dalam diri, kurangkan merungut, kurangkan mencela.Semakin banyak kita bersyukur, semakin tiada punya masa untuk merungut.Dan orang yang gemar merungut sebenarnya tidak mempunyai masa untuk bersyukur!

Nauzubillah..moga dijauhi dari sifat sebegitu.

Mulakan pada hari ini, saat ini, detik ini berubah ke arah kebaikkan, baik dari segi perlakuan, pertuturan, tindakan, pemikiran mahupun rasa hati.

Yea, hati amat sukar dikawal, amat sukar dijaga.Namun, banyakkanlah memohon pada Allah SWT agar ditetapkan hati dan iman kita agar sentiasa berada di landasan yang betul dan benar.

Esok, insyaAllah ain akan menghadiri kuliah di UIA Gombak seperti biasa dan insyaAllah esok ain dan para pelajar yang lain akan didedahkan dengan modul 3 berkenaan Islamic Ethnics.Apapun ain juga masih samar-samar dengan tajuk berkenaan.Maka dengan itu, harus berusaha untuk belajar dan belajar lagi.

Banyak perkara yang bermain di fikiran ini.Berhasrat untuk lebih aktif lagi dalam bidang dakwah, namun dalam berdakwah perlu adanya ilmu maka proses menyampaikan dakwah, menyampaikan mesej Islam akan lebih jelas dan mudah, insyaAllah.

Apapun semuanya dalam perancangan, diri ini hanya berusaha setakat mana yang mampu dan terdaya.Hanya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik buat setiap hamba NYA di muka bumi ini.

InsyaAllah sampai di sini sahaja coretan kali ini.Mohon ampun maaf andai ada terkasar bahasa atau tulisan sepanjang kalian singgah di blog ain ini.Moga sedikit sebanyak ada manfaat yang diperoleh melalui catitan dari insan yang kerdil ini.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR