Friday, August 30, 2013

MADRASAH DARUL ISTIQAMAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat setia Nur.Semoga senantiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT, aamiin.

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT atas limpah kurnia NYA diberi keizinan dan kekuatan serta kelapangan buat diri ini untuk membuat coretan.Di pagi Jumaat yang indah ini, ingin ain berkongsi pengalaman bersama sahabat ain kasihi sekalian, insyaAllah. Moga-moga coretan ini memberikan pedoman buat kita bersama, aamiin.

Jika masih ingat, pada coretan ain yang lalu bertajuk Perjalanan Ini ada ain nyatakan berkenaan perancangan ain untuk berhijrah sekali lagi.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar. Syukur pada Allah SWT atas segalanya.

Alhamdulillah, atas izin dan kasih sayang Allah SWT ain dan suami kini telah berhijrah ke sebuah madrasah tahfiz sekitar Muar, Johor.

Madrasah Darul Istiqamah adalah sebuah madrasah pengajian berkitab buat pelajar-pelajar lelaki dan madrasah ini menyediakan suasana pembelajaran sepenuhnya mengikuti sistem pondok yang lazim digunapakai oleh institusi pengajian pondok di negeri Kelantan, TErengganu, Kedah, selatan Thailand dan pasentren Indonesia.

Tenaga pengajar di sini ain difahamkan seramai 4 orang dan insyaAllah tidak lama lagi akan ada pertambahan ustaz yang akan membantu para pelajar di sini.Seramai 20 orang pelajar sahaja buat masa ini dan insyaAllah jumlah akan meningkat dari masa ke semasa.

Bagaimana ain boleh berada di sini? Sudah pasti ada yang tertanya-tanya bukan?

Alhamdulillah ain dikurniakan seorang sahabat yang begitu mengambil berat dan memahami diri ini.Beliau menyedari keadaan ain dan suami yang masih mencari arah kehidupan.Beliau bukan sahaja seorang sahabat, malah seorang yang sentiasa mengingatkan diri ini pada Allah SWT, pada Rasulullah SAW dan hari akhirat.

Atas inisiatif sahabat ain ini yang begitu menitikberatkan soal agama, maka beliau menyarankan kepada ain dan suami untuk berhijrah ke sini dengan harapan kami bukan hanya boleh memulakan kehidupan baru, malah kami juga dapat menuntut ilmu Allah SWT dengan adanya kemudahan di sini.

Di sini, bukan hanya ain dan suami sahaja penuntut dewasa, malah ada beberapa keluarga juga yang turut berada di sini yang bukan hanya menuntut ilmu, malah turut sama berkhidmat dalam pengurusan madrasah ini, antaranya tenaga pengajar turut tinggal bersama keluarga masing-masing.Keluarga Mudir, Ustaz Imran bersama keluarga juga tinggal bersama di sini.




Sahabat boleh ke link Madrasah Darul Istiqamah untuk lihat suasana sekitarnya yea.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke-6 kami menetap di madrasah.Alhamdulillah kehidupan berjemaah antara penghuni madrasah begitu terserlah dan ini membuatkan kami semakin berasa selesa di sini.Walau berlainan latar belakang dan sejarah kehidupan, hal ini sama sekali tidak menjarakkan kami di sini.

Kehidupan di sini sungguh sederhana, tenang, aman dan damai.SubhanAllah, walau diri kini mempunyai pelbagai bebanan masalah namun hati ini sentiasa merasa tenang.Alhamdulillah.Penghuni madrasah juga begitu mengambil berat dan bantu-membantu antara satu sama lain.Suasana di sini berlainan sama sekali.

Seperti sahabat sedia maklum, sebelum ini ain menyambung pengajian di UIA Gombak namun tidak dapat diteruskan. Namun, perancangan Allah SWT lebih hebat dan Allah gantikan dengan yang lebih hebat lagi, SubhanAllah. Rupanya Allah ingin gantikan ain ke tempat yang lebih hebat lagi.

Alhamdulillah walau baru 6 hari berada di sini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja kuliah disediakan untuk orang dewasa, khususnya muslimat.Kuliah yang diadakan menggunakan kitab.

InsyaAllah akan ain kongsikan pada coretan seterusnya yea.

Walaupun madrasah ini khusus untuk pelajar lelaki sahaja, namun mudir madrasah begitu mengambil berat dan memberi penekanan soal pendidikan agama. Maka antara kelas pengajian yang disediakan adalah pada sesi petang khas buat kaum muslimat, iaitu selepas selesai solat Asar.Kelas pengajian ini bukan hanya dihadiri penghuni madrasah, malah para muslimat yang tinggal berhampiran kawasan madrasah.

Pada sebelah malamnya pula antara waktu maghrib hingga selesai solat Isyak, turut diadakan kelas pengajian berkitab dan terbuka buat semua, tidak kira buat penghuni, penduduk setempat dan juga para pelajar, insyaAllah.




Foto ini adalah Masjid di Madrasah Darul Istiqamah yang baru sahaja selesai pembinaannya kira-kira 2-3bulan yang lalu.Surau ini bukan hanya digunakan untuk solat berjemaah malah turut digunakan semanfaat mungkin untuk pengajian berkitab.Malah, ada ruang khas yang memisahkan kaum muslimat yang sedang 'uzur' dari ruang solat agar para muslimat masih dapat hadirkan diri tidak kira waktu dan keadaan, insyaAllah.Tiada alasan untuk tidak menuntut ilmu!

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar!

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dan dilapangkan Allah SWT semenjak kami berpindah di sini.Sehari selepas berhijrah, suami keluar untuk mencari pekerjaan baru dan alhamdulillah dalam masa sehari Allah khabarkan berita gembira dan suami kini telah mula bekerja kembali, alhamdulillah.

InsyaAllah permulaan yang baik bagi kami suami isteri, alhamdulillah.Allah SWT permudahkan urusan dan Allah sememangnya Maha Adil dan Maha Pengasih pada setiap hamba NYA.

Moga-moga dengan pekerjaan baru ini dapatlah kami menyelesaikan segala bebanan sebaik mungkin. InsyaAllah. Moga rezeki ini diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Bagaimana dengan bisnes yang pernah ain war-war satu ketika dulu yea? Bukankah ain pernah nyatakan ain merancang mengadakan jualan dari rumah atau istilahnya "Home Boutique" ?

Alhamdulillah, dengan izin Allah dan semuanya berlaku dalam aturan Allah SWT.

Walaupun hasrat ingin mempunyai gerai jualan sendiri mahupun 'home boutique' hanya mampu bertahan seketika, alhamdulillah atas Rahmat Allah SWT, Allah datangkan lagi kurniaan dengan memberi kami ramai sahabat-sahabat yang baik-baik. Alhamdulillah.

Masih sedang menyesuaikan diri dengan suasana baru memandangkan jadual harian kini semakin padat dengan pengajian.Alhamdulillah.

Selain berpeluang belajar di madrasah, insyaAllah ain juga diberi peluang untuk berkhidmat di sini.
Berdebar juga sebenarnya ingin menggalas tanggungjawab ini.

Alhamdulillah dikurniakan sahabat yang begitu baik di sini, panggilan mesranya Nor.Nor akan membantu ain dalam tugasan ini kelak, insyaAllah.

Selain itu beliau juga seorang yang mudah mesra, rakan pengajian yang gemar berkongsi ilmu. MasyaAllah orangnya kecil molek namun sangat merendah diri.

Rasanya banyak lagi ingin dikongsikan.InsyaAllah nantikan lagi coretan ain akan datang yea.Izinkan ain mengundur diri terlebih dahulu.

Moga-moga perkongsian ini bermanfaat, insyaAllah.

Sedikit kata-kata ingatan buat diri ini dan semua.

Sentiasa yakin akan janji-janji Allah SWT pada hamba-hamba NYA yang bersabar.Yakinilah bahawa Allah Maha Adil dan Maha Pelindung dan Allah sama sekali tidak menganiaya hamba-hamba NYA.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian

Friday, August 16, 2013

PERJALANAN INI....

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat semua.Semoga senantiasa dalam lindungan Allah SWT.

Ketika mula membuat coretan ini, waktu menunjukkan jam 12am.Saat di mana ramai diantara kita telah terbuai dalam mimpi yang lena.

16/8/2013, kira-kira 2 bulan 4 hari sahaja lagi maka genaplah setahun ain berhijrah dan menetap di sekitar KL/Selangor.

Pelbagai kenangan manis, kisah suka duka, pahit getir dilalui sepanjang berada di sini.Ada ketika bergembira, ada ketika berduka cita hingga mengalirkan air mata.Namun semua itu sama sekali tidak mematahkan semangat dalam diri ini.Setiap ujian itu adalah nikmat bagi ain untuk mendapatkan pengalaman berharga dalam kehidupan ini.

Tarbiah langsung dari Allah SWT sama sekali tidak boleh disangkal mahupun ditolak kerana ianya adalah suatu ketetapan yang telah ditentukan NYA.Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu kejadian itu melebihi hamba NYA yang kerdil ini.

Di awal ain berhijrah ke sini bersama suami adalah untuk memulakan kehidupan baru dan meneruskan langkah di dalam dunia perniagaan.Tidak dapat bertahan lama dan akhirnya kembali berurusniaga secara alam maya hinggalah yang terkini membuat jualan dari rumah [mini butik].

Suami yang juga memiliki minat yang sama iaitu berniaga, kembali semula bekerja bagi menampung kehidupan kami di sini. Atas belas ehsan seorang sahabat yang memberikan kami peluang meneruskan kehidupan di sini, takkan pernah kami lupakan.Walau kini tidak lagi rapat seperti dahulu, ain masih mengenang jasa sahabat ini sekeluarga.Moga Allah SWT merahmati dirinya dan keluarga.

Ramadhan telah pun berlalu dan kini kita semua sudah berada di bulan Syawal.
Seperti ain nyatakan sebentar tadi, kira-kira 2 bulan 4 hari dari sekarang maka genaplah setahun ain menetap di sini.

Alhamdulillah, Allah SWT mudahkan jalan ain dalam mencari ilmu Allah SWT.Jika dahulu di kampung halaman[Melaka] ain berkesempatan mengikuti pengajian di salah sebuah madrasah selama sebulan, di sini ain dibukakan jalan untuk menyambung pengajian di UIA GOmbak.

Mengikut perkiraan, masih berbaki 8 sesi kelas lagi dari sekarang iaitu kira-kira masih berbaki 2 bulan lagi untuk ain habiskan pengajian di UIA.

SubhanAllah sungguh cepat masa berlalu.Walau kelas yang diadakan amat singkat, namun sedikit sebanyak membantu ain memahami perkara-perkara asas dalam Islam dan yang perlu seorang muslim ketahui.

Kini, suatu lagi peringkat ujian perlu dilalui.Yea, menguji kekuatan, kesabaran dan ketabahan diri dan kemampuan diri dalam menghadapinya.

Alhamdulillah masih mampu berada dalam keadaan tenang tanpa rasa gelisah seperti dahulu.Jika dahulu diri ini mudah menjadi tidak tentu arah, mudah melenting, kini tidak lagi.Alhamdulillah atas segalanya.

Beberapa perkara perlu dipertimbangkan saat ini.InsyaAllah, dengan izin Allah SWT ain dan suami akan berhijrah sekali lagi dan dengan harapan hijrah ini adalah hijrah yang memberikan sinar dalam kehidupan kami sekeluarga.

Beban kehidupan hanya mereka yang melaluinya sahaja akan memahami lebih daripada orang-orang sekeliling.Maka, ain merasakan tidak perlu terlalu berasa hati atau terkilan jika timbul pelbagai andaian atau tohmahan negatif selepas ini.

Semuanya masih dalam perancangan dan sedang diusahakan. Bukan melarikan diri dari masalah, sebaliknya mencari jalan menyelesaikan masalah, insyaAllah.Jika ini yang terbaik maka, inilah jalan yang bakal kami tempuh.

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba NYA.Allah Maha Mendengar keluhan hati hamba NYA ini.Allah SWT tahu inilah yang terbaik, yea insyaAllah.

Moga hijrah kali ini dapat mendekatkan ain dan suami pada Allah SWT.Semoga kami dapat manfaat dari hijrah ini untuk dunia dan akhirat.Semoga hijrah ini membawa kejayaan buat kami di dunia mahupun akhirat, insyaAllah.

Teringat perbualan ain bersama suami siang tadi.Suami kata, " awak ada cita-cita nak dicapai di sini, nak ada butik jualan di sini.."

Ain tersenyum dan katakan pada suami, " saya tak harap tu semua, impian saya yang utama nak berjaya di akhirat.Apa guna berjaya di sini andai soal akhirat saya abaikan? dunia ni sementara sahaja, takkan ke mana..semua ni sementara, saya nak akhirat.."

Lebih kurang begitulah perbualan diantara kami suami isteri.Untuk berjaya di dunia dan akhirat maka kita perlu dekatkan diri pada Allah SWT.Kita tak perlu nak buru dunia, bila kita buru Allah, insyaAllah semua akan datang pada kita tanpa kita minta.

Ain akui, masih banyak kekurangan yang perlu kami perbaiki dalam masa segera kerana takut, bimbang andai umur yang berbaki ini hanya tinggal beberapa ketika sahaja lagi.Cukup-cukuplah fikirkan hal dunia hingga melalaikan soal akhirat.Kesannya semakin banyak masalah hadir tanpa penyelesaian.

Nah! Teguran dari Allah SWT buat ain dan suami.Sehebat manapun usaha kami, setabah manapun kami dalam usaha perbaiki kehidupan ini , andai tidak mengutamakan Allah SWT, keputusan akhirnya pasti rapuh, pasti hasilnya tidak akan berjaya.Itulah akibatnya!

Alhamdulillah, Allah masih sayang dan atas kasih sayang itulah Allah SWT masih bukakan jalan buat kami.

SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar!

Buat sahabat yang menjadi pembaca setia mahupun 'silent reader' di blog Nur ini, mohon ampun maaf kerana tanpa sedar ain mungkin ada melukakan hati sahabat tidak kiralah melalui penulisan dan sebagainya.

Bagi yang banyak membantu ain sepanjang perjalanan kehidupan ini, jutaan terima kasih ain ucapkan atas ehsan, kasih sayang anda semua selama ini.Atas izin Allah kita dipertemukan, Alhamdulillah.

Salah satu perkara yang masih dalam usaha ain kini adalah dalam melunaskan segala hutang dan bebanan. InsyaAllah ain masih ingat dan berniat untuk lunaskan segalanya sebelum diri ini menutup mata untuk bertemu Ilahi.Tidak sesekali diri ini ingin mengelak atau melarikan diri.

Moga Allah SWT permudahkan segalanya.Moga Allah SWT izinkan diri ini untuk selesaikan segalanya agar perjalanan ain ke dunia seterusnya dipermudahkan, insyaAllah aamiin.

InsyaAllah moga bertemu di coretan seterusnya.Mohon doa jua daripada sahabat semua semoga apa yang diusahakan ini membuahkan hasil dan semoga hijrah kali ini memberikan kebaikkan buat ain dan suami, insyaAllah.

Hanya mengharapkan redha Allah SWT .. cukuplah Allah buat diri ini.

Alhamdulillah atas segalanya.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian



Foto kenangan di pagi raya




Wednesday, August 7, 2013

BERIBADAH NAMUN LEKA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat teman-teman semua.

Ramadhan semakin jauh meninggalkan kita.Tahun ini adalah tahun ke-10 Allah berikan keizinan buat diri ini untuk berada di bulan Ramadhan.

SubhanAllah Alhamdulillah, Terima Kasih Allah..

Namun, dirasakan tidak cukup, dirasakan masih banyak kurangnya diri ini beribadah pada Allah SWT.Rasa tidak puas, rasa seperti inginkan Ramadhan ini berterusan lagi dan lagi.

Astaghfirullah, Allahuakhbar..

maafkan ain yea Allah.. maafkanlah diri ini yang lemah lagi hina dalam menghadapkan diri pada MU. Diri ini hamba yang kerdil, masih mengharapkan pengampunan walau berakhirnya Ramadhan.Diri ini masih mengharapkan tarbiah walau berakhirnya Ramadhan.

Masih terngiang-ngiang di telinga pesanan seorang ustaz/ustazah di IkimFM, maaf ain lupa siapa gerangannya.

Pesanan beliau, "boleh jadi kita beribadah namun leka dalam beribadah".





Allahuakhbar!
Pesanan yang benar-benar menyentap perasaan ini.Memang benar kata-kata itu, kita mungkin beribadah namun dalam kita menunaikan ibadah kita leka dan alpa kerana apa? Kerana terlalu yakin, kerana terlalu ego bahawa ibadah kita itu diterima Allah SWT. Kerana terlalu yakin maka kita merasakan semua amal ibadah kita pasti diterima Allah SWT dan tiada apa perlu dirisaukan.

Statement yang benar-benar menggoncang diri ini.Merenung, muhasabah kembali sejauh mana tahap keimanan kita pada Allah SWT.Sebanyak mana telah kita beribadah pada Allah, adakah ibadah kita lakukan itu sudah cukup dan sudah 'gerenti' kita dijamin syurga Allah?

Tidak sahabatku, jangan terlalu yakin.Siapa kita untuk menilai atau menghukum siapa yang layak untuk ke syurga Allah. Sedangkan ilmu yang ada pada kita kini amatlah cetek.Diibaratkan ilmu kita ini hanyalah seperti setitis dakwat hitam di atas kertas putih. Masih cetek dan masih nipis jika dibandingkan dengan ilmu Allah SWT yang begitu luas melebihi luasnya langit dan bumi.

Mari sahabatku, kita sama-sama ingatkan diri.Niatkan dalam diri , mohon pada Allah SWT agar kita ditetapkan iman, mohon pada Allah SWT agar hati kita dipegang Allah kuat-kuat agar sentiasa dalam landasannya.Niat mohon pada Allah SWT agar ibadah kita lakukan selama ini diterima NYA.

Niat moga diizinkan Allah SWT untuk kita bertemu lagi di Ramadhan akan datang dan moga-moga kita adalah insan yang lebih baik dari sekarang ini.

Banyakkan berzikir mengingati Allah SWT dalam perbualan harian, berfikir tentang Allah, ada rasa bimbang dan risau tentang agama, ada rasa risau terhadap umat Islam disekeliling dan seluruh dunia.

Ya Allah moga diri ini dan kita semua usaha lagi jadi hamba Allah sebaik mungkin.





Sedikit perkongsian, Alhamdulillah sebulan sebelum Ramadhan ain dilamar pihak editor majalah Era Muslimah untuk ditemuramah, berkongsi pengalaman diri sebelum dan selepas Islam.

Kisah yang dinurkilkan di dalam majalah telah diringkaskan dari kisah asal.Namun apapun semoga ianya masih dapat memberi manfaat dan inspirasi buat insan-insan yang membacanya, insyaAllah.

Salam Aidilfitri ain ucapkan, selamat kembali pada Fitrah,
Nur'Ain Vivian




Friday, August 2, 2013

MERINDUI KELUARGA DI KAMPUNG

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam Ramadhan buat semua.

Saat ini diri ini amat merindui keluarga di kampung halaman.Sudah beberapa bulan tidak pulang ke kampung untuk menatap wajah mummy daddy yang amat ain kasihi.

Merekalah yang banyak bersabar dan bertolak ansur dengan ain selama ini. Mummy Daddy begitu penyayang dan memahami anak sulungnya ini sejak kembali pada Islam.Walau mereka kecewa dengan keputusan anaknya ini, namun tidak sedetik pun mereka melupakan ain dalam kehidupan mereka.

Merindui satu-satunya adik kandung, Vina yang juga seorang yang begitu penyayang dan satu-satunya adik ain yang begitu tabah dalam melayari kehidupannya.Kehadiran 2 permata hatinya yang comel dan mencuit hati, Amen dan Adrien semakin menceriakan suasana kehidupan kami sekeluarga.

Ingin sekali saat ini menatap wajah-wajah mereka, bertentangan mata.Ingin sekali ain kucup tangan mummy dan daddy.Ingin sekali ain ingin bermanja dengan 2 anak saudara ain yang comel-comel.

SubhanAllah Allahuakhbar.. miss them so much!



Gambar kenangan 2010 sewaktu majlis konvokesyen Vina


Tidak lupa juga keluarga mertua ain di kampung, mak abah yang penyayang dan sangat memahami keadaan kami di sini.Alhamdulillah.

Tahun ini adalah kali pertama ain tidak dapat merasa memasak dan berbuka bersama-sama mak dan kali pertama tidak dapat solat terawih dengan keluarga mertua.

Tunggu yea mak, abah kepulangan kami... insyaAllah.



Gambar kenangan mak dan adik ipar beraya tahun 2011


Masih tidak pasti tarikh untuk pulang bercuti ke kampung.Menanti 'Green Light' daripada suami tersayang, setelah selesai tugasannya dan mendapat cuti rasmi daripada pihak majikkan, insyaAllah kami akan berangkat pulang ke kampung.

Jika dapat bercuti panjang ia adalah satu BONUS. Maka dapatlah ain dan suami menghabiskan masa sepenuhnya bertemu keluarga masing-masing, mertua masing-masing.. haha.

Moga Ramadhan ini memberikan seribu satu rahmat buat kita semua.. aamiin.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR