Saturday, November 29, 2014

KETETAPAN ALLAH ADALAH YANG TERBAIK

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat teman, sahabat ain kasihi.Moga senantiasa dalam rahmat Allah SWT.

Alhamdulillah syukur atas segala nikmat kurnia Allah SWT.Sedikit atau banyak, besar atau kecil bersyukur atas segalanya.

Alhamdulillah kini ain telah berusia 30 tahun, dan beberapa bulan lagi insyaAllah genaplah 12 tahun diri ini kembali pada Islam.

Allahuakhbar... bagaikan tidak percaya begitu cepat masa berlalu.

Perjalanan kehidupan ini bukan di tangan kita, tapi dalam genggaman Allah SWT.Semuanya dalam aturan Allah SWT.Allahuakhbar.Walau betapa hebat kita merancang. tapi Allah jua yang memutuskan segalanya.Betapa telitinya kita membuat pilihan, Allah jua yang membuat keputusan untuk kita.

Kita merasakan suatu perkara itu baik untuk kita, tetapi akhirnya ada yang lain lebih baik dari itu.

Alhamdulillah hampir 12 tahun yang indah telah pun berlalu.Pahit manis kehidupan telah pun dilalui.Moga Allah rahmati diri ini di dunia dan akhirat, aamiin.

Takdir Allah tiada siapa yang mengetahui, tiada siapa yang dapat menghalang ia daripada berlaku.Sebagai hamba, diri ini redha dan pasrah atas ketetapan NYA.

Kehidupan bagaikan roda, adakalanya di atas, adakalanya di bawah.Daripada seorang anak kecil, membesar sebagai remaja dan kini bergelar isteri sejak 8 tahun yang lalu.Pelbagai tugas, tanggungjawab yang perlu digalas, yang perlu dilunaskan menanti diri ini.

Daripada seorang pelajar sekolah rendah, kemudian meningkat ke peringkat menengah dan kolej.Daripada bekerja, menggalas tugas sebagai suri rumahtangga, kemudian berniaga, kini kembali semula dalam bidang yang pernah diceburi suatu ketika dulu, jururawat.

Nah! Lihat sahaja pusingan, putaran kehidupan ini.Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam masa 1 saat dari sekarang, inikan pula dalam masa 10 tahun akan datang.Kita takkan pernah mengetahui.

Namun suatu yang pasti, akhirnya kelak kita akan kembali ke NEGERI AKHIRAT.




Kita mungkin berbangga memiliki harta yang banyak, kita mungkin bahagia kerana memiliki anak yang ramai, kita mungkin berasa beruntung kerana dikurniakan pangkat yang tinggi.

Namun itu semua tidak menjanjikan apa-apa andai kita tidak uruskan ia untuk urusan akhirat.

Bagaimana???  Mudah sahaja.

Niatkan segala urusan kehidupan ini untuk Allah SWT.

Mulakan pekerjaan harian kita dengan BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Mulakan hari kita dengan MENGINGATI Allah SWT.

Mulakan hari kita dengan niatkan segalanya hanyalah untuk mendapat REDHA Allah SWT.

Mulakan hari kita dengan niatkan segalanya hanyalah untuk mendapat KEAMPUNAN Allah SWT.

Mulakan hari kita dengan niatkan segalanya hanyalah untuk mendapat RAHMAT Allah SWT.

Dan BANYAKKAN MENGINGATI MATI kerana MATI ITU PASTI.

Senantiasa perbaiki niat dalam segala urusan harian, insyaAllah Allah akan perbaiki dan permudahkan segala urusan kita.

Kita boleh meminta dan berdoa pada Allah untuk sesuatu hajat, tapi kita tidak mempunyai hak atau memaksa kerana Allah lebih berkuasa daripada kita melebihi segalanya.Ingat, kita hanyalah hamba Allah, tidak lebih daripada itu.

Kita hanyalah hamba.Begitu juga aturan kehidupan kita, ketetapan yang Allah takdirkan itulah sebenarnya yang baik untuk kita.

Begitu juga diri ini, secara jujurnya ain lebih gemar menjadi suri rumah sepenuh masa sambil berniaga kecil-kecilan.Namun, kini ain kembali bertugas sebagai seorang jururawat.Suatu tugasan yang melibatkan nyawa manusia sekeliling.

Pada mulanya sukar untuk menerima namun akhirnya ain pasrah dan ain yakin ini adalah yang terbaik buat diri ini.Mengenang kembali tugas yang pernah digalas bertahun-tahun yang lalu, kini ain sedar ada peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan Allah izinkan ain kembali dalam bidang ini untuk tujuan tertentu, insyaAllah.

Buat sahabat ain kasihi di luar sana, tidak kiralah apa juga situasi yang kalian sedang lalui, atau telah lalui atau yang akan kita lalui.

Hadapilah ia dengan berlapang dada.Usah merungut atau mengeluh kerana ianya hanya membuang masa semata-mata.Yakin dengan mata hati, ada sesuatu yang indah sedang menanti dan telah Allah sediakan untuk kita suatu masa nanti.

Janji Allah itu pasti buat hamba-hamba NYA yang bersabar...

Usah membandingkan kebahagiaan orang lain dengan diri sendiri.

Usah bersangka-sangka antara satu sama lain.

Usahlah sibuk mencari-cari keburukan atau kelemahan orang lain.

Usahlah......

Adalah lebih baik memandang kelemahan dan keburukkan yang ada pada diri sendiri. Apa faedahnya kita membandingkan antara seseorang dengan seseorang yang lain? Apa faedahnya kita mencari keburukkan orang lain?

Boleh jadi orang yang kita kenali itu seorang pemabuk, namun saat akhirnya meninggal dalam keadaan bertaubat.Maka si pemabuk yang kita rasakan buruk pada pandangan kasar, sebenarnya hebat pada pandangan Allah SWT.

Semakin kita belajar mengenali kehidupan, semakin tunduknya kita sebagai seorang hamba.Bukannya dengan meninggi diri atau mendabik dada.

Pesanan seorang ustaz, orang yang beruntung adalah orang yang sempat bertaubat sebelum ajal menjemput.Mereka itulah orang beruntung.

Bagaimana dengan kita? Sudah pastikah saat akhir kehidupan kita mati dalam keadaan dapat mengucapkan kalimah tauhid? Sudah pastikah saat akhir kehidupan kita, kita masih sempat untuk bertaubat?

Tiada siapa yang tahu... Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Jadi sedari diri dari saat ini, kita adalah HAMBA ALLAH. Tiada suatu saat pun diri kita terlepas daripada genggaman Allah SWT. Setiap nafas yang dihembus, setiap nafas yang dihirup semuanya HAK ALLAH. Bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil.

Banyakkan bersyukur akan ketetapan Allah pada kita.

Sesuatu yang berlaku itu ada hikmah menanti. Suatu musibah itu tanda Rahmat Allah menanti...

Yakinilah KETETAPAN ALLAH ADALAH YANG TERBAIK.

Salam Perjuangan,
NurAin Vivian

" I LOVE U ALLAH"

Friday, August 29, 2014

TITIAN KEHIDUPAN

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat teman, sahabat setia Nur.Moga kalian senantiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.

SubhanAllah, agak lama ain tidak aktif menulis di blog ini.Bukan kerana rajuk atau rasa dingin. Hanya faktor keadaan dan masa yang memisahkan.Namun Alhamdulillah, perpisahan seketika ini memberi seribu satu erti buat diri ini.

Setiap individu, setiap insan di muka bumi ciptaan Allah SWT pasti melalui pelbagai rintangan dan cabaran dalam perjalanannya meniti kehidupan ini.Tidak seorang pun yang akan terlepas daripada ujian mahupun godaan yang sudah pasti adakala menguji tahap keimanan seseorang itu.




Namun, harus kita yakini setiap yang hadir, setiap yang datang dalam kehidupan kita ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri.Manis atau pahit mana sekalipun, pasti akan kita lalui walau pada mulanya dirasakan begitu mencabar.

Dalam perjalanan sebelum ke alam barzakh, pasti Allah temukan kita dengan pelbagai ragam manusia, dengan pelbagai masalah berbeza, dengan pelbagai situasi berbeza.Harus kita sedari, kita ini hanyalah hamba Allah, tidak punya daya, tidak punya kuasa.

Waa Laa Haula Walaa Kuwwataa Illah billah...

Walau sehebat mana perancangan kita sekalipun, kita tidak punya kuasa untuk menahan perkara yang bakal tiba dan tidak mungkin kita tahu apa yang telah ditakdirkan untuk kita kelak.

Namun seperkara yang pasti, kita semua akan menemui kematian... suatu masa nanti.Pengakhiran yang bagaimana? Semuanya ditentukan dari apa yang kita usahakan hingga akhir kalam kita.Hanya Allah yang berhak tentukan baik atau buruk pengakhiran kita kelak.

Saat kita rasa gelisah, dada terasa sempit hingga adakala menyukarkan kita untuk bernafas...ingatlah Allah SWT.Dari Nya kita datang dan kepada Nya jua akan kita dikembalikan.

Bersyukur atas segalanya.Jika kita lihat perjalanan kehidupan orang lain seakan indah berbanding diri sendiri, banyakkanlah istighfar dan memohon ampun pada Allah SWT.Sebaiknya ucapkanlah Alhamdulillah pada Yang Maha Esa kerana Dia mengurniakan kemudahan pada orang-orang disekeliling kita.

Saat kita bergembira melihat orang lain, bererti kita berbaik sangka akan kehendak dan takdir Allah SWT.Jika sebaliknya, bererti kita berburuk sangka pada Nya. Nauzubillah min zalik. Moga dijauhkan.

Untuk menjadi hamba Allah SWT, maka perlulah senantiasa bersedia dengan ujian.Dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin.Maka bersabarlah selagi hidup di muka bumi ini.

Kesenangan yang abadi bagi orang mukmin adalah di akhirat kelak, iaitu syurga yang abadi yang telah dijanjikan Allah SWT pada hamba-hamba NYA yang bersabar.

Ingatkan pada diri selalu, kita ini hanyalah HAMBA ALLAH. Maka sebagai hamba kita kena taati dan turuti perintah sebagai seorang hamba serta lakukan kerja-kerja sebagai seorang hamba.

Saat yang indah dan manis itu pasti tiba... Maka bersabarlah...

Salam Perjuangan buat sahabat semua,
Nur'Ain Vivian








Friday, July 11, 2014

SALAM RAMADHAN 1435H

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat, teman & pembaca setia blog ini.

Alhamdulillah syukur kita kini berada dalam 13 Ramadhan 1435H.Selamat menunaikan ibadah puasa buat semua sahabat muslimin muslimat.Semoga Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari yang sebelumnya.Semoga Ramadhan ini kita usaha, bersungguh-sungguh perbaiki amalan dengan sesempurna mungkin, aamiin.

Di bulan yang mulia ini, perbanyakkan muhasabah diri, merenung kembali kekurangan, kelemahan diri sendiri.Moga-moga dengan renungan itu akan terlahir secebis keinsafan dan kesyukuran atas segala nikmat yang ada.

Banyakkan bersyukur pada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan pada kita selama ini antara sedar atau tidak kita sedari.

Banyakkan istighfar dan bertaubat di bulan yang mulia ini.Beramal dengan ikhlas dan sabar dalam segala amal perbuatan harian.

InsyaAllah segala amalan fardhu dan sunat yang dikerjakan pada bulan Ramadhan ini, Allah ganjarkan, lipat gandakan pahalanya.

Bersungguh-sungguhlah dalam beramal, ikhlas kerana Allah SWT dan tidak selain NYA.Rebutlah peluang yang ada tingkatkan amal ibadah kita di bulan ini.

Gunakan peluang ini untuk melatih diri perbaiki amal ibadah secara konsisten dan istiqamah.Moga-moga ianya berterusan walau selepas berakhirnya Ramadhan.

Alhamdulillah tahun ini adalah kali pertama ain menyambut bulan Ramadhan di Madrasah Darul Istiqamah.

Suasana baru, persekitaran baru dengan jadual yang begitu padat.Di sini kami dilatih dan dibimbing oleh mudir madrasah menghidupkan malam walau sudah selesai solat terawih berjemaah.Adanya majlis zikir, majlis ilmu di malam harinya.Alhamdulillah.

Alhamdulillah atas nikmat yang Allah pinjamkan seketika buat diri ini, moga Allah SWT berikan keampunan dan kemaafan buat diri ini dan semua kaum muslimin dan muslimat yang beramal ibadat di bulan Ramadhan yang mulia ini, aamiin.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian


Tuesday, January 7, 2014

SAAT SIHAT SEBELUM SAKIT...

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat sahabat, teman ain kasihi.Semoga kalian senantiasa dalam Rahmat Allah SWT.Alhamdulillah diberi izin Allah SWT untuk membuat sedikit coretan pada hari ini, insyaAllah.

Bulan Muharram telah pun berlalu, dan kini kita telah berada di bulan Rabiulawal.Kini kita juga telah berada dalam tahun 2014.SubhanAllah sungguh pantas masa meninggalkan kita.

Baru-baru ini ain mengalami masalah sakit tulang belakang.Semenjak usia remaja hingga kini ain selalu mengalami masalah ini.Jika masih bekerja dahulu, ain biasa mengambil ubat penahan sakit dan ubat meregangkan masalah sakit ini.Setelah berhenti dari bekerja, alhamdulillah sakit semakin berkurang dan sesekali sahaja menyerang tatkala diri ini melakukan kerja berat atau kurang waktu rehat.

Alhamdulillah keputusan berhenti dari bekerja sejak 3tahun yang lalu banyak membantu memperbaiki masalah kesihatan ain dan dalam masa yang sama diri ini bertatih hari demi hari memperbaiki diri dan amalan sedia ada.

Berbalik kepada kenyataan ain berkenaan sakit ain baru-baru ini, asbab hanya mengangkat lesung kecil maka sakit ain menyerang dengan tiba-tiba.Allahuakhbar, sakit yang sama pernah dialami suatu ketika dahulu.Hampir seminggu menanggung sakit tanpa sebarang ubat atau rawatan hospital, dan akhirnya sahabat ain membawa ain bertemu dengan pakar bekam yang juga arif dalam soal membetulkan tulang belakang.

Ustaz Asri, pakar dalam rawatan bekam dan juga membetulkan masalah tulang belakang, beliau mengamati dan mendapati tulang pinggang ain 'lari' dari kedudukan asal.Maka, dengan izin Allah SWT Ustaz berkenaan membantu membetulkan kedudukan tulang belakang ain sebaik mungkin.

Alhamdulillah selepas 3 hari rawatan berkenaan, ain mampu berdiri dengan sempurna, rukuk dengan sempurna, sujud dengan sempurna.Rasa sebak di dada memikirkan nikmat kesihatan yang Allah berikan ini.

Allahuakhbar... Allahuakhbar... Allahuakhbar...

Sekelip mata sahaja Allah uji dengan nikmat sakit... dan sekelip mata juga Allah berikan kesembuhan.

Alhamdulillah... Segala Puji bagi Allah SWT yang Maha Pengasih Maha Memberi Kesembuhan.

Sakit yang penuh hikmah, memberi seribu satu pengertian, memberi seribu satu jawapan dalam setiap perkara kehidupan.

Buat sahabat ain kasihi, yang banyak membantu, terima kasih juga kerana menemani diri ini saat ain sakit, saat diri ini payah untuk berdiri sendiri.Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT atas pertemuan ini.

Sudah 2 minggu berlalu sejak kembali pulih dari kesakitan.Pedoman buat diri ini agar sama sekali tidak menyiakan waktu dan saat yang ada untuk perbaiki amal, mencari ilmu dan memperbaiki segala kekurangan yang ada.Moga umur yang ada ini diberkati dan moga ain mampu melakukan segala perkara yang masih tertangguh sebelum ini, insyaAllah.

Moga Allah SWT ampunkan ain atas segala keterlanjuran dan kekhilafan diri ini.Moga Allah SWT berikan kesempatan buat diri ini melakukan kebaikkan, walau diri ini tidak mampu untuk menggembirakan orang-orang sekeliling, moga Allah ampunkan kelemahan diri ini.aamiin.

InsyaAllah moga ada kesempatan lagi buat diri ini untuk membuat coretan di sini.Buat sahabat, teman semua sedikit pedoman bersama...

Dalam kesempitan, pasti ada kelapangan...
Dalam kesedihan, pasti ada kegembiraan...
Dalam kepayahan, pasti ada kesenangan...
Dalam kesakitan, pasti ada kenikmatan...
Dalam kesepian, pasti ada ketenangan...

Bergantung harap pada Allah SWT... Usah persoalkan apa kita kecapi hari ini sebaliknya syukuri dan jadilah hamba NYA yang sentiasa merasa cukup dengan nikmat yang ada.

Menangislah kerana Allah SWT dan usahlah bazirkan tangisanmu itu untuk makhluk.

InsyaAllah adanya ketenangan bila kita letakkan Allah dalam hati, fikiran, perasaan dan tindakkan.

Salam Perjuangan,
Nur'Ain Vivian







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR