Monday, September 28, 2015

ALLAH YANG MENCUKUPKAN REZEKI HAMBANYA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Salam sejahtera buat teman, sahabat ain kasihi.Moga senantiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT, aamiin.

Ingin ain berkongsi satu artikel ain peroleh daripada seorang sahabat di FB berkenaan perihal rezeki,

"Cikgu bukan banyak yang mencukupkan, tetapi Allah SWT yang mencukupkan rezeki bagi hambaNYA. Saya yakin rezeki yang berkat akan cukup,  kerana yang banyak pun tetapi tidak berkat, tidak akan cukup."

Kenyataan yang ringkas, mendalam namun ada benarnya.

Ini ain akui sendiri melalui pengalaman yang dilalui suatu ketika dahulu.Adalah lebih mudah berkongsi apa ain lalui, rasai suatu masa lalu.Moga-moga ianya menjadi pengajaran dan pedoman buat sahabat ain kasihi.

Kira-kira 5 tahun yang lalu, ain dan suami boleh dikatakan dalam golongan sederhana dengan pendapatan yang kami peroleh cukup untuk kehidupan kami berdua.

Namun seperti biasa yang kita dengari, gaji yang diperoleh pada satu hari boleh saja habis begitu sahaja tanpa perlu menunggu hari atau minggu seterusnya.

Walau sehebat manapun kami berjimat, sehebat mana kami berhati-hati dalam mengatur perbelanjaan bulanan, walau sekuat manapun kami bekerja, namun ianya masih tidak mencukupi.Ada sahaja perbelanjaan yang di luar dugaan, di luar kemampuan perlu kami lunaskan hingga ada ketika mengundang air mata.

Hati menjadi tidak tenang, kehidupan sering dirundung kegelisahan, segalanya menjadi tidak kena.Hubungan bersama pasangan juga hilang serinya.

Ain yakin ada diantara sahabat juga mengalami atau merasai pengalaman yang sama namun situasinya berbeza bukan?

Boleh jadi ada diantara sahabat sini masih lagi bergelar pelajar, namun sudah pun mempunyai bebanan hutang pendidikan.

Boleh jadi ada diantara sahabat sini baru sahaja bertunang, namun dalam dilema dalam membuat persiapan bagi majlis pernikahan kelak.

Boleh jadi ada diantara sahabat sini baru sahaja mendirikan rumahtangga, namun sering berselisih faham dengan pasangan berikutan masalah kewangan yang masih tidak stabil.

Boleh jadi juga ada diantara sahabat yang terlibat dalam bisnes kecil mahupun besar namun masih lagi belum peroleh keuntungan seperti mana yang diharapkan.

Boleh jadi juga ada diantara sahabat yang memerlukan belanja kewangan yang besar untuk tujuan kesihatan dan sebagainya.

Setiap daripada kita pasti ada kisahnya sendiri.Hanya yang mengalaminya sahaja memahami hebatnya beban yang tertanggung.

Maka, bagaimana jalan penyelesaiannya?
Masih adakah lagi jalan keluar untuk semua permasalahan ini? 
Jika ada, bagaimana?


Ikhlas Dalam Pemberian




Semakin kita ikhlas dalam memberi, semakin luas Allah bukakan pintu rezeki seseorang hamba itu.Walau ketika ini kita rasakan apa yang ada didalam genggaman hanya cukup untuk diri sendiri, jangan terkejut dengan KUASA MEMBERI.

Ikhlaskan diri dalam pemberian walau kecil sekalipun.Allah SWT tidak memandang jumlah kecil ataupun besar, sebaliknya Allah SWT menilai keikhlasan seseorang hamba itu tatkala diuji.

Latih diri untuk memberi.Misalannya, hari ini kita memasukkan wang ke tabung masjid sebanyak RM10, esok kita tingkatkan pula kepada RM20.Begitulah juga hari-hari seterusnya.

Ini adalah salah satu cara untuk membuang rasa kedekut dalam diri yang selama ini tidak kita sedari.InsyaAllah lama-kelamaan tangan kita menjadi ringan, hati merasa ringan untuk terus memberi tanpa rasa terbeban.

Tidak percaya? Cubalah dan rasailah sendiri.


Amalkan Solat Sunat Dhuha




Amalkan solat Sunat Dhuha sekurang-kurangnya 4 rakaat setiap hari. Jika tidak mampu, mulakan dengan 2 rakaat sehari-hari.Apabila sudah mampu, teruskan dan tingkatkan amal serta lakukan ia dengan konsisten [istiqamah].

Suatu amalan yang jarang dibuat pasti merasa berat.Tidak mengapa, teruskan walau mulanya ianya dirasakan agak berat dan membebankan.InsyaAllah lama-kelamaan sahabat akan merasakan nikmat dalam mengerjakan solat sunat Dhuha.

Keberkesanannya? 
SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar...

Sesungguhnya Allah Maha Pemurah dan kasih pada hamba NYA.


DOA 
 

Senantiasa mendoakan kedua orang ibu bapa tidak kira yang masih hidup mahupun yang sudah tiada.Jika kita inginkan ketenangan dan keberkatan hidup, jangan sesekali melupakan kedua ibu bapa yang membesar dan mendidik kita selama ini.

Senantiasa memohon ampun maaf pada mereka atas segala kesilapan dan kekurangan kita sebagai seorang anak selama ini.Kita tidak sedar, boleh jadi ada perkara yang kita pandang remeh selama ini telah melukakan hati kedua ibu bapa.

Maka, disinilah bermulanya rezeki yang tidak berkat serta sering tidak merasa cukup dengan apa yang diperoleh.

Masih belum terlambat sahabatku, ayuh mulakan sekarang.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Sentiasa Mensyukuri Segala Nikmat Pemberian Allah SWT




Belajarlah mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah SWT.Kurangkan rungutan sehari-hari sebaliknya banyak ucapkan syukur pada Yang Maha Esa.

Usah mempertikaikan apa yang tidak ada, sebaliknya mensyukuri dan menghargai apa yang kita miliki kini.

Usahlah membandingkan apa yang dimiliki orang lain, mempertikaikan nikmat yang Allah SWT berikan pada insan lain.

Ia seolah-olah kita berburuk sangka pada Allah SWT.Kita mempertikaikan keputusan Allah SWT.

Tidak malukah kita sebagai hambaNYA???

Banyakkan istighfar dan mohonlah keampunan dari Allah SWT atas kelalaian kita sebagai hambaNYA.


Amalkan Solat Sunat Tahajjud





Bangunlah sepertiga malam tanda kita mengingati Allah SWT. Bangunlah tatkala mata merasa melekit, badan terasa berat.Bangunlah di saat orang lain sedang lena dibuai mimpi.

Bangunlah...

Sesungguhnya di saat sepertiga malam itu doa hamba-hamba NYA dimakbulkan Allah SWT.Bagi yang memohon keampunan, Allah SWT ampunkan.Bagi yang mempunyai hajat, Allah SWT kabulkan.

InsyaAllah Allah Maha Mendengar rintihan hamba NYA.

Bangunlah, lakukan solat-solat sunat lain seperti solat sunat taubat, solat sunat hajat dan solat sunat istikharah.

Jika mampu, lakukanlah solat sunat tasbih secara bersendirian mahupun berjemaah, walau hanya sekali seumur hidup!


Yakin Akan Ketetapan Allah SWT




Yakinlah wahai sahabat.Rezeki setiap daripada kita dalam jaminan Allah SWT.Tidak berkurang walau sedikit atau sesaat sekalipun. Jika sudah ditetapkan itu adalah rezeki kita, ia tidak akan ke mana-mana dan tidak akan diambil oleh orang lain.

Maka sentiasalah berbaik sangka pada Allah SWT.

Kita hanya perlu bersabar dan yakin akan kuasa Allah SWT yang menetapkan segala sesuatu dalam kehidupan ini.


Banyakkan Berzikir Dan Bacalah Al-Quran




Lazimkan diri berzikir mengingati Allah SWT serta bacalah Al-Quran.

Amalkan zikir dan bacalah al-Quran sehari-hari, berterusan serta istiqamah.InsyaAllah segala urusan dan permasalahan kehidupan dipermudahkan Allah SWT.

Jiwa yang berkecamuk, fikiran yang bercelaru pasti tenang dengan amalan zikir dan bacaan Al-Quran.InsyaAllah.

Yakin akan kekuasaan NYA!


InsyaAllah sampai sini sahaja coretan ain kali ini.Mohon ampun maaf andai tersilap bahasa atau tulisan yang mungkin melukakan perasaan sahabat.

Moga perkongsiaan ini bermanfaat, insyaAllah.

Salam Perjuangan,
NurAin Vivian

nurainvivian@gmail.com


No comments:

Post a Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih pada semua yang sudi meluangkan masa membaca blog ain. Pendapat / pandangan anda amat ain hargai..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SAHABAT NUR

SAHABAT NUR